Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Azean rasa lucu didakwa meninggal dunia


SELEPAS pemergian penyanyi Izwan Pilus, peminat seni tanah air dikejutkan pula dengan berita aktres yang kini sedang terlantar sakit kerana penyakit kanser, Azean Irdawaty meninggal dunia pada malam Sabtu lalu.

Berita Azean meninggal dunia tersebar dengan pantas di laman sosial Twitter dan ramai peminat memberikan ucapan takziah walhal hakikat yang sebenarnya aktres itu masih lagi bernyawa meskipun sedang bertarung dengan penyakit kanser yang telah merebak ke tulang belakangnya.

Kosmo! mendapatkan komen mengenai perkara ini daripada mulut Azean sendiri dan dia nyata terkejut apabila diberitahu mengenai berita kematiannya sendiri.

Kosmo!: Apa reaksi Azean apabila didakwa sudah meninggal dunia?

Azean: Memang terkejut, kelakar pun ada juga sebab berita itu tidak masuk akal langsung kerana saya masih hidup walaupun sedang sakit.

Bagaimana Azean tahu mengenai berita itu?

Mula-mula anak saya , Elza Irdalynna datang ke bilik memberitahu yang rakan-rakannya memberitahu saya sudah meninggal, memang saya terperanjat. Anak saya juga sedih. Tidak lama lepas itu, saya menerima panggilan telefon tanpa henti daripada rakan dan saudara-mara yang menyangka saya sudah meninggal dunia tetapi terkejut besar apabila mendengar suara saya yang menjawab panggilan telefon mereka.

Apakah tindakan yang diambil Azean dan ahli keluarga bagi memperbetulkan berita yang salah itu?

Anak saya menulis di Twitter miliknya, memberitahu yang saya masih lagi hidup dan sihat.

Apa kata-kata Azean kepada penyebar berita tersebut?

Saya rasa orang itu silap, tidak sengaja dan berniat baik untuk menyebarkan kepada orang mengenai berita kematian. Mungkin dia terkeliru daripada apa yang dia dengar di televisyen atau seseorang mengenai pemergian arwah Izwan Pilus dan dia menyangka itu adalah saya. Kalau dia sengaja nak buat cerita itu, saya kasihankan dia. Saya tidak marah, saya maafkan orang itu, semua manusia ada kesilapan, perkara ini tidak memudaratkan kepada saya dan saya doakan agar dia mendapat hidayah daripada Allah.

Apabila orang mengatakan Azean sudah meninggal dunia, ia ibarat satu doa, komen?

Kalau ada orang yang mendoakan saya meninggal, itu antara dia dengan Allah. Jodoh, pertemuan dan kematian semua di tangan Allah. Saya melihat daripada sudut yang positif, menurut kata orang tua-tua, jika kita diberitakan yang kita meninggal dunia bermakna umur kita panjang.

Bagaimana tahap kesihatan Azean kini?

Alhamdulillah, saya semakin sihat, sejak enam bulan lalu saya telah menjalani rawatan untuk merawat kanser yang telah merebak ke tulang belakang yang menyebabkan saya terlantar tidak boleh bergerak. Sejak bulan Januari, saya sudah boleh bertatih dan turun katil sendiri, sebelum ini saya terpaksa didukung dan perlukan bantuan orang lain untuk bergerak.

Sejak sakit sehingga ke hari ini, Azean banyak muncul di media meminta simpati. Apa yang boleh anda jelaskan di sini?

Saya bukan minta simpati, saya hanya minta bantuan jika ada yang ingin membantu kerana kos rawatan saya adalah sebanyak RM10,000 sebulan. Itu hanya untuk kos ubat, belum masuk perbelanjaan harian yang lain dan saya juga harus membayar gaji tiga orang jururawat. Sebelum ini saya pencari nafkah utama, selepas saya terlantar sakit, agak sukar untuk keluarga saya. Saya minta bantuan bukan untuk berjoli, sebaliknya merawat penyakit. Saya harus berusaha mengubat penyakit ini. Doktor kata kalau tidak dirawat saya hanya mampu hidup untuk tempoh dua tahun sahaja.

Hikmah di sebalik berita kematian Azean?

Saya bersyukur kerana daripada apa yang saya lihat, ramai yang sayangkan saya. Telefon tidak putus-putus berdering, rakan-rakan yang telefon ada yang meminta maaf dengan saya dan ramai yang datang melawat juga. Saya berterima kasih kerana ramai sebenarnya yang mengambil berat tentang diri saya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails