Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Rozana Isteri Awie. Show all posts
Showing posts with label Rozana Isteri Awie. Show all posts

"Saya 'Larikan' Anak Darah Daging Sendiri" - Rozana Misbun

Isteri Awie iaitu Rozana Misbun, menempelak suaminya sambil menyifatkan penyanyi rock itu mahu mencari publisiti murah dengan membangkitkan pula isu yang tidak relevan iaitu soal melarikan anak. Rozana, 36, dalam satu mesej panjang lebar kepada mStar Online pada Jumaat berkata, dua anak yang dikatakan itu, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, berada dalam keadaan sihat, selamat dan bahagia bersamanya. “Saya tiada sebarang motif lain selainkan ingin bersama anak-anak sebaliknya saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai ibu kandung untuk membesarkan mereka yang masih kecil dengan penuh kasih sayang dan perhatian,” katanya. Rozana berkata demikian sebagai respons kepada tuduhan Awie seperti dilaporkan media pada Jumaat kononnya dia telah melarikan dua anaknya itu di sekolah tanpa memaklumkan kepada penyanyi itu terlebih dahulu. Seorang lagi anak hasil perkahwinan Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, masih berada bersama penyanyi tersebut. Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberikan hak penjagaan sementara kepada Rozana tiga orang anaknya itu sehingga perintah kekal di keluarkan. Dengan perintah itu, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 47, selaku responden hanya diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Ikuti komen Rozana berhubung tuduhan terbaharu Awie terhadapnya.
Apa yang boleh Rozana katakan terhadap tuduhan Awie kononnya Rozana melarikan anak-anak? Istilah 'larikan anak' tu macam tak kena sebab Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha adalah anak kandung saya. Saya tak larikan anak orang lain tapi anak daripada darah daging saya sendiri! Lagipun perintah makhamah bertarikh 27 Januari 2015 secara sah dan nyata telah memberi hak penjagaan anak-anak kepada saya sehingga hak penjagaan kekal diputuskan kelak. Awie berkata, kenapa Rozana tidak maklumkan kepadanya untuk mengambil anak-anak? Nak maklumkan macam mana lagi sebab setiap kali saya beritahunya untuk ambil anak pada sekian-sekian masa di rumahnya di Ukay Bistari (Ampang, Selangor) secepat kilat anak-anak saya disembunyikan dan dilarikan ke tempat lain. Baru-baru ini dia bawa anak-anak sembunyi di rumah kakaknya di Rawang. Cubaan saya untuk berjumpa anak-anak walaupun saya diberikan hak telah dibuat secara berhemah beberapa kali. Disebabkan ikhtiar saya itu terus-menerus gagal, maknanya saya terpaksa membuat keputusan untuk mengambil anak-anak di sekolah. Awie mendakwa terdapat anggota polis bersenjata ke sekolah ketika Rozana mahu ‘melarikan’ anak-anak? Saya harap Awie berhentilah berhalusinasi dan tahu membezakan antara fantasi dan realiti. Soal polis berpakaian preman, bersenjata semua tu, ia tidak wujud sama sekali. Apakah motif Awie menuduh sedemikian? Saya faham Awie perlukan publisiti bagi melariskan konsertnya. Tapi tolonglah jangan heret saya dan anak-anak dalam kancah itu. Saya tak perlukan publisiti murahan macam ini untuk meraih perhatian sebab saya hanyalah seorang ibu yang hanya memperjuangkan hak untuk anak-anak yang cuba dinafikan oleh Awie.
Ada dakwaan, Rozana halang Awie berjumpa anak-anak? Siapa kata saya tak bagi Awie jenguk anak-anak? Dia boleh saja berbuat demikian pada waktu dan tempoh masa seperti yang tertera dalam perintah mahkamah. Kalau dia nak menghubungi saya menerusi telefon untuk berbual dengan Rezzki dan Qasseh pun, tak jadi masalah. Saya akan benarkan. Adakah Rozana mahu uruskan pertukaran sekolah anak-anak? Apabila mahkamah syariah memutuskan bahawa sijil nikah kami palsu, maka secara automatik, sijil kelahiran atau surat beranak anak-anak menjadi tidak sah dari sudut undang-undang kerana sijil nikah itulah yang tertera pada sijil kelahiran anak-anak. Urusan pertukaran sekolah memang saya sedang usahakan namun ia tertangguh kerana melibatkan banyak pihak termasuklah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Bagi saya tak perlulah hantar anak ke sekolah swasta yang mahal yurannya. Tun Mahathir dulu pun bersekolah di sekolah kerajaan saja tapi tengoklah kejayaannya sebagai pemimpin dikagumi dunia. Bagaimana hubungan anak-anak sejak bersama Rozana? Anak-anak sekarang dengan saya dah macam kembar siam. Tak boleh berenggang langsung. Qasseh siap bagi isyarat pada saya, bila dia bangun dari tidur, celik mata setiap pagi, dia mahu saya ada di sisi dia. Kalau tidak dia akan menangis dan merajuk sepanjang hari.

Rozana Terbuka Hati Mahu Berdamai Dengan Awie

Setelah lebih setengah tahun kemelut rumah tangga penyanyi Awie dan Rozana Misbun tercetus, isteri penyanyi itu akhirnya terbuka hati dan bersedia untuk berbincang dalam menyelesaikan masalah mereka. Rozana, 36, berkata, demi kebahagiaan tiga orang anak yang sedang membesar, adalah wajar mereka suami-isteir mencari penyelesaian supaya masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. “Kalau betul saya gagal memberikan kebahagiaan yang Awie cari selama ni, lepaskanlah saya dengan cara baik. Tapi demi kebajikan anak-anak, saya bersedia untuk berbaik dengannya dan duduk berbincang. Kita jadi kawan. “Kalau benar Awie dah hilang rasa hormat pada saya sebagai manusia dan isteri, hormatilah saya sebagai ibu yang bersengkang nyawa untuk melahirkan anak-anaknya. Itu saja yang saya minta,” ujar Rozana kepada mStar Online dalam satu kiriman e-mel pada Khamis. Rozana berkata demikian ketika diminta komen selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Selasa lalu memutuskan hak penjagaan sementara tiga anak mereka diserahkan kepada Rozana. Berikutan itu Awie atau Ahamd Azhar Othman, 46, yang sebelum ini memperoleh hak berkenaan terpaksa menyerahkan anak-anak mereka kepada isterinya itu. Awie selaku responden diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. Anak-anak berkeanan ialah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Awie juga menghadapi kes mendatangkan kecederaan terhadap Rozana yang dibicarakan di Mahkamah Majisteret, Ampang Selangor.
Dalam pada itu kata Rozana, mungkin ada pihak menganggap dia kejam kerana perintah itu secara tidak langsung mengehadkan pertemuan Awie dan anak-anak tetapi sekurang-kuramna Awie akan dapat merasai bagaimanakah deritanya seseorang ibu apabila tidak berjumpa anak-anaknya. Ini kerana sewaktu Awie memperoleh perintah tersebut secara ex-parte sebelum ini, Rozana terpaksa menghormati injunksi berkenaan selama tujuh bulan apabila tidak dapat bertemu anak-anaknya. “Kalau Saya boleh menerima dengan reda dan patuh kepada perintah injunksi selama 7 bulan itu, saya harap Awie juga boleh menerimanya dengan lapang dada. Sekurang-kurangnya Awie dapat merasai bagaimana deritanya saya dalam tempoh terpisah dengan anak-anak,” ujarnya. Dalam pada itu mStar Online cuba mendapatkan penjelasan Rozana mengenai beberapa perkara penting yang pernah dibangkitkan Awie sebelum ini selain perancangan terhadap anak-anaknya selepas memperoleh hak penjagaan sementara itu. Baca penjelasan Rozana: Boleh Rozana komen mengenai kemelut dan rintangan terhadap kisah rumah tangga Rozana dengan Awie? Setelah pelbagai dugaan dan rintangan yang saya hadapi sejak tujuh bulan kebelakangan ini, Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya bina kekuatan diri. Saya tak mahu berdendam sebab saya tahu kalau saya menyimpan perasaan yang macam tu, saya sendiri yang makan hati dan merana sendiri nanti. Jadi saya belajar untuk move on dan berkat sokongan keluarga, Insya-Allah saya akan teruskan hidup dengan semangat baru. Siapalah saya untuk bagi nasihat pada Awie? Tapi dalam klausa (4) perintah makhamah, ada ditulis secara terang dan nyata bahawa Awie ditegah sama sekali dari mengaibkan saya melalui media elektronik, Internet dan cetak. Kalau dia berdegil juga, maknanya dia menghina makhamah dan biarlah mahkamah saja yang tentukan hukumannya. Pelbagai tuduhan Awie lemparkam melalui peguamnya di mahkamah seblum ini termasuk tuduhan Rozana mengamalkan perkara ditegah agama Islam. Apakah yang dapat Rozana simpulkan? Siapa yang tak malu apabila suami sendiri tuduh saya macam-macam sedangkan saya ni isteri dia? Memang jatuh air muka saya dan ada masa-masanya saya malu sangat untuk berdepan dengan masyarakat. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa saya selalu pakai kaca mata hitam apabila hadir ke makhamah. Tapi itulah saja caranya untuk saya 'sembunyikan' diri saya yang malu untuk berdepan dengan wartawan dan juga mata yang memandang. Kalau boleh bila saya keluar rumah, saya tak mahu orang ramai kenal saya sebab saya sedar, banyak berita yang negatif berbanding positif tentang saya yang diperkatakan orang. Tapi saya kena tabah. Takkan nak berkurung saja dalam rumah? Apa penjelasan Rozana apabila Awie pernah mendakwa Rozana curang dengan lelaki lain? Macam manalah saya nak curang? Saya ni, sepanjang sembilan tahun berkahwin, hidup mati saya hanya untuk Awie dan keluarga. Sejak Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha mula bersekolah, celik mata aje, sayalah yang mandikan, sediakan sarapan dan siapkan pakaian mereka semua sebelum menghantar mereka sendiri ke sekolah. Tengah hari pulak saya sibuk di dapur untuk siapkan makan tengah hari untuk keluarga sebelum sebelah petangnya pula, jemput anak-anak di sekolah. Sebelah malamnya pula, saya pastikan mereka mengaji dan 'monitor' buat kerja sekolah. Pukul 9 malam, semua dah kena tidur sebab saya tak mahu mereka liat bangun pagi esoknya untuk ke sekolah. Saya tak tahu ruang manakah untuk saya berpeleseran dengan lelaki lain? Lagipun, dengan imej Awie sebagai “ayahanda”, ada ke lelaki yang berani nak kacau isterinya ini? Mestilah ada ‘mata-matanya' akan segera memberitahu “ayahanda” Awie kalau betul mereka nampak saya berpoya-poya di luar. Tuduhan Rozana mengabaikan anak? Macam mana saya ni boleh dituduh tak jaga anak? Sedangkan dalam seminggu, ada masa-masanya, beberapa hari saja Awie di rumah terutama sekali kalau dia terlibat dengan penggambaran filem atau konsert di luar KL (Kuala Lumpur). Tapi saya faham kesibukannya itu dan tak pernah mengeluh. Apa perancagan Rozana selepas mendapat hak penjagaan sementara anak ini? Saya nekad untuk bawa anak-anak tinggal dengan Saya. Anak-anak yang sedang membesar perlukan disiplin. Masa saya jumpa anak sulung saya, Merrah di sekolah hari tu, dia nampak macam tak cukup tidur. Saya rasa dia orang bebas berjaga sampai tengah malam main video game. Dengan saya dulu, mereka tak boleh suka-suka hati buat macam tu. Saya memang pantau aktiviti anak-anak.

Rindu Rozana Terhadap Anak Sehingga Hadir Dalam Mimpi

Kerinduan isteri kepada Awie iaitu Rozana Misbun terhadap anak-anak yang kini di bawah jagaan aktor itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehingga dia terbawa-bawa dalam mimpi. Rozana, 36, berkata, sejak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberi hak jagaan sementara kepada Awie iaitu pada 22 Julai lalu, dia tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan anak-anaknya. "Hampir lima bulan saya menderita kerana terlalu rindukan anak-anak. Saya cuba hubungi mereka, tetapi nombor seperti tidak digunakan lagi. Sehinggakan hampir setiap hari saya mimpi berjumpa dengan mereka," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu. Awie dan Rozana dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Bagaimanapun tambah Rozana, dia percaya satu hari nanti, mimpi tersebut benar-benar menjadi kenyataan kerana dia yakin berada di pihak yang benar. Dalam pada itu, bagi meredakan hatinya, Rozana mengambil pendekatan untuk membaca pelbagai buku selain menjaga dua anak buahnya agar kerinduan dan rasa sedih itu terubat. "Sehingga kini, saya hanya mampu berdoa kepada Allah dan berharap kebenaran akan ditunjukkan jua. Harap-harap dapat berjumpa dengan mereka segera. Tetapi sama ada mereka sayangkan saya lagi atau tidak, saya tidak mahu fikir. Saya serahkan perkara itu kepada Allah," ujarnya.
Mahkamah Tinggi Syariah pada Rabu mengarahkan Rozana mengemukakan akuan bersumpah sebagai bukti berhubung dakwaannya mengatakan perkahwinannya dengan Awie tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP). Dakwaan perkahwinan itu tidak pernah didaftarkan muncul selepas Rozana meragui permohonan Awie yang turut melampirkan bersama surat nikah mereka ketika mengemukakan permohonan hak jagaaan anak (hadanah) secara ex-parte kepada mahkamah sebelum ini. Sementara itu, kakak kepada Rozana iaitu pelakon Haliza Misbun berkata, dia tidak sangka adiknya yang sebelum ini begitu manja dengan keluarga mempunyai kekuatan dalam mengharungi dugaan tersebut. "Dulu ingatkan, saya seorang wanita yang berdikari dan kuat untuk menempuh apa jua rintangan. Tetapi ternyata saya salah apabila melihatkan situasi yang ditempuh Rozana. "Jika saya berada ditempatnya, tidak tahulah sama ada saya mampu mengharunginya atau tidak. Bayangkan sejak anak-anaknya lahir, dia tidak pernah pun berenggang dengan mereka dan tiba-tiba perkara ini pula terjadi. Saya harap dia mengharunginya dengan tabah," tutur Haliza. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Mahkamah Arah Rozana Misbun Bayar RM500 Kepada Awie

Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan isteri penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun supaya membayar kos mahkamah sebanyak RM500 kepada suaminya itu ekoran gagal hadir pada sebutan kes hak penjagaan anak kekal (hadanah) terhadap tiga anak mereka pada Rabu. Rozana, 36, hanya muncul pada sebutan kes tersebut kira-kira 20 minit selepas sidang bermula ditemani peguamnya Majdah Muda. Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain bagaimanapun mengekalkan kos berkenaan terhadap Rozana selaku defendan dan meminta agar perkara itu dirujuk kepada kaunter mahkamah sekiranya ingin membuat rayuan. Peguam Syarie, Majdah pada prosiding berkenaan turut menyerahkan secara kendiri di hadapan Mohd Amran afidavit pembelaan untuk permohonan hadanah yang difailkan oleh Awie sebelum ini. Bagaimanapun peguam syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memohon kepada mahkamah agar mendengar terlebih dahulu bantahan awal untuk mengenetepikan perintah interim (penjagaan sementara) yang difailkan Rozana sebelum mendengar kes-kes lain.
Mahkamah membenarkan permohonan Mohd Zaid dan mengekalkan tarikh 17 September ini bagi mendengar hujahan bantahan awal itu. Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Rozana Dedah Awie (Wings) Tidak Pernah Daftar Nikah Sejak Kahwin

Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun hanya menyedari perkahwinannya selama ini yang telah mencecah lapan tahun tidak pernah didaftarkan di negara ini selepas dia merujuk masalah rumah tangganya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kira-kira dua bulan lalu. Rozana, 36, berkata, suaminya pernah memberitahu kepadanya sebelum ini perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 telah didaftarkan dan dia terkejut apabila diberitahu tiada sebarang rekod perkahwinan mereka berhubung perkara itu. "Selepas tragedi 2 Jun lalu saya pergi ke Jawi dengan niat untuk mendapatkan khidmat kaunseling berhubung masalah rumah tangga kami dan apabila mereka semak surat perkahwinan kami di setiap negeri, ia tiada dalam rekod. "Pada ketika itulah baharu saya mengetahui perkahwinan kami masih belum didaftarkan sepanjang sembilan tahun berkahwin," katanya kepada mStar Online. Rozana ditemui pada satu sidang media khas yang diadakan di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat. Dia turut ditemani oleh dua peguamnya iaitu Majdah Muda dan Rubiah Jaffar. Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Dalam pada itu Rozana berkata, sejak kejadian tersebut Awie tidak pernah menghubunginya untuk bercakap mengenai soal perkahwinan atau perceraian sebaliknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak mereka. Jelas Rozana, dia keliru dengan tindakan suaminya itu sedangkan status perkahwinan mereka tidak dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan. "Kami belum pun bercerai dan dia sudah sibuk dengan soal hak penjagaan anak-anak kami sedangkan status perkahwinan pun belum disahkan dan didaftarkan di Malaysia. "Saya sendiri tidak merebut anak-anak dengan dia tetapi dia yang membuat permohonan malah aduan yang saya lakukan sebelum ini langsung tidak melibatkan mahkamah syariah," jelasnya. Sementara itu, Rozana berkata, dia akan mempertahankan haknya sebagai seorang ibu terhadap tiga anak-anaknya yang kini di bawah jagaan sementara suaminya. Jelas Rozana, demi kembali bersatu dengan anak-anaknya dia tidak akan berdiam diri dan akan memastikan haknya sebagai seorang isteri dan ibu terbela di mahkamah.
Rozana tenang menjawab soalan daripada wartawan. "Saya akui sebelum ini saya takut dan trauma dengan dia tetapi kini tidak lagi kerana saya akan melawan kembali untuk mendapatkan hak saya selepas dua bulan tidak bertemu dengan anak-anak. Mengulas mengenai pelbagai cerita kurang enak yang disebarkan tentang dirinya, Rozana berkata, dia tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa sahaja yang ingin bercakap mengenainya kerana hanya dia dan keluarga sahaja yang tahu keadaan sebenar. "Tidak mengapa jika ada pihak yang ingin memburuk-burukkan saya dan kalau hendak balas setiap tuduhan itu memang susah dan Awie sendiri tahu bagaimana hubungan saya dengan anak-anak dan saya sememangnya tidak pernah meninggalkan mereka. "Apa yang boleh saya katakan sekiranya seseorang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar lebih baik jangan beri pendapat atau komen kerana hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu cerita sebenar," jelasnya. Dalam perkembangan lain, peguam syarie Rozana, Majdah Muda, berkata, pihaknya akan menfailkan jawapan permohonan bantahan awal bagi mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara yang difailkan oleh Awie 21 Julai lalu. Jelas Majdah, pada 17 September baharulah mahkamah akan meminta kedua-dua belah pihak memberi hujahan dan kemudiannya membuat keputusan terhadap perkara itu. Awie turut mengemukakan bantahan terhadap permohonan Rozana untuk membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) olehnya pada 16 Julai lalu untuk menghalang wanita itu daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun. Pada 22 Julai lalu Awie berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Awie turut mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Trauma Isteri Awie, Rozana Rindu Tatap Anak

Air mata wanita ini menitis satu persatu tatkala bercerita peristiwa sedihnya termasuklah kegagalan berjumpa anak-anak. Rozana Misbun, 36, juga tidak dapat menahan sebak kerana usaha untuk berjumpa anak kandung sendiri dihalang oleh suami, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 46. “Ina rindukan anak-anak Ina… Sudah sebulan Ina tak jumpa mereka. Panggilan telefon juga tak dijawab,” jelas Rozana yang membahasakan dirinya Ina tatkala membuka bicara. Dalam satu pertemuan eksklusif dengan mStar Online di Bangsar pada malam Isnin lalu, jelas terbayang pada wajah wanita ini akan trauma kehidupan rumah tangganya bersama Awie. Namun, dia masih mampu untuk menyembunyikan kisah sebenar alam rumah tangganya malah turut mengelak untuk berkongsi rentetan peristiwa hitam, insiden dia dikatakan dibelasah suami sendiri. “Usahlah sentuh kisah Ina dipukul kerana ia sudah melibatkan pihak mahkamah. Cuma Ina ingin kongsi kisah sedih mengenai hati seorang ibu…” pintanya. Terdahulu Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails