Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Semakin menyerlah - Adeline

FILEM-filem Melayu kebanyakannya ditonton oleh para penonton Melayu. Bagaimanapun, tidak semua pelakon yang membintangi sesebuah filem Melayu itu terdiri daripada pelakon Melayu sahaja. Sebaliknya, sejak era tahun 80-an ramai pelakon bukan Melayu yang turut berlakon. Nama-nama seperti Susan Lancaster, Louisa Chong dan Angeline Tan antara pelakon bukan Melayu yang pernah mencipta nama dalam filem-filem Melayu pada era tersebut. Pembabitan pelakon bukan Melayu sama ada dalam filem dan drama tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebaliknya, penyertaan golongan itu masih boleh dilihat sehingga ke hari ini, misalnya menerusi kemunculan pelakon dan penyanyi seperti Adeline Tsen. Pelakon berdarah kacukan Cina dan Kadazan ini antara yang semakin menyerlah menerusi filem dan televisyen. Dia yang berasal dari Kota Belud, Sabah menyedari hakikat itu. Namun kata Adeline dia berkecimpung dalam dunia lakonan pada tahun 2009 kerana mahu mengembangkan bakatnya selain mengisi masa lapangnya di musim cuti semester sebagai pelajar pada ketika itu. "Ketika mula menceburi bidang lakonan tiga tahun lepas saya masih belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor dalam jurusan Perakaunan. Saya terima tawaran berlakon filem sewaktu cuti semester dan ketika masa terluang. "Semasa itu watak yang ditawarkan kepada saya cuma watak sampingan sahaja. Jadi saya tidak banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran kerana watak lakonan saya cuma beberapa adegan sahaja. Antara filem lakonan saya ketika itu bertajuk Senario: Beach Boys. "Tetapi lama kelamaan, semakin ramai penerbit dan pengarah menawarkan saya berlakon dalam filem dan juga drama TV. Dari situ saya semakin aktif berlakon sampailah sekarang. Berlakon adalah kerjaya saya sekarang," katanya kepada Hits semasa ditemui baru-baru ini. Disebabkan bakat dan penampilan dirinya yang menyerlah Adeline misalnya, pernah bernaung di bawah syarikat produksi MIG Talents Sdn. Bhd. Dari situ pelakon berusia 26 tahun ini semakin banyak mendapat tawaran berlakon drama dan filem sejak kebelakangan ini. Adeline yang telah menamatkan kontraknya selepas bernaung selama dua tahun bersama syarikat produksi milik David Teo itu kini mampu bergerak sendirian. Biarpun tanpa pengurusan mana-mana syarikat produksi tetapi dia terus mendapat pelbagai tawaran berlakon. Malah kerana sibuk dengan tawaran berlakon yang semakin mencurah-curah itu, dia turut terpaksa menangguhkan pengajiannya di UiTM. Namun pada masa yang sama Adeline tetap berazam akan menghabiskan pengajiannya di institusi pengajian tinggi tersebut. "Saya dijangka akan menghabiskan pengajian saya itu pada tahun depan selepas agak lama juga tertangguh. Sebabnya selain belajar pada masa sama saya juga sibuk berlakon. Bagi saya, agak sukar untuk menolak tawaran berlakon kerana semua itu datang bukannya selalu. "Sejak belajar sampai sekarang saya tidak putus-putus menjalani penggambaran terutama filem dan yang terbaru bertajuk Genggam arahan Khairi Azmi yang sudahpun selesai diadakan di Melaka baru-baru ini. Filem itu dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun depan," ujarnya. Masalah slanga Sesuai dengan latar belakang budaya dan masyarakat tempat Adeline dibesarkan di Kota Belud, pelakon ini banyak dipengaruhi oleh slanga penduduk di sana. Semua itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi gaya sebutan dialog yang dilakonkannya. Sungguhpun begitu, dengan bantuan pengarah serta para pelakon lain Adeline berjaya mengatasi masalah tersebut. "Walaupun saya berdarah kacukan Cina dan Kadazan tetapi cara slanga sebutan saya memang gaya orang Sabah. Sebab itu, semasa berlakon pun saya terbawa-bawa slanga itu. Tetapi apabila bertutur dalam dialog filem saya berjaya mengubahnya ke gaya bahasa Melayu. "Selain itu, banyak juga perkataan Melayu yang saya tidak faham semasa menuturkan sesuatu dialog itu. Contohnya perkataan ralat tetapi mujurlah pelakon lain membantu menerangkan maksudnya. Kalau tidak saya cuma tahu sebut perkataan itu sahaja. "Mungkin latar pendidikan saya yang bersekolah dari darjah satu hingga darjah enam di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Kota Belud menyebabkan saya kurang terdedah dengan percakapan dalam bahasa Melayu," jelasnya. Bukan setakat berlakon drama dan filem tetapi sejak kebelakangan ini, Adeline turut mengembangkan bakatnya dalam bidang seni dengan terbabit sebagai pengacara rancangan TV. Terbaru dia dipilih sebagai pengacara rancangan Rias Jelita untuk siaran RTM. Katanya, ini juga suatu peluang buat dirinya mencipta nama dalam dunia hiburan tempatan dan membuktikan kepelbagaian bakat seninya. "Saya telah pun menjalani penggambaran sebanyak 13 episod rancangan TV Rias Jelita pada April lepas. Ini kali pertama saya menjadi pengacara rancangan TV dan ia akan ditayangkan di RTM tidak lama. Ini suatu pengalaman yang berbeza. "Kalau berlakon saya banyak berada di luar studio rakaman tetapi sebagai pengacara rancangan ini lokasinya juga berbeza. Antara tumpuannya adalah di tempat seperti spa dan sauna. Rancangan ini fokusnya untuk penonton wanita," tuturnya. Tidak cukup dengan berlakon dan mengacara rancangan TV, Adeline turut memberanikan diri merakamkan suara dalam sebuah single berjudul Kau Bagiku yang telah pun berada di pasaran. Album single yang diterbitkannya sendiri dicipta komposer Rudy Halim dan lirik hasil tulisan Mable Leo berkonsepkan R&B dan sering disiarkan melalui stesen-stesen radio swasta sejak kebelakangan ini. "Saya sengaja menceburi pelbagai bidang seni kerana mahu mencuba nasib. Saya harap kemunculan saya akan diterima peminat. Saya tidak boleh terlalu bergantung kepada satu-satu bidang sahaja kalau mahu serius dalam seni," katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails