Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ustaz Akhil. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Akhil. Show all posts
Akhil Hayy Mahu Tubuh Produksi Konsep Islam
PETALING JAYA: Pendakwah bebas Akhil Hayy merancang untuk menubuhkan sebuah produksi penerbitan drama, program atau filem berlandaskan ajaran Islam.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, konsep tersebut bukan sahaja hanya dalam karya yang mahu diterbitkan itu sahaja sebaliknya perlu dipatuhi merangkumi seluruh pekerja dan krew produksi termasuklah pelakon.
"Sudah tiba masanya untuk industri hiburan di negara ini berubah dan sebagai permulaan saya mahu menubuhkan produksi yang bekerja dan menghasilkan karya mengikut cara Islam.
"Sebagai contoh, kerja-kerja penggambaran masih lagi boleh berjalan seperti biasa tetapi apabila sudah sampai waktu solat, kita berhenti sebentar. Begitu juga dengan pelakon-pelakon, mereka tidak perlu bersentuhan untuk sesebuah watak tetapi jika ia perlu, kita boleh fikirkan cara lain," katanya.
Tambah Akhil, konsep sebegini juga mestilah menjadi syarat tetap bekerja dan ia sekali gus dapat mengajak semua umat Islam dalam produksi berkenaan untuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar seperti melakukan ibadat bersama-sama.
"Perkara ini sebenarnya boleh dijalankan bagi mana-mana produksi sekali pun. Terpulang kepada pengarah. Tetapi sayang sekali kita sebenarnya pegangan atau pandangan yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup," ujarnya.
Sementara itu, Akhil yang kini menjadi duta kepada syarikat Duta Marli Travel & Tours Sdn Bhd sedang sibuk menguruskan perniagaannya iaitu Akhil Network Sdn Bhd.
Syarikat tersebut mengetengahkan produk-produk yang halal sebagai satu alternatif kepada semua khususnya umat Islam di negara ini.
"Sudah lama syarikat ini ditubuhkan iaitu pada Julai 2010 dan ia merupakan sebuah syarikat perdagangan yang memasarkan produk wangian bebas alkohol dan kesihatan.
"Dan produk pertama syarikat ini adalah “Akhil Perfume For Men”, “Akhil Perfume For Women” dan “Akhil Bio Foot Patch” iaitu pelekat kesihatan untuk kaki.
"Alhamdulillah, produk-produk ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kami sedang mencari stokis-stokis dan pengedar-pengedar bagi memasarkan produk Akhil Network ini," katanya.
Perancangan Akhil, Waheeda
TIDAK dinafikan sebelum pengacara rancangan keagamaan, Akhil Hayy, 43, diijabkabulkan dengan pelakon dan penyanyi Waheeda, 33, pelbagai kontroversi yang pernah melanda mereka.
Namun, semua kontroversi yang membabitkan pasangan tersebut terus lenyap sama sekali sebaik sahaja mereka mendirikan rumah tangga Ogos 2008. Pada waktu itu, Akhil baru sahaja sebulan bergelar duda.
Malah, sejak bergelar isteri, ternyata Waheeda mengambil keputusan drastik untuk mengundur diri daripada bidang seni, manakala Akhil pula sudah acap kali terbabit dengan pelbagai program keagamaan di saluran Astro Oasis.
Waheeda yang ditemui sewaktu sidang media episod kemuncak program Imam Muda 3 yang diadakan di Bukit Jalil baru-baru ini meluahkan dia sangat merindui dunia hiburan tempatan.
"Boleh dikatakan sudah tiga tahun saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti hiburan sama ada berlakon atau menyanyi. Bagaimanapun, perasaan rindu sewaktu bergelar artis dahulu masih tetap dirasai.
"Lagipun sehingga sekarang saya masih lagi berhubung dengan beberapa orang rakan artis dan saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing," ujarnya yang popular menerusi lagu Wassini itu.
Walaupun mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana mahu memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga, Waheeda menjelaskan ia tidak bermakna dia melupakan terus segala aktiviti seni.
Ujarnya, buat masa ini dia sedang membantu suaminya, Akhil dalam proses untuk menerbitkan album baharu. Malah, dalam album tersebut dia bertindak sebagai komposer dengan menyumbang dua buah lagu.
"Sebelum bersara dahulu, saya sudah 10 tahun terbabit dalam bidang seni. Kini saya masih boleh memberi sumbangan dalam bidang muzik menerusi penciptaan lagu, meskipun sudah tidak menyanyi lagi," ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehidupan sehariannya sekarang bersama suami tercinta, Waheeda memberitahu dia lebih banyak memberi tumpuan kepada rumah tangga dan perniagaan abaya yang dilakukan secara dalam talian.
Berkenaan dengan soal anak pula, penyanyi yang pernah berlakon sebanyak enam buah filem itu memberi fokus untuk membesarkan dua orang anak tirinya, namun berharap dapat dikurniakan cahaya mata sendiri pada tahun hadapan.
"Pada awal tempoh perkahwinan saya dan suami, saya memang banyak menguruskan rumah tangga dan kedua-dua anak tiri iaitu Siti Nur Maisarah dan Mohd. Syarif Idayatullah.
"Kini kedua-dua anak tiri saya sudah bersekolah di sebuah Maahad Tahfiz di Ipoh, Perak dan boleh dikatakan sekarang ini merupakan tempoh bulan madu saya dan suami termasuk berusaha untuk mendapatkan anak sendiri," ujarnya.
Menurutnya, biarpun selama ini dia sekadar membesarkan kedua-dua anak tirinya, namun dia tetap menganggap mereka seperti anak kandung dan sentiasa memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.
"Sebagai ibu, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membesarkan anak-anak dan melihat mereka berjaya. Sekurang-kurangnya berpeluang menjaga anak tiri dapat memberi pengalaman buat saya untuk membesarkan anak sendiri nanti," jelasnya.
Hijrah artis
Melihat kepada perkembangan dunia hiburan tempatan sekarang, semakin ramai artis wanita yang mengambil keputusan untuk berhijrah, terutamanya tampil dengan imej yang lebih Muslimah dan menutup aurat.
Mengulas mengenai keadaan yang berlaku itu, Waheeda memuji tindakan rakan-rakan artis tersebut. Bagaimanapun, dia menjelaskan istilah 'hijrah' itu kurang sesuai, sebaliknya ia lebih kepada kembali kepada fitrah kerana hasrat mereka yang kini berpegang kepada hukum Allah.
"Sudah tentu saya gembira kerana semakin ramai artis yang sudah berubah ke arah yang lebih baik, malah ada yang berusaha untuk menyebarkan dakwah kepada orang lain.
"Bagi saya mereka bukannya tidak boleh berdakwah langsung, namun buat peringkat awal mereka perlu memantapkan lagi pegangan agama terlebih dahulu sebelum berdakwah. Namun, tidak salah kalau hendak berkongsi pengalaman yang pernah dilalui agar ia boleh memberikan pengajaran," ujarnya.
Waheeda bagaimanapun melahirkan rasa kurang setuju dengan tindakan artis yang baru berhijrah naik ke pentas politik dan lebih banyak memberi ceramah berunsur politik berbanding agama.
Tegasnya, sebagai individu yang baru sahaja mendekatkan diri dengan agama, mereka seharusnya memantapkan ilmu agama terlebih dahulu, termasuk memahami dan mendalami al-Quran dan hadis.
"Tidak salah kalau mereka hendak menyampaikan ceramah di mana-mana sekalipun, tetapi paling penting jangan menghentam orang lain. Kalau keadaan ini terus berlaku ia bukan sahaja memberi impak kepada artis tersebut, malah kepada Islam itu sendiri," tegasnya.
Album baharu
Sementara itu, Akhil yang baru menamatkan tugasannya sebagai pengacara Imam Muda 3 pada 3 Ogos lalu memberitahu dia sedang dalam proses untuk menghasilkan album baharu.
Menurutnya, ia merupakan album yang kelima dan mengandungi 10 buah lagu. Setakat ini tujuh buah lagu sudah siap dirakamkan termasuk dua buah lagu yang dicipta oleh isterinya iaitu Ighfir Zdunubi (Ampunkan Aku) dan Subhanaka.
"Sebenarnya proses untuk menghasilkan album ini sudah bermula sejak awal tahun 2010, tetapi ia terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana saya perlu mencari lagu-lagu yang sesuai.
"Kini, saya akan kembali fokus semula untuk album baharu ini dan saya berharap supaya ia dapat diterbitkan pada tahun ini," ujarnya yang pernah melahirkan empat buah album iaitu Nasyid Legenda, Di Bawah Satu Cahaya, Kembara Sufi dan Nasyid Legenda 2.
Selain dalam proses menerbitkan album baharu, Akhil menjelaskan dia juga berhasrat untuk menganjurkan sebuah konsert yang menampilkan otai-otai rock terkenal tanah air.
Namun begitu, konsert yang mahu dianjurkannya itu lebih berbentuk islamik apabila penyanyi yang diundang akan mempersembahkan lagu-lagu yang berbentuk ketuhanan.
"Saya memang mengimpikan untuk menganjurkan konsert yang sebegitu, termasuk dengan penataan cahaya dan bunyi yang baik dan mampu memberikan hiburan yang bermakna kepada peminat," ujarnya yang pernah menganggotai kumpulan rock D'Riyadh pada awal 90-an.
Pada masa yang sama, Akhil juga memberitahu dia mempunyai perancangan untuk menerbitkan filem atau telefilem yang berunsur keagamaan dan kini sedang mencari penulis skrip yang sesuai.
Akhil Hayy Tidak Mahu Artis ‘Berhijrah’ Jadi Mangsa Orang Politik
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Ustaz Akhil Hayy menasihati golongan artis yang baru berhijrah dan kembali mendekati agama Islam supaya berhati-hati agar tidak dipergunakan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, keadaan itu sering berlaku tanpa disedari bagi kebanyakan artis yang baru berhijrah di mana ia bermula dengan jemputan menghadiri sesebuah taklimat untuk berkongsi kisah perubahan diri masing-masing.
"Kalau saya cakap, pasti ada pihak yang marah nanti. Tetapi ia pernah berlaku kepada diri saya ketika mula-mula penghijrahan saya dulu di mana ada sesetengah pihak yang menggunakan saya kononnya untuk ditemu bual dalam sesebuah taklimat.
"Lain pula jadinya apabila majlis taklimat yang dianjurkan itu akan berubah menjadi kempen menyerang mana-mana parti yang tidak disukai mereka.
"Memang digalakkan untuk berkongsi pengalaman hijrah kita kerana ia juga salah satu permulaan dakwah, tetapi kita mesti bijak menyampaikan kata-kata tanpa sebarang pengaruh daripada persekitaran yang mungkin menekankan isu-isu politik," katanya.
Tambah Akhil, tidak salah sekiranya seseorang artis itu menyokong mana-mana parti politik sama ada Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS kerana ia adalah hak masing-masing.
Bagaimanapun, golongan artis yang berhijrah ini diminta untuk berhati-hati dan berfikirlah adakah motif penghijrahan itu untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang tercicir dahulu atau mahu memperjuangkan politik?
"Saya rasa, usahlah kita beria-ia berkempen tentang hal politik kerana itu bukanlah kepakaran kita.
"Walaupun Islam ada perjuangan politiknya, tetapi sebagai umat Islam yang kembali ke fitrah asal, biarlah kita mendalami ilmu agama terlebih dulu sebelum ingin berdakwah atau membetulkan kesalahan orang lain.
"Saya faham, apabila sudah berubah ke landasan yang betul, terdapat satu semangat dan ketenangan yang membuatkan seseorang itu begitu berkobar-kobar mahu berkongsi perasaan itu.
“Saya juga begitu, tetapi seperti yang saya katakan, dalami ilmu agama Islam itu secukup-cukupnya sebelum melangkah ke fasa lain pula," ujarnya.
Akhil Hayy Elak Isu Politik
PERHIMPUNAN haram Bersih pada 9 Julai lalu meninggalkan kesan kepada ramai pihak terutama mereka yang tinggal di ibu kota apabila beberapa jalan utama ditutup.
Para peniaga juga turut menerima kesan kerana tidak dapat menjalankan perniagaan mereka seperti biasa.
Bagi Akhil Hayy, pengacara Cafe Akhil Hayy dan Cubaan di Astro Oasis ini, setiap perkara yang berlaku berkaitan dengan politik sukar untuk dinyatakan kebenarannya.
Biarpun begitu, dia mengambil pendekatan selamat apabila enggan memberikan komen lanjut berkaitan hal politik.
"Sebolehnya saya mahu mengelak daripada memberikan komen berhubung apa saja yang berkaitan dengan isu politik. Pada saya, Malaysia merupakan negara demokrasi dan paling penting semua rakyat inginkan keamanan.
"Saya pasti ada caranya untuk mendapatkan keamanan itu. Jadi, saya tidak boleh berkata salah atau betul tentang tindakan yang dilakukan oleh seseorang itu untuk mencapai keamanan.
"Mungkin keamanan boleh tercapai apabila kita duduk berbincang bersama-sama dan menyatakan tuntutan masing-masing. Walau apa pun berlaku, semua agama mengajar kita untuk mencari perdamaian.
"Tetapi jika ia dilakukan tanpa mengikut syariat Allah, bagaimana kita mahu mendapatkan keredaan dan pengampunan Allah," ujarnya sambil bersulam dengan nasihat.
Melarikan sedikit dunia politik kepada hiburan, pendakwah bebas dan penyanyi nasyid ini masih berada di paksi kehidupan sebenar.
Mana tidaknya, dia berasal daripada kumpulan muzik rock suatu ketika dahulu. Kini, imejnya sudah bertukar wajah, namun tidak bermakna Akhil atau kadangkala digelar 'ustaz rock' ini akan mengubah minatnya yang mendalam dalam bidang muzik. Lagu-lagu yang diketengahkan lebih bercorak kepada kerohanian dan ketuhanan.
Terbaru, dia baru menghasilkan lagu berjudul Ighfir Zdunubi (Ampunkan Daku) dan Subhanak (Maha Suci Engkau) yang dicipta sendiri dengan bantuan isterinya, Waheeda.
"Selain menyanyi, saya juga menganjurkan kursus tarbiah jiwa yang terbuka kepada rakan-rakan selebriti yang berhijrah sejak dua bulan lalu di sebuah rumah kenalan saya di Shah Alam, Selangor.
"Saya memikirkan idea seperti ini setelah mendapati sesetengah selebriti yang tidak selesa dengan perhatian yang diberikan apabila menyertai sesebuah acara dan kelas agama," tambahnya lagi.
Di samping itu, dia mempunyai syarikat Akhil Network yang mengendalikan program mengerjakan umrah dan merancang untuk melaksanakan program itu pada Februari, Jun dan Ogos tahun depan.
Para peminat Akhil juga boleh menontonnya menerusi program Cubaan yang disiarkan di Astro Oasis (saluran 106) pada setiap Sabtu, pukul 7.30 malam.
Akhil tidak boleh tinggal rock

LELAKI kelahiran Perak ini adalah salah seorang daripada sederet pemuzik yang dengan diketuk sedar lalu meninggalkan kehidupan pentas dan memilih untuk mendekati Allah. Kisah hiruk-pikuk itu sudah jadi episod masa lalu buat Akhil Hayy yang kini disapa ‘ustaz’.
Buka bicara Akhil, memang ada pertikaian dalam gelaran itu namun menyelak kembali lembaran kisah dulu, panggilan itu sudah menyapa dirinya sejak 1996. Ustaz itu guru, kata Akhil. Dia bermula dengan mengajar al-Quran ketika di Ipoh. Masuk ke sekolah pondok dengan azam untuk menjadi orang yang lebih baik. Tambahnya lagi, mata hati insan berbeza-beza.
Sejak itu dia digelar ustaz dan melekat hingga kini. Daripada seorang rocker, dia melepaskan gelaran vokalis D’Riyadh dan merombak karier solonya. Toleransinya dengan cubaan hidup berubah warna.
Bangun dengan cubaan
Senyap seketika sesudah menikahi selebriti wanita, Waheeda selepas selaput cerita hitam menerjah perjalanan cerita mereka, kini Akhil kembali dengan cubaan.
Bukan cubaan luar biasa, sebaliknya sebuah program dengan judul Cubaan digalasnya sebagai pengendali. Sebuah program santai dengan kamera tersembunyi untuk merakamkan beberapa cubaan moral untuk dijadikan iktibar kepada masyarakat.
“Saya enggan menamakan konsep Cubaan sebagai ‘prank’. Sebaliknya ia adalah sebuah pendidikan kerohanian. Konsep ilmu, ia harus didatangi tetapi untuk program ini saya melihat kepada sebuah wacana mencari hikmah di sebalik realiti kehidupan. Astro Oasis pula membawa wadah untuk berdakwah,” ujarnya yang turun padang bersama team produksi untuk menumpahkan serba sedikit ilmu buat khalayak.
Mungkin juga melenturkan sedikit ‘dawai’ di hati khalayak.
Sudah dipertontonkan pada setiap Sabtu pada pukul 7.30 malam bermula 16 Julai lalu di Astro Oasis (Saluran 106), Akhil banyak tersenyum seakan puas kerana terlibat dengan program pengisian rohani ini.
Mendatangi khalayak di jalanan seperti di Masjid India, dia menjadi pemerhati budaya dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap cubaan-cubaan yang dipertaruhkan sebagai umpan.
“Saya sendiri banyak belajar. Kita mungkin membuat andaian sendiri tentang sikap keprihatinan. Daripada apa yang berlaku depan mata saya, saya lihat hakikat sebenar bahawa orang Melayu, Cina dan India itu prihatin tanpa mengira bangsa. Tiada perkauman dalam menghulurkan bantuan,” ujarnya yang teringat salah satu lakonan wanita mengandung memerlukan pertolongan dan seorang lelaki India datang menghampiri.
“Namun pada satu sisi juga, saya melihat orang kita lambat bertindak. Suka ikut naluri sendiri. Ada yang sekadar memerhati.
“Tahap sporting mereka sederhana kerana orang kita tidak suka dipermain-mainkan malah boleh dikatakan pemalu,” ujar Akhil tentang program 13 episod tersebut yang turut menerjah marhaen untuk berzikir dan membaca doa secara spontan, di kala mereka tidak bersedia. Kemudian menutup setiap episod dengan kesimpulan beserta hadis sebagai rujukan.
Akhil menerjah khalayak sebagai hos dan di sebalik itu dia menjadi ustaz yang tidak tipikal. Pendekatannya santai kerana jemaah yang didekati di jalanan tidak sama dengan yang dihampiri di majlis-majlis kerohanian yang dikendalikannya di masjid mahu pun surau.
“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak, masuk kandang harimau, kita yang kena makan (ketawa). Maksudnya saya akan menyesuaikan keadaan dan pemakaian dalam menyampaikan pesan,” ujarnya dengan harapan agar melalui program ini, khalayak terbuka hati untuk mengkaji ilmu agama di madrasah sebagai susulan.
Dugaan Usia 40
Dilemparkan soalan buat Akhil yang nampak tenang sekarang, bukan sekadar raut wajah tetapi juga tenang dalam perjalanan hidupnya kini. Tidak lagi berombak seperti satu ketika. Soalan tentang cubaan hidupnya kini. Bukan bermaksud untuk menyingkap cerita silam namun sekadar berkongsi pembelajaran buat seseorang yang diduga pada usia 40 tahun. Kononnya usia keramat untuk kebangkitan seorang lelaki.
“Orang kata kehidupan lelaki bermula pada usia 40 tahun. Melihat fakta sebenar, nabi ditugaskan menjadi Rasul pada usianya 40 tahun.
“Dugaan awal hidup saya berawal pada tahun 1996 ketika bermula mahu jadi ustaz. Kemudian datang lagi pada usia 40 tahun. Saya diuji cabaran dan getir. Menduga antara nafsu dan iman,” ujar Akhil yang kini berusia 42 tahun yang enggan menyebut cerita lama. Biar ia menjadi cerita masa lalu dan yang dibelek hanya pembelajaran.
“Cubaan ketika itu adalah maruah. Sekali tercalar susah untuk dikembalikan. Palitan demi palitan saya terima. Mungkin saya terlepas pandang lalu diberi ujian, tapi saya survive. Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya diuji sama ada mampu atau tidak berhadapan dengan ini semua,” ujarnya merujuk kepada ujian bergelar lelaki pada usia 40 tahun.
“Saya tidak mahu jadi ustaz yang tipikal. Saya buat cara saya dengan mengagungkan Rasul junjungan. Saya mahu menjiwai watak beliau dan dijadikan contoh terbaik,” ujarnya jelas dalam nafas penyampaian dakwah. Satu laman yang sudah diteroka selama 15 tahun kini.
Tidak meletakkan diri di zon selesa setelah semua cubaan ‘dunia hiburan’ telah pudar mengikut masa, dia menganggap setiap hari dan kerja yang datang adalah cabaran buat dirinya.
Mahu buat album rock
Bakal sibuk dengan pelbagai perancangan sempena Ramadan, kata Akhil rutinnya dia akan berbuka di kampungnya di Gopeng pada setiap 1 Ramadan. Pulang ke Kuala Lumpur kemudiannya untuk tugasan dakwah dan selebriti, Akhil yang menubuhkan Akhil Network turut menganjurkan pakej umrah lengkap kembara sufi siri 2012.
“Selain itu, saya juga akan sibuk dengan program Laman Nurani, Raya Imam Muda dan Marhaban di Astro. Pada 3 Ogos ini, saya akan terbabit dengan pelancaran pakej umrah serta tazkirah dan lagu,” ujarnya yang kemudian menerangkan tazkirah dan lagu adalah konsep satu hiburan dan dakwah yang datang dengan kos RM30. Harga itu akan memberikan ceramah dan cenderahati buat khalayak yang mendaftar.
Ditanya tentang jiwanya yang dahulu bermula dengan dunia rock, Akhil mengaku masih menjadikan grup Nightwish dan Within Temptation sebagai salah satu halwa telinga.
“Saya gemarkan juga lagu-lagu yang bersifat spiritual. Suka dengar lagu-lagu runut bunyi filem epik. Merujuk kepada zaman nabi dahulu, penyair seperti Tufail bin Amr Ad-Dausi dan Hassan bin Tsabit juga diiktiraf. Kaedah seni adalah antara cara untuk berdakwah dengan mudah. Rugi kalau kita tidak manfaatkannya,” ujar Akhil mungkin mahu memperjelaskan terhadap sorotan tajam terhadap hiburan buat sesetengah masyarakat.
Menerobos masuk ke dalam jiwanya yang masih punya akar rock, dia berkata jujur bahawa masih ada pemberontakan di dalam dirinya yang bakal dikeluarkan.
“Saya merangka untuk membikin album rock. Sedang susun barisan pemuzik yang masih dirahsiakan. Tapi saya mahu buat cara akustik. Ini adalah ruang pemberontakan saya. Nantikan sahaja,” senyumnya seraya menambah bahawa album kelimanya juga bakal dikeluarkan dan isteri tersayang telah menyumbangkan dua buah lagu dalam album tersebut.
Akhil Hayy: Kes Saya Dengan JAIS Dah Tiga Tahun Tak Selesai

WALAUPUN kes penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy ditahan berceramah tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berlalu tiga tahun lalu, dia berkata sehingga sekarang kes itu bagaikan berkubur begitu sahaja.
"Kes saya tidak pernah disebut sehingga saya hubungi kawan-kawan. Mereka kata tidak ada apa-apa masalah dan Jais tidak tahu nak dakwa apa..
"Jadi, saya nasihatkan janganlah susahkan insan-insan seperti kami yang nak berdakwah ini. Cukup-cukuplah, pergilah ke tempat-tempat maksiat yang cukup banyak. Bila disuruh ke tempat maksiat, mereka kata tak cukup kakitangan.

"Sehingga sekarang saya perlu mengadap JAIS dahulu sebelum memberikan ceramah kerana sudah mengikut ‘standard’ mereka. Tapi saya hargai pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana saya mendapat kerjasama yang baik dengan mereka.
"Tidak lama lagi, saya dan Astro akan bekerjasama dengan Jawi untuk melakukan sebuah program tetapi tidak boleh dimaklumkan lagi kerana masih dalam perbincangan," ujarnya ketika dihubungi.
Ini kerana baru-baru ini pihak JAIS pernah mendakwa yang ‘ustaz rock’ itu pernah ditahan atas kesalahan melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 di bawah Seksyen 119 (1) kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Seksyen 8, Shah Alam.
Malah, JAIS juga tidak pernah mengeluarkan sebarang tauliah terhadap Akhil untuk menjalankan sebarang aktiviti ceramah atau khutbah agama di negeri itu.
Isu tauliah penceramah agama hangat diperkatakan baru-baru ini apabila Bahagian Penguatkuasaan JAIS menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Taman Seri Ukay, Hulu Klang pada 1 November lalu.
Justeru, Akhil sempat meluahkan harapannya agar enakmen tauliah yang dikuatkuasakan di negeri Selangor sebelum ini dibubarkan.
"Saya ditahan oleh JAIS dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat semasa hendak memberikan ceramah di sebuah surau baru di Taman Puncak Alam, Seri Kembangan. Mereka (JAIS) buat saya seperti penjenayah.
"Mereka dakwa saya dan belum dibuktikan saya bersalah. Belum tentu juga saya bersalah kerana itu baru dakwaan. Jadi orang buat spekulasi sedangkan orang tak tahu sebab-musabab saya ditahan.
"Mereka tidak tahu yang mengajar agama di Selangor perlu ada tauliah, sebaliknya lebih memfokuskan saya ditahan oleh JAIS dan polis. Jadi ia memberikan reputasi buruk kepada maklumat dan pandangan orang ramai.
"Jadi, kalau rasa enakmen ini perlu dibubarkan, kita bubarkanlah dan perhatikanlah orang yang betul-betul perlu ditahan. Kalau ditahan, apa hujahnya..adakah ajarannya sesat, menyeleweng akidah dan sebagainya," katanya lagi.
Bekas vokalis kumpulan D’ Riyadh ini bercerita yang dia terkejut dengan penahanannya sebelum ini kerana turut serta dalam majlis itu adalah Datuk Ismail Khamus dan bekas Mufti Selangor Allahyarham Datuk Ishak Baharom.
"Allahyarham Datuk Ishak pun pernah dilarang untuk memberi ceramah di negeri Selangor setelah beliau tidak menjadi mufti..sama seperti bekas Mufti Perlis Dr Asri.
"Kalau seseorang yang dikenali itu boleh memberikan sesuatu kepada masyarakat dan diundang untuk menyampaikan ceramah di surau baru untuk menarik orang ramai, jadi saya tiada masalah untuk itu.
"Apabila saya tiba di sana , sudah ada dua buah van JAIS dan kereta peronda polis. Saya hanya bersalam dengan mereka dan ingatkan mereka mahu turut serta dalam ceramah itu. Rupa-rupanya, ada isu lain.
"Masalahnya, apabila kita pergi atas permintaan orang...bayangkan bekas mufti tak boleh beri ceramah di negeri sendiri..Saya tak tahu apa agenda sebenar JAIS.
"Anak-anak kecil dan ibu-ibu yang hendak mendengar ceramah dan mungkin ada anak-anak yang baru hendak mengenal pentas masjid dan surau serta berdampingan dengan ustaz yang mereka senangi...bayangkan tiba-tiba JAIS dan polis bawa penceramah ini ke balai polis. Apa moralitinya yang sebenar?
"Jadi, adakah Datuk Ismail Khamus sesat, adakah Datuk Harun Din sesat, adakah Datuk Nik Aziz sesat termasuk Allahyarham Datuk Ishak Baharom sesat..," ceritanya.
Akhil turut mempersoalkan di mana kewibawaan untuk menghapuskan ajaran sesat sedangkan enakmen untuk mendapatkan tauliah itu turut menghalang ‘orang yang tidak sepatutnya’ dipersoalkan tauliahnya.
"Negeri Selangor yang buat enakmen seperti itu. Negeri lain pun nak jaga ajaran sesat juga, tetapi tiada enakmen seperti itu. Jadi, janganlah tahan orang yang nak beri ceramah ini dalam masjid dan surau.
"Kalau kita nak beri ajaran sesat, kita beri ceramah di tempat gelap atau di rumah-rumah. Saya sudah 15 tahun berdakwah, nak berkongsi ilmu di tempat terang.
"Kononnya enakmen ini digunakan untuk mengawal penularan ajaran sesat dan diakui perkara itu perlu tetapi tidakkah ada budi bicara apabila mereka lihat tokoh agama mengajar...yang akhirnya ditahan dengan polis dan disoal siasat bagaikan penjenayah.
"Jangan ‘double standard’ kan perkara ini. Jangan sebab kita ada kuasa, kita hendak menghukum orang yang baru hendak mengenal orang ramai ini untuk berkongsi ilmu yang berdasarkan hadis.
"Orang juga hendak tahu tentang agama berdasarkan pengalaman seorang penyanyi," ujar suami bekas penyanyi dan pelakon Waheeda ini.
Akhil turut mencadangkan agar tauliah agama bukan sahaja perlu dimohon oleh penceramah malah mana-mana ahli politik.
"Misalnya, kalau nak tauliah, minta tauliah agama kepada ahli politik sekali kerana setiap percakapan mereka dalam dewan parlimen dan di mana-mana merupakan dakwah," akhirinya.
Saya sayang dan hormat Awie! -Akhil

PENCERAMAH bebas dan penyanyi Akhil Hayy terkejut dengan Awie yang mendakwa dia menumpang populariti dengan menyebut nama dan menyanyikan lagu rockers dan pelakon terkenal itu ketika di pentas ceramah.
Namun begitu, Akhil tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengemukakan apa-apa komen kerana ‘saya sayang dan hormat dia (Awie)’.
Beberapa minggu lalu, sebuah akhbar memetik tentang kritikan Akhil terhadap artis di negara ini yang dikaitkan dengan perlakuan tidak sihat selain ada antara mereka didakwa menjadi ‘tali barut’ guru kumpulan ajaran sesat.
Sehingga Selasa lalu, kenyataan Akhil mengundang rasa kurang senang Awie yang mendakwa mewakili artis.
Dia mempertikaikan kredibiliti Akhil untuk mentarbiah artis dengan mengaitkan individu tertentu yang didakwa melakukan kegiatan menjurus kepada maksiat.
Namun begitu, Akhil menjelaskan yang dirinya bukan berniat untuk menuduh Awie sewenang-wenangnya.

“Saya cakap secara umum dan bukannya berniat untuk melaga-lagakan sesiapa. Niat saya cuma hendak berdakwah. Kita perlu nilai ilmu dan bukannya dengan mata kasar.
“Jadi, saya ingin memohon maaf kerana saya tidak berniat langsung untuk mencampuri urusan peribadinya..,” ujar Akhil ringkas walaupun pada mulanya enggan memberikan komen kerana enggan memperbesarkan hal ini.
“Awie, ‘ana’ minta maaf”

DUGAAN lagi! Selepas reda isu perkahwinannya dengan penyanyi Waheeda pada Ogos lalu, penyanyi nasyid Akhil Hayy, 40, berhadapan dengan ujian kedua. Kali ini vokalis kumpulan Wings iaitu Awie, 42, menempelak Akhil gara-gara penceramah selebriti tersebut memberi kenyataan yang kurang disenanginya.
Dalam sebuah akhbar, Akhil memberi pandangan mengenai ajaran sesat yang kononnya disertai segelintir artis.
Akhil menasihati golongan berkenaan agar tidak terlibat dengan ajaran berkenaan selain mereka harus menjadi ikon yang perlu dicontohi. Kenyataan itu pula dilihat Awie seolah-oleh menggambarkan golongan artis tidak mengambil berat kehidupan dunia dan akhirat.
Malah Awie turut mengaitkan kisah rumah tangga Akhil yang tidak patut dijadikan contoh sebaliknya penceramah itu wajar “cermin diri” sebelum memberi sebarang kenyataan.
Petang Khamis lalu saya cuba mendapatkan Akhil yang sibuk membuat persiapan majlis resepsi persandingan dia dengan Waheeda yang diadakan di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, semalam.
Pada mulanya Akhil yang juga pengacara program dakwah saluran Astro Oasis itu enggan menjawab persoalan berkenaan. Kata Akhil dia tak mahu mengeruhkan suasana dan bimbang kenyataannya itu akan disalah ertikan. Cuba meyakinkan dia mengenai tujuan artikel ini, kata Akhil dia tidak bermaksud untuk mengguris hati sesiapa.
“Sebagai manusia biasa, ana (saya) memohon maaf kepada individu yang tersinggung. Kepada Awie juga ana minta maaf,” kata Akhil yang saya biasa memanggilnya dengan gelaran ustaz.
Saya juga cuba mendapatkan Awie tetapi panggilan telefon tidak dijawab sementara SMS yang dikirimkan juga tidak berbalas. Mungkin sibuk dengan Cuci The Musical yang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 8 November ini.
Ikuti penjelasan Akhil kepada saya, NIEZAM ABDULLAH adakah dia dan Awie bermusuh?
Bagaimana dengan persiapan persandingan yang akan diadakan?
Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Ana dan Wawa (Waheeda) buat secara sederhana saja. Faham-faham sajalah keadaan ekonomi pun tak mengizinkan. Tapi kami tetap mengundang artis-artis untuk buat persembahan. Majlis ini lebih kepada mengeratkan silaturahim sesama keluarga.
Sebelum saya tanya soalan lain, bagaimana kehidupan ustaz selepas kahwin? Boleh hadapi ujian dikutuk oleh orang ramai?
Bagi ana yang lepas itu biarkanlah lepas. Soal jodoh ni, kita buat apa yang terbaik. Apa orang nak kata lepas ni ana tak boleh komen apa-apa. Cuma yang ana boleh cakap, orang mukmin itu tak akan tenang selagi tak meniti titian siratulmustakim. Apa yang penting selepas kahwin, Wawa pula nak tumpukan sepenuh perhatian dalam rumah tangga dan anak-anak. Dia pun dah buat keputusan tinggalkan dunia seni.
Apa masalah ustaz dengan Awie? Panas nampaknya!
Ana tak ada masalah apa dengan dia. Cuma satu hari tu ada wartawan telefon ana dan minta pandangan mengenai ajaran sesat melibatkan artis. Ana bagi komen secara umum. Tak tuju pun kepada sesiapa. Tiba-tiba ana dapati Awie bagi amaran kepada ana supaya minta diam.
Ustaz terkejut?
Terkejut juga. Kawan-kawan ana pun ramai yang tanya kenapa Awie melenting sebab kenyataan ana tak sebut pun nama sesiapa. Ana tak pernah ada musuh dengan artis. Ana hormat kerja artis sebab ana pun duduk dalam bidang yang sama. Selama ni orang pun pernah kritik ana dan ana okey saja. Itulah... wartawan yang berkenaan pun satu. Lepas dia tanya ana, dia pergi pula tanya Awie. Mungkin wartawan itu memberikan gambaran yang tak betul. Sebab itulah Awie melenting.
Ustaz kata nak berdakwah. Cara ustaz itu mungkin orang tak boleh terima.
Hakikatnya sebagai pendakwah, kita kena sampaikan sesuatu benda yang kita anggap tak betul. Dan tujuan ana baik kerana dari segi hukum memang kita perlu buat macam tu iaitu menegur apa yang kita rasakan perlu. Kalau kita diam, maksiat akan jalan terus. Jadi tak salah ana bagi nasihat benda yang benar. Ana tahu tak semua orang boleh dengar teguran kita. Cuma ana bercakap atas dasar dakwah. Kalau ada orang terasa dan Awie pun terasa, ana minta maaf banyak-banyak.
Sebelum ni ustaz pernah ada masalah atau tidak dengan Awie ataupun Wings?
Ana tak ada masalah langsung dengan Awie. Sebelum ni pun lagu-lagu Wings ana pernah bawa (menyanyi). Kalau nak fikirkan buat apa ana sengaja nak timbulkan masalah dengan Wings? Ana dulu pun rock juga. Buat apa nak timbul masalah dengan rakan-rakan rock terutama Awie?
Ustaz merasakan pihak media yang bertanyakan hal berkenaan sengaja membuat provokasi kepada Awie, macam tu?
Awie marah ana sebab dia terasa. Sebenarnya ana jawab apa yang diminta (media). Mungkin olahan itu disalahertikan. Yalah... kadang-kadang kita bercakap lembut tapi orang lain faham lain pula. Itulah media. Ana dah pesan jangan babitkan ana dengan sesiapa. Tapi esoknya ana dan Awie keluar muka depan. Itu yang jadi masalah. Kalau ana jadi Awie pun ana melenting. Ana nasihatkan media pun kenalah berhati-hati juga.
Industri kita ni kecil saja ustaz. Pusing-pusing kita akan jumpa balik.
Memang pun. Ana tahu. Sebab itu awal-awal lagi ana minta maaf walaupun ana bukan bersalah. Kecoh-kecoh macam ni ana tak nak. Apa yang ana cakap benda berkaitan agama. Bukan yang karut-marut. Ana tahu di keliling ana ialah artis. Ana cakap pun bukan membuta tuli. Ana cakap atas dasar ana sayang pada sahabat. Ana tak berniat nak aibkan mana-mana pihak.
Nanti orang kata ustaz nak tarbiah artis pula.
Ana tak letakkan diri ana macam tu. Kalau nak tarbiah artis itu urusan pihak kementerian dengan Jabatan Agama Islam. Dia orang boleh buat kelas untuk para artis. Benda ni tak buat. Sebab tu kalau ada majlis ilmu, hanya ada segelintir saja artis. Kalau kita bercakap lebih, orang kata kita ulama besar pula. Ana pun tak mahu jadi jaguh. Ana tak perlukan semua tu. Ruang dakwah ana ada dalam masyarakat. Masjid ada, surau ada untuk ana.
Apa pandangan ustaz apabila usaha murni ustaz itu dipertikaikan dan hal mengenai rumah tangga ustaz sebelum ini cuba dikaitkan pula?
Soal perceraian ana tu soal peribadi. Alim ulama pun ada yang bercerai juga. Jadi ustaz pun hal peribadi juga. Ada orang kata ana ni baru setahun jagung, dah nak berdakwah. Ana berdakwah dah 15 tahun. Malah kalau nak ikutkan, ana dengan Awie juga pernah satu aliran tak lama dulu.
Apa yang ustaz harapkan mengenai hubungan ustaz dengan Awie tu?
Kami “satu kapal” (sesama rock). Ana baik dengan dia orang. Kami tahu kami di mana. Kita orang tak pernah bermusuh. Dalam rock, kami dalam satu genre muzik. Harap-harap antara kami tak ada yang terasa. Apa yang boleh ana katakan, manusia boleh mencari seribu musuh sehari tapi dia sukar mencari seorang teman sejati dalam seribu tahun. Sebagai Muslim dan sahabat, ana memohon maaf sekali lagi daripada Awie.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
