Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label AJL 25. Show all posts
Showing posts with label AJL 25. Show all posts

Pemenang AJL25 Terima Habuan


PETALING JAYA: Pemenang Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) menerima habuan masing-masing pada Majlis Penghargaan Raikan Pemenang AJL25 di Seri Pentas, TV3, di sini, Isnin.

Penyanyi Ana Raffali menerima cek sebanyak RM35,000 apabila lagunya, Tolong Ingatkan Aku, menjadi juara AJL25.

Begitu juga dengan Meet Uncle Hussein dan Black yang mendapat tempat kedua menerima cek sebanyak masing-masing sebanyak RM15,000 diikuti pula dengan pemenang tempat ketiga, Hafiz, menerima cek sebanyak RM12,000 dan RM10,000 sebagai vokal terbaik.

Selain itu Faizal Tahir menerima cek sebanyak RM10,000 untuk kategori persembahan terbaik.
Menurut Ana, wang yang diterima itu akan dibahagikan kepada kumpulan pemuziknya, The Marheins serta orang terdekat yang banyak membantu Ana dalam penghasilan lagu tersebut.

Begitu juga dengan Meet Uncle Hussein, wang yang diperoleh itu akan digunakan untuk penggunaan projek-projek terbaru kumpulan tersebut.

"Pendekatan kumpulan kami ialah, kerja sama-sama dan hasil yang diperoleh juga akan digunakan bersama.

"Duit yang diterima itu kami akan belanjakan untuk projek baru kami pada tahun ini dan sedikit sebanyak ia mengurangkan beban kami dari segi pengeluaran modal," kata Taja, selaku ketua kumpulan MUH.

Faizal pula bercadang untuk memberi wang kemenangan tersebut kepada kumpulan pemuziknya, Royal FT Force.

Turut hadir untuk menerima wang kemenangan ialah komposer Ajai dan Sheikh Qalam yang mencipta lagu Noktah Cinta.

AJL25 yang berlangsung pada 9 Januari lalu itu berjaya meraih jumlah penonton sebanyak 4.2 juta dan ia juga memperlihatkan antara penganjuran program terbaik sempena meraikan ulang tahun jubli perak stesen televisyen tersebut.

Seramai 4.2 Juta Tonton AJL25



Hafiz memenangi tempat ketiga dan vokal terbaik menerusi lagu 'Nokhtah Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) pada Ahad lalu.

PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3, mencatat sejarah pada bulan Januari 2011 apabila Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) yang disiarkan malam Ahad lalu mencatat jumlah penonton tertinggi iaitu seramai 4.2 juta orang.

TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rabu berkata, laporan menerusi AGB Nielsen turut mencatatkan seramai 83,764 orang mendaftar untuk kemudahan live streaming menerusi dalam talian menonton siaran eksklusif karpet merah, di sebalik tabir dan keseluruhan majlis anugerah.

Jumlah itu juga menunjukkan kenaikan sebanyak 14.34 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2010. Ia merupakan rekod terbaik live streaming untuk kumpulan Media Prima secara keseluruhan.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 20 peratus penonton dicatatkan terdiri daripada pelayar-pelayar laman sesawang dari luar negara seperti United Kingdom, Jepun, Indonesia, Singapura, Mesir dan banyak lagi.



Antara gimik yang dilakukan Faizal Tahir (kiri) dalam AJL25 Ahad lalu yang mendapat jumlah penonton tertinggi iaitu seramai 4.2 juta orang.

Dalam masa yang sama AJL25 juga berjaya mendapat sebanyak 1.4 juta pelayar yang mengikuti perkembangan terkini melalui laman sesawang rasmi TV3 pada hari Ahad dan tempoh selepas tamatnya majlis.

Manakala laman sosial Facebook rasmi stesen televisyen itu pula meraih sebanyak 1 juta pelayar sepanjang siaran berlangsung sementara laman sosial Twitter yang dibuka pula mencatatkan sebanyak 13 ribu pesanan Twitter berkaitan anugerah itu serta untuk artis yang bertanding.

AJL25 yang dipancarkan dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu memberi tuah kepada penyanyi Ana Raffali selepas dia diumumkan sebagai pemenang Juara Lagu menerusi lagu nyanyian dan karyanya, Tolong Ingatkan Aku.

Masam manis AJL25



SELEPAS Anugerah Juara Lagu Ke-24 mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan buat TV3, pasti edisi ke-25 tahun ini amat dinanti-nantikan.

Ramai yang mahu melihat adakah Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) dapat mengulangi kejayaan tahun lalu.

Hampir tiga jam duduk di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad lalu, secara keseluruhannya, prestasi AJL25 masih lagi berlegar dalam lingkungan yang sama seperti tahun lalu.

Barangkali yang kelihatan gah kali ini adalah keluasan pentasnya yang bermandikan cahaya menerusi LED dan teknik pencahayaan.

Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam dilihat lebih selesa untuk mengambil jalan selamat agar AJL25 tidak tersasar jauh daripada landasannya.

Topik yang paling menarik untuk dibincangkan kali ini sudah semestinya konsep persembahan yang ditampilkan oleh kesemua peserta pada malam itu.

Elemen drama, tarian dan magis nampaknya masih lagi menjadi pilihan sebahagian besar peserta AJL25 sehinggakan ia menjadi klise dan tidak keterlaluan dikatakan sedikit membosankan.

Bukan itu sahaja, nampaknya aksi tembak dan permainan api juga menjadi tema utama dalam persembahan AJL25.

Sesuai dengan kemenangannya untuk Persembahan Terbaik, Faizal Tahir memang layak untuk merangkul kejuaraan itu berdasarkan persembahannya menerusi lagu Hanyut.

Rasanya belum pernah ada artis tempatan yang begitu berani mengambil risiko membahayakan nyawa sendiri untuk tampil dengan persembahan seperti itu.

Muncul bersama sangkar dan tangki air yang dipaparkan menerusi skrin, Faizal tampil dengan gimik ahli silap mata meloloskan diri dalam air.

Begitu juga dengan persembahannya untuk lagu Selamat Malam yang cukup ringkas namun menterjemahkan cerita di sebalik lagu itu menerusi drama yang ditampilkan.

Menggunakan artis-artis terkenal negara seperti Datuk Aziz Sattar bersama isterinya, Datin Hashimah Delan, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan anaknya, Sharifah Aryana melengkapkan lagi persembahan Selamat Malam.

Selain Faizal, komposer dan penyanyi wanita terkenal, Yuna juga meninggalkan kesan yang mendalam menerusi persembahannya untuk lagu Cinta Sempurna.

Gubahan muzik Cinta Sempurna begitu dramatik dengan gabungan muzik moden dan orkestra menjadikan Yuna cukup cemerlang.

Kekuatan vokalnya benar-benar menusuk kalbu dan membuatkan penonton larut dalam emosi Yuna.

Kumpulan A.P.I. juga tidak kurang hebatnya apabila memberikan terjemahan sendiri menerusi lagu Pelita yang telah diberikan tepukan gemuruh dan sorakan oleh audiens.

Hafiz yang beraksi cemerlang menerusi lagu Noktah Cinta memang diakui telah memberikan persembahan yang cukup mantap.

Namun, maaf Hafiz. Anda sendiri telah membunuh momentum penonton dengan drama yang dilihat tidak perlu ada sebenarnya.

Walaupun mahu menonjolkan seni teater menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, hakikatnya adalah lebih manis jika Ana Raffali hanya bermain gitar dan menyanyi.

Bukan apa. Apabila elemen lakonan diselitkan ia dilihat banyak menganggu persembahan Ana. Dia sepatutnya lebih menumpukan kepada aspek nyanyian yang pasti akan meninggalkan kesan di hati penonton.

Untuk artis lain, bukan anda tidak bagus tetapi tiada yang baru dalam persembahan.

Adira misalnya, yang tampil dengan props seperti buaian dan penari latar untuk lagu Ku Ada Kamu sebenarnya sudah ketinggalan zaman.

Seharusnya apabila berjaya mara ke peringkat akhir AJL, peluang itu sepatutnya digunakan sebaik-baiknya oleh semua artis untuk memberikan persembahan terbaik.

Beralih kepada persembahan pembukaan pula, tiga juara AJL terdahulu dengan sejarah tersendiri membuktikan mereka adalah penyanyi senior yang tiada tandingan dan wajar menjadi contoh kepada artis baru.

Francissca Peter tetap hebat dan mantap saat menyanyikan lagu keramatnya, Sekadar Di Pinggiran dengan susunan muzik baru diiringi orkestra oleh Datuk Ramli M.S.

Begitu juga dengan Nash yang membuktikan kehebatannya sebagai salah seorang vokalis lelaki terbaik negara ketika melagukan Pada Syurga Di Wajahmu.

M. Nasir? Apa lagi yang mahu dipertikaikan kebolehannya yang tampil bersahaja di atas pentas menerusi medley lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Ghazal Untuk Rabiah.

Kemuncak AJL25 tanpa ragu boleh dikreditkan kepada tiga penyanyi wanita unggul negara iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza.

Sharifah Aini membawa penonton ke zaman kegemilangannya sebagai penyanyi pujaan ramai menerusi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Oh Di Mana.

Persembahannya itu membuktikan sememangnya dia adalah Biduanita Negara yang tiada tandingan dan tidak mungkin ada gantinya.

Kemunculan Ziana pula memang cukup dinantikan dan seluruh stadium memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia menyampaikan lagu Anggapanmu.

Tidak melupakan lagu Madah Berhelah yang memperkenalkan namanya di persada seni tanah air, Ziana mengimbas memori silam penonton yang teringatkan persembahannya untuk lagu itu pada AJL 1992.

Sebaik sahaja kelibat Siti Nurhaliza muncul di atas pentas, keadaan di dalam stadium bagaikan gegak gempita dengan tepukan dan sorakan audiens.

Membawakan lagu-lagu berentak etnik dan irama Malaysia yang pernah menjulang namanya di pentas AJL, ia sekali gus membuktikan Siti masih unggul sebagai penyanyi nombor satu negara.

Meskipun tidak sihat, itu bukan satu halangan buat Siti untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu-lagu Balqis, Nirmala dan Cindai.

Fesyen Artis Di Karpet Merah AJL25

KUALA LUMPUR: Fesyen selebriti dan finalis yang menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad lalu menjadi perhatian mata yang memandang.



Lisa Surihani dan Mia Sara.

Antara yang bergaya menarik dan anggun pada malam itu adalah aktres Dynaz Mokhtar, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, aktres Ika Nabila, penyanyi Sharifah Zarina, penyanyi Yuna, aktres Fouziah Gous, aktor Zahiril Adzim dan pengacara Zoey.















Yuna.

Tidak kurang juga yang hadir berpasangan dengan memakai pakaian sedondon seperti Zoey dan Ika Nabila yang mengenakan pakaian warna sama iaitu ungu, aktres Lisa Surihani yang hadir bersama-sama aktres kanak-kanak Mia Sara serta Zahiril ditemani pengacara Shera Aiyob.

Dipanggil Lagu 'Sampah', Ana Raffali Beri Pandangan



KUALA LUMPUR: Selepas kontroversi tidak dibenarkan memegang gitar bagi sesi fotografi profil Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), penyanyi Ana Raffali sekali lagi dipalit dengan kontroversi apabila kemenangannya sebagai juara AJL25 dipertikai.

Ramai pihak yang mempersoalkan kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku karya lirik dan ciptaan Ana sendiri setelah rancangan berprestij itu melabuhkan tirai di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam Ahad lalu.

Kejayaan Ana yang merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 itu mengundang suasana yang kurang manis sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang apabila kebanyakan penonton di stadium berkenaan bangun meninggalkan kerusi masing-masing.

Ia seperti isyarat peminat dunia hiburan tidak dapat menerima keputusan juri yang diketuai M.Nasir itu mengenai pemilihan berkenaan.



Lebih dahsyat lagi, semasa sidang media diadakan ada wartawan yang melabelkan lagu berkenaan umpama sampah dan mempersoalkan kenapa ia harus diangkat sebagai pemenang.

Sebaliknya, anak didik komposer Aidit Alfian ini menerima keputusan juri yang sebulat suara membuat keputusan memilihnya sebagai pemenang.

Ana tidak kecewa dengan keceman orang ramai kerana dia tidak bersalah sebaliknya menerima keputusan itu dengan rasa syukur.

“Peluang memenangi juara lagu AJL25 tidak akan dapat di mana-mana. Saya berharap lagu Tolong Ingatkan Aku untuk menang tetapi tidak fikir dipilih terlalu tinggi seperti ini.

“Mungkin lagu itu tidak popular dan tidak selalu dimainkan di radio tetapi kita perlu melihat sejauh mana lagu itu digambarkan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan ini dan akan terus berkarya dalam industri muzik,” katanya ketika sidang media selepas acara itu berlangsung.

Bercerita lanjut tentang lagu berkenaan, Ana akui lagu itu sebagai mengingati arwah kakaknya yang meninggal pada 9 Januari 2003.

“Saya menulis lagu itu sebagai satu peringatan untuk orang yang tersayang. Benci dan marah merupakan satu lumrah dalam kehidupan.

“Saya akan berkongsi hadiah wang tunai itu dengan orang yang banyak berjasa kepada saya selain ingin mengadakan sedikit jamuan.

“Trofi yang saya menangi ini akan lebih mengingatkan saya tentang kenapa saya memilih muzik sebagai karier sekali gus sebagai lambang keseriusan dan perjuangan saya dalam bidang muzik,” ujarnya.

Ana juga berharap penganjur konsert akan lebih menghargai penyanyi dan pemuzik tempatan pada masa akan datang.

Apa kata pemenang lain?

Dalam pada itu, pemenang lain dalam AJL25 turut meluahkan perasaan syukur dan gembira mereka.



Black ketika menyanyikan lagu Drama King.

Naib juara: Drama King ciptaan Taja serta lirik oleh Tun Teja yang dinyanyikan oleh Black dan Meet Uncle Hussain sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000

Taja- "Lagu Untukmu dan Drama King merupakan lagu yang berlainan. Kami tidak menolak untuk berkolaborasi dengan Black lagi selepas ini.

"Ramai yang mengatakan lagu ini sebagai lagu sindiran tetapi kami tak nafikan. Semuanya bergantung kepada konklusi masing-masing. Seperti kata Ana Raffali, kita luahkan apa yang ingin diluahkan dalam hati melalui lagu."

Tempat ketiga: Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Qalam nyanyian Hafiz yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM12,000


Hafiz menyampaikan lagu Noktah Cinta.

Ajai - "Muzik seperti fesyen. Memang betul seperti kata M. Nasir, setiap kali AJL, mesti ada ketidakpuasan tetapi muzik sangat halus untuk orang seni bentangkan.

"Pada saya, menang atau kalah, saya lihat pada generasi baru yang boleh membuat lagu sendiri. AJL merupakan platform yang bagus dan kita juga memerlukan populariti artis."



Persembahan lagu Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir turut menjadi perhatian.

Vokal terbaik: Hafiz menerusi lagu Noktah Cinta (trofi dan wang tunai RM10,000)

Hafiz- "Syukur, ini merupakan kali pertama saya mendapat tempat ketiga dan vokal terbaik dalam AJL25. Terima kasih kepada komposer dan penulis lirik. Saya sangat bangga dengan kemenangan ini."

Persembahan terbaik: Faizal Tahir menerusi lagu Hanyut (trofi & wang tunai RM10,000)

Faizal Tahir: "Ramai yang cakap tahun siapa pada setiap kali ada AJL tetapi sebenarnya peminat artis itu yang akan berkata begitu. Sebenarnya AJL adalah tahun untuk semua orang dan tidak patut dipandang rendah.

"Saya anggap, menang atau kalah, tidak menjadi masalah besar dalam hidup. Sebagai pemuzik, kita mahu muzik yang menyentuh jiwa dan sampai kepada penonton.

"Paling penting, saya puas hati dengan persembahan saya dan persembahan peserta lain. Saya puji AJL25."

Juri AJL25 Bertelagah? Azmeer Kurang Setuju Keputusan M.Nasir



KUALA LUMPUR: Ketika ketua juri Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) M.Nasir mempertahankan keputusannya memilih lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafalli sebagai pemenang pertandingan itu, salah seorang panel juri melihat keputusan berkenaan sebagai kurang tepat.

Komposer Azmeer berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu dan secara tidak langsung menandakan Ana Raffali tidak layak untuk diangkat sebagai pemenang.

“Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini Isnin.

Dalam AJL25 malam Ahad lalu, Ana Rafali yang turut mencipta dan menulis lirik lagu Tolong Ingatkan Aku diumumkan sebagai juara AJL25 yang melayakkannya menerima wang tunai RM35,000.



Lagu Hanyut nyanyian Faizal Tahir disebut-sebut sebagai juara AJL25 namun sekadar meraih anugerah persembahan terbaik.

Kemenangan itu menimbulkan perdebatan sehingga ramai penonton di stadium meninggalkan kerusi masing-masing sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Ketika diminta mengulas kenapa lagu berkenaan tidak boleh diangkat sebagai juara, Azmeer enggan memberi sebarang komen sehinggalah apabila dia mendengar pendapat M.Nasir dalam Imbasan AJL25 pada malam Selasa (malam ini).

Sorotan mengenai pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 pukul 11 malam.

Selain M.Nasir dan Azmeer, juri kali ini terdiri daripada Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy).

Penyanyi Amy Search pula berkata, dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal dan bukannya melibatkan lagu yang dipertandingkan.



Lagu Cinta Sempurna nyanyian Yuna berjaya menyentuh jiwa penonton dengan persembahan memukau.

Bagaimanapun secara peribadi Amy turut terkejut dengan keputusan itu kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu Cinta Sempurna diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan menusuk hati.

Bersifat jujur - M.Nasir

Sementara itu M.Nasir pula berkata lagu nyanyian Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur.



Persembahan lagu Pelita daripada kumpulan A.P.I turut berjaya menarik perhatian penonton.

“Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan.

“Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton rasa lagu ini tidak ‘besar’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan kedua-duanya,” kata M. Nasir pada sidang media selepas acara itu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam Ahad lalu.

Biarpun keputusan sudah dilakukan, M. Nasir sedar pasti ada pihak yang akan membuat pertikaian.

“Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain. Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus.

“Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular,” ujarnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat kerana segala-galanya adalah terletak di tangan juri.

“Semua kena tanya M.Nasir," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails