Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Ummi Nazeera. Show all posts
Showing posts with label Ummi Nazeera. Show all posts

Ummi Nazeera selamat lahirkan bayi perempuan

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Selepas lebih seminggu melahirkan seorang bayi perempuan, aktres Bisik Pada Langit, Ummi Nazeera, 28, buat pertama kali hari ini memaparkan wajah anaknya yang dinamakan Ayra Aneesah.

Ummi Nazeera Anggap Percintaan Buang Masa

Pelakon Ummi Nazeera menganggap fasa percintaan dalam sesuatu hubungan sebagai membuang masa dan sebolehnya dia enggan mengharungi proses berkenaan. Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 25, sebaliknya berkata, dia percaya percintaan selepas berkahwin itu lebih indah dan manis. "Jujur saya katakan, bercinta itu buang masa kerana kita belum tahu apa pengakhiran kepada hubungan tersebut dan saya sendiri sebolehnya tidak mahu melalui fasa itu dan lebih baik bercinta selepas kahwin," katanya. Bagaimanapun kata Ummi, sebagai manusia biasa bukan bererti dia mengelak daripada bergaul dengan lelaki sebaliknya menganggap hubungan yang terjalin sebagai persahabatan. Malah katanya, pada usia sekarang dia juga sudah mula berfikir soal jodoh dan ingin hidup berkeluarga seperti mana orang lain.
"Pada usia saya sekarang tipulah kalau tidak ada berkawan dengan sesiapa tetapi bagi saya mudah, selagi tidak berkahwin saya masih solo dan bukan kepunyaan mana-mana lelaki. "Saya lebih selesa menganggap hubungan yang terjalin itu sebagai persahabatan," jelasnya. Bercakap mengenai sambutan bulan Ramadan, Ummi memberitahu bulan puasa adalah peluang untuknya meningkatkan ketakwaan terhadap Allah selain memperbaiki diri. Jelas Ummi, seperti kebanyakkan orang lain, Ramadan disambut sederhana dan dia memilih untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. "Ramadan adalah bulan paling istimewa dan inilah peluang untuk saya memperbaiki diri dan memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya.
"Biarpun ada penggambaran yang perlu dilunaskan namun saya sentiasa mencari ruang untuk bersama keluarga dan melakukan aktiviti seperti solat Terawih dan berbuka puasa bersama-sama mereka," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Ummi berkata, pada September depan dia akan kembali menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan. "Insya-Allah jika tiada halangan saya mahu sambung belajar September ini dan kali ini akan masuk ke universiti di Malaysia sahaja," katanya.

Mengubati diri - Ummi Nazeera

MENGENALI Ummi Nazeera beberapa tahun sebelum ini harus diakui dia bukan lagi gadis yang sama kini. Kalau dari mata kasar memang benar imejnya kini semakin sopan dengan gaya sebenar seorang muslimah. Bagaimanapun di kala usianya melewati 24 tahun kini, Ummi sendiri akui hatinya sekarang semakin terisi dengan cara yang cukup berbeza dari dahulu. Sedang dia asyik mencari kelengkapan diri dalam menghadapi cabaran mendatang, tidak dinafikan sekali-sekala dia diduga dengan ujian hebat. Terbaru tugasnya sebagai seorang anak diasak dengan kisah mahkamah yang melibatkan ayah serta ibunya yang didakwa memalsukan sijil nikah. Setia di samping ibunya di sepanjang pertikaian itu, ia tidak pernah menyebabkan Ummi kecewa dengan nasib yang menimpa. Mujur semuanya kini selesai dengan kemenangan berpihak kepada ibunya. Tidak menolak tekanan sebagai anak adalah antara sebab mengapa dia berhijrah kini, jelas Ummi tiada apa yang mampu diminta lagi selain semuanya kembali seperti biasa buat keluarganya. “Semuanya sudah baik kini. Alhamdulillah ibu saya berada di pihak yang benar. Sebenarnya perkara ini sudah berlangsung dalam tempoh waktu yang agak lama. “Tidak dinafikan ini adalah salah satu sebab mengapa saya berhijrah," katanya lembut tanpa berselindung. Seperti kata peribahasa ditelan mati emak, diluah mati bapa, jelas termaktub ibu bapa adalah dua insan yang paling penting dalam kehidupan seorang anak. Benar dia berada di samping ibunya sepanjang kes ini berlangsung, namun itu tidak bermakna dia perlu menggantikan perasaan sayang kepada amarah untuk ayahnya. “Susah mahu cakap, tetapi saya tidak marah. Apa yang saya harap semuanya akan kembali seperti biasa. “Sebagai anak saya tahu kedudukan saya, cuma buat masa sekarang kami belum lagi berhubung," katanya jujur. Tidak lekang dengan ucapan syukur di bibir, jelas Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan diri. Sudah bersedia sekiranya dia tidak lagi diperlukan dalam dunia lakonan, balas Ummi apa juga yang terjadi minatnya yang mendalam dalam bidang lakonan tidak akan terusik. “Saya tidak menyesal, kalau ikutkan sekarang juga satu kaki saya di dalam bidang lakonan dan satu lagi di luar. “Apa yang boleh saya katakan, saya tidak boleh tinggalkan bidang lakonan kerana itu adalah keinginan saya dari dahulu. Cuma lebih pastinya selepas ini pemilihan skrip itu harus lebih kena dengan saya," katanya. Siapa sangka hidayah yang diterima gadis ini ketika dia berada di bumi asing. Bercerita mengenai detik dia mula-mula tergerak hati melakukan perubahan ini kata Ummi dia berada dalam keadaan yang sangat kosong. Mencari ketenangan melalui cara biasa, dia menerima kebuntuan, bagaimanapun semuanya lebih jelas apabila dia tahu hanya Allah ada bersamanya ketika itu. “Kalau ikutkan saya bebas di sana, tetapi saya hairan mengapa saya begitu kosong. Waktu itu memang saya sakit, malah malam sebelum semuanya bermula saya menangis sepuas-puasnya. “Saya bermula secara perlahan-lahan sembahyang cukupkan lima waktu, akhirnya saya jumpa apa sebenarnya yang tiada selama ini, Alhamdulillah," katanya. Kuatkan diri Menyuntik kisah dugaan awal ketika berhijrah, kata Ummi memang pernah terlintas dalam fikirannya berhijab nanti akan menyekat rezekinya dalam dunia lakonan. Bagaimanapun rasa takut itu diganti dengan perasaan lapang yang belum pernah dirasainya sehingga kini. Tahu rezeki itu bukan dalam kawalan manusia, Ummi percaya ini adalah yang terbaik buat dirinya. “Saya risau apabila bertudung nanti saya akan terbatas dan tidak banyak watak yang boleh saya bawa, tapi kerisauan itu tidak sebesar nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan selepas saya berhijab. “Syukur Alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada cuma saya yang terlalu selektif dalam pemilihan naskhah dan watak. Sebenarnya kalau ikutkan sejak dari dahulu saya memang memilih, kerana saya mahu memberikan yang terbaik kerana lakonan bukan sekadar tugasan ia lebih kepada saya untuk mencari kepuasan dalam setiap watak yang diberikan," katanya. Tidak mahu kisah penghijrahannya ini diekori lensa kamera, jelas Ummi memang benar dia cuba menghindari pihak media buat seketika. “Saya masih baru berhijab ketika itu, dalaman saya masih lemah dan memang saya terpaksa mengelak daripada berjumpa media. “Takut juga kalau tindakan itu membuatkan diri saya menjadi riak. Perkara itu membuatkan saya cuba mengelak hingga akhirnya pada bulan Mei saya memberanikan untuk kembali bertemu dengan pihak media," katanya lebih lembut. Kalau ada yang menjangka di kala umurnya kini sudah ada jejaka yang mengisi ruang cinta di hatinya, balas Ummi itu tidak pernah terjadi. Beranggapan masih banyak urusan yang perlu diselesaikan dirinya, nampaknya terlibat dalam dunia percintaan bukan salah satu darinya. “Saya perlu pilih yang betul-betul, bukan boleh terima sesiapa sahaja. “Tetapi dalam waktu sekarang kalau boleh saya tidak mahu bercinta lagi, betulkan diri dahulu sebelum benar-benar pasti untuk ke alam rumah tangga," katanya. Tiada jangkaan Sebagai seorang pelakon dan pengarah di sebuah syarikat milik keluarganya, tugas gadis ini tidak terbatas dalam untuk mencari ilmu sahaja. Merupakan lulusan Royal Melbourne Institue of Technology (RMIT), Australia, kata Ummi dia tidak menolak untuk kembali bergelar seorang pelajar beberapa tahun lagi. Bagaimanapun dalam kesibukannya itu siapa sangkan namanya di calonkan sebagai antara lima finalis Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Murni dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. “Apa yang saya boleh ingat adalah betapa penatnya untuk membawakan watak tersebut. Peranan emosi dan tenaga saya ketika itu memang sudah sampai ke tahap maksimun. “Bagaimanapun dengan ini kami semua tahu ia berbaloi, dan saya bersyukur dengan bantuan semua terutamanya kak Ellie," katanya. Tidak perlu menduga hatinya untuk menonton semula filem tersebut. Kata Ummi dia tahu peminatnya kini lebih bijak untuk mengadilinya, tiada sebab untuk mereka berkata tentang penampilannya dahulu dan kini memandangkan itu adalah waktu silam. Mengakui agak malu untuk melihat dirinya dahulu, tetapi itu tidak bermakna dia perlu rasa tertekan. “Saya dicalonkan untuk watak saya yang belum bertudung, jadi saya percaya orang tidak akan bercakap apa-apa kerana perkara itu sudah lepas. Perasaan malu itu memanglah ada. “Yang lepas biarkan berlalu, apa yang boleh saya kawal sekarang saya akan lakukannya dan menjaga sebaik mungkin perkara yang melibatkan imej dan maruah saya," katanya.

Berhijab Bukan Sebab Ummi Nazeera Tidak Ikut Promosi 'Penanggal'

Ketiadaan Ummi Nazeera dalam mempromosikan filem Penanggal di beberapa lokasi tidak ada kaitan dengan perubahan imejnya yang dikatakan sudah berhijab. Pengarahnya, Elly Suriaty berkata, walaupun imej Ummi dalam filem tersebut tidak bertudung serta berkemban, namun dia percaya Ummi seorang profesional dan ketiadaannya itu adalah disebabkan wanita itu kini sibuk dengan pengajiannya di Australia. "Saya difahamkan Ummi tidak terlibat dengan sebarang promosi filem ini kerana dia masih belajar di Australia dan ia langsung tidak ada kena mengenai mengenai penghijrahannya seperti yang diperkatakan ramai. "Lagipun saya percaya Ummi profesional dan selagi saya tidak nampak di depan mata sendiri mengenai perubahannya (berhijab), saya juga tidak boleh cakap sebarangan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Elly, dia menyifatkan Ummi memiliki bakat lakonan yang luar biasa apabila wanita itu berjaya melakonkan watak Murni dalam karya sulungnya iaitu Penanggal. Beritahu isteri kepada aktor Azri Iskandar, penghayatan Ummi dalam watak utama sebagai hantu penanggal itu juga telah memberikan impak terbaik dalam filem tersebut memandangkan ia merupakan watak berat antara semua karaktor. "Menghasilkan filem Penanggal ini, sebelum memulakan pre-produksi lagi saya mencari pelakon yang mampu memberi sepenuh jiwa dalam watak Murni ini dan Alhamdulillah Ummi berjaya melaksanakan tugasnya seperti yang saya inginkan. "Apa yang dapat dilihat, Ummi memiliki bakat lakonan yang luar biasa. Dia benar-benar menjiwai wataknya itu sebaik mungkin," katanya. Penanggal berkisarkan mengenai Murni (Ummi Nazeera) secara tidak sengaja mewarisi ilmu penanggal daripada Mak Ajeng (Normah Damanhuri) dan dia terpaksa melarikan diri ke Kampung Jawa untuk mencari pelindungan Antara pelakon lain yang turut terlibat dalam filem itu termasuklah Fasha Sandha, Azri Iskandar dan Datuk Sharifah Aini.

Ummi Nazeera Tidak Mungkin Kahwin Waktu Terdekat

KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera mengakui dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat biarpun timbul desas-desus kononnya dia bakal berkahwin pada 2013. Ummi, 22, berkata, faktor usia yang masih muda dan statusnya yang masih menuntut dalam jurusan perniagaan di Royal Melbourne Institue of Technology (RMIT), Australia membuatkan dia belum terfikir untuk berkahwin pada waktu ini. "Keutamaan sekarang adalah untuk menghabiskan pengajian saya terlebih dahulu. Secara jujurnya, saya belum bersedia untuk berkahwin pada usia muda. "Saya baru berusia 22 tahun. Perkahwinan bukan benda kecil yang boleh dibuat main-main," kata bekas kekasih kepada aktor Remy Ishak ini. Ditanya mengenai desas-desus perancangan perkahwinan dengan teman lelaki yang dikenali ketika menuntut di universiti tersebut, Ummi berkata, segala spekulasi mengenai perkara itu adalah tidak benar kerana dia mahu menghabiskan pengajian terlebih dahulu. "Saya tidak pernah komen apa-apa mengenai hal ini (berkahwin). Entah bagaimana, cerita ini boleh timbul malah ia diperkatakan sejak tahun lalu. "Saya sudah jelaskan kepada teman lelaki dan dia memahami. Kalau boleh, selepas pengajian tamat tahun depan, saya mahu fokus kepada perniagaan milik keluarga agar dapat mempraktikkan apa yang dipelajari," katanya. Mengenai kerjaya seni, pelakon yang sedang bercuti selama tiga bulan sejak November lepas berkata, dia masih belum membuat keputusan untuk berlakon dalam mana-mana produksi. "Saya bukanlah mahu bersikap selektif, kalau boleh saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Saya tak mahu jika dua filem seram lakonan saya keluar pawagam serentak tahun depan. "Sebaliknya, saya teringin berlakon dalam filem romantik atau kisah cinta tragik," katanya yang bakal muncul dengan filem Penanggal pada 2013. Terbaru, Ummi akan mewakili negara menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa ke Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-55 di Macau, China pada 13 hingga 16 Disember ini. Selain filem terbitan KRU Studios itu, empat lagi karya terpilih adalah Bunohan, Nur Kasih The Movie, Ombak Rindu dan Songlap.

Suami pilihan Ummi Nazeera

SUDAH agak lama kita tidak mendengar cerita Ummi Nazeera, yang satu ketika popular melalui drama bersiri Nur Kasih. Semua itu disebabkan dia terpaksa meneruskan impiannya untuk mencapai segulung ijazah di Royal Melbourne Institute of Technology, Australia. Ummi atau nama penuhnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 22, kini pulang ke Malaysia untuk bercuti semester. Ujarnya, dia akan menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan pada akhir tahun hadapan setelah tiga tahun menjadi pelajar di sana. Dalam pada itu, Ummi juga tidak terlepas dikaitkan bercinta dengan seorang lelaki dan pernah didakwa berniat untuk menamatkan zaman bujangnya. Benarkan dakwaan tersebut? Ikuti temu bual Kosmo! dengan Ummi ketika ditemui baru-baru ini. Kosmo!: Setelah tiga tahun berada di Australia, boleh ceritakan tentang pengalaman Ummi di sana? UMMI: Alhamdulillah, semuanya baik. Saya sudah menganggap Australia sebagai rumah kedua selepas Malaysia. Saya seronok belajar di sana, walaupun pada tahun pertama tidak ramai pelajar dari Malaysia, tetapi kemudian ia semakin bertambah. Sepanjang menuntut di sana, saya tinggal bersama rakan seuniversiti, tetapi bermula pada tahun hadapan saya akan tinggal berseorangan kerana mereka sudah kembali ke Malaysia. Bagaimanakah pula dengan perancangan anda selepas menamatkan pengajian di sana, adakah anda masih akan terus berlakon? Ya, saya akan terima jika ada tawaran berlakon, tetapi semua itu bergantung kepada rezeki dan jika tawaran itu menarik. Pada masa sama, saya akan berikan tumpuan terhadap bisnes keluarga.
Apakah bentuk bisnes yang keluarga anda usahakan sekarang? Syarikat keluarga saya dikenali sebagai Pointry (M) Sdn. Bhd. Bisnes ini lebih berbentuk kepada pengeluaran tilam dan bantal. Bagaimanakah perkembangan cerita cinta anda dengan seorang lelaki sebelum ini. Dengar cerita kalian akan berkahwin? Saya masih lagi berkawan baik dengan lelaki tersebut, tetapi cerita tentang kononnya kami akan berkahwin itu tidak benar sama sekali. Ia tidak pernah ada dalam perancangan kami memandangkan saya juga masih belum menamatkan pengajian. Boleh kongsikan sedikit maklumat tentang teman lelaki anda itu? Kami berkenalan sewaktu saya berada dalam tahun pertama pengajian di sana. Dia berusia 26 tahun dan merupakan senior saya. Dia juga sudah menamatkan pengajian, dan sekarang berada di Malaysia. Sehingga sekarang, kami masih berhubung. Adakah anda akan berkahwin dengannya? Insya-Allah, jika ada jodoh dan takdir dengan dia, saya akan terima. Bagaimanapun, apa yang penting sekarang, saya perlu tamatkan dahulu pengajian. Soal perkahwinan, itu akan difikirkan kemudian. Adakah anda menerima dia selepas serik bercinta dengan teman artis? Bukan itu sebabnya. Saya tidak kisah bercinta dengan sesiapa pun, asalkan lelaki itu mempunyai latar belakang yang baik, beragama dan berpendidikan, itu sudah memadai. Bercakap tentang hubungan saya dengan teman lelaki sekarang, kami sudah lama kenal dan setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersama. Apakah harapan anda terhadap filem Merong Mahawangsa di Festival Filem Asia Pasifik nanti? Saya berharap agar Merong Mahawangsa bertuah di sana. Sudah tercalon ini pun sudah rasa cukup gembira kerana dapat mewakili negara. Saya akan ke sana untuk mencari pengalaman.

Ummi kikis memori

Ummi Nazeera akui dua tahun belajar di Melbourne banyak merubah diri LAMARAN saat akhir untuk merakam wajahnya dalam satu sesi fotografi eksklusif disambut Ummi Nazeera tanpa banyak soalan biarpun terpaksa dilakukan dalam situasi sedikit tergesa-gesa. Ini kerana pada petang hari sama, Ummi terpaksa bergegas kembali ke Kuala Kangsar, Perak untuk menyelesaikan baki penggambaran filem terbaru lakonannya, Penanggal arahan Ellie Suriaty. Dilihat sedikit kekok kerana lebih setengah tahun tidak beraksi untuk sesi fotografi, Ummi berusaha memenuhi setiap permintaan jurugambar biarpun ada ketika dia sendiri kurang selesa. Pesona raut wajah Melayu asli yang dimiliki gadis berusia 21 tahun yang mempunyai nama lengkap, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin membuatkan dirinya masih dihujani tawaran meskipun sejak dua tahun lalu dia memilih untuk meninggalkan dunia lakonan dan kembali bergelar penuntut. “Melupakan seketika lakonan ketika nama mula menjadi sebutan dan berhijrah ke Melbourne, Australia adalah keputusan terbaik pernah dilakukan dalam hidup saya. “Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat. Alhamdulillah, meskipun sudah dua tahun tidak beraksi di depan kamera, nama saya masih diingati dan itu cukup membuatkan saya terharu,” katanya yang agak berhati-hati tatkala membuka bicara. Masih memusatkan perbualan sekitar profil peribadinya, Ummi menolak penghijrahannya ke Melbourne didorong perasaan kecewa apabila cinta yang dijalin bersama seorang aktor musnah di pertengahan jalan. Memohon supaya episod hitam itu tidak kembali diungkit, Ummi berkata, pemergiannya ke Melbourne adalah atas kemahuannya sendiri dan bukan kerana desakan atau paksaan sesiapa. Ummi juga berharap, khalayak tidak melihat penghijrahannya itu dari sudut negatif kerana keputusan itu dibuat selepas menimbang segala baik dan buruk. “Awalnya saya sendiri sulit untuk menyesuaikan diri di sana. Selama ini segala keperluan saya disediakan, saya tidak perlu memberatkan kepala memikirkan hal remeh. Tetapi di Melbourne, semua keistimewaan itu hilang sekelip mata. Saya terpaksa menguruskan segala hal sendirian tanpa bantuan sesiapa. Baru saya sedar diri ini ada gunanya. “Melbourne banyak mengubah siapa saya. Bumi asing itu mengajar saya membuat pilihan, menggunakan akal yang diberikan Allah untuk membezakan apa yang baik dan sebaliknya. “Alhamdulillah kerana saya dipertemukan dengan mereka yang membawa ke arah kebaikan. Seperkara yang jelas, saya tidak lagi terlalu sensitif. “Dulu hal kecil boleh membawa rajuk berpanjangan tetapi hari ini, saya sudah boleh menutup mata. Saya melalui proses kematangan dengan pantas, membuatkan saya selesa dengan diri sendiri dan lebih tahu apa terbaik untuk masa depan,” katanya. Masih berbelah bagi sama ada mahu terus menetap di sana atau kembali ke Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Ummi mengakui tidak mudah untuk kembali bergelar pelajar. Semester pertama dia berdepan cabaran terhebat apatah lagi ketika itu, Ummi masih dalam proses menyesuaikan diri selepas tiga tahun meninggalkan alam persekolahan. “Mujur saya menerima sokongan daripada mereka yang ingin lihat saya maju dalam hidup. Selepas dua tahun saya sudah betah menjalani kehidupan baru di sana. Pelajaran juga baik. Melihat keputusan peperiksaan saya baik, mama akhirnya memberi izin untuk saya berlakon. Itu janji saya dengan mama. “Sebelum ini bukan tiada tawaran untuk saya kembali berlakon. Cuma ketika itu hati belum terbuka, malah saya sendiri bimbang jika terlalu ghairah berlakon akhirnya minat untuk belajar hilang,” katanya. Tertekan bawa watak Murni LAKONAN terakhir Ummi di layar perak sebelum ke Melbourne ialah menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Namun, Hikayat Merong Mahawangsa yang menemui penonton di pawagam Mac lalu turut membantu Ummi untuk terus bertakhta dalam ingatan peminat filem Melayu. “Saya cuma mengikut arus. Kebetulan tawaran membintangi Penanggal datang tepat pada masanya. Membaca keseluruhan skrip membuatkan saya sulit untuk menolak watak Murni, tambahan pula filem ini diarahkan Ellie Suriaty. Dia ialah antara satu sebab mengapa saya menerima tawaran ini, selain watak Murni itu sendiri yang memiliki kekuatan tersendiri. “Setiap kali di lokasi, saya berdepan situasi berat dan menekan perasaan tetapi selesai berlakon setiap babak, saya menemui kepuasan yang sukar diungkapkan dengan perkataan,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur pada 20 Ogos 1990 itu. Dia mengakui hatinya diburu debaran luar biasa sebelum melangkah ke lokasi Penanggal. Selepas dua tahun ‘meninggalkan’ dunia lakonan, Ummi berusaha keras menyerap watak Murni dalam dirinya supaya lakonannya menyerlah apabila Penanggal memasuki pawagam kelak. “Lakonan perlu dilakukan seikhlas hati. Saya tidak boleh menipu kerana kak Ellie seorang yang begitu teliti dalam setiap sudut ketika di lokasi. Watak Murni membuat saya kembali jatuh cinta kepada lakonan, malah menatap helaian demi helaian skrip yang berada di tangan membuat saya terpanggil untuk mencuba tanpa sedikit pun terdetik perasaan ragu. “Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan kerana cinta saya masih di sini. Tetapi saya juga tidak akan korbankan masa depan hanya kerana terlalu mengikut kata hati,” katanya. Sempat menjentik dengan soalan nakal, Ummi agak malu-malu mengakui kekosongan hatinya kembali terisi dengan kehadiran jejaka Melayu yang baru saja menamatkan pengajiannya di Melbourne. Bagaimanapun, Ummi selesa memberitahu hubungan mereka tidak lebih sekadar teman rapat kerana masih terlalu awal untuk membawa keakraban yang terjalin itu ke fasa serius. “Tak perlulah bertanya soalan ini. Cukup saya beritahu memang saya rapat dengan jejaka itu dan selebihnya, biar ia menjadi rahsia kami berdua. Saya tidak mahu perkara ini terlalu digembar-gemburkan. Apa dapat saya katakan, dia banyak mendorong saya ke arah kebaikan. Cukup setakat itu,” kata Ummi seraya memohon isu peribadinya tidak terlalu diperbesarkan hingga menenggelamkan keikhlasannya kembali ke landasan seni.

Ummi serap roh Embuk


TINGGAL beberapa hari sahaja lagi filem epik Hikayat Merong Mahawangsa yang dihasilkan oleh KRU Studios bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara.

Kehebatan filem yang menelan kos sebanyak RM8 juta itu mempunyai aura tersendiri setelah pihak terbabit berjaya memasarkannya ke 72 buah negara dan dianggap pencapaian terbaik kepada industri filem Malaysia.

Tidak hairanlah Norman Abdul Halim selaku Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios baru-baru ini mengakui filem berdurasi 110 minit itu adalah karya terhebat yang pernah dihasilkan pihaknya. Malah beliau yakin para peminat akan memberikan sambutan hangat.

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Stephen Rahman-Hunges, Ummi Nazeera, Datuk Rahim Razali, Gavin Stenhouse, Jing Liu dan ramai lagi.

Ummi Nazeera, Gavin, Stephen dan Jing Liu yang ditemui di pejabat KRU Studios, Cyberjaya berkongsi cerita tentang filem tersebut.

Bagi gadis manis yang berasal dari Kuala Lumpur itu, kali pertama berlakon di bawah arahan Yusry cukup memberikan kepuasan.

Sisi pengarahan Yusry dilihatnya begitu memahami setiap pelakon yang membintangi filem tersebut. Malah Ummi mengklasifikasikan pengarah muda itu sebagai 'senang cerita' walaupun kadangkala serius.

Lebih manis apabila filem bergenre epik merupakan antara filem kegemarannya dan sudah lama menanti peluang berlakon dalam filem sebegitu.

Salah satu filem epik yang diminatinya adalah Red Cliff yang mengisahkan tentang sejarah China dan tidak ketinggalan filem Puteri Gunung Ledang (PGL).

Menceritakan lebih lanjut mengenai filem lakonannya itu, terdapat dua babak yang dirasakannya paling sukar semasa menjayakan watak Embuk iaitu saat bergaduh dengan Merong dan dipukul serta babak ucapan selamat tinggal kepada Merong.

"Sebenarnya, babak kedua itu agak susah kerana Ummi banyak bermain mimik muka dan tidak banyak melontarkan dialog.

"Selain itu, benda lain yang dikira susah apabila pakaian purba yang Ummi pakai jenis bergulung-gulung. Bayangkan dengan baju yang hanya menggunakan pin itu Ummi terpaksa berlari," luahnya.

Terang Ummi, perasaan benci Embuk kepada Merong yang merupakan orang asing begitu ketara kerana dia tidak dapat menerima kenyataan dirogol oleh Kamawas dari puak Geruda.

"Babak dirogol oleh Khir Rahman sebagai Kamawas pada usia 16 tahun bagi saya cukup menyeramkan," tuturnya.

Walaupun sedar dia merupakan pelakon baru, namun, Ummi yang kini berusia 21 tahun cukup menghargai nasihat pelakon berpengalaman.

"Apabila berlakon dengan orang yang sudah lama dalam bidang ini, mereka banyak menolong pelakon baru. Untuk itu, Datuk Rahim banyak membantu saya.

"Cikgu Fatimah Abu Bakar juga banyak memberi tunjuk ajar kepada kami selain bantuan daripada pengarah sebelum memulakan pengambaran. Dari situ saya masukkan roh Embuk ke dalam diri saya," ujarnya.

Tambahnya, watak Embuk seorang gadis kampung yang keras kepala dan pada masa sama perlu menunjukkan yang dia seorang yang lembut.

Bagaimanapun, terang Ummi, jika dibandingkan dengan gadis kampung yang lain Embuk agak berbeza kerana dia adalah anak angkat kepada Penghulu Kesum lakonan Datuk Rahim Razali.

Tambah Ummi, kebencian terhadap Merong disebabkan ibu bapa kandungnya dibunuh oleh orang luar.

"Di sebalik perasaan benci itu sebenarnya hati kecil Embuk suka kepada Merong," jelasnya.

Stephen puji Ummi

Justeru siapakah gerangan Merong yang disukai Embuk? Merealisasikan watak Merong ialah tidak lain dan tidak bukan, pelakon watak Hang Tuah menerusi teater muzikal PGL lima tahun lalu iaitu Stephen Rahman-Hughes.

Memegang tonggak utama dan juga adiwira bagi filem bergenre sejarah, aksi dan peperangan ini, Stephen seakan-akan tidak percaya usahanya selama 52 hari penggambaran di beberapa lokasi di negara ini kini menjadi kenyataan.

Jejaka kacukan Melayu-Inggeris itu mengakui mempunyai keserasian berlakon bersama Ummi Nazeera walaupun gadis berkulit sawo matang itu merupakan pendatang baru dunia lakonan.

"Saya tidak melihat Ummi sebagai pendatang baru dalam industri filem kerana saya merasakan dia seperti sudah lama berlakon.

"Bukan itu sahaja, dia mempunyai semangat yang cukup kuat dan seorang pelakon yang hebat," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun digandingkan buat pertama kali, Ummi sebenarnya mempunyai kualiti dan amat bersesuaian dengan watak Embuk iaitu sebagai kekasih dan isteri kepada Merong Mahawangsa.

Dalam pada itu, Stephen agak bertuah kerana dia dapat bergandingan dengan beberapa pelakon terkenal tanah air. Salah seorang daripadanya ialah Datuk Rahim.

Melihat personaliti pelakon yang pernah membintangi filem Abang 92 itu cukup memberi inspirasi kepadanya untuk melakukan yang terbaik menerusi filem pertamanya di negara ini.

"Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Datuk Rahim dan kami mempunyai hubungan yang istimewa secara langsung kerana beliau merupakan guru kepada Merong.

"Malah, beliau juga merupakan guru dalam dunia sebenar saya disebabkan pengalamannya yang luas dalam bidang lakonan," dedahnya.

Bercerita mengenai Hikayat Merong Mahawangsa, aktor berbadan tegap yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama seorang koreografer itu memberitahu, filem tersebut merupakan projek yang mengambil masa agak panjang.

Tiga bulan sebelum memulakan penggambaran, dia dan beberapa pelakon lain bekerja keras mengadakan latihan bersama agar timbul keserasian antara satu sama lain selain bagi tujuan menjiwai watak masing-masing.

Antara cabaran yang perlu dihadapinya dalam tempoh tersebut adalah saat mencari watak sebenar Merong seperti sifatnya, penglibatannya serta kesan kepada dirinya.

"Jadi, agak sukar kepada saya untuk berhadapan dengan aspek sejarah kerana penerangan mengenai Merong agak terhad disebabkan ia lebih kepada mitos.

"Bagi memudahkan saya memahami watak, saya meminta Yusry mengubah beberapa skrip dan saya lihat Yusry boleh menerima pendapat tersebut," akuinya yang selesa bekerja dengan pengarah filem berkenaan.

Kemunculan pertama Stephen dalam filem Melayu menguji cabaran buat dia menguasai bahasa Melayu.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki tatabahasa Melayu saya. Semua orang tahu sebelum ini saya berlakon sebagai Hang Tuah dalam teater PGL dan saya tidak fasih berbahasa Melayu.

"Tetapi, sekurang-kurangnya saya berterima kasih kepada PGL kerana memberi peluang untuk mula bertutur dalam bahasa Melayu baku dan apabila mendapat skrip Merong saya agak memahami perkataannya," akuinya.

Gavin cedera

Jejaka kelahiran Hong Kong, Gavin Stenhouse sangat teruja saat diberi peluang membintangi filem arahan Yusry walaupun pada mulanya dia tidak mengetahui kisah Merong Mahawangsa.

Berpengalaman secara profesional selama tujuh tahun dalam lakonan teater sedikit mudah baginya menyerap watak dengan cepat.

Ujarnya, selepas mendapat tawaran itu, Gavin mula membuat pencarian mengenai Melayu dan Merong Mahawangsa dan dia mendapati cerita berkenaan sangat menarik.

"Bagaimanapun, ketika babak pertarungan, saya mengalami kecederaan di lutut. Namun segalanya baik selepas itu," katanya.

Jing Liu suka durian

Gadis kecil molek kelahiran Shanghai China, Jing Liu sebelum ini tidak pernah mengetahui tentang Malaysia dan menganggap peluang yang diberikan Yusry sebagai batu loncatan buatnya untuk terus maju dalam bidang lakonan.

"Ketika itu, uji bakat diadakan secara rawak semasa saya menghadiri kelas lakonan di London. Pada waktu itu juga saya bertemu Stephen dan dia mengesyorkan saya ke uji bakat filem ini dan akhirnya saya diterima.

Biarpun cuaca di Malaysia agak panas, tetapi makanan yang paling disukainya adalah durian. Walaupun bau kurang menyenangkan tetapi rasanya cukup sedap.

"Selain itu, apabila datang sahaja ke Kuala Lumpur saya perlu belajar banyak perkara. Lebih terperanjat setelah mengetahui saya perlu berbahasa Melayu lama dalam filem ini," tuturnya yang juga merupakan seorang pelakon di London.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails