Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Amber Chia. Show all posts
Showing posts with label Amber Chia. Show all posts
Amber Chia cuti 15 hari
AMBER CHIA bukan nama asing dalam industri fesyen Malaysia. Wanita berwajah eksotik ini dikenali di serata dunia sebagai seorang peragawati terkenal, biarpun dia juga menceburkan diri dalam dunia lakonan.
Wajahnya sering terpampang menghiasi majalah tempatan dan antarabangsa bagi mempromosi jenama mewah dan produk berjenama. Melihat kepada kejayaan yang dicapai Amber, pasti masyarakat akan mempunyai persepsi bahawa wanita tinggi lampai ini bukan seorang yang mesra memandangkan namanya dan pencapaian antarabangsa yang diperolehnya.
Pada hakikatnya, wanita ini sebenarnya seorang yang sangat peramah dan akan berbicara dengan sesiapa sahaja yang mendekatinya. Tidak dinafikan juga, Amber juga seorang yang gemar bercerita.
Ketika Amber menghadiri majlis perasmian produk baharu barangan kemas Pandora di butik Pandora, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur, Kosmo! sempat menemu bual Amber tentang sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2013.
Bicara wanita ini, persiapan Tahun Baru Cina pada tahun ini telah dilaksanakan awal-awal lagi. Amber dan suami telah pun membeli pakaian dan barangan baharu buat keluarga tersayang.
"Kami sudah pun siapkan dekorasi di rumah. Sudah beli baju untuk keluarga dan ibu bapa di kampung serta mertua. Semuanya sudah siap. Saya, suami serta anak akan sambut raya pertama dan kedua di rumah mertua di Kuala Lumpur.
"Selain itu, kami juga akan bertemu sanak saudara sebelah keluarga lelaki. Pada malam sebelum Tahun Baru Cina, kebiasaannya kami akan makan besar dan tahun ini saya makan bersama keluarga mertua memandangkan saya sudah berkahwin," cerita anak kelahiran Tawau, Sabah ini.
Enam beradik
Walaupun begitu, Amber tidak pernah lupa pulang ke kampung halaman di Tawau dan meraikan Tahun Baru Cina di sana pula bersama keluarga di sebelahnya pula. Cerita Amber, setelah dua hari bersama keluarga mertua, pada hari ketiga, dia dan keluarga akan pulang ke Tawau.
Itulah rutin Tahun Baru Cina Amber, suami, Adrian Wong dan anak, Ashton pada tahun lepas yang mana foto-foto kenangan ketika itu diabadikannya dalam laman web miliknya, mamababyworld.com.
"Memang menjadi kebiasaan kami enam beradik akan pulang ke Tawau untuk bersama meraikan Tahun Baru Cina bersama ibu dan bapa. Saya suka dapat berkumpul bersama keluarga dan memeriahkan suasana.
"Ini kerana ibu bapa saya tinggal di kampung, jadi suasana riuh itu mungkin berbeza dari bandar. Saya suka juga mood sebegitu, dan kelihatan semua orang pakai warna merah dan saya memang sukakannya," jelasnya yang walaupun kelihatan moden, namun dia masih gemarkan suasana kampung.
Bagi wanita yang berketurunan Hokkien ini, dia dan keluarga ada mengikuti satu ritual yang akan diamalkan pada setiap kali menjelang Tahun Baru Cina. Menurut Amber, mereka akan mengadakan satu upacara sembahyang pada hari kelapan Tahun Baru Cina.
Ketika itu, mereka akan mendoakan agar dilimpahkan rezeki dan kesejahteraan diri dan keluarga.
Ular air
Setelah upacara selesai, mereka akan mengadakan rumah terbuka dan juga makan besar bersama keluarga. Ujar Amber lagi, tahun ini bertuah kerana ia merupakan tahun ular air dan air bagi kaum Cina ia bermaksud wang.
"Memandangkan tahun ini ialah tahun ular air, jadi ia sebenarnya membawa tuah untuk kami kaum Cina. Ini kerana dipercayai, air itu bermaksud wang, jadi mungkin untuk perniagaan akan membawa makna yang baik dan begitu juga untuk kehidupan," kata Amber yang lahir pada tahun rusa.
Walaupun mempunyai jadual yang sibuk, namun Amber tidak pernah ketinggalan pulang ke kampung halaman dan meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga tercinta. Katanya, inilah satu-satunya hari yang dia dapat bertemu dan bergembira bersama keluarga dan saudara-mara.
"Kebiasaannya, pada Tahun Baru Cina, saya ambil cuti panjang iaitu selama 11 ke 15 hari dan memang setiap tahun saya akan cuti. Namun ada sekali, saya perlu bekerja di New York pada tahun 2009 dan tidak dapat meraikan Tahun Baru Cina.
"Memang ketika itu saya berasa amat sunyi kerana tidak dapat merasa suasana meriah dan tambahan pula saya berada seorang diri di sana. Ini kerana sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, saya sangat suka dengan suasana di Malaysia sendiri. Suasana di New York, sangat berbeza. Walaupun Tahun Baru Cina, namun ada juga kaum lain yang akan datang mengunjungi rumah bagi meraikannya bersama-sama," ujarnya mengakhiri perbualan.
Amber Chia Selebriti Istimewa Perkahwinan Chong Wei
PETALING JAYA: Peragawati terkenal, Amber Chia merupakan satu-satunya selebriti yang akan di undang ke majlis perkahwinan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada 10 November depan.
“Amber adalah satu-satunya rakan selebriti yang saya kenali. Jadi, saya mengundang dia secara peribadi ke majlis perkahwinan nanti,” kata Lee seperti dipetik portal Red Carpet ketika sesi fotografi pra-perkahwinannya di Pulau Pinang.
Amber bakal menyerikan majlis itu di samping teman-teman rapat Lee termasuklah pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat.
Bagaimanapun, jaguh badminton nombor satu dunia, Lin Dan tidak dapat turut serta kerana terbabit dalam sebuah kejohanan pada tarikh tersebut.
“Dia (Lin Dan) memberitahu saya dia tidak dapat menghadirinya,” kata Lee.
Difahamkan, bakal pengantin itu masih belum memutuskan senarai akhir tetamu VVIP, tetapi dia sudah menjemput Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Lee dan bakal isterinya, Wong Mew Choo bakal meraikan hari bahagia mereka dalam sebuah majlis resepsi tertutup di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 dan 11 November depan.
Mereka akan disatukan dalam satu upacara pada 9 November dalam sebuah jamuan teh untuk ibu bapa dan keluarga terdekat.
“Kami masih berbincang mengenai tarikh sesuai untuk mendaftarkan perkahwinan ini. Pada waktu ini, kami terlalu sibuk. Terlalu banyak perkara perlu dilakukan sebelum majlis itu,” katanya.
Namun, jelas Lee, pada majlis itu nanti pihaknya tidak mengundang pihak media.
“Saya mahu keluarga, rakan-rakan dan tetamu bergembira pada majlis kami tanpa kehadiran pihak media.
“Saya berharap semua pihak faham bahawa saya dan Mew Choo mahu diberi ruang privasi,” katanya.
Lee turut berkata, dia sedang berbincang dengan stesen penyiar Astro berhubung hak penyiaran majlis resepsi itu dengan kadar harga yang enggan didedahkan.
“Ya, saya menjual hak penyiaran majlis resepsi saya kepada mereka (Astro). Kami sedang berbincang mengenai perkara itu dalam masa beberapa hari ini,” katanya.
Cara Amber bahagi masa
KEDIAMAN tiga tingkat yang terletak di pinggir ibu kota ini menggambarkan personaliti pemiliknya sebagai seorang model ternama.
Setiap ruang mendapat sentuhan hiasan yang selari dengan gaya hidup glamornya.
Tidak keterlaluan dikatakan aktres dan model antarabangsa, Amber Chia bijak memilih hiasan rumahnya agar nampak mewah tetapi sederhana.
"Apa yang anda lihat di dalam rumah ini sebenarnya lambang personaliti saya. Saya juga memilih dua gabungan konsep ini dalam fesyen seharian saya," katanya.
Garapan warna hitam dan putih yang menjadi warna kegemaran Amber diadun rapi bersama rona mewah emas, merah dan kuning.
Hiasan bunga tulip menjadi pilihan utama Amber untuk menata rias dinding polos ruang makannya. Baginya, bunga itu menjadi simbol dirinya yang mahu tampil sebagai wanita yang lembut dan seksi.
"Bunga itu adalah diri saya. Semuanya adalah hasil idea saya kerana saya mahu tetamu yang datang ke rumah ini tahu ia ialah Amber," katanya yang telah mendiami rumah ini hampir dua tahun.
Selain pemilihan konsep hiasan, Amber juga menitikberatkan pemilihan ruang seperti halaman rumahnya.
Terdapat taman ringkas yang membolehkannya memelihara binatang peliharaannya. Selain dapat menyedut udara luar, Amber selesa berehat sambil melihat pemandangan hijau.
Luas
Ruang tamu adalah tempat rehat utama Amber dan keluarganya. Justeru, dia mahukan perabot yang sesuai dari segi warna, penampilan dan yang paling penting, keselesaan.
Sofa empuk pilihannya mengisi ruang tamu selain hiasan gambar pada dinding yang mencerminkan kerjayanya sebagai model. Potret bersaiz besar itu ditempah khas untuk menghiasi dinding ruang tamu.
Dalam diam-diam, Amber juga minat mengumpul pelbagai bekas minuman Coca-Cola.
"Ramai rakan yang memesan bekas minuman ini setiap kali saya melancong ke luar negara. Sebab itu, saya juga akan membelinya untuk diri saya sendiri. Di sudut ringkas ini saya akan meletakkannya," jelas Amber.
Dipelawa ke bilik tidurnya, Amber tidak cuak menunjukkan keluasan ruang beradunya yang menggabungkan dua bilik menjadi satu – bertujuan memuatkan ruang khas bagi barangan peribadi dan persalinan yang besar.
Singgah di bilik beradu jelitawan ini, mata tertancap pada koleksi pakaiannya yang tersusun rapi di balik kaca telus pandang.
Katil berjenama pilihannya pula bagai memanggil-manggil untuk berbaring merehatkan badan dan minda.
Amber Chia Kongsi Rahsia Kecantikan di TV2
PETALING JAYA: Model terkenal Amber Chia muncul mengacarakan sebuah program majalah wanita terbaru berjudul I Love Beauty disiarkan di TV2 mengisi slot Women On 2 pada setiap Selasa bermula 27 September depan.
Ia akan disiarkan bermula pukul 10 pagi.
Program 13 episod ini dibahagikan kepada tiga segmen di mana setiap episod bakal mengetengahkan topik yang berbeza dan menarik untuk dikongsi bersama. Pastinya ia menyumbang pengetahuan kepada golongan wanita sentiasa mahu tampak cantik dan berseri setiap hari tidak kira di mana berada dan apa pun juga kerjaya yang diceburi. Dalam pada itu, beberapa topik menarik bakal dibincangkan seperti ‘Berkulit Gelap Juga Boleh Berseri-seri’ yang mengundang pakar kecantikan, Ching An dan jurusolek berpengalaman, Sook Yee.
Manakala, segmen dua dinamakan 2 Lauk & 1 Tip’s pula akan menampilkan penerbit berpengalaman, Yoko bagi menunjukkan cara untuk memasak dua lauk dan satu sup iaitu ikan kukus halia, pai ayam dan sup ABC adalah menu bagi episod tersebut.
Sementara segmen tiga, dengan tema ‘Kelihatan Seperti Artis’ seorang pakar rambut, Mike Loh akan mengubah gaya dan rambut dua orang model menjadi seperti seorang artis. Episod ini diakhiri dengan Mini Fashion Show yang dipersembahkan oleh Amber, Mary dan Kelly.
Oleh itu, bagi wanita yang ingin berkongsi tip kecantikan, resipi kesihatan dan tip penggayaan fesyen menarik dan terkini, pastikan anda meluangkan masa menyaksikan I Love Beauty hanya di TV2.
Ashton lelaki baru Amber

SEJAK mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihannya, Andrian Wong, 36, pada 25 Mac lalu, kehidupan peragawati terkenal, Amber Chia, 28, bagai penuh dilingkari kebahagiaan.
Dan sekarang, si jelita Amber punya sebab lain untuk berasa ekstra bahagia.
Kehadiran seorang lagi lelaki dalam ruang hati Amber benar-benar merubah kitaran hidup wanita kelahiran Tawau, Sabah ini secara total.
Ashton Wong. Ya, itulah nama yang diberi. Bayi lelaki itu baru sahaja menginjak usia sebulan.
Memiliki wajah salin tak tumpah seperti wajah bapanya, kehadiran Ashton secara automatik menukarkan status Amber daripada seorang isteri kepada seorang ibu, sebagaimana yang didambakan oleh supermodel bertaraf antarabangsa ini.
Keterujaan untuk berkongsi momen indah sebagai ayah dan ibu juga mendorong Amber dan Adrian untuk mengadakan majlis Full Moon Party baru-baru ini bagi memperkenalkan Ashton kepada umum buat pertama kalinya selepas dilahirkan.
Cerita model yang terkenal dengan sikap peramah ini, putera sulungnya itu merupakan seorang bayi yang tidak banyak ragam.
Malah, kata Amber, permata hatinya itu kecil-kecil lagi sudah menunjukkan potensinya untuk berada di hadapan kamera tanpa sedikit pun menunjukkan riak kurang selesa tatkala kilauan cahaya daripada lensa kamera diacu padanya.
"Sungguh, memang senang jaga Ashton sebab dia tak banyak kerenah. Lagi satu saya tengok dia ini suka kalau gambarnya diambil, agaknya mahu ikut jejak langkah saya mungkin," katanya sambil ketawa kecil.
Sedang rancak bercerita, kata Amber, Ashton banyak mengajarnya erti kesabaran menjadi seorang ibu.
Mengakui banyak perubahan positif yang dirasakan saat menyentuh bab mengendalikan anak, kata Amber dia kini tidak lagi kekok untuk menukar lampin anak.
"Semasa Ashton baru dilahirkan, segala-galanya nampak sukar bagi saya. Saya tidak tahu macam mana hendak memandikan bayi, menukar lampin, memberinya susu, pendek kata memang kekok.
"Tetapi atas tunjuk ajar ibu, lama-kelamaan saya sudah semakin mahir, dan sekarang menukar lampin adalah aktiviti yang paling saya suka lakukan," katanya.
Huruf A berangkaiKenapa pilih nama Ashton? Lebih kurang begitulah soalan yang diaju pada Amber pada malam itu.
Lantas, tanpa berselindung, Amber memberitahu nama Ashton dipilih kerana bagi dia dan Adrian nama itu tampak cool selain sedap didengar.
"Sebelum ini, kami berdua ada buat senarai nama apa yang sesuai untuk putera sulung kami ini. Ada terfikir hendak letak nama Jordan, tetapi bunyi macam lasak sangat.
"Selepas berbincang, kami membuat keputusan untuk memilih nama Ashton. Kebetulan pula nama saya dan suami bermula dengan huruf A, maka ia seolah-olah nampak macam mengena pula.
"Selepas ini, kalau ada rezeki dapat anak lagi, rasanya Amber masih hendak mengekalkan huruf A pada pangkal nama anak. Harap-harap Ashton dapatlah adik perempuan pula,"katanya.
Cerita Amber lagi, selepas Ashton hadir dalam hidupnya, dia juga tidak lagi gemar menghabiskan masa di luar meski mengakui rindu saat-saat berkumpul bersama teman-teman.
Pun begitu, apakan daya kerinduannya pada Ashton mengatasi segalanya dan ini berlaku setiap kali kakinya melangkah keluar untuk menjalankan tanggungjawabnya terhadap karier yang diceburi.
"Betul, setiap kali keluar bekerja, saya mesti hendak pulang ke rumah cepat-cepat sebab hati saya mudah sangat rindu pada dia.
"Bukan tak rindu untuk keluar bersama teman dan buat pelbagai aktiviti bersama mereka, tetapi sekarang fasa hidup saya sudah berbeza.
"Memikul tugas sebagai isteri dan ibu kepada dua lelaki yang hadir dalam hidup saya kini menuntut saya untuk lebih bertanggungjawab terhadap keluarga dan rumah tangga, saya rasa ibu-ibu lain juga dapat rasa apa yang saya rasa,"katanya.
Kembali ke bentuk STiada seorang ibu yang tidak bimbang jika bentuk badannya 'lari' daripada yang asal selepas beranak.
Hal ini turut dirasai Amber. Bagaimanapun nasibnya baik lebih-lebih lagi Amber juga merupakan duta kepada produk pakar pelangsingan berjenama S2 Slimming.
Di bawah program Super Post-natal yang dilakukannya selepas melahirkan Ashton, Amber mengakui sangat berpuas hati dengan rawatan yang diterimanya.
Dia juga mampu tersenyum bangga sementelah dalam masa sebulan, badannya kembali kepada bentuk S seperti sebelumnya.
"Macam tak percaya pun ada. Bayangkan, selepas melahirkan Ashton, berat badan saya naik mendadak mencecah 69.5kg.
"Sekarang, dengan bantuan S2 Slimming, saya kembali memiliki berat badan ideal iaitu 55kg. Rawatan yang paling saya suka ialah Water Retention.
"Fokus rawatan ini adalah pada bahagian berlemak di lengan dan peha. Yang penting, ia tidak menyakitkan," katanya yang mengaku tidak mengawal pemakanannya selepas bersalin bagi mengumpul tenaga.
Dalam pada itu, kata Amber meski mahu tampil langsing dan mengekalkan bentuk badan menggiurkan, dia tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menyusukan anaknya sendiri.
Menurut Amber, dia percaya bagi memberikan nutrisi terbaik untuk Ashton, susu ibu adalah pilihan yang paling berkhasiat.
"Sungguhpun sibuk dengan kerja, saya akan peruntukan waktu selama sejam sehari untuk mengepam susu demi Ashton.
"Malah, saya juga bercadang untuk terus menyusukan Ashton sehingga umurnya mencecah dua tahun," tuturnya tanpa berselindung.
Amber Chia Selamat Lahirkan Bayi Lelaki

PETALING JAYA: Model antarabangsa, Amber Chia selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di sini, kira-kira pukul 5 petang Selasa.
Menurut rakan Amber, Stella Lim Bee Choo yang berada di hospital itu, kedua-dua Amber dan bayinya berada dalam keadaan sihat.
Katanya, bayi yang belum diberikan nama itu dilahirkan dengan berat 2.8 kilogram.
"Amber dan suami tersayangnya, Adrian Wong begitu teruja di saat menimang cahaya mata yang dilahirkan secara normal," katanya kepada mStar Online di sini.

Stella yang juga Pengarah S2Slimming memberitahu, bayi itu mirip ayahnya dan fizikal badannya tinggi seperti ibunya.
Katanya, bayi comel itu tidak banyak meragam.
Tambahnya, Amber yang merupakan duta S2Slimming sempat menghadiri perasmian Amber & Xavier PR Consultancy di Skewers Subang Avenue kelmarin.
"Bagaimanapun, dia mula mengalami simptom mahu bersalin pada pagi ini lalu dimasukkan ke wad hospital. Saya melawatnya pada 2 petang ini sebelum Amber bersalin pada 5 petang ini," katanya.
Amber Chia Ingin Peraga Fesyen Dengan Perut Berisi

BERLAINAN dengan sesetengah wanita mengandung, model antarabangsa Amber Chia yang kini hamil tiga bulan menyifatkan perut berisi sebagai seksi dan cool.
Jika masih ada pihak yang inginkan khidmat catwalknya ketika sarat mengandung, Amber tidak akan teragak-agak merebut peluang tersebut.
Isteri Adrian Wong ini ingin terlibat dalam pertunjukan fesyen wanita mengandung!
"Rata-ratanya, wanita yang mengandung sekarang lebih gemar memakai pakaian yang konservatif dan mudah.
"Mereka hanya pakai T-Shirt ataupun seluar panjang yang labuh. Bagi saya, saya ingin menyerlahkan kecantikan wanita mengandung dengan memakai pakaian yang "ketat". Saya rasa itu adalah cool," katanya.

Semalam, Amber menandatangani perjanjian persefahaman dengan agensi komunikasi, Creative Republic yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Esther Tan dan syarikat produksi filem, Filmbase (Produser Eksekutifnya, Jennifer Monteiro) untuk menghasilkan program realiti, The Diary Of Amber Chia.
Jika program realiti Gugu Gaga Erra menyingkap saat-saat artis Erra Fazira menjaga bayi kesayangannya Engku Aleesya Engku Emran, program realiti Amber pula menyelusuri tempoh mengandung model jelita itu.
Amber berpendapat, ia bukan sesuatu yang kurang menarik apabila wanita hamil memakai pakaian seksi dan ketat.
"Sepatutnya, anda patut berasa gembira kerana perut semakin berisi. Ini bermakna janin anda semakin membesar dan bayi akan dilahirkan tidak lama lagi. Perasaan itu amat istimewa.
"Oleh itu, saat ini, saya benar-benar berharap dapat menyerlah keindahan wanita mengandung, gaya hidup mereka menerusi program realiti ini," ujarnya.
Pengasas Amber Creations Sdn Bhd ini berharap The Diary of Amber Chia dapat mengubah persepsi pihak terbabit melalui tayangan fesyen pakaian mengandungnya serta gaya hidupnya.
Dia percaya ramai wanita mengandung di negara ini berasa mereka "hodoh" kerana perut mereka berisi lalu enggan keluar dari rumah.

"Saya perlu tegaskan program realiti ini bukanlah drama yang direka-reka tetapi program realiti sebenar yang menampilkan gaya hidup aktiviti harian sebenar saya kelak," katanya.
Amber turut mendambakan saat-saat dia melahirkan anak dapat dirakamkan.
"Ia akan menjadi memori indah buat anak saya pada masa depan," katanya dengan penuh harapan tinggi.
Sementara itu, Amber memberitahu, dia tidak berasa loya, mual dan muntah buat masa ini.
Katanya, dia belum lagi mengidam apa-apa makanan tertentu kerana ia biasanya berlaku pada bulan keempat hingga keenam iaitu semester kedua dalam proses kehamilan.

Amber juga mendedahkan imbasan yang dilakukan doktor pada perutnya menampakkan sedikit alat kelamin lelaki pada janin.
Dia ingin menjadi seorang ibu yang penyayang.
"Ya, saya hamil tiga bulan!" - Amber Chia

"YA, saya hamil tiga bulan!" demikian coretan Amber Chia di laman blog terbarunya www.amberchia.tv yang dilancarkan semalam.
Model antarabangsa, Amber dan suaminya, Adrian Wong tidak dapat membendung kegembiraan mereka lagi lalu menjadikan blog itu sebagai saluran rasmi untuk berkongsi dengan peminatnya mengenai berita gembira tersebut.
Pasangan itu baru-baru ini melangsungkan perkahwinan mereka secara rahsia di Bali dan sekarang berita dia hamil menjadikan berita itu kegembiraan berganda.
"Adrian dan saya terlampau gembira sekarang. Ini adalah 'icing on the cake' selepas perkahwinan magis kami di Bali. Sekarang enam bulan seterusnya akan menjadi tempoh terpanjang dalam kehidupan saya!" coretnya.
Di blognya, Amber memuatkan foto perutnya yang telah berisi. Ia diambil semasa satu sesi penggambaran rambut Centro Hair Studio’s 2010 oleh Eric dari Blink Studio.
Amber berkata, dia hanya mengetahui dirinya hamil selepas perkahwinannya. Detik tersebut katanya, dia ingin memberitahu semua orang mengenainya.
Namun Amber dan Adrian mengambil keputusan untuk memfokus kepada perkahwinan yang akan dikenang mereka sampai bila-bila.
Dan mereka bercadang untuk mengumumkan apabila masanya bersesuaian.
"Nampaknya bagi kami, masanya ialah sekarang. Secara ikhlas, saya ingin berita ini saya sebarkan kerana tidak ingin orang lain menyebarkan spekulasi tentangnya.
"Impian seumur hidup saya untuk menjadi seorang ibu sekarang menjadi kenyataan dan saya akan berusaha keras menjadi seorang ibu yang terbaik," tulisnya.
Amber turut berterima kasih kepada sokongan padu semua pihak dan berikrar bekerja keras dalam kerjayanya sementara memegang tanggungjawab sebagai usahawan dan kemudiannya, ibu!
Tahniah, Amber dan Adrian!
Amber-Adrian Belayar Berdua-duaan Makan Angin Di Gold Coast

JIKA berbulan madu di Gold Coast, Australia, aktiviti yang boleh dilakukan pasangan bercinta atau suami isteri sudah tentulah bermain luncur air atau berjemur di bawah sinar matahari.
Bagi pasangan romantis Amber Chia dan suaminya, Adrian Wong, mereka belayar berdua-duaan untuk makan angin di tempat peranginan yang terkenal dengan iklim subtropika itu.
"Hanya kami berdua di tengah laut. Kami menyewa sebuah bot untuk belayar makan angin selama setengah hari.. Alunan ombak serta panorama awan sangatlah menarik, sinar matahari panas, manakala suhunya sejuk.
"Ia sangat romantik. Saya sangat menyukai angin laut yang bertiup kencang," katanya baru-baru ini.

Amber memberitahu, suaminya mempelajari cara pengendalian bot sebelum memandunya ke laut.
Pengalaman menghabiskan masa romantis di tengah laut melakar memori indah buat Amber dan Adrian.
Perasaan sunyi ekoran terpinggir daripada aktiviti manusia di permukaan bumi serta tanpa kehadiran pihak lain langsung tidak wujud.
"Kita tidak bosan apabila dapat bersama yang tersayang. Ia sudah menjadi momen romantis walaupun kita tidak bercakap tetapi hanya memeluk dan berbaring bersama," ujarnya.

Ikutkan kehendak hati, Amber ingin menghabiskan masa yang lebih panjang di tengah laut. Bagaimanapun, dia akhirnya memutuskan untuk menghabiskan masa setengah hari atas faktor keselamatan.
Amber berkata kulitnya menjadi perang selepas berjemur di bawah matahari yang terik.
Pasangan itu menghabiskan masa 10 hari di Gold Coast untuk berbulan madu. Turut bersama mereka adalah beberapa kenalan rapat.
Mereka turut berkunjung ke taman laut serta bangunan Q1 (atau dikenali sebagai Queensland number One) yang mempunyai 78 tingkat. Q1 ialah bangunan tertinggi di Gold Coast.
Sekembalinya ke tanah air, Amber mendapati berat badan telah meningkat sebanyak dua setengah kilogram.

"Sekembalinya dari Gold Coast, saya terus periksa berat badan kerana saya tahu saya telah makan banyak di situ," akuinya sejujurnya.
Bagaimanapun, Amber menepis dakwaan bahawa kenaikan berat badan itu menandakan dia barangkali hamil.
"Saya belum menjalani pemeriksaan lagi. Jika terbukti saya mengandung, saya akan memanggil satu sidang akhbar," katanya sambil berjenaka.

Model itu berkata dia belum menunjukkan tanda-tanda dirinya hamil seperti loya.
Malah katanya, dia masih terlibat dalam permainan sukan air dan roller-coaster di Gold Coast yang masyur dengan binatang Koala.
Amber berkata, dia sudah bersedia untuk hamil. "Walaupun mengandung, saya masih berharap dapat bekerja sebagai model," katanya.
Perkahwinan 'Hijau' Amber Chia-Adrian Wong

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 warga media cetak dan elektronik menghadiri resepsi perkahwinan Amber Chia dan Adrian Wong di Hotel Le Meridien pada malam Rabu.
Ia adalah anjuran pusat mutiara, Rafflesia khas untuk media bagi sama-sama meraikan hari bahagia pasangan itu.
Amber bergaun hijau rekaan Khoon Hooi manakala Adrian berkot serba putih serta bertali leher hijau tajaan Lord's Tailor.

Lebih menarik, pengasas Jewellery Circles Sdn Bhd, Winnie Sin berkata, baju, kasut rekaan Bill Keith, earring model bertaraf antarabangsa itu bernilai lebih RM2 juta kerana kesemuanya bertatahkan mutiara dan ambar tajaan Rafflesia.
Pasangan Amber-Adrian yang berpakaian warna hijau dan putih melengkapi latar Sultan Ballroom yang dijadikan sebuah taman hijau.
Ia selaras dengan tema resepsi perkahwinan malam tersebut iaitu Noce Verte (dalam bahasa Perancis bermaksud 'The Green Wedding').
Menurut perancang perkahwinan, Bill Bora, tema hijau dipilih kerana perkahwinan selalu diadakan di taman pada musim panas.

"Majlis malam ini akan cuba menonjolkan kehijauan persekitaran dan pemakanan sihat kepada para hadirin," katanya.
Panorama dewan amat menarik dengan bebola bunga ros warna putih dilihat bergantungan dari langit-langit dewan.
Singgahsana Raja Sehari pula direka bentuk seakan-akan terletak di bawah rimbunan pokok kapas.
Majlis yang bermula tepat 8.30 malam itu menyaksikan Amber dan Adrian diarak masuk ke dewan sambil diiringi alunan muzik orkestra.
Model itu diapit oleh artis-artis jemputan seperti Ning Baizura, Daphne Iking, Alyah, Kelly Jagan, Suki Low Sook Yee dan Diana Danielle.

Artis-artis seperti Ning, Diana, Alyah dan Suki turut mendendangkan lagu-lagu romantis kepada pasangan tersebut.
Lebih romantis, Suki sempat mengajak pasangan Amber-Adrian berdansa mengikut rentak lagu 'Yue Liang Tai Piao Wo De Xing' (bulan mewakili hati saya).
Para tetamu menikmati makanan ala Perancis yang disediakan oleh Chef Antoine Rodriguez dari hotel tersebut.
Antaranya, pembuka selera, sup, in-between dan teh hijau. Untuk memastikan suasana Perancis lebih dirasai, kek perkahwinan itu direka bentuk berkonsepkan Menara Eiffel yang ditaja Yomie Bakery.
Amber-Adrian dan rakan-rakan artis merancakkan persembahan malam itu dengan menari cha-cha-cha sambil Ning mendendangkan lagu.
Teka-teki Siapa Suami Amber Chia Terjawab

KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai siapa sebenarnya suami supermodel Amber Chia akhirnya terjawab - Adrian Wong, pengurus dan rakan perniagaannya.
Pasangan pengantin baru itu menemui wartawan di sini semalam untuk memperkenalkan identiti "Mr Amber Chia", setelah merahsiakan isu itu selepas perkahwinan mereka di Bali, Indonesia, minggu lalu.
Adrian, 36 merupakan duda beranak dua hasil perkahwinannya yang lalu.
"Kami membuat keputusan untuk mendedahkan perkara ini kerana tidak mahu orang lain membuat spekulasi lagi," kata Amber kepada The Daily Chilli.
"Kami tidak mahu keadaan menjadi tidak terkawal. Kami minta maaf sekiranya kami membuat ramai orang terkejut, termasuk kawan-kawan kami, tetapi kami hanya dua insan yang sedang bercinta yang mengaggap perkara ini sebagai kisah peribadi," kata supermodel Malaysia itu.
"Sebenarnya kami inginkan waktu yang lebih sesuai untuk mengumumkan perkahwinan kami. Saya harap semua orang faham bahawa di bukan selebriti dan dia tidak biasa mennjadi tumpuan seperti saya," tambah Amber.
Mengenai tuduhan oleh pihak-pihak tertentu bahawa dia merupakan "perosak rumah tangga", Amber sekeras-kerasnya berkata: "Tidak sama sekali. Bila saya mula mengenali Adrian dan akhirnya jatuh cinta kepadanya, dia sudahpun bercerai secara rasmi."
Adrian, bekas graduan jurusan perniagaan dari Universiti Melbourne, menghabiskan masa 10 tahun di Australia dan merupakan pengasas serta pengarah Absolute Entertainment, syarikat pengurusan acara yang bertanggungjawab membawa artis-artis antarabangsa seperti Pussycat Dolls dan Andy Lau ke Malaysia.
Buat masa ini Adrian mempunyai beberapa kepentingan perniagaan di Hong Kong dan Malaysia.
Dia melamar Amber kira-kira lima setengah bulan lalu selepas berkenalan dengan supermodel itu selama setahun setengah.
Amber Chia Berkahwin Secara Rahsia

BERITA PANAS! Supermodel Amber Chia telah berkahwin di sebuah tempat peranginan eksotik di pulau Bali minggu lalu.
The Daily Chilli mengetahui berita itu daripada kenalan rapatnya bahawa gadis terkenal berusia 28 tahun melafazkan "saya rela" kepada kawan lama yang juga teman lelakinya.
Tidak, jejaka bertuah itu bukanlah ahli perniagaan yang digembar-gemburkan keluar dengan Amber. Ataupun pemilik bank Tan Sri yang dikhabarkan melihatnya.
"Amber percaya kepada cinta sejati," menurut sumber itu. "Dia tidak percaya wang ringgit dapat membeli perasaan cintanya. Lelaki ini, seorang ahli perniagaan biasa sangat baik dan sangat menyintai Amber.
"Mereka telah saling mengenali untuk suatu tempoh masa yang lama. Dia sangat pemalu."
"Ia adalah perkahwinan di tepi pantai yang sangat romantik," dedah sumber tersebut yang memberitahu The Daily Chilli dengan bersyaratkan merahsiakan identitinya.

Antara kawan selebriti paling dipercayai Amber yang diterbangkan ke Bali untuk menyaksikan perkahwinan persendirian termasuk personaliti televisyen Daphne Iking, pemain violin Dennis Lau dan guru pentas peragaan, Benjamin Toong.
Upacara Timur-bertemu-Barat itu disaksikan ahli keluarga terdekat daripada kedua-dua pihak. Mereka diterbangkan ke pulau penuh mistik itu dengan semua perbelanjaan ditanggung pasangan bermurah hati itu.
Difahamkan kawan Amber yang juga pereka fesyen terkemuka, Alvin Taya dan Keith Kee telah mereka bentuk gaun perkahwinannya yang berwarna putih serta merah jambu.
Ketika dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Amber yang balik ke Malaysia dan akan terbang ke luar negara untuk berbulan madu di satu lokasi yang dirahsiakan hanya berkata: "Minta maaf sayang... Jangan bimbang... kita akan berbulan apabila saya balik daripada berbulan madu."
Pasukan pegawai seranta Amber dari Orchan Consulting Asia yang enggan memberikan komen, dijangka mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi.
Sementara itu, wartawan StarMetro, Choong Mek Zhin cuba mendapatkan komen Amber ketika pelancaran Bread Basket di The Sphere di Bangsar South petang ini tetapi tidak berjaya kerana dia dikawal ketat oleh pengawal peribadi.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
