Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Zalif Sidek. Show all posts
Showing posts with label Zalif Sidek. Show all posts

Zalif ikut pilihan keluarga?

SEAWAL kemunculannya di dalam industri namanya sudah dikaitkan dengan cinta seorang gadis, tiada kata-kata pasti dari pihaknya. Dia bagaikan cuba berselindung dari terus dipersoal kisah itu. Menganggap hubungan yang terjalin kini tidak lebih dari seorang rakan, bagi Zalif Sidek sudah sampai masanya karier lakonannya sahaja diberikan tumpuan. Mengakui tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan Fida Ibrahim, Zalif bagaimanapun lebih senang untuk tidak terus disoal perasaan terhadap wanita itu kini. "Kami hanya berkawan kini, tidak lebih dari itu. Secara jujurnya kami berdua memang tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama, sebab saya anggap dia sama seperti rakan-rakan artis yang lain," katanya. Tidak mahu tumpuan terus diberikan kepada kisah kontroversinya sahaja, bagi Zalif, dia sebenarnya lebih senang untuk membuktikan kemampuan di dalam bidang lakonan. "Saya baru sahaja selesaikan penggambaran drama bersiri berjudul Alam Maya, dan sedang menunggu filem lakonan bersama Farid Kamil dan Nora Danish berjudul Bencinta ditayangkan. "Kalau nak diikutkan saya masih terlalu baru di dalam dunia lakonan, sebab itu saya lebih selesa kini untuk berusaha membuktikan sesuatu untuk dibanggakan," katanya. Masih selesa tanpa kehadiran cinta buat Zalif akan tiba masanya untuk dia berkongsi kisah ini jika ia benar-benar terjadi didalam hidupnya. Mengakui tidak terlalu memilih tentang soal teman, bagi Zalif sudah ada permintaan keluarga yang akan turut dipertimbangkan dirinya. "Kalau cakap pasal sasaran umur untuk berkahwin saya tidak pernah letak, bagaimanapun kalau boleh saya mahu berumah tangga sebelum umur saya 35 tahun. "Ciri-ciri wanita pilihan pula saya tidak terlalu kisah, asalkan dia seorang yang memahami saya. Bagaimanapun keluarga pernah meminta saya untuk mencari isteri yang bukan berasal dari bidang ini," katanya jujur. Berkongsi impian di dalam bidang lakonan, menurut Zalif bergelar pelakon bukan satu-satunya fokus dirinya kini. Bakal mempelajari bidang pengarahan bagi Zalif peluang yang diberikan pihak produksi milik David Teoh membuka peluang yang luas buat dirinya. "Buat masa ini memang saya mahu beri tumpuan buat satu-satu bidang sahaja dahulu, iaitu lakonan. "Bagaimanapun berada di dalam bidang ini tidak meletakkan saya terlalu tertumpu buat suatu karier sahaja, memang saya ada impian untuk bekerja di belakang tabir pula, dan isi hati ini sudahpun saya sampaikan kepada 'boss' saya iaitu David," katanya. Melihat senang dengan penampilannya kini, menurut Zalif tiada sebab untuk dirinya berusaha mengurangkan berat badan memandangkan dia selesa dengan keadaan dirinya kini. "Saya masuk dalam industri kerana bentuk badan saya kini, oleh itu saya memang tiada sebab untuk menjadi seseorang yang berbeza. "Tetapi itu tidak bermakna saya akan mengabaikan kesihatan saya, saya bukan mahu menjadi kurus tetapi sihat," katanya.

Zalif Sidek Tidak Terlintas Buat Gimik Cintai Fida

Pelakon Zalif Sidek tidak pernah terlintas untuk mencari publisiti murahan dengan melakukan gimik dengan menggembar-gemburkan kisah kononnya dia sedang dilamun cinta dengan pelakon dan penyanyi, Fida Ibrahim. Zalif berkata, spekulasi mengenai hubungan itu bukannya datang daripada mulut mereka tetapi spekulasi yang dibuat oleh masyarakat. "Saya tidak faham dari segi mana saya hendak mencari publisiti murah kerana saya sudah berada dalam industri lakonan selama dua tahun dan telah berlakon dalam 10 buah filem. "Sejak hari pertama saya berkecimpung dalam dunia lakonan tidak pernah saya berniat untuk mengejar populariti menerusi gosip atau pun kontroversi. "Saya hairan apabila tuduhan itu dibuat kepada saya kerana sejak awal-awal lagi, baik saya mahupun Fida kami tidak pernah memberitahu kami bercinta cuma hanya berkawan rapat," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Zalif mengulas mengenai laporan kononnya dia sengaja melalukan gimik tentang hubungannya dengan Fida bagi meraih publisiti untuk kerjayanya. Dalam pada itu, Zalif menegaskan hubungannya dengan Fida yang pernah renggang gara-gara gosip kononnya mereka bercinta sudah kembali pulih namun ia hanya sebagai kawan rapat dan tidak lebih daripada itu. Jelas Zalif, dia tidak tahu bagaimana harus menjelaskannya kepada masyarakat dan berharap ia tidak lagi dijadikan isu. "Bila kami bercinta pun saya tidak tahu kerana sebelum ini baik saya mahu pun Fida, kami sering menekankan bahawa hubungan kami hanya rapat sebagai kawan. "Jika semua pihak tanya dengan Fida pun dia akan memberikan jawapan yang sama," katanya. Dalam perkembangan lain, Zalif berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem terbaharu berjudul Jangan Pandang Belakang Boleh? sebuah karya parodi komedi arahan Ismail Bob Hashim. Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Shima Anuar, Adibah Yunus, Eppy (Raja Lawak) dan Ruminah Sidek. Selain itu, dia juga bakal muncul dengan filem Langgar pada 11 April ini.

Bogel saya ada batas - Zalif

JIKA sebelum ini pelakon merangkap vokalis kumpulan Handy Black, Zul Suphian pernah tampil berani berbogel menerusi produk lakonannya seperti filem Mantra dan Keramat, kali ini giliran pelakon yang sedang meningkat naik, Zalif Sidek untuk mencuba formula yang sama. Cuma, perihal yang dilakukan Zalif atau nama sebenarnya Mohd Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, kali ini tidak seberani Zul kerana katanya, babak dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu yang akan memasuki pawagam pada 21 Februari itu hanyalah separuh bogel saja. Zalif yang memegang watak sebagai Rudy merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang melalui fasa-fasa meningkat remaja dan terlibat dalam aktiviti pergaduhan di sekolah. Salah satu babak pergaduhan menuntut Zalif dibogelkan oleh sekumpulan samseng sekolahnya kemudiannya diikat di tiang bendera selepas dibogelkan dan hanya bertutup sehelai kain bercorak 'smiley' bahagian bawah perutnya. Sebelum ini Zalif juga pernah beraksi berani membuka baju menerusi filem Hantu Dalam Botol Kicap yang digandingkan bersama pelakon muda, Mikail Andre tahun lalu. Mengulas mengenai perkara itu, Kosmo! yang turut menghadiri malam gala tayangan perdana filem Pada Suatu Cinta Dahulu di Cathay Cineleisure E@Curve, Mutiara Damansara pada malam Isnin lalu mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelakon yang mula terkenal melalui filem Papa I Love You itu. Kosmo!: Naskhah kali ini menampilkan Zalif dalam versi sedikit berbeza daripada sebelum ini dan menuntut keberanian untuk tampil separuh bogel. Komen anda? ZALIF: Lebih kurang 70 peratus babak saya dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu memerlukan saya tidak berpakaian sebenarnya. Saya sudah bersedia untuk dikritik atas tindakan ini namun pengalaman ini merupakan yang pertama dan terakhir saya. Selepas ini saya tidak akan mengulangi babak tidak berpakaian lagi. Apa yang mendorong Zalif untuk menerima watak dan cabaran ini? Tiada pelakon yang berani terima cabaran seperti ini dan kebetulan saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza daripada yang pernah saya lakukan sebelum ini. Lagipun, filem ini berkisar kehidupan pelajar sekolah yang terlibat dengan kejadian buli sehingga dibogelkan di hadapan kawan-kawan. Zalif tidak kisah dikritik dan dikecam selepas ini? Saya tidak kisah dikritik kerana saya menjalankan tugas saya sebagai seorang pelakon. Saya bukannya berbogel sepenuhnya sehingga menampakkan bahagian anggota badan yang tidak sepatutnya. Untuk babak itu saya melipat seluar pendek saya hingga atas paras paha dan ditutup dengan kain di hadapannya sehingga menampakkan seolah-olah saya berbogel. Tapi sebenarnya saya separuh bogel. Adakah Zalif cuba membuktikan sesuatu kepada bekas teman rapat anda, Fida menerusi aksi begini? Tidak sama sekali. Filem ini menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun lalu sebelum kami mulai rapat. Babak itu tiada kena mengena dengan dia (Fida). Berbicara mengenai Fida, bagaimana perkembangan hubungan Zalif dan dia sekarang? Saya dan dia sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Kontroversi yang timbul membuatkan saya mengambil keputusan untuk berundur diri terutama kes orang ketiga yang sampai ke hari ini saya buntu dan gagal bertemu jawapan. Dia juga semakin menjauhkan diri daripada saya. Masih berhubung dengan Fida selepas keluar kenyataan Fida diserang teman wanita Zalif? Kami masih berhubung dan jika bertemu saya akan menegur dia. Cuma kami sudah jarang berhubung menerusi telefon sekerap dahulu. Baru-baru ini saya ada menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan ayah pengurus peribadinya. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa kami hanya berkawan rapat sebelum ini dan belum sampai tahap bercinta. Adakah Zalif sudah bertemu seseorang yang mungkin boleh disifatkan sebagai seorang kekasih? Belum. Saya masih belum berjumpa dengan orang lain buat masa sekarang. Keutamaan saya adalah kerjaya dan ini perkara utama yang ingin saya kejar buat masa sekarang. Pihak Metrowealth juga tidak menghalang saya untuk bercinta atau berkahwin. Asalkan saya tidak mengabaikan tugas saya sebagai seorang anak seni.

Zalif Sidek Pentingkan Kerjaya Berbanding Fida

PETALING JAYA: Pelakon baru, Zalif Sidek mengakui hubungannya dengan aktres dan penyanyi Fida Ibrahim sejak empat bulan lalu bukan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam hidupnya. Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, berkata, pada waktu ini perkara paling penting adalah untuk mengukuhkan kerjaya lakonan dan berharap agar hubungan itu berjalan secara semula jadi. "Masih terlalu awal untuk saya komen apa-apa (status hubungan). Saya nak kenal betul-betul mengenai latar belakang dan pergaulan sosialnya dahulu. "Memang kami berkawan baik tetapi Fida bukan keutamaan sekarang kerana kerja saya adalah paling penting yang perlu saya kejar dahulu," katanya kepada mStar Online, baru-baru ini. Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Spy M itu berkata, dia tidak menolak jika hubungan mereka menjadi lebih serius pada masa hadapan kerana keserasiannya dengan penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang tersebut.
"Saya selesa berkawan dengan dia. Hubungan kami adalah hubungan yang matang di mana kami mengisi masa ketika bertemu untuk berbincang mengenai kerja dan perkara-perkara yang serius. "Kami banyak bertukar-tukar pendapat mengenai lakonan dan perniagaan. Cuma tiada apa-apa perkembangan lain atau lebih daripada itu waktu ini," kongsinya. Ditanya mengenai Fida pada pandangan matanya, Zalif berkata, persahabatannya dengan aktres itu banyak mengubah dirinya ke arah kebaikan. "Dia banyak mengubah saya ke arah kebaikan. Selama ini, saya tidak pernah berkawan dengan perempuan yang mengingatkan saya mengenai waktu solat. "Dia akan mengejutkan saya untuk solat Subuh pada setiap pagi. Saya memang tersentuh dengan keikhlasannya tetapi kami belum ke tahap bercinta lagi," jelasnya. Pelakon yang berasal dari Terengganu ini bakal muncul dengan tiga filem iaitu Pada Suatu Cinta Dahulu, Langgar dan Karaking pada 2013.

Zalif Sidek Tidak Terpinggir Kerana Berbadan Besar

PETALING JAYA: Pelakon Zalif Sidek, memberitahu saiz badan seseorang itu bukanlah penyebab untuk golongan berkenaan dipinggirkan dalam dunia lakonan sebaliknya mereka akan disanjung jika mempunyai bakat yang luar biasa. Zalif berkata, badannya yang kelihatan “comel” sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk bergelar pelakon berjaya malah dia amat berbangga kerana mendapat banyak tawaran berbanding artis yang mempunyai susuk tubuh menarik. “Saya bersyukur dengan anugerah yang saya miliki ini. Saya membuktikan kepada dunia seni keupayaan saya dalam dunia lakonan terletak kepada bakat dan bukannya bentuk badan. “Kalau badan kita menarik tetapi bakat kita tak seberapa, ia akan mendatangkan masalah juga,” katanya kepada mStar Online. Pelakon berusia 27 tahun ini memberitahu pada mulanya dia agak merendah diri apabila melihat bentuk tubuhnya tetapi selepas berjaya menghasilkan mutu lakonan yang dikehendaki oleh pihak produksi, dia semakin yakin untuk terusn bersaing. Sejak beberapa tahun melibatkan diri dalam bidang lakonan, dia sudah menerima banyak tawaran berlakon filem yang kebanyakannya diberi peranan penting. Katanya, pendapatan segelintir pihak kononnya orang yang berbadan besar sering gagal mendapat peluang adalah tidak benar kerana pelakon Afdlin Shauki sendiri berjaya membuktikan beliau boleh menjadi hero filem walaupun saiz badannya besar. Malah Zalif juga sering berusaha menjadikan dirinya seorang pelakon yang serba boleh dengan mempelbagaikan watak yang diberi dalam usaha membuktikan kebolehannya itu. “Saya amat bersyukur kerana saya mendapat peluang untuk berlakon dalam pelbagai watak seperti komedi, islamik selain diberi peluang menjadi ayah. Itu semua pencapaian yang bermakna kepada saya yang berbadan besar ini,” jelasnya. Antara filem lakonan Zalif ialah Bini Biniku Gengster, Papa I Love You, Hantu Dalam Botol Kicap, 7 Petala Cinta serta dua karya terbaharu iaitu Budak Pailang dan Aji Noh Motor. Tambahnya, dalam dunia hiburan ketika ini, mereka yang berbadan besar sebenarnya berada pada satu kedudukan dengan pelakon kacak lain kerana kedua-duanya mempunyai kebolehan serta tarikan berbeza.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails