Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Awie. Show all posts
Showing posts with label Awie. Show all posts

"Tinggalkan Wings Lebih Sedih Berbanding Berpisah Dengan Isteri" - Awie

Vokalis kumpulan Wings iaitu Awie memberitahu perpisahannya selama lapan tahun dengan kumpulan itu merupakan tempoh yang paling pahit dalam sejarah hidupnya. Bagaimanapun, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata, ia mengajarnya erti persahabatan selain lebih banyak bertolak ansur bagi mengekalkan hubungan dengan ahli yang lain. "Hubungan kami seperti hubungan perkahwinan dan jika bercerai sudah tentu sedih, malah saya lebih terasa perpisahan dengan mereka daripada berpisah dengan isteri saya. "Ia kerana Wings punca rezeki kami, sumber pendapatan Wings juga yang beri makan pada isteri dan anak-anak saya, begitu juga dengan ahli yang lain," ujarnya kepada mStar Online.
Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke 30 kumpulan Wings di Hotel Swiss Garden, di sini, malam Rabu. Awie bersama kumpulan Wings sejak ditubuhkan pada 1985. Dia kemudian mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan tersebut pada tahun 1993 dan kembali semula bersama Wings pada 2002. Semasa ketiadaan Awie, tempat vokalis Wings diambil alih oleh Mel. Awie berkata, perpisahan tersebut berikutan beberapa sebab yang dianggap sebagai keputusan yang tidak matang ketika itu. "Dulu saya akui belum matang dan bertindak terlalu mengikut emosi dan darah muda. Sekarang saya menyesal dan kalau boleh diputar waktu memang saya ingin elakkan perpisahan tersebut. "Kini saya lebih banyak bersabar dan jika marah atau terasa dengan sesuatu perkara saya hanya berdiam diri. Mereka juga faham kalau saya diam sahaja bermakna saya terasa atau kecil hati," ujarnya. Selain Awie, Wings turut dianggotai oleh Eddie, Black dan Joe.
Menceritakan detik pertemuan semula mereka selepas lapan tahun bermusuhan, Awie berkata kejadian itu berlaku ketika perkahwinan komposer dan penyanyi Datuk M.Nasir dengan Datin Marlia Musa. Awie berkata, dia diminta untuk membuat persembahan istimewa bersama dengan Wings buat pertama kali selepas perpisahan mereka. "Kami bertemu kembali juga dalam situasi yang dramatik iaitu ketika majlis perkahwinan M.Nasir. Masa itu mereka minta saya nyanyi dengan Wings dan sejak itulah kami bertemu dan meluahkan rasa kesal masing-masing," ujarnya. Antara artis yang hadir pada majlis ulang tahun ke 30 kumpulan Wings itu ialah Erra Fazira, Datuk Hattan, Ziana Zain, Man Bai, Johan Raja Lawak dan Bunkface. Sementara itu, sempena 30 tahun kumpulan itu ditubuhkan, Wings akan mengadakan Konsert 30 Tahun Wings pada 31 Oktober depan di Stadium Merdeka di sini. Awie berkata, dia bakal menyampaikan 30 buah lagu popular daripada 12 buah album yang dihasilkan. Tiket dijual dengan harga RM285, RM85 dan RM48 (bagi pelajar tertakluk pada terma dan syarat). Orang ramai juga boleh membeli secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my

"Saya 'Larikan' Anak Darah Daging Sendiri" - Rozana Misbun

Isteri Awie iaitu Rozana Misbun, menempelak suaminya sambil menyifatkan penyanyi rock itu mahu mencari publisiti murah dengan membangkitkan pula isu yang tidak relevan iaitu soal melarikan anak. Rozana, 36, dalam satu mesej panjang lebar kepada mStar Online pada Jumaat berkata, dua anak yang dikatakan itu, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, berada dalam keadaan sihat, selamat dan bahagia bersamanya. “Saya tiada sebarang motif lain selainkan ingin bersama anak-anak sebaliknya saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai ibu kandung untuk membesarkan mereka yang masih kecil dengan penuh kasih sayang dan perhatian,” katanya. Rozana berkata demikian sebagai respons kepada tuduhan Awie seperti dilaporkan media pada Jumaat kononnya dia telah melarikan dua anaknya itu di sekolah tanpa memaklumkan kepada penyanyi itu terlebih dahulu. Seorang lagi anak hasil perkahwinan Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, masih berada bersama penyanyi tersebut. Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberikan hak penjagaan sementara kepada Rozana tiga orang anaknya itu sehingga perintah kekal di keluarkan. Dengan perintah itu, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 47, selaku responden hanya diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Ikuti komen Rozana berhubung tuduhan terbaharu Awie terhadapnya.
Apa yang boleh Rozana katakan terhadap tuduhan Awie kononnya Rozana melarikan anak-anak? Istilah 'larikan anak' tu macam tak kena sebab Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha adalah anak kandung saya. Saya tak larikan anak orang lain tapi anak daripada darah daging saya sendiri! Lagipun perintah makhamah bertarikh 27 Januari 2015 secara sah dan nyata telah memberi hak penjagaan anak-anak kepada saya sehingga hak penjagaan kekal diputuskan kelak. Awie berkata, kenapa Rozana tidak maklumkan kepadanya untuk mengambil anak-anak? Nak maklumkan macam mana lagi sebab setiap kali saya beritahunya untuk ambil anak pada sekian-sekian masa di rumahnya di Ukay Bistari (Ampang, Selangor) secepat kilat anak-anak saya disembunyikan dan dilarikan ke tempat lain. Baru-baru ini dia bawa anak-anak sembunyi di rumah kakaknya di Rawang. Cubaan saya untuk berjumpa anak-anak walaupun saya diberikan hak telah dibuat secara berhemah beberapa kali. Disebabkan ikhtiar saya itu terus-menerus gagal, maknanya saya terpaksa membuat keputusan untuk mengambil anak-anak di sekolah. Awie mendakwa terdapat anggota polis bersenjata ke sekolah ketika Rozana mahu ‘melarikan’ anak-anak? Saya harap Awie berhentilah berhalusinasi dan tahu membezakan antara fantasi dan realiti. Soal polis berpakaian preman, bersenjata semua tu, ia tidak wujud sama sekali. Apakah motif Awie menuduh sedemikian? Saya faham Awie perlukan publisiti bagi melariskan konsertnya. Tapi tolonglah jangan heret saya dan anak-anak dalam kancah itu. Saya tak perlukan publisiti murahan macam ini untuk meraih perhatian sebab saya hanyalah seorang ibu yang hanya memperjuangkan hak untuk anak-anak yang cuba dinafikan oleh Awie.
Ada dakwaan, Rozana halang Awie berjumpa anak-anak? Siapa kata saya tak bagi Awie jenguk anak-anak? Dia boleh saja berbuat demikian pada waktu dan tempoh masa seperti yang tertera dalam perintah mahkamah. Kalau dia nak menghubungi saya menerusi telefon untuk berbual dengan Rezzki dan Qasseh pun, tak jadi masalah. Saya akan benarkan. Adakah Rozana mahu uruskan pertukaran sekolah anak-anak? Apabila mahkamah syariah memutuskan bahawa sijil nikah kami palsu, maka secara automatik, sijil kelahiran atau surat beranak anak-anak menjadi tidak sah dari sudut undang-undang kerana sijil nikah itulah yang tertera pada sijil kelahiran anak-anak. Urusan pertukaran sekolah memang saya sedang usahakan namun ia tertangguh kerana melibatkan banyak pihak termasuklah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Bagi saya tak perlulah hantar anak ke sekolah swasta yang mahal yurannya. Tun Mahathir dulu pun bersekolah di sekolah kerajaan saja tapi tengoklah kejayaannya sebagai pemimpin dikagumi dunia. Bagaimana hubungan anak-anak sejak bersama Rozana? Anak-anak sekarang dengan saya dah macam kembar siam. Tak boleh berenggang langsung. Qasseh siap bagi isyarat pada saya, bila dia bangun dari tidur, celik mata setiap pagi, dia mahu saya ada di sisi dia. Kalau tidak dia akan menangis dan merajuk sepanjang hari.

Awie Terkilan Isteri 'Larikan' Anak Dari Sekolah

Vokalis kumpulan Wings, Awie terkilan dengan tindakan isterinya, Rozana Misbun yang membawa lari dua anak mereka ketika kanak-kanak itu berada di sekolah tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepadanya. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata, dia tidak pernah menghalang isterinya itu untuk melawat anak-anak mereka di sekolah memandangkan wanita berkenaan enggan datang ke rumahnya. "Saya tidak pasti kenapa dia tidak mahu datang ke rumah saya sendiri untuk berjumpa dengan anak-anak tetapi dia akan ‘serang’ apabila saya tiada di rumah. "Perbuatan dia membawa lari anak-anak dari sekolah dengan membawa polis bersenjata membuatkan saya terkilan. "Saya ingin tahu siapa polis itu kerana saya ragu-ragu dengan identitinya kerana sesuka hati membawa senjata tambahan pula ke sekolah," katanya kepada mStar Online. Awie ditemui pada sidang media pelancaran album Wings Live Rockestra @ Istana Budaya dan Aplikasi Telefon Pintar 'Wings Mobile Web' di Istana Budaya di sini, Khamis. Dalam pada itu, Awie turut mempertikaikan tindakan Rozana yang tidak menghantar dua anaknya iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7 dan Puteri Qasseh Antasha, 5, ke sekolah sejak membawa lari mereka pada 9 Februari lalu. Kata Awie, pihak sekolah memaklumkan perkara itu kepadanya dan berharap wanita berkenaan akan kembali menghantar mereka ke sekolah demi kepentingan pelajaran mereka. "Bawa mereka lari satu hal malah tidak hantar mereka ke sekolah. Saya membayar yuran mereka bukan untuk disia-siakan begitu sahaja dan berasa pelik dengan tindakan anehnya," jelas Awie. Seorang lagi anak Awie, Putra Ahmad Merrah, 8, kini berada di bawah jagaannya termasuk dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Sementara itu, Awie berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah pada 24 Februari lalu berhubung penjagaan sementara anak-anaknya berikutan hak tersebut diperoleh Rozana. Awie memberitahu keputusan kes berkenaan hanya akan diketahui pada Mei depan. Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur memberi hak penjagaan sementara tiga anak Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5. Awie diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. mStar Online difahamkan langkah Rozana menjaga anak-anaknya itu adalah mematuhi peraturan undang-undang atas kebenaran mahkamah berbanding Awie yang hanya mendapat hak melawat mereka sahaja.

Ibu Awie Meninggal Dunia Kerana Sakit Tua

Ibu kepada vokalis kumpulan Wings iaitu Awie meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi Jumaat kerana sakit tua. Azizah Abdul Hamid, 75, menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman penyanyi itu di Ukay Perdana, Ampang, dekat sini. Allahyarham dikatakan terjatuh ketika hendak ke bilik air sebelum ditemui oleh orang gaji. Difahamkan, Allahyarham menghidap kencing manis serta darah tinggi dan tinggal bersama Awie sejak penyanyi itu mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya, Rozana Misbun.
Allahyarham meninggalkan lima orang anak dan 16 cucu. Suaminya, Othman Md Arof, 78, meninggal dunia pada 2011. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Cheras Baru dekat sini selepas solat Jumaat.

Awie belum sedia cari isteri lain

TERHERET sehingga ke mahkamah, kemelut permasalahan Awie dan isterinya Rozana Misbun telah sampai ke kemuncak apabila vokalis Wings itu berjaya mendapat hak penjagaan kelima-lima orang anak mereka, tiga bersama Rozana dan dua lagi bersama isteri terdahulu, Arni Nazira. Parah terduduk dek bermacam-macam tuduhan, Awie membuktikan bahawa dia seorang lelaki yang tidak gentar berdepan lawan. Dia semakin optimis membina semula kerjaya dan kehidupan peribadinya yang hampir musnah. Biar harus bermula dari kosong, Awie perlahan-lahan mengukuhkan kewangan demi menyara kehidupan bersama lima orang anaknya. “Dalam usaha untuk memulakan kembali kehidupan saya daripada kosong, saya terpaksa menolak banyak tawaran. “Awalnya saya telah menolak tawaran berlakon Supermokh Sebuah Muzikal Restaging tapi Hans Isaac telah memujuk dan memberikan saya semangat untuk berlakon, saya terima watak kerana pujukan Hans. “Saya juga telah menolak tawaran menjadi pengetua Akademi Fantasia 2014 dengan alasan tidak mahu mengganggu reputasi program itu memandangkan kes mahkamah saya yang sedang berlangsung. Jadi lebih baik saya undur diri. “Bagi saya, ini perjuangan yang baharu. Saya mahu teruskan walaupun perit dan malu untuk keluar rumah tapi saya perlu lakukan kerana anak-anak saya,” ujarnya yang ditemui pada majlis ramah mesra dan tayangan perdana filem Dollah Superstar di Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini. Hasil perkahwinan Awie bersama Rozana, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Anak nyawa Awie Tidak malu mengakui bahawa dia juga banyak belajar daripada kesilapan, namun segala yang yang hitam itu harus dilupakan agar kehidupan dan karier tidak musnah menyembah bumi. Sesuatu yang tidak dapat dielak, populariti serta pengaruh yang dimiliki menjadikan Awie masih lelaki hebat di mata wanita. Menanyakan soal wanita dalam hidupnya, rockers yang sering diusik dengan cinta lamanya bersama Erra Fazira hanya tersenyum. Dalam serius Awie menegaskan, dia belum terdesak untuk mencari wanita baharu sebagai individu tempat berkongsi masalah sekali gus menjadi ‘ibu segera’ kepada kelima-lima anaknya. “Saya bercakap secara jujur, belum masanya untuk saya mencari pengganti. Saya ada lima orang anak dan agaknya perempuan gila mana yang mahukan saya dan mampu memberikan kasih sayang kepada kelima-lima anak saya? “Secara logiknya, mampukah seseorang wanita itu menjaga anak-anak saya? Keadaan akan menjadi kucar-kacir, jadi saya harus berfikir dengan waras,” jelas Awie yang masih akur, bahawanya hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran seorang wanita. Tambah Awie: “Sudah tentu saya memerlukan wanita dalam hidup tapi dalam masa sama saya perlu memberikan peluang kepada wanita mengenali dan mencintai saya serta semua anak saya.” Tidak pernah terfikir untuk melepaskan tanggungjawabnya sebagai bapa menyerahkan anak-anaknya di bawah jagaan isteri dan bekas isterinya, Awie rela berkorban nyawa untuk anak-anak yang sedang membesar itu. “Mereka (anak-anak) ialah nyawa saya dan saya tidak boleh berpisah dengan mereka. Kalau boleh, saya mahu melihat mereka membesar depan mata sehingga mereka berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri. “Fokus saya sekarang untuk mencari duit untuk anak-anak dan mendapatkan waktu berkualiti bersama mereka. Kalau saya sibuk, mereka akan saya bawa ke lokasi penggambaran. Kalau ada peluang bercuti, saya akan bawa mereka berjalan-jalan. “Kalau boleh saya mahu menebus semula masa yang pernah saya sia-siakan suatu ketika dahulu. Bukan mahu tunjuk baik tapi mereka perlukan kasih sayang seorang bapa,” tambah Awie. Dollah Superstar Berkongsi perkembangan terbarunya, bintang utama filem komedi aksi Dollah Superstar berkata, filem itu pertama kali menampilkan karakternya sebagai gengster di layar perak. “Ini cerita komedi dan saya bukan seorang pelawak, tetapi berlakon bawah arahan Kabir Bhatia membuatkan saya terfikir bahawa filem ini bakal menjadi sebutan. “Selepas berlakon dengan Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan sekarang Kabir Bhatia, ketiga-tiga mereka mempunyai cara pengarahan tersendiri dan karakter Dollah yang saya pegang itu berbeza berbanding watak gengster yang pernah dilihat. “Saya tidak membawa watak komedi tapi karakter itu sendiri yang kelakar,” ujarnya. Selain Awie, filem Dollah Superstar turut menampilkan karisma lakonan Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad, Neelofa, Aziz M. Osman dan Lan Pet Pet. Filem itu bakal ditayangkan bermula 2 Oktober nanti.

Awie (Wings) Mahu Fokus Besarkan Anak

Vokalis Kumpulan Wings iaitu Awie mahu memberi tumpuan dalam membesarkan lima anaknya daripada memikirkan mengenai bakal isteri jika ditakdirkan rumah tangganya dengan Rozana Misbun tidak dapat diselamatkan. Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 46, berkata, memberi tumpuan kepada pembesaran anak-anak adalah perkara penting kerana pada ketika ini mereka memerlukan perhatian sepenuhnya. "Cerai pun belum macam mana hendak cari pengganti? Buat masa ini ia bukan fokus saya kerana tumpuan adalah sepenuhnya kepada anak-anak yang tinggal dengan saya. "Lagipun manalah ada wanita yang mahukan lelaki beranak lima seperti saya dan sekiranya ada pun tidak mungkin dia boleh sayang dan menerima anak-anak saya semua," katanya kepada mStar Online. Awie ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya Dollah Superstar di Cathay E@Curve di sini pada Selasa. Dalam pada itu, Awie berkata, sebagai seorang lelaki sudah tentu dia memerlukan seorang wanita dalam hidupnya sebagai tempat bermanja dan meluahkan perasaan ditambah dengan usianya kini semakin meningkat. Bagaimanapun sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dia mahu mencari wanita yang mampu mencintai anak-anaknya sebagaimana dia menyayangi mereka. "Saya tidak boleh tipu diri sendiri dan sebagai seorang lelaki saya perlukan wanita dalam hidup saya untuk mengadu masalah dan berkasih sayang tetapi orang itu nanti perlu menerima anak-anak saya sepenuhnya dan bukan hanya mencintai saya," jelasnya. Sementara itu, Awie berkata, biarpun malu dengan kekecohan yang melanda rumah tangganya namun dia tetap cekalkan hati untuk terus keluar mencari rezeki demi anak-anaknya. Kata Awie, pada tahap ini dia perlu kuat untuk membina semula kehidupannya yang disifatkan telah musnah dan perlu bermula dari bawah. "Anak-anak kekuatan saya dan dari dahulu lagi apa juga yang saya lakukan adalah demi mereka semua dan bukannya untuk diri sendiri. "Biarlah orang hendak kata apa yang penting anak-anak ada bersama saya dan kerja keras ini adalah untuk mereka," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Awie berkata, dia terharu dengan tindakan pengarah filem Dollah Superstar iaitu Kabir Bhatia yang sanggup menunggunya selama lapan bulan bagi memastikan dia dapat menerajui peranan utama karya tersebut. Jelas Awie, biarpun tidak pernah bekerjasama dengan Kabir namun dia menyifatkan pengarah itu profesional dan tidak keberatan untuk bekerja di bawahnya lagi selepas ini. "Jadual saya memang penuh tetapi beliau sanggup tunggu saya dan itu membuatkan saya betul-betul terharu dan pengalaman bekerjasama dengannya tidak sukar kerana dia seorang yang profesional dan mudah menerima pandangan orang lain. "Dollah Superstar bukan sebuah filem biasa tetapi mempunyai keunikan tersendiri dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hangat penonton," ujarnya.

Awie Anggap Tuah, Mokhtar Dahari Muncul Dalam Mimpi

Pelakon dan penyanyi Awie mendedahkan legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pernah muncul dalam mimpinya semasa dia dalam proses latihan pementasan teater muzikal SuperMokh musim pertama tahun lalu. Awie atau nama sebenarnya Mohd Azhar Othman, 46, berkata, kisah berkenaan tidak pernah diceritakan kepada sesiapa sebelum ini dan hanya diberitahu kepada isteri Allahyarham iaitu Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim. "Allahyarham datang dalam mimpi saya sekitar tahun lalu sebelum pementasan SuperMokh yang pertama berlangsung dan ketika itu saya tertidur selepas keletihan mengadakan persembahan di Melaka bersama Wings. "Apabila terjaga sekitar pukul empat pagi saya rasa 'kedatangannya' itu seperti benar-benar berlaku dan saya sedekahkan Al-Fatihah kepadanya," ujar Awie kepada mStar Online. Awie ditemui selepas pementasan pertama Teater muzikal SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada malam Isnin lalu. Teater arahan bersama Hans Isaac dan Harith Iskander itu sedang dipentaskan bermula 8 hingga 21 September ini. Masih mengekalkan Awie dan Maya Karin sebagai teraju utama, ia turut menampilkan Rashidi Ishak, Dina Nazir, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai mimpi berkenaan, Awie berkata, Mokhtar menggunakan bahasa Inggeris ketika berbual-bual dengannya selain mengajarnya teknik bermain bola sepak. Awie juga ada menceritkan mengenai butiran mimpi itu kepada isteri Allahyarham dan Tengku Zarina memberitahu arwah suaminya itu memang menggunakan bahasa berkenaan untuk berkomunikasi. "Saya tidak beritahu sesiapa mengenainya dan terus menceritakan kepada isterinya dan tidak sangka pula banyak perkara yang memang menggambarkan tentang Mokhtar dan disahkan sendiri oleh Tengku Zarina," jelasnya. Sementara itu, Awie berkata, dia menganggap mimpi tersebut sebagai satu tuah kerana sedikit sebanyak dia dapat memahami Mokhtar dan menjiwai watak figura berkenaan dalam pementasan teater tersebut. Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun. Supermokh adalah gelaran yang digunakan untuknya. Dalam perkembangan lain, Awie berkata, musim kedua SuperMokh memberikan kepuasan berbeza kepadanya kerana dapat memperbaiki kekurangan sebelum ini. Malah dia juga semakin selesa membawakan watak legenda itu di pentas dan berharap musim kedua ini akan memberi peluang kepada peminat untuk mengenali Kehidupan Mokhtar dengan lebih baik. Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-41478600 atau 019-2111600.

Mahkamah Arah Rozana Misbun Bayar RM500 Kepada Awie

Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan isteri penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun supaya membayar kos mahkamah sebanyak RM500 kepada suaminya itu ekoran gagal hadir pada sebutan kes hak penjagaan anak kekal (hadanah) terhadap tiga anak mereka pada Rabu. Rozana, 36, hanya muncul pada sebutan kes tersebut kira-kira 20 minit selepas sidang bermula ditemani peguamnya Majdah Muda. Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain bagaimanapun mengekalkan kos berkenaan terhadap Rozana selaku defendan dan meminta agar perkara itu dirujuk kepada kaunter mahkamah sekiranya ingin membuat rayuan. Peguam Syarie, Majdah pada prosiding berkenaan turut menyerahkan secara kendiri di hadapan Mohd Amran afidavit pembelaan untuk permohonan hadanah yang difailkan oleh Awie sebelum ini. Bagaimanapun peguam syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memohon kepada mahkamah agar mendengar terlebih dahulu bantahan awal untuk mengenetepikan perintah interim (penjagaan sementara) yang difailkan Rozana sebelum mendengar kes-kes lain.
Mahkamah membenarkan permohonan Mohd Zaid dan mengekalkan tarikh 17 September ini bagi mendengar hujahan bantahan awal itu. Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Masalah Rumah Tangga Buat Awie Mahu Jadi Bapa Terbaik

Pelakon dan penyanyi Awie mengakui hubungannya dengan anak-anaknya menjadi lebih erat berbanding sebelum insiden kontroversi rumah tangganya bersama isteri, Rozana Misbun, 36. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia kini sedang berusaha untuk menjadi bapa yang baik dan menjalankan tanggungjawab yang seharusnya dijalankan sebagai seorang bapa. "Kalau dulu saya hanya kerja dan cari rezeki untuk keperluan mereka sahaja, tetapi sekarang saya sentiasa berada bersama mereka. Kadang-kadang saya terpaksa curi-curi masa untuk balik ke rumah melihat keadaan mereka dan masak untuk mereka. "Ketika sedang bekerja pun saya sering menghubungi anak saya yang sulung untuk tanya apa yang terjadi di rumah, bila balik rumah saya akan periksa bilik mereka dan cium satu-satu anak saya. "Saya tidak dapat bayangkan kalau saya tidak dapat bersama mereka atau mungkin saya akan mati jika berpisah dengan anak-anak saya itu," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Supermokh Sebuah Muzikal di Istana Budaya, di sini, Selasa. Teater berkenaan yang diulang pemementasan itu akan berlangsung dari 8 September hingga 21 September depan yang mengisahkan kehidupan bintang bola sepak legenda, Mokhtar Dahari. Selain Awie, ia bakal dilakonkan oleh Maya Karin, Douglas Lim, Dina Nadzir, Rashidi Ishak, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna. Dalam pada itu tambah Awie, anak-anaknya merupakan keutamaan dan harta yang perlu dipelihara biarpun dirinya dipandang negatif oleh masyarakat berikutan isu tersebut. "Saya tidak kisah apa masyarakat nak cakap pada saya yang penting saya tahu apa yang sedang saya lakukan dan menjaga kebajikan serta kepentingan mereka. Anak-anak saya menangis bila baca tentang hukuman yang bakal saya hadapi jika sabit kesalahan hingga membuatkan saya sendiri menangis sama," ujarnya.
Gambar kenangan Awie bersama isteri dan anak-anaknya. Sementara itu, Awie turut mengakui tertekan dengan keadaan tersebut sehingga dia tekad untuk menolak semua tawaran lakonan dan nyanyian. Dia juga terfikir untuk berhenti daripada dunia hiburan dan memulakan hidup baharu dengan menguruskan perniagaan. Bagaimanapun, hasrat tersebut dihalang banyak pihak yang tidak henti-henti memberi nasihat dan menyokong kerjaya seninya. "Saya tertekan dengan keadaan ini, saya tolak semua tawaran termasuk Supermokh ini, tetapi bila dipujuk oleh penerbitnya Hans Isaac dan menasihatkan saya supaya meneruskan hidup barulah saya setuju. "Saya tolak sebab saya tidak mahu imej buruk saya ini akan terpalit kepada mereka,” ujarnya. Terdahulu Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Sementara itu, ekoran kegagalan Rozana hadir pada rundingan proses sulh yang dijalankan pada 6 Ogos lalu, mahkamah telah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan untuk dibicarakan. Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.

Mahkamah Tolak Permohonan Lisan Rozana Terhadap Awie & Media

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis menolak permohonan isteri penyanyi, Awie iaitu Rozana Misbun, 36, yang dibuat secara lisan bagi menukar hak lawatan terhadap anak-anak yang ditetapkan iaitu di kediaman artis itu di Ukay Bistari, Ampang ke kediaman bapa Rozana di Pantai Hill Park, Bangsar di sini. Mahkamah juga menolak permohonan Rozana agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan terhadap media daripada mengeluarkan sebarang berita yang boleh menimbulkan prejudis terhadapnya dan menganggu perjalanan kes. Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zin membuat keputusan menolak permohonan itu yang dikemukan peguam Rozana iaitu Majdah Muda dengan alasan pihak plaintif gagal mengemukakan permohonan secara teratur mengikut prosedur. "Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan. "Mahkamah tidak mempunyai halangan untuk media membuat laporan selagi ia tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap perjalanan kes," hujahnya. Terdahulu, Rozana telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak jagaan sementara (hadanah) tiga anak mereka yang diperoleh Awie di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, 21 Julai lalu. Rozana yang memfailkan permohonan itu pada 8 Ogos lalu turut memohon untuk membatalkan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie. Perintah injunksi itu diperoleh Awie bagi menghalang isterinya daripada mendekati awie dan juga anak-anak dalam apa jua cara sekalipun, termasuk melalui media cetak dan elektronik yang diperoleh Awie. Rozana hadir ditemani kakaknya, pelakon Haliza Misbun, manakala Awie hanya diwakili peguam iaitu Mohd Hafizal Pacho. Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.| Awie tuurt mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Mahkamah menetapkan 17 September depan bagi Awie mengemukakan hujahan, manakala 18 September untuk keputusan bantahan awal.

Isteri Tak Muncul, Proses Sulh Awie & Rozana Gagal

Proses Sulh di antara vokalis kumpulan Wings, Awie dan isterinya, Rozana Misbun gagal selepas wanita berkenaan tidak hadir pada rundingan yang berlangsung di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu. Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar kegagalan isterinya itu hadir ke mahkamah dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi pesanan faksimili kepada peguamnya, Mohd Hafizal Parcho pada Selasa lalu. "Saya tidak boleh komen apa-apa kerana dia (Rozana) tidak hadir dan tiada sebarang perbincangan berlaku dalam pejabat Sulh tadi. "Saya sendiri tidak pasti puncanya mungkin dia 'datang bulan' kot," katanya kepada mStar Online ketika ditemui diperkarangan mahkamah. Proses sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian, yang melibatkan satu atau lebih tuntutan dengan dikendalikan oleh pegawai sulh. Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.
Rozana tidak hadir pada proses Sulh yang berlangsung di Pejabat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi Rabu. Dalam pada itu, peguam Awie, Mohd Hafizal memberitahu, rundingan tersebut sepatutnya diadakan bagi membincangkan mengenai soal hak penjagaan anak secara kekal (hadanah) terhadap tiga anak mereka. Jelas Mohd Hafizal, ekoran kegagalan Rozana hadir pada rundingan tersebut, pihak mahkamah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan untuk dibicarakan. "Rundingan pada hari ini sepatutnya berkenaan soal anak tetapi ia gagal kerana pihak defendan (Rozana) tidak menghadirkan diri tanpa memberikan sebab tertentu dan notis telah diberikan kepadanya pada 24 Julai lalu. "Tidak akan ada kali kedua atau ketiga proses sulh dan kes berkenaan akan disebut di mahkamah pada 3 September," katanya. Selain Awie selaku plaintif dan Mohd Hafizal, proses Sulh yang berlangsung selama 10 minit itu turut dihadiri oleh Pegawai Sulh, Surayah Ramli. Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur.
Awie akan kembali ke mahkamah pada 3 September depan bagi mendengar sebutan kes hak penjagaan anak (hadanah) secara kekal selepas proses Sulh tidak berjaya. Mahkamah turut membenarkan permohonan injunksi oleh Awie untuk menghalang Rozana, 36, daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun. Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.Sehubungan itu mahkamah menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes berkenaan. Rozana juga telah membuat tiga laporan polis di Balai Polis Daerah Brickfields berhubung kejadian yang berlaku keatasnya termasuklah ancaman halangan untuk berjumpa tiga anak kandungnya.

Erra Fazira Tidak Kisah Peminat Imbau Semula Sejarah Cinta Dengan Awie

Pelakon Erra Fazira berharap gandingannya bersama Awie menerusi filem Warna Cinta Impian tidak akan menimbulkan spekulasi secara berlebih-lebihan dengan mengaitkan kisah cinta mereka dahulu. Erra tau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40, berkata, ia dilihat tidak manis memandangkan kedua-dua mereka sudah mempunyai haluan hidup sendiri, namun tidak mempunya masalah jika peminat-peminat sekadar mengimbas kenangan sejarah cinta mereka. "Saya bersetuju untuk berlakon semula dengan Awie kerana mahu mengubat rindu kepada peminat yang ingin melihat kami beraksi bersama seperti pada tahun 1990-an. "Tetapi janganlah peminat-peminat membayangkan lebih jauh. Kalau setakat imbas kembali cerita-cerita lama kami, tidak apa. Saya tidak kisah. Cuma saya harap jangan ada spekulasi lain pula yang timbul," katanya. Tambah Erra, dengan usia mereka yang sudah semakin dewasa, gosip cinta dianggap seperti tidak sesuai lagi memandangkan perhubungannya dengan Awie tidak lebih sebagai rakan kerja.
Terdahulu, Erra dan Awie pernah menjalinkan hubungan cinta selama lima tahun dan sempat bertunang. Namun ikatan pertunangan itu terlerai pada tahun 1998. Sementara itu, Erra berkata, dia menerima tawaran membintangi Warna Cinta Impian terbitan Touch Tronics Entertainment Sdn Bhd selepas melihat skripnya yang menarik. "Apabila membaca skripnya, saya tertarik tambah pula sudah lama industri perfileman tempatan kita tidak disajikan dengan cerita-cerita cinta. "Tambah pula, tiga bulan lalu saya dan Awie terlibat dalam pementasan Konsert Teaterikal Suara Kita, saya percaya kami masih lagi ada keserasian dalam lakonan," ujarnya. Filem mengenai kisah masalah cinta daripada empat pasangan berbeza itu bakal memulakan pengambaran pada Ogos depan di sekitar Kuala Lumpur, Brisbane, Australia dan Jaipur, India. Selain Erra dan Awie, filem yang menelan belanja sebanyak RM2.5juta itu turut dibintangi pelakon Azlee Khairi, Nelydia Senrose, Syiqin Kamal dan Erwin Shah Dawson.

Awie Mengaku Tidak Bersalah Belasah Isteri

Vokalis kumpulan Wings iaitu Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun, 36, pada 2 Jun lalu. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, minta dibicarakan. Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula. Mahkamah turut mengarahkan Awie membayar ikan jamin RM9,000 dengan dua orang penjamin. Awie diwakili dua peguam iaitu Hazman Harun dan Aimizaizul Amran. Manakala pertuduhan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim. Mengikut pertuduhan kes, Awie didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.
Jika sabit kesalahan penyanyi itu boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaaan. Perkarangan mahkamah dipenuhi dengan wartawan dan jurugambar seawal pukul 9 pagi dan penyanyi itu hanya muncul sejam kemudian. Awie turut ditemani oleh anggota Wings seperti Joe dan Eddy serta beberapa rakannya yang lain. Sementara itu, Awie ketika ditemui enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan menyerahkan kepada peguamnya. Jelas Awie dia enggan memberikan kenyataan bercanggah yang akan menggangu kes berkenaan di mahkamah. "Maafkan saya kerana tidak boleh mengulas mengenai kes ini kerana tidak mahu menggangu proses mahkamah dan menyerahkan semua kepada peguam saya," katanya.
Tambah Awie, biarpun kes berkenaan mendapat perhatian ramai namun ia tidak menggangu perjalanan seninya. Sebelum ini, gambar yang didakwa sebagai Rozana yang menunjukkan wanita tersebut lebam dan cedera di wajah akibat dipukul tersebar luas sehingga menyebabkan pihak polis memanggil Awie untuk membantu siasatan. Awie dan Rozana dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005. Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.

Gabungan Awie-Erra, Isteri tak cemburu

PASTI ramai yang menanti-nantikan kemunculan Awie dan Erra Fazira di satu pentas dan rencana untuk menggabungkan mereka bakal terlaksana pada satu konsert tahun hadapan. Tentu sahaja ini satu berita yang mengujakan bagi peminat mereka apatah lagi gabungan itu turut melibatkan Ziana Zain. Apatah lagi tiga nama ini masih kekal berpengaruh sehingga kini selepas menggegarkan industri seni dengan kemunculan masing-masing sekitar tahun 1990-an dulu. Malah filem Sembilu lakonan mereka pernah menjadi antara filem pecah panggung ketika ditayangkan. "Kehebatan gabungan kami bertiga masih diingati sampai hari ini. Saya percaya peminat kami satu ketika dahulu masih ternanti-nanti kesinambungan apakah yang akan kami buat pada masa hadapan. "Rentetan daripada permintaan-permintaan tersebut akhirnya membuatkan saya terfikir kenapa tak gabungkan sahaja kami bertiga. Ini idea yang baik dan perlu diteruskan. "Sebab itu saya bercadang untuk buat satu persembahan yang melibatkan kami bertiga. Konsepnya, persembahan nyanyian dan lakonan yang akan diadakan di Istana Budaya," jelas Awie baru-baru ini. Sejak insiden putus cinta satu ketika dahulu, Awie dan Erra Fazira cukup jarang sekali digandingkan sama ada di dalam persembahan pentas atau mana-mana filem. Meskipun begitu, tidak ada isu yang harus dibangkitkan sementelah masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga dan melupakan kisah yang terjadi antara mereka. Saat ditanya apakah isterinya, Rozana Misbun tidak cemburu melihat dirinya yang akan bergabung dengan Erra Fazira nanti, Awie tidak merasakan itu satu isu yang harus diperbesarkan. "Setiap kali ada majlis atau apa-apa persembahan yang melibatkan saya dan Erra pastinya dia akan saya beritahu dahulu. Masing-masing sudah ada keluarga dan tak ada apa yang harus dirisaukan. "Cuma saya berterima kasih kepadanya kerana selalu memahami saya. Tidak cemburu dan tak kisah memandangkan pertemuan saya dan Erra atas dasar kerja dan profesionalisme semata-mata. "Bila melibatkan hal-hal yang sensitif ini sudah pasti banyak hati yang perlu dijaga. Apa-apa pun setakat ini isteri tidak ada masalah untuk membenarkan saya bekerjasama dengan Erra," jelasnya. SuperMokhSelain sibuk merencanakan konsert tersebut, Awie juga bakal terlibat di dalam teater SuperMokh The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bulan November ini. Teater muzikal yang diinspirasikan daripada kisah legenda bola sepak tanah air, Datuk Mokhtar Dahari yang digelar SuperMokh itu bakal digalas oleh Awie selaku tunjang utama. Meskipun begitu, vokalis kumpulan Wings ini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghidupkan watak Mohktar Dahari di atas pentas teater. "Sebenarnya saya pernah berjanji untuk tidak terlibat dengan mana-mana teater muzikal. Tapi bila Hans Isaac menawarkan watak SuperMokh ini kepada saya, saya rasa tidak ada sebab untuk menolak. "Ini watak legenda dan sudah tentu cerita tentang Supermokh ini menjadi inspirasi kepada ramai peminatnya. Saya anggap pemilihan saya sebagai penghormatan saya kepada Supermokh yang dikenali di seluruh Asia. "Ini kisah yang menarik untuk ditonton. Walaupun wajah Supermokh nampak garang tetapi hatinya lembut dan dia memang lelaki yang baik. Banyak lagi kisah yang tidak diketahui umum bakal diceritakan melalui SuperMokh The Musical nanti," kata Awie.

Awie Minta 'Pertemuannya' Dengan Erra Fazira Tidak Disensasikan

Penyanyi dan pelakon, Awie berharap gandingan terbaharunya bersama Erra Fazira dalam konsert Suara Kita di Istana Budaya pada Mac 2014 tidak disensasikan hanya kerana mereka pernah bertunang suatu ketika dahulu. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, menegaskan kerjasama yang turut menggandingkan Ziana Zain itu adalah atas dasar profesional. "Apabila mengambil keputusan untuk mengadakan konsert ini sejarah lama antara saya dan Erra pasti akan menjadi perhatian namun saya berharap ia tidak disensasikan. "Kerjasama ini hanya semata-mata atas dasar profesional. Saya dan dia sudah mempunyai kehidupan masing-masing, sejarah lama tidak perlu diungkit lagi," katanya kepada mStar Online. Tambah Awie, isterinya, Ruzana Misbun juga tidak mempunyai sebarang masalah tentang kerjasama tersebut dan memberi keizinan untuk berbuat demikian. Malah kata Awie, Ruzana juga teruja dengan gabungan itu kerana turut mengagumi bakat lakonan dan nyanyian Erra.
"Sebelum saya buat sesuatu, saya akan bincang dengan isteri termasuk mengenai konsert ini. Dia sangat profesional dan tidak melarang kami bergandingan," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Awie berkata, dia berbincang dengan Erra mengenai konsert tersebut ketika pelakon itu muncul dalam program kendaliannya iaitu Tunggu Sekejap terbitan TV3 awal tahun ini. Jelas Awie, walaupun pada mulanya rasa bimbang Erra akan menolak tawaran tersebut namun dia lega apabila wanita itu bersetuju dengan cadangan tersebut. "Saya sudah lama ingin merancang projek ini namun tidak tahu bagaimana ingin menghubungi Erra dan mengambil kesempatan ketika bertemu dengannya dalam program Tunggu Sekejap dan Alhamdulillah dia bersetuju untuk terlibat dalam konsert itu," jelasnya. Bercakap lanjut mengenai konsert berkenaan, Awie berkata, dia ingin mengadakan konsert tersebut untuk mengembalikan nostalgia peminat dengan membariskan lagu popular daripada filem lakonan ketiga-tiga mereka.
Selain persembahan nyanyian, dia juga merancang untuk mengadakan slot teater muzikal pada konsert itu bagi memberikan kelainan. "Banyak perkara yang ingin dibuat untuk konsert itu dan ia masih dalam penelitian lagi malah satu pengumuman khas akan dibuat selepas ini," jelasnya. Sementara itu sibuk merancang konsert berkenaan Awie kini sedang giat menjalani latihan untuk pementasan teater Supermokh yang bakal mengangkat kisah kehidupan legenda bola sepak Asia, Datuk Mokhtar Dahari yang bakal dipentaskan di Istana Budaya November depan. Jelas Awie, dia sangat berbesar hati apabila dipelawa oleh pihak penerbit iaitu Hans Isaac bagi menggalas tanggungjawab itu dan menganggap kepercayaan yang diberikan sebagai penghargaan buatnya. "Allahyarham adalah seorang bintang yang cukup besar dan dihormati oleh peminatnya dan amanah ini cukup berat untuk saya tetapi ia satu cabaran dan penghargaan buat saya," jelasnya. Tambah Awie, bagi menjayakan watak itu juga dia berusaha mengurangkan berat badan selain menyimpan misai.

Awie-Erra tiada sembilu

MENGURAI simpulan emosi yang berbaki dalam hati Awie dan Erra Fazira merupakan satu misi yang menggetarkan mata pena. Ibarat menyelak buku lama, terkasar sedikit pasti helaian usang terkoyak. Bersarang juga kebimbangan, mampukah akal menguasai pertimbangan perasaan. Itu sekadar bayangan awal. Tatkala mendekati pasangan dua sejoli yang telah lama bercerai kasih itu, segala tanggapan yang liar tadi meleset tanpa sipi. Apa yang terlihat jelas, ada bunga-bunga kemesraan berkuntum daripada patah bicara mereka. "Siapa yang menyebabkan awak terjebak dengan dunia permotoran ini," tebak Awie dalam satu temu ramah bersama wanita yang digelar primadona filem Melayu itu. Jawab Erra: "Ala, saya ada ramai kawan lelaki lagi pun bekas saya dahulu pun (bekas teman lelaki), mat motor" Segmen dalam program Tunggu Sekejap kendalian Awie yang mengundang Erra sebagai salah seorang tetamu di studio itu memecahkan hilai semua penonton. Situasi itu cukup sebagai pengenalan kepada penyatuan semula 'AwieErra' dalam satu dimensi yang cukup manis. Bukan itu sahaja, mereka juga melakonkan semula sebuah adegan romantik yang dipetik daripada filem Sembilu. "Mula-mula hendak melangkah masuk menjadi tetamu Awie, perasaan gemuruh dan berdebar itu memang terasa. Saya terfikir anggapan orang luar terhadap kami. Anggapan itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Sebelum ini, saya dan Awie sendiri pernah bekerjasama dalam filem Cuci. Akhirnya, ini satu kolaborasi yang menyeronokkan," lentur Erra sekali gus melerai sedikit gusar pada temuramah yang eksklusif itu. Selepas Cuci ditayangkan pada tahun 2008, inilah buat pertama kali dalam lima tahun kebelakangan ini, pasangan yang pernah memutuskan pertunangan pada hujung tahun 1998 itu diganding semula dalam sebuah program hiburan. "Tipulah kalau tiada perasaan gementar. Penonton yang datang juga beri impak yang berlainan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa. Tapi bila sudah lebih 30 minit rakaman, barulah okey. Apa yang dijangkakan oleh penonton? Lain jadinya. Kami hanya bekerja dan harus bertindak secara profesional," Awie pula melenturkan perasaannya. Vokalis grup Wings itu menjelaskan, ura-ura untuk membawa masuk Erra bertamu ke ruang kerjanya sudah lama dibincangkan pihak produksi. "Hal ini tidak menjadi satu masalah buat saya, seperti kata Erra, kami memang sudah pernah bekerjasama dalam Cuci. Orang luar sahaja merasa pelik bagaimana kami boleh bekerjasama. Sedangkan tidak pelik pun," sambung hero filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit itu selamba. Erra, Awie saling memuji Sudah adat menjadi anak seni yang berkongsi gelanggang, bersilat ke kiri atau ke kanan, mereka pasti mendengar sorak yang sama. Mata penonton juga sering mahu melihat apa yang sudah lama mereka tidak saksikan. Mencari simpulan kepada kisah cinta tak kesampaian antara hero dan heroin bernama Erra dan Awie, terserlah sebuah pernyataan yang selama ini jarang ditanya. Di sebalik takdir yang tidak mengizinkan mereka bersatu, rupa-rupanya tidak memutuskan Erra dan Awie untuk saling mengagumi antara satu sama lain. "Selepas filem Sembilu, Erra buat Janji Diana dan macam-macam lagi. Jika tidak tonton pun, saya boleh tahu daripada surat khabar. Sejujurnya, saya bangga dengan kesinambungan kariernya yang tidak putus-putus. "Saya juga mengembangkan karier dan syukurlah kami masih diberi peluang. Bagi saya, apa yang berlalu biarlah berlalu. Kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Ini terbaik untuk kami. Masing-masing sudah berkeluarga, ada karier dan kehidupan sendiri. Benda sudah baik dan tak perlu lagi hendak keruhkan keadaan. Jika ada lagi peluang untuk bekerjasama, saya okey," jelas Awie yang harus membayar 'hutang' atas penglibatan Erra ke dalam programnya kali ini. "Haruslah, kalau dia tak mahu terima undangan saya ke Primadona, kira kami bermusuh semula," sampuk Erra secara berseloroh. Tambah Awie: "Saya kagum dengan keseriusan dan kejujuran dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan Erra selama ini sehingga dia berjaya dapat pengiktirafan sebagai pelakon terbaik." Tunduk sambil pandangannya dilabuhkan ke lantai tanpa menunjukkan reaksi bagaimana yang harus diberikan atas pujian Awie, Erra kemudian diminta mengulas topik yang sama. "Satu perkara yang tidak berubah tentang Awie, dia tetap rockstar dari dahulu sampai sekarang. Dahulu dia penyanyi dan pelakon tapi sekarang lakonannya sudah pelbagai. Dahulu kalau bukan filem romantik, mesti filem aksi tapi sekarang dia sudah boleh buat komedi dan jadi lebih versatil. Sekarang, kehidupan dan kekeluargaannya berjalan seiring. Sebagai kenalan lama Awie, saya bangga dengannya," ungkap Erra sarat kejujuran dan melihat Awie tidak luput ditelan zaman. Kenangan Awie dan Erra sebagai hero dan heroin filem Melayu masih terpahat kemas di hati ramai. Tidak mustahil, jika ada peluang dan ketentuan dipertemukan semula secara profesional, mereka tidak menolak. Ujar Erra tentang kemungkinan kolaborasi ini terjalin, primadona anak satu itu menjawab: "Ini merupakan titik mula untuk memberitahu khalayak bahawa kami tidak ada masalah." Tambah Awie: "Ya, selama ini pandangan orang ramai yang membuatkan kami susah dekat. Benda sudah lepas, jangan jadikan tembok untuk tidak bertegur sapa. Perkara yang lepas itu, lepaslah." Tidak mustahil peminat akan melihat kerjasama lebih hebat membabitkan dua nama besar ini dalam naskhah tempatan. Apa yang pasti, banyak mata yang mahu melihat kerana keserasian mereka sebagai anak seni tidak pernah ditolak zaman dan rasa.

Awie Dapat Izin Isteri Temui Erra Fazira

PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Ruzana Misbun memberi keizinan kepada suaminya untuk bekerjasama dengan bekas kekasihnya, Erra Fazira, menerusi rakaman program bual bicara Tunggu Sekejap di TV3. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, selepas mendapat tahu pihak produksi program yang dikendalikannya itu menjemput Erra sebagai tetamu undangan, dia terus memberitahu perkara tersebut kepada isterinya agar tidak berlaku salah faham. "Sebenarnya isteri saya tidak mempunyai masalah tentang gandingan ini. Apa yang telah berlaku dahulu sudah menjadi sejarah dan sekarang kami mempunyai kehidupan keluarga masing-masing. "Dia (isteri) juga sangat sporting. Malah dia merupakan peminat Erra dalam program bual bicara Primadona (Astro)," katanya yang dihubungi mStar Online petang Jumaat. Awie yang merupakan hos Tunggu Sekejap dan Erra telah digandingkan bagi menjayakan rakaman rancangan itu musim kedua yang berlangsung di studio ntv7, Glenmarie Shah Alam, Khamis lalu. Penyanyi itu menemu bual Erra selama sejam dan ini merupakan kerjasama pertama mereka selepas berlakon bersama menerusi filem Cuci pada tahun 2008. Sebelum ini, Awie dan Erra pernah bertunang pada tahun 1997 selepas bercinta selama empat tahun, namun perhubungan itu putus pada tahun 1998. Tambah Awie, dia sebenarnya tidak senang apabila isu gandingan mereka diperbesarkan kerana kerjasama itu lebih bersifat profesional. "Perlu diingat apabila bekerja di bawah satu industri yang sama, pergilah ke mana sekalipun kita pasti akan berjumpa. "Sebenarnya saya tak suka komen tentang hal ini, kami tidak ada masalah apa-apa pun. Cumanya... masalah akan timbul jika ada orang yang tidak senang dengan kami," ujarnya. Dalam pada itu, Awie berkata, dia turut merancang untuk mengambil Erra sebagai pelakon utama dalam filem yang bakal diterbitkan di bawah syarikat miliknya iaitu Awie Entertainment tidak lama lagi. Selain itu Awie juga merancang untuk menganjurkan sebuah konsert trio yang menggandingkan dia, Erra dan Ziana Zain, bagi mengingati filem Sembilu lakonan mereka yang pernah menjadi fenomena sebelum ini. "Jika masa mengizinkan, konsert ini bakal berlangsung pada tahun ini, tetapi semuanya masih lagi dalam perancangan. "Saya percaya konsert ini pasti memberi kenangan pada zaman filem Sembilu yang pernah menjadi fenomena pada tahun 1994," katanya yang baharu menamatkan penggambaran filem Zombie Kilang Biskut.

Awie Jaga Suara Kerana Fobia 2 Kali Pembedahan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Awie kini lebih berhati-hati dalam aspek penjagaan vokal selepas dua kali menjalani pembedahan akibat kerosakan peti suara. Pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, kesengsaraan yang ditanggung ekoran pembedahan pada 1994 dan 2007 itu membuatkan dia fobia sehingga hari ini. “Kalau boleh saya tidak mahu (pembedahan) untuk kali ketiga. Cukuplah dua kali. Saya jadi takut kerana ia memang menyakitkan. “Sebab itu saya kena selalu beringat sebelum peti suara rosak lagi,” luahnya ketika ditemui mStar Online di sini, baru-baru ini. Vokalis kumpulan rock Wings ini berkata, dia menitikberatkan pengambilan makanan dan minuman serta senaman tekak yang berterusan bagi memelihara peti suaranya. “Makan dan minum memang kena jaga terutamanya saya elakkan makanan berminyak dan pedas yang keterlaluan. “Selain itu, saya kena selalu praktis untuk kuatkan vokal dalam peti suara dari masa ke semasa,” ceritanya yang bakal mengadakan konsert Wings Rockestra bersama kumpulannya pada 26 hingga 30 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini. Konsert selama dua jam setengah itu bakal menyaksikan Wings menyampaikan 20 lagu dengan diiringi 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK). Ditanya mengenai persediaan pada aspek vokal, Awie berkata, latihan yang berterusan akan menguatkan peti suaranya untuk beraksi kelak. “Sebenarnya takut juga untuk adakan konsert di sini (IB). Jangkaan orang tinggi pada kami jadi persiapan juga perlu menepati jangkaan. “Yang penting, kena jaga kesihatan dan buat latihan vokal yang berterusan bagi menguatkan peti suara,” tuturnya. Dalam pada itu, Awie berkata, proses memasukkan vokal untuk album terbaharu Wings berjudul Menakluk Kosmos masih tertangguh ekoran kesibukan jadual lakonannya sebelum ini. “Saya baharu sempat masukkan vokal untuk satu lagu sahaja daripada 11 trek dalam album itu. “Saya hargai tolak ansur dan sikap memahami Joe, Eddie dan Black kerana kesibukan jadual kerja saya yang lain. “Lagi pun, rakaman vokal ini sering tertangguh kerana selepas 11 tahun tidak rakam album rock, susah untuk cari ‘mood’ itu,” jelasnya dalam berseloroh.

Awie Bakal Buka Tiga Lagi Kelab Malam

PETALING JAYA: Ketika tindakan penyanyi dan pelakon Awie membuka kelab malam di Ipoh, Perak dipertikaikan segelintir pihak, vokalis kumpulan Wings itu sebenarnya sudah merancang untuk memperluaskan lagi perniagaannya dengan membuka tiga lagi cawangan baharu. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, dia tidak akan mengendahkan kritikan orang sebaliknya mahu mengembangkan kelab malam berkenaan yang dikenali sebagai Malai Rock Station Bistro masing-masing di Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan, Pahang tidak lama lagi. “Jangan melihat perniagaan kelab itu daripada pandangan yang cetek. Ia adalah sebuah perniagaan dan saya telah melabur ratusan ribu untuknya. “Malah saya juga merancang untuk kembangkan lagi perniagaan itu pada tahun ini selepas mendapat respons baik daripada pengunjung di Ipoh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu. Awie berkata demikian sebagai mengulas laporan beberapa portal susulan perasaan tidak puas hatinya dengan pihak media yang bertanyakan perkara tersebut semasa malam gala filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dekat sini malam Selasa lalu. Awie menegaskan, masyarakat seharusnya berfikiran terbuka dan tidak mudah menjatuhkan hukum hanya kerana dia berstatus selebriti. “Saya bergiat dalam bidang hiburan dan tidak tahu cabang perniagaan lain melainkan cabang ini sahaja (membuka kelab malam). Takkan saya hendak jual nasi lemak yang saya tidak tahu caranya? “Jadi apa salahnya saya jalankan perniagaan berasaskan hiburan? Jangan persoalkan mengenai hukum hakam hanya kerana saya seorang artis?” jelasnya dalam nada kesal.
Tambahnya, perniagaan pusat hiburan bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah ramai ahli perniagaan Melayu lain turut menjalankan perniagaan berasaskan hiburan seperti itu. “Teruk sangat ke buka kelab malam? Apabila saya yang buka, semua mempertikaikan saya? Sedangkan benda ini bukannya baharu. “Di luar sana, lebih ramai orang Melayu yang berniaga kelab, hotel dan pusat hiburan lain tetapi kenapa tidak dipertikaikan? “Saya hanya berniaga bagi meneruskan kelangsungan hidup dan mencari rezeki untuk diri dan keluarga, apakah itu salah?” soalnya yang berharap isu ini tidak diperbesarkan lagi. Sementara itu, mengenai watak Husin dalam filem sekuel kepada Hantu Kak Limah Balik Rumah yang dilakonkannya itu Awie berkata, komitmen pada kali ini adalah lebih mencabar kerana dia perlu menterjemahkan Husin yang berada dalam kedukaan selepas diisytiharkan muflis. “Penceritaan filem kali ini lebih bersahaja tetapi berat. Watak Husin tidak jauh berbeza berbanding filem pertama Hantu Kak Limah Balik Rumah sebelum ini. “Cuma pada kali ini dia kurang ceria kerana berada dalam keadaan murung dan bersedih selepas diisytiharkan muflis,” katanya yang baharu menamatkan penggambaran filem Zombie Kilang Biskut.

Awie nafi bertumbuk lagi

SELAIN kerana vokal kental dan tubuh maskulinnya yang menghambat pandangan, vokalis Wings dengan nama komersial Awie ini sering dikaitkan dengan cerita gaduh. Mungkin kerana sosoknya yang sebegitu, wajahnya yang kadangkala tampak garang, maka Awie terusan dilontarkan dengan persepsi kaki gaduh atau gangster. Hilang seketika perwatakan yang disenangi, lucu berlawak dan mesra dengan peminat dan semua pihak tatkala cerita kelahinya sampai di pendengaran umum. Baru-baru ini timbul lagi cerita kononnya Awie bergaduh dan bertumbuk lagi di Pulau Langkawi, Kedah. Berita ini bukan kali pertama kerana cerita yang sama sudah sampai di pengetahuan umum pada bulan November tahun lalu. Awie dengan tegas menafikan berita ini. Di samping isteri tercintanya Rozana yang menemani ketika temuramah, sang isteri juga menyatakan dia tahu selok-belok dan jadual Awie. Tampak kesal dengan berita angin ini, Awie menjelaskan suasana yang berlaku dalam dirinya kini. Baru-baru ini dapat berita yang Awie bergaduh lagi di Langkawi. Sejauh mana kebenaran cerita ini? AWIE: Saya sekarang ni tak keluar kecuali mengadakan persembahan di Kelantan dan Ipoh. Pulau Langkawi sudah lama saya tidak jejak kerana tiada kesempatan. Malah anggota Wings yang lain ada mengajak saya ke sana tetapi saya tolak kerana sibuk. Tapi bagaimana cerita sebegini boleh tersebar? Saya kurang pasti kenapa orang masih nak kaitkan saya dengan cerita ini. Baru-baru ini di Ipoh, orang kata saya jual dadah, senjata api dan terlibat dengan pelacuran serta gangster. Bagaimana cerita tersebut juga timbul? Saya memang membuka sebuah kelab di Ipoh. Ini bidang saya iaitu hiburan dan kami ada live band di kelab tersebut. Kelab dengan nama Malai Rock Station (MRS) ini sudah tiga bulan dibuka. Sejak itu orang mula menfitnah dan menipu saya. Persepi manusia memang begitu dari zaman 80an, kalau rock sahaja mesti jual dadah. Jadi apa tindakan Awie? Saya buat tidak tahu. Malah ada orang kata saya kini dalam pemerhatian. Pada saya, ini rezeki dan kerja saya. Hak manusialah mahu bercakap dan saya tidak boleh hentikan. Saya bersyukur orang masih mengingati saya dengan cara baik dan buruk. Maksudnya saya masih hero. Walaupun banyak difitnah dan ditipu, nampaknya rezeki Awie sekarang makin murah dengan pengacaraan program Tunggu Sekejap dan juri untuk Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012). Syukur tetapi mesti ada orang cakap saya tamak. Kenapa saya jadi pengacara? Kerana saya mahu membuat eksplorasi dalam bidang lain. Isteri saya juga memberi dorongan buat saya. Untuk jadi pengacara, kita perlu ada ilmu. Bagaimana pula dengan pengalaman mengacarakan MLM 2012? Dahulu, Boboi ajak saya sertai mereka tapi saya tolak sebab sibuk dengan penggambaran. Saya juga ditawarkan jadi juri tapi saya tolak kerana pementasan Teater Lat The Musical. Kini tawaran datang lagi dan saya terima. Jujurnya. saya tidak suka untuk komen sebab takut orang terasa. Jadi saya bagi komen yang selamat dan dapat membina semangat. Daripada kacamata Awie, bagaimana mutu MLM 2012? Secara peribadi, mutu agak kurang. Asyik-asyik nama tiga kumpulan yang sama berada di tangga atas. Tapi mungkin kerana awal lagi. Bagaimana pula dengan lakonan? Saya akan mula dengan penggambaran Zombie Kilang Biskut. Ada beberapa filem saya yang belum ditayangkan seperti Husin, Moon dan Jin Toncit, Frankenstein, Bikers Kental dan Rentaz. InsyaAllah, bulan Februari nanti saya akan membuat penggambaran filem Gangster Superstar arahan Khabir Bhatia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails