Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Yana Samsudin. Show all posts
Showing posts with label Yana Samsudin. Show all posts
Persiapan Sederhana Yana Samsudin Sambut Kelahiran Bayi
Pelakon Yana Samsudin memberitahu dia dan suaminya Fadzil Zahari teruja dan tidak sabar untuk menunggu kelahiran bayi pertama mereka yang bakal dilahirkan pada minggu pertama Syawal ini.
Bagaimanapun, Yana atau nama sebenarnya berkata, dia juga masih belum menetapkan sama ada untuk bersalin di Kuala Lumpur atau di kampung halamannya di Yong Peng, Johor.
"Saya tidak tahu akan bersalin di mana kerana menurut doktor jika saya mahu bersalin di Kuala Lumpur saya tidak boleh balik kampung beraya, namun hati saya pula ingin menyambut raya bersama keluarga di kampung.
"Lagi pula, tahun ini giliran saya beraya di kampung halaman Yong Peng, Johor, setakat ini masih berfikir-fikir lagi," ujarnya.
Yana berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kesihatan dan kandungannya yang kini sudah mencecah lapan bulan.
Yana bergelar isteri kepada aktor dan penulis skrip Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015.
Sementara itu, ditanya tentang persiapan menyambut kelahiran bayi, Yana berkata, dia hanya membeli baju-baju dan barang keperluan bayi secara sederhana sahaja.
Katanya, sejak hamil, dia berasa kurang nafsu untuk membeli belah seperti sebelum ini.
"Saya banyak beli baju bayi sahaja, barang-barang lain tidak beli lagi, setiap kali keluar untuk beli barang saya tidak tahu untuk beli apa dan akhirnya beli baju sahaja.
"Sejak hamil pun saya jarang menghabiskan masa untuk membeli belah sehingga suami saya pun pelik kerana dia tahu saya seorang yang suka shopping," ujarnya.
Dalam pada itu, Yana berkata, dia belum bersedia untuk berkongsi jantina anak yang sedang dikandungnya bagi membuat kejutan kepada peminat.
Katanya, biarlah perkara itu diketahui selepas bayi sulungnya itu selamat dilahirkan.
Selain itu, berkongsi pengalaman sepanjang hamil, Yana berkata, dia tidak terlalu banyak karenah dan mengalami alahan seperti ibu mengandung lain.
Katanya, lapan bulan yang dilalui berjalan dengan lancar dan kandungannya mula kelihatan sejak memasuki bulan keenam.
"Saya mengetahui bahawa saya hamil pada usia kadungan tiga bulan dan pada masa itu saya rasa terkejut dan sedih kerana tidak menjaga kandungan itu.
"Tiga bulan itu saya banyak lakukan aktiviti termasuk menaiki kapal terbang, saya tidak mengalami alahan membuatkan saya tidak mengesyaki yang saya sedang hamil ketika itu.
"Selepas mengetahuinya saya rasa bersalah dan membuat keputusan untuk berehat sahaja sehingga selamat melahirkan bayi," ujar Yana.
Sementara itu, ditanya tentang kerjaya selepas bergelar ibu, Yana berkata, dia belum memikirkan lagi soal tersebut.
"Tawaran untuk filem dah ada selepas saya habis pantang, tapi saya tidak buat keputusan lagi kerana saya tidak tahu bagaimana keadaannya nanti.
"Kalau boleh memang saya ingin beri keutamaan kepada keluarga terlebih dahulu," ujarnya.
CUCI TANDAS AWAM - YANA SAMSUDIN & SUAMI DIPUJI RAMAI
Pelakon Yana Samsudin dan suami, Fadzil Zahari antara yang sudah pulang selepas raya di rumah keluarga suami di Kedah. Namun yang menariknya semasa singgah di RnR Sungai Perak, Yana dan Fadzil membuat kerja amal cuci tandas.
Tindakan mulia Yana dan suaminya itu membersihkan tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Perak menjadi viral di laman sosial Facebook.
Seorang individu yang turut sama berada di kawasan kejadian memuji tindakan Yana dan Fadzil kerana memudahkan pengguna yang berasak-asak di musim perayaan.
Yana serta Fadzil enggan memanjangkan isu itu dan sama sekali tidak menyangka ia menjadi viral dalam sekelip mata. Bagi Yana, tindakannya membersihkan tandas itu bukanlah kerana ingin menunjuk-nunjuk.
"Tidak timbul istilah ingin menunjuk-nunjuk kebajikan yang dibuat kerana apa yang kami lakukan adalah seikhlas hati. Saya sendiri tidak memuat naik gambar ketika suami membersihkan tandas wanita yang kotor kerana ada najis itu.
"Saya sebenarnya sedang beratur hendak menggunakan tandas, namun hidung saya terbau sesuatu yang sangat busuk. Malah, saya menutup hidung menggunakan tudung saya kerana tidak tahan dengan bau itu.
"Saya difahamkan air tiada dan ia menyukarkan lagi pengguna untuk menggunakan tandas. Saya meminta suami saya membelikan air mineral beberapa botol dan ada antaranya saya gunakan untuk menjirus di lantai tandas itu.
"Selepas selesai menggunakan tandas, saya dan suami mencari hos dari luar untuk membersihkan najis di dalam tandas itu. Namun, kecoh seketika apabila pekerja stesen minyak itu menghalang kami menarik hos itu," ujar Yana dipetik sebagai berkata.
Pengguna yang berada di tempat kejadian berkongsi pengalaman itu di laman sosial dan memuji sikap Yana. Pengguna itu turut meninjau keadaan tandas selepas itu dan mendapati ia sudah bersih.
Tambah Yana, beliau turut dikritik apabila memuat naik status meluahkan rasa geram berhubung keadaan tandas itu di akaun Facebook miliknya.
"Saya menegur dalam bentuk komedi di Facebook supaya pihak terbabit lebih sensitif dan berdisiplin ketika menggunakan tandas.
"Kepada pengguna, gunakanlah tandas dengan sebaiknya, tambah pula pada musim perayaan ini. Pihak stesen minyak pula, jika tiada air dan sebagainya, lebih baik letakkan peringatan sebelum pengguna menggunakan tandas," jelasnya.
Tindakan ikhlas pasangan itu membuatkan wanita yang melihat sendiri situasi itu mula meminati dan kagum dengan selebriti berkenaan sedangkan beliau sebelum ini mengakui tidak pernah meminati artis tempatan.
Suami Mahu Yana Samsudin Kunci Mulut Komen Isu Bertudung
Pelakon Yana Samsudin memilih berdiam diri daripada bercakap mengenai keputusannya berhijab baru-baru ini kerana menghormati kehendak suaminya.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, berkata, suaminya, Fadzil Zahari sudah berpesan kepadanya supaya tidak memperbesarkan perubahannya itu kerana ia subjek yang sensitif.
"Sebenarnya saya tidak mahu bercerita panjang mengenai keputusan untuk behijab kepada umum.
"Suami sudah berpesan supaya perkara ini tidak perlu dibesarkan kerana ia subjek sensitif dan bagi saya perubahan yang berlaku merupakan satu benda semula jadi," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Yana berkata, perubahan imej dilakukan itu bukan untuk menunjukkan dirinya sempurna tetapi sebaliknya dia masih mencuba untuk memperbaiki diri ke arah lebih sempurna.
Jelas Yana, dia berasa gembira dengan perubahan yang dilakukan malah dia menerima pelbagai komen positif daripada peminatnya.
"Kalau pakai tudng tidak semestinya ia menunjukkan sesorang itu sempurna tetapi sebagai manusia kita mesti cuba untuk memperbaiki diri supaya pergi ke arah yang lebih baik," katanya.
Tambah Yana, dia telah lama menyimpan hasrat untuk berhijab dan mengambil keputusan untuk menutup aurat sepenuhnya pada 29 April lalu.
Sementara itu, Yana berkata, dia akan lebih memilih watak sesuai sebelum menerima sesuatu tawaran bersesuaian dengan imejnya sekarang.
"Sudah semestinya selepas berhijab saya akan memilih watak terutama dari segi penampilan dan perwatakan supaya selari dengan imej baharu ini.
"Tetapi pada zaman sekarang saya percaya banyak pihak produksi bijak memilih para pelakon bersesuaian dengan imej pelakon bertudung untuk produk mereka," jelasnya.
Yana Samsudin Masih Sesuaikan Diri Sebagai Isteri Fadzil Zahari
Pelakon Yana Samsudin masih cuba membiasakan diri dengan alam perkahwinan biarpun sudah sebulan bergelar isteri kepada aktor dan penulis skrip Fadzil Zahari.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, berkata, sebelum berkahwin dia dan Fadzil adalah sahabat baik dan perkara itu menyebabkan dia masih berasa kekok dalam mencari rentak sebagai isteri.
"Keadaan sekarang masih pelik kerana kami sebelum ini adalah sahabat baik jadi untuk mengubah situasi itu yang membuatkan saya kekok sedikit.
"Bagaimanapun semuanya berada dalam keadaan baik dan selepas berkahwin baharu saya menyedari banyak nikmat dan kebaikkan," katanya kepada mStar Online.
Yana ditemui pada majlis temu ramah dan sesi fotografi bersama penerbit dan hos Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) di Sri Pentas di sini, Rabu.
Selain Yana, penyampai radio Hot FM iaitu AG bakal bertindak sebagai hos acara itu yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pukul 9 malam.
Dalam pada itu, Yana mengakui semenjak berkahwin rezekinya semakin bertambah dan memberitahu dia kini mulai sibuk dengan pelbagai aktiviti melibatkan karier seninya.
"Alhamdulillah, rezeki selepas kahwin. Selain dapat mengacarakan DFKL 2015 saya juga bakal memasuki set penggambaran filem terbaharu dan akan bertindak sebagai pengacara untuk sebuah program baharu," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai pemilihannya sebagai hos DFKL 2015, Yana berkata, dia berasa teruja apabila diberi kepercayaan oleh pihak TV3 untuk mengendalikan sebuah acara anugerah biarpun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu.
Jelas Yana, biarpun gementar namun dia menyahut cabaran itu kerana bidang pengacaraan adalah satu cabang seni yang ingin diberikan fokus selepas berkahwin.
"Biarpun sebelum ini saya pernah mengendalikan beberapa program seperti Juara Joran dan Lesung Pipit tetapi ini adalah kali pertama acara besar dan siaran langsung seumpama ini.
"Sudah tentu saya berbesar hati dengan kepercayaan diberikan dan pada masa sama berasa gementar kerana bimbang akan melakukan kesilapan ketika berada di atas pentas nanti," katanya.
Bagaimanapun kata Yana, dia lega apabila mendapat tahu akan digandingkan dengan AG yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan terutamanya program siaran langsung.
"Selain akan mendapatkan tip daripada AG saya juga banyak menonton program anugerah di Youtube untuk melihat bagaimana seseorang pengacara mengendalikan sesuatu acara itu," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, penerbit ekskutif DFKL 2015, Khalijah Mohamed berkata, pemilihan Yana sebagai hos dibuat selepas melihat kredibiliti pelakon itu yang petah berbicara.
Malah kata Khalijah, pihaknya juga ingin memberi peluang kepada wajah baharu sebagai pengacara dan enggan menampilkan wajah yang sama.
Makanan Kenduri Kahwin Tak Cukup, Yana Samsudin Mohon Maaf
Pelakon Yana Samsudin memohon maaf kepada peminat dan tetamu jemputannya yang tidak dapat menikmati makanan kerana kehabisan pada hari resepsi persandingannya pada 14 Februari lalu.
Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 31, berkata, jumlah tetamu yang hadir pada majlis tersebut di luar jangkaan dan terlalu ramai.
"Saya berterima kasih pada tetamu yang datang sama ada diundang atau pun tidak, namun saya meminta maaf andai ada kekurangan yang berlaku pada majlis tersebut.
"Tetamu yang datang memang lebih daripada jangkaan kami iaitu dekat 10,000 orang. Kad jemputan diedar dalam 700 keping dan kami jangka hanya tiga kali ganda sahaja untuk makanan. Itu pun pada saat-saat akhir saya tambah untuk 2,000 orang dan ibu saya tambah lagi untuk 2,000 orang.
"Saya dapat tahu makanan tersebut habis pada pukul 8 malam sebelum kami bersanding lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Yana berkata demikian ketika diminta mengulas apabila ada yang tetamu yang datang ke majlis resepsi persandingannya tidak dapat menikmati makanan apabila juadah yang dihidangkan habis.
Majlis persandingannya diadakan di Dataran Gemilang, Yong Peng Johor.
Mengikut kad jemputan, jamuan makan bermula dari pukul 4.30 petang sehingga 10.30 malam manakala ketibaan pengantin pula pukul 8 malam.
Terdahulu sehari sebelum itu Yana dan pasangannya pelakon Fadzil Zahari, 32, selamat bernikah dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Kota Impian, Yong Peng.
Yana menerima mas kahwin sebanyak RM10,000, manakala wang hantaran sebanyak RM50,000.
Dalam pada itu Yana turut meminta maaf kepada pengunjung yang hadir kerana tidak dapat tempat duduk dan bersesak-sesak ketika menyaksikan persandingan itu.
Katanya, tempat duduk VVIP turut dirempuh oleh beberapa peminat yang bertindak di luar kawalan pihaknya.
"Kami menyediakan 30 orang petugas Rela untuk mengawal majlis tersebut tetapi ia tidak mencukupi dan ketika majlis persandingan bermula pada kira-kira pukul 8.30 malam, ada segelintir yang merempuh tempat duduk VVIP.
"Ketika itu memang keadaan sudah tidak dapat dikawal," ujarnya.
Bagaimanapun Yana berkata, dia bersyukur dengan kehadiran pengunjung dan peminat yang meraikan hari bahagia tersebut.
Malah katanya, tujuan dia mengadakan majlis itu adalah untuk bersedekah dan meraikan bersama peminat-peminat dan penduduk di kampung halamannya itu.
Dalam pada itu, Yana berkata dia kesal dengan komen negatif segelintir masyarakat terhadap wang hantarannya yang berjumlah RM50,000.
Kata Yana, duit tersebut digunakan untuk jamuan makan ketika majlis persandingan itu.
"Saya sedih ada yang mempersoalkan tentang duit hantaran saya banyak, walhal majlis jamuan itu dibuat menggunakan duit tersebut.
"Itu juga tujuan saya sebenarnya untuk berkongsi kegembiraan bersama orang ramai dan peminat," jelasnya.
SELAMAT HARI LAHIR BUAT YANA SAMSUDIN
Hari ini adalah hari lahir Yana Samsudin yang ke 30 (lahir 25 September 1984). Nampaknya, banyak perubahan yang telah berlaku dalam hidup pelakon berbakat besar ini.
Malah baru-baru ini, Yana makin aktif membuat kerja kebajikan untuk golongan yang memerlukan. Sebagai contoh, dia baru sahaja melawat Kaum Orang Asli Batek, di Kuala Koh Gua Musang Kelantan.
"Antara rumah mereka sebenar setelah tanah mereka di ceroboh pembalakan haram dan rumah dirobohkan.. Makcik ni klu hari isnin namanya Sabariah.. Selasa jadi Mariah.. Huihui kerlas makcik," ujar Yana melalui IGnya.
Selamat hari lahir Yana! Moga terus sukses dalam bidang yang diceburi.
Kalah, menang adat bertanding - Yana Samsudin
"ITU reaksi biasa daripada peminat," tutur Yana Samsudin, 29, ketika ditanya berhubung dakwaan sebuah blog hiburan yang mengatakan, dia tidak berpuas hati terhadap kemenangan pelakon Maya Karin pada Anugerah Lawak Warna menerusi laman Twitternya baru-baru ini.
Pada malam penganjuran anugerah tersebut, peminat kepada pelakon filem Adnan Sempit itu tidak putus-putus menghantar tweet berbaur tidak puas hati kepadanya.
Menerusi tweet berkenaan, mereka seperti tidak bersetuju dengan pemilihan Maya Karin sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Filem) untuk filem Sejoli.
Pada pendapat mereka, Yana yang tercalon menerusi filem Adnan Sempit 3 patut memenangi anugerah tersebut, bukannya Maya.
Bagaimanapun, tindakan Yana yang menjawab tweet tersebut menggunakan fungsi ulang tweet (retweet) telah menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi.
Menjawab sendiri persoalan tersebut kepada Kosmo!, Yana berkata, dia tidak berniat mahu menimbulkan sebarang sengketa dengan Maya. Dia berbuat demikian semata-mata mahu menjawab tweet yang dihantar oleh peminatnya.
Kosmo!: Adakah benar Yana tidak berpuas hati dengan kemenangan Maya Karin tempoh hari?
YANA: Saya tidak pernah rasa kurang senang dengan kemenangan rakan-rakan artis lain pada setiap penganjuran majlis anugerah. Rezeki masing-masing kita tidak boleh jangka.
Mengapakah anda bertindak mengulang tweet peminat yang tidak berpuas hati dengan kemenangan Maya?
Saya sudah terbiasa dengan cara begitu. Lagipun, saya kerap menjawab soalan-soalan yang diajukan daripada peminat menerusi Twitter. Biasalah, peminat akan sedih jika artis kegemaran mereka kalah dalam sesebuah anugerah.
Apakah tujuan utama anda mengulang tweet dan menjawab luahan hati para peminat anda?
Sejujurnya, saya tidak tahu perkara sebegini pun boleh dijadikan isu oleh penulis blog. Justeru, jawapan yang saya berikan kepada peminat bertujuan untuk memujuk mereka supaya menerima apa yang telah diputuskan.
Bagaimana pula dengan tindakan penulis blog yang gemar memperbesarkan isu-isu kecil seperti ini?
Saya pun tidak faham kenapa penulis blog tersebut tidak memaparkan balasan tweet-tweet yang lain. Mungkin kerana adanya nama Maya Karin, terus isu ini diperbesarkan. Pada dasarnya, saya langsung tidak berkecil hati.
Apa pendapat anda tentang kekalahan di dalam anugerah berkenaan?
Kalah atau menang, itu adat pertandingan. Lagipun, Anugerah Lawak Warna diadili oleh juri-juri profesional. Jika seseorang artis diiktiraf, maka dia memang benar-benar layak.
Pada pendapat anda, apakah rasionalnya penganjuran anugerah yang dikhususkan untuk genre komedi?
Secara peribadi, Anugerah Lawak Warna merupakan satu anugerah yang baik. Menerusi platform ini, pelawak dan karya bergenre komedi dapat dinilai dan diiktiraf.
Anda begitu terkenal dengan watak komedi. Adakah anda akan kekal dengan genre berkenaan?
Saya tidak boleh bersifat selektif. Saya perlu mencuba semua watak yang ditawarkan agar setiap kelemahan dapat diperbaiki.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Buat masa ini, saya sibuk mengikuti promosi jelajah bersama Kopi Super. Jadi, aktiviti lakonan terpaksa diperlahankan seketika.
Yana Samsudin Bertegas Tidak Lakukan Pembedahan Wajah
Yana Samsudin Sangkal Tuduhan Mula Bersikap Sombong
Pelakon Yana Samsudin menyangkal dakwaan kononnya dia sudah berubah dan bersikap sombong sehingga sukar dihubungi oleh pihak media untuk mendapatkannya bagi sesi fotografi ataupun temu bual.
Yana, 30, menjelaskan, faktor itu disebabkan dia kini menguruskan kerjayanya tanpa bantuan pembantu disamping kesibukannya di lokasi penggambaran membuatkan dia kadang-kala terlepas pandang mengenai panggilan yang dibuat kepadanya.
"Saya bukannya sombong cuma apabila tidak lagi mempunyai pengurusan semua perkara terpaksa saya lakukan sendiri tanpa bantuan sehingga kadang-kadang saya terlepas pandang panggilan atau pesanan yang dihantar kepada saya.
"Tambahan pula telefon saya diformat baru-baru ini dan kehilangan semua nombor menyukarkan lagi saya mengenali siapa yang membuat panggilan.
"Sudah empat bulan saya bergerak sendiri dan masih menyesuaikan diri jadi banyak perkara yang perlu saya beri perhatian," katanya kepada mStar Online.
Yana ditemui pada majlis pelantikannya bersama aktor Izzue Islam sebagai duta produk Super 'The Secret To A Smile' di Cathay Cineplex E@curve di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Yana menjelaskan, kehadiran adik kepada pelakon Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari yang menemaninya di majlis-majlis hiburan bukan sebagai pengurus sebaliknya berdasarkan projek tertentu sahaja.
Yana turut menegaskan hubungannya dengan Fadzil yang dikatakan sedang bercinta tidak benar sebaliknya mereka hanya sekadar berkawan.
"Seperti mana majlis hari ini (pelantikan sebagai duta Super) dia terlibat dalam projek ini jadi dia hadir bersama-sama saya. Tetapi dia bukan pengurus saya.
"Kami memang tiada apa-apa jadi buat apa saya ingin mengada-adakan cerita yang tiada," katanya.
Sementara itu, Yana berkata, dia amat terharu apabila dipilih sebagai duta jenama Super kerana ia adalah produk pertama yang melantiknya sebagai duta sepanjang 10 tahun dia terlibat dalam bidang seni.
Bagaimanapun kata Yana, sebelum bersetuju dia meminta untuk mencuba terlebih dahulu kopi yang dihasilkan dan hanya bersetuju selepas berpuas hati dengan produk berkenaan.
"Saya jujurnya bukan penggemar kopi sebab itu saya minta untuk cuba dahulu sebelum bersetuju menjadi duta kerana tidak mahu hanya mewakili produk berkenaan tanpa mencuba sendiri.
"Kontrak ini juga adalah yang pertama dan terbesar yang pernah saya dapat sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni dan Alhamdulillah dengan rezeki diberikan oleh Allah," katanya.
Yana Samsudin 'Buat' Muka?
Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini pelakon yang semakin diminati ramai, Yana Samsudin kelihatan lebih cantik daripada penampilan dahulu. Malah, boleh dikatakan Yana semakin bijak bergaya.
Terbaru, menerusi sekeping foto yang dimuat naik di Istagram miliknya iaitu ketika menghadiri majlis Anugerah Skrin 2013 pada Jumaat lalu, ada yang mengatakan Yana seperti membuat pembedahan muka.
Tidak cukup dengan itu, kebanyakan peminat yang memberikan komen mengatakan wajah Yana kini sudah tidak comel, tampak lain, pelik, berusia dan tidak seperti sebelumnya.
Pun begitu, Yana sempat mencelah di status berkenaan dengan mengatakan perubahan wajahnya itu disebabkan oleh teknik solekan yang digunakan.
"@ellwai :) takda apa pun yang perlu minta maaf.. Awak tak salah pun...Takda siapa yg salah kat sini...:)
"Sabar semua ya...Hal dah lepas...
"Cuma cara tuduhan sesetengah individu kat atas tu melampau...:) @ellwai diaorg tak pandai/tak tahu teknik make up kot
"Klu make up stage/mlm mmg kena tebal...," komen Yana di gambar yang dimuat naiknya.
Yana Samsudin Ambil Keputusan Cuti Sebulan
Yana hargai peminat
Keluarga Yana terima kehadiran Fadzil
Yana Samsudin Mengaku Adik Farid Kamil Jumpa Keluarganya
Yana akui rapat dengan adik Farid Kamil
Yana mangsa pukul Fizo
ADA makna yang tersirat daripada judul drama 15 episod yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 iaitu Surat Dari Langit Biru.
Ia menyingkap kisah pengorbanan dan kasih sayang antara dua beradik, Zarul dan Salmi.
Plot yang berkisar tentang peredaran zaman kanak-kanak sehingga dewasa sepasang adik-beradik lakonan mantap Johan As'ari dan Yana Samsudin itu memaparkan isu ikatan persaudaraan dalam kelompok keluarga sederhana dari kawasan kampung.
Zarul yang dilakonkan oleh Johan terpaksa mengorbankan masa depannya untuk memberikan peluang kepada kakaknya, Salmi (Yana) berjaya sehingga bergelar doktor.
Takdir menentukan Salmi terpaksa berkahwin dengan Heykal (Fizo Omar) akibat keluarganya terhutang budi walaupun meniti perjalanan hidup yang merana akibat dendam.
Zarul pula ditohmah pelbagai fitnah hingga dibuang oleh keluarga sendiri dan akhirnya mengasingkan diri untuk mencari tempat mengadu nasib.
Ujar pengarah Rashid Sibir, drama yang mendapat sentuhan skrip daripada Basri Musa itu sebenarnya sebuah drama cinta antara dua beradik.
"Drama ini memaparkan banyak babak sedih dan karakter yang sentiasa menangis. Penceritaan pula mengambil teknik imbas kembali plot masa terdahulu.
"Menariknya drama ini, kebanyakan pelakon baharu seperti Johan, Yana, Fizo dan Tania Hudson mendapat sokongan bagus daripada pelakon veteran antaranya, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi," ujarnya yang ditemui ketika penggambaran drama tersebut di Desa Park City, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rashid turut menyuntik elemen baharu dengan memberikan cabaran kepada pelakon-pelakon baharu menggalas karakter berbeza yang biasa dilakonkan selama ini.
Maksud Surat Dari Langit Biru, tambah Rashid sebenarnya berkisar mengenai surat-surat yang ditulis oleh watak Zarul di kawasan tepi laut yang tidak pernah dihantar kepada penerimanya sehingga terjadi satu peristiwa yang tidak diduga.
Surat Dari Langit Biru menjalani penggambaran selama dua bulan di sekitar Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan beberapa tempat di Johor antaranya Desaru dan Kota Iskandar.
"Drama ini bukan hiburan semata-mata kerana ia turut mendidik penonton dan menyampaikan mesej-mesej serta nilai kekeluargaan.
"Cerita masyarakat kampung harus ada sebab itu akar umbi kita dan sudah semestinya masih relevan dengan masyarakat," katanya.
Kering air mata
Sementara itu, kata Yana, cabaran melakonkan watak Salmi berbeza berbanding drama lakonannya sebelum ini.
"Saya perlu sentiasa menangis dan setiap babak perlu bersedih malah, saya juga sering menjadi mangsa pukul suami saya lakonan Fizo Omar.
Penggambaran biasanya mengambil masa yang panjang dan saya penat menangis sebenarnya sampai air mata pun sudah tidak keluar, tapi kata pengarah asalkan emosi itu sampai kepada penonton sudah memadai," ujar Yana teruja.
Surat Dari Langit Biru merupakan pengalaman kedua Yana berlakon di bawah arahan Rashid Sibir selepas telefilem Mak Pengantin Tak Popular dua tahun lalu.
Terkini, Yana bakal sibuk dengan rangka promosi empat buah filem lakonannya tahun ini iaitu Wawa Semput, Dua Kalimah, Cerita Kita dan Adnan Sempit 3.
Bagi Fizo Omar pula, drama itu merupakan kemunculannya semula mendokong watak antagonis selepas empat tahun.
"Menerusi drama Bio-Nik saya melakonkan watak jahat dan kini kepercayaan diberikan sekali lagi kepada saya. Saya dapat rasakan watak ini bakal dibenci ramai.
"Biasanya saya diberikan watak klise terutamanya golongan profesional (seperti doktor, peguam dan arkitek) cuma plot saja berubah. Namun kali ini tawaran datang dalam versi berbeza daripada sebelum," kata Fizo yang akan muncul dalam tiga buah filem tahun ini iaitu Isyarat Cinta, Sembunyi dan Hello.
Surat Dari Langit Biru akan mula bersiaran pada 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.
Belum tahap eksklusif - Yana
WANITA ini mengakui bahawa perjalanan seninya semakin berkembang dan menunjukkan peningkatan. Respons positif turut diterima dan usaha keras untuk melangkah ke dunia lakonan kira-kira empat tahun lalu sudah membuahkan hasil. Penerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Adnan Sempit ini juga mengakui dia tak pernah duduk diam untuk berada pada kedudukan selesa seperti hari ini.
Demi karier lakonannya, wanita berusia 28 tahun ini korbankan masa yang ada. Dia bersedia bekerja 24 jam untuk menjayakan lima filem dalam tempoh setahun. Antara filem lakonannya ialah Wawa Semput, Adnan Sempit 3, Cerita Kita dan terbaru Strawberi Cinta selain drama Bini-Biniku Perkasa.
Jadi persoalannya di sini, tidak takutkah Yana Samsudin hilang eksklusif lantaran wajahnya kerap muncul di khalayak. Sebab kelihatannya seolah-olah Yana seorang yang tak memilih dan mengejar untuk cukupkan kouta lakonan seperti mana dilakukan pada tahun lepas?
Sebenarnya, saya belum sampai ke peringkat eksklusif. Tidaklah terlalu menjaga atau kena demand untuk dapatkan watak terbaik. Itu semua rezeki. Kalau ada, alhamdulillah. Kalau ada banyak, lagi kena perbanyakkan kalimah syukur itu.
Memang saya bekerja kuat sepanjang tahun ini, sama macam tahun lepas. Jadual kerja memang disusun rapi. Saya tak biarkan ia kosong walaupun terpaksa korbankan waktu cuti.
Saya buat itu semua untuk tujuan yang satu iaitu nak tahu respons daripada orang ramai. Baik atau tidak? Setiap kali filem yang dilakonkan saya ditayangkan, pasti saya berdebar," jelasnya berbicara landskap kerjayanya pada pertemuan petang Rabu lalu.
Ditanya adakah anak kelahiran Yong Peng, Johor ini adalah seorang yang obses mengejar populariti sehingga membuatkan dia bekerja siang malam untuk memastikan dirinya dekat di hati peminat seni tanah air, pantas Yana menggeleng.
Saya percaya kalau seseorang itu bekerja keras, pasti akan dapat imbuhannya. Begitu juga dengan artis. Tak nafikan pasti populariti akan mengiri kejayaan artis yang berjaya. Saya juga dapat rasakan aura populariti itu pada hari ini.
Tambahan pula saya seorang yang aktif di laman sosial Twitter terutama dengan YanaSuperFriend (kelab peminat). Itu saja cara saya dapat berinteraksi dengan penyokong.
Saya juga tak nafikan memang ada pro dan kontra dalam soal populariti ini. Privasi dan kehidupan harian saya turut terjejas. Nak keluar rumah pun fikir dua, tiga kali," luah pemegang Anugerah BlockBuster 2012 untuk kategori Heroin Terhebat ini.
Jepun oh Jepun
Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Layar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini turut menyatakan kebimbangan penerimaan orang terhadap watak wanita Jepun bernama Ichigo yang dibawanya menerusi filem Strawberi Cinta.
Filem yang bakal ditayangkan pada 6 Disember itu sememangnya mencabar kredibiliti dirinya kerana perlu mempelajari bahasa Jepun selama dua bulan secara berterusan.
Saya belajar cara bercakap dan intonasi sebenar bahasa Jepun dengan seorang guru terlatih dan krew produksi yang pernah duduk di sana lebih lima tahun. Saya takut orang kutuk kalau tak cukup latihan. Apa pun, itulah cabaran utama saya menjayakan filem ini," katanya penuh yakin.
Selain Yana, Strawberi Cinta turut dibintangi pelakon Pierre Andre, Diana Amir, Along Eyzendy, Fiffy Natasha dan Gbob Raja Lawak.
Yana terpaksa ikut kehendak Sam
LAGU duet dua pelakon terkenal, Shaheizy Sam dan Yana Samsuddin, yang berjudul Begini Caranya, bukan sahaja popular menerusi radio. Malah lagu itu juga meraih undi untuk layak bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-27 yang akan diadakan pada 11 November ini.
Bagaimanapun, timbul isu pada sidang akhbar semasa mengumumkan senarai lagu yang berjaya masuk ke peringkat separuh akhir program tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pihak TV3 selaku penerbitnya telah mengumumkan bahawa Begini Caranya tidak akan dinyanyikan oleh Sam dan Yana.
Sebaliknya, di atas pentas separuh akhir program itu nanti, lagu tersebut akan didendangkan oleh Ajai dan Marsha Milan Londoh.
Menurut kenyataan TV3, Sam dan Yana tidak dapat menyampaikan lagu tersebut kerana gagal mendapat pelepasan daripada syarikat produksi lakonan mereka iaitu Metrowealth Movies Production (Metrowealth).
Bagi mendapatkan kepastian tentang perkara itu, Kosmo! telah menghubungi Sam baru-baru ini.
Kosmo!: Benarkah Metrowealth tidak memberikan pelepasan kepada Sam dan Yana untuk mendendangkan lagu, Begini Caranya pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-27?
SAM: Tidak sama sekali. Saya sebenarnya seorang pelakon dan bukan penyanyi. Jadi, saya merasakan tidak sesuai untuk membuat persembahan pada acara tersebut. Lebih afdal jika kami berikan peluang itu kepada penyanyi yang lebih layak atau mempunyai lebih pengalaman.
Peminat pasti kecewa kerana sebelum ini mereka mengundi Sam dan Yana. Boleh komen?
Ya, betul. Pada hakikatnya memang agak berat bagi saya untuk membuat keputusan ini. Namun, setelah berfikir panjang, saya terpaksa menarik diri kerana ia memerlukan banyak latihan. Dengan jadual lakonan yang sibuk, saya rasa saya tidak dapat berikan komitmen terhadap latihan nyanyian.
Jadi, ini memang keputusan Sam dan Yana sendiri?
Ini memang keputusan kami berdua.
Berikut pula komen daripada Yana Samsuddin yang pernah berpengalaman sebagai penyanyi sebelum ini.
Luahan hati Yana-Pierre
SUATU masa dahulu, ketika kedua-duanya masih muda remaja, mereka pernah dikenali sebagai pasangan kekasih.
Namun entah di mana silapnya, kasih antara pelakon dan pengarah Pierra Andre dan Yana Samsudin putus di tengah jalan.
Malah Pierre sempat mencipta kontroversi apabila dikaitkan bercinta dengan beberapa gadis termasuk pelakon Fasha Sandha.
Sedangkan Yana pula lebih senang menumpukan perhatian dalam kerjaya di bidang lakonan dan pengarahan.
Namun semakin meningkat dewasa, kedua-duanya juga semakin matang meniti kehidupan dan kini selepas beberapa tahun berputus kasih, mereka tetap selesa bersama biar hanya untuk bergelar rakan sekerja.
Pun begitu, kemesraan yang ditunjukkan kedua rakan baik ini mula menimbulkan pelbagai persepsi sehingga ada yang mengatakan Yana dan Pierre kini kembali hangat bercinta.
Semuanya kerana kedua-duanya terbabit dalam filem Tiga Temu Janji arahan Hashim Rejab yang bakal ditayangkan 5 April nanti.
Tidak mahu melepaskan peluang untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik kemesraan mereka, baru-baru ini Hits berpeluang untuk Yana dan Pierre ketika majlis pelancaran filem Kita, arahan terbaru Pierre atau nama sebenarnya, Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 27.
Yang nyata, kedua-dua mereka tidak berselindung mengenai hubungan masing-masing malah begitu berani dan berterus terang membuka isi hati sebenar.
Yana atau Norliana Samsudin, 28 dan Pierre juga sering kali membuat suasana temuramah bersama Hits itu sebagai medan buat mereka berdua mendengar sendiri luahan rasa hati masing-masing.
“Dia sebahagian dari hidup saya” - Pierre
MULA mengenali Yana atau lebih manja dengan panggilan ‘gomuk’ selepas menamatkan zaman persekolahan, kata Pierre, dia menjalinkan hubungan dengan Yana ketika sama-sama berlakon dalam sebuah telemovie bertajuk Tarian Melayu Terakhir.
Malah Pierre mengakui bahawa dia mengenali Yana lebih daripada mana-mana gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini.
“Walaupun kami pernah bercinta dan putus cinta namun itu tidak menjadi sebab untuk kami melupakan terus hubungan kami.
“Hubungan Yana dan keluarga saya masih lagi baik sehingga kini walaupun sudah empat tahun kami berpisah. Sebenarnya walau jauh mana pun dia pergi, dia tetap di hati saya,” kata Pierre jujur.
Merupakan kali kedua mengambil Yana berlakon di bawah arahannya, Pierre berkata, pemilihannya kali ini lebih tepat berbanding kali pertama kerana dia kurang berpuas hati dengan lakonan bekas kekasihnya itu.
“Secara jujurnya pada pertama kali saya mengarah Yana untuk filem pendek bertajuk Lampu Merah, saya boleh katakan yang dia tidak boleh berlakon.
“Bagaimanapun selepas mengikuti perkembangan karier Yana, saya percaya dia kini menjadi antara pelakon kegemaran saya,” ujarnya.
Mengakui bahawa bukan niat mengambil Yana berlakon semata-mata untuk mendekatkan diri dengan bekas kekasihnya itu, bagi Pierre, dia sangat menghormati sikap professional yang ditunjukkan Yana sewaktu bekerja.
Malah katanya pemilihan Yana sebagai pelakon dalam filem Kita kerana yakin dengan kemampuan pelakon dan pengarah muda itu.
“Rasanya tidak salah untuk saya sebagai pengarah memilih pelakon yang saya percaya mampu membawakan watak untuk filem kita ini.
“Saya kenal Yana dan saya yakin dia mampu untuk membawakan watak sebagai seorang gadis yang tinggal di kawasan rumah flat,” katanya.
Pernah menyatakan bahawa dia ingin menamatkan zaman bujang seawal umur 25 tahun, Pierre memberitahu, dia sememangnya seorang lelaki yang sukakan kehidupan berkeluarga.
“Saya sebenarnya mahu mempunyai keluarga secepat yang mungkin. Bagaimanapun ini semua ketentuan, kita hanya mampu merancang,” katanya sambil mengerling manja ke arah Yana.
Ditanya soalan sama ada dia akan bersedih sekiranya mereka berdua tidak ditakdirkan untuk bersama, Pierre mengakui tentang hakikat perasaan yang satu itu.
“Saya akui tentunya perasaan sedih itu akan hadir memandangkan saya sudah lama mengenali dia.
“Bagaimanapun saya percaya kepada jodoh, walau dengan siapa pun jodoh Yana, saya harap dia bahagia,” katanya mendatar.
Yana Shamsudin tunggu keputusan
NAMANYA mungkin baru dalam dunia lakonan. Namun tiada siapa yang dapat menyangkal aura yang dibawa gadis ini.
Sementelah namanya juga kian melonjak sebaris dengan pelakon wanita popular lain tanah air.
Memiliki wajah comel dan ilmu lakonan yang mantap, Yana Shamsudin kini bukan calang-calang pelakon apabila sering menjadi dambaan peminat filem Melayu.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keupayaan pelakon muda itu mula menimbulkan kesangsian apabila bakat lakonannya dikatakan kurang menyerlah.
Isu itu timbul apabila watak dalam filem atau drama lakonannya dikatakan tidak menonjolkan bakat sebenarnya.
Bagi Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 28, dia langsung tidak terkilan dengan tanggapan itu yang baginya hanya pendapat sesetengah pihak.
Menurut Yana, biarpun pengalamannya dalam industri itu sudah menjangkau sembilan tahun, namun dunia lakonannya hanya bermula sejak tiga tahun lalu.
“Umur pengalaman saya di dalam dunia lakonan baru sahaja mencecah tiga tahun. Manakala lagi lima tahun itu saya banyak bekerja di sebalik tabir.
“Untuk itu rasanya masih terlalu jauh untuk saya mengatakan saya sudah puas dengan tahap lakonan saya.
“Sebenarnya 2012, merupakan tahun penting buat saya kerana kebanyakan filem-filem lakonan saya akan muncul pada tahun ini.
“Malah mungkin ia juga bakal menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya,” katanya ketika di temui di majlis pratonton Adnan Sempit 2 di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.
Mula dikenali sebagai pengarah sebelum bergelar pelakon, Yana mengakui ada kalanya dia berasa sangat rindu untuk kembali mengarah.
Namun kekangan jadual sebagai pelakon memaksanya lebih menumpukan kepada lakonan sahaja.
“Saya memang suka bekerja di belakang tabir. Malah saya sudah melakukannya sejak dari belajar lagi.
“Bagaimanapun saya jenis yang suka kesempurnaan. Oleh itu amat sukar untuk saya menumpukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Buat masa ini saya hanya mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan sahaja,” ujarnya.
Malah Yana juga menegaskan, dia mahu melihat sejauh mana bidang lakonan akan membawa namanya sebelum membuat keputusan sama ada menumpukan perhatian kepada dunia lakonan semata-mata
atau kembali dalam dunia pengarahan.
“Saya masih lagi berada dalam program Skim Pengarah Muda. Setakat ini saya baru mengarah sebuah filem iaitu Selamat Pagi Cinta.
“Saya masih berhutang sembilan filem lagi dan mungkin pada bila-bila masa sahaja saya akan kembali mengarah.
“Bagaimanapun buat masa ini saya mahu memantapkan dahulu lakonan saya.
“Tetapi jika suatu hari nanti dunia lakonan lebih cerah dari dunia pengarahan, mungkin saya akan membuat keputusan untuk hanya meneruskan karier sebagai pelakon sahaja,” jelasnya.
Ditanya antara watak idaman yang mahu dicubanya, menurut Yana, setelah tiga tahun meneroka diri sebagai pelakon, dia bertuah kerana banyak diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak.
“Rasanya sudah pelbagai watak yang berbeza saya bawakan dalam setiap filem yang saya terlibat.
“Namun mungkin suatu hari nanti saya mahu melakonkan watak superhero dengan kostum tersendiri,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]












