Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aziz Satar. Show all posts
Showing posts with label Aziz Satar. Show all posts

Perginya Aziz Sattar Tidak Mungkin Ada Pengganti

Ketika dunia hiburan baharu sahaja dikejutkan dengan kematian biduanita Kartina Dahari dan dramatis Sidek Hussain, satu lagi berita sedih muncul apabila seniman Datuk Abdul Aziz Sattar pula menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa. Kematian Allahyarham pada usia 89 tahun memberi kesan kepada seluruh peminat filem Melayu kerana lakonannya bukan sahaja menjadi fenomena malah berjaya dikenang oleh setiap generasi sehingga ke hari ini. Aziz atau lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia dan kemudiannya membesar di Pasir Panjang Singapura menjalani kehidupan sukar apabila terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja pada usia 11 tahun ekoran serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu ketika itu. Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.
Biarpun tidak dapat meneruskan persekolahan namun kelebihan yang ada pada Aziz iaitu bakat seninya sejak usianya 10 tahun mampu membawa tuah selain beliau juga sering mengadakan persembahan di majlis perkahwinan di kampungnya. Dari situ, bakatnya terus berkembang dan kebolehannya sebagai penghibur dan pelawak terus mendapat perhatian sehinggalah dia bersma dua orang sahabat dipelawa untuk bekerja di studio Malay Film Production (MFP) sebagai krew penggambaran atas bantuan pelakon Shariff Dol. Berkat kesabarannya Aziz diberikan watak pembantu dalam filem Putus Harapan pada tahun 1953 arahan B. N. Rao sebagai seorang guru sekolah. Biarpun bukan peranan utama namun dia berjaya menjiwai watak berkenaan disamping pelakon utamanya iaitu P.Ramlee, Rokiah Jaafar dan Nordin Ahmad.
Ekoran kejayaannya membawakan watak dalam filem itu dengan baik, pihak pengurusan memberikan kontrak selama tiga tahun untuk bernaung bawah MFP dan di situlah bermulanya karier Allahyarham sebagai pelakon. Aziz telah membintangi lebih daripada 50 buah filem sepanjang kariernya namun sudah tentu paling meninggalkan kesan kepada penonton adalah kemunculannya dalam filem Bujang Lapok bersama P.Ramlee dan S. Shamsuddin pada tahun 1957. Ramli, Sudin dan Aziz - tiga watak yang sehingga kini melekat di hati peminat filem Melayu siri Bujang Lapok dan kejayaan filem itu melonjakkan nama Aziz sebagai salah seorang pelakon dan pelawak terbaik dalam era filem Melayu.
Keserasian tiga sahabat itu membuatkan mereka sering digandingkan bersama antaranya termasuklah Pendekar Bujang Lapok (1959), Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok (1961). Penutupan MFP pada tahun 1967 telah membuka lembaran baharu kepada kerjaya seni Aziz apabila dia mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur bagi merancakkan kembali dunia perfileman Melayu yang hampir pupus ketika itu. Kolaborasi dengan M.Borhan sehingga tertubuhnya Sabah Film meneruskan kerjaya Aziz sebagai pengarah apabila terhasilnya filem Keluarga Si Comat yang turut diarahkan oleh Aziz pada 1975. Tidak hanya mengarah, Aziz turut berlakon dan menulis skrip filem berkenaan yang membariskan pelakon seperti S. Shamsudin, Ibrahim Pendek dan Junainah M.Amin.
Selain Keluarga Si Comat, Aziz turut mengarahkan beberapa buah karya lagi dalam kariernya seperti Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993). Penubuhan syarikat produksi dan penerbitan filem itu telah menjadi pencetus kepada kebangkitan era baharu industri perfileman Melayu sejak itu dan berkembang sehingga ke hari ini. Kontroversi Biarpun personalitinya kelihatan bersahaja dan mudah didekati namun Aziz turut dikenali dengan kelantangannya dalam menyuarakan hak sebagai seorang artis veteran dan pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Beberapa kali penulis sempat menghadiri beberapa acara melibatkan persatuan hiburan di negara ini, Aziz tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir biarpun sekadar mendengar apa yang dibincangkan.
Kata-kata yang diluahkan sama ada pendapat atau pun cadangan sentiasa mendapat perhatian dalam meningkatkan industri perfileman Malaysia. Kelantangannya bersuara bagi menegakkan hak sebagai seorang artis veteran juga sering mendapat perhatian malah keputusannya melepaskan jawatan dalam Karyawan kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez bukti dia bukan mudah dipermainkan. Namun Aziz tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan hibanya apabila ada pihak mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadapnya membuatkan dia merajuk hati dengan situasi dalam industri seni ketika itu. Namun rajuk si Pak Ajis tidak lama kerana sifat pemaaf dan saling memperbetulkan semua salah faham akhirnya menjernihkan semula kemelut yang berlaku.
Dalam pada itu dialognya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok iaitu “siapa tak sayang bini daa…” tetap menjadi ingatan sehingga ke hari ini. Dek kerana populariti dialog itu, maka terhasilah filem yang dibaut dalam bentuk cekera padat video (VCD) iaitu Siapa Tak Sayang Bini hasil tulisan skrip Allahyarham pada tahun 2003. Pemergiannya pada pagi Selasa akibat serangan jantung di Pusat Perubatan KPJ Kajang kira-kira pukul 2 pagi mengejutkan seluruh masyarakat tidak kira tua mahu pun muda. Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini selepas solat Zohor dan pemergiannya ditangisi peminat-peminatnya. Malah rakan artis dari segenap lapisan umur turut berhimpun bagi memberi penghormatan kepadanya selain mereka turut menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan cukup berharga kepada industri perfileman negara.
Allahyarham pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950-an. Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai). Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100. Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012. Hasil perkongsian hidup Aziz dengan perkahwinannya yang terdahulu, beliau dikurniakan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit. Pemergian Aziz Sattar umpama hilangnya sebutir permata. Semoga Allah memberi rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah. Rakan Artis Kongsi Rasa Sedih
Datuk Rosyam Nor Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor sentiasa mengingati Allahyarham sebagai seorang penyelamat kepada industri penerbitan filem ketika ia mengalami kesuraman pada tahun 1980-an menerusi karya arahannya seperti Perawan Malam, Setinggan dan Bujang Lapok Kembali Daa!. Jelas Rosyam, Aziz juga adalah seorang mentor kepadanya ketika mula-mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan pengarahan ketika itu dan pesanannya juga jangan berputus asa untuk berjaya dalam bidang perfileman sentiasa disemat dalam dirinya. "Beberapa filem arahannya pada tahun 1980-an kembali menyemarakkan minat penonton biarpun industri mengalami kesuraman dan nasihatnya supaya sentiasa menimba ilmu dan tidak berputus asa untuk berjaya sentiasa saya pegang sehingga ke hari ini," katanya.
Mustafa Maarof Datuk Mustafa Maarof pula memberitahu memori bersama Aziz ketika bersama-sama bergelar aktor di Studio Jalan Ampas, Singapura antara kenangan manis dalam hidupnya. Jelas Mustafa, biarpun karektornya yang sentiasa ceria dan sentiasa disenangi oleh rakan-rakan namun dia menyifatkan Aziz seorang yang cukup tegas dan mengambil berat terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kebajikan pelakon. "Terlalu banyak memori saya bersamanya dan jika dikupas satu persatu barangkali ia tidak akan berkesudahan namun Allahyarham adalah antara insan yang rapat dengan saya ketika zaman Jalan Ampas. "Biarpun tahu dia menderita penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu namun dia tidak pernah mengadu mengenai kesakitan yang dialami dan sentiasa bersemangat," katanya.
Freddie Fernandez Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez pula menyifatkan semangat dan perjuangan tanpa jemu Aziz memperjuangkan nasib artis veteran sentiasa dikenang oleh semua pihak. Jelas Freddie, Aziz sentiasa bersemangat apabila timbul isu-isu mengenai artis veteran dan ia telah banyak membuka mata banyak pihak. "Satu kehilangan besar kepada semua dan tiada siapa boleh menggantikan tempat Aziz Sattar," katanya.
Aizat Amdan "Tiada lagi legasi Bujang Lapok. Itu luahan artis muda Aizat Amdan namun sebagai seorang artis generasi muda dia membesar dengan filem-filem lakonan Aziz membuatkan pelakon itu sentiasa dekat dengannya. Jelas Aizat, karya-karya yang ditinggalkan oleh Seniman itu akan sentiasa diingati oleh semua kaum di negara ini yang banyak memberi kenangan manis. "Arwah akan sentiasa hidup dalam setiap diri kita kerana kebanyakan daripada kita menonton lakonannya yang sentiasa mencuit hati dan ia sentiasa segar biarpun ditonton berulang kali," katanya.
Melissa Saila Melissa Saila tidak menyangka sambutan hari lahir ibunya iaitu Mariani yang ke 81 tahun baru-baru ini merupakan pertemuan terakhirnya. "Saya tidak pernah menyangka itu adalah kali terakhir saya bertemu dengannya dan kami sempat berbual-bual ketika dia hadir ke majlis dan ceria sepanjang majlis. "Biarpun dia bukan pelakon dari zaman saya tetapi hubungan kami sangat rapat dan dia sering memberi dorongan untuk saya meneruskan perjuangan dalam bidang seni," jelasnya.

Seniman Aziz Sattar Meninggal Dunia

Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang dekat sini kira-kira pukul 2 pagi Selasa. Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi. “Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam Twitter miliknya itu. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung. Abu Ubaidah ketika dihubungi pula berkata, Aziz tiba-tiba mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum tidak sedarkan diri selepas itu. Jelas Abu Ubaidah lagi, dia berada di hospital berkenaan ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan redha dengan pemergian datuk kesayangannya itu. "Sebelum ini keadaannya stabil kerana doktor mengatakan ia hanya serangan jantung biasa namun Allah lebih menyayanginya dan kami sekeluarga redh dengan pemergiannya, katanya. Dalam pada itu, Abu Ubaidah berkata, jenazah telah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Bandar Tun Hussien Onn dekat sini sebelum urusan memandikan jenazah dilakukan pada pukul 11 pagi. Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Cheras. Terdahulu pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU). Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok. Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950an.
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993). Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk. Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai). Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak. Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.

'Saya Tak Kisah Jika Jawatan Presiden Dirampas' - Aziz Sattar

Pelakon Datuk Aziz Sattar kecewa apabila ada pihak yang mempertikaikan pelantikannya sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) dan tidak kisah sekiranya ada pihak yang mahu merampas jawatannya itu. Aziz yang sebelum ini yang memegang jawatan sebagai timbalan persatuan itu berkata, dia dilantik sebagai selepas penyandangnya, Datuk Ismail Hutson meninggal dunia pada Julai lalu. "Apa yang saya lakukan sekarang ini (sebagai Presiden PKAV), saya buat dengan ikhlas. Ini semua adalah kerja sambilan tanpa meminta dibayar. "Jika ada yang ingin mengambil alih, ambillah. Saya tidak kisah jika jawatan presiden ini dirampas. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. "Saya tahu, ada yang keluar daripada komuniti ini kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan saya kerana saya menunda tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke Oktober depan yang mana ia sepatutnya berlangsung pada Mac lalu," katanya. Aziz ditemui pada sidang media Ziarah Syukur Ke Kedah anjuran PKAV di restoran Riverside, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad. Tambah pelakon itu, sepanjang bergelar presiden PKAV, dia sedaya upaya cuba menambah dana persatuan itu agar dapat membantu mana-mana artis yang memerlukan, tetapi tidak sangka dirinya tidak disukai sesetengah pihak. Sementara itu, mengenai program Ziarah Syukur Ke Kedah, seramai 10 artis veteran akan terlibat membantu Barisan Nasional berkempen sempena dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan. Selain Aziz sendiri, program itu akan turut disertai Datuk Mustafa Maarof, Norlia Ghani, Shira Iskandar, Aznah Hamid, AR Badul, Kismah Johar dan Hail Amir. Mereka akan membantu pihak kerajaan berkempen di empat lokasi di negeri Kedah iaitu Kuala Nerang, Kulim, Alor Merah dan Pendang bermula 23 April hingga 27 April ini. "Kami akan membuat beberapa aktiviti bersama penduduk kampung di sana termasuklah menjayakan forum Bicara Seni dan menziarahi beberapa rumah kebajikan di sana. "Sebagai seorang rakyat yang pernah melalui sejarah-sejarah negara ketika susah, saya mahu para penduduk menghayati dan bersyukur dengan apa yang kita sudah ada sekarang ini, selain melihatkan pelbagai pembangunan negara yang dijalankan oleh pihak kerajaan demi keselesaan rakyat. "Mungkin kehadiran kami akan disambut baik, tetapi kami juga bersedia mengambil risiko sekiranya ada pihak yang mahu kami beredar. Insya-Allah segala perancangan akan berjalan dengan lancar," ujarnya. Program Ziarah Syukur Ke Kedah turut dianjurkan bersama oleh Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Aziz Satar rujuk isteri kembali

KUALA LUMPUR – Selepas sembilan bulan bercerai, seniman veteran dan pelawak tidak asing lagi, Datuk Aziz Satar mengesahkan beliau akan rujuk kembali dengan bekas isterinya, Hashimah Delan dalam masa terdekat. Seniman kelahiran Surabaya, Indonesia yang berusia 87 tahun itu menegaskan, beliau dan bekas isteri bersetuju berbuat demikian setelah masing-masing memperoleh kembali persefahaman. Sehubungan itu beliau meminta semua pihak tidak membesar-besarkan isu tersebut kerana perselisihan antara suami dan isteri merupakan asam garam rumah tangga. “Perkara ini tidak perlu lagi diperbesarkan kerana semuanya sudah selesai. Perselisihan kecil yang berlaku itu adalah lumrah dalam kehidupan rumah tangga dan semua orang melaluinya. “Semuanya telah selesai dengan baik, kami bersepakat untuk merujuk semula perkara ini secara sah di mahkamah dalam masa satu atau dua hari lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Aziz Sattar Tidak Berminat Sertai Semula Karyawan

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak veteran Datuk Aziz Sattar tidak berminat untuk menerima pelawaan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez bagi menyertai semula persatuan itu. Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta, 87, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menjaga hubungan silaturahim dengan Freddie mahupun ahli-ahli persatuan berkenaan tetapi tidak berhasrat untuk bekerjasama di bawah pertubuhan itu. “Saya minta maaf kerana tidak dapat tunaikan pelawaan Karyawan walaupun sudah beberapa kali mereka meluahkan keinginan untuk menjemput saya sebelum ini menyertai semula persatuan itu. “Pada waktu ini, saya tidak lagi berminat untuk bersama mereka. Namun, itu tidak bermakna kami masih bermasam muka kerana saya dengan Freddie mahupun ahli persatuan itu tiada sebarang masalah sekarang,” katanya. Aktor filem Seniman Bujang Lapok ini berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan dikeluarkan Freddie sebelum ini yang mahu berdamai dan mengundang beliau untuk berkhidmat semula dalam Karyawan. Kemelut antara mereka tercetus selepas keahlian Aziz dipecat selepas aktor veteran itu mendakwa berlakunya penyelewengan wang dalam persatuan terbabit pada 2008.
Aziz berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah untuk berbakti dan memperjuangkan hal ehwal rakan-rakan artis seangkatannya menerusi Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAV) yang kini sudah tiga tahun ditubuhkan. “Saya tidak boleh sertai semula Karyawan kerana kesetiaan dan keutamaan kini adalah pada PKAV yang menjaga dan menguruskan hal ehwal artis-artis veteran. “Saya tidak boleh khianati rakan-rakan ini dan pergi kepada Karyawan pula kerana mereka (artis veteran) lebih memerlukan khidmat dan tenaga saya bagi memperjuang dan melindungi hak kami,” katanya yang menggalas tugas pemangku Presiden selepas kematian Datuk Ismail Hudson pada 21 Julai lalu. Mengenai status kesihatannya, Aziz berkata, keadaannya bertambah sihat dan stabil selepas memakan ubat-ubatan dan doa semua pihak. “Kesihatan saya semakin baik. Sakit pun sikit-sikit sahaja dan terkawal. Syukur kepada Allah, berkat doa, ubat dan sokongan keluarga, rakan-rakan dan peminat saya kembali memandu seperti biasa,” katanya. Aziz dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini pada 23 Jun lalu kerana serangan sakit jantung.

Permusuhan Aziz Sattar & Freddie Fernandez Mungkin Selesai

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez percaya tindakan Datuk Aziz Sattar yang mula bertegur sapa dengannya dalam beberapa pertemuan kebelakangan ini sebagai petanda baik untuk menamatkan konflik yang tercetus antara mereka. Freddie berkata, reaksi Aziz yang dilihat semakin mesra ketika mereka bertemu pada sebuah majlis berbuka puasa minggu lalu membuktikan pelakon veteran itu bersedia untuk mencari jalan damai. “Apa yang saya perhatikan Datuk Aziz sudah mula bertegur sapa ketika kami bertemu di sebuah majlis berbuka puasa baru-baru ini. Saya percaya ia adalah petanda yang baik ke arah menamatkan persengketaan. “Lagipun, dia turut meminta maaf kepada kami atas kekecohan yang timbul ketika Karyawan menziarahinya di hospital pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui mStar Online. Freddie berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri Yayasan Tabung Amanah Muhibah (TAMU) dan Karyawan kepada 15 artis veteran di sebuah hotel di sini, malam Selasa.
Kemelut antara mereka bermula selepas keahlian Aziz dipecat kerana mendakwa berlaku penyelewengan wang dalam persatuan itu pada 2008. Ditanya mengenai perancangan untuk memujuk semula seniman legenda itu ke dalam Karyawan, Freddie berkata, ia masih berada pada peringkat perbincangan dan dijangka dilaksanakan secepat yang mungkin. “Memang kita mahu Datuk Aziz menyertai Karyawan seperti yang dimaklumkan. Namun, kita masih mencari masa dan ruang yang sesuai untuk menjalankan perancangan itu. Mungkin selepas cuti raya kita boleh laksanakan jika tiada halangan,” katanya. Mengenai majlis penyerahan sumbangan kepada artis veteran pada tahun ini, Freddie berkata pihaknya berbesar hati apabila dapat melaksanakan beberapa penganjuran majlis untuk 25 artis tersebut.
“Kalau diikutkan, kira-kira 25 artis veteran kita senaraikan untuk menerima sumbangan pada tahun ini. Memandangkan jumlahnya agak ramai, jadi kita pecah-pecahkan pada beberapa majlis berasingan. “Pada malam ini (malam Selasa) sahaja, Karyawan bekerjasama dengan TAMU untuk memberikan sumbangan kepada 15 artis veteran yang kurang bernasib baik,” katanya. Sementara itu, Presiden TAMU, Senator Raja Datuk Ropiaah Raja Abdullah berkata, kerjasama mereka akan diteruskan dengan Karnival Chinta Muzik Selangor bermula 8 September depan. Menerusi karnival itu, kempen jelajah yang berasaskan klinik muzik oleh pemuzik profesional akan diberikan kepada anak-anak muda yang meminati muzik. “Sebagai permulaan, karnival ini akan diadakan di empat lokasi di Selangor antaranya Taman Medan dan Gombak. Kita sasarkan penyertaan belia seramai 1,500 orang untuk setiap lokasi. “Belia yang berminat pada muzik boleh mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar pemuzik profesional tanah air menerusi klinik yang dianjurkan ini,” katanya. Antara artis veteran yang menerima sumbangan adalah Latifah Omar, Kuswadinata, Limra, Zaiton Sameon, Hamid Gurkha, Aspalela Abdullah, Datin Paduka Julie Sudiro dan Samsudin Lamin.

Kecoh Apabila Wakil Seniman Dilarang Bertemu Aziz Sattar

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi keliru apabila ahli keluarga pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar tidak membenarkan pihaknya serta wakil media untuk melawat pelakon itu selepas dimasukkan ke Hospital Ampang pada Sabtu lalu kerana serangan sakit jantung. Zed berkata, pihaknya sebelum ini menerusi Biro Veteran persatuan itu telah memaklumkan kedatangan mereka dan mendapat persetujuan daripada ahli keluarga Aziz. "Saya tidak pasti mengapa keadaan jadi begini kerana kehadiran Seniman dengan niat yang baik iaitu untuk melawat dan bertanya mengenai keadaan Pak Aziz selain menyerahkan sumbangan bagi membantu meringankan bebannya. "Tak mengapalah kerana apa yang lebih penting kami telah menjalankan tanggungjawab kami demi menjaga kebajikan pelakon-pelakon veteran di negara ini," ujarnya ketika ditemui di perkarangan Hospital Ampang di sini, pada Selasa. Pada pertemuan yang berlangsung pukul 12 tengah hari itu, keadaan menjadi kecoh apabila beberapa ahli keluarga Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta tidak membenarkan wakil Seniman untuk melawat pelakon filem Bujang Lapok itu di wad. Ahli keluarganya juga enggan ditemu bual oleh pihak media bagi mengetahui perkembangan terkini Aziz. Zed dan wakil Biro Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, iaitu Jamawi Jaafar sempat menghulurkan wang kepada keluarga Aziz sebelum meninggalkan perkarangan hospital.
Selain wakil Seniman, turut kelihatan adalah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Fredie Fernandez dan beberapa orang artis yang hadir pada lawatan itu. Dalam pada itu, Zed menolak dakwaan keengganan ahli keluarga bertemu dengan wakil Seniman ekoran perbalahan di antaranya dengan ahli-ahli Seniman veteran yang tidak berpuas hati dengannya sebelum ini. "Kedatangan kami adalah atas dasar tanggungjawab terhadap ahli-ahli Seniman. Mereka suka atau tidak itu, terpulanglah kepada mereka," katanya. Sementara itu, Zed turut melawat pelakon Osman Kering,58, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini bagi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada isterinya iaitu Che Norhayati Che Omar, 48. Norhayati yang terharu dengan kunjungan itu memberitahu menghargai usaha Seniman yang dilihat begitu bersungguh-sungguh membantu golongan artis veteran seperti suaminya. Mengenai perkembangan terkini Osman, Norhayati memberitahu suaminya masih tidak sedarkan diri selain tekanan darah dan nadinya yang tidak stabil. Osman atau nama sebenarnya Osman Kassim dimasukkan ke HUKM pada 11 Jun lalu.

Seniman Tak Patuh Permintaan Aziz Satar Punca Jadi Kecoh

PETALING JAYA: Keluarga kepada Datuk Aziz Sattar menyifatkan kekesalan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang menuduh keluarga pelakon itu enggan memberi kerjasama kepada mereka tidak sepatutnya berlaku seandainya persatuan tersebut memenuhi janji yang telah dipersetujui. Cucu kepada Aziz iaitu Abu Ubaidah A. Ishak berkata, anak kepada Aziz iaitu Sandakiah membenarkan wakil Seniman melawat pelakon veteran itu tetapi hendaklah tanpa kehadiran pihak media. Kata Abu Ubaidah, semasa perbincangan itu pihak Seniman bersetuju dengan permintaan berkenaan tetapi malang sekali semasa di Hospital Ampang, pihaknya mendapati Presiden Seniman, Zed Zaidi telah memungkiri janji apabila datang bersama media. “Salah faham yang berlaku di Hospital Ampang apabila keluarga kami tidak membenarkan lawatan itu diteruskan telah memburukkan keadaan dan menggambarkan seolah-olah keluarga kami tidak prihatin dengan kehadiran pelawat. “Apa yang kami lakukan itu adalah atas permintaan Datuk Aziz sendiri yang tidak mahu diganggu oleh pihak media yang mungkin akan bertanya banyak perkara kerana dia benar-benar ingin berehat. Hal itu dipersetujui oleh Seniman tetapi pada hari berkenaan, lain pula jadinya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu Abu Ubaidah diminta mengulas kekecohan semasa rombongan Seniman, diketuai Zed Zaidi bersama pihak media yang ingin melawat Aziz Satar atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta kerana menghidap sakit jantung di Hospital Ampang dekat sini, Selasa. Keluarga pelakon itu tidak membenarkan wakil Seniman dan media yang hadir melawat Aziz di dalam wad sehingga menyebabkan Zed Zaidi meluarkan rasa terkejut dengan insiden itu. Kata Abu Ubaidah, keluarganya bersetuju untuk menerima kehadiran Seniman yang mahu memberikan sumbangan tetapi hendaklah memenuhi permintaan pelakon veteran itu sendiri. Lagipun katanya, sepanjang Aziz berada di hospital, hanya ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja yang dibenarkan melawat disebabkan beliau mahu berehat secukupnya. Dalam pada itu, Abu Ubaidah memberitahu keadaan datuknya itu beransur pulih selepas mendapat pemantauan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) sejak dimasukkan ke hospital Sabtu lalu namun masih memerlukan rehat secukupnya. Katanya, penyebaran berita mengatakan pelakon filem Bujang Lapok itu telah meninggal dunia juga adalah mengarut dan meminta orang ramai tidak mempercayai dengan khabar angin itu. "Ia seolah-olah satu trend dalam masyarakat yang suka menyebarkan sesuatu perkara tanpa mendapatkan kepastian sehingga perkara kematian pun dibuat main. "Bukan tidak pernah terjadi tetapi entah mengapa ada orang masih suka membuat fitnah tanpa sebarang usul periksa," katanya.

Resipi rahsia Aziz Sattar


MASIH terbayang-bayang dalam ingatan seniman negara ini bagaimana orang tuanya menyorong gerai ke gudang-gudang di sekitar Singapura bagi mencari sesuap nasi.

Sekitar 1950-an, ibu bapa Datuk Aziz Sattar, 86, yang berasal dari kota singa itu akan keluar awal pagi untuk berniaga mi rebus, soto dan bermacam lagi.

Sewaktu itu Aziz yang mesra dipanggil Pak Ajis sudah bekerja di Jalan Ampas dan air tangan ibunya itu terutama mi rebus menjadi makanan kegemarannya.

Resipi mi rebus itu kemudian diperturunkan kepada Pak Ajis serta adiknya yang kini membuka restoran di Singapura lalu turut diwariskan kepada generasi seterusnya, cucu-cucu Pak Ajis.

Demi menyambung resipi keluarga turun-temurun, cucu Pak Ajis, Abu Ubaidah Ahmad Ishak, 27, dan teman baiknya, Nik Syafiq Hadhari Nik Zulkipli, 25, membuka sebuah gerai khas menghidangkan menu negara seberang itu saja di Plaza Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Menurut pelakon filem Bujang Lapok itu, bezanya mi rebus Singapura dengan kebanyakan resipi mi rebus lain di sini, kuahnya lebih likat dan turut diletakkan taucu bagi melengkapkan rasa.

Selain itu, resipi istimewa itu menggantikan daging lembu dengan tetel yang boleh dikatakan lebih manis dan berlemak daripada daging biasa.

"Saya gembira bila cucu saya menyuarakan hasrat memperkenalkan resipi keluarga kepada orang ramai dan akan sentiasa memberi sokongan dan galakan," ujar Pak Ajis yang bertindak sebagai penasihat kepada perniagaan dua orang anak muda itu.

Mula beroperasi sejak 4 Februari lalu, menurut Abu, gerainya dikunjungi oleh ramai selebriti dan pihaknya bercadang menambah menu lain terutama masakan dari selatan.

"Ketika berbincang, menu pertama yang terfikir adalah mi rebus Singapura kerana ia susah didapati di sini dan saya tahu membuatnya.

"Buat masa ini kami fokus kepada menu mi rebus Singapura saja dan insya-Allah akan menambah menu serta restoran suatu hari nanti apabila kami semakin mahir dengan selok-belok perniagaan makanan.

"Visi saya melihat Teratak Pak Ajis suatu hari nanti akan menjadi satu jenama tersendiri yang dikenali ramai," ujar Abu, yang mahu mengubah hobi melepak kepada sesuatu yang menguntungkan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails