Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label AF 8. Show all posts
Showing posts with label AF 8. Show all posts

Shahir Juara Akademi Fantasia 8


KUALA LUMPUR: Peserta pilihan Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Shahir, 22, membawa pulang kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, percutian hebat ke Hong Kong Disneyland dan bekalan BRAND's Innershine selama setahun tajaan Cerebos, dua tiket pelancongan ke New York tajaan Maybelline New York dan set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo.

Dia turut memperolehi jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan AD Time, Coway Air Purifier - Lombok tajaan Coway, percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi juara Akademi Fantasia.

Peserta yang berasal dari Kampar, Perak ini pernah tersingkir pada Debaran AF8 minggu ketujuh tetapi diundi masuk ke akademi menerusi AFundi Masuk pada minggu berikutnya.

Semalam, Shahir mendapat peratusan undian tertinggi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu 43.19 peratus.

Ini diikuti Adira dengan meraih 25.13 peratus, Daus (12.47 peratus), Maulana (10.2 peratus) dan Iwan (9.01 peratus).

Dalam persembahan akhir itu, Shahir membawakan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan (komposer dan lirik oleh Edry KRU) dan Biru Mata Hitamku (Wings) sehingga menambat hati para penonton untuk mengundinya.

Stadium gamat dengan sorakan, siulan dan tepukan gemuruh para penonton. Terdapat penyokong yang tidak segan silu berdansa mengikut rentak lagu penyanyi bersuara jantan ini.

Tanda-tanda Shahir dinobatkan sebagai juara sudah kelihatan ketika itu. Ini kerana sorakan penonton tetap berterusan walaupun pengkritik tetap, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie serta pengkritik undangan, Ning Baizura sedang memberikan komen.

Pada sidang akhbar sejurus persembahan berakhir, Shahir memberitahu, kemenangan itu adalah di luar dugaannya.

"Sejujurnya dia tidak menjangkakan akan diumumkan menjadi juara. Saya sebenarnya berasa bersalah kerana di atas pentas, saya tidak sempat atau bersedia langsung dari segi ucapan.

"Dan saya hampir terlupa mengucapkan terima kasih kepada cikgu-cikgu yang sebenarnya berada di belakang saya memberikan tunjuk ajar. Tanpa mereka,saya rasa kami 12 peserta AF8 tidak akan berada di kedudukan kami hari ini," katanya dengan penuh rendah diri.

Peserta bersuara jantan itu turut berterima kasih kepada para pengundi yang memberi peluang kedua kepadanya untuk terus bersaing di AF8 sekali gus menjadi juara.

"Saya rasa mungkin AF Masuk sedikit sebanyak memberi tuah kepada saya dan saya ucapkan terima kasih banyak kepada pengundi yang percaya dan tak putus mengundi saya," ujar Shahir.

Mengenai pendapat Adlin bahawa persembahan Adira itulah adalah persembahan juara semasa konsert berlangsung, Shahir menyifatkan persembahan keempat-empat rakan seperjuangannya selayak-layaknya berupa persembahan seorang juara.

"Bagi saya, keempat-empat rakan saya pun memberikan persembahan seorang juara. Mungkin tuah dan rezeki saya pada malam ini," katanya yang masih tidak tahu bagaimana untuk menguruskan hadiah-hadiahnya.

Sementara itu, Adira yang menjadi naib juara AF8 memperolehi kereta Satria Neo 1.6 CPS tajaan Proton, voucher percutian tajaan Maybelline New York, set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan HD Time.

Dia turut membawa pulang Coway Air Purifier - Lombok tajaan Coway, percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi Naib Juara Akademi Fantasia.

Satu-satunya finalis wanita dalam AF8 ini mendendangkan lagu Ku Ada Kamu (komposer dan lirik oleh Edry KRU) serta Tiru Macam Saya (Sheila Majid).

Sebagai pemenang tempat ketiga, Daus meraih set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, voucher percutian tajaan Maybelline New York, jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan HD Time, Coway Air Purifier - Lombok tajaan Coway.

Selain itu, dia juga memenangi percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi Akademi Fantasia.

Daus yang berasal dari Kuching, Sarawak melantunkan lagu Kenapa? (komposer dan lirik oleh Edry KRU) serta Doktor Pakar Cinta (Yusry).

Bagi Maulana dan Iwan pula, mereka mendapat hadiah sagu hati berupa beg Kipling Luggage tajaan Kipling dan trofi Akademi Fantasia.

Maulana menyanyikan lagu RSVP (komposer dan lirik oleh Edry KRU) serta Susun Silang Kata (Aizat)

Manakala Iwan menghiburkan penonton dengan lagu VIP (komposer dan lirik oleh Edry KRU) dan Relaku Pujuk (Spider).

Saya bukan malaikat – Norman


AKADEMI Fantasia musim ke lapan (AF8) dikatakan semakin lemau. Entah dimana silapnya rancangan realiti paling berpengaruh itu semakin hilang magisnya. Pelajar-pelajar yang dipilih menyertai rancangan ini juga dilihat tiada aura untuk “digilai” berbanding peserta musim-musim yang lepas.

Dalam masa yang sama gandingan pengacara Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley juga gagal untuk menjadikan AF8 ini sesuatu yang menghiburkan.

Maka ada suara-suara sumbang yang cuba membandingkan mereka dengan A.C Mizal. Ada yang berkata Jimmy dan Sarimah masih tak boleh “pukul” A.C. Sarimah terlalu ‘kecoh’ sementara pentas AF pula terlalu ‘besar’ untuk seorang Jimmy.

Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan jika beginilah graf AF yang semakin merudum, eloklah rancangan tersebut ditamatkan sahaja pada musim akan datang.

Norman Abd. Halim yang diberi tanggungjawab memimpin AF8 sebagai pengetua turut didakwa lemah dalam mendidik pelajar sehingga mereka dilihat suka “main-main”. Kenapa hal ini terjadi?

“Saya bukan pengetua yang suka membawa rotan,” kata Norman ketika saya berbual dengannya mengenai kemerosotan AF8 seperti yang diperkatakan. Ikuti penjelasan Norman.

AF8 dikatakan hilang magisnya. Sebagai pengetua, apakah Norman setuju dengan pandangan itu?

Saya mengaku ramai yang membuat tanggapan itu. Tetapi ramai juga yang memuji. Macam nilah... Jangan terlalu cepat untuk membuat hukuman. Berikan saya masa untuk melatih mereka. Saya agak terkilan apabila pada minggu pertama orang dah bagi komen negatif. Kita kena ingat, peserta AF8 kebanyakannya budak-budak luar bandar. Mereka perlu diberi pendedahan secara perlahan-lahan. Bukan mudah nak ajar mereka.

Orang kata pelajar AF8 banyak yang main-main. Norman macam tak serius langsung dengan dia orang.

Sebenarnya banyak aktiviti dilakukan dalam akademi. Cuma ia tak ditunjukkan di TV. Untuk pengetahuan, mereka bekerja 10 jam sehari melakukan aktiviti untuk meningkatkan kemampuan diri. Cuma yang kita tengok dalam Diari AF tu hanya 18 minit sahaja. Jadi orang akan membuat tafsiran yang tak betul.

Ada yang cakap, Norman kurang tegas, ‘ala-ala’ baik berbanding pengetua AF yang lalu, setuju?

Saya bukan jenis yang suka bawa rotan. Zaman bawa rotan tu dah berakhir. Saya nak jelaskan, ada pelajar yang menangis teresak-esak kena tegur dengan saya tapi tak masuk TV. Jadi orang tak tahu. Orang anggap saya tak serius. Pendekatan saya ialah saya nak mereka mempunyai tahap komunikasi yang tinggi dengan semua tenaga pengajar. Kalau mereka ada sikap itu, barulah mudah untuk kita membentuk. Saya tak mahu orang takut dengan saya.

Ada juga anggapan pelajar kali ini agak mengada-ngada, sebab itu sukar dibentuk. Betul ke?

Sebenarnya mereka ada banyak aktiviti luar kelas tanpa kehadiran cikgu. Di dalam TV aktiviti itu yang didedahkan kepada penonton. Tapi aktiviti sebenar yang lebih serius orang tak tengok. Sebab itulah timbul tanggapan sedemikian. Saya secara jujurnya nak bagi tahu, dia orang mempunyai komitmen yang tinggi.

Prestasi budak-budak tu masih tidak menonjol. Apa masalahnya?

Minggu pertama persembahan bukanlah ukuran kerana ia masih baru. Minggu ketiga pula saya mengaku memang konsert yang paling teruk kerana kesemua pelajar itu ada gangguan emosi. Ia bukan salah mereka pun. Dan minggu keempat saya dapati prestasi mereka semakin baik. Sekarang ni saya minta semua pihak supaya membuat perbandingan sehingga minggu keenam. Saya yakin apabila masuk minggu itu, kita akan menyaksikan satu persembahan yang lain. Itu janji saya.

Jika peminat tak suka, implikasi buruknya juga kepada Norman, dan anda juga membawa imej KRU. Tak risau ke?

Saya mengaku orang akan ingat 18 tahun KRU hidup dalam dunia muzik. Oleh sebab itu mereka ingat saya akan boleh buat benda yang sama dalam AF8. Tapi percayalah yang saya akan lakukan sesuatu kepada pelajar-pelajar saya. Jaminan saya ialah apabila habis AF8, enam orang daripada 12 peserta akan mendapat peluang daripada saya. Saya juga boleh bagi jaminan yang 6 peserta itu akan bertahan dalam dunia hiburan sekurang-kurangnya dari 3 hingga 5 tahun. Saya akan bantu kerjaya mereka.

Saya melihat juga peranan pengkritik yang kadang-kala tidak sehaluan dalam memberi komen. Ia sebenarnya memberi kesan buruk kepada peserta. Komen mana satu nak ikut jika sesama pengkritik pun memberi idea bercanggah. Norman setuju dengan saya?

Saya mengaku kadang-kala pengkritik memberi komen yang tidak membantu mereka. Kritikan mereka lebih kepada ekspresi semata-mata. Macam Adlin Aman Ramlie, dalam konsert keempat, dia kata Iwan memberi persembahan terburuk, pendapat Adlin saya tak setuju langsung. Kritikan itu tak rasional dan melampau. Ia berniat untuk menjatuhkan maruah mereka. Kita kena ingat, budak-budak tu datang dari luar bandar. Latihan mereka masih lagi kurang.

Tapi biasalah, kalau cakap macam tu, Norman akan dikatakan tak boleh dikritik pula, ya tak?

Saya hanya boleh terima kritikan kalau ia dibuat secara rasional dan membangunkan pemikiran mereka. Kalau tujuan kritik itu untuk menjatuhkan maruah orang dan dibuat ikut perasaan, itu tidak adil. Bukan apa, kritikan mereka sebenarnya turut memberi kesan kepada pengundian orang ramai.

Apa perubahan yang dapat Norman janjikan untuk AF8?

Beginilah! Untuk konsert minggu keenam keatas, saya akan pastikan ada perubahan pada diri mereka. Saya tak nak bentuk mereka nak jadi macam P.Ramlee, Saloma atau Sudirman. Tapi saya nak kesemua mereka mempunyai identiti aliran muzik masing-masing. Konsert pada minggu pertama hingga kelima ialah untuk mencari aliran muzik apa yang sesuai dengan mereka. Selepas kita tahu kebolehan mereka itu barulah kita akan tampil dengan sesuatu yang berbeza.

Soal pemilihan lagu pula macam tak best. Kenapa pada minggu keempat Alif menyanyikan lagu Hanya Di Radio yang telah “didangdutkan”? Kalau nak tengok dia boleh menyanyi lagu dangdut atau tidak, bagi saja lagu dangdut yang sebenar?

Sebenarnya lagu-lagu yang pernah dinyanyikan dari AF1 hingga AF7, tidak digalakkan untuk dinyanyikan dalam AF8 ini. Kami kena ikut garis panduan. Untuk persembahan Alif, kami tak mahu nampak bosan kerana dia asyik menyanyi lagu-lagu yang tidak beberapa mengujinya. Jadi Adnan terpaksa ubah lagu Hanya Di Radio itu dalam bentuk dangdut untuk mencari kelainan.

Seandainya AF8 ini gagal? Bagaimanakah agaknya?

Saya tahu ramai yang melihat kredibiliti saya selepas 18 tahun penglibatan saya dalam seni. Untuk AF8 ni memang saya sanggup ambil risiko. Kalau gagal, saya tanggung risiko tu tapi saya ada harapan tinggi kepada enam peserta yang saya janjikan tempat itu nanti. Saya bukan malaikat, saya bukan nabi. Filem-filem saya pun ada yang berjaya ada juga yang gagal. Tapi saya minta kalau nak buat penilaian bukan pada konsert pertama. Penilaian kepada saya perlu dibuat sekiranya rating dan SMS yang diterima itu rendah. Ia baru kegagalan.

Antara Kritikan Pedas Adlin Dengan Kritikan Selamat Aznil

SEHINGGA minggu kelima Konsert Akademi Fantasia (AF) musim kelapan ini, setiap peserta kurang menunjukkan aura persembahan yang betul-betul mengagumkan penonton.

Kebanyakannya yang masih kekal dilihat kurang berstamina dan lambat ‘panas’.Hanya Adira yang benar-benar meyakinkan penonton dan layak berada di tempat pertama setiap minggu.

Malah tidak kurang juga mencongak peserta berusia 19 tahun dari Ranau, Sabah itu akan bergelar juara pada musim kali ini.

Lebih mengejutkan, terdapat komen-komen daripada penonton yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi para peserta AF8 yang kian merosot.

Pemilihan lagu dirasakan serba tidak kena dengan suara setiap peserta. Tambahan pula, mereka seolah-olah lebih ‘dimanjakan’ dengan drama-drama ketika berada dalam akademi.

Begitu juga dengan tugas Norman Abdul Halim selaku pengetua yang kurang tegas dan terlalu baik terhadap setiap peserta.

Walaupun antara peserta sentiasa berulang kali diingatkan tentang tagline ‘Tiada alasan buktikan kehebatan’, ‘drama cinta’ melibatkan beberapa pasangan peserta membuatkan mereka seolah-olah hilang fokus.

Mereka juga seperti lupa bahawa tanggungjawab masing-masing dalam AF8 adalah menggilap bakat dalam bidang seni suara dan persembahan.

Apabila di akademi lagi mereka sudah disogok dengan perkara yang tidak penting seperti itu, lantas apa yang mampu ditonjolkan di akhir pembelajaran setiap minggu?

Jadi tidak mustahil pengkritik tetap AF8, Adlin Aman Ramli boleh melontarkan kritikan ‘pedas’ berbanding seorang lagi pengritik tetap, Aznil Hj Nawawi yang lebih memberikan kritikan bersifat ‘selamat’.

Mengikut pemahaman penulis, Adlin sememangnya terkenal sebagai pengkritik yang bersuara lantang dan bebas memberikan kritikannya mengikut apa yang dihidangkan dalam AF8. Jika teruk persembahan yang diberikan oleh para peserta, maka teruklah komennya.

Sebaliknya, Aznil lebih banyak memberikan pujian kepada peserta dan sentiasa ‘murah’ untuk memberikan lampu hijau sebagai tanda menyukai sesuatu persembahan itu.

Jika dilihat secara telus, setiap pengkritik seharusnya mengkaji dengan teliti tentang keseluruhan persembahan peserta yang dirasakan betul-betul memberikan yang terbaik atau tidak. Sepatutnya, persembahan yang sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ tidak perlulah diberikan pujian yang melambung.

Penonton juga harus pandai menilai peserta yang benar-benar berkualiti dan harus dikekalkan dalam AF8.

Mengikut perkiraan, peserta yang menunjukkan prestasi persembahan yang paling lemah adalah Farina dan Nad.

Namun sehingga ke minggu kelima, mereka masih terselamat dalam program realiti itu.

Malah semalam, Farina yang sepatutnya keluar terselamat apabila pengacaranya, Sarimah Ibrahim mengumumkan tiada penyingkiran.

Sebaliknya, peserta yang bagus seperti Anum dan Alif disingkirkan terlebih awal.

Jika peserta yang berkualiti lebih awal disingkirkan, apa yang akan dibuktikan di konsert akhir AF8 nanti?

Peserta AF banyak main!


Saya adalah peminat Akademi Fantasia (AF) dari musim AF3 hingga sekarang. Waktu itu ada Mawi yang mencetuskan fenomena yang digilai ramai peminat. Persembahannya semakin meningkat dari minggu ke minggu. Itu yang perlu ada pada setiap pelajar AF8 sekarang. Apa yang saya saksikan AF8 kurang latihan dan tak bersungguh-sungguh belajar.

Banyak main-main atau terkejut dengan kemewahan yang Astro bagi sampai lupa tujuan asal ke situ. Cikgu yang lebih kurang sama setiap tahun. Ada betulnya komen pengkritik Adlin Aman Ramli, pelajar hanya buat yang diajar oleh cikgu sahaja. Tak ada lebih. Yang cikgu bagi pun tak sempurna persembahannya.

Pengetua, kurang tegas dan kurang garang. Tengok Ramli MS. Garang dan tegas baru pelajar menjadi. Satu lagi dari segi pakaian pelajar perempuan. Bosan setiap minggu sama je fesyennya. Warna je lain. Lepas tu seksi pulak tu. Tak salah kalau pakai baju di bawah lutut agar nampak manis.

Astro perlu ingat, rancangan AF dilihat semua lapisan. Pengacara pun tak best. Gandingan yang tak kena. Alasan belum ada persefahaman tak boleh diterima. Nak tunggu sampai minggu ke 10 baru okey ke? Elok Sarimah seorang sahaja jadi pengacara.

n PEMINAT AF,

Taman Melati, Setapak

Anum akur undian SMS


WALAUPUN dianggap sebagai salah seorang pelajar yang mempunyai keunikannya tersendiri oleh pengetua Akademi Fantasia 8 (AF8), Norman Abdul Halim, namun Anum harus akur kepada pilihan penonton.

Berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi konsert ketiga baru-baru ini, Anum atau nama sebenarnya Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, 19, mendapat undian terendah iaitu sebanyak 8.73 peratus berbanding sembilan peserta lain.

Menyanyikan lagu berjudul Kau Atau Aku (Main Tarik Tali) yang pernah dipopularkan oleh Elyana, Anum yang berasal dari Tawau, Sabah melahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat meneruskan pelajaran di AF.

"Memang sedih apabila tersingkir namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai AF8.

"Saya agak kecewa dengan keputusan pengundi kerana persembahan saya tidaklah begitu menghampakan tetapi saya perlu mengambilnya dari sudut positif.

"Mungkin memang sudah tertulis perjuangan saya di dalam AF8 sampai di sini sahaja tetapi saya akan terus berjuang dalam bidang seni selepas ini," ujar Anum yang meminati genre muzik rock ketika ditemui sejurus berakhirnya Debaran AF8.

Cerita Anum lagi, dia akan merindui Adira, Daus dan Iwan yang merupakan pelajar-pelajar paling rapat dengannya ketika di dalam akademi.

Keputusan SMS Konsert minggu ketiga AF8 menyaksikan Adira mendapat undian paling tinggi sebanyak 12.86 peratus, Maulana (11.36 peratus), Shahir (10.05 peratus), Alif (10.05 peratus), Ain (9.87 peratus), Nad (9.87 peratus), Iwan (9.37 peratus), Farina (9.12 peratus) dan Daus (8.93 peratus).

Norman ketika ditemui turut melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan undian penonton minggu ini yang meletakkan Anum di tangga yang tercorot antara sembilan pelajar yang lain.

Persembahan Anum selama beberapa minggu di dalam AF8 bagi Norman tidak mengecewakan tetapi seperti pelajar lain, banyak lagi yang dia boleh pelajari.

Bagi Norman, ada pelajar yang tidak layak untuk meneruskan pembelajaran di dalam akademi itu kerana tiada disiplin dan semangat untuk memperbaiki diri kurang. berbanding pelajar lain.

"Saya agak kecewa kerana ada beberapa pelajar yang tidak memberi sepenuh komitmen.

"Ada yang masa latihan okay, tetapi bila konsert agak menghampakan.

"Tetapi inilah AF. Semuanya bergantung kepada peminat yang mengundi," ujar Norman.

Mengulas AF8 yang dikatakan kurang sengatnya berbanding musim-musim yang lalu, bagi Norman berkata, pelajar-pelajar ini perlu diberi peluang kerana semuanya masih baru.

Kata Norman, persepsi dan harapan orang ramai terlalu tinggi seolah pelajar-pelajar AF8 ini sudah lama dalam industri sedangkan mereka masih dalam proses pembelajaran.

Dia tidak nafikan ada beberapa pelajar yang sukar diajar dan mendengar kata memandangkan usia majoriti di dalam akademi ini yang masih muda.

"Namun saya janjikan dalam AF8 ini akan lahir sekurang-kurangnya enam orang bintang yang akan bersinar dua hingga tiga tahun.

"Tunggulah sampai ke konsert akhir, pasti anda semua dapat melihat kejutan," janji Norman.

Ditanya apakah konsep undi masuk seperti beberapa musim AF lalu diperkenalkan memandangkan keputusan penonton mengecewakan, Norman berkata, semua itu terpulang kepada Astro.

Secara peribadi, dia tidak menggemari idea itu kerana yang tersingkir biarkan saja kerana itu pilihan penonton sendiri.

AF 8: Anum Tersingkir


KUALA LUMPUR: Agak mengejutkan apabila pelajar yang menunjukkan prestasi agak baik, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun atau Anum, 19, tersingkir dari program Akademi Fantasia 8 (AF 8) malam ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Pelajar yang berasal dari Tawau, Sabah itu menunjukkan persembahan yang baik pada minggu ketiga ini menerusi lagu Kau Atau Aku.

Boleh dikatakan sepanjang tiga minggu ini, Anum mendapat kritikan positif oleh para pengkritik terutama pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie dan Aznil Nawawi.

Undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tidak menyebelahinya apabila dia mendapat undian terendah iaitu 8.73 peratus.

Kini, tinggal sembilan peserta yang meneruskan perjuangan mereka dalam AF 8 pada minggu keempat ini.

Mereka adalah Siti Adira Suhaimi atau Adira yang menduduki tangga pertama dengan markah 12.68 peratus, Maulana Mohamed atau Maulana (11.36), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir (10.05), Muhammad Alif Kadim atau Alif (10.05), Nadiawati Ainul Basir atau Ain (9.87), Nadia Emilia Roselan atau Nad (9.83), Emirza Awan Zulazrin Chew atau Iwan (9.37), Zafarina Jamhari atau Farina (9.12) dan Muhd Shahril Firdaus El atauDaus (8.93).

Penyanyi Juliza Adzlizan turut dijemput selaku pengkritik jemputan semasa konsert mingguan semalam.

Norman Lebih Kecewa Bila Pelajar Lemah Kekal Di AF8


AGAK mengecewakan apabila fakulti dan pelajar Akademi Fantasia (AF) 8 diperkecilkan!

Begitulah perasaan yang lahir dari hati pengetuanya, Norman Abdul Halim apabila pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan mereka.

“Saya berjanji bahawa saya akan melahirkan sekurang-kurangnya enam bintang dalam tempoh setahun hingga tiga tahun ini,” tekad pengetua af8 ini ketika sidang media selepas Anum tersingkir daripada program itu kelmarin.

Jelasnya, AF8 turut menerima pelajar yang datang dari luar bandar. Jadi, bukan mudah untuk membentuk mereka dalam masa tiga minggu ini.

“Jika bercakap tentang kelainan, jangan kata AF8 tiada kelainan. Memanglah AF telah memasuki musim kelapan, tetapi pengkritik tidak sepatutnya menganggap seolah-olah pelajar-pelajar ini sudah lapan tahun berada dalam industri,” katanya.

Lantas dia agak kecewa berhubung penyingkiran tanpa dijangka Anum atau nama sebenarnya Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, 19.

“Persaingan agak sengit dan mereka mempunyai bakat semulajadi masing-masing. Cuma tenaga pengajar perlu memberikan lebih latihan dan bimbingan kepada mereka.

“Saya rasa Anum tidak mengecewakan saya cuma saya terkilan apabila dia tidak menyanyi di hujung lagu. Tetapi keseluruhannya dia menunjukkan persembahan yang menarik dan tidak layak keluar pada minggu ini (minggu ketiga).

“Apabila difikirkan semula, penyingkiran ini sudah menjadi perkara biasa yang akan berlaku pada setiap minggu. Jadi, saya perlu menerima hakikat,” jelas Ketua Pengarah Kumpulan KRU Studios itu.

Lebih mengecewakan Norman apabila pelajar yang sepatutnya tersingkir, masih lagi kekal berada dalam akademi. Jika diikutkan, kata Norman, pelajar yang menunjukkan prestasi merosot itu perlu disingkirkan.

“Sepanjang tiga minggu ini, saya lihat ada pelajar yang tidak praktikkan pembelajarannya di atas pentas. Sebenarnya, pelajar ini yang telah merosakkan nama AF8.

“Siapa dia, biarlah rahsia sebab saya tak nak penonton akan mengundi pelajar ini kerana kasihan,” katanya.

Mungkinkah akan ada Afundi Masuk (AF Masuk)? Namun, Norman menegaskan dia tidak menggemari Afundi Masuk. Katanya, ‘kalau dah keluar tu, keluarlah’.

“Astro punya keputusan mereka sendiri. Jadi kita lihat sahaja apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Bayangkan, umur pelajar yang kini sudah tinggal sembilan orang itu kebanyakannya muda-muda belaka dan yang paling tua pun berusia 27 tahun.

Norman berkata, ada yang tidak konsisten dan memberikan komitmen kepada persembahan masing-masing.

Ada yang melakukan persembahan yang lebih baik semasa raptai berbanding konsert sebenar.

“Mungkin mereka gugup. Tetapi saya sudah berpesan, semasa konsert tiada alasan untuk mereka membuktikan kehebatan,” tuturnya.

Menyentuh tentang pemilihan lagu yang dikatakan kurang bersesuaian dan kurang mencabar kepada pelajar, dia menjawab mereka melihat lagu yang popular di corong radio selain lagu evergreen dan lagu Inggeris yang turut digemari oleh setiap peringkat umur.

“Memang saya akan berikan cabaran nanti kerana pada minggu keempat, kami akan bentuk aliran muzik yang sesuai,”

Dalam pada itu, Anum menerima penyingkirannya dengan hati yang reda. Sejak pertama kali menyertai AF8, dia terima apa sahaja rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

“Sedih tu memanglah sedih tetapi apa boleh buat. Saya tidak terlalu kecewa kerana sekurang-kurangnya saya berjaya kekal di AF8 sehingga konsert minggu ketiga,” luah pelajar yang berasal dari Tawau, Sabah itu.

Walaupun ramai yang memuji persembahannya pada minggu lalu, dia tidak pernah mendabik dada sekaligus menganggap semuanya sama hebat.

“Jika dulu, saya merasakan Shah merupakan pesaing terdekat saya tetapi sekarang tiada lagi,” katanya yang akan merindui rakan karibnya di AF8 seperti Adira, Iwan dan Daus.

Jika berpeluang menerbitkan album, Anum lebih selesa membawakan genre rock.

Norman pohon diberi peluang


INI baru minggu kedua. Berilah saya peluang. Janganlah nilai mereka sekarang. AF (Akademi Fantasia) bukan semata-mata kejayaan saya seorang. Ini kerja berkumpulan. Apa yang saya lihat, prestasi pelajar semakin baik.''

Demikiah luahan Pengetua AF musim kelapan (AF8), Norman Abdul Halim saat dihidangkan dengan persoalan mengenai perjalanan AF8 yang bagaikan hilang seri seperti diperkatakan Joyah Spot di ruangan Panas Seminggu Bersama Joyah Spot, sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Bersandarkan tajuk Mana Magis Norman? Joyah Spot antara lain mempersoalkan ke manakah hilangnya sentuhan magis Norman dalam membawa kembali sinar populariti AF termasuk mengetengahkan kekuatan seni barisan pelajarnya.

Memberi maklum balas mengenai apa yang diperkatakan itu, tegas Norman, adalah terlalu awal untuk memberikan penilaian terhadap hasil kerjanya.

Perubahan, jelasnya, akan datang secara berperingkat dan masih banyak lagi ruang untuknya dan warga kerja AF8 membawa elemen magis dalam akademi musim ini.

"Banyak lagi akan dapat kita saksikan selepas ini. Saingan kalangan pelajar sebenarnya adalah sengit.

"Cuba kita saksikan peratusan undian mereka setakat ini yang tidak terlalu berbeza jurang antara setiap pelajar.

"Bagi saya AF masih relevan dan rating serta undian kalangan penonton juga menunjukkan peningkatan,'' katanya ketika ditemui selepas Debaran AF8 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Ahad lepas.

Debaran AF8 untuk minggu kedua menyaksikan pelajar dari Ranau, Sabah, Erma Suhaimi atau Ema, 21, menjadi pelajar wanita pertama disingkirkan.

Minggu lalu, Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussein (Shah), 25, tersingkir sekaligus merupakan pelajar pertama yang gagal meneruskan perjuangan di AF8.

Untuk minggu kedua, Ema memperoleh peratusan undian tercorot berbanding 10 pelajar lain.

Ketiadaan Ema seakan menukar persekitaran pembelajaran AF8 apabila tiada lagi pasangan adik-beradik dalam akademi itu.

Ema merupakan kakak kepada seorang lagi pelajar AF8 iaitu Siti Adira Suhaimi (Adira), 19.

Dengan penyingkiran Ema, selain Adira, sembilan lagi pelajar akan meneruskan saingan di minggu ketiga dan mereka adalah Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Nadia Emilia Roselan (Nad), 22; Muhammad Alif Kadim (Alif), 19; Zafarina Jamhari (Farina), 28; dan Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20.

Peserta lain, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), 19; Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22; serta Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 22.

Menyambung kata-kata, jelas Norman, penilaian prestasi terhadap AF8 dan barisan pelajarnya seharusnya dilakukan di akhir minggu nanti.

"Jika mahu membuat penilaian terhadap prestasi pelajar, buatlah di konsert akhir. Untuk menilai saya pula, nilailah apabila saya sudah tidak bersama AF8 lagi.

"Lihatlah bagaimana saya akan cuba membawa mereka ke dalam industri muzik selepas ini,'' kata Norman lagi.

Meskipun begitu, Norman berterima kasih terhadap sebarang komen serta kritikan yang diberikan terhadap AF8 dan akan cuba memperbaiki prestasi AF8 dari masa ke semasa.

Mengenai kekuatan seseorang pelajar yang masih berada dalam AF8, Norman memberitahu bahawa pihaknya mempunyai perancangan untuk membentuk aliran muzik mereka sendiri.

"Kalau kita melihat persembahan artis, kita bukan hanya menjadi pendengar kepada alunan vokal yang mereka lontarkan.

"Segenap aspek akan kita perhatikan termasuk pemakaian dan komunikasi. Inilah yang akan kami bentuk dalam AF8.

"Begitu juga dengan aliran muzik masing-masing. Contohnya Maulana. Dia pelajar yang sukakan irama jazz. Oleh itu, kami sedang cuba membentuk dirinya ke arah yang dia sendiri minat,'' katanya.

Penyingkiran Ema

Ditanya mengenai penyingkiran Ema, Norman berkata, pelajar wanita itu tidak berada dalam senarai zon bahaya seperti yang dijangkanya sebelum ini.

"Saya kecewa kerana dia tersingkir. Persembahan Ema kalau dilihat tidaklah terlalu banyak kesilapan yang dilakukannya.

"Keberaniannya terserlah ketika membawakan lagu Pakai Buang nyanyian Stacy. Saya tidak anggap Ema gagal.

"Saya juga terkejut apabila Maulana berada di tiga tangga terbawah. Dia adalah antara pelajar terbaik,'' ujar Norman.

Debaran AF8 bagi minggu kedua menyaksikan Iwan atau nama sebenarnya Emirza Azwan Zulazrin Chew berada di tangga teratas dengan memperoleh 12 peratus undian.

Untuk minggu kedua, Iwan sememangnya menjadi pilihan kedudukan tiga pelajar terbaik oleh Norman sendiri termasuk dua pengkritik tetap AF8 iaitu, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie.

Selain Iwan, dua pelajar lagi yang mendapat pilihan di kedudukan terbaik kalangan pengetua dan seorang lagi pengkritik undangan iaitu Deja Moss adalah Maulana dan Adira.

Bagi tiga pelajar yang menunjukkan persembahan kurang memuaskan di minggu kedua, Norman melahirkan rasa bimbangnya terhadap Farina, Nad dan juga Shahir.

Ema terima dengan hati terbuka

Dalam pada itu, Ema menerima dengan hati terbuka terhadap apa jua keputusan yang dilakukan oleh penonton.

Agak kecewa kerana tidak dapat meneruskan pengajian di akademi, Ema memberitahu bahawa semangatnya tidak akan luntur dan mahu meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

"Sebelum ini saya adalah orang yang tidak memiliki keyakinan yang kuat. Adakalanya malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

"Selepas memasuki AF, saya belajar untuk menambahkan keyakinan diri. Saya rasa cukup bertuah kerana memiliki barisan tenaga pengajar yang cukup prihatin dengan masalah saya,'' katanya.

Ujar Ema, dunia seni ada keunikannya tersendiri biarpun di mata sesetengah pihak ia hanyalah satu bidang yang sia-sia.

"Saya berazam untuk terus menyelami bidang seni,'' kata Ema penuh yakin.

AF 8: Giliran Erma Tersingkir


BUKIT JALIL: Perjuangan Erma atau nama sebenar Erma Suhaini dalam pentas Akademi Fantasia (AF) musim kelapan hancur di pertengahan jalan apabila dia menjadi peserta kedua tersingkir daripada program popular itu, malam tadi.

Peserta yang berasal dari Ranau, Sabah itu tersingkir selepas mendapat peratusan paling rendah menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton, iaitu 7.03 peratus.

Keputusan penyingkiran telah diumumkan dalam program Debaran AF8 secara langsung menerusi saluran Astro Ria oleh pengacara program berkenaan, Sarimah Ibrahim. di Dewan Sri Putra, Bukit jalil, di sini.

Bagaimanapun, Erma yang juga kakak kepada Adira menerima keputusan tersebut dengan reaksi tenang. Baginya ini bukan perjuangan terakhirnya sebagai penyanyi malah menganggap penyinkiran ini sebagai titik mulanya melangkah ke bidang seni.

"Dunia seni ada keunikannya tersendiri, saya rasa ingin terus menyelami bidang ini dengan apa yang telah saya pelajari dalam AF.

"Walaupun rasanya belum cukup tapi saya perlu berusaha lebih dan saya tak akan berhenti setakat ini," ujarnya.

Pada konsert mingguan yang diadakan pada malam kelmarin, pelajar berusia 21 tahun itu menyampaikan lagu Pakai Buang yang pernah dipopularkan oleh Stacy.

Dengan penyingkiran Erma, kini hanya tinggal 10 pelajar yang akan bersaing bagi merebut gelaran Juara Akademi Fantasi musim ini.

Pengkritik tetap program itu pula terdiri daripada Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie, manakala Deja Moss muncul sebagai pengkritik undangan.

Mereka yang berjaya melangkah ke minggu seterusnya ialah Nadiawati Ainul Basir atau Ain, 23; Dayang Nor Anum Arjuna Aharun atau Anum, 19; Siti Adira Suhaimi atau Adira, 19 dari Sabah; Zafarina Jamhari atau Farina, 28 (Sarawak) dan Nadia Emilia Roselan atau Nad, 21 (Selangor), manakala pelajar lelaki pula ialah Muhd Shahril Firdaus El atau

Daus, 22 (Sarawak), Muhammad Alif Kadim atau Alif, 18 (Kuala Lumpur), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21 (Perak), Emirza

Awan Zulazrin Chew atau Iwan, 20, (Negeri Sembilan) dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Mulana, 22 dari Johor.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails