Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ziela Jalil. Show all posts
Showing posts with label Ziela Jalil. Show all posts
Ziela Jalil Mohon Maaf Jika Dramanya Dianggap Terpesong
Penerbit drama Ziela Jalil memohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang senang dengan beberapa adegan dalam drama terbitannya, Dia Isteri Luar Biasa yang dianggap terpesong daripada ajaran agama Islam.
Ziela berkata, dia mengambil komen-komen tersebut secara positif namun menyifatkan drama-drama penerbitannya itu masih lagi ada unsur-unsur teladan yang boleh diambil contoh.
"Apabila bercakap tentang hukum hakam Islam, saya tidak mengiakan benda yang salah dan tidak menghalalkan cara. Kalau nak ikutkan, banyak benda yang kita tidak boleh buat dalam drama.
"Bukan senang... Sebagai contoh, saya seorang ibu seronok melihat kepulangan anak lelakinya. Kalau seronok, takkan nak berdiri dan tunjuk mimik rasa gembira sahaja. Mesti kena peluk sebagai tanda sayang dan rindu.
"Bagaimanapun segala kritikan yang diberi saya terima dengan fikiran terbuka dan akan lebih berhati-hati menghasilkan drama pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Ziela yang juga penerbit Pena Kreatif Sdn Bhd diminta mengulas surat terbuka kiriman pembaca di sebuah blog kepadanya yang mengkritik drama itu kerana memaparkan adegan tidak sepatutnya ataupun mengundang maksiat.
Ini kerana terlalu banyak adega mesra secara berlebih-lebihan lakonan Fathia Latiff dan Shukri Yahya sebagai suami-isteri sehingga menimbulkan rasa kurang senang penonton apatah lagi drama itu ditonton bersama anak-anak.
Individu berkenaan turut berkata, drama-drama seperti itu mampu merosakkan akidah kanak-kanak yang masih lagi belajar ilmu agama dan boleh mengundang kekeliruan antara ajaran dan drama yang dipaparkan sedangkan pelakon tersebut bukanlah suami-isteri di luar drama.
Sementara itu, Ziela berkata, golongan penerbit sepertinya tidak patut dipersalahkan sekiranya ada kanak-kanak rosak akhlak dan ia tiada kaitan langsung dengan drama tersebut.
"Tidak patut rasanya drama ini dipersalahkan jika akhlak anak-anak itu tidak baik. Bukan Dia Isteri Luar Biasa sahaja, tetapi juga drama-drama lain.
"Saya percaya pembentukan akhlak anak-anak bermula daripada cara didikan ibu bapa itu sendiri," tegasnya.
Drama Dia Isteri Luar Biasa disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.55 petang di TV3.
Episod terakhir drama bersiri itu telah disiarkan pada Selasa (malam tadi).
ZIELA JALIL & FAMILY BERCUTI DI AUSTRALIA
Photo-photo percutian Ziela Jalil dan keluarganya di Australia yang meninggalkan kenangan manis buat mereka. Malah usia anak angkat Ziela iaitu Ibrahim Junit Abdullah yang kini mencecah setahun 9 bulan turut memudahkannya untuk melancong.
Untuk info, Ziela mengambil Ibrahim sebagai anak angkat bagi memenuhi ruang kosong dalam dirinya selepas pemergian Allahyarham Tan Sri Megat Junid pada tahun 2008. Selain Ibrahim, beliau turut mempunyai dua anak lain iaitu Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.
Ujian baharu buat Ziela
ZIELA JALIL sepatutnya boleh memilih untuk tidak berbuat apa-apa atau terlalu bekerja keras berdasarkan kepada pencapaian rumah produksi miliknya, Pena Creatives Sdn. Bhd. yang begitu memberangsangkan.
Saban tahun, rumah produksi tersebut begitu produktif menghasilkan karya yang bermutu.
Secara kasar, jika melihat kepada pencapaian tersebut, Ziela yang cukup terkenal lewat tahun 80-an dahulu tidak perlu bersusah payah atau kerap muncul di kaca televisyen untuk kelangsungan hidupnya.
Mengakui wujud logik tentang teori yang dibuat, Ziela menjelaskan, sebagai seorang wanita yang sudah mula bekerja keras sejak zaman remajanya, dia tidak boleh berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.
Justeru, jika tidak berada di belakang tabir menerbitkan banyak karya berunsur kesedaran untuk tontonan khalayak, dia mahu 'keluar bekerja'.
"Saya seorang yang tidak boleh duduk diam. Jika tidak buat kerja, saya akan resah dan bingung. Masa itu, saya mula akan memikirkan banyak hal yang bukan-bukan.
"Jadi dengan bekerja, saya mampu melupakan semua hal yang tidak berkaitan," akuinya saat ditemui di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah, pertemuan pada hari itu juga bukan pertemuan kosong. Ziela kini melebarkan sayap menyusup masuk ke dalam dunia bisnes kecantikan pula.
Pada hari itu, pelakon yang mendadak naik menerusi lakonannya sebagai puntianak dalam filem Perawan Malam itu memperkenalkan produk kecantikan di bawah syarikat miliknya, Ziela Jalil Trading (M) Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai FizzCola dan Berry Slim.
Terkilan
FizzCola merupakan minuman berasaskan kolegan dengan natrium bikarbonat yang pertama dalam pasaran, sementara Berry Slim pula mampu membuat tubuh kelihatan langsing dan mencerahkan kulit.
Bercakap tentang produk tersebut, Ziela memberitahu, penglibatannya bersama syarikat Kayla Beverly Hills 15 tahun lalu menjadi pendorong kepadanya untuk melancarkan produk yang sesuai dengan golongan yang sentiasa sibuk.
Ziela yang kini lebih kerap dilihat di kaca televisyen turut diminta mengulas tentang namanya yang dicicirkan daripada program bual bicara di Astro Prima, Primadona.
Primadona kini hanya dikendalikan oleh Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Raja Azura, manakala nama Ziela digugurkan kononnya kerana dia tidak sesuai untuk program tersebut.
"Secara jujurnya, saya berasa sedikit terkilan. Saya terkilan kerana sebelum pihak produksi berjumpa dengan saya mengenai hal ini, telah tersebar gosip yang mengatakan saya tidak sesuai dan kurang membantu.
"Bagaimanapun, perasaan tersebut kini hilang selepas saya dan pihak produksi berbincang. Saya mengaku bahawa saya tidak begitu menyerlah kerana ia pengalaman pertama saya sebagai hos.
"Jadi, ia macam satu proses atau ujian baharu untuk saya dan saya menerima setiap pandangan orang," ulas Ziela panjang lebar.
Biarpun tidak lagi menggendalikan program tersebut, dia memberitahu telah ditawarkan untuk mengemudi sebuah program baharu yang diberi nama 3 Rasa terbitan Astro. Namun, menurut Ziela, ia masih dalam proses perbincangan.
Ramadan
Bercakap mengenai kehadiran Ramadan, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini memberitahu, dia begitu mengutamakan bulan mulia ini dan sanggup tidak bekerja sepanjang bulan untuk memberi fokus beribadat.
Namun, dalam masa yang sama, rumah produksi miliknya tetap akan melahirkan produk, selain ada yang ditayangkan pada Ramadan ini seperti Bunga-Bunga Larangan.
Ziela juga sedang sibuk dengan penggambaran drama adaptasi 40 episod, Jodoh Itu Milik Kita yang turut menjalani penggambaran di New Zealand.
Untuk tayangan sempena Aidilfitri pula, rumah produksinya menghidangkan sebuah karya yang dibintangi pelakon kanak-kanak menerusi telemovie I Heart Kurma.
"Saya sendiri terlibat untuk sebuah drama raya iaitu Ijab & Qabul yang dibintangi oleh Nora Danish dan Adi Putra. Seperti yang saya katakan, saya memang resah jika tidak bekerja," ujarnya sambil ketawa.
Ditanya mengenai kehidupan peribadinya selepas pemergian arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Ayob pada tahun 2008, Ziela mengaku melalui fasa sukar pada peringkat awal, khususnya dari segi membesarkan dua anak mereka iaitu Megat Jufri Nasrullah, 19, dan Puteri Julia Nabilah, 21.
Bagaimanapun, keperitan tersebut beransur hilang apabila anak-anaknya mula membesar dan memahami tentang kehidupan. Malah, tanpa berselindung, wanita berusia 43 tahun itu mengaku, biar telah lebih lima tahun hidup sebagai ibu tunggal, dia bukan seorang wanita yang mahu keluar mencari pengganti arwah suaminya.
Ujarnya: "Anak-anak saya tahu bahawa saya bukan jenis yang keluar dan mencari pengganti arwah ayah mereka. Mereka juga tidak pernah bertanya tentang calon suami baharu untuk saya, walaupun jika ada, mereka juga barangkali tidak akan membantah. Namun buat masa ini saya selesa untuk membesarkan anak-anak terlebih dahulu." - MALIAH SURIP
Ziela Jalil Akui Sukar Bergelar Ibu Tunggal
Penerbit drama dan pelakon Ziela Jalil mengakui sukar baginya menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal pada awal kematian suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pada tahun 2008.
Ziela, 43, berkata, kesukaran itu lebih kepada membesarkan dua anaknya iaitu Puteri Julia Nabilah, 21, dan Megat Jufri Nasrullah, 19, yang ketika itu masih kecil dan tidak dapat menerima ketiadaan bapa mereka.
"Pada awal-awal dulu saya akui memang sukar menjalani kehidupan tanpa suami dan perlu membimbing anak-anak yang sentiasa rindukan bapa mereka tambahan pula mereka sedang meningkat remaja.
"Namun ketika itu saya sedar bahawa tiada orang yang dapat membantu dan saya perlu bangkit dan kuatkan semangat demi masa depan anak-anak," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan iaitu Fizzcola dan Berry Slim di Restoran Rebung di sini, Isnin.
Megat Junid ialah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain Julia dan Jufri, Ziela turut mempunyai seorang anak angkat iaitu Ibrahim Junit Abdullah yang kini berusia setahun enam bulan.
Sementara itu, Ziela berkata, dia bagaimanapun bersyukur berkat kesabaran dan pengorbanan untuk membesarkan anak-anak akhirnya membuahkan hasil apabila mereka semakin matang dan mampu berdikari.
"Apa yang penting pada saya adalah anak-anak kerana itulah peninggalan yang paling berharga buat diri saya. Saya bersyukur mereka sangat berdikari dan mempunyai pemikiran yang matang terutama anak sulung saya Julia yang akan berangkat ke Dublin untuk melanjutkan pelajarannya di sana.
"Bagaimanapun sebagai seorang ibu saya tetap risaukannya dan berharap mereka akan menjadi insan berguna dan berbakti kepada keluarga dan agama," katanya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai Fizzcola dan Berry Slim, Ziela berkata, produk berasaskan kolagen itu yang pertama menggunakan formula yang mengandungi sodium karbonat selain buah epal dan beri yang mudah diserap oleh sistem badan manusia.
Malah kata Ziela, selain untuk kecantikan kulit dan mampu mengurangkan berat badan ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit kepada penghidap penyakit gastrik.
"Kami membuat kajian tentang penggunaan bahan selama beberapa bulan dan mencuba sendiri hasilnya sebelum mengambil keputusan untuk dipasarkan dan ia ditanggung halal.
"Malah rasanya juga berbeza daripada produk kesihatan lain kerana ia seperti air berkarbonat dan rasanya juga sedap seperti air buah-buahan," katanya.
Dikeluarkan sendiri oleh syarikat miliknya iaitu Ziela Jalil Trading (M) Sdn Bhd bersama seorang rakan kongsi, Fizzcola dan Berry Slim dijual pada harga RM128 sekotak yang mengandungi 18 paket dan boleh didapati di farmasi dan stokis kecantikan.
Dalam perkembangan lain, Ziela berkata, dia kini sedang sibuk menyiapkan sebuah drama adaptasi dari sebuah novel sebanyak 40 episod untuk siaran saluran Mustika HD (Astro 134) berjudul Jodoh Itu Milik Kita yang kini menjalani penggambaran di New Zealand.
Drama yang dibintangi oleh Farid Kamil, Tiz Zaqyah dan Zain Saidin itu akan menemui penonton selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Alhamdulillah rezeki pada tahun ini sangat murah dan selain Jodoh Itu Milik Kita, syarikat saya diberi kepercayaan untuk menerbitkan sebuah lagi drama untuk Astro iaitu Bukan Aku Tidak Cinta selain The Wedding Breaker untuk slot Akasia di TV3," katanya.
Malah dia juga baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama iaitu I Heart Kurma untuk siaran TV9 dan akan muncul sebagai pengacara program bual bicara iaitu Tiga Rasa.
Ziela Jalil Tidak Kekok Jaga Anak Angkat
PETALING JAYA: Penerbit drama Ziela Jalil menjelaskan tidak berasa kekok untuk menjaga anak angkatnya Ibrahim Junit Abdullah yang berusia 10 bulan walaupun sudah 17 tahun tidak mempunyai anak kecil.
Malah wanita berusia 42 tahun ini memberitahu, dia juga berjaya menjadi ibu susuan kepada Ibrahim melalui proses tertentu sebagai memenuhi syariat dalam Islam.
“Alhamdulillah, saya sudah pun berhenti daripada memberinya susu badan selepas dia berusia 10 bulan. Saya menganggap Ibrahim seperti anak sendiri dan berjaya memberi kegembiraan dalam keluarga saya dengan kehadirannya,” kata Ziela kepada mStar Online.
Menurut Ziela, kehadiran Ibrahim telah memenuhi ruang kosong dalam dirinya selepas pemergian arwah suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pada tahun 2008.
Katanya, dua anak hasil perkahwinannya dengan Megat Junid iaitu Puteri Julia Nabilah, 20, dan Megat Jufri Nasrullah, 18, sudah pun besar dan boleh menguruskan diri mereka sendiri.
“Anak-anak saya yang lain dah pun besar dan kehadiran Ibrahim ternyata memberikan sinar dan pelengkap kepada hidup saya," katanya.
Sementara itu bercerita tentang penglibatannya dalam program bual bicara sebagai pengacara Primadona Ziela berkata, faktor pertambahan berat badan membuatkan dia pada mulanya berasa tidak selesa untuk menyertai rancangan itu.
Katanya dia menerima tawaran tersebut memandangkan ia adalah peluang pertama kali untuk bergelar pengacara bergandingan dengan Raja Azura, Erra Fazira dan Rozita Che Wan. Ujarnya, walaupun berasa kekok dan gemuruh tetapi dia bernasib baik kerana rakan pengacara yang lain banyak membantu dari segi penyampaian dan menghafal skrip sebelum memulakan rakaman.
"Raja Azura seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang pengacaraan serta penyampaian radio dan dia sangat bermurah hati untuk memberikan tip kepada saya agar tampak bersahaja di hadapan kamera," katanya.
Primadona akan disiarkan pada 2 November depan setiap hari Jumaat pukul dua petang di saluran Astro Prima.
Anak Angkat Pengubat Rindu Ziela Kepada Arwah Suami
KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan pelakon Ziela Jalil menyifatkan kehadiran anak angkat lelakinya bernama Ibrahim Junid Abdullah yang berusia dua bulan sebagai pengubat kerinduannya kepada Allahyarham suaminya Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia pada 2008.
Megat Junid adalah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Jalil, 42, berkata selepas hampir tiga tahun berusaha untuk mencari seorang anak angkat, dia akhirnya dipertemukan dengan bayi yang merupakan anak kepada salah seorang saudaranya.
“Sebenarnya saya sudah mula mencari anak angkat sejak 2008 lagi. Sebelum ini, dua kali usaha dan niat saya tidak kesampaian untuk mengambil anak angkat disebabkan beberapa masalah yang timbul pada saat-saat akhir.
“Syukur, pada pencarian kali ketiga ini, saya diberikan peluang oleh Allah untuk dipertemukan dengan Ibrahim yang dapat mengisi kesunyian dan penambah seri dalam kehidupan saya sekeluarga,” katanya kepada pemberita pada majlis cukur jambul bayi tersebut di Restoran Rebung, Bangsar, di sini, petang Isnin.
Hasil perkahwinannya dengan Allahyarham, Ziela dikurniakan sepasang anak iaitu Puteri Julia Nabilah, 20, dan Megat Jufri Nasrullah, 18.
Bercerita tentang pemilihan nama anaknya itu, Ziela berkata nama tersebut sudah menjadi pilihannya sejak dia mula merancang untuk mengambil anak angkat pada 2008 lagi.
“Ia adalah nama yang baik dan berilhamkan nama Nabi Ibrahim. Sejak saya mula-mula merancang untuk ambil anak angkat pada 2008 lagi, nama itu sudah ada dalam fikiran.
“Sejujurnya saya tidak kisah pun bayi lelaki atau perempuan. Apabila ditakdirkan saya bertemu bayi lelaki, saya kekalkan sahaja nama Ibrahim itu,” katanya.
Berkongsi pengalamannya menjaga bayi tersebut, Ziela berkata dia langsung tidak berasa kekok atau penat untuk menguruskan Ibrahim sepenuhnya walaupun hampir 17 tahun tidak mempunyai anak kecil. “Sejak anak pertama saya, Julia dilahirkan lagi saya yang uruskan sepenuhnya bagi tempoh enam bulan pertama. Saya lakukan amalan yang sama juga pada Ibrahim selagi dia belum boleh menikmati makanan yang pejal.
“Cuma, pada masa ini saya sedang berusaha mengambil ubat untuk membolehkan saya menyusukan dia,” katanya.
Ziela berkata majlis yang diadakan bersempena keberkatan sambutan Maulidur Rasul itu turut bertujuan untuk mengumumkan kepada masyarakat mengenai kehadiran Ibrahim dalam keluarganya.
“Selain acara cukur jambul ini, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan kepada masyarakat tentang kehadiran Ibrahim sebagai ahli keluarga baru kami.
“Sejak saya mula memeliharanya hampir dua bulan lalu, saya sering ditanya oleh orang ramai yang menyangka Ibrahim adalah cucu saya apabila terserempak di mana-mana.
“Saya berharap, pengumuman ini dapat meleraikan kekeliruan masyarakat,” katanya.
Lebih 100 jemputan yang hadir termasuklah sanak keluarga, petugas media dan rakan-rakan artis seperti Datin Sofia Jane, Melissa Saila, Liza Abdullah, Mariani, Zul Yahya, Anita Baharom, Lydiawati dan Zarina Zainuddin.
Cinta Ziela belum padam

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke rumah mewahnya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, mata terus tertancap kepada koleksi foto yang dibingkai kemas dan cantik di satu sudut.
Meneliti satu persatu gambar-gambar itu memang sudah cukup jelas membuktikan bahawa kasih sayang wanita ini terhadap keluarganya memang cukup tebal.
Apatah lagi, hampir kesemua koleksi gambar itu memuatkan rakaman detik-detik terindah bersama figura yang telah memainkan peranan cukup besar dalam kehidupannya.
Namun, kini semuanya hanya tinggal kenangan apabila lelaki yang cukup tinggi darjatnya di mata wanita ini telah pun menemui pencipta-Nya pada 24 Januari 2008 pada usia 65 tahun kerana kanser prostat.
Biarpun sudah tiga tahun menjadi seorang balu, tetapi, kerinduan Ziela Jalil terhadap Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub masih lagi tebal di benak hatinya.
Lebih-lebih lagi dengan kedatangan Ramadan 1432 Hijrah yang bermula hari ini, sesungguhnya Ziela tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan rindu terhadap arwah suaminya itu.
"Segala kenangan manis dan terindah yang pernah terlakar sepanjang perkahwinan kami masih segar dalam ingatan saya.
"Walaupun sudah tiga tahun arwah meninggal dunia, begitu sukar untuk saya melupakan beliau. Saya harus akui setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, hati ini begitu sayu dan sedih apabila teringatkan arwah," cerita Ziela tenang membuka bicaranya pada petang yang cukup mendamaikan itu.
Ziela dan arwah suaminya itu mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 1991 dan hasil daripada perkahwinan mereka itu telah dikurniakan dengan sepasang cahaya mata, Puteri Julia Nabilah, 18 dan Megat Jufri Nasrullah, 16.
Menyambung perbualan, Ziela memang tidak dapat menafikan bahawa hatinya cukup pantas terusik setiap kali teringatkan kenangan Ramadan yang datang bertandang ke mindanya.
Sebagai seorang isteri selama 16 tahun kata Ziela, arwah suaminya itu memang seorang yang cukup ringkas dalam bab juadah berbuka puasa.
"Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan isterinya dalam menyediakan juadah secara berlebih-lebihan. Biarlah ala kadar tetapi ia mampu membuka seleranya setiap kali duduk di meja makan," jelas Ziela sambil ketawa kecil teringatkan kenangan lalu.
Jarang menjamah nasi ketika berbuka, ujar bekas pelakon popular tahun 80-an dan awal tahun 90-an ini lagi, suaminya itu lebih selesa menikmati kanji yang merupakan hidangan seumpama bubur lambuk.
Sebagai anak jati Perak, jelas Ziela, memang arwah suaminya tidak akan terlepas daripada mahu menikmati santapan wajib daripada negeri kelahirannya.
Kerana itu, dia pasti akan menghidangkan apa sahaja juadah asalkan ia mestilah masak lemak kuning, masak lemak putih mahupun kari.
"Kalau bersahur, dia akan memastikan makanan seperti telur masin, ikan masin dan telur goreng akan terhidang di atas meja.
"Bukan itu sahaja, arwah memang cukup suka menikmati ikan kembung rebus atau goreng selain ikan bilis yang digoreng dengan cili kering, bawang besar bersama air asam jawa. Jika ada itu sahaja, ia sudah cukup membuka seleranya," jelas satu-satunya anak tunggal kepada pasangan Allahyarham Abdul Jalil Ismail dan Fatimah Osman ini panjang lebar.
Kenangan umrah
Cukup sedar akan kedudukannya sebagai isteri kedua kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, Ziela menjelaskan dia akan manfaatkan tiga hari gilirannya itu sebaik mungkin.
Setiap kali di bulan Ramadan, mereka sekeluarga pasti akan menunaikan solat Tarawih berjemaah bersama-sama di rumah selain membaca al-Quran.
Tetapi, kenangan paling indah buat Ziela setiap kali menjelangnya bulan yang penuh rahmat ini adalah apabila berpeluang mengerjakan umrah bersama-sama keluarganya.
"Sepanjang saya berkahwin dengannya, memang sudah banyak tempat yang saya lawati bersama anak-anak biarpun ada ketikanya dia jarang bersama-sama kami kerana sibuk dengan tugasan serta komitmennya dengan madu saya.
"Namun, jauh di sudut hati, saya mahu menunaikan umrah bersamanya dan anak-anak. Apabila saya menyuarakan hasrat kepadanya, dia menerimanya.
"Mungkin berkat kesungguhan dan niat murni saya itu, Allah SWT makbulkan permintaan saya itu dan akhirnya kami dapat menunaikan umrah bersama-sama pada bulan April 2007.
"Walaupun keadaan kesihatannya ketika itu tidak mengizinkan, tetapi Alhamdulillah dia dapat menunaikan umrah dengan sempurna dua hari sebelum kami pulang ke tanah air," ujar Ziela yang memberitahu rombongan itu turut disertai madunya, Puan Sri Faizah Shuaib serta teman-teman mereka yang lain.
Ternyata, arwah suaminya cukup gembira apabila dapat mengejakan ibadah itu bersama keluarganya sehingga dia mahu melakukannya sekali lagi apabila merancang untuk menunaikannya pada bulan Februari 2008.
Namun, kuasa Allah melangkaui segala-galanya apabila beliau meninggal dunia sebulan sebelum itu.
Lalu, apabila Ziela diberi kudrat dan peluang mengerjakan umrah untuk sekian kalinya pada 9 Ogos ini, secara tidak langsung memori yang pernah tercipta itu mula bermain di kotak mindanya.
"Kalau umur arwah masih panjang, sudah pasti beliau juga ternanti-nantikan peluang untuk mengerjakan umrah bersama-sama di bulan Ramadan. Tetapi apakan daya, Allah lebih menyayangi dirinya," ujar pemilik nama penuh Norzilah Abdul Jalil ini yang sudah mengerjakan fardu haji bersama dua anaknya pada penghujung 2006.
Tiada cinta lain
Dalam pertemuan itu juga, pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. ini sempat ditanya tentang keinginannya untuk mencari pengganti arwah suaminya.
Sambil melirik senyum manja yang sudah menjadi identitinya sejak zaman remaja lagi, Ziela menjawabnya dengan penuh terbuka.
Tidak berselindung dalam memberikan hujahnya, jelas Ziela, dia pernah memikirkan ke arah itu (cinta baru).
"Bohong kalau saya kata hati tidak terdetik apabila melihat mana-mana lelaki yang dilihat menarik pada pandangan saya. Tetapi, perasaan itu akan berlalu pergi dalam sekelip mata.
"Sebaliknya, secara automatik jiwa saya akan terus teringatkan arwah suami lalu membuatkan jiwa saya kembali penuh dengan rasa cinta terhadapnya sama seperti perasaan sewaktu kami diijabkabulkan.
"Lebih-lebih lagi kalau saya menziarah kuburnya di mana saya seolah-olah dapat merasakan kehadirannya di sisi saya ketika itu.
"Cinta dan kasih yang begitu dalam terhadap arwah membuatkan saya tidak memikirkan sebarang persoalan cinta," ujar Ziela yang akan menziarah kubur arwah suaminya setiap hari Jumaat bersama anak-anaknya jika tiada hal mustahak.
Kebahagiaan
Bagaimana pula dengan dua orang cahaya matanya? Apakah mereka sendiri sudah bersedia untuk menerima pengganti abah mereka?
Menjawab soalan tersebut, kata Ziela, secara lahiriah, anak-anaknya memang tidak kisah dan reda seandainya dia bertemu jodoh baru.
Tetapi, sebagai seorang ibu yang memiliki naluri yang sangat kuat, Ziela tahu bahawa anak-anaknya masih belum bersedia.
"Jadi, saya lebih selesa untuk terus hidup bertiga dan kebahagiaan saya adalah kerana anak-anak. Lagipun, arwah suami sendiri pun sudah memberitahu bahawa saya perlu mengutamakan anak-anak dalam apa jua hal sekalipun.
"Sekarang ini, tugas saya adalah untuk terus mencari rezeki demi menampung kehidupan kami sekeluarga.
"Soal jodoh biarlah Allah yang tentukan. Seandainya satu hari nanti saya ditemukan dengan seorang lelaki yang dapat menerima saya dan anak-anak serta sebaik arwah suami saya, insya-Allah, saya akan berkahwin juga.
"Walau sekalipun saya sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi kelak, memori saya bersama arwah suami tidak akan terus luput dari ingatan. Ia akan terus bersemadi dan kekal sehingga ke akhir hayat saya," ikrar penerbit drama yang karya terbitannya pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin sebanyak empat kali ini lagi.
Ziela Jalil Tak Mahu Fikir Soal Suami

Bukan mudah hidup sebagai ibu tunggal, segala keperluan keluarga harus diuruskan dengan kudrat wanita yang tidak seberapa. Kehilangan suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob tiga tahun lalu meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Ziela Jalil dan dua anaknya iaitu Puteri Julia Nabilah, 18, dan Megat Jufri Nasrullah, 16.
"Saya memang tak ada masa untuk fikirkan soal lain terutama bab berkahwin lain. Lagipun mak saya baru lepas menjalani pembedahan 1 Oktober lalu kerana barah payudara. Saya harus uruskan segala keperluan dia dan anak-anak buat masa sekarang. Dulu waktu suami sakit, saya yang jaga dia. Sekarang adalah masa untuk menjaga mak saya pula.
"Bila kita jumpa orang baru dalam hidup, banyak benda yang harus difikirkan dan perlukan komitmen untuk menjaga hubungan tersebut. Saya rasa tak mampu untuk buat begitu pada masa sekarang. Keadaan lebih aman begini.
"Memang diakui susah bila tiada suami. Kalau ada masalah kita tak ada tempat untuk mengadu.
"Waktu kehilangan suami dulu, saya pernah terfikir bagaimana nak teruskan hidup tanpa dia. Tapi syukur anak-anak banyak beri semangat untuk lalui semua ini. Anak-anak tak pernah tunjukkan kesedihan di depan saya kerana tak mahu saya sedih," ujarnya yang masih jelita pada usia 39 tahun.
Kembali Berlakon
Jika sebelum ini Ziela lebih selesa bekerja di belakang tabir dan jarang membuat kemunculan dalam drama atau filem, kali ini Ziela nekad menerima tawaran melakonkan watak Mak Wok dalam teater Natrah.
"Saya sendiri tak percaya akan berlakon dalam teater ini. Saya dah lama tak muncul dan tiba-tiba kena buat persembahan teater. Sebelum ini pernah juga dapat tawaran teater namun saya tolak sebab belum cukup bersedia.
"Risau juga dengan penerimaan orang, tambahan pula ini merupakan kali pertama saya berlakon teater. Tapi saya percaya Erma akan bantu pelakonnya untuk dapatkan hasil yang terbaik," kata penerbit syarikat produksi Pena Creative ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]







