Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ery Zukhairi suka ‘lepak’ di rumah


RUMAHKU Syurgaku! Itulah ungkapan sesuai untuk menggambarkan diri aktor baru dunia seni tanah air, Ery Zukhairi yang lebih suka mengisi kekosongan jadual hariannya dengan ‘memerap’ di rumah.

Baginya, menghabiskan masa di rumah adalah saat-saat yang amat ditunggu-tunggu. Tidak terbeban dengan sebarang permasalahan, rumah memberikan Ery kepuasan di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Masa-masa terluang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ery atau nama sebenarnya Syed Ahmad Zukhairi Nur Mahamad Shah dengan membaca pelbagai bahan bacaan yang menjadi koleksi peribadinya.

Tabiat membaca yang telah sebati dengan dirinya itu diwarisi daripada sang ayah yang juga berkongsi minat sama.

“Sejak kecil saya sudah dilatih untuk membaca pelbagai bahan bacaan dan membaca sudah menjadi sebahagian dalam hidup saya.

“Adakalanya apabila terlalu khusyuk sangat membaca, saya terlupa untuk menjamah sebarang makanan,” kata anak kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu.

Bagi Ery membaca memberikannya satu kepuasan dalam menambah pengetahuan yang ada bagi mengharungi dunia yang penuh mencabar.

Bagaimanapun, Ery tidak menjurus untuk membaca bahan-bahan tertentu tetapi membeli apa sahaja yang dirasakan menarik termasuklah novel, majalah ataupun komik untuk dijadikan sebagai koleksi.

Tidak cukup dengan itu, jelas bapa kepada Imelia Nabila, 6, dan Imellyn Darwina, 4, selain membaca kebanyakan masa di rumah banyak dihabiskan dengan bersenam untuk memastikan tahap kesihatan tidak terganggu.

“Sebelum ini saya juga seperti orang lain yang kebanyakannya leka dan kurang bersenam. Namun setelah menonton lakonan sendiri dalam drama Penunggu Gunung Raya pertengahan tahun lalu, saya merasakan bentuk badan saya terlalu besar.

“Sejak itu saya tekad untuk mengurangkan berat badan dan Alhamdulillah dalam masa dua bulan saya berjaya mengurangkan hampir 20 kilogram berat badan,” jelas pemegang watak Khalif dalam filem Momok 2 Jangan Panggil Aku.

Bagi memastikan senaman yang dilakukan itu berterusan, Ery memperuntukkan dua jam sehari untuk membuat senaman-senaman ringan di rumah seperti sit-up dan bermain halter (dumbbell).

Namun bagi melengkapi rutin senaman, Ery juga mengikuti kelas senaman di gimnasium dua hari seminggu.

Antara aktiviti lain yang dilakukan Ery di rumah adalah meluangkan masa untuk bermain bersama dengan kedua-dua puteri kesayangan.

“Selalunya saya akan meluangkan masa untuk menonton televisyen bersama anak-anak. Sebelah petang pula saya akan membawa mereka keluar ke taman permainan berhampiran.

“Sebab itu saya suka berada di rumah. Telatah anak-anak sedikit sebanyak menghiburkan hati saya,” ujar Ery yang mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan skrip.

Walaupun banyak menghabiskan masa terluang di rumah, sesekali Ery akan keluar untuk bermain boling bersama dengan rakan-rakannya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails