Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Tyzo. Show all posts
Showing posts with label Tyzo. Show all posts
Rasuah: Deejay Tyzo Beri Keterangan Ke Bukit Aman & SPRM
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Tyzo telah memberi keterangan kepada pegawai polis di Ibu Pejabat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Jumaat, berhubung kejadian sorang anggota polis meminta rasuah akibat kesalahan lalu lintas daripadanya pada Isnin lalu.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris, 36, tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 2.30 petang dan memberi kenyataannya selama kira-kira 90 minit kepada seorang pegawai polis di Bahagian Tatatertib.
Selesai memberi kenyataan itu, dia turut hadir ke ibu pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Cheras di sini kira-kira pukul 4.45 petang dan diambil keterangan kira-kira 30 minit.
Tyzo berkata, dia tidak pernah membayangkan selepas membuat keputusan untuk tidak memberi rasuah, dia perlu memberi kenyataan kepada beberapa pihak berkuasa.
“Saya bagaimanapun gembira kerana saya dapat mempertahankan prinsip saya dan berkata “tidak” kepada rasuah,” ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.
Adalah difahamkan pihak polis telah mengenal pasti anggota yang dikatakan meminta rasuah daripada Tyzo itu dan kedua-dua pihak berkuasa berkenaan akan merakamkan kenyataannya dalam waktu terdekat.
Sementara itu Tyzo memberitahu dia bimbang dengan keselamatannya selepas menerima satu panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali melalui talian telefon pejabat yang mendakwa kononnya mahu menyiasat kes berkenaan.
Deejay itu curiga kerana sebelum ini Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintenden Zulkifli Joned dan pegawai penyiasat kes berkenaan telah berhubung dengannya secara terus melalui telefon bimbitnya.
“Rakan-rakan saya tidak memberikan nombor telefon saya kerana bimbang perkara yang tidak diingini.
"Saya bimbang kenapa orang yang mendakwa pegawai polis tidak mempunyai nombor telefon bimbit saya sedangkan sebelum ini pihak-pihak berkenaan telah berhubung secara terus dengan saya,” katanya.
mStar Online pada Rabu lalu melaporkan Tyzo telah melalui pengalaman ditahan anggota polis kerana kesalahan memandu kereta bercermin gelap dalam satu sekatan jalan raya di sekitar jalan Sunway dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang anggota polis trafik telah memberi dua pilihan terhadap Tyzo sama ada mahu menyelesaikan kes itu dengan cara membayar wang ataupun dikenakan saman.
Bagaimanapun anggota polis tersebut melepaskan Tyzo selepas deejay tersebut memaklumkan dia adalah petugas media dan berhasrat melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak atasan PDRM selepas mencatat nama dan nombor badannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut memberi reaksi terhadap kes berkenaan dan mahu individu yang meminta rasuah tersebut dikenakan tindakan tegas.
Anggota Polis Minta Sogokan, Deejay Tyzo Buat Laporan
PETALING JAYA: Percubaan seorang anggota polis trafik yang ingin meminta sogokan daripada Tyzo bakal menerima padah apabila penyampai radio Suria FM itu telah melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris berkata, dia terpaksa melakukan tindakan tersebut semata-mata untuk menyokong usaha pihak PDRM bagi membanteras kegiatan tersebut khususnya melibatkan anggota mereka.
"Saya ditahan oleh salah seorang anggota polis trafik pada Isnin lalu dan dia meminta sogokan sehingga menyebabkan saya terpaksa melaporkan perbuatan buruk itu kepada pihak atasannya agar menjadi pengajaran kepada anggota terbabit serta polis-polis lain.
"Bukan setakat pihak PDRM sahaja, malah saya turut memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka telah memberikan respons terhadap laporan berkenaan," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Tyzo diminta mengulas luahannya menerusi segmen 'Citra Muzik Di Suria FM' (8 malam hingga 11 malam) yang dikendalikannya pada malam Isnin lalu yang antara lain turut berkongsi pengalaman apabila seorang anggota polis cuba meminta sogokan ketika menahannya.
Bercerita mengenai kejadian itu Tyzo berkata, ia berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk menghadiri sebuah mesyuarat dan ditahan dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Jalan Sunway dekat sini, kira-kura pukul 12 tengah hari pada Isnin lalu.
Tyzo berkata dia ditahan kerana kesalahannya memandu kenderaan menggunakan cermin gelap dan anggota polis berkenaan memberi pilihan sama ada untuk menyelesaikan kes tersebut dengan memberi sogokan ataupun mengeluarkan saman.
Katanya, selepas memohon maaf kerana kesalahan itu, anggota polis tersebut tetap menyuruhnya membuat pilihan yang ditawarkan sehinggalah Tyzo terpaksa memberitahu dia adalah petugas media dan akan melaporkan perbuatan itu kepada pihak atasan PDRM.
“Mungkin kerana terkejut dengan penjelasan itu, anggota tersebut melepaskan saya dengan meninggalkan saya begitu sahaja tetapi saya sempat mencatat nama dan nombor badannya,” jelas Tyzo.
Katanya, selepas memikirkan beberapa perkara, dia telah menulis mengenai peristiwa itu lalu mengirimkannya kepada pihak atasan PDRM termasuklah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menerusi e-mel serta pihak SPRM.
Ujar Tyzo lagi, dia mendapat respons yang positif apabila seorang pegawai kanan polis dari bahagian tatatertib, Bukit Aman telah menelefonnya untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu manakala pihak berkuasa SPRM turut mengambil langkah serupa.
“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana memandang kes ini dengan serius demi kebaikan anggota polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa benar-benar mahu membanteras kegiatan rasuah di negara ini," ujarnya.
Sehubungan itu Tyzo juga menyarankan kepada orang ramai agar tidak takut untuk melaporkan salah laku penjawat awam atau sesiapa sahaja agar perbuatan rasuah dapat dibanteras sepenuhnya.
Tyzo Suria FM Diganggu Wanita Kurang Siuman

PETALING JAYA: Penyampai radio, Tuah Zolqarnain atau sudah dikenali sebagai Tyzo mengakui pernah diganggu seorang wanita kurang siuman baru-baru ini.
Kata Tuah, pada awalnya dia menyangka wanita itu hanya sekadar peminat misteri, namun ia berlanjutan apabila wanita tersebut mula datang ke pejabat dan menunggunya di lobi.
"Pada asalnya dia hanya telefon untuk bercakap dengan saya, tapi lama kelamaan dia berani datang ke pejabat untuk berjumpa saya.
"Lebih pelik dia sanggup mengaku adik kepada Halim Othman bagi melepaskan dirinya dari pengawal keselamatan. Kali kedua dia beritahu pengawal keselamatan yang dia isteri saya pula.
"Nasiblah selepas itu pengawal keselamatan tidak benarkan dia naik ke pejabat Suria FM," katanya.
Tambah Tuah, wanita berusia awal 20an itu tidak putus asa apabila sanggup menunggu di lobi semalaman semata-mata ingin bertemu dengannya.
"Saya tidak tahu apa yang dia mahukan kerana apabila bertemu tidak pula dia bercakap banyak. Tapi ada satu hari selepas tidak dibenarkan naik ke pejabat, dia tidur di lobi sehingga keesokan hari.
"Saya pula yang balik lewat malam ketika itu terpaksa berlari dan bersembunyi untuk ke parkir kereta kerana takut dia tahu kereta saya," katanya.
Kata Tuah, sepanjang menjadi penyampai radio, peristiwa itu merupakan kali pertama dia diganggu dengan gangguan peminat misteri.
"Saya rasa dia ada masalah kesihatan, kalau tidak mengapa sampai sanggup untuk bertindak begitu? Lagi pula dia masih muda dan mempunyai rupa paras yang agak cantik.
"Setakat ini, tiada apa-apa tindakan untuknya kecuali dia tidak benarkan naik ke pejabat Suria FM sahaja," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
