Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Azean Irdawaty. Show all posts
Showing posts with label Azean Irdawaty. Show all posts

Sakit Tidak Halang Azean Irdawaty Jaga Imej

PETALING JAYA: Walaupun terpaksa melalui penderitaan akibat penyakit Lymphedema, pelakon Azean Irdawaty masih lagi menjaga kulit wajahnya untuk kelihatan sentiasa berseri. Azean atau nama sebenarnya Azean Irdawaty Yusoff, 62, berkata, dia tidak pernah mengabaikan penampilan walaupun mukanya kelihatan agak berisi dengan menyapu krim wajah serta badan setiap hari. "Bukanlah satu halangan kalau kita sakit untuk menjaga penampilan diri. Saya masih lagi mengamalkan menyapu krim pada kulit wajah dan seluruh badan agar tidak kelihatan kusam," katanya. Terdahulu Azean dikunjungi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kediamannya di Bandar Utama di sini pada Selasa. Tambah pelakon itu, memandangkan rambutnya hampir botak, dia turut meletakkan serum di kulit kepalanya untuk mendapatkan rambut yang baru. "Alhamdulillah, rambut saya tumbuh. Jadi saya fikir tiada alasan sebenarnya jika kita mahu lebih sihat walaupun keadaan penyakit yang dilalui sudah berada pada tahap kritikal. "Saya juga percaya, memiliki semangat yang positif serta didampingi suami dan anak-anak yang sentiasa menjaga makan minum kita sekali gus dapat membuatkan wajah lebih ceria," katanya. Sementara itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno memuji kecantikan kulit yang dimiliki Azean dan menganggap pelakon itu memiliki kulit yang lebih sihat berbanding dengan dirinya. "Saya rasa, jika dia (Azean) memakai rambut palsu dan dioles sedikit solekan, tiada siapa yang tahu sebenarnya Azean sedang menderita dengan penyakitnya. "Tengoklah, kulit saya dan Azean, ternyata kulit dia lagi berseri," selorohnya. Azean mengidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini. Pelakon itu mendapat pembelaan apabila pihak YKN bersedia membantu meringankan beban kos rawatan yang dijalaninya. Shahrizat berkata, bantuan itu mahu disalurkan sebagai menghargai jasanya dalam bidang seni selain bersimpati dengan penderitaan yang ditanggungnya sejak sekian lama.

Solat Hajat Azean Irdawaty Di Tiga Masjid


PETALING JAYA: Solat hajat untuk memohon agar Allah memulihkan kesakitan penyakit pelakon Azean Irdawaty akan diadakan di tiga buah masjid sekitar Ampang, dekat sini pada Khamis malam (malam esok).

Penganjur majlis berkenaan yang enggan disebutkan namanya berkata, solat berkenaan akan dibuat secara serentak selepas solat Maghrib melibatkan Masjid Al-Ridzuan, Hulu Kelang, Masjid Taman Dagang Avenue, Ampang dan Masjid Bukit Antarabangsa.

Kata penganjur tersebut, majlis berkenaan akan turut disertai oleh beberapa selebriti tempatan antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Memey Suhaiza, Farhan, Den Wahab, Razali Hussein, Sharifah Sahora, Lisdawati, Fauzi Nawawi dan Ziela Jalil.

“Artis-artis berkenaan akan berada di salah satu daripada tiga masjid tersebut,” katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Tambahnya, selain para artis, orang ramai juga dijemput untuk menyertai solat hajat tersebut selain digalakkan memberi sumbangan ikhlas masing-masing untuk majlis berkenaan.

Katanya, selain solat hajat, majlis bacaan tahlil akan turut diadakan untuk para artis dan umat Islam yang telah meninggal dunia.

“Apa yang kami buat ini adalah sebagai satu sokongan kami kepada Azean Irdawaty selain untuk para artis yang telah meninggal dunia,” katanya.

Isnin lalu Azean Irdawaty yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62 tahun memohon orang ramai dan sahabat handai supaya memberikan “hadiah” hari jadinya dengan mengadakan solat hajat bagi memohon supaya keadaan kesakitan yang dihadapinya pulih.

Azean mendakwa badannya berasa panas, belakang badan sakit dan juga kakinya menjadi kebas kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

Sakit Semakin Kritikal, Azean Irdawaty Mohon Adakan Solat Hajat


PETALING JAYA: Pelakon Azean Irdawaty merayu kepada orang ramai untuk memberikannya “hadiah” sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-62 tahun pada Isnin (semalam) dengan mengadakan solat sunat hajat untuknya.

Azean yang lahir pada 27 Februari 1950 berkata, keadaan kesihatannya menjadi semakin kritikal akibat penyakit Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah, hari ini (Isnin) saya sudah 62 tahun. Saya nak minta “hadiah” sempena hari lahir saya. Boleh tak panggil orang-orang masjid buat solat hajat minta saya sembuh,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Dalam SMS itu Azean memberitahu, keadaan kesihatannya bertambah teruk apabila dia merasakan tulang pada bahagian belakang badannya bertambah sakit manakala kakinya juga menjadi kebas.

Selain itu, badannya juga berasa panas dan dia amat tertekan dengan situasi yang dihadapinya itu menyebabkan dia terpaksa memohon orang ramai agar mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

“Saya rasa panasnya macam api dalam daging. Azab rasanya. Tolonglah saya (menunaikan solat hajat),” pintanya.

Sementara itu mStar Online dimaklumkan beberapa rakan artis sedang berusaha untuk menguruskan solat hajat di beberapa buah masjid sebagai memenuhi keinginan seniwati tersebut selain berharap kesakitan yang dialaminya itu berkurangan.

Azean masih tegar mencari rezeki


KEPERITAN hidup yang dilalui primadona ini tidak pernah meragut semangatnya untuk terus berkhidmat kepada keluarga. Walaupun masa seharian kini banyak dihabiskan di atas katil, tanggungjawab sebagai pencari rezeki masih digalas pada bahunya demi menampung keperluan hidup sehari-hari.

Menurut Azean Irdawaty, 61, kini dengan kudrat kecil yang dimiliki dia masih menjalankan perniagaan jualan langsung seperti biasa. Walaupun tidak seaktif dulu, Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan akan tetap meneruskan perniagaan ini selagi termampu.

"Sekarang lebih mudah sebab Kak Yan hanya perlu menjalankan perniagaan jualan langsung ini melalui telefon.Tidak perlu selalu bergerak pun boleh buat bisnes.

"Namun itu juga bergantung kepada kemampuan. Kadang-kala sampai hari tak sihat tu, untuk bercakap juga Kak Yan tak larat," katanya ketika di temui di kediamannya di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Kekuatan yang dimiliki wanita ini sentiasa menjadi inspirasi mereka di luar sana. Walaupun menjalani rutin harian penuh kepayahan sebagai pesakit barah, ia sedikit pun tidak pernah melunturkan hati wanita ini untuk terus membanting tulang demi eringan beban kewangan yang ditanggung keluarganya.

"Sebenarnya apa yang Kak Yan dapat ini hanya cukup untuk menampung perbelanjaan di rumah sahaja.

"Bagi perbelanjaan perubatan pula Kak Yan akui terpaksa bergantung kepada belas ehsan orang luar. Ini kerana jumlahnya bil perubatan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan Kak Yan untuk menjelaskannya. Mana hendak cari duit seorang diri dalam keadaan macam ni," jelasnya.

Bercerita tentang perkembangan penyakitnya kini, menurut Azean walaupun ada tanda-tanda positif ketumbuhan di tulang belakangnya kini sudah mengecut, namun dia kini terpaksa menanggung satu lagi berita sedih apabila tidak akan dapat meneruskan rawatan kimoterapi yang berjumlah RM9,874 sebulan.

"Memanglah doktor tidak bagi saya berhenti dari meneruskan rawatan ini, namun memandangkan bayaran untuk meneruskan rawatan ini terlalu tinggi Kak Yan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menerima rawatan tersebut.

"Malah jika diikutkan juga, bekalan ubat-ubatan seharian juga hanya akan bertahan sehingga hujung bulan ini sahaja. Untuk bulan depan, Kak Yan masih lagi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya lagi," jelasnya.

Reda dengan ketentuan yang sudah ditakdirkan ini, menurut wanita besi ini dia tidak pernah membelakangi kuasa Allah. Ini kerana Azean tahu hidup mati bukan bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya, sebaliknya pada ketentuan Allah semata-mata.

"Kak Yan pernah cakap kepada anak-anak, jika Allah nak panjangkan usia dengan ubat-ubatnya ini maka panjanglah umur Kak Yan.

"Dan sebab itu walaupun tidak mampu meneruskan rawatan dan hanya berserah sahaja kepada takdir, sekurang-kurangnya Kak Yan sudah berpuas hati kerana telah berusaha sebaik boleh untuk mengubati penyakit ini," katanya.

Tidak terpinggir

Kehadiran ramai rakan artis di dalam memberikan sokongan buat dirinya sentiasa menjadi inspirasi buat wanita ini di dalam meneruskan kehidupannya. Malah bagi anak seni ini, dia juga sebenarnya tidak pernah merasai dipinggirkan dari dunia seni walaupun sudah lama tidak muncul di dalam di kaca televisyen.

"Ada di antara rakan-rakan artis yang sering melawat Kak Yan , kadangkala terubat rasa pilu di hati melihat kepada keprihatinan mereka.

"Walaupun begitu, Kak Yan tidak pernah kecil hati dengan mana-mana rakan artis lain yang tidak sempat menjenguk. Sebagai seorang artis Kak Yan sendiri tahu jadual anak seni itu macam mana kadang kala kesibukan membataskan mereka dan rasanya bukan niat mereka untuk meminggirkan Kak Yan," katanya.

Walaupun menghadapai waktu sukar, pelakon ini tidak pernah merasakan ia sebagai penyebab untuk terus meratapi perjalanan takdirnya. Malah bagi pelakon hebat ini dia tahu hanya kekuatan semangat yang mampu menyembuhkan kesedihan yang di tanggung.

"Kak Yan reda dan terima segala yang telah ditentukan. Apa yang penting Kak Yan perlu kuat untuk meneruskan perjuangan selama ini," katanya.

Azean rasa lucu didakwa meninggal dunia


SELEPAS pemergian penyanyi Izwan Pilus, peminat seni tanah air dikejutkan pula dengan berita aktres yang kini sedang terlantar sakit kerana penyakit kanser, Azean Irdawaty meninggal dunia pada malam Sabtu lalu.

Berita Azean meninggal dunia tersebar dengan pantas di laman sosial Twitter dan ramai peminat memberikan ucapan takziah walhal hakikat yang sebenarnya aktres itu masih lagi bernyawa meskipun sedang bertarung dengan penyakit kanser yang telah merebak ke tulang belakangnya.

Kosmo! mendapatkan komen mengenai perkara ini daripada mulut Azean sendiri dan dia nyata terkejut apabila diberitahu mengenai berita kematiannya sendiri.

Kosmo!: Apa reaksi Azean apabila didakwa sudah meninggal dunia?

Azean: Memang terkejut, kelakar pun ada juga sebab berita itu tidak masuk akal langsung kerana saya masih hidup walaupun sedang sakit.

Bagaimana Azean tahu mengenai berita itu?

Mula-mula anak saya , Elza Irdalynna datang ke bilik memberitahu yang rakan-rakannya memberitahu saya sudah meninggal, memang saya terperanjat. Anak saya juga sedih. Tidak lama lepas itu, saya menerima panggilan telefon tanpa henti daripada rakan dan saudara-mara yang menyangka saya sudah meninggal dunia tetapi terkejut besar apabila mendengar suara saya yang menjawab panggilan telefon mereka.

Apakah tindakan yang diambil Azean dan ahli keluarga bagi memperbetulkan berita yang salah itu?

Anak saya menulis di Twitter miliknya, memberitahu yang saya masih lagi hidup dan sihat.

Apa kata-kata Azean kepada penyebar berita tersebut?

Saya rasa orang itu silap, tidak sengaja dan berniat baik untuk menyebarkan kepada orang mengenai berita kematian. Mungkin dia terkeliru daripada apa yang dia dengar di televisyen atau seseorang mengenai pemergian arwah Izwan Pilus dan dia menyangka itu adalah saya. Kalau dia sengaja nak buat cerita itu, saya kasihankan dia. Saya tidak marah, saya maafkan orang itu, semua manusia ada kesilapan, perkara ini tidak memudaratkan kepada saya dan saya doakan agar dia mendapat hidayah daripada Allah.

Apabila orang mengatakan Azean sudah meninggal dunia, ia ibarat satu doa, komen?

Kalau ada orang yang mendoakan saya meninggal, itu antara dia dengan Allah. Jodoh, pertemuan dan kematian semua di tangan Allah. Saya melihat daripada sudut yang positif, menurut kata orang tua-tua, jika kita diberitakan yang kita meninggal dunia bermakna umur kita panjang.

Bagaimana tahap kesihatan Azean kini?

Alhamdulillah, saya semakin sihat, sejak enam bulan lalu saya telah menjalani rawatan untuk merawat kanser yang telah merebak ke tulang belakang yang menyebabkan saya terlantar tidak boleh bergerak. Sejak bulan Januari, saya sudah boleh bertatih dan turun katil sendiri, sebelum ini saya terpaksa didukung dan perlukan bantuan orang lain untuk bergerak.

Sejak sakit sehingga ke hari ini, Azean banyak muncul di media meminta simpati. Apa yang boleh anda jelaskan di sini?

Saya bukan minta simpati, saya hanya minta bantuan jika ada yang ingin membantu kerana kos rawatan saya adalah sebanyak RM10,000 sebulan. Itu hanya untuk kos ubat, belum masuk perbelanjaan harian yang lain dan saya juga harus membayar gaji tiga orang jururawat. Sebelum ini saya pencari nafkah utama, selepas saya terlantar sakit, agak sukar untuk keluarga saya. Saya minta bantuan bukan untuk berjoli, sebaliknya merawat penyakit. Saya harus berusaha mengubat penyakit ini. Doktor kata kalau tidak dirawat saya hanya mampu hidup untuk tempoh dua tahun sahaja.

Hikmah di sebalik berita kematian Azean?

Saya bersyukur kerana daripada apa yang saya lihat, ramai yang sayangkan saya. Telefon tidak putus-putus berdering, rakan-rakan yang telefon ada yang meminta maaf dengan saya dan ramai yang datang melawat juga. Saya berterima kasih kerana ramai sebenarnya yang mengambil berat tentang diri saya.

Ketabahan seorang primadona - Azean Irdawaty


KANSER payudara yang melingkari kehidupannya kembali bersarang ekoran tekanan demi tekanan yang tidak berkesudahan.

Walaupun sebelum ini ada khabar dia sudah semakin sembuh, pelakon Azean Irdawaty perlu meneruskan lagi sesi rawatan setiap enam bulan sekali di Hospital Pakar Beacon, Petaling Jaya.

“Sebelum ini masalah penyakit Kak Yan sudah semakin sembuh, namun sekarang kembali lagi.

“Sesiapa yang menghidap barah memang tidak boleh berada dalam tekanan. Sekarang Kak Yan kembali berasa tertekan, sebab itu kanser itu menyerang semula,” katanya kepada Pancaindera.

Selain bertarung dengan penyakit yang dihidapi, seluruh peminat juga turut mengetahui anak lelakinya, Benjy telah dihukum menjalani perintah sekatan dan perlu berada di Kuantan, Pahang sejak 17 Mac tahun lalu dan itu semestinya menambahkan lagi tekanan seorang ibu.

“Walaupun tertekan namun Kak Yan syukur dengan apa yang telah ditetapkan ini. Setiap-tiap malam Kak Yan akan berdoa kepada Tuhan supaya permudahkan segala urusan, tabahkan hati Kak Yan sendiri. Sepanjang berada di sini Kak Yan memang tidak bertemu dengan anak Kak Yan,” katanya sekaligus merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang banyak memberi sumbangan kepada dirinya selama ini.

Isnin lalu, persatuan Seniman dengan kerjasama dengan Pemuda UMNO, bersama beberapa artis terkenal telah melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Azean.

Pemuda UMNO dan Seniman turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Azean. Antara artis yang turut serta adalah, Fizz Fairuz, Yatt, Zamrul Hisham, Maria Farida dan Fiza.

Fizz Fairuz menganggap Kak Yan adalah seorang pelakon yang ternyata mempunyai cukup kreateria sebagai seorang lagenda negara.

“Sebelum ini, kakak ipar saya turut mengalami penyakit kanser, Kak Yan banyak memberikan semangat kepada kakak ipar saya. Dia menyuruh kakak saya supaya selalu happy dan jangan fikir tentang penyakit yang sedang dihidapi. Syukur kepada Allah, kakak ipar saya ketika ini sudah kembali pulih.

“Kak Yan mempunyai banyak pengalaman, dia juga tidak kedekut ilmu, dia memang seorang artis yang tidak pernah lokek ilmu, dia banyak bagi tunjuk ajar kepada artis baru seperti saya,” jelas Fizz.

Semoga primadona air mata ini segera sembuh untuk terus memberi sumbangan kepada industri filem dan drama tempatan.

Azean Serah Memorandum Kepada Suhakam


KUALA LUMPUR: Aktres Azean Irdawaty memberitahu bahawa polis mendakwa bahawa anaknya, Benjy yang kini ditahan selama 60 hari tanpa bicara mengancam keselamatan negara.

Azean memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa dia mempunyai kesulitan dan dilarang untuk bertemu anaknya sepanjang di bawah jagaan pihak polis.

Hari terakhir dia bertemu Benjy pada 18 Mac, di lokap Balai Polis Bukit Jalil iaitu seminggu selepas penangkapannya, namun begitu, dia hanya diberi tempoh 15 minit sahaja.

"Saya telah diberitahu supaya tidak perlu melantik peguam kerana tiada perlu dan tiada gunanya. Selain itu, saya kecewa kerana tidak dapat menghantar semangkuk sup dan ubat kepadanya," katanya ketika menyerahkan memorandum kepada Suhakam bagi membenarkan peguam-peguam dan ahli-ahli keluarga untuk Bertemu Benjy.

"Saya memberitahu polis yang anak lelaki saya menderita akibat asma dan ingin memberi beberapa ubat yang saya membawakan. Bagaimanapun mereka tidak membenarkannya, saya hanya ingin menjalankan tanggungjawab saya sebagai ibu kepada seorang anak," katanya sambil menangis.

Kandungan memorandum itu juga mendesak agar Suhakam mengadakan dialog dengan kerajaan dan polis mengenai isu penafian akses terhadap peguam-peguam kepada orang-orang tahanan di bawah Emergency Ordinance atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Peguam kepada Benjy, Amer Hamzah Arshad berkata, anak guamnya telah dinafikan hak asasi manusia bagi mendapatkan perkhidmatan peguam dan polis telah mengunakan kuasanya untuk menahan semula Benjy selepas dia dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 25 Mac lalu.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam berkata, menjadi hak untuk mana-mana tahanan mendapatkan khidmat seorang peguam.

"Itu adalah hak asasi manusia yang polis tidak boleh menafikan perkhidmatan peguam walau apa juga situasi," katanya.

Selepas mendengar aduan-aduan yang disuarakan oleh ahli-ahli keluarga, Suhakam merasakan bahawa polis perlu mempunyai cara komunikasi atau perhubungan awam yang lebih baik apabila berhadapan dengan masyarakat.

Benjy atau nama sebenar, Khaeryl Benjamin Ibrahim telah ditahan polis pada 11 Mac di kondominium, Kepong dan disiasat terlibat dalam sindiket memproses dan mengedar dadah.

Azean Irdawaty Tak Percaya Benjy Terlibat Sindiket Edar Dadah


PETALING JAYA: Aktres veteran popular, Azean Irdawaty tidak percaya bahawa anaknya, pelakon terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

"Yang Kak Yan tak faham macam mana dia (Benjy) ditangkap di rumahnya di Segambut tetapi kemudian dibawa ke sebuah rumah di Kepong di mana ada bahan-bahan yang dikatakan makmal mini memproses dadah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada mStar Online di sini semalam.

Portal berita dalam talian dan akhbar semalam menyiarkan laporan tentang seorang pelakon popular yang pernah memenangi anugerah pelakon terbaik dan juga anak kepada aktres veteran terkenal kini ditahan reman kerana disyaki memiliki 850 gram kokain dan 1.4 gram syabu dengan nilai rampasan bernilai RM650,000.

Aktor berusia 31 tahun itu ditahan di kondominium mewahnya di Jalan Segambut pada Khamis.

Dalam serbuan tersebut, polis menemui makmal memproses dan membungkus dadah.

Pelakon itu dicekup bersama teman wanitanya berusia 24 tahun di tempat meletak kereta di kondominium tersebut pada pukul 2.30 pagi Khamis setelah polis mendapat maklumat daripada orang ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang ketika dihubungi berkata, pelakon itu ditahan reman selama tujuh hari mulai Jumaat di Balai Polis Bukit Jalil bersama teman wanitanya.

Difahamkan pelakon tersebut sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun dan kekasihnya itu, telah disahkan positif methamphetamine ketika melakukan ujian air kencing.

Artis tersebut mungkin akan berhadapan hukuman gantung mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam pada itu, Azean, 60, mendakwa, anaknya sering kehabisan wang dan kerap meminta pertolongan daripadanya jika menghadapi masalah kewangan.

“Masalahnya, Benjy selalu pokai dan kerap minta tolong dengan saya walau untuk bayar duit rumahnya atau duit belanja untuk ke pasar,” ujarnya.

Tambah pelakon filem Talentime, Waris Jari Hantu, Anak Mami Kembali dan Baginda itu, dia pelik bagaimana akhbar boleh menyatakan anaknya itu mampu menjual dadah terbabit sehingga beratus-ratus ribu ringgit nilainya.

Dia juga mempersoalkan penglibatan anak lelaki tunggalnya itu, sedangkan mengikut maklumat yang diketahui, mereka yang mengambil bahan-bahan terlarang itu fizikalnya kurus dan hiperaktif.

“Macam mana surat khabar kata dia boleh jual sampai beratus-ratus ribu. Kereta pun dia tak ada.

“Lagipun Kak Yan Google (di Internet) orang kalau ambil benda itu kurus dan hiperaktif sedangkan Benjy gemuk, suka tidur. Selain itu, dia sering menghabiskan masa di kolam pancing pagi, petang, siang dan malam,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails