Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Adeline Tsen. Show all posts
Showing posts with label Adeline Tsen. Show all posts

Semakin menyerlah - Adeline

FILEM-filem Melayu kebanyakannya ditonton oleh para penonton Melayu. Bagaimanapun, tidak semua pelakon yang membintangi sesebuah filem Melayu itu terdiri daripada pelakon Melayu sahaja. Sebaliknya, sejak era tahun 80-an ramai pelakon bukan Melayu yang turut berlakon. Nama-nama seperti Susan Lancaster, Louisa Chong dan Angeline Tan antara pelakon bukan Melayu yang pernah mencipta nama dalam filem-filem Melayu pada era tersebut. Pembabitan pelakon bukan Melayu sama ada dalam filem dan drama tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebaliknya, penyertaan golongan itu masih boleh dilihat sehingga ke hari ini, misalnya menerusi kemunculan pelakon dan penyanyi seperti Adeline Tsen. Pelakon berdarah kacukan Cina dan Kadazan ini antara yang semakin menyerlah menerusi filem dan televisyen. Dia yang berasal dari Kota Belud, Sabah menyedari hakikat itu. Namun kata Adeline dia berkecimpung dalam dunia lakonan pada tahun 2009 kerana mahu mengembangkan bakatnya selain mengisi masa lapangnya di musim cuti semester sebagai pelajar pada ketika itu. "Ketika mula menceburi bidang lakonan tiga tahun lepas saya masih belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor dalam jurusan Perakaunan. Saya terima tawaran berlakon filem sewaktu cuti semester dan ketika masa terluang. "Semasa itu watak yang ditawarkan kepada saya cuma watak sampingan sahaja. Jadi saya tidak banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran kerana watak lakonan saya cuma beberapa adegan sahaja. Antara filem lakonan saya ketika itu bertajuk Senario: Beach Boys. "Tetapi lama kelamaan, semakin ramai penerbit dan pengarah menawarkan saya berlakon dalam filem dan juga drama TV. Dari situ saya semakin aktif berlakon sampailah sekarang. Berlakon adalah kerjaya saya sekarang," katanya kepada Hits semasa ditemui baru-baru ini. Disebabkan bakat dan penampilan dirinya yang menyerlah Adeline misalnya, pernah bernaung di bawah syarikat produksi MIG Talents Sdn. Bhd. Dari situ pelakon berusia 26 tahun ini semakin banyak mendapat tawaran berlakon drama dan filem sejak kebelakangan ini. Adeline yang telah menamatkan kontraknya selepas bernaung selama dua tahun bersama syarikat produksi milik David Teo itu kini mampu bergerak sendirian. Biarpun tanpa pengurusan mana-mana syarikat produksi tetapi dia terus mendapat pelbagai tawaran berlakon. Malah kerana sibuk dengan tawaran berlakon yang semakin mencurah-curah itu, dia turut terpaksa menangguhkan pengajiannya di UiTM. Namun pada masa yang sama Adeline tetap berazam akan menghabiskan pengajiannya di institusi pengajian tinggi tersebut. "Saya dijangka akan menghabiskan pengajian saya itu pada tahun depan selepas agak lama juga tertangguh. Sebabnya selain belajar pada masa sama saya juga sibuk berlakon. Bagi saya, agak sukar untuk menolak tawaran berlakon kerana semua itu datang bukannya selalu. "Sejak belajar sampai sekarang saya tidak putus-putus menjalani penggambaran terutama filem dan yang terbaru bertajuk Genggam arahan Khairi Azmi yang sudahpun selesai diadakan di Melaka baru-baru ini. Filem itu dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun depan," ujarnya. Masalah slanga Sesuai dengan latar belakang budaya dan masyarakat tempat Adeline dibesarkan di Kota Belud, pelakon ini banyak dipengaruhi oleh slanga penduduk di sana. Semua itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi gaya sebutan dialog yang dilakonkannya. Sungguhpun begitu, dengan bantuan pengarah serta para pelakon lain Adeline berjaya mengatasi masalah tersebut. "Walaupun saya berdarah kacukan Cina dan Kadazan tetapi cara slanga sebutan saya memang gaya orang Sabah. Sebab itu, semasa berlakon pun saya terbawa-bawa slanga itu. Tetapi apabila bertutur dalam dialog filem saya berjaya mengubahnya ke gaya bahasa Melayu. "Selain itu, banyak juga perkataan Melayu yang saya tidak faham semasa menuturkan sesuatu dialog itu. Contohnya perkataan ralat tetapi mujurlah pelakon lain membantu menerangkan maksudnya. Kalau tidak saya cuma tahu sebut perkataan itu sahaja. "Mungkin latar pendidikan saya yang bersekolah dari darjah satu hingga darjah enam di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Kota Belud menyebabkan saya kurang terdedah dengan percakapan dalam bahasa Melayu," jelasnya. Bukan setakat berlakon drama dan filem tetapi sejak kebelakangan ini, Adeline turut mengembangkan bakatnya dalam bidang seni dengan terbabit sebagai pengacara rancangan TV. Terbaru dia dipilih sebagai pengacara rancangan Rias Jelita untuk siaran RTM. Katanya, ini juga suatu peluang buat dirinya mencipta nama dalam dunia hiburan tempatan dan membuktikan kepelbagaian bakat seninya. "Saya telah pun menjalani penggambaran sebanyak 13 episod rancangan TV Rias Jelita pada April lepas. Ini kali pertama saya menjadi pengacara rancangan TV dan ia akan ditayangkan di RTM tidak lama. Ini suatu pengalaman yang berbeza. "Kalau berlakon saya banyak berada di luar studio rakaman tetapi sebagai pengacara rancangan ini lokasinya juga berbeza. Antara tumpuannya adalah di tempat seperti spa dan sauna. Rancangan ini fokusnya untuk penonton wanita," tuturnya. Tidak cukup dengan berlakon dan mengacara rancangan TV, Adeline turut memberanikan diri merakamkan suara dalam sebuah single berjudul Kau Bagiku yang telah pun berada di pasaran. Album single yang diterbitkannya sendiri dicipta komposer Rudy Halim dan lirik hasil tulisan Mable Leo berkonsepkan R&B dan sering disiarkan melalui stesen-stesen radio swasta sejak kebelakangan ini. "Saya sengaja menceburi pelbagai bidang seni kerana mahu mencuba nasib. Saya harap kemunculan saya akan diterima peminat. Saya tidak boleh terlalu bergantung kepada satu-satu bidang sahaja kalau mahu serius dalam seni," katanya lagi.

Agama Bukan Halangan Cinta Adeline


MENERIMA jika ditakdirkan jodohnya dengan lelaki Melayu beragama Islam, Adeline mengakui tiada halangan baginya untuk memeluk agama tersebut.

Namun begitu, biarlah ia datang dari dalam darinya sendiri dan bukan kerana seorang lelaki.

Secara jujurnya, Adeline atau pemilik nama penuh Adeline Tsen ini mengakui banyak berkawan dengan lelaki Melayu sejak menuntut di pusat pengajian tinggi.

“Agama bukan penghalang untuk saya berkawan atau mengenali seseorang itu dengan lebih dekat. Apa yang penting ialah kejujuran untuk menerima saya sebagai seorang yang istimewa di hatinya.

“Bagi keluarga saya ia bukan sesuatu yang ganjil sebab abang sulung saya juga sudah memeluk agama Islam. Bagaimanapun, niat untuk memeluk sesebuah agama biarlah lahir dari hati bukan kerana sesuatu yang lain,” ujarnya.

Wanita berusia 24 tahun ini juga memberitahu pengalaman rakan-rakannya yang sudah memeluk Islam memberi sedikit sebanyak pengetahuan tentang agama itu.

“Saya berani bercakap begitu kerana ramai rakan saya yang sudah memeluk Islam. Tapi mereka tukar agama bukan kerana ingin berkahwin semata-mata.

“Ada sepasang suami isteri bukan beragama Islam tetapi mengambil keputusan selepas berkahwin untuk memeluk Islam,” katanya yang mempunyai darah keturunan Melayu Brunei.

Enggan tumpang populariti Fahrin

Diusik dengan cerita cinta, dia tidak mahu gosip gambarnya di kedai mamak bersama aktor terkenal Fahrin Ahmad yang tersebar sebelum ini disensasikan lagi.

Dia tidak mahu nilai persahabatan yang dibina disalah erti, malah lebih buruk ramai yang beranggapan dia hanya mahu menumpang populariti pelakon kacak tersebut.

“Saya mengenali Fahrin sejak April lalu selepas menghadiri Anugerah Bintang Popular (ABP). Kami selesa berkawan, pada saya dia seorang yang matang dalam banyak perkara.

Dalam bidang seni pula dia banyak beri nasihat dan berkongsi pengalaman.

“Sejujurnya setakat ini kami berkawan dan saling mengenali. Saya tidak menyangka tindakan keluar minum bersama menjadi cerita sensasi. Padahal sebelum ini saya pernah juga keluar minum dengan rakan artis yang lain, tapi mungkin dia seorang yang terkenal.

“Sekarang kami agak lama tidak berjumpa kerana sibuk dengan komitmen masing-masing. Cuma kadangkala kami bertanyakan khabar menerusi mesej di telefon sahaja,” katanya.

Walaupun begitu, jika sudah ketentuan jodohnya bersama jejaka itu, dia mengaku menerima dengan hati yang terbuka.

Bercerita tentang lelaki idaman, Adeline memberitahu dia tidak pernah menetapkan sebarang kriteria tertentu. Dia mahu seorang lelaki yang mempunyai sifat mementingkan keluarga dan bertanggungjawab.

“Tipulah kalau saya katakan tidak mahu seorang kekasih bagi mengisi kekosongan hati. Pada saya apa pun bangsanya, Melayu, Cina, atau India, saya tidak kisah, yang penting dia seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga dan mencintai saya seadanya.

“Buat masa sekarang saya belum lagi terlalu memikirkannya sebab ingin fokus kepada kerjaya. Saya lebih selesa berkawan dan mengenali seseorang sedalam-dalamnya terlebih dahulu.

“Jika sudah bercinta banyak pula komitmen lain, maklumlah saya masih lagi belajar dan dalam masa yang sama juga berlakon,” ujarnya.

Kembali aktif berlakon

Enam bulan menjalani latihan amali, bagaikan tempoh terlalu lama bagi anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini berehat dari sebarang aktiviti seni.

Awal Januari dia bakal menghiasi jadual seninya dengan filem keenam berjudul Alamak Toyol terbitan MIG Productions Sdn Bhd.

“Saya tidak sabar kembali berlakon selepas enam bulan terpaksa menjalani latihan amali. Selama enam bulan itu juga saya terpaksa menolak banyak tawaran telefilem dan filem.

“Tapi saya faham pendidikan perlu diutamakan, keluarga sangat berharap agar saya lulus dengan cemerlang dalam bidang ini,” ujar penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurutnya, dia pernah terfikir untuk berhenti belajar dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang seni, namun hasrat tersebut dibantah oleh keluarga.

“Tahun lepas saya tangguh pengajian satu semester kerana ingin fokus pada lakonan. Tapi keluarga membantah dan menuntut saya habiskan juga pengajian demi masa depan,” ujarnya.

Biarpun sudah membintangi lebih 35 buah drama tempatan, Adeline masih menganggap dirinya terlalu kerdil jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain.

Tambahnya, kelemahan utama yang masih cuba diatasi ialah pertuturan Bahasa Malaysia yang kurang baik.

“Saya masih perbaiki pertuturan dalam Bahasa Malaysia dengan fasih tanpa ada slanga Sabah. Ramai juga yang tegur fasal bahasa ini. Ia juga akan membatasi watak yang saya dapat,” katanya.

“Saya juga minta nasihat daripada beberapa pelakon lain seperti Marsha dan Anding untuk mengatasi masalah ini. Mereka menasihatkan agar saya sering berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul, ” katanya yang kagum dengan pertuturan Marsha.

Tambah Adeline dia terpaksa meminta skrip lebih awal bagi membolehkannya untuk berlatih terlebih dahulu sebelum bermulanya penggambaran.

Menurutnya sebagai pelakon dia mengidamkan sebuah watak yang benar-benar memberi impak dan menguji lakonannya.

“Setakat ini banyak watak yang saya terima ialah watak komedi, walaupun bukan seorang pelawak tetapi ramai yang kata saya boleh buat lawak.

“Kalau boleh saya nak watak seorang yang cacat atau kurang upaya kerana ia benar-benar menguji kebolehan seseorang pelakon. Selain sukar, kita perlu meraih simpati penonton melalui karakter tersebut,” katanya.

Adeline juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan komersial. Dia sering menerima tawaran persembahan nyanyian dan modelling sebagai pendapatan sampingan.

“Sejak kecil saya aktif menyanyi berbanding berlakon tapi rezeki saya lebih ke bidang lakonan. Saya sedar untuk menyanyi bukan sesuatu yang mudah buat masa sekarang.

“Saya masih lagi menyimpan impian untuk menyanyi dan mungkin tahun depan saya akan keluar dengan single pertama bersama seorang rakan artis,” katanya.

Adeline Terima Jika Fahrin Jodohnya


PETALING JAYA: Pelakon Hotel Mania, Adeline Tsen,24, mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon kacak Fahrin Ahmad, malah memberitahu dia tidak takut untuk mendekati jejaka yang pernah dihimpit pelbagai kontroversi cinta itu.

Menurut Adeline, semenjak perkenalan mereka awal tahun lalu, dia mendapati dakwaan negatif yang dilemparkan kepada pelakon lelaki itu adalah tidak benar.

"Kami memang sedang berkawan dan setakat ini tiada apa pun membuatkan saya berasa takut untuk terus mendekatinya. Bagi saya Fahrin seorang yang matang dan penuh dengan nasihat. Dia banyak memberi pandangan tentang lakonan dan dunia artis," ujar wanita berketurunan Cina-Kadazan ini.

Sambil menyifatkan Fahrin seorang lelaki yang mengambil berat, Adeline tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan jejaka tersebut.

"Sebagai lelaki dia seorang yang sempurna, ambil berat dan suka bertanya khabar. Tidak mungkin saya menghindari dia kerana kontroversi-kontrovesi yang pernah dilalui sebelum ini.

"Kita tidak tahu perkara sebenar jadi tak elok jika menilai dia tanpa mengenalinya terlebih dahulu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Adeline yang sedang menjalani praktikal di sebuah syarikat perakaunan terpaksa mengurangkan kegiatan seninya.

"Selepas Hotel Mania, saya dapat beberapa tawaran berlakon drama dan filem tetapi terpaksa ditolak kerana menjalani latihan praktikal.

"Selama enam bulan ini saya memang tidak ambil sebarang tawaran berlakon. Perasaan memang sedih tapi terpaksa juga bersabar demi menghabiskan pegajian yang tinggal setahun sahaja lagi," ujar penuntut tahun akhir Jurusan Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.

Menurutnya, dia pernah terfikir untuk berhenti belajar dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang seni, namun hasrat tersebut dibantah oleh keluarga.

"Tahun lepas saya tangguh pengajian satu semester kerana ingin fokus pada lakonan. Tapi keluarga membantah dan ingin saya habiskan juga pengajian demi masa depan," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails