Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Akon. Show all posts
Showing posts with label Akon. Show all posts

Isu buka baju lagi! - Akon


NAMPAKNYA kes artis buka baju tak habis-habis. Setiap kali penyanyi atau band luar negara ke Malaysia, mesti ada yang buat perangai. Kali ini penyanyi Akon pula buat hal! Dia ‘buka baju’ ketika membuat persembahan Akon Freedom Beach 2009 yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon minggu lepas.

Iyalah, dah buat di tempat terbuka di ‘tepi pantai’, mestilah panas. Tapi dalam dok panas, dia hangatkan keadaan dengan ‘terjun’ ke lautan peminat tanpa berbaju.

Sebenarnya kalau ikutkan Wanda, apa sangatlah kes-kes buka baju ini. Tak hairan pun sebab memang bentuk badan mereka cantik berotot.

Malah kalau di negara mereka, memang begitulah sikap mereka di pentas. Mungkin lebih teruk. Cuma bak kata pepatah Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.

Seharusnya artis luar kenalah pandai bawa diri. Jangan ikut sedap hati. Itu baru namanya pandai menghormati. Lebih-lebih lagi bila datang ke rumah orang lain. Nak tak nak kenalah ikut.

Wanda pasti artis yang dijemput untuk mengadakan persembahan di dalam negara ini sudah diberikan garis panduan jika mahu menghibur.

Bukan sahaja soal buka baju, mengenakan pakaian yang terlalu seksi juga rasanya tidak dibenarkan. Jadi ikut sahajalah. Apa yang susah sangat pun Wanda tak tahu.

Di lokasi yang sama beberapa tahun lepas, Pussy Cat Dolls juga pernah menghangatkan suasana ‘tepi pantai’ itu dengan tarian dan baju yang seksi sambil ditonton oleh peminat mereka yang muda remaja.

Kalau perkara begini berterusan, Wanda rasa pihak penguatkuasa perlu lebih tegas melaksanakan garis panduan dan syarat kemasukan artis luar.

Kalau artis sudah tidak dapat dikawal kenalah promoter bertanggungjawab. Mungkin penguatkuasa boleh kenakan amaran kepada penganjur / promoter atau jika dua tiga kali perkara yang berlaku maka kenakan denda kepada mereka.

Mungkin idea ini kelihatan seperti tidak logik atau relevan tapi ia mungkin itu boleh ‘mengajar’ promoter yang mahu bawa masuk artis antarabangsa agar lebih berhati-hati dan tegas dengan pendirian untuk mengikuti syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Sebab kes buka baju begini memang antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada sebuah pementasan di dalam negara ini.

Jadi artis dan promoter mahu tak mahu kenalah tahu menghormati sensitiviti masyarakat tempatan. Jangan main ikut sedap kata mereka sahaja.

Kalau artis tempatan buat perangai sama (buka baju) pandai pula kita marah-marah. Sampaikan kena gam artis itu walaupun berbakat besar.

Tak boleh keluar siaran langsung di kaca televisyen dan kena pula buat kerja-kerja kemasyarakatan untuk beberapa bulan.

Semuanya atas alasan untuk memberi pengajaran. Macam mana pula kalau artis luar yang berbuat perkara yang sama?

Apakah kita mahu dia juga melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di negara dan lagu mereka tidak boleh keluar di radio mahupun di kaca televisyen?

Apa kata selepas ini kalau artis antarabangsa yang buka baju kita kenakan undang-undang yang sama? Baru orang kata adil dan saksama.

Meluncur di atas peminat - Akon


LELAKI ini sepatutnya datang ke Kuala Lumpur Julai lalu bagi melontarkan suara uniknya untuk lagu-lagu seperti Smack That, Beautiful, I Wanna Love You dan Dont Matter. Namun, disebabkan kecemasan keluarga pada waktu itu, lelaki Amerika-Senegal ini terpaksa membatalkan persembahan sulungnya di ibu negara.

Tiga bulan kemudian Aliaune Badara Akon Thiam atau lebih popular dengan nama Akon, kembali mengatur siri jelajah ke Asia Tenggara. Apa yang pasti kali ini, seperti dijanjikan, Kuala Lumpur berada dalam senarai kota persinggahan konsert jelajah itu.

Mengambil sempena album ketiganya Freedom, konsert yang diberi nama Akon Freedom Beach Concert 2009 ternyata memukau dan mengubat rindu lebih 15,000 yang membanjiri Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang minggu lalu.

Penuh energi! Ia adalah perkataan yang paling sesuai untuk menilai persembahan lelaki ini. Memulakan persembahan dengan lagu Cross That Line, penyanyi yang selesa dengan irama R&B dan pop ini membuatkan peminatnya mula berteriak memanggil nama Akon.

Tanpa iringan penari tambahan atau penyanyi selingan, Akon semakin selesa melontarkan satu demi satu lagunya malam itu. Penyanyi yang juga terkenal sebagai komposer, penerbit album dan ahli perniagaan itu, kemudian mengalunkan gabungan lagu-lagu daripada album pertama dan keduanya, Trouble dan Konvicted seperti Shake Down, We Takin Over, I'm So Paid, Soul Survivor dan Locked Up.

Biarpun Akon antara penyanyi yang sangat misteri dan perahsia mengenai kehidupan peribadinya, namun ternyata bintang yang pernah membesar di Dakar, Senegal sehingga berusia 15 tahun tidak dangkal bila berkomunikasi dengan peminat di Sunway Lagoon.

Sebelum ini, bukan sahaja bilangan isteri Akon yang menjadi persoalan dan perhatian media, malah umur Akon sendiri masih menjadi misteri. Sesetengah media melaporkan Akon dilahirkan pada tahun 1981, manakala Associated Press menyatakan dia dilahirkan pada tahun 1973.

Tidak cukup dengan rahsia umur, sebagai seorang Muslim, Akon juga dilaporkan mempunyai tiga orang isteri. Bagaimanapun, Akon dalam satu temu bual menafikan laporan tersebut sambil memberitahu dia hanya mempunyai seorang isteri bernama Tomeka.

Biar berapa pun isterinya, yang pasti dia adalah bapa kepada enam orang anak dan Akon memastikan semua orang kesayangannya itu jauh daripada lensa kamera media.

"Mereka adalah nyawa saya, tetapi sebolehnya saya tidak mahu mereka dikejar jurugambar. Saya mahu mereka hidup seperti orang biasa tanpa gangguan," ungkap Akon dalam satu temu bual bersama media, Blender.

Bijak berinteraksi

Seorang insan yang sarat dengan kasih sayang, mungkin kerana itulah Akon banyak menyentuh mengenai nilai itu di pentas persembahannya.

Malah, malam itu Akon menggunakan namanya sebagai kata laluan untuk kasih sayang. "Kadang-kadang lelaki sukar untuk mengungkap kasih sayang atau malu untuk memulakan hubungan intim. Jadi malam ini, gunakan kata laluan Akon," katanya sebelum memulakan lagu Dangerous.

Bijak mengatur kata-katanya dalam berinteraksi mengikut lagu yang ingin didendangkan, Akon menyentuh lebih mendalam mengenai kasih sayang sebelum menyanyikan lagu I Wanna Love You.

Malam di Surf Beach yang dibawakan oleh Marctensia itu menjadi semakin bingit dan panas apabila Akon mula menyanyikan lagu-lagu hitnya seperti Bartender, Smack That dan Beautiful.

Peminat yang semakin larut dengan energi luar biasa Akon, mula menyanyi dan menari mengikut irama rancak lagu-lagunya.

Bahkan, bagaikan menyerap tenaga yang diberikan peminat di Sunway Lagoon malam itu, Akon juga semakin teruja sehinggakan menanggalkan bajunya.

Kemuncak konsert penuh energetik Akon malam itu tentulah saat dia terjun ke atas lautan penonton. Lebih membuatkan ramai penonton histeria apabila Akon seperti meluncur kira-kira 100 meter dengan hanya menggunakan tangan penonton.

Malam yang semakin panas, membuatkan Akon mula menjirus badannya dengan beberapa botol air mineral selain turut dipercikkan kepada penonton di bawah.

Melabuh tirai konsert malam itu dengan lagu Sweet Escape keseluruhannya Akon mendendangkan 22 buah lagu dalam konsert yang berdurasi sekitar 90 minit itu.

Seronok di KL

Keesokannya saat ditemubual media, akui bintang yang menaikkan nama penyanyi seperti Lady Gaga itu bahawa dia sangat seronok membuat persembahan di Kuala Lumpur.

"Malam semalam sangat mengagumkan. Tentunya saya mahu kembali beraksi di Kuala Lumpur," akuinya.

Ditanya mengenai gimik hebat yang dilakukannya, Akon memberitahu pada mulanya dia tidak mahu melakukan aksi meluncur di atas penonton.

Bagaimananapun, dia mahu memberi peluang kepada penonton terutamanya di bahagian belakang untuk lebih mendekati dan merasai kehangatan konsert itu.

Konsert Akon ‘panas’ - Akon


KONSERT penyanyi hip-hop terkenal, Akon, Akon Freedom Beach 2009, ternyata ditunggu oleh ribuan peminat walaupun pernah ditunda sekali. Ini terbukti apabila seramai 15,000 orang penonton membanjiri Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, 24 Oktober lalu untuk menyaksikan Akon yang sememangnya sentiasa energetik apabila di atas pentas.

Berkonsepkan konsert di tepi pantai, konsert selama 90 minit yang dianjurkan oleh Marctensia itu menyelitkan beberapa lagu hitsnya seperti Smack That, Ghetto, Bartender, Beautiful, Right Now dan Sweet Escape.

Namun, di sebalik kehangatan sambutan penonton, berlaku insiden yang agak 'panas' dan mencetus kontroversi apabila penyanyi dari Senegal ini membuka bajunya di hadapan ribuan penonton atas alasan cuaca yang agak panas.

Akon yang menyanyikan lebih 20 buah lagu menimbulkan kontroversi itu ketika mempersembahkan lagu Right Now yang pada waktu itu konsert sedang menghampiri penghujungnya.

Tidak cukup dengan itu, Akon turut mencurahkan air mineral ke badannya beberapa kali dan ke arah penonton. Dalam keadaan basah dia terjun ke dalam lautan manusia lalu diarak oleh ribuan peminat fanatiknya.

Seperti tidak memahami sensitiviti rakyat Malaysia, Akon bebas melakukan aksi tersebut walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan dengan satu alasan yang klasik, cuaca yang panas.

Dia turut dilihat memarahi pengawal keselamatan yang menghalangnya untuk 'terjun' lebih jauh. Alasan Akon, dia mahu dekat dengan peminat-peminatnya.

Amat terhibur

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan rata-rata pengunjung yang menghadiri konsert itu amat terhibur dan mengelaskannya antara konsert terbaik yang pernah mereka hadiri di Malaysia.

Selama 90 minit, tenaga penonton yang hadir ternyata tidak berkurangan apabila mereka sentiasa menyanyi bersama lagu-lagu Akon dan menari mengikut rentak lagu-lagunya yang popular.

Suasana konsert yang berbeza dengan gabungan muzik serta atmosfera seakan berada di tepi pantai dan aksinya yang energetik ketika di atas pentas ternyata memberikan tenaga kepada penonton yang menghadiri konsert itu.

Konsert Akon Freedom Beach 2009 diacarakan oleh dua deejay jelita, Hunny Madu dan Nadia Fly FM turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan yang tidak kurang hebatnya daripada Nikki dan kumpulan Calprice.

Nikki berjaya memukau penonton dengan vokal sopranonya yang sungguh bertenaga dan menaikkan bulu roma penonton ketika mendendangkan lagu Cantik.

Kumpulan Calprice tidak kurang hebatnya dengan persembahan yang sungguh energetik disertai tarian-tarian masa kini.

Walaupun konsert Akon ini kelihatan gah, namun yang menjadi persoalan adakah penyanyi kontroversi itu tidak dimaklumkan untuk menjaga tatasusila di atas pentas dan sensitif terhadap budaya masyarakat tempatan.

Jika suatu ketika dahulu ada artis tempatan yang membuka baju untuk seketika sewaktu di atas pentas dikenakan tindakan undang-undang, bagaimana pula dengan perlakuan artis antarabangsa ini?
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails