Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Umi Kalthum. Show all posts
Showing posts with label Umi Kalthum. Show all posts
Arwah Umi Kalthum Tinggalkan Nota Bersyarat Lima
Sekeping nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang menyatakan lima syarat ditemui ketika ahli keluarga itu dihimpit rasa duka akibat kematian pelakon veteran tersebut pada Rabu.
Nota yang diletakkan di atas meja solek, rumah salah seorang anak Allahyarham hasil perkahwinan pertamanya antara lain menyenaraikan barang keperluan yang perlu digunakan sekiranya dia meninggal dunia.
Cucu dari suami pertama Allahyarham iaitu Amir Noor Muhamad , 32, berkata, dia menemui nota tersebut ketika masuk ke bilik untuk mencari kain kapan yang disimpan Allahyarham sebagai wasiat.
“Saya terkejut apabila saya masuk ke bilik, saya terjumpa sekeping nota yang arwah letakkan di atas meja mekap. Dia seolah-olah sudah tahu hendak pergi buat selama-lamanya,” jelas Amir Noor kepada mStar Online di sini pada Rabu.
Allahyarham Umi Kalthum meninggal dunia pada usia 81 tahun dalam tidur kira-kira pukul 4 pagi Rabu di rumah anak hasil perkahwinan pertamanya dengan individu yang dikenali sebagai Jaafar di Ukay Prima di sini pada Rabu.
Beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu serta seorang cicit hasil dua perkahwinannya termasuklah dengan pelakon Datuk S Roomai Noor.
S Roomai Noor meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah pada 16 Mac 1996 akibat paru-paru berair.
Allahyarham Umi Kalthum turut memiliki seorang anak tiri iaitu penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan terdahulu S Roomai Noor dengan pelakon Siput Sarawak.
Dalam pada itu Amri Noor berkata, lima perkara yang dicatatkan oleh neneknya itu ialah kelengkapan bagi menguruskan jenazahnya iaitu; kain batik untuk menutup dan memandikan jenazah, dua helai kain ihram termasuk milik arwah suaminya sebagai kain kapan dan selendang putih menutup muka.
Turut ditulis ialah sarung bantal bagi kegunaan melapik kepala jenazah dan dua helai kain putih yang perlu diikat pada batu dan diletakkan di simpang jalan sebagai tanda ada orang meninggal dunia.
Kata Amir Noor lagi, sebagai cucu yang paling rapat, dia sering menemani Umi Kalthum untuk ke mana-mana majlis yang dianjurkan.
Allahyarham juga kata Amir Noor turut berpesan kepadanya agar mengebumikan jenazahnya di Tamah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang di sini iaitu berdekatan dengan kubur arwah ibunya apabila dia meninggal dunia.
Arwah juga katanya pernah melahirkan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah ataupun pada bulan Ramadan.
“Alhamdulillahlah... hajat nenek untuk meninggal dunia pada bulan Ramadan seperti yang diimpikan telah dimakbulkan Allah,” katanya.
Dalam pada itu rakan seangkatan Allahyarham iaitu Datuk Maria Menando, 81, berkata, dia amat terkejut dengan berita kematian itu kerana Umi Kalthum masih dilihat cergas walaupun ketika usianya sudah lanjut.
Katanya, kali terakhir mereka berjumpa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Latifah Omar yang meninggal dunia pada 9 Jun lalu.
“Umi seorang rakan yang sangat baik dari segi tutur kata dan tingkah lakunya. Selama mengenalinya, saya amat senang berkawan dengan dia,” kata Maria.
Pelakon Salmah Ahmad, 76, pula berkata, Allahyarham ada berpesan kepadanya agar menjada kesihatan sebaik mungkin selain mengadu sakit dada.
“Dua hari lepas dia ada telefon saya. Dia nak ajak saya bercuti ke Jakarta. Saya kata tak ada masalah. Kemudian dia bertahu, dadanya sakit sehingga kadang-kadang nak tarik nafas pun susah.
“Kerana masalah itu dia banyak kali berpesan kepada saya supaya saya menjaga kesihatan dengan baik,” katanya yang pernah berlakon dengan Allahyarham dalam filem Yatim Mustapha pada tahun 1961.
Sepanjang hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Watak jahat iaitu Putih yang dipegangnya dalam Bawang Putih Bawang Merah pada tahun 1959 pernah menyebabkan dia dibenci peminat kerana sering mendera adik tirinya iaitu Merah lakonan Latifah Omar.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate selepas solat Zuhur pada Rabu.
Turut menziarahi Allahyarham ialah Datuk Aziz Sattar, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Aspalela Abdullah, Zalifah Ibrahim, Hayati Tasrip dan Mariani.
Pelakon Umi Kalthum Meninggal Dunia Dalam Tidur
Seniwati veteran iaitu Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati dekat sini pagi Rabu.
Anak Allahyarham, pelakon Noorkumalasari berkata, ketika kakak sulungnya hendak mengejutkan Allahyarham untuk bersahur kira-kira pukul 4 pagi, Umi Kalthum sudah tidak bergerak.
"Ketika kakak saya bersiap untuk bersahur, kakak pergi kejutkan ibu di dalam bilik dan mendapati dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pagi Rabu.
Noorkumalasari berkata, Allahyarham tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal dan beliau masih cergas walaupun sudah mencecah usia 81 tahun.
Malah ketika bertemu dengannya kira-kira dua hari lalu, Allahyarham tidak menunjukkan perubahan sebaliknya aktif berbual seperti biasa.
"Semasa saya berjumpa dengannya, saya bawakan dia sambal bilis dan kami sempat berborak sambil gelak ketawa.
"Tiada apa-apa perubahan terhadap dia sehinggalah dia meninggal dunia pada hari ini (Rabu)," katanya.
Menurut Noorkumalasari, Allahyarham juga tidak meninggalkan apa-apa pesan tetapi selepas kematian suami iaitu pelakon Datuk S Roomai Noor kira-kira 17 tahun lalu di Mekah, Allahyarham kerap berkunjung ke Tanah Suci itu seolah-olah mahu melepaskan rindu kepada suami.
Kali terakhir Allahyarham ke sana adalah pada April lalu. Beliau dan S Roomai Noor juga telah mengerjakan ibadah Haji pada tahun 1976 dan 1982.
Semasa hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Watak jahatnya sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah yang digandingkan dengan Latifah Omar benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton.
Beliau juga pernah dipilih sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di Asia pada zaman kegemilangannya oleh sebuah majalah di Australia.
Hasil dua perkahwinan iaitu bersama Jaafar untuk perkahwinan pertama dan S Roomai Noor bagi perkahwinan kedua, beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu dan seorang cicit.
Seorang lagi anak Allahyarham ialah penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan pertama S Roomai Noor dengan seniwati Siput Sarawak.
Jenazah dimandikan dan dikapankan di masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, Hulu Klang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, dekat sini selepas solat Zuhur.
Antara rakan artis yang melawat Allahyarham ialah Datuk Maria Menando, Datin Rosnani Jamil, Salmah Ahmad, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Sattar, Zalifah Ibrahim dan Aspalela Abdullah.
Cinta Umi utuh untuk suami

SEWAKTU S3 berkunjung ke kediaman Datin Umi Kalthum di Taman Ukay Prima, Hulu Kelang, baru-baru ini bagi mengisi ruangan Evergreen, seniwati filem Melayu itu masih lagi bertenaga biarpun usianya sudah mencecah 78 tahun.
Walaupun bertenaga dan boleh memandu ke sana ke sini, namun hatinya tidaklah seteguh fizikalnya apabila bercerita tentang suami tercinta, Allahyarham Datuk S.Roomai Noor.
Menurut wanita yang terkenal sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah (1959), sehingga hari ini cintanya tetap utuh terhadap suami yang pergi menemui Illahi pada 1996, di tanah suci Mekah.
Mencerita keutuhan cinta antaranya dengan suami, Umi Kalthum berkata, arwah meninggal dunia ketika mereka mengerjakan ibadat umrah dan waktu itu hanya dia yang berada di sisi suami.
“Sebelum meninggal dunia, datuk dimasukkan ke hospital Mekah selama sembilan hari. Sepanjang dirawat, saya turut menjaganya tetapi di sana bukan seperti Malaysia. Walaupun isteri, kita tidak sewenang-wenangnya boleh melawat kerana pada waktu-waktu tertentu sahaja saya dibenarkan masuk .
“Macam itu jugalah sewaktu jenazah dibawa ke rumah mayat. Sukar untuk saya mengiringi jenazah arwah. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah, akhirnya dapat juga saya menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan,” ceritanya sambil menyeka air mata yang mula berlinangan.
Katanya, sejak itulah tanah suci Mekah ibarat rumah kedua kerana setiap tahun dia akan ke sana untuk menziarahi kubur suami tercinta dan mengerjakan ibadat.
Menurut Umi Kalthum, pada tahun pertama selepas kematian suami, ketika mengerjakan ibadat umrah, seperti biasa dia akan menunggu suaminya di satu tempat yang sering mereka bertemu.
“Hampir dua jam, saya menunggu datuk di tempat yang selalu kami jumpa selepas sembahyang. Saya lupa yang tahun itu saya buat umrah sendirian.
“Malah sampai sekarang pun setiap kali pergi ke sana, saya seperti terasa arwah ada bersama,” katanya yang kali terakhir pergi ke Mekah, April lalu.
Kata Umi Kalthum, sebelum ini dia ke sana, dua kali setahun tapi sejak usia berganjak tua, hanya sekali setahun dan Mac 2013 adalah jadual perjalanannya kelak.
Umi Kalthum yang nama sebenarnya Patimah Bahaudin berkata, sejak pemergian arwah, jiwanya seakan hilang separuh kerana sebelum itu ke mana sahaja pergi mesti berdua.
Disebabkan pemergian arwah, dia tidak bersemangat untuk berlakon lagi walaupun mendapat tawaran.
“Macam mana saya nak berlakon. Dulu kalau pergi ke lokasi mesti berdua, jadi bila kena pergi seorang diri, terasa pincang pula. Baiklah saya duduk rumah, buat kerja apa yang patut daripada bersedih di lokasi,” katanya terus terang.
Menurut Umi Kalthum, semasa hayat, arwah pernah berkata, kalau boleh dia tidak mahu hasil kerjanya ditayangkan lagi dan biarlah ia berkubur bersama.
Justeru itulah, kalau hasil kerja arwah disiarkan di kaca TV, hatinya mudah tersentuh tatkala teringat impian arwah.
Seniwati yang masih lagi berhubungan dengan rakan seperjuangan, Datuk Maria Menado dan Salmah Ahmad berkata, rutin kehidupannya sekarang lebih banyak di rumah.
Selain di rumah, Umi Kalthum yang mengamalkan bijirin oats sebagai sarapan pagi sering mengikuti kumpulan mengaji di kawasan perumahannya.
“Semuanya berubah sejak pemergian arwah. Kalau berdua macam dulu, mungkin saya masih lagi sertai acara seni. Sekarang ini, sesekali sahaja saya sertai itupun kalau ada rakan yang ajak,” katanya yang lebih senang menghabiskan masa di rumah.
Dia yang banyak membawa watak jahat dalam lakonan dan popular dengan lagu Anak Daro daripada filem Tunang Pak Dukun itu berkata, sejujurnya dia senang membawa watak antagonis.
Katanya, melakonkan watak jahat tidak memerlukan dia berpelukan dengan pelakon lelaki kerana dia seorang yang pemalu.
“Setiap kali berlakon, saya mahu watak jahat sebab tidak ada adegan peluk-peluk. Macam mana nak lakonkan adegan itu kalau suami yang mengarah. Tanpa suami memerhati pun saya tidak sanggup,” imbasnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
