Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Wan Sharmila ditipu mekanik


BAGAI jatuh ditimpa tangga, mungkin itulah pepatah yang tepat untuk menggambarkan nasib yang menimpa pelakon tinggi lampai Wan Sharmila Wam Muhamad.

Sudahlah kereta yang dimilikinya meragam sehingga terpaksa dihantar ke bengkel, empunya bengkel pula mengambil kesempatan di atas kelemahannya sebagai seorang perempuan.

Episod duka pelakon drama Kisah Kaisara itu bermula apabila dia menghantar keretanya yang rosak ke sebuah bengkel dan berurusan secara terus dengan mekanik bengkel berkenaan.

Akibat tertarik dengan gaya dan penampilan mekanik itu, Wan Sharmila, 30, kerugian beribu ringgit apabila dia seolah-olah terpukau dan terus mempercayai segala omongan yang keluar daripada mulut mekanik itu.

Sudahlah kerosakan keretanya tidak dibaiki dengan sempurna, mekanik yang mengaku bujang itu rupanya telah beristeri.

Bayangkanlah jika kita berada dalam situasi yang dilalui pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor itu, pastinya perkara sebegitu mampu untuk meledakkan amarah dalam diri.

Walau apa pun, itu hanyalah watak yang akan dilakonkan oleh Wan Sharmila dalam salah satu daripada 13 episod drama arahan Shahrul Ezad, Langsai.

Langsai yang akan menemui penonton bermula 12 April ini merupakan sebuah drama yang diangkat daripada kes-kes yang dilaporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Drama yang diterbitkan oleh 3Line Media Sdn. Bhd. dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) selaku penaja utama dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan disiarkan di TV1.

Drama berkenaan juga memfokuskan isu-isu kepenggunaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna dengan hak, kuasa dan suara yang dimiliki pengguna.

“Walaupun kita kini di zaman Internet tetapi masih ramai di kalangan kita yang tidak tahu tentang hak dan kuasa yang kita ada sebagai pengguna,” jelas Wan Sharmila ketika ditemui pada pelancaran drama berkenaan baru-baru ini.

Tambahnya, drama berkenaan dapat menimbulkan kesedaran agar lebih berhati-hati apabila hendak mengeluarkan wang supaya tidak terpedaya dengan ayat-ayat manis peniaga.

“Apa yang penting jadilah pengguna yang bijak dan tahu apa yang harus kita lakukan apabila tertipu.

“Kita semua harus sedar bahawa sebagai pengguna kita mempunyai hak untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan seperti apa yang telah dijanjikan,” tegas pemegang watak Tirana dalam drama bersiri Tari Tirana itu.

Sementara itu, pengarah drama berkenaan, Shahrul Ezad Mohameddin berkata, apa yang dilihatnya adalah drama akan memberikan kesan yang lebih cepat kepada masyarakat bagi tujuan mendidik mereka ke arah yang lebih positif.

“Sebab itulah Langsai ini dihasilkan. Langsai akan memperlihatkan secara realitinya berkenaan apa yang sering terjadi dalam masyarakat kita apabila menyebut berkenaan dengan isu-isu kepenggunaan.

“Sebenarnya masih ramai di kalangan kita tidak tahu tentang hak-hak dan kuasa yang ada pada kita sebagai pengguna dan diharap setelah menonton Langsai, sedikit sebanyak ia boleh mengurangkan kes-kes penipuan yang melibatkan pengguna.

Tambah pengarah drama Emil Emilda itu lagi, dalam menyampai mesej kepada penonton, drama garapannya kali ini menampilkan jalan cerita yang ringkas ditambah dengan unsur-unsur jenaka.

Baginya, drama yang ringkas dan berjenaka akan lebih mudah untuk diterima oleh penonton selain lebih santai.

“Kalau kita buat dengan berat, selalunya mesej sukar disampaikan dan penonton kurang berminat untuk mengikuti drama kita.

“Jadi lebih elok ia dia buat secara ringkas agar dalam kita bergelak-tawa mesej itu dapat diterima dengan mudah,” ujarnya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh pembikinan

Langsai yang akan di siarkan di TV1 jam 7.30 malam itu, dia tidak mengalami sebarang masalah malah merasakan lebih bebas dan tenang dalam mengarahkan drama berkenaan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails