Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Abby Fana. Show all posts
Showing posts with label Abby Fana. Show all posts

Abby Fana Bukan 'Dibuang' TV3 Kerana Bertudung


KUALA LUMPUR: Penyampai Radio Sinar FM, Abby Fana menolak tuduhan kononnya khidmat beliau sebagai perantara Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 ditamatkan apabila beliau membuat keputusan memakai tudung selepas mengerjakan Haji pada November tahun lalu.

Abby atau nama sebenarnya Habsah Omar,46, memberitahu mStar Online, keinginannya untuk bersara sebagai penyampai sambilan rancangan itu telah dipendamnya pada tahun lalu dan secara kebetulan telah terlaksana selepas pulang dari Mekah.

“Sebenarnya sebelum pergi Haji lagi saya dah rasa nak berhenti sebab dah lama sangat saya jadi pengacara MHI. Bila pulang dari Mekah, tak sangka pula ia macam sudah tersurat.

“Pada 27 Disember lalu adalah penampilan terakhir saya sebagai pengacara MHI,” katanya yang telah sembilan tahun berkhidmat di stesen televisyen itu.

Abby memberitahu, hasrat untuk meninggalkan MHI dipendamnya kerana merasakan khidmatnya sudah terlalu lama dan bimbang penonton mula bosan dengan penampilan barunya itu.

Kata Abby, kalau di congak tugasnya sebagai pengacara segmen pagi di stesen televisyen sebenarnya telah mencecah 14 tahun iaitu sembilan tahun di TV3 manakala lima tahun bergelar pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM1.

“Kita ni bukan macam di Amerika Syarikat. Di negara itu, usia pengacara bukan ukuran. Tetapi di negara kita, kalau terlalu lama sangat nanti orang cepat jelak,” katanya.

Menurut Abby, selepas meninggalkan MHI, dia kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Penyampai Radio Sinar FM yang dikendalikannya sejak lima tahun lalu.

Jelas Abby, tugas sebagai deejay memberi keseronokan yang luar biasa buatnya kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat “bersosial” dengan peminat.

“Saya ni tak pernah nak melepak mana-mana tempat pun. Hanya di radio sahajalah saya bersosial. Saya dapat rasakan tekanan dalam diri saya hilang,” katanya.

Mengulas mengenai penampilannya bertudung yang dilihat kelihatan lebih manis kata Abby, jiwanya menjadi lebih tenang dan merasakan satu perubahan baru.

Bagaimanapun beliau mahu terus aktif melibatkan diri dalam bidang seni dan akan mempertimbangkan tawaran bergelar pengacara mana-mana program yang berkehendakkan personaliti bertudung.

Menyentuh mengenai calon suami selepas bergelar ibu tunggal sejak sembilan tahun lalu, Abby yang memiliki dua orang anak iaitu Afiq Nazrin,21, dan Adli,20, serta seorang anak angkat Azra, 19 bulan, memberitahu tidak terfikir ke arah itu.

Beliau lebih selesa dengan kehidupannya sekarang dan menyerahkan jodoh kepada Allah untuk menentukannya.

Dalam perkembangan lain calon Penyampai Radio Wanita Terbaik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPH2011) ini turut aktif dalam perniagaannya sebagai pembekal kelengkapan seperti perabot, zink dan plastik anak benih untuk, Felda Zon Tengah.

Perniagaan yang diusahakan bersama rakan kongsi itu tekah dikendalikannya sejak tiga tahun lalu dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Peminat positif Abby bertudung


ABBY Fana dikenali ramai sebagai selebriti yang serba boleh dalam dunia penyiaran tanah air. Suaranya bukan sahaja sinonim di radio Sinar FM setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 1 petang.

Malah, wajahnya juga antara yang ditatap oleh para penonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, dua kali seminggu dari pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi. Justeru, suara dan penampilan Abby di radio dan televisyen (TV) memang sentiasa menjadi perhatian ramai peminatnya.

Bagaimanapun, sekembalinya dia daripada mengerjakan haji di Mekah dari 12 Oktober hingga 25 November lalu, selebriti berusia 45 tahun ini berubah imej. Dia bukan lagi Abby dengan imej lamanya tetapi kini tampil lebih ayu dengan bertudung.

Menurut pemilik nama sebenar Habsah Omar ini, para peminat terutamanya penonton MHI tidak terkejut dengan perubahan dirinya itu. Para pendengar Sinar FM juga positif dengan perubahan dirinya yang kini bergelar hajah itu.

“Saya mula ke udara di Sinar FM pada Isnin lalu. Sebelum itu, satu pengumuman dibuat di laman sosial Facebook saluran radio ini.

“Dalam masa tidak sampai 10 minit, status saya bertudung dikeluarkan, tanda ikon likes di Facebook itu mencecah 500 pengunjung yang menyukainya.

“Saya yakin jumlah itu sekarang ini terus meningkat. Selain itu, para penonton MHI juga positif dengan imej baru saya sejak saya kembali bersiaran dalam rancangan itu pada minggu lalu,” katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sungguhpun mendapat reaksi positif daripada para peminat Abby, tetapi sayangnya anak ketiga daripada lima beradik ini tidak terkecuali menerima reaksi negetif daripada segelintir pihak yang seakan-akan kurang senang dengan penampilan barunya itu.

Tutur ibu tunggal kepada Muhd. Afiq Nazrin, 21, Muhd. Adli Nazrin, 20, dan seorang anak angkat, Azra Qalilah, setahun enam bulan ini, ekoran perubahan itu dia dilempar dengan pelbagai gelaran yang kurang enak didengar.

“Ada yang kata imej baru saya itu macam fesyen makcik-makciklah, macam kakitangan kerajaanlah, macam cikgu sekolah dan macam-macam lagi. Saya hanya mampu mendengar dan tidak mahu komen lebih-lebih. Biarlah apa orang hendak kata.

“Bagi saya, isu seperti itu kurang bijak untuk diambil tahu. Ia tidak menjadi kudis buat diri saya. Apa yang penting perubahan ini sebagai suatu hijrah ke arah yang lebih baik demi mencari keredaan Allah.

“Pada masa sama, ada juga kawan-kawan yang bukan beragama Islam bertanya mengapa saya bertudung selepas menunaikan haji.

“Soalan yang macam ini, saya perlu jawab bagi memberi kefahaman kepada mereka tentang hukum bertudung dalam Islam. Saya juga perlu menjelaskan bertudung bukan sebab kerana trend atau sebab-sebab lain tetapi hanya kerana Allah dan menurut tuntutan agama,” jelasnya.

Dalam pada itu, bersesuaian dengan imejnya yang lebih sopan, anak kelahiran Bukit Pasir, Muar, Johor itu kini lebih membataskan pergaulan dan tutur katanya terutama sewaktu ke udara melalui TV dan radio agar ia memberi manfaat kepada para audiensnya.

Jelas Abby yang telah 18 tahun bergelar ibu tunggal, dia seboleh-bolehnya akan menyelitkan nasihat ataupun ilmu berguna untuk disampaikan kepada para audiensnya sama ada sewaktu bersiaran di radio dan TV.

“Sebenarnya, sejak belum bertudung dan mengerjakan haji lagi, saya sudah mempraktikkan semua itu. Saya cuba menyelitkan tips, nasihat atau sedikit ilmu pengetahuan untuk dikongsi bersama para audiens saya.

“Bagi saya, hiburan tanpa secalit ilmu ia akan jadi sia-sia sahaja. Biarpun saya seorang yang suka bergurau senda dan mengusik orang tetapi saya kini cuba membataskannya agar ia tidak melukai hati mana-mana pihak,” ujarnya yang telah bertugas sebagai penyampai slot Sembang Sinar di Sinar FM sejak tahun 2006.

Tambah bekas penyampai radio THR dari tahun 1997 hingga 2006 ini, dia mendapat dorongan dan bantuan daripada sanak saudara dan rakan-rakannya bagi mendapatkan tudung yang bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang selebriti TV dan radio yang popular.

“Makcik saya, Kasmah, 55, antara orang yang banyak membantu saya bertudung. Apatah lagi, kami tinggal serumah di mana sejak dulu saya selalu membelikannya tudung. Sekarang apabila saya bertudung, saya pula yang meminjam semula tudung-tudung yang saya pernah belikan untuknya dulu,” katanya lagi sambil ketawa kecil.

Abby Fana tunai haji


MINGGU lalu memang ramai yang bertanyakan kepada Syed mana menghilang deejay popular Abby Fana. Bila hilang sampai seminggu ramai juga yang mula resah dan gelisah dengan kehilangan deejay Sinar FM tu.

Mungkin ramai yang rasa tengah hari mereka dah tak ada orang nak hiburkan. Maklumlah bukankah Abby memang ramai pengikut sampaikan ramai yang memang ternanti-nantikan soalan cepu emas yang selalu ditanya pada para pendengar setiap hari.

Bila berjumpa dengan orang kuat Sinar FM baru-baru ini, Pak Tam beritahu yang Abby dah pun berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Iyalah, bukan senang nak dapat peluang menjejak kaki ke Mekah, ada yang sampai akhir hayat pun belum berpeluang nak dapat jejak kaki. Sebab itu bila ada masa yang sesuai Abby terus pergi.

Lagi satu dengar khabarnya Abby tak mahu kecoh-kecoh tentang pemergiannya ke sana. Nak buat ibadah ni kena ikhlas dan Syed harap sangat Abby akan dikurniakan haji yang mabrur seperti mana yang diharapkan.

Tapi betul ke sudah ada pengganti Abby di Sinar FM? Tak pasti pula siapa yang akan menggantikan Abby sepanjang ketiadaannya. Tak kisahlah siapa-siapa pun sebab ramai yang tahu Sinar FM memang radio terbaik di Malaysia.

Abby Fana selesa sendirian


Bagaimanapun bagi Habshah Omar atau lebih dikenali sebagai Abby Fana, segala pahit manis perjalanan itu memberinya warna kebahagiaan.

Rambut sama hitam, hati siapa tahu. Coretan hidupnya atas apa jua yang berlaku ditelan sebagai ketentuan Ilahi. Tidak langsung segala bebanan itu dipancarkan pada wajah mahupun karakternya sebagai figura awam.

Abby Fana tetap terkenal sebagai wanita yang penuh dengan personaliti yang disenangi serta bijak bergurau.

Namun jauh untuk mengalah, penyampai radio Sinar FM ini tetap gigih meneruskan hidupnya berbekalkan niat yang satu – ikhlas mencari rezeki untuk membesarkan anaknya.

Kini dia mampu tersenyum melihat anak sulungnya, Mohd Afiq Nazrin, 19, melanjutkan pengajian muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Begitu juga si bongsu, Mohd Adli Nazrin, 18, juga menuntut di institusi sama di Melaka dalam jurusan Seni Reka.

“Hidup ini ibarat gelanggang perlawanan, yang mana kita yang mencongak jalannya. Begitu juga dengan saya yang mungkin tersilap atau terlepas pandang sehingga adanya kegagalan.

“Apa yang terjadi bukan sesuatu yang dirancang. Bagaimanapun saya lebih selesa menganggap ia satu ketentuan buat saya meskipun ibarat segelas racun yang perlu disedut.

“Saya akur dan terima sebaik mungkin bukan saja untuk diri saya, malah untuk dua zuriat saya yang banyak memberi inspirasi dan sokongan,” katanya yang turut mengacarakan Malaysia Hari Ini di TV3.

Selebriti berusia 43 tahun ini bagaimanapun tidak terfikir untuk menamatkan status ibu tunggalnya. Sebaliknya isu kerjaya dan komited terhadap anak membuatkan perasaan itu langsung tiada.

“Terus terang saya katakan, saya tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti. Bukan terlalu memilih atau tiada keserasian, sebaliknya rasa janggal untuk mula sekali lagi.

“Tempoh saya hidup sendirian membesarkan anak adalah terlalu panjang dan itu cukup memberi keselesaan selama ini.

“Saya akur jodoh dan rezeki adalah ketentuan-Nya, namun kita sebagai insan perlu berusaha ke arah itu. Sebaliknya saya tidak meletakkan usaha atau mencari alternatif seperti bersosial.

“Saya lebih selesa duduk di rumah dan meluangkan masa dengan anak. Merekalah teman saya dan itulah hidup buat saya selama ini. Malah kami anak-beranak banyak lakukan aktiviti bersama seperti bercuti, membeli-belah dan ke gimnasium.

“Bagaimanapun bila mereka tinggal di asrama, baru rasa sunyi itu datang. Malah kini saya lebih banyak kelapangan untuk melakukan aktiviti sendiri.

“Jadi kawan yang banyak membawa saya ke pusat kecantikan, refleksologi dan karaoke. Baru sekarang saya kembali ke zaman muda semula,” katanya.

Tahniah Abby Fana


ASSALAMUALAIKUM. Saya terpanggil untuk mengucapkan tahniah buat Abby Fana, penyampai Radio Sinar. Radio retro yang semakin popular dan berjaya menaikkan rating pendengar.

Setiap hari saya akan mendengar siaran ini terutama Sinar Pagi, Sembang Sinar dan Sinar Petang serta semua segmen yang tersedia.

Apa yang benar-benar menarik perhatian saya ialah bagaimana Abby menyampaikan mesej tertentu dengan cara berhemah tetapi menghiburkan.

Sindiran terhadap sikap masyarakat disampaikan dengan gurauan tetapi mendalam. Dengan bebelannya setiap hari pasti saya (dan beribu pendengar lain mungkin) akan terus terhibur dan bersemangat meneruskan tugasan harian dan dalam masa yang sama terus-terusan menyampaikan bait-bait seloka, gurindam, kata-kata hikmah atau pesanan dengan mendalam dan sindiran tanpa merobek hati tetapi mencuit hati agar tersenyum selalu. Tahniah buat Abby Fana.

Adakalanya, saya terkenang semula penyampai yang menggunakan nama Kak Yong di masa zaman kanak-kanak dahulu menyampaikan nasihat, cerita atau pesanan berguna buat anak-anak. Bezanya, Abby menyampaikan kepada pendengar retro, walaupun kita ketahui pendengarnya terdiri dari golongan retro dan seawal remaja.

Soalan-soalan Cepu Put atau Cepu Gangsa yang sering menjadi topik dapat membantu pendengar mengasah fikiran dan IQ (walaupun ada yang menganggap remeh) tanpa kita sedari.

Harapan saya, agar Abby Fana akan terus menyampaikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat dalam bebelannya yang menarik itu.

Pada saya bebelan dan celotehnya bukan bebelan kosong tetapi berisi dan terisi terutama sebelum menamatkan segmen dengan meninggalkan bait-bait kata-kata yang penuh makna untuk difikirkan.

*Faidz Halim, Rawang, Selangor.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails