Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Zarina AF2. Show all posts
Showing posts with label Zarina AF2. Show all posts

MANISNYA BILA ZARINA AF2 BERTUDUNG

Memang manis bila Zarina AF2 atau nama sebenarnya Zarina Zainordin yang baru-baru ni mengenakan tudung. Namun tidak diketahui sama ada dia bertudung kekal, menghadiri majlis agama atau sekadar berlakon dalam drama. Iyalah... bukan mudah untuk berubah jika cubaan dan godaan kemewahan kian besar dan hebat. Hanya hati yang tabah dan redha dengan ketentuan Allah sahaja yang mampu berbuat begitu. Bak kata pepatah, nak seribu daya... tak nak seribu dalih!

Emosi Zarina bercelaru

NTAH kenapa ada sesuatu yang pelik dengan tingkah laku pelakon berbakat Zarina Zainoordin ketika menghadiri sesi fotografi bersama Kosmo! berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dia seolah-olah tidak dapat memfokuskan diri apabila jurufoto Nooradzrene Mohd. Noor cuba merakamkan gambarnya. Sikapnya juga tidak keruan seperti mana kebiasaan sebelum ini. Malah, sikap tidak keruan itu boleh dilihat jelas dalam foto-foto yang dirakamkan itu. Selesai sahaja sesi fotografi, perkara itu diajukan kepadanya. Apakah punca yang membuat tingkah laku Zarina menjadi sedemikian rupa? "Karakter Zila dalam drama, Ameera sangat berat untuk saya pikul. Bayangkan selama dua bulan, saya perlu kekal membawa watak wanita psiko, meroyan dan penuh dengan tekanan perasaan apabila diminta menyerahkan bayi kepada pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak. "Disebabkan sudah lama menghayati watak tersebut, saya sampai terbawa-bawa ke luar lokasi," luah Zarina memberikan jawapan terhadap persoalan mengenai sikap pelik dirinya itu. Bercerita mengenai watak lakonannya itu, kata Zarina, Zila pada asalnya merupakan seorang wanita baik. "Dia merupakan gadis kampung yang kemudian dilacurkan oleh kekasihnya dan akhirnya dapat melarikan diri sebelum bertemu dengan Ameera, lakonan Rita Rudaini. "Sejak itu, Zila membuat perjanjian dengan Ameera untuk berkahwin dengan suaminya, Ameer dan melahirkan anak untuk pasangan itu sebelum diceraikan dengan upah RM360,000. Namun, setelah mengandung, Zila mulai menyayangi suami Ameera dan juga bayi dalam kandungannya itu. "Malangnya suami Ameera tidak membalas cintanya. Disebabkan itu, dia mula berubah menjadi wanita jahat dan psiko sehingga mengugut untuk membunuh kandungan jika Ameer tidak mencintainya. Ada banyak emosi yang berat dalam watak ini membuatkan saya terbawa-bawa hingga ke dalam kehidupan realiti," ujarnya. Namun, bukan watak Zila sahaja yang membuatkan diri Zarina dlilanda tekanan. Luah Zarina lagi, dia juga sangat tertekan apabila bapanya, Zainoordin Abd. Rahman diserang penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung. Malah, akibat tekanan yang dihadapinya, Zarina juga baru-baru ini terlibat dengan dua kemalangan dalam masa terdekat. "Ayah sepatutnya kena potong kaki sebab kakinya luka akibat terjatuh. Namun, kakak saya minta jangan dipotong sebaliknya sapu ubat. Alhamdulillah, luka ayah semakin sembuh tetapi malang pula apabila dia terjatuh sekali lagi dan menyebabkan kaki yang luka tadi patah. "Saya juga mengalami kemalangan jalan raya sebanyak dua kali. Pertama, ketika dalam perjalanan dari Jengka, Pahang ke Kuala Lumpur. Ketika itu saya baru selesai penggambaran drama RTM, Anak Yang Bertuah. "Selepas kemalangan itu, tanpa pergi membuat rawatan lanjut saya meneruskan penggambaran drama Ameera pula dan sekali lagi saya terlibat dengan kemalangan. Mungkin terlalu penat atau tertekan dengan segala masalah yang dihadapi, ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kehidupan saya," jelasnya yang mengalami penurunan berat badan daripada 47 kilogram kepada 43 kilogram. Tidak kejar glamor Sudah banyak drama yang dilakonkan Zarina, tetapi malangnya anak saudara kepada penyanyi Salwa Abdul Rahman itu tidak begitu menyerlah. Apabila persoalan itu diajukan kepadanya, ujar Zarina, dia bukan artis yang gilakan glamor, sebaliknya figura genit ini lebih mementingkan kualiti. Jelasnya lagi, sebagai pelakon dia mahu menyampaikan sesuatu mesej kepada penonton. Bukan sekadar lakonan kosong semata-mata. "Buat apa popular kalau sekejap. Saya mahu terus bertahan dalam industri lakonan sampai bila-bila. Saya jadikan pelakon Liza Abdullah sebagai sumber inspirasi yang mana daripada dulu sampai sekarang dia masih lagi mendapat tawaran berlakon dan semua orang mengenalinya. Saya juga mahu lakonan saya memberi impak kepada penonton," tuturnya yang sering membawakan watak antagonis di dalam drama. Tidak kecewa dengan watak antagonis yang sering dibawa, ungkap Zarina, dia begitu mengidamkan watak protagonis. "Banyak sebenarnya watak idaman yang sudah saya terima. Sebagai contoh, watak psiko dalam drama Saka Jentayu dan Ameera. Cuma, saya belum lagi menerima watak yang betul-betul baik. Kalau adapun watak yang pada mulanya baik, tetapi berubah menjadi jahat kemudiannya," luahnya. Biarpun sering dibanjiri tawaran lakonan, kata Zarina, dia tidak pernah terlintas untuk meninggalkan bidang nyanyian. Nyanyian tetap menjadi keutamaannya. Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu juga akan memastikan setiap hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, dirinya tidak akan terlibat dengan sebarang penggambaran drama. Ini kerana hari tersebut diperuntukkan untuk menerima tawaran nyanyian di majlis-majlis atau program televisyen. "Saya mula menyanyi sejak umur 10 tahun. Menyanyi lagi memberi kepuasan kepada saya berbanding bidang lakonan. Lagipun, menyanyi lebih mudah dapat banyak duit. Berlakon pula beri kepuasan apabila lakonan kita orang tengok dan nilai," jelasnya yang berharap dapat mengeluarkan single terbaharunya tahun ini. Bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, ujar Zarina, dia lebih selesa mengikut acuannya dan memilih genre apa yang ingin dibawanya. Sehingga kini, kata Zarina, dia masih belum memilih genre lagu yang bakal dialunkan tetapi mengakui sangat sukakan muzik yang dibawa oleh Yuna. "Saya sedang usahakan untuk menghasilkan single. Buat masa ini, saya tidak tahu lagi jenis lagu bagaimana yang sesuai. Saya tidak suka lagu yang sangat bising. Kalau boleh lagu itu nanti sedap didengar dan mudah untuk pendengar mengingatinya. Seperti lagu-lagu Yuna," tuturnya. Kahwin Tahun lalu kecoh mengenai cerita Zarina yang dikatakan bakal ke jenjang pelamin pada bulan Disember dengan seorang jejaka tidak menjadi kenyataan. Adakah jejaka yang dimaksudkan adalah pelakon yang dikenalinya menerusi drama Syurgamu Ramadan, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz? Ditebak dengan soalan tersebut, akui Zarina, perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Disember dua tahun lepas bukan dengan pelakon tersebut sebaliknya dengan seorang pemain gitar. "Dua tahun lepas memang saya dan pemain gitar itu sudah merancang untuk berkahwin tetapi malangnya tidak jadi. Dia muda dan ada benda yang masih ingin dikejarnya. Kami berpisah secara baik. "Saya dan Ungku Ismail cuma bercinta dan tidaklah sampai ingin berkahwin. Hubungan kami juga cuma bertahan selama empat bulan sahaja," jelasnya. Tidak hanya dikaitkan dengan dua jejaka tersebut, Zarina juga dikatakan kini sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon Azlee Khairi ketika sama-sama membintangi drama Dingin Lavenda. Mengulas mengenai itu, Zarina hanya ketawa dan memberitahu, dia dan Azlee hanya berkawan rapat. "Memang kami rapat selepas bersama-sama membintangi drama Dingin Lavenda. Mungkin sebab kami rapat dan keluar sama-sama orang anggap kami bercinta. Umur dia baru 23 tahun dan terlalu muda," jelasnya yang tidak menolak jika dia dan Azlee ditakdirkan berkahwin.

Hidap Sakit Jantung, Bapa Zarina Dibedah Hari Ini


PETALING JAYA: Penyanyi Zarina Zainoordin, 27, akui runsing dengan kesihatan bapanya, Zainoordin Abd Rahman, 61, yang kini disahkan menghidapi penyakit jantung.

Menurut Zarina, bapanya akan dimasukkan ke Institut Jantung Negara, (IJN) pada Selasa,(hari ini) untuk menjalani pembedahan.

“Sejak dua bulan lalu, bapa saya diberitahu mempunyai sakit jantung yang serius seperti yang dihadapi oleh Allahyarham pelakon Faizal Yusoff dan Hani Mohsein, namun Alhamdulillah ia dapat dikesan lebih awal.

“Sebelum ini keadaan dia memang tidak sihat kerana memang sudah lama menghidapi sakit kencing manis dan darah tinggi, tapi baru-baru ini pula doktor beritahu yang dia menghidapi sakit jatung yang kritikal,” ujarnya sedih.

Tambah Zarina, dia bernasib baik mempunyai seorang kakak yang kini bertugas di pusat perubatan tersebut bagi membolehkan pembedahan dilakukan dengan segera.

“Alhamdulliah kakak saya bertugas di sana, jadi senang untuk uruskan tentang pembedahan ini. Manakala kos rawatan juga ditanggung oleh IJN,” katanya.

Menurt Zarina, dia kini terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan terutamanya melibatkan penggambaran di lokasi yang jauh dari Kuala Lumpur bagi memudahkannya berulang alik ke Johor Baru.

“Saya banyak tolak tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur.

“Ini pun saya sedang menjalani penggambaran di Lumut, Perak untuk drama Ayu Suraya dan semalam selepas habis saja penggambaran, saya terus pulang untuk ambil abah dan bawa ke Kuala Lumpur untuk pembedahan ini,” katanya.

Zarina sentiasa berwaspada


MULA mengharungi kerjaya selepas tamatnya program realiti televisyen popular Akademi Fantasia 2, kira-kira lapan tahun lalu, pelakon Zarina Zainoordin, 27, mengakui banyak rintangan dan dugaan yang telah dihadapinya.

Anak kelahiran Johor Baru ini juga tidak lepas dari terpalit dengan kancah kontroversi dunia hiburan. Dia pernah dikatakan menampung hidup hasil tajaan pihak tertentu. Namun, wanita ini sekerasnya menafikan tuduhan tersebut.

Biarpun ramai yang menganggap dirinya bagaikan tenggelam timbul dalam lapangan dunia seni ini, Zarina memberitahu dia masih aktif dalam mencari rezeki halal dengan titik peluh sendiri.

“Lapan tahun dalam industri ini banyak cabaran yang saya lalu, terutamanya berhadapan dengan gosip ditaja oleh seseorang.

“Walaupun dah lama diperkatakan, kesannya sehingga kini masih lagi yang mempercayai tentang perkara itu. Namun mereka sebenarnya tidak tahu betapa susahnya saya mencari rezeki siang dan malam,” katanya.

Menurut Zarina, keinginannya memakai barang-barang berjenama mewah sebagai tanda penghargaan kepada diri sendiri sering disalah tafsirkan segelintir pihak.

“Bagi saya itu adalah satu penghargaan kepada diri sendiri setelah penat bekerja. Saya mahu hasil usaha saya nampak depan mata.

“Dulu memang saya agak marah apabila dikatakan tentang perkara itu, tapi sekarang saya dah lali dan anggap cercaan tersebut sebagai salah satu tempias apabila bergelar artis.

“Kalau saya ditaja saya tidak perlu bersusah payah untuk bekerja siang dan malam sehinggakan pernah satu ketika saya hanya makan mee segera semata-mata ingin bayar segala hutang piutang,” katanya.

Jelas Zarina, kerjaya sebagai seorang artis memerlukannya untuk sentiasa berwaspada dalam segala hal. Dia percaya disiplin dan rendah diri merupakan faktor utama untuk terus kekal dalam industri ini.

“Saya sedar semakin hari semakin ramai muka baru keluar mewarnai dunia hiburan kita. Untuk jadikan lakonan atau nyanyian punca pendapatan utama saya sentiasa berpegang pada prinsip rendah diri dan disiplin yang tinggi.

“Saya suka cara Liza Abdullah jaga reputasinya sebagai pelakon. Sebab itu juga dia masih ada lagi dalam industri ini biarpun sudah berbelas tahun usia lakonannya,” kata Zarina yang tidak setuju sikap segelintir artis yang mudah lupa diri apabila berada di puncak kejayaan.

Zarina kini sibuk dengan penggambaran telefilem Ayu Suraya untuk saluran Astro dan bakal keluar dengan filem terbarunya Aku Bukan Tomboi arahan Syamsul Yusof yang dijangka keluar pada pertengahan tahun ini.Tidak lupakan bidang nyanyian

Biarpun lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding matlamat awal sebagai penyanyi, wanita ini mengakui masih aktif dengan persembahan nyanyian.

“Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti menyanyi, cuma rezeki saya kini lebih kepada bidang lakonan.

“Tapi sebenarnya saya masih aktif biarpun tidak di hadapan televisyen tetapi saya banyak memenuhi undangan nyanyian untuk majlis-majlis tertutup.

“Kini saya sibuk dengan Konsert Karnival Belia Sarawak iaitu konsert jelajah di beberapa daerah di Sarawak,” katanya.Selain itu, dia kini dalam rangka promosi single terbaru berjudul Jentayu yang merupakan lagu tema kepada drama siri Jentayu di TV3.

Cintai Ungku Ismail

Tidak mahu cerita cinta mendahului kerjaya, Zarina hanya berharap hubungan yang dibina sejak beberapa bulan lalu akan berkekalan sehingga sebuah ikatan yang sah.

Perkenalannya dengan pelakon baru, Ungku Ismail Ungku Abd Aziz di lokasi penggambaran Syurgamu Ramadan menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka.

Namun pengalaman cinta lalu telah mengajar Zarina agar tidak terlalu memberi harapan, kepada sesebuah hubungan.

“Kami menjalani sebuah hubungan yang mudah, masing-masing beri masa untuk diri sendiri. Jika ada masa terluang barulah kami berjumpa.

“Kalau boleh saya tidak mahu hubungan cinta yang terlalu ketara takut apabila putus nanti, akan ada pula macam-macam cerita buruk. Tentang jodoh kami hanya berserah kepada Allah SWT,” katanya.

Zarina (AF2) Sahkan Tak Jadi Kahwin


PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zarina Zainoordin, 26, yang sepatutnya naik pelamin hujung tahun lalu mengesahkan telah putus cinta hampir tujuh bulan lalu.

Zarina berkata, hubungannya dengan bekas gitaris sebuah kumpulan muzik itu tidak dapat diteruskan gara-gara tiada keserasian selepas kira-kira tiga tahun bercinta.

“Kami tak serasi. Selepas tiga tahun berkawan nampaknya hubungan untuk ke arah yang lebih serius tidak dapat diteruskan,” katanya.

Pada tahun lalu Zarina membayangkan akan berkahwin dengan ahli muzik itu yang di jadual pada bulan Disember tahun lalu.

Mengikut perancangan awal, majlis pernikahan mereka akan dilakukan serentak dengan majlis bertunang.

Zarina juga sudah membuat persiapan termasuklah meninjau butik-butik pengantin sebelum tempahan pakaian persandingan sempena hari bahagianya itu dibuat.

Menurut Zarina, tiada sesiapa yang bersalah apabila majlis yang dirancang itu tidak menjadi sebaliknya keputusan tersebut adalah keputusan mereka berdua.

“Kami berdua yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan hubungan dan perkahwinan. Ini adalah persetujuan bersama,” katanya.

Ujar Zarina dia tidak menyesal dengan apa yang terjadi sebaliknya menganggap mungkin mereka sudah tiada jodoh.

Walaupun sudah putus cinta tetapi Zarina dan pemain gitar tersebut masih lagi berkawan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails