Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kerana sindiran anak-anak - Mac Ruhayu

HIDAYAH untuk berubah termasuklah bertudung atau menutup aurat bagi seseorang wanita itu boleh datang daripada pelbagai pihak. Dorongan itu ada yang datangnya daripada ibu, bapa, suami ataupun kawan-kawan yang prihatin demi untuk melaksanakan perintah agama. Bagaimanapun, bagi ibu tunggal seperti penyanyi Mac Ruhayu, hatinya pula paling terkesan apabila empat orang anak lelakinya yang paling banyak mengambil berat akan dirinya yang masih belum bertudung sebelum Ramadan tahun lalu. Menurut penyanyi berusia 39 tahun ini, empat anak lelakinya iaitu Muhd. Adzhim, 19, Muhd. Akhmal, 16, Muhd. Adib Azree, 13, dan Muhd. Adiel Adli, 10, banyak memberi galakan kepadanya supaya menutup aurat sejak beberapa tahun lepas lagi. Malah, Mac yang dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di Kuching, Sarawak turut mendapat banyak sindiran daripada anak-anaknya itu sehingga dia berfikir panjang, sekali gus terbuka hati untuk bertudung sehinggalah kini. “Saya mula bertudung dua hari sebelum bulan puasa tahun lepas. Sebelum ini, anak-anak saya selalu menyaran agar bertudung. Mereka tidaklah cakap secara terus tetapi macam menyindir atau perli saya sahaja setiap kali ada masa untuk berborak di rumah. “Antaranya mereka cakap, mak orang lain ramai yang sudah bertudung. Nampak lagi cantik dan bestlah tetapi mak kita ini tidak tahu bilalah agaknya. Lebih kurang macam itulah ayat anak-anak saya dalam kes ini. “Saya cakap perlahan-lahanlah. Mak engkau orang ini kan kerja menyanyi di kelab malam. Nak suruh saya berhenti kerja terus ke? Lepas itu engkau orang semua makan pasirlah nanti," cerita Mac kepada Hits tentang penghijrahannya daripada tidak menutup aurat kepada bertudung. Dia ditemui sewaktu hadir pada suatu majlis anjuran badan pengutip royalti pelaku muzik dan persembahan, Prism Berhad di Kuala Lumpur baru-baru ini yang mana dia merupakan salah seorang ahli badan terbabit. Ekoran dorongan, sokongan dan desakan anak-anaknya itu dia tidak berubah secara drastik, dia mula bermuhasabah diri serta berubah sedikit demi sedikit mengikut kemampuannya agar dapat istiqamah dalam mentaati suruhan Allah. “Saya tidak mahulah dikatakan bertudung kerana ikut cakap anak-anak. Saya bertudung atas dasar kesedaran dan kerana taufik serta hidayah daripada Allah. Sebab itu, saya cuba buat secara perlahan-lahan. “Pada mulanya, saya cuma pakai selendang yang tutup bahagian rambut sahaja. Selepas beberapa bulan saya pun cuba pakai tudung dan rasa selesa dan seronok sampailah sekarang ini. Selepas tengok saya bertudung anak-anak saya tidak ada komen apa-apa lagi. “Tidak lama selepas itu, saya juga mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi di kelab-kelab malam sejak Januari lepas kerana cukuplah setakat itu. Lagipun tidak sesuailah kalau bertudung menyanyi di kelab malam," ujarnya. Selepas tidak menyanyi di kelab-kelab malam, bekas artis syarikat rakaman antarabangsa, EMI ini banyak memberi tumpuan kepada perniagaan menjual kek selain membantu ibunya menguruskan perniagaan menjual makanan di sebuah medan selera di Sarawak. Ternyata penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Kita Ditakdirkan Bersama ini cukup bahagia dengan imej dan kehidupannya hari ini meskipun cuma menjalani kehidupan secara sederhana bersama anak-anaknya. “Saya jalankan bisnes buat kek di rumah dengan nama Mac Ruhayu Home Made Cake yang dibantu oleh anak-anak saya. Antara nama kek yang saya hasilkan adalah Harimau Malaya yang mana ada di antaranya saya jual secara satu bar atau sekeping kek dengan harga RM15. “Tetapi saya juga jual kek dalam bentuk sebiji atau satu acuan dengan harga sehingga RM70. Sejak menjalankan perniagaan ini yang pada mulanya hanya secara kecil-kecilan tiga tahun lepas saya dan sekarang ia semakin berkembang," katanya. Selain menjalankan perniagaan sendiri, Mac juga mula aktif dalam kerja-kerja amal sejak kebelakangan ini. Dia antaranya terbabit dalam Pertubuhan Baitul Fiqh yang disertainya sejak Disember tahun lalu bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Antara golongan yang mendapat perhatian dalam kerja-kerja yang dilakukannya secara sukarela itu adalah membantu ibu-ibu tunggal dan remaja-remaja yang menghadapi masalah sosial terutama di kawasan bandar. “Pertubuhan itu juga mempunyai aktiviti memberi makan kepada golongan gelandangan di bandar-bandar yang kami lawati selain aktiviti seperti menganjurkan majlis khatam al-Quran dan kelas-kelas ceramah yang mana saya ada juga menyedekahkan kek yang saya buat itu. “Pada masa sama saya juga aktif dalam aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan Artis 1Malaysia yang diketuai oleh Datuk D.J. Dave. Semua kerja yang saya lakukan itu semata-mata kerana tujuan amal jariah dan tanpa bayaran," jelasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails