Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ameng mahu berdamai dengan A.Aida


SEGALANYA berlaku tanpa diduga. Pagi 7 April, dia mengejutkan isterinya, Sabariah Zakaria dan memberitahu dia perlu ke Balai Polis, Setapak, Kuala Lumpur. Ameng atau Wan Aminudin Wan Ismail, memilih menyerah diri kepada pihak berkuasa setelah mendapat khabar bekas isterinya sudah membuat laporan polis terhadap dirinya atas dakwaan mengugut untuk ‘menembak’.

Musibah ini berlaku selepas seminggu dia menerima penghormatan darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) dari Istana Pahang.

Ameng yang sebelum ini diberitakan direman selama tiga hari, sebenarnya dilepaskan dengan jaminan polis pada petang hari yang sama dia menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Selama beberapa jam dalam sesi soal siasat, Ameng diberikan layan yang cukup baik memandangkan kesediaannya untuk datang dan menyerah diri secara suka rela.

Rabu lalu, setelah hampir seminggu dibebaskan dan mengelak daripada berbicara dengan media, Pancaindera diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ameng bagi merungkaikan misteri disebalik kes berkenaan.

Kenapakah Ameng tergamak untuk membuat ugutan sedemikian rupa dan benarkah dia sekali lagi positif ganja seperti dihebohkan?

Dalam tenang bicaranya, Ameng menjelaskan dia takut untuk bertemu kepada media. Bimbang kalau kata-katanya nanti disalah erti, atau dikatakan cuba membela diri sendiri.

“Tetapi Demi Allah, apa yang saya perkatakan ini benar sama sekali. Inilah juga yang saya jelaskan kepada pihak polis ketika saya datang menyerah diri kepada mereka.

“Ada sebab kenapa saya bertindak sedemikian tetapi bukan niat saya untuk benar-benar membunuh atau ‘menembak’ sesiapa.

“Saya hanya artis, saya bukan ada pistol pun. Ada sebab kenapa setelah sekian lama saya bersabar, akhirnya kemarahan saya tidak dapat dikawal, terjadilah SMS yang dikatakan berbaur ugutan itu,” kata Ameng meluah cerita yang dikatakan benar itu.

Menurut Ameng, dia tidak mampu bersabar lagi apabila bekas isterinya, yang juga penerbit drama, A. Aida tidak memberi peluang untuk dia bertemu dengan dua anak perempuannya.

Selepas bercerai hampir tujuh tahun lalu, dua anak hasil pernikahan mereka, Wan AzAleesa (14 tahun) dan Wan Azevanatasha (9 tahun) diletakkan dibawah penjagaan A.Aida.

Bagaimana pun, sebagai ayah, Ameng pada bila-bila masa mendapat kebenaran untuk berjumpa dengan mereka. Keputusan itu telah ditetapkan oleh pihak mahkamah dan perlu dihormati.

“Bagaimanapun selepas beberapa tahun bercerai, dia (bekas isteri) menetapkan masa untuk saya melawat. Masa yang sesuai untuk dirinya. Saya masih ikutkan lagi.

“Tetapi semenjak lebih empat bulan lalu, saya langsung tidak diberi peluang bertemu dengan anak-anak. Saya mahu hak saya, tapi saya tidak diberikan hak sebagai seorang bapa.

“Bila saya tanya, pihak berkenaan selalu marah-marah dan hantar macam-macam SMS. Ada juga saya menerima kata-kata berbaur ugutan. Kononnya mereka akan panggil polis untuk tangkap saya kalau terus minta bertemu anak, mereka boleh arahkan polis supaya sekat saya ditengah jalan raya. Kenapa itu semua berlaku?

“Saya tak faham, kenapa buat saya macam itu sedangkan saya hanya mahukan hak untuk bertemu anak-anak. Salahkah saya?

“Apabila saya terus ditekan, saya tak boleh bersabar lagi dan saya hantar SMS berkenaan, tetapi bukan dengan niat membunuh. SMS sekadar balasan atas SMS ‘kurang baik’ yang dia hantar kepada saya terlebih dahulu,” kata Ameng.

Tambah penyanyi Sampai Hati , Butakah Cinta dan Sejiwa ini lagi, dia sudah tidak mampu untuk menahan kerinduan kepada kedua-dua anaknya itu lalu meminta supaya A.Aida memberikannya peluang itu.

“ Bayangkan, sedari anak-anak kecil, saya selalu bersama mereka. Saya memang jenis rapat dengan anak-anak, dari kecil saya yang selalu sediakan kemudahan untuk anak-anak, pakaikan lampin, basuh berak-kencing, saya buat itu semua sebab saya memang sayang budak-budak.

“Bila berpisah, saya masih ada peluang bertemu mereka, okeylah. Sehinggalah selepas beberapa bulan saya tidak diberi peluang untuk membawa pulang anak-anak saya ke rumah, saya jadi tertekan sangat. Pihak berkenaan sendiri mengapi-apikan saya, sebab itulah jadi macam ini,” katanya.

Menurut Ameng, dia memilih untuk bercerai dengan A. Aida tujuh tahun lalu selepas dia jatuh ‘miskin’.

Selepas bercerai dengan A.Aida dia hanya keluar daripada rumah dalam keadaan sehelai sepinggang. Semua harta termasuk rumah dan lain-lain dinamakan keatas bekas isterinya.

“Sehinggalah saya terpaksa menyewa bilik dan kemudian membina semula kehidupan. Sekarang bersama isteri, Sabariah saya sudah bertemu kehidupan baru yang lebih baik.

“Saya mahu menjalani kehidupan hari ini dengan lebih baik berbanding sebelumnya. Tetapi dalam masa yang sama, saya tak boleh lupakan anak-anak. Saya boleh lupakan bekas isteri,saya sudah tutup buku dengan A.Aida, tetapi mana mungkin saya lupakan anak-anak saya sendiri?

“Dalam kehidupan, harta benda, duit-ringgit penting, tetapi anak-anak harta yang paling penting, anak-anak adalah ‘hidup-mati’ saya,” katanya dalam genangan air mata yang cuba ditahan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails