Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Masam manis AJL25



SELEPAS Anugerah Juara Lagu Ke-24 mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan buat TV3, pasti edisi ke-25 tahun ini amat dinanti-nantikan.

Ramai yang mahu melihat adakah Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) dapat mengulangi kejayaan tahun lalu.

Hampir tiga jam duduk di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad lalu, secara keseluruhannya, prestasi AJL25 masih lagi berlegar dalam lingkungan yang sama seperti tahun lalu.

Barangkali yang kelihatan gah kali ini adalah keluasan pentasnya yang bermandikan cahaya menerusi LED dan teknik pencahayaan.

Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam dilihat lebih selesa untuk mengambil jalan selamat agar AJL25 tidak tersasar jauh daripada landasannya.

Topik yang paling menarik untuk dibincangkan kali ini sudah semestinya konsep persembahan yang ditampilkan oleh kesemua peserta pada malam itu.

Elemen drama, tarian dan magis nampaknya masih lagi menjadi pilihan sebahagian besar peserta AJL25 sehinggakan ia menjadi klise dan tidak keterlaluan dikatakan sedikit membosankan.

Bukan itu sahaja, nampaknya aksi tembak dan permainan api juga menjadi tema utama dalam persembahan AJL25.

Sesuai dengan kemenangannya untuk Persembahan Terbaik, Faizal Tahir memang layak untuk merangkul kejuaraan itu berdasarkan persembahannya menerusi lagu Hanyut.

Rasanya belum pernah ada artis tempatan yang begitu berani mengambil risiko membahayakan nyawa sendiri untuk tampil dengan persembahan seperti itu.

Muncul bersama sangkar dan tangki air yang dipaparkan menerusi skrin, Faizal tampil dengan gimik ahli silap mata meloloskan diri dalam air.

Begitu juga dengan persembahannya untuk lagu Selamat Malam yang cukup ringkas namun menterjemahkan cerita di sebalik lagu itu menerusi drama yang ditampilkan.

Menggunakan artis-artis terkenal negara seperti Datuk Aziz Sattar bersama isterinya, Datin Hashimah Delan, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan anaknya, Sharifah Aryana melengkapkan lagi persembahan Selamat Malam.

Selain Faizal, komposer dan penyanyi wanita terkenal, Yuna juga meninggalkan kesan yang mendalam menerusi persembahannya untuk lagu Cinta Sempurna.

Gubahan muzik Cinta Sempurna begitu dramatik dengan gabungan muzik moden dan orkestra menjadikan Yuna cukup cemerlang.

Kekuatan vokalnya benar-benar menusuk kalbu dan membuatkan penonton larut dalam emosi Yuna.

Kumpulan A.P.I. juga tidak kurang hebatnya apabila memberikan terjemahan sendiri menerusi lagu Pelita yang telah diberikan tepukan gemuruh dan sorakan oleh audiens.

Hafiz yang beraksi cemerlang menerusi lagu Noktah Cinta memang diakui telah memberikan persembahan yang cukup mantap.

Namun, maaf Hafiz. Anda sendiri telah membunuh momentum penonton dengan drama yang dilihat tidak perlu ada sebenarnya.

Walaupun mahu menonjolkan seni teater menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, hakikatnya adalah lebih manis jika Ana Raffali hanya bermain gitar dan menyanyi.

Bukan apa. Apabila elemen lakonan diselitkan ia dilihat banyak menganggu persembahan Ana. Dia sepatutnya lebih menumpukan kepada aspek nyanyian yang pasti akan meninggalkan kesan di hati penonton.

Untuk artis lain, bukan anda tidak bagus tetapi tiada yang baru dalam persembahan.

Adira misalnya, yang tampil dengan props seperti buaian dan penari latar untuk lagu Ku Ada Kamu sebenarnya sudah ketinggalan zaman.

Seharusnya apabila berjaya mara ke peringkat akhir AJL, peluang itu sepatutnya digunakan sebaik-baiknya oleh semua artis untuk memberikan persembahan terbaik.

Beralih kepada persembahan pembukaan pula, tiga juara AJL terdahulu dengan sejarah tersendiri membuktikan mereka adalah penyanyi senior yang tiada tandingan dan wajar menjadi contoh kepada artis baru.

Francissca Peter tetap hebat dan mantap saat menyanyikan lagu keramatnya, Sekadar Di Pinggiran dengan susunan muzik baru diiringi orkestra oleh Datuk Ramli M.S.

Begitu juga dengan Nash yang membuktikan kehebatannya sebagai salah seorang vokalis lelaki terbaik negara ketika melagukan Pada Syurga Di Wajahmu.

M. Nasir? Apa lagi yang mahu dipertikaikan kebolehannya yang tampil bersahaja di atas pentas menerusi medley lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Ghazal Untuk Rabiah.

Kemuncak AJL25 tanpa ragu boleh dikreditkan kepada tiga penyanyi wanita unggul negara iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza.

Sharifah Aini membawa penonton ke zaman kegemilangannya sebagai penyanyi pujaan ramai menerusi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Oh Di Mana.

Persembahannya itu membuktikan sememangnya dia adalah Biduanita Negara yang tiada tandingan dan tidak mungkin ada gantinya.

Kemunculan Ziana pula memang cukup dinantikan dan seluruh stadium memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia menyampaikan lagu Anggapanmu.

Tidak melupakan lagu Madah Berhelah yang memperkenalkan namanya di persada seni tanah air, Ziana mengimbas memori silam penonton yang teringatkan persembahannya untuk lagu itu pada AJL 1992.

Sebaik sahaja kelibat Siti Nurhaliza muncul di atas pentas, keadaan di dalam stadium bagaikan gegak gempita dengan tepukan dan sorakan audiens.

Membawakan lagu-lagu berentak etnik dan irama Malaysia yang pernah menjulang namanya di pentas AJL, ia sekali gus membuktikan Siti masih unggul sebagai penyanyi nombor satu negara.

Meskipun tidak sihat, itu bukan satu halangan buat Siti untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu-lagu Balqis, Nirmala dan Cindai.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails