Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ameng Spring. Show all posts
Showing posts with label Ameng Spring. Show all posts
Ameng Rindu Suasana Beraya Luar Penjara
Penyanyi Ameng (Spring) mengakui merindui suasana menyambut Hari Raya bersama keluarga dan sahabat handai di luar setelah hampir dua tahun menjalani hukuman penjara.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 45 berkata, suasana beraya di sebalik tirai besi berbeza dan hanya diselubungi dengan perasaan sedih kerana beraya bersendirian.
"Segalanya berbeza, di luar sana saya pernah hidup sebebas-bebasnya, namun di sebalik tirai besi ini perjalanan hidup seratus peratus berubah, namun saya memperoleh banyak pengajaran dan hidayah,"
"Alhamdulillahlah pada hari perayaan kami diberi ruang untuk menerima kunjungan ahli keluarga dan rakan-rakan selain dihidangkan dengan makanan yang agak istimewa berbanding hari-hari lain.
"Anak dan isteri juga ada datang melawat, sokongan moral sebegini menguatkan lagi iltizam saya untuk terus berubah dan menghadapi pelbagai cabaran di sini", katanya ketika menerima kunjungan daripada Persatuan Karyawan Malaysia di Penjara Kluang pada Isnin lalu.
Turut hadir Pengarah Penjara Kluang, Timbalan Komisioner Penjara (TKPj) Mat Rashid Jahlil dan Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah.
Dalam pada itu, Ameng turut mengingatkan golongan artis agar tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
"Kedua-duanya adalah entiti berbeza, ramai beranggapan dengan dadah kita akan mendapat tenaga yang lebih ketika berkarya walhal majoriti golongan seni yang berjaya dan hebat adalah kerana personaliti yang tiada kena mengena dengan najis dadah.
"Lihat saja (Datuk) Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah, mereka tetap hebat dan mantap tanpa dadah," katanya.
Ameng ditahan di Penjara Kluang, Johor bagi menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 bulan, serta dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Ameng Sahkan Bebas Dadah, Dapat Manfaat Di Penjara
Isteri Menangis Saban Hari Kerana Rindukan Ameng (Spring)
PETALING JAYA: Sabariah Zakariah, isteri kepada Ameng (Spring) mengakui terpaksa menahan sedih apabila terpaksa menjalani kehidupan tanpa suami yang dihukum penjara atas kesalahan dadah pada April tahun lalu.
Sabariah berkata, 42, berkata, ketiadaan Ameng yang sedang menjalani hukuman penjara di Kluang, Johor benar-benar membawa kesan dalam kehidupannya apatah lagi terpaksa menjaga anak tunggal mereka, Wan Ahmad Haizal, 5, secara sendirian.
"Bukan mudah untuk menempuh kehidupan tanpa suami. Hampir setiap hari saya menangis, tetapi mengenangkan anak yang tidak tahu apa-apa, saya cuba pendam perasaan sedih itu daripada dilihat anak.
"Sukar untuk menggambarkan perasaan rindu saya terhadapnya. Saya hanya mampu berdoa dan kuatkan semangat diri agar fikiran lebih tenang serta dapat membesarkan anak sebaik-baik mungkin.
"Jika sebelum ini saya runsing memikirkan bagaimana mahu menyara keluarga memandangkan sebelum ini saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi alhamdulillahlah sekarang ini saya mampu menampung keluarga dengan wang hasil kerja sebagai guru tadika," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Tambah Sabariah, lebih sebak lagi apabila tahun ini merupakan kali kedua dia dan anaknya terpaksa beraya tanpa Ameng dan mereka hanya dibenarkan melawatnya pada Hari Raya ketiga.
Malah, kedatangan Ramadan turut mengingatkannya bagaimana gelagat Ameng yang gemar ke bazar membeli juadah berbuka puasa bersama.
"Setiap kali Ramadan, perasaan saya lebih sebak daripada biasa. Habis semua memori lalu diimbas kembali bagi mengurangkan rasa rindu kepadanya.
"Saya ingat lagi, setiap kali membeli juadah berbuka, lauk gulai kawah antara makanan yang wajib dibeli Ameng," ujarnya.
Ditanya mengenai keadaan Ameng di penjara, Sabariah berkata suaminya menjalani hukuman seperti yang ditetapkan dan dia sentiasa menjaga tingkah laku kelakuan diri agar hukuman yang dikenakan dapat dikurangkan.
"Saya ada melawat Ameng pada Ramadan pertama (21 Julai 2012). Keadaannya seperti biasa dan lebih tenang,” katanya.
Pada 12 April lalu Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan berkaitan dadah.
Tunggu ‘dia’ sampai bila-bila - Ameng

DALAM sebuah rumah tangga, adalah sangat mustahil jika ia tidak pernah diduga. Dugaan datang melalui pelbagai cara, dari segenap penjuru, kiri dan kanan, depan dan belakang.
Jika bukan suami atau isteri curang, kesempitan kewangan, kekayaan, kemasyhuran dan apa saja yang barangkali tidak akan pernah kita fikirkan, boleh juga menjadi penyebab untuk ‘menggegarkan’ sesebuah hubungan.
Takdir wanita ini, dia ‘kehilangan’ suami dalam status sebagai isteri yang masih kekal. ‘Kehilangan dalam ada’ ini sebenarnya adalah satu kesakitan dalam diam. Sakit yang tidak mampu tertanggung, yang hanya empunya diri mengerti akan perih pedihnya.
Derita kehilangan akibat kematian, kita tahu tiada lagi harapan untuk bertemu di dunia. Tetapi kehilangan apabila seseorang yang kita sayang pada ketika nyawa masih bersatu dengan badan, itu sesuatu yang jauh lebih parah.
Apatah lagi kalau dalam kehilangan itu, tangan tidak boleh saling menyentuh, pedih tidak boleh disandarkan pada bahu seorang suami.
Untuk tempoh selama lapan tahun ini, Sabariah Zakaria tahu dia akan keseorangan. Menjalani kehidupan, membesarkan anak, mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan, si suami tiada di sisi menjadi teman.
“Apa lagi yang saya hendak cakap? Semua sudah terjadi, takdir Allah, Ameng merengkok dalam penjara.
“Tetapi saya akan tetap tunggu dia. Saya tidak akan biarkan dia sendirian menanggung segala dugaan yang datang dalam rumah tangga kami,” kata wanita yang saya panggil sebagai Kak Saba ini dalam esak yang panjang dalam perbualan kami, dua jam selepas dia dibebaskan.
Ameng, vokalis Spring itu menerima hukuman penjara lapan tahun, diiring dengan enam sebatan setelah mahkamah cukup bukti bahawa dia bersalah kerana najis dadah.
Kak Saba sendiri turut direman selama dua bulan di penjara sebelum ini, bagaimanapun dia dibebaskan kerana tidak bersalah.
Saya melihat Sabariah daripada pandangan sebagai seorang isteri yang amat setia. Sementelah janjinya, dalam apa juga keadaan, dia tidak akan mengalah dan berdoa agar jodohnya dengan Ameng kekal sampai bila-bila.
Meskipun seorang bebas menyedut udara luar, seorang lagi merengkok dalam tahanan, Sabariah memilih supaya cinta mereka tidak berkecai.
Bersedih atau gembirakah dia, bukan mudah untuk mentafsir emosi sendiri kala ini.
“Apa yang boleh saya kata, saya gembira sebab saya boleh jaga anak yang masih kecil.
“Tetapi dalam masa yang sama saya kasihan dengan suami. Kalau orang kenal Ameng, orang akan tahu dia tidak sejahat yang mereka sangka. Cuma, sebagai manusia adakalanya kita tak boleh lepas daripada melakukan kesilapan. Saya sendiri selalu nasihat kepada dia, tetapi bila terjebak bukan mudah untuk patah balik. Semoga keluar nanti, Ameng akan jadi manusia baru dan saya akan terus menunggu dia,” katanya lagi.
Demikianlah takdir yang seringkali sukar untuk kita tafsir terjemahannya.
Dia beri kita bahagia, kemudian Dia ‘rampas’ seketika dan kita sebagai hamba tidak boleh mengalah. Walau dalam apa juga keadaan, lawal segala dugaan dan bangkitlah menjadi manusia yang lebih baik pada hari depan.
Pesan saya kepada mereka yang di luar sana, jangan terlalu mudah menghakimi.
Biarkanlah Ameng dihakimi oleh undang-undang atas ‘dosa’ masa silam, tetapi kita sebagai manusia jadikanlah ia sebagai iktibar, bukan peluang untuk mengeji atau menghina keluarganya.
Wanita seperti Sabariah tidak bersalah, cuma takdir mempertemukan dia dengan seorang lelaki yang pernah membuat kesilapan besar dalam hidup. Tetapi kita perlu ingat, seorang yang salah pada hari ini, tidak semestinya berakhir dengan kegelapan. Masih ada ruang untuk membina hari depan yang jaya dan bahagia. Salam hujung minggu!
Ameng Dihukum Penjara Lapan Tahun Dan 10 Sebatan

MELAKA: Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, dihukum penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa kerana kesalahan dadah.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas Ameng, 42, mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Ameng, didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 41, bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua. Sabariah yang mengaku tidak bersalah kemudiannya dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 105.90 gram dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 5.20 petang 1 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2), Akta yang sama dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ameng dihukum penjara dua tahun setelah mengaku bersalah pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, memiliki dadah methamphetamine seberat 0.22 gram.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi satu lagi pertuduhan, Ameng dihukum penjara satu tahun dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamin, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 6 petang 1 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(b) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38b akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.
Hakim Abu Bakar memerintahkan hukuman penjara bagi tiga pertuduhan tersebut berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 1 Feb lepas, bermakna Ameng menjalani hukuman penjara sebanyak lapan tahun dan 10 sebatan serta dua tahun pengawasan oleh polis.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota polis yang menyerbu bilik hotel berkenaan dan menjumpai sebuah beg hitam di bawah sofa dan Ameng sedang duduk bersila di lantai berhadapan kerusi itu.
Apabila beg itu dibuka, terdapat satu beg kertas yang telah terkoyak dan di dalamnya terdapat bungkusan plastik berwarna biru lut sinar mengandungi ketulan daun mampat dipercayai ganja.
Semasa serbuan itu, isteri Ameng dan seorang kanak-kanak lelaki, dipecayai anak mereka, turut berada dalam bilik itu.Terdahulu dalam merayu agar dikenakan hukuman yang ringan, peguam Azrul Zulkifli Stork, yang mewakili Ameng, berkata penyanyi itu menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Iffa Sirrhu Samsudin, berkata sebagai seorang yang dikenali umum terutama golongan remaja, kesalahan seperti itu memberi impak tidak baik kepada golongan tersebut.
Beliau memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat supaya tidak terjebak dengan dadah yang memusnahkan kehidupan.
Ameng mahu berdamai dengan A.Aida

SEGALANYA berlaku tanpa diduga. Pagi 7 April, dia mengejutkan isterinya, Sabariah Zakaria dan memberitahu dia perlu ke Balai Polis, Setapak, Kuala Lumpur. Ameng atau Wan Aminudin Wan Ismail, memilih menyerah diri kepada pihak berkuasa setelah mendapat khabar bekas isterinya sudah membuat laporan polis terhadap dirinya atas dakwaan mengugut untuk ‘menembak’.
Musibah ini berlaku selepas seminggu dia menerima penghormatan darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) dari Istana Pahang.
Ameng yang sebelum ini diberitakan direman selama tiga hari, sebenarnya dilepaskan dengan jaminan polis pada petang hari yang sama dia menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Selama beberapa jam dalam sesi soal siasat, Ameng diberikan layan yang cukup baik memandangkan kesediaannya untuk datang dan menyerah diri secara suka rela.
Rabu lalu, setelah hampir seminggu dibebaskan dan mengelak daripada berbicara dengan media, Pancaindera diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ameng bagi merungkaikan misteri disebalik kes berkenaan.
Kenapakah Ameng tergamak untuk membuat ugutan sedemikian rupa dan benarkah dia sekali lagi positif ganja seperti dihebohkan?
Dalam tenang bicaranya, Ameng menjelaskan dia takut untuk bertemu kepada media. Bimbang kalau kata-katanya nanti disalah erti, atau dikatakan cuba membela diri sendiri.
“Tetapi Demi Allah, apa yang saya perkatakan ini benar sama sekali. Inilah juga yang saya jelaskan kepada pihak polis ketika saya datang menyerah diri kepada mereka.
“Ada sebab kenapa saya bertindak sedemikian tetapi bukan niat saya untuk benar-benar membunuh atau ‘menembak’ sesiapa.
“Saya hanya artis, saya bukan ada pistol pun. Ada sebab kenapa setelah sekian lama saya bersabar, akhirnya kemarahan saya tidak dapat dikawal, terjadilah SMS yang dikatakan berbaur ugutan itu,” kata Ameng meluah cerita yang dikatakan benar itu.
Menurut Ameng, dia tidak mampu bersabar lagi apabila bekas isterinya, yang juga penerbit drama, A. Aida tidak memberi peluang untuk dia bertemu dengan dua anak perempuannya.
Selepas bercerai hampir tujuh tahun lalu, dua anak hasil pernikahan mereka, Wan AzAleesa (14 tahun) dan Wan Azevanatasha (9 tahun) diletakkan dibawah penjagaan A.Aida.
Bagaimana pun, sebagai ayah, Ameng pada bila-bila masa mendapat kebenaran untuk berjumpa dengan mereka. Keputusan itu telah ditetapkan oleh pihak mahkamah dan perlu dihormati.
“Bagaimanapun selepas beberapa tahun bercerai, dia (bekas isteri) menetapkan masa untuk saya melawat. Masa yang sesuai untuk dirinya. Saya masih ikutkan lagi.
“Tetapi semenjak lebih empat bulan lalu, saya langsung tidak diberi peluang bertemu dengan anak-anak. Saya mahu hak saya, tapi saya tidak diberikan hak sebagai seorang bapa.
“Bila saya tanya, pihak berkenaan selalu marah-marah dan hantar macam-macam SMS. Ada juga saya menerima kata-kata berbaur ugutan. Kononnya mereka akan panggil polis untuk tangkap saya kalau terus minta bertemu anak, mereka boleh arahkan polis supaya sekat saya ditengah jalan raya. Kenapa itu semua berlaku?
“Saya tak faham, kenapa buat saya macam itu sedangkan saya hanya mahukan hak untuk bertemu anak-anak. Salahkah saya?
“Apabila saya terus ditekan, saya tak boleh bersabar lagi dan saya hantar SMS berkenaan, tetapi bukan dengan niat membunuh. SMS sekadar balasan atas SMS ‘kurang baik’ yang dia hantar kepada saya terlebih dahulu,” kata Ameng.
Tambah penyanyi Sampai Hati , Butakah Cinta dan Sejiwa ini lagi, dia sudah tidak mampu untuk menahan kerinduan kepada kedua-dua anaknya itu lalu meminta supaya A.Aida memberikannya peluang itu.
“ Bayangkan, sedari anak-anak kecil, saya selalu bersama mereka. Saya memang jenis rapat dengan anak-anak, dari kecil saya yang selalu sediakan kemudahan untuk anak-anak, pakaikan lampin, basuh berak-kencing, saya buat itu semua sebab saya memang sayang budak-budak.
“Bila berpisah, saya masih ada peluang bertemu mereka, okeylah. Sehinggalah selepas beberapa bulan saya tidak diberi peluang untuk membawa pulang anak-anak saya ke rumah, saya jadi tertekan sangat. Pihak berkenaan sendiri mengapi-apikan saya, sebab itulah jadi macam ini,” katanya.
Menurut Ameng, dia memilih untuk bercerai dengan A. Aida tujuh tahun lalu selepas dia jatuh ‘miskin’.
Selepas bercerai dengan A.Aida dia hanya keluar daripada rumah dalam keadaan sehelai sepinggang. Semua harta termasuk rumah dan lain-lain dinamakan keatas bekas isterinya.
“Sehinggalah saya terpaksa menyewa bilik dan kemudian membina semula kehidupan. Sekarang bersama isteri, Sabariah saya sudah bertemu kehidupan baru yang lebih baik.
“Saya mahu menjalani kehidupan hari ini dengan lebih baik berbanding sebelumnya. Tetapi dalam masa yang sama, saya tak boleh lupakan anak-anak. Saya boleh lupakan bekas isteri,saya sudah tutup buku dengan A.Aida, tetapi mana mungkin saya lupakan anak-anak saya sendiri?
“Dalam kehidupan, harta benda, duit-ringgit penting, tetapi anak-anak harta yang paling penting, anak-anak adalah ‘hidup-mati’ saya,” katanya dalam genangan air mata yang cuba ditahan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
