Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ahmad Busu. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Busu. Show all posts
Teman Artis Anggap Kematian Ahmad Busu Sukar Dicari Ganti
Teman rapat dan rakan seperjuangan menganggap kematian pelakon Ahmad Busu, 60, pada Ahad lalu sebagai satu kehilangan yang sukar dicari ganti.
Mereka berkata, Ahmad Busu yang popular pada tahun 1980-an menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu merupakan sahabat yang baik, berdisiplin dan tidak mempunyai musuh.
Pelawak Hamid Gurkha, 83, berkata, dia menganggap Ahmad Busu seperti anaknya sendiri disebabkan hubungan rapat mereka yang terjalan sejak sekian lama.
Malah katanya, pemergian pelakon itu benar-benar dirasai apatah lagi mereka tinggal di kawasan yang sama iaitu Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.
“Saya sedih dengan kehilangan dia. Saya anggap Ahmad Busu macam anak saya sendiri. Kalau nak ke majlis-majlis hiburan, dia mesti ajak saya bersama sebab kami tinggal di kawasan berdekatan.
“Kalau saya tak mahu pergi, dia pun tak akan pergi. Pendek kata, kebanyakan masa saya dihabiskan bersama dia,” kata Hamid ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Ahmad Busu yang popular dengan watak Mat Deris dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Selangor kira-kira pukul 7.05 malam Ahad akibat angin ahmar.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 11.30 pagi, Ahad,
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Seri Mohamad, 54, dan empat orang anak iaitu Nur Hamizah, 24, Mohd Afiq, 23, Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis, 5 tahun.
Hamid berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham ketika mereka bersama-sama ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Klang dekat sini untuk menghadiri mesyuarat artis-artis veteran kira-kira dua minggu lalu tetapi majlis itu dibatalkan.
Ujar Hamid, antara keistimewaannya arwah apabila dia tidak gemar memburu-burukan sesiapa termasuklah rakan-rakannya sendiri.
“Dia tak suka cerita hal orang. Nak memburuk-burukkan orang jauh sekali. Saya rasa sedih sangat (kehilangannya) kerana dia orang yang baik,” kata Hamid.
Sementara itu pelakon Imuda, 53, pula berkata, banyak kenangan di antara dia dan Allahyarham selama lebih dua dekad mereka berkawan manakala hubungan yang terjalin ketika berlakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu sentiasa terpahat dalam ingatan.
Malah disebabkan sitkom itu, persahabatan mereka begitu rapat sehinggalah Imuda menanggap arwah seperti abangnya sendiri.
“Saya anggap dia macam abang saya. Kami benar-benar rapat kerana berlakon dalam sitkom yang sama,” katanya.
Imuda menambah, Allahyarham pernah berpesan kepadanya agar menjaga tingkah laku dan tidak lupa diri apatah lagi ketika usia semakin lanjut.
Pesanan itu ujar Imuda akan diingatnya sampai bila-bila selain menganggap kematian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada dunia hiburan tanah air.
Dalam pada itu pengarah sitkom berkenaan Othman Hafsham pula berkata, semasa dia mengarahkan siri untuk siaran RTM itu, Ahmad merupakan artis yang benar-benar menjaga disiplin dan tingkah lakunya itu harus dicontohi oleh artis-artis lain.
Dia juga tidak pernah timbulkan masalah ketika di lokasi lakonan selain muncul di lokasi penggambaran tepat pada masanya.
“Sesuatu yang saya tidak boleh lupa, arwah seorang yang banar-benar menjaga masa. Sebelum penggambaran, dia akan pastikan skrip dihafal dengan baik.
“Saya masih teringat bagaimana saya membaling kasut kepadanya gara-gara geli hati dengan jenaka yang dibuatnya semasa rakaman Pi Mai Pi Mai Tang Tu tidak lama dulu,” katanya.
Ahmad Busu merupakan individu keempat meninggal dunia yang terlibat dalam sitkom berkenaan selepas Sabtu Hussein, Zami Ismail dan Mohamad Abdullah.
Hasrat Ahmad Busu Bertemu Keluarga di Perak Tercapai
Allahyarham pelakon Ahmad Busu sempat menunaikan hasratnya untuk bertemu sanak saudara dan rakan-rakan rapatnya di Perak sebelum meninggal dunia pada Ahad.
Anak kedua Allahyarham, Mohd Afiq Ahmad Busu, 28, berkata, Allahyarham meminta untuk bertemu dengan saudara terdekat mereka yang masih tinggal di negeri tersebut pada minggu lalu.
"Pemergian ayah memang tidak dijangka, dia seperti biasa sahaja dan tiada pula menunjukkan apa-apa sikap yang lain.
"Namun pada minggu lalu dia ada meminta kami untuk membawanya ke Perak untuk bertemu dengan keluarga dan saudara mara kami yang masih lagi berada di sana, " ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambahnya, Allahyarham turut memberi pesanan terakhir kepadanya dan adik beradik yang lain agar sentiasa menjaga ibadah dan tidak meninggalkan solat.
Sementara itu, jelas Afiq, Allahyarham dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sejam sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat demam.
"Ayah tidak menghidap apa-apa penyakit sebelum ini, dia hanya demam biasa pada Sabtu dan kami bawanya ke hospital semalam selepas keadaan demam yang semakin teruk dan kesukaran bernafas.
"Sebelum ini, pada tahun 2009 dia pernah dimasukkan ke hospital akibat diserang strok," ujarnya.
Pelakon yang popular pada tahun 80-an menerusi rancangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu meninggal dunia selepas maghrib pada Ahad.
Jenazah akan disembahyangkan di Surau Seri Andalas dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 10 pagi ini.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.
Sudah jemu baring di katil

Bagi pelakon dan pelawak, Ahmad Busu, 56, atau Mat Busu yang disahkan menghidap penyakit strok ketika umat Islam sibuk dengan persiapan Aidilfitri lalu, kini menunjukkan reaksi memberangsangkan hasil kunjungan ramai kenalan dan peminat yang setiap hari hadir bertanya khabar.
Melihat keadaannya itu rasa seperti tidak percaya pelakon sitkom komedi popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini menghidap penyakit strok apabila keupayaannya beramah mesra dan tidak lari daripada membuat jenaka, menunjukkan seolah-olah dia sihat dan tidak berpenyakit.
Justeru, apabila menerima kunjungan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang, petang Khamis lalu, menggamit kegembiraan Mat Busu. Sama sekali tidak menyangka, akui Mat Busu, pembabitan aktifnya dalam setiap aktiviti anjuran Karyawan, dihargai dan tidak pernah dilupakan menerusi erti kunjungan itu. Malah, dia semakin galak bercerita perkembangan kesihatannya dan sudah tidak sabar-sabar menjalani kehidupan seperti biasa.
"Saya sudah jemu asyik baring atas katil saja. Kalau boleh, sekarang juga saya ingin bangun, berjalan-jalan dan buat kerja. Rasa macam kekok sangat apabila asyik terbaring saja atas katil.
"Alhamdulillah, kesihatan semakin baik. Kalau dulu pakai kerusi roda kini pakai tongkat pula. Tetapi, kena ada orang pegang kerana pergerakan saya akan lebih menjurus ke kiri saja. Hendak kata sihat sangat tiadalah, pening-pening masih ada, tetapi tidaklah seperti dulu.
"Mungkin ini berkat doa daripada mereka yang tidak jemu melawat saya. Boleh dikatakan setiap hari ada saja kunjungan rakan dan peminat. Kadang-kadang, saya sendiri pun tidak sangka masih lagi ada peminat memandangkan sudah lama tidak aktif berlakon. Rasanya, apabila sakit ini lagi glamor pula," katanya.
Selepas keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Mat Busu dinasihatkan menjalani rawatan fisioterapi setiap Jumaat selama dua jam di situ. Bercerita mengenai kos rawatan susulan, beritahu Mat Busu, dia bersyukur dapat menggunakan kad bersara kerajaan kerana sebelum ini pernah bekerja di Lembaga Pelabuhan Klang sekitar 1990-an sebagai kerani di situ.
"Kalau bergantung pada rawatan di PPUM, rasanya tidak mencukupi. Di sebabkan itu, saya turut beli 'pemberat' yang dipasangkan di kaki untuk lakukan sendiri senaman di rumah. Ramai yang bertanya, bagaimana dengan soal kewangan dan apa yang akan saya buat selepas ini?
"Sejujurnya, saya tidak terfikir langsung mengenai itu kerana apa yang penting ketika ini adalah sembuh. Orang kata kalau difikir sangat soal duit, bertambah sakit jadinya," ujarnya.
Pada kunjungan itu, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez turut menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000. Selain Freddie, rombongan itu turut disertai artis veteran, Datin Paduka Julie Sudiro dan Ketua Biro Skrip, Shamsul Anbiaq. Manakala, Datuk Sarimah Ahmad yang dijangka hadir, tidak dapat bersama kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.
Beritahu Freddie, Karyawan sentiasa prihatin terhadap artis tempatan. Sama ada mereka berusia atau muda, itu bukan halangan untuk persatuan mengambil tahu. Asalkan mereka sakit, ia tetap diutamakan.
"Mat seorang yang sangat aktif dalam setiap aktiviti anjuran Karyawan. Justeru, sudah menjadi kewajipan kami mengingatinya semasa dia sakit. Kalau bukan kami, siapa lagi yang akan bantu?
"Ketika ini, kami belum ada keputusan untuk menyenaraikan Mat sebagai penerima pencen bulanan Karyawan. Kami hargai jasanya yang tidak jemu memberi sokongan pada persatuan, tetapi masalah utama dihadapi saat ini berkaitan dengan peruntukan ke arah itu.
"Dua bulan lalu, kami berbincang dengan wakil Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), untuk tubuhkan satu dana tetap membantu penggiat seni yang sudah tidak berkebolehan bekerja. Perbincangan ini diadakan atas kesedaran perlunya usaha berterusan dan konsisten membela nasib penggiat seni," kata Freddie yang mesyuarat selanjutnya akan diadakan dalam masa terdekat.
Julie, yang juga merangkap Setiausaha Agung Karyawan berkata, mengetahui keadaan sebenar Mat Busu, dia terkejut kerana sama sekali tidak menyangka pelakon dan pelawak itu akan menderita akibat penyakit itu.
"Dia seorang yang gemar bercakap dan membuat jenaka. Sebagai teman, saya doakan dia cepat sembuh," katanya.
Tawa dan tangis Ahmad Busu

MASIH ingatkah anda dengan kara-kter lucu berbadan besar, bersahaja namun sedikit kelam-kabut dalam siri sitkom popular yang pernah bersiaran di TV3, Pi Mai Pi Mai Tang Tu tidak lama dahulu?.
Ya, watak Mat Deris sudah cukup sinonim dengan diri Ahmad Busu sehingga kini.
Bezanya, kala itu badannya masih lagi berisi berbanding kini yang semakin jelas mengalami penyusutan.
Bayangkan daripada saiz pinggang seluar yang sering dipakainya 40 inci kini menjadi 36 inci sahaja.
Bukan kerana diet tetapi penyusutan berat badannya yang melebihi 10 kilogram itu adalah susulan daripada penyakit kencing manis yang dideritainya sejak 14 tahun lalu.
Bagai jatuh di timpa tangga, bermula dengan penyakit kencing manis, kini deritanya bertambah apabila disahkan oleh doktor mengidap strok.
Tambah terbeban, punca rezekinya turut terjejas apabila satu persatu tawaran seni yang diterima terpaksa dilepaskan kerana ketidakupayaan itu.
Tanggal 10 September lalu dia dimasukkan ke wad Neurosains, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah tidak boleh berdiri dan berjalan selepas bangun dari tidur pada hari yang sama.
Seminggu dia terlantar di PPUM, menerima pelbagai rawatan termasuk rawatan imbasan sinar-X dan ujian elektrokardiogram (ECG).
Bagaimanapun, dia dibenarkan pulang pada 18 September lalu.
Bertemu pelawak itu kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang, baru-baru ini ternyata dia lebih banyak berbaring sementelah tidak mampu untuk duduk lama akibat pening.
Berkali-kali dia memohon maaf kerana terpaksa berbaring ketika sesi temu bual dijalankan.
Biarpun masih mampu tersenyum namun sayu di matanya tidak bisa menyembunyikan perasaan sebenarnya ketika itu.
Satu persatu khabar mengenai penyakitnya diutarakan. Namun, seboleh mungkin dia cuba bertenang membalas pertanyaan.
Matanya dipejam rapat
Barangkali menahan kesakitan, sedih, terharu atau mungkin memanjatkan sepenuh harapan agar dirinya segera sihat seperti sediakala?.
Beginilah kehidupannya sebagai pelawak. Dalam tawa menceriakan hati ribuan malah mungkin jutaan peminat dia sebenarnya sarat menanggung penderitaan.
"Kehidupan pelawak sama seperti manusia biasa. Saya juga adalah insan biasa seperti orang lain yang tidak terlepas daripada pelbagai masalah dan penyakit.
"Saya memang pelawak, sebab itulah sehingga ke tahap ini orang boleh lihat saya masih ketawa dan tersenyum. Bagaimanapun, dalam kehidupan harian saya tetap manusia biasa.
"Rasa sedih juga sebab saya sudah tidak boleh melakukan sendiri pelbagai perkara dan hanya bergantung kepada anak-anak dan juga isteri," kata Ahmad Busu sambil memejamkan matanya.
Menurut Ahmad Busu, dua bulan sebelum strok dia hanya mengalami pening kepala.
Namun di luar dugaannya apabila pening yang berterusan itu merupakan petanda awal dia bakal diserang strok.
Dalam pada itu, dia turut mengalami muntah beberapa kali pada malam sebelum di masukkan ke hospital.
Biarpun risau dengan penderitaan yang dialami suaminya, Seri Mohamad, 50, tetap bersyukur kerana suaminya itu masih mempunyai selera untuk makan.
Mengaku tidak berpantang makan, segala yang disarankan oleh PPUM diikutinya demi mengelakkan sebarang komplikasi lain di kemudian hari.
Menyingkap kerjaya seninya, Ahmad Busu tidak berselindung akan perasaan bimbang kerana terpaksa menolak pelbagai tawaran seni yang diterima sebelum ini.
Tanggal 3 oktober lalu, dia sepatutnya ke Pulau Pinang menjayakan rakaman rancangan Bersamamu dengan rakan lawaknya, Imuda.
Dia juga turut membatalkan persetujuan untuk berlakon bangsawan yang bakal dipentaskan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 9 Oktober ini.
Ketiadaan aktiviti seni membataskan keupayaannya dalam menampung perbelanjaan keluarga.
Sedangkan itulah punca pendapatan utama di samping membantu adiknya, Norgayah, 51, yang mengambil kontrak berniaga di kantin Sekolah Menengah Seri Andalas, Klang.
Pilu hatinya bertambah apabila memikirkan masa depan dua anaknya yang masih bersekolah iaitu Muhammad Luqman, 17 dan Nur Hanis, 6.
Dua lagi anaknya ialah Nur Hamizah, 25 dan Mohd. Afiq, 24 tahun.
Bagaimanapun, kata Seri, mujur sejak bersara dari Lembaga Pelabuhan Klang pada 1992, suaminya itu memperoleh pencen RM800 sebulan yang setidak-tidaknya boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan rumah tangga.
Komedi jiwa saya
Biarpun memulakan kerjaya seni menerusi pementasan teater pada tahun 1978, namun jiwa komedi yang mengalir dalam dirinya tetap utuh.
Pernah mencuba untuk berlakon serius namun, lama kelamaan watak yang dipegangnya masih menjurus ke arah komedi.
"Saya tetap manusia biasa yang perlukan segala yang orang lain perlukan. Dah tugas saya sebagai pelawak, apa sahaja yang saya buat tetap menjadi bahan lawak dan ketawa.
"Walaupun saya pernah cuba untuk berlakon serius tetapi yang terjadi sebaliknya. Malah ramai yang lebih yakin jika saya hanya menjadi pelawak," katanya sambil ketawa kecil.
Selang beberapa minit, sambil menghela nafas panjang dia menyatakan harapan agar segera sembuh seperti sedia kala.
"Saya bernasib baik kerana masih mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan.
"Kepada peminat saya, doakanlah agar saya segera sembuh. Saya pun sebenarnya jemu berkeadaan begini. Asyik berbaring dan tidak mampu melakukan sebarang aktiviti sendirian.
"Kalau dulu saya bebas ke sana sini tetapi sekarang semua itu sudah terbatas," katanya yang kini berkerusi roda untuk memudahkan pergerakan berulang alik ke hospital dan klinik berhampiran.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
