Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Aku Masih Dara' Sekadar Filem "Biasa"


Barisan pelakon muda Aku Masih Dara. Dari kiri Asyraff Muslim, Yana Samsudin, Diana Amir, Raja Farah dan Farid Kamil.

DEK peredaran masa, perubahan gaya hidup dan pengaruh gejala sosial yang membelenggu golongan muda, reaksi segelintir anak gadis tentang isu dara telah banyak berubah.

Tidak dinafikan, masih ramai gadis yang berpegang teguh pada prinsip dan pegangan agama. Namun, tidak kurang juga yang memandang enteng isu tersebut. Dara atau tidak, perkara itu jatuh nombor dua.

Apa yang lebih penting adalah untuk menikmati zaman muda ini sepuas-puasnya. Lantas, ramai gadis yang mudah berkompromi mengenai kedaraan masing-masing serta kabur dalam menilai perkara yang buruk dan baik.

Atas kesedaran itu, penggiat filem Ahmad Idham tidak ketinggalan untuk menunjangi tanggung jawab sosialnya menerusi filem terbaru Aku Masih Dara (AMD).

Bukan saja untuk dijadikan wadah hiburan, malah filem ini turut bertindak sebagai platform bagi menyampaikan mesej dan pengajaran untuk renungan para gadis, keluarga dan anggota masyarakat.

Menerusi air tangannya kali ini, Idham memilih isu dara dan gejala sosial di kalangan remaja sebagai subjek penceritaan.

Tiga dara yang 'hanyut' dalam gejala sosial (dari kiri) Hani (lakonan Diana Amir), Sofea (Raja Farah) dan Aleesya (Yana Samsudin).

Namun, di sebalik subjek yang sarat dengan mesej ini, AMD lemah pada mutu skrip yang boleh disifatkan longgar dan pincang.

Pendek kata, dek kedangkalan skrip filem itu, persembahan visual AMD seakan berada pada takuk yang lama dan klise.

Paparan imej kelalaian remaja, budaya berpesta, pergaulan bebas, disko, dadah, seks dan segala macam gambaran negatif yang membelenggu remaja ini tidak dipaparkan dalam konteks yang lebih segar atau berbeza.

Bagi yang mampu memejamkan sebelah mata dan sekadar ingin berhibur, filem ini tidak 'memualkan' untuk ditonton. Jauh sekali untuk anda bangun dan meninggalkan pawagam.

Sebagai penonton yang matang, kita seharusnya menghargai dan merenungkan intipati yang tersirat di sebalik kekurangannya.

Ini kerana, secara kolektifnya persembahan AMD boleh dianggap seimbang pada konteks hiburan, lakonan dan mesejnya, meskipun ia terhasil pada gred sederhana saja.

Pengarah Ahmad Idham bijak mewarnai subjek yang berat tentang isu gejala sosial dalam bentuk hiburan yang ringan.

Agak memburukkan keadaan, paparan filem ini dirumitkan pula dengan aksi para pelakon yang tidak memberangsangkan.

Rata-rata, penterjemahan barisan pelakonnya seperti Yana Samsudin (sebagai Aleesya), Raja Farah (Sofea), Diana Amir (Hani), Farid Kamil (Zachery) mahupun Asyraf Muslim (Firdaus) bagaikan berlagu tanpa irama.

Penterjemahan lakonan masing-masing serba tidak kena dan gagal bersatu dalam plot filem ini. Ia boleh dianggap sebagai lakonan secara luaran saja yang gagal menawan emosi penonton.

Bagaimanapun, percaturan Idham yang menyampaikan isu yang berat dan sensitif ini dalam bentuk hiburan ringan dan komersial adalah kepintaran yang wajar dipuji.

Tidak perlulah membandingkan AMD dengan filem-filem lain kerana pengarah ini punya pengikut dan gaya tersendiri dalam berkarya.

Mungkin filem ini tidak sempurna, namun ia masih boleh ditonton terutamanya bagi penggemar bakat-bakat pelapis tanah air itu.

Babak melibatkan Farid Kamil dan Diana Amir di kelab malam.

Berkisar kepada masalah sosial yang membelenggu remaja hari ini, AMD memfokuskan kepada kehidupan tiga sahabat iaitu Aleesya (Yana Samsudin), Sofea (lakonan Raja Farah) dan Hani (Diana Amir) yang berlainan latar belakang serta hanyut dalam godaan hidup penuh ranjau.

Aleesya mempunyai asas agama yang kukuh. Namun persekitaran hidupnya yang serba moden dan sering bersosial menyebabkan dia leka pada tuntutan agama.

Hidup Sofea yang kosong, serba moden dan kebaratan tanpa didikan agama menjadikan dia kurang tenang dan sentiasa tercari-cari arah hidup yang sebenar.

Manakala, kehidupan Hani pula bertentangan dengan dua rakannya yang lain. Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, Hani hilang pertimbangan lalu mengambil jalan mudah dengan menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan bersama teman lelakinya Zachery (Farid Kamil).

Namun, semuanya berubah apabila Firdaus (Asyraf Muslim) iaitu sepupu Aleesya yang kuat agama muncul dalam kehidupan mereka bertiga.

Aku Masih Dara ditayangkan di pawagam bermula 16 Disember 2010.

Tak suka? Tolaklah baik-baik - Zizan Nin

Kecoh apabila pihak pengurusan Zizan Nin dikatakan menuntut bayaran yang tak masuk akal iaitu RM 40,000 daripada syarikat produksi teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) untuk pementasan kedua teater tersebut.

Dalam teater itu Zizan Nin di undang memegang watak yang serupa ketika MTM musim pertama dulu iaitu watak Mahathir ketika remaja.

Niezam sedikit tidak mempersoalkan berapa puluh ribu pun sesebuah syarikat pengurusan artis hendak meletakkan bayaran.

Adat orang berniaga memang macam itulah. Kalau suka, beli tak suka, tak payahlah.Tapi yang Niezam agak tak puas hati apabila pengurusan Zizan Nin berkata mereka sengaja letakkan bayaran yang tinggi.

Sebabnya mereka memang tak mahu Zizan berlakon dalam teater itu kerana tak puas hati dari segi bayaran asal yang ditawarkan.

Alang-alang nak tolak tawaran, biar mereka letak jumlah yang melampaui batas kerana mereka tahu, produksi berkenaan tentu tidak boleh menerima tawaran itu.

Tapi kenapa letak RM40,000? Alang-alang nak buat kejutan letakkan harga RM100,000!

Nak ikutkan itu bukan cara rundingan yang baik. Kalau tak mahu lepaskan Zizan atau tak puas hati dengan tawaran yang diberikan, cakap terus terang.

Niezam pasti, pihak produksi MTM pun tak akan paksa dan bawa ke mahkamah kalau Zizan tak mahu berlakon dalam teater terbitan mereka itu.

Kesan yang dibuat dengan meletakkan harga tinggi bagi menolak sesuatu permintaan bukan langkah yang baik.

Ia secara tak langsung menjejaskan reputasi Zizan sendiri sebagai orang yang sememangnya cari makan dalam dunia seni seratus peratus.

Ia juga memberi impak negatif kepada syarikat pengurusan Zizan yang selepas ini akan dilihat sebagai syarikat yang tidak profesional dalam menguruskan artis mereka.

Malah secara tidak langsung Zizan akan membawa nama buruk yang dibuat oleh orang lain.

Jadi selepas ini kalau ada mana-mana artis atau syarikat pengurusan artis letak bayaran yang tak munasabah, promoter-promoter show semua kena fahamlah ya.

Bagus... Nabil Tahu Orang Tak Suka


NIEZAM tersenyum sampai ke telinga apabila membaca komen Nabil Raja Lawak dalam sebuah akhbar.

Kata Nabil, dalam dunia ni bukan semua orang suka dia... Jadi apa yang dia buat tak semestinya semua orang boleh terima.

Niezam sokong sejuta peratus kenyataan Nabil tu. Memang betul Nabil, dalam dunia ini tak semua orang ada perasaan suka kepada orang lain.

Sifat manusia memang macam tu iaitu sifat mempersoalkan sesuatu perkara adalah lebih banyak daripada sifat untuk menyelesaikan sesuatu benda.

Niezam tak salahkan Nabil untuk memberi kenyataan itu kerana Niezam tahu selama ini ramai yang sukakan Nabil.

Kalau tidak takkan orang sanggup buang duit pilih Nabil jadi juara Raja Lawak dan Artis Komedi Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular 2009).

Semua itu menunjukkan orang sememangnya sukakan Nabil. Tahniah Nabil kerana tak semua orang yang dapat peluang untuk disukai seperti apa yang Nabil peroleh itu.

Tapi Nabil kena fikir satu benda, apabila orang sudah mula sukakan kita, jangan sesekali melakukan sesuatu yang membuatkan mereka benci. Itu yang harus Nabil fikir sebelum mempersoalkan kenapa orang membenci diri kita.

Orang membenci sesuatu perkara kerana ada sebabnya. Tiada ada orang benci sesuka hati.Bila Nabil sudah jadi artis, banyak benda yang harus Nabil jaga iaitu diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan peminat.

Jika semua itu penting dalam diri Nabil, maka Nabil harus berwaspada dalam setiap gerak geri Nabil sebelum melakukan sesuatu perkara yang membuatkan orang benci.

Jadi, hari ini apabila ada orang membenci Nabil, cuba Nabil lihat apa yang sudah Nabil buat? Hanya Nabil saja yang tahu.

Faizal Yusup Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Pelakon Mohd Faizal Yusup, 33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di sini, Sabtu, kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung.

Menurut abangnya, Shaiful Yusup, 35, Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul.

Akibat kejadian itu, Shaiful dan isteri Mohd Faizal iaitu Rosmunira Rashid, 27, membawa Faizal ke Pusrawi untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 10 pagi.

"Ketika di hospital, Faizal mengadu dadanya sakit dan berusaha untuk bangun sendiri tetapi saya halang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusrawi di sini, Sabtu.

Tambah Shaiful, ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung apabila salah satu saluran pada jantungnya tersumbat.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin kritikal sehinggalah dia disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, bekas isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 25, yang ditemui berkata Faizal ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk bercakap dengan anak mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, tetapi anaknya tiada bersama Nana pada ketika itu.

Bagaimanapun, pada petang Sabtu, Nana mendapat panggilan telefon mengatakan Faizal dimasukkan ke hospital dan dia mahu melihat anaknya.

Berikutan itu, Nana sempat membawa Muhammad Rayyan ke hospital dan Faizal sempat berjumpa dengan anaknya itu.

Selepas berpisah dengan Nana, Faizal mendirkan rumahtangga dengan Rosmunira yang kini mengandung lima bulan pada awal tahun lalu.

Turut kelihatan menziarahi Allahyarham di hopsital, pelakon Amyza Aznan, Zulkifli Ariffin, Pierre Andre, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Liyana Jasmay dan Tania Hudson.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Sentul, Sabtu dan dijadualkan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Ahad.

2010 tahun bersih Fasha


PENGLIBATAN aktres Fasha Sandha dalam dunia seni baru menjangkau usia enam tahun, tetapi boleh dikatakan dia merupakan aktres paling banyak muncul di muka depan akhbar tempatan kerana kontroversi hangat yang dicetuskannya.

Sebelum hangat dengan isu merampas suami aktres Nora Danish, Toh Muda Rizal Ashram atau Jejai lagi, Fasha sudah dicop sebagai perampas kekasih orang tetapi namanya semakin panas apabila berperang mulut dengan Nora Danish dan Tiz Zaqiyah sehinggalah dia membuat pengakuan secara rasmi hatinya milik Jejai pada Julai lalu.

Sejak pengakuan cinta itu dibuat, nama Fasha mula bersih apabila masyarakat menerima status baru Fasha tersebut dengan hati terbuka dan dia kembali menjadi buruan pihak penerbit selepas berehat hampir setahun kerana dipulaukan pihak media.

Fasha yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini menghembuskan nafas lega kerana dirinya telah diterima kembali oleh masyarakat meskipun masih ada yang mencemuh. Akuinya tahun 2010 ditinggalkan dengan penuh kemanisan. Azamnya tahun untuk tahun 2011 adalah mengurangkan imej seksi. Disoal mengapa? Jawab Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, azam itu timbul kerana peminatnya.

"Tahun ini tahun terakhir saya berimej seksi, tahun depan saya akan kurang seksi atas pemintaan peminat kerana mereka tidak suka melihat saya memakai pakaian yang terlalu terdedah. Jatuh dan bangun saya dalam dunia seni kerana peminat.

"Peminat merupakan tulang belakang nombor satu dalam kerjaya saya. Apabila sering ditegur saya sedar sesuatu perubahan perlu dilakukan dan saya tidak lagi memakai mini skirt. Saya mula dalam dunia seni sebagai model dan sudah terbiasa menyarungkan apa jua pakaian yang disediakan tetapi selepas ini seksi saya ada batas,"ujarnya.

Ditebak lagi, mungkinkah keputusan itu dibuat atas permintaan kekasihnya? Kata Fasha, keputusannya untuk kurang seksi bukanlah paksaan daripada sesiapa.

"Tiada siapa paksa kerana saya lakukannya dengan rela hati. Saya mengambil nasihat daripada peminat dan saya jadikan Erra Fazira sebagai contoh dalam penampilan, dia bijak bergaya tetapi tidak seksi. Selain itu, usia saya semakin bertambah, tidak elok untuk saya memakai baju terlalu terdedah," jawabnya yang mendapat sokongan penuh keluarganya untuk perubahan tersebut.

Model tudung

Fasha yang dalam proses perbincangan untuk menjadi model tudung satu jenama terkenal memberitahu, dia masih Fasha Sandha yang sama cuma penampilannya sahaja bakal berubah.

"Saya masih Fasha Sandha yang sama, saya lakukan perubahan secara perlahan-lahan ke arah menjadi manusia yang lebih baik. Dalam masa terdekat ini saya selesa untuk katakan saya akan kurangkan seksi, untuk memakai tudung biarlah perkara itu terjadi secara semula jadi tanpa paksaan mana-mana pihak," luah aktres kelahiran Johor Bahru itu lagi.

Tahun 2010 juga merupakan tahun yang cukup bermakna bagi Fasha apabila dia secara rasminya menjadi kekasih kepada Jejai setelah sekian lama berdolak-dalik mengenai status hubungan mereka.

Pada usia 26 tahun, percintaannya dengan Jejai, 34, diketahui umum apabila Jejai membuat kejutan dengan melawat Fasha di set penggambaran drama Duyung Aridinata dengan menaiki helikopter ke Pulau Lang Tengah, Terengganu sekitar bulan Mei diikuti dengan pengakuan cinta daripada Fasha dan Jejai sendiri pada Julai lalu.

Sejak itu, ramai pula bertanyakan tarikh perkahwinan mereka memandangkan sebelum ini heboh diperkatakan perihal pasangan ini bakal bernikah. Bagi Fasha, segala kejadian yang berlaku ada hikmah sebaliknya.

"Sekarang saya bahagia dan gembira dengan kehidupan yang saya miliki. Saya sudah umumkan hubungan kami dan saya bersyukur kerana peminat dan pihak media sudah boleh menerimanya. Saya rasa lega kerana tidak perlu lagi bercinta sorok-sorok," ucapnya lagi.

Akui wanita yang berketinggian 168 sentimeter ini, dia kini sudah bersedia untuk bergelar isteri bagaimanapun menegaskan bahawa soal perkahwinan masih belum ada dalam perancangannya.

"Saya tidak tahu apa akan terjadi esok tetapi buat masa ini kami belum berbincang perihal kahwin. Rasanya perkahwinan masih terlalu jauh kerana perkara paling utama adalah kerjaya saya sekarang.

"Kalau ikutkan perancangan, saya ingin mendirikan rumah tangga sebelum usia 30 tahun. Jika umur saya 30 tahun sekarang ini, mungkin saya akan risau tentang perkahwinan.

"Rasanya sudah terlalu banyak saya bercakap tentang Jejai setiap kali ditemubual, jadi rasanya lebih baik tahun depan saya beri fokus kepada kerjaya berbanding kisah peribadi,"bicaranya mengharapkan percintaannya itu berkekalan.

Chinta lonjakkan nama

Imej Fasha yang tercalar dek kontroversi nampaknya berjaya dipulihkan. Wajahnya semakin kerap menghiasi kaca televisyen juga sibuk dengan sesi fotografi. Ujarnya. tinggal beberapa hari sahaja dirinya akan bercuti bersama teman-temannya tetapi jadualnya dipenuhi sesi fotografi.

Profil lakonannya juga semakin baik, drama bersiri Chinta berjaya melonjakkan namanya sebagai aktres yang berbakat selepas dia pernah mencetuskan fenomena dengan drama Natasha.

"Sudah lama saya menunggu untuk peminat memanggil saya dengan nama watak saya. Selepas Natasha, sekarang peminat panggil saya dengan nama Chinta, itu satu kepuasan buat saya. Maknanya karakter saya meninggalkan kesan.

"Kini, saya sudah boleh pilih skrip. Kalau watak itu bakal meninggalkan kesan, saya buat. Saya tidak mahu mengambil semua tawaran tanpa memikirkan impaknya, jadi saya memilih demi profil sebagai pelakon,"tuturnya.

Fasha juga berazam untuk menjadi orang yang lebih baik serta memiliki kerjaya lakonan yang cemerlang sepanjang tahun 2011.

"Terlalu banyak pengalaman tetapi masih banyak harus dipelajari untuk untuk bergelar pelakon yang berjaya. Tahun 2010 saya tinggalkan dengan kebahagian saya berharap saya dapat bawa tuah saya ke tahun 2011," luahnya mengakhiri bicara manis 2010.

Artis Kongsi Azam Sempena 2011

PETALING JAYA: Apabila tahun 2010 melabuhkan tirainya, umum pastinya mendoakan kehadiran tahun 2011 lebih bermakna dalam hidup berbanding tahun sebelumnya.

2011 yang menjelang memberi erti kepada sebahagian besar artis-artis kita. Ada yang ingin mendirikan rumah tangga, ada juga yang ingin mengukuhkan kerjaya agar memperoleh pendapatan yang lebih sebagai tuntutan nafkah kehidupan.

Malah ada juga yang ingin menjalankan hidup kearah kebaikan dan membuang keburukan diri yang ada pada diri masing-masing.

Begitu juga dengan selebriti-selebriti tempatan, mereka juga sudah merancang perkara yang terbaik dalam hidup dan yang mana tidak sempat dilaksanakan pada tahun 2010. Perancangan itu akan dibawa ke 2011.

Hans IsaacSelamat tahun baru 2011. Jangan selalu fikirkan tentang kerjasehingga lupa keadaan di sekeliling. Kita kena cari hidup yang seimbang. Carimasa untuk kerja, diri-sendiri, keluarga dan percutian. Jaga diribaik-baik.

Fizz Fairuz:Selepas saya kalah sebanyak dua kali dalam Anugerah Skrin 2009 danAnugerah Bintang Popular 2009, saya mahu menang banyak anugerah padatahun 2011. Saya akan mencari kekurangan dan penyebab kekalahan untuk membaikikelemahan yang ada.

Syed Aiman:Saya berharap kerjaya saya lebih berjaya pada 2011. Kalau boleh sayanak aktif semula dalam lakonan seperti dahulu.
Fahrin Ahmad:Saya mahu memperlahankan karier seni saya dan mengubah transisi hidup.

Iqram Dinzly:Saya nak menunaikan haji di Mekah dan mendirikan rumah tangga. Sayajuga mahu meningkatkan jati diri. Apabila kita sudah kenal diri sendiri, baru kita boleh mengenali erti kemanusiaan.

Nita Hamzah Memandangkan saya agak lama sepi tanpa lagu baru, saya akan tumpukan perhatian dalam kerjaya dengan kemunculan single lagu terbaru. Insya-Allah, tahun ini akan jadi lebih baik dari tahun-tahun lepas.

Datuk Siti Nurhaliza Saya mahu terus menjadi insan yang berjaya sama ada dalam kehidupan, karier dan perniagaan. Selain itu saya mahu meneruskan agenda 2011 yang masih belum dilaksanakan seperti konsert, album dan sebagainya. Saya harap, tahun 2011 akan membuka rezeki lebih luas kepada saya dan keluarga.

Erry PutraKalau boleh saya nak kahwin tahun ini walaupun masih belum bertemu dengan calon yang sesuai. Saya juga ingin berjaya dalam bidang nyanyian dan lakonan di samping berjaya di bidang perniagaan dan membuktikan insan seni juga boleh berjaya. Selain itu saya ingin tingkatkan keimanan saya kepada Allah serta berjaya dalam kehidupan.

Alyah Saya nak kuruskan badan serta ingin menjadi duta produk tidak kira air mineral, kopi atau teh. Dalam pada itu, saya berharap agar perancangan untuk membuat konsert mini tercapai.

Fazli Zainal Nantikan single terbaru saya, Suara Hati yang dicipta oleh Sharon Paul dan Ahmad Fedtri Yahya. Saya tidak ada terlalu banyak harapan. Cuma mengharapkan agar industri muzik Malaysia bangun semula seperti semangat bola yang berlaku baru-baru ini. Macam itulah semangat yang kita kena ada. Bukan sekadar pemain yang bertarung tetapi peminat perlu menyokongtanpa berbelah bahagi. Selain itu saya harap stesen radio mula menyokong lagu-lagu tempatan.

Scha Al-Yahya Saya ingin menjadi seorang anak yang lebih baik dan seorang pelakon serta pengacara yang serba boleh. Kemudian saya ingin ingin mempelbagaikan watak dalam lakonan.

Rabecca Nur Al-Islam Dengan kekuatan tenaga yang ada, saya ingin bekerja dengan lebih kuat sehingga ke tahap mendapat anugerah. Kemudian saya ingin membina sebuah keluarga yang bahagia hingga ke akhir hayat.

Hunny Madu Semoga saya menggunakan masa dengan lebih produktif, belajar bahasa Sepanyol serta membanyakkan membaca berbanding tahun 2010 dan pada asa yang sama, saya ingin terbitkan album penuh sendiri bersama syarikat Mtertain Sdn Bhd.

Zizan Raja Lawak Ingin menjadi orang yang lebih berdisiplin, cool, maju dan bijak. Saya juga ingin menjadi duta bagi kempen 'Tak Nak Pada Rokok'. Selain itu, saya ingin memberi kesenangan hidup kepada ibu dan ayah saya.

Farah AsyikinSemoga saya dipanjangkan umur dan sihat walafiat agar dapat menjalankan perancangan yang ada dengan lancar. Semain itu saya berdia untuk dimurahkan rezeki.

Mahu Tiru Aaron Aziz, Taufik Batisah Ingin Ke Malaysia


PETALING JAYA: Penyanyi Singapura, Taufik Batisah, 29, bakal mengikut jejak langkah aktor Aaron Aziz apabila bercadang untuk mengembangkan karier nyanyiannya di Malaysia.

Menurut Taufik , dia ingin memberi nafas baru pada kerjayanya dengan menarik perhatian peminat-peminat muzik tempatan semula memandangkan dia pernah popular seketika sebelum ini dengan lagunya, Usah Lepaskan.

"Insya-Allah, tahun depan saya akan turun ke Malaysia untuk memulakan karier nyanyian saya. Bukan setakat menyanyi, bahkan saya juga akan cuba berlakon dengan produksi-produksi tempatan, walaupun saya tak pernah menerima sebaran tawaran berlakon di sini (Malaysia) sebelum ini.

"Penghijrahan ini bukan kerana tidak ada tawaran kerja di Singapura, tetapi saya cuma ingin mengembangkan lagi bakat yang ada.

"Setakat ini, di Singapura, saya kurangkan aktiviti nyanyian dan fokus dengan lakonan dimana saya berlakon dalam teater muzikal yang berjudul, Fried Rice Paradise.

"Biasalah, di Singapura, pasaran industri hiburan kecil. Jadi, penghijrahan saya di Malaysia mungkin memberi lebih rezeki buat saya," katanya.

Taufik bersama Amy Search pada Konsert Gempak Astro Revo, baru-baru ini.

Tambah bekas juara Singapore Idol ini, dia berharap, kehadirannya ke industri hiburan tempatan diterima dengan hati terbuka oleh para penggiat dan peminat seni tanah air.

Dalam pada itu, Taufik tidak takut jika peminat-peminat di Singapura memarahinya berhijrah Malaysia kerana dia percaya peminat-peminatnya pasti faham dengan impian yang ingin dikecapinya.

"Setiap orang mempunyai "lubuk" rezeki masing-masing dan begitu juga dengan saya. Tetapi saya tetap akan menerima tawaran di Singapura sekiranya ada dan ia terpulang kepada jadual.

"Memandangkan sudah hampir tiga tahun saya tidak ada album baru, tahun 2011 mungkin membuka peluang untuk saya membikin album baru atau sebagai permulaan, saya keluarkan dengan single dahulu di mana saya sendiri yang mencipta lagu tersebut," ujarnya yang akan berkahwin dalam jangka masa empat tahun lagi.

Ayu Raudhah Rasa Rugi Zaquan Tidak Bersama 'Harimau Malaya'


PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah teringin melihat tunangnya, Zaquan Adha Abd. Radzak menyertai pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya, yang berjaya meraih gelaran juara buat kali pertama pada Piala AFF Suzuki yang diadakan do Jakarta, Indonesia, Rabu lalu.

Beritahu Ayu, walaupun Zaquan tidak dapat bersama pasukan tersebut untuk menumpaskan pasukan lawan kerana mengalami kecederaan, dia sekadar memberi sokongan dengan menyaksikan perlawanan bola sepak itu.

"Memang terasa rugi pula bila Zaquan tiada dalam pasukan itu. Tapi nak buat macam mana, dah bukan rezeki dia. Tambah pula dia perlu berehat lagi dua bulan untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.

"Tapi kami tetap menyokong pasukan itu, sampaikan kami menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil bersama penonton-penonton lain. Bila pasukan kita menang, kami begitu teruja dan seronok kerana semangat mereka ketika bermain menentang pasukan lawan Indonesia begitu tinggi.

"Saya harap, pasukan bola sepak negara kita akan lebih maju dan kejayaan ini sebagai permulaan untuk meneruskan perjuangan sehingga ke Piala Dunia," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Sementara itu, persiapan perkahwinan pasangan tersebut telah pun siap hampir 70 peratus.

Ayu yang bakal bernikah dengan Zaquan pada 20 Januari ini di Alor Setar akan menerima sebanyak lapan dulang hantaran berbalas lapan. Majlis resepsi akan diadakan pada sebelah malam.

"Alhamdulillah, semua persiapan perkahwinan diuruskan oleh kakak saya, Jaja. Majlis di pihak lelaki pula akan diadakan pada 30 Januari 2011 di Negeri Sembilan.

"Perasaan saya kini bercampur baur. Berdebar ada, teruja ada, takut pun ada. Maklumlah, bila nak tukar status dari bujang kepada isteri orang, pasti rasa janggal bukan.

"Insya-Allah, segala perancangan dibuat berjalan dengan lancar dan harap saya dapat menjadi isteri yang lebih baik. Mungkin selepas bergelar isteri, saya akan kurangkan kerjaya lakonan," katanya.

Kedatangan 2011, Faizal Tahir Mahu Tambah Anak


PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir, berhasrat untuk menambahkan bilangan ahli keluarganya apabila mahu mendapatkan seorang lagi anak pada tahun ini.

Sehingga kini Faizal telah pun memiliki tiga orang anak, Ahmad Mikaeel Zidane (4), Siti Raudhah Nur Iman (2) dan Ahmad Rifa’ie Zidane (1), hasil perkahwinannya dengan isteri, Siti Raihanim Noran.

"Selain perancangan pembikinan album baru, saya juga mahu tambah anak," beritahu Faizal.

Tambahnya, penambahan seorang lagi cahaya mata dalam keluarganya pasti menggembirakan dirinya dan isteri.

Dalam pada itu, menjadi seorang suami, bapa dan lelaki dewasa juga membuatkan Faizal lebih selesa berkarya tanpa memikirkan untuk memperoleh sebarang kemenangan anugerah.

Ini termasuklah Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) yang akan berlangsung pada 9 Januari ini dimana lagu Hanyut dan Selamat Malam dipertandingkan pada acara itu.

"Dengan kehebatan penyanyi-penyanyi lain seperti Yuna, Meet Uncle Hussein, Hujan dan sebagainya, saingannya agak sengit. Apa-apapun saya tidak pernah mengharapkan kemenangan.

"Cuma saya ingin persembahan saya pada malam itu boleh diingati penonton-penonton. Mungkin sesetengah penyanyi lebih memberi fokus pada kualiti vokal. Tetapi persembahan dengan gimik tertentu di pentas AJL yang akan saya lakukan.

"Lagipun, dengan umur saya yang sudah berusia serta status sebagai seorang bapa, cara pemikiran agak berlainan apabila menyertai sesebuah pertandingan. Lainlah kalau saya berumur 20-an, keterujaan untuk menang pastinya ada," katanya.

Faizal Tahir dikhabarkan akan cuba untuk menyanyi dalam air di sebuah kolam besar di atas pentas AJL25 nanti.

Maizawati Patah Tangan, Kandungan Selamat


PETALING JAYA: Bekas isteri penyanyi Nasyid Akhil Hayy iaitu Maizawati Zainal,36, (gambar) selamat menjalani pembedahan selepas tangan kirnya patah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Ipoh, Perak tiga hari lalu.

Maizawati yang baru sedarkan diri, Jumaat ditempatkan di wad ortopedik, Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.

Suaminya, Mohd. Yassin Ben @ Abd. Rahim,23, ketika dihubung mStar Online Jumaat berkata, Maizawati dijangka ditahan di hospital berkenaan sehingga 4 Januari ini tetapi doktor akan memanjangkan tempoh rawatan sekiranya perlu.

“Syukurlah... hari ini (Jumaat) dia sudah sedar akibat kemalangan itu. Tangan kirinya akan dimasukkan besi,” katanya.

Dalam kejadian pada 28 Disember lalu, kereta Proton Gen 2 yang dinaiki Mohd Yassin bersama Maizawati terlibat dalam kemalangan ketika mereka dalam perjalanan dari Medan Gopeng ke Bercham di Ipoh.

Kemalangan tersebut berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi selepas mereka menghantar keluarga angkat Mohd Yassin ke perhentian bas Medan Gopeng yang ingin pulang ke Singapura selepas bercuti.

Kenderaan yang dipandu Maizawati itu dikatakan terbabas apabila sebuah Proton Wira tiba-tiba membelok di satu selekoh menyebabkan wanita itu terlanggar kenderaan berkenaan.

Turut berada dalam kereta mereka termasuklah tiga daripada enam orang anak hasil perkahwinan Maizawati yang terdahulu iaitu Siti Maisarah,14, Mohd. Syarif Hidayatullah,12, dan Mohd Syatiri,3.

Suami dan anak-anak hanya mengalami cedera ringan.

Ditanya mengenai kandungan Maiza yang sekarang berusia lima bulan, Mohd Yassin berkata, kandungan itu selamat walaupun berlaku sedikit pendarahan.

Selain patah tangan Maizawati turut mengalami luka pada lutut kiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails