Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aznil Haji Nawawi. Show all posts
Showing posts with label Aznil Haji Nawawi. Show all posts

KELUARGA BESAR AZNIL NAWAWI

Kebiasaannya, pelakon dan pengacara Aznil Haji Nawawi memang jarang bergambar dengan keluarganya. Tapi bila dia bergambar, memang besar dan ramai. Big Family Day! Begitulah kata Aznil yang sempat ke Universal Studio, Pulau Sentosa Singapura untuk makan angin beramai-ramai. Tentu Belanjanya pun besarkan?

Aznil Nawawi Mahu Jadi Pengacara Program Agama

Selepas meraih kejayaan sepanjang 22 tahun menjadi pengacara berbentuk hiburan, Aznil Nawawi berhasrat meluaskan langkahnya untuk mengendalikan program berbentuk keagamaan. Aznil, 50, berkata, dia sudah bersedia mengendalikan program sedemikian sekiranya pihak stesen televisyen Astro yang dinaunginya mahu memberi kepercayaan untuk beliau berbuat demikian. "Walaupun saya tidak pernah berasa diri ini tua pada usia ini, sudah tiba masanya saya melebarkan kebolehan diri untuk menjadi pengacara dalam program-program berbentuk keagamaan. "Kita sering lihat, program-program sebegini sering dipelopori oleh pengacara yang berkopiah, berserban, berjubah dan sebagainya. Jadi saya mahu program keagamaan yang saya kendalikan ini lebih santai, sama seperti imej saya sekarang ini. "Alhamdulillah, untuk tujuan itu sedikit-demi sedikit saya berhijrah daripada segi dalaman diri. Bukannya nak kata saya ini cetek ilmu agama, cuma saya mahu lebih mendalaminya," kata Aznil. Aznil ditemui pada majlis rumah terbuka dan perkenalan wajah personaliti baru Astro di Hotel The Royale Bintang, Damansara, di sini, Khamis. Tambah Aznil, dia juga sedang mencari seorang guru yang boleh membimbingnya tentang ilmu-ilmu Islam sebagai persediaannya ke arah itu selain menambahkan lagi pengetahuan agama dalam dirinya. Bagaimanapun dia tidak akan melepaskan program-program yang sering dikendalikannya begitu sahaja sekiranya diberi peluang menjadi pengacara agama. "Walaupun sudah bersedia untuk mengacara di bidang keagamaan, saya masih lagi ada tuntutan mengendalikan program-program lain. "Tetapi sekiranya ada pelapis baru, maka saya akan memberi laluan kepada muka-muka baru pula. "Perlu diingat, kami (Astro) ada pelanggan dan tak bolehlah saya membiarkan program itu terkontang-kanting. Itu dah dikira pentingkan diri namanya," seloroh Aznil.

Rumah Dirompak, Aznil Kerugian RM40,000

KUALA LUMPUR: Rumah yang didiami pengacara televisyen popular Aznil Nawawi di Taman Yarl di sini dipecah masuk penjenayah malam kelmarin menyebabkan selebriti itu kerugian kira-kira RM40,000. Memetik laporan akhbar Kosmo! kejadian tersebut berlaku pada pukul 10 malam ketika ibunya dan dua orang amah berada di dalam rumah tersebut. Bagaimanapun, semasa kejadian Aznil tiada di situ. Menurut sumber, penjenayah itu melarikan sejumlah barang-barang kemas berupa cincin, gelang emas, anting-anting dan rantai kaki. Turut hilang ialah komputer riba dan beberapa helai pakaian. Menurutnya, kejadian tersebut berlaku tanpa disedari sesiapa. Penjenayah terbabit dipercayai memasuki rumah tersebut dengan cara mengumpil besi jeriji tingkap. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan kejadian tersebut dengan memberitahu rumah milik adik Aznil itu turut didiami selebriti tersebut bersama ibu dan adiknya.

Usia bukan alasan berehat - Aznil


TERGAMAM seketika apabila pengacara Aznil Nawawi memberitahu dia akan terus sibuk sepanjang tahun 2012. Ia termasuk akan terlibat dengan tujuh program kendaliannya dalam pelbagai genre.

Mana tidaknya, pada usia di ambang setengah abad atau lebih tepat 49 tahun, Aznil masih lagi bersemangat dan bekerja keras mencari rezeki menerusi bidang pengacaraan.

Sempat juga ditanya kepada anak jati Kuala Lumpur itu dari mana datang kudratnya untuk terus berada di pentas seni sekali gus menggenggam kemas status sebagai pengacara terulung negara.

Sambil ketawa kecil, Aznil berkata, dia tidak pernah memikirkan soal penat dan jauh sekali untuk merungut. Bagi Aznil, jika minat dan kesungguhan mengatasi segala-galanya, semua akan menjadi mudah.

"Kalau anda bertanya tentang tenaga yang saya miliki, jawapannya cukup mudah. Semua adalah daripada tugas saya sendiri. Apabila saya melakukan sesuatu tugas itu, saya akan mencurahkan dengan sepenuh hati tanpa memikirkan penat dan lelahnya.

"Saya sudah berada dalam industri ini hampir suku abad. Rasanya kalau saya sendiri tidak kuat dan tidak bersungguh-sungguh dalam kerjaya saya, pasti saya tidak akan berada selama ini di dalam industri.

"Untuk kekal lama, kita harus sentiasa gembira dan ikhlas melakukan setiap apa yang dilakukan kerana ia akan terpancar menerusi hasil kerja kita," kata Aznil penuh luhur dalam satu pertemuan bersama Hits di ibu negara, baru-baru ini.

Atas alasan itu, Aznil memberitahu dia akan terus 'mengganas' di kaca televisyen menerusi tujuh program yang akan dikendalikannya.

Kata Aznil, walaupun ada yang berpendapat dalam usianya kini dia seharusnya memperlahankan aktiviti seninya, namun bagi Aznil itu bukan alasan kukuh berbuat demikian.

"Saya akan terus bekerja selagi saya termampu. Selagi minat saya terus bercambah, selagi itu saya akan meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

"Tiada alasan untuk saya berehat atau mengundurkan diri sebagai seorang anak seni. Insya-Allah, selagi Allah SWT memberikan tenaga dan kudrat, saya tidak akan berhenti untuk memberikan hasil kerja yang terbaik," ikrar Aznil yang mula menempa kemasyhuran sebagai pengacara rancangan permainan hiburan, Pop Kuiz pada awal 90-an itu lagi.

Harapan

Bakal memulakan misi pencarian bakat baru dalam bidang pengacaraan pada uji bakat pertama di Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad ini (14 dan 15 Januari), sesungguhnya Aznil mengharapkan peserta yang hadir bersiap sedia sepenuhnya.

Malah dia memberitahu akan berfikiran terbuka untuk berhadapan dengan peserta yang memiliki idea kreatif serta hadir dengan personaliti dan gaya tersendiri dalam membentuk diri mereka sebagai seorang pengacara.

"Sudah pasti ini adalah cabaran untuk saya dalam mencungkil bakat-bakat baru ini yang saya percaya mempunyai idea baru dan segar untuk merobah senario dunia pengacara hari ini.

"Jika dahulu, gaya persembahan saya kerap dikritik dan sukar sekali diterima tetapi lama-kelamaan apabila sering didedahkan, akhirnya masyarakat menerimanya dengan terbuka.

"Skop dunia pengacaraan ini sebenarnya luas dan tidak boleh terlalu berfikiran sempit serta mengongkong diri kita untuk berada dalam satu acuan yang sama. Itu yang saya mahu lihat menerusi program On Air ini," ujar Aznil penuh harapan.

Menerusi On Air juga, Aznil yang memegang portfolio sebagai ketua juri itu tidak keseorangan, tetapi bakal dibantu oleh sahabatnya yang juga pengacara terkenal, Suhaimi Sulaiman.

Bukan itu sahaja, sesi uji bakat yang akan berlangsung di Pulau Pinang akan turut disertai oleh bekas pengacara Nona, Datin Seri Normala Shamsudin.

"Ibaratnya On Air ini juga bagaikan satu pertemuan kecil dengan kawan-kawan saya yang turut berkecimpung dalam dunia pengacaraan seperti Dang Suria Zainurdin dan Sarimah Ibrahim.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk musim pertama ini. Tetapi seandainya kami mendapat 50 orang peserta yang benar-benar layak, itu pun sudah memadai," kata Aznil tersenyum.

On Air yang diterbitkan oleh Azlan Zanudin itu dijangka siarannya pada April atau Mei ini di saluran Astro Ria.

Aznil Hj Nawawi Bakal Letak Jawatan, Henti Aktiviti Sebagai DJ Era FM?


Perkara ini sedang panas di Twitter sejak beberapa jam yang lalu — pertanyaan demi pertanyaan dari peminat muncul.

Namun Aznil Hj Nawawi atau panggilan popular beliau Pak Nil hanya membalas dengan senyuman kepada setiap pertanyaan yang datang di Twitter.

Rata rata peminat prihatin dengan ura ura yang mengatakan Pak Nil akan berhenti dari jawatan penyampai radio (deejay) Era FM tidak lama lagi — namun tiada sebarang kepastian.

Kenyataan terakhir Pak Nil melalui Twitter beliau mengumumkan yang satu sessi temuduga terbuka bakal di’adakan di’seluruh negara untuk mencari penyampai baru Era FM yang bakal di’latih sendiri oleh Pak Nil.

Kami cuba menghubungi pembantu peribadi Aznil Hj Nawawi untuk mendapatkan komen tentang khabar angin ini tetapi panggilan masih belum terjawab sehingga artikel ini di’tulis. Hmm.

Debaran Aznil


SEDARI awal ditawarkan watak antagonis dalam teater The Secret Life of Nora (Nora) yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Aznil Nawawi tidak dapat membayangkan bagaimanakah acuan watak tersebut seperti mana yang dikehendaki.

Puas juga dia mencari dan cuba mencari rentak sendiri agar watak Mr. J itu tidak menjadi klise dan mempunyai identiti diri Aznil sendiri.

Malah, Aznil juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangan apabila ada pihak cuba menyamakan Mr. J dengan watak Profesor Klon yang pernah dibawakannya dalam dua filem Cicak-Man.

"Sekarang, barulah saya mendapat gambaran jelas tentang siapakah Mr. J yang sebenarnya. Selepas menjalani beberapa siri latihan dan mendalami skripnya. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mr. J adalah watak antagonis yang berbeza.

"Saya perlu memahami dunia Mr. J yang penuh dengan ceritanya sendiri. Semuanya bersebab mengapa dia boleh bertindak di luar kawalan sehingga menjadi taksub kepada Nora.

"Kehidupannya memang menyedihkan apabila sewaktu kecil dia telah disisihkan oleh kawan-kawan kerana mempunyai wajah yang buruk.

"Daripada situ dia mula menyimpan dendam dan berusaha mahu menjadikan Nora milik mutlaknya," cerita Aznil yang memang cukup teruja untuk membawakan watak Mr. J dalam pementasan ini.

Terbuka

Atas alasan tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu mengharapkan peminat yang akan datang menonton pementasan Nora dengan minda yang terbuka.

Usahlah dibandingkan dirinya dengan mana-mana watak antagonis kerana kata Aznil, dia mahu mencipta watak tersebut mengikut caranya sendiri.

Apabila memperkatakan tentang Nora, Aznil sendiri masih lagi merasakan dirinya terapung di awangan kerana tidak percaya dapat melibatkan diri dalam pementasan mega itu.

Sebelum ini, Aznil hanya mampu bermimpi agar satu hari nanti dia dapat melibatkan diri dalam mana-mana produksi terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) waima watak kecil sekalipun.

Kini impiannya sudah terlaksana dan tiada lain yang dapat diucapkannya melainkan bersyukur dengan peluang keemasan itu.

Seperkara yang menjadi kebimbangan Aznil sewaktu mula-mula ditawarkan watak tersebut apabila memikirkan dia perlu menari.

Menyedari tarian bukanlah kemahirannya, namun, demi Nora, Aznil sanggup menyahut cabaran itu dan dia bertuah kerana mendapat bimbingan daripada Pat Ibrahim.

Begitu juga menyanyi, di mana Aznil perlu mengasah vokalnya memandangkan dia mempunyai sebuah lagu solo, Kau dan Aku untuk pementasan itu.

"Tetapi, soal itu (menari) adalah perkara kecil kerana apa yang lebih diutamakan sekarang adalah skrip dan pembentukan watak Mr. J itu terlebih dahulu.

"Selepas segalanya sudah berada dalam acuannya, barulah saya fokuskan pada tarian pula," kata Aznil yang tidak dapat bercuti lama pada Syawal kali ini lantaran komitmen untuk Nora.

Bukan hanya tarian yang menjadi kegusaran Aznil tetapi apabila dia perlu menghafal skrip yang panjang membuatkan Aznil perlu bekerja keras dalam menghidupkan watak Mr. J.

Aznil mengakui kekurangannya apabila dia tidak mampu untuk menghafal skrip dengan baik tetapi berkat usahanya, segala kelemahan itu dapat diatasi perlahan-lahan.

"Steven juga memberi kebebasan kepada kami untuk mewarnakan lagi watak masing-masing. Dia menerima segala idea yang dibentangkan. Itu membuatkan saya selesa dan berbangga dapat bekerja dengannya," kata bekas pengacara Akademi Fantasia itu tanpa berselindung.

Buang rasa malu

Bercerita tentang keserasiannya dengan Tiara, personaliti pujaan ramai ini hanya mampu ketawa kecil sebelum memberikan jawapannya.

Dengan penuh luhur, Aznil memberitahu dia cukup berdebar apabila berlakon di samping Tiara terutama melibatkan babak-babak dia perlu mengungkapkan kata cinta kepada Nora.

Mana tidaknya. Ada ketika kata Aznil, suami Tiara akan hadir menonton latihan dan sudah pasti perasaan kekok itu akan menerjah serta-merta lalu membuatkan Aznil menjadi segan.

"Itu pada mulanya tetapi selepas kami sudah tahu watak masing-masing, kami perlu fokus dan melupakan apa sahaja perkara yang cuba menjadi halangan.

"Saya mahu melakukan yang terbaik untuk pementasan ini kerana peluang ini tidak akan datang sekali lagi.

"Adalah lebih menyedihkan buat saya sekiranya lakonan saya tidak dapat mencapai piawaian kerana sudah pasti saya akan mengecewakan Tiara dan EVM.

"Saya tidak kisah berkorban waktu saya demi NORA," kata Aznil bersungguh.

Aznil Tidak Teruja Sambut Hari Raya


PETALING JAYA: Pengacara Aznil Nawawi mengakui terpaksa melupakan keghairahannya untuk menyambut Aidilfitri tahun ini kerana terpaksa bertugas di pagi Hari Raya.

Jelas deejay radio Era FM itu, bulan Ogos merupakan antara bulan penting bagi setiap stesen radio kerana merupakan bulan penilaian dan kaji selidik rating pendengar yang dibuat oleh AC Nielsen.

"Bagi setiap deejay bulan Ogos merupakan antara bulan penting kerana bulan untuk kaji selidik akan dilakukan. Jadi kami akan bekerja keras sikit untuk menarik pendengar,” katanya.

Selain itu, Aznil berkata lebaran kali ini kurang meriah berikutan anak perempuannya yang kini belajar di luar negara tidak pulang beraya.

"Saya akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Lagipun anak perempuan saya yang kini belajar di Australia tidak dapat pulang beraya," katanya.

Selain itu, Aznil kini sibuk menjalani latihan teater The Secret Life of Nora (TSLN) yang bakal dipentaskan pada penghujung September depan.

Mahu Kembalikan Nostalgia, Aznil Dilantik Pengacara AF9


KUALA LUMPUR: Desas-desus pengacara Aznil Nawawi kembali mengacarakan rancangan popular Akademi Fantasia Kesembilan (AF9) menjadi kenyataan apabila pengacara nombor satu itu diumumkan bagi mengendalikan program itu bermula 2 April ini.

Pemilihan Aznil dibuat berikutan pihak Astro ingin mengembalikan semula kenangan Akademi Fantasia musim pertama lalu. AF9 pada tahun ini merupakan program terakhir.

Menurut pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, kehangatan musim terakhir ini bakal menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan peminat.

"Kami mahu musim terakhir ini menjadi sejarah dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kita ingin beri yang terbaik dan Aznil merupakan pengacara pertama dan sudah sinonim dengan kewujudan AF.

"Kredibiliti dan keupayaan Aznil sebagai pengacara memang tidak dapat dinafikan. Saya percaya dia dapat menjalankan tanggung jawabnya dengan mengembalikan memori kegemilangan AF dengan gaya tersendiri," katanya dalam majlis sidang media berhubung perkara itu di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Azlin turut menafikan keputusan membawa masuk Aznil sebagai salah satu taktik memancing semula penonton AF yang semakin berkurang.

"Rating AF merupakan yang tertinggi dalam program terbitan Astro, setiap tahun rating masih kekal sama. Ia juga tidak dipengaruhi oleh pengacara," katanya.

Sementara itu, Aznil memberitahu peluang yang diberikan ini akan dilakukan sebaik mungkin.

"Saya menerima pelawaan untuk kembali semula adalah disebabkan ini merupakan musim kemuncak dan terakhir.

"Ramai yang akan merindui program ini selepas musim sembilan ini berakhir. Jadi saya mahu ia akan mengimbau kembali memori-memori lama," katanya.

Tambah Aznil, ia juga sebagai tanggung jawabnya yang bekerja di bawah stesen televisyen berbayar itu.

"Saya masih mengikat kontrak dengan Astro dan tiada sebarang isu tentang saya dibayar dengan harga yang tinggi untuk musim ini," katanya.

Akademi Fantasia musim kesembilan akan mula bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam di saluran 104.

Pasca hidup Aznil selepas pemergian Din


TERASA pantas masa berlalu dan tanpa disedari rupanya sudah sebulan selebriti versatil, Allahyarham Din Beramboi meninggalkan kita semua.

Tarikh 2 April 2010 pastinya memberikan satu kenangan yang tidak dapat dilupakan buat semua pihak termasuk keluarga, sahabat handai, peminat mahupun teman artis.

Bagi mereka, Allahyarham Din atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri umpama sinaran yang menerangi hari mereka di kala mereka berduka.

Selain keluarga, antara yang paling terkesan dengan pemergian Allahyarham Din ke rahmatullah ialah pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi.

Sehingga ke hari ini pun, jikalau berbicara dengan Aznil, 48, tentang sahabat karibnya itu, riak sedih pasti akan terpancar di wajahnya.

Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu lagi bersedih dan meratapi kehilangan arwah, tetapi Aznil tidak mampu untuk menolak saat memori yang tercipta singgah di kotak fikirannya.

Bukan sedikit kenangan antara Aznil dan sahabatnya itu. Jika hendak ditumpahkan di atas kertas, ia mampu menjadi novel bersiri yang tidak terhitung jumlahnya.

Secara lahiriah, mungkin ramai beranggapan hubungan Aznil dan Allahyarham Din hanyalah sekadar teman artis yang hanya memerlukan ketika suka sahaja.

Tetapi sebenarnya tidak. Persahabatan yang terjalin lebih 15 tahun itu melangkaui segala-galanya.

Hubungan mereka penuh dengan canda, tangis, ketawa dan duka. Tidak kurang juga, ada ketikanya mereka saling membenci tetapi kebencian itu diibaratkan benci-benci sayang.

"Hampir sebulan, saya berehat dan diberi cuti oleh majikan untuk menenangkan fikiran agar saya dapat mencari semangat baru untuk kembali bekerja.

"Selama setahun setengah yang lalu, punca kekuatan yang menolak saya untuk bangun dan pergi ke tempat kerja adalah daripada Allahyarham Din.

"Tetapi, kini semuanya sudah berubah. Saya kena bangkit sendiri dan menolak diri saya untuk meneruskan kehidupan tanpa adanya arwah lagi di sisi saya," demikian luahan hati Aznil dalam satu pertemuan di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Menyambung bicara, Aznil cukup sedar dia tidak boleh terlalu lama bersedih dengan kehilangan sahabatnya itu.

Baginya, kehidupan perlu diteruskan dan dia sendiri melihat keluarga arwah juga sudah dapat menerima hakikat dan meneruskan kehidupan mereka.

Kerana itu, dia tidak mahu menunggu lama untuk kembali bertugas dan bermula 28 April lalu, Aznil memulakan semula tugasnya sebagai penyampai radio popular itu.

Bukan pada slot pagi seperti kebiasaannya tetapi untuk tempoh dua minggu dari tarikh itu, Aznil cuba untuk menyesuaikan dirinya dengan rutin baru apabila ditugaskan pada waktu petang pula.

Memang sukar sedikit kata Aznil, pada mulanya untuk menyesuaikan diri dengan slot kerja yang baru.

Apatah lagi, dahulunya bekerja berdua tetapi kini keseorangan ada ketikanya Aznil membayangkan teman seperjuangannya itu masih berada di sisinya.

Masih jelas di fikiran Aznil bagaimana gelagat Allahyarham Din ketika di konti yang membuatkan Aznil tersenyum sendirian apabila terkenangkan memori itu.

"Masa mula-mula masuk kerja selepas bercuti, saya dapat bayangkan dia masih lagi di situ di atas kerusi yang ada di dalam konti.

"Semuanya masih tebal di kotak minda saya setiap kali teringatkan tingkah-laku serta gerak-gerinya di dalam studio.

"Bukan itu sahaja, haruman minyak wangi yang sering dipakai arwah juga masih melekat di hidung saya apabila berada di tempat kerja," cerita Aznil dalam nada yang sedikit sebak.

Mencari pembaharuan

Mendengar pengalaman Aznil itu, sudah jelas membuktikan ikatan perhubungan yang terjalin antara Aznil dan Allahyarham Din sememangnya begitu kuat sehingga maut memisahkan mereka.

Tetapi, selepas beberapa hari melalui rutin yang baru, Aznil semakin selesa dengan kedudukannya di waktu petang untuk menghiburkan peminat setia radio itu.

Selain itu juga, Aznil seharusnya juga mengucapkan terima kasih kepada peminat setianya yang tidak pernah berhenti menyokongnya.

Bagi anak jati Kuala Lumpur ini, apabila membaca, melihat dan mendengar komen mereka menerusi khidmat pesanan ringkas serta laman web sosial seperti Facebook membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk terus bekerja.

"Ternyata mereka masih lagi mahukan saya untuk kembali ke corong radio dan mewarnai hari-hari mereka menerusi celoteh saya," katanya sambil mengukir senyuman di wajahnya yang bagaikan tidak dimamah usia itu.

Kembali ke konti radio dan bekerja mengisi slot dari pukul 4 petang hingga 8 malam itu adalah atas perbincangan yang dilakukan antara Aznil dan stesen radio itu.

Akui Aznil, dia sendiri mahu bekerja untuk slot petang demi mencari pembaharuan dalam kerjayanya sebagai penyampai radio selepas pemergian Allahyarham Din.

Semuanya adalah kerana dia tidak mahu berterusan diburu kenangan bersama arwah jika terus berada di syif pagi.

Tetapi, hajat Aznil untuk terus berceloteh dengan pendengar radio Era pada waktu petang tidak kesampaian apabila majikannya mahu dia meneruskan legasi segmen pagi bermula semalam (10 Mei).

Kredibiliti yang sudah dibina selama setahun setengah itu nampaknya sukar dikikis dan kepercayaan itu terus diberikan kepada bapa kepada sepasang cahaya mata itu.

Lalu, apabila diberi mandat untuk meneruskan segmen Riuh Pagi Di Era, selebriti ternama ini menganggapnya sebagai satu cabaran baru.

"Siapakah yang akan kekal digandingkan dengan saya semuanya masih samar-samar lagi. Setiap hari, akan ada individu yang berbeza untuk berganding dengan saya sehingga pihak Era sudah mencari mereka yang sesuai.

"Kalau ditanya kepada saya, adalah lebih molek jika formula baru diperkenalkan untuk memberikan santapan baru buat pendengar setia radio Era dan tidaklah nampak terlalu klise.

"Kita tidak mahu pendengar membuat perbandingan antara arwah dan individu yang bakal menggantikan tempatnya nanti," katanya jujur memberikan pandangan peribadinya.

Bagi diri Aznil sendiri, dia sebenarnya tidak kisah untuk digandingkan dengan sesiapa tetapi dia perlu mengambil masa untuk membina keserasian dengan pasangannya nanti.

Tidak mahu sesiapa berkecil hati, kata Aznil, itu adalah caranya dalam bekerja dan dia juga percaya setiap individu itu mempunyai keistimewaan serta kelebihan yang tersendiri.

Dalam duduk bersembang dengan Aznil, penulis sempat mengusiknya adakah dia sudah bersedia untuk ditukarkan ke stesen radio Melayu lain naungan AMP Radio Networks selepas tiga tahun bersama Era.

Dengan usianya yang sekarang ini, stesen radio yang dilihat sesuai dengannya adalah Sinar FM dan sambil tersenyum, Aznil hanya menganggukkan kepalanya.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk ditukarkan ke mana-mana radio sekalipun. Kalau ke Sinar FM, saya tidak kisah malah saya suka seandainya khidmat saya diperlukan di sana.

"Konsep yang diketengahkan oleh stesen radio itu benar-benar sesuai dengan jiwa saya kerana lagu-lagu yang diputarkan itu sendiri mempunyai kenangan tersendiri buat saya," ujar Aznil yang juga pengkritik tetap Akademi Fantasia musim kelapan ini lagi.

‘Ubat’ saya sudah pergi selamanya - Aznil


PEMERGIAN Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi pada pukul 12.30 malam Jumaat lalu mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, malah ramai yang masih tidak mempercayai perkara tersebut.

Lawak jenaka yang sering berkumandang di corong radio dan televisyen masih lagi segar di ingatan, sementara keletahnya yang membawa seribu keceriaan dalam sesebuah kehidupan tidak mungkin dapat dilupakan.

Pengacara terkenal, Aznil Nawawi yang juga merupakan pasangan Allahyarham dalam program Riuh Pagi Era, menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan pemergian rakan karibnya itu. Dia yang masih merasakan kehangatan semangat Din ketika bergandingan pada setiap awal pagi di konti Era FM mengakui kehilangan arwah tidak akan ada penggantinya.

“Secara jujurnya pemergian Din memberi tamparan hebat kepada saya. Kejadian ini berlaku terlalu pantas dan betul-betul di depan mata saya. Bagi saya arwah tidak ada penggantinya sampai bila-bila pun dia adalah yang terbaik.

“Dia seorang yang sangat rendah hati, sentiasa buat orang gembira. Apa yang dia fikir hanyalah untuk mengembirakan orang lain. Saya pernah marah dia kerana berjenaka ketika saya sedang bersedih namun dia kata pada saya, tiada penyelesaian jika terus bersedih dan ketawa adalah ubat bersedih.

“Selepas ini siapa yang mahu buat saya ketawa ketika saya bersedih? Siapa yang mahu tegur dan marah saya lagi? Dia pernah kata, ketawa adalah ubat bersedih. Kini ubat saya telah pergi buat selamanya,” ujar Aznil sambil mengelap air matanya yang mengalir di pipinya.

Dalam pada itu, dia turut kesal kerana tidak mempengaruhi Din ke hospital semasa mula menunjukkan tanda-tanda demam yang disangkakan demam biasa.

“Arwah sudah demam beberapa hari, dia cuba sembunyikan yang dia sakit dan pura-pura sihat, tapi saya tahu. Dia cuba kawal batuk tapi di belakang saya dia batuk teruk.

“Saya nasihatkan dia tapi dia degil, dia tidak mahu pergi hospital atau klinik dan takut makan ubat. Hingga isterinya paksa ke klinik selepas beberapa hari demam. Saya rasa dia ambil masa yang lama untuk pergi sehingga keadaan jadi semakin teruk,” terangnya atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil.

Ketika ditanya tentang program Riuh Pagi Era yang dikendalikan bersama arwah, ternyata dia tidak mampu memberikan sebarang jawapan mengenainya.

“Entahlah... saya tidak tahu selepas ini bagaimana, secara jujurnya saya katakan saya setuju untuk mengendalikan program ini kerana dia.

“Ketika mula-mula dia dapat tawaran dari Era FM untuk slot pagi, dia call dan pujuk saya, dia kata, Nil, kau kerja la dengan aku pagi-pagi. Saya jawab, saya tidak suka bangun pagi. Lepas itu dia tanya saya, dia nak kerja dengan siapa kalau bukan dengan saya.

“Selepas itu, saya sendiri tawarkan diri untuk kerja pagi sedangkan pada masa itu pihak Era sendiri tidak tahu yang saya dan Din sudah berkomplot,” jelasnya yang diberi cuti selama seminggu mulai Khamis lalu.

Dalam pada itu, Aznil menganggap pemergian arwah sangat dirasai oleh rakyat yang mula menerimanya sebagai seorang pelawak dan penghibur tanah air.

“Saya tahu susah payah dia sebelum ini, dia melawak untuk mencari rezeki untuk keluarga. Sebelum ini dia tidak ada kerja tetap, dia pernah menjual kek pisang di pasar sehinggalah dapat tawaran di Astro. Bukan mudah untuk mencapai tahap apa yang dikecapi sekarang.

“Tapi sayang, dia pergi di saat rakyat Malaysia mula mengenali dan menerimanya. Ketika dia berada di puncak kerjayanya. Dia gembira sangat tercalon dalam Anugerah Bintang Popular akan datang ini. Siapa pun yang menang bagi saya hanya dia sahaja yang layak dan berhak,” katanya.

Jangan Sekadar Di Bibir


Biarpun pernah membatalkan Konsert Beyonce Experience dan mengalih ke Jakarta dua tahun lalu, akhirnya dia muncul juga di negara kita dengan persetujuan mengikuti tatasusila dan etika pentas yang digariskan kerajaan.

Bukanlah sebab tiada yang membantah konsertnya, tetapi mungkin Beyonce bersedia memenuhi garis panduan itu.

Selain hebat di pentas dengan nyanyian dan tarian yang memukau, Beyonce juga dijadikan ikon fesyen dunia.

Beyonce sering kelihatan mengenakan pakaian yang boleh membuat biji mata terbeliak. Apatah lagi pengkritik fesyen dunia. Jadi, kita mungkin tertanya apakah bentuk pakaian yang akan dikenakan Beyonce nanti.

Ramai membayangkan kepada Paknil bagaimana agaknya jika Beyonce muncul di pentas dengan berbaju kurung atau kebarung. Mungkin ini satu tamparan kepada mereka yang begitu senang membuat andaian kepada cita rasa penyanyi seksi ini.

Jika Beyonce pandai mencari keuntungan dalam ruang yang sempit, dia patut lakukan. Ini satu kejutan yang sangat mahal dan mungkin digemari penontonnya. Mana tahu, Beyonce akan lebih diperkatakan dunia selepas ini yang sekali gus memperkatakan keberanian Malaysia mengenakan peraturan sebegini.

Paknil bukan menyebelahi mana-mana pihak, tetapi Paknil rasa setiap artis dan siapa saja datang ke negara kita harus akur kepada etika dan syarat yang dikenakan. Tidak bolehlah main langgar saja.

Cuma yang Paknil musykilkan adalah mengenai etika berpakaian dan tatasusila di pentas, sama ada ia benar-benar wujud secara hitam putih dan diwartakan atau sebaliknya.

Mungkin Paknil yang ketinggalan daripada segi perundangan dan peraturan pentas di Malaysia tetapi jika dilihat, Paknil masih lagi dapat lihat ada artis tempatan yang seksi di pentas.

Adakah etika ini hanya untuk artis luar sedangkan artis tempatan masih lagi berani berpakaian tidak seperti disyaratkan?

Masih lagi kelihatan artis kita berpakaian dengan fesyen seperti ‘Senandung Lurah Dendam’, ‘Kain Sempit Belahan Maut’ dan ‘Potongan Bahu Senget’. Ini masih boleh didapati pada persembahan pentas, TV, karpet merah dan majlis rasmi.

Paknil cuma gusar jika negara kita akan menjadi bahan tertawa penghibur asing jika mereka tahu ada artis kita berpakaian lebih teruk daripada apa yang disyaratkan kepada mereka.

Yalah, sekarang zaman serba canggih dan dengan kemudahan teknologi terkini, Paknil pasti jawapan sebenar ada di hujung jari penghibur luar seperti Beyonce.

Dengan rujukan melalui enjin pencarian Google saja, Paknil pasti Beyonce boleh menjadikan pakaian artis kita untuk dijadikan ‘contoh terbaik’ mengenai etika itu. Siapa nak jawab?

Adakah kita bersifat ‘double-standard’ atas perlaksanaan etika berpakaian dan perlakuan di pentas?

Paknil terpanggil untuk menceritakan kehebatan negara jiran kita, Brunei menyempurnakan peraturan kod etika berpakaian dan perlakuan untuk artis mereka.

Kod etika ini turut diguna pakai untuk artis luar yang membuat persembahan di negara pengeluar minyak itu.

Ini bermakna kod etika mereka benar-benar wujud dan diwartakan. Setiap artis tak kira artis tempatan atau luar yang ingin membuat persembahan di negara itu, walaupun dijemput oleh pihak pemerintah, tertakluk kepada peraturan itu tanpa kompromi.

Kunjungan pertama Paknil ke sana pada awal 2000 sebagai pengacara bagi rancangan terbitan bersama RTM-RTB di pentas terbuka Taman Tema Jerudong di Bandar Seri Begawan.

Sebelum ke sana, taklimat diberi oleh RTM akan etika berpakaian di sana, tetapi Paknil menganggap itu biasa saja sebab di RTM sendiri ada kod etika berpakaian yang harus kami akur.

Yang membuat Paknil terpegun ialah apabila wujudnya badan penapis persembahan yang bertanggungjawab memastikan artis yang akan membuat persembahan mematuhi peraturan itu.

Mulanya kami yang pertama kali ke sana tersenyum sinis dengan tugas mereka kerana bagi kami ia pelik dan lucu.

Semua artis yang terbabit diminta berkumpul di lokasi konsert sehari sebelum persembahan dengan membawa setiap pakaian yang akan dikenakan pada konsert sebenar bagi dinilai oleh badan khas itu.

Artis diwajibkan hadir sambil mengenakan pakaian dan bukan melalui wakil artis. Jika artis itu ingin bergaya dengan 10 pasang busana, semua busana itu harus diperagakan di depan mereka.

Ketika itu wakil mereka akan menilai secara terperinci pakaian mengikut garis panduan potongan baju, labuh pakaian, jarang nipis kain dan sebagainya. Memang ada pakaian ditolak kalau tidak sesuai. Keputusan mereka muktamad.

Kesesuaian pakaian di pentas ini turut membabitkan penari dan penyanyi latar. Pakaian mereka juga dinilai. Pemuzik iringan dan pengacara tidak terkecuali.

Perkara ini turut berlaku ketika kami dijemput menjayakan konsert jelajah Akademi Fantasia di Brunei.

Sebenarnya untuk semua konsert dan persembahan, badan khas ini juga diberi keutamaan untuk menontonnya terlebih dulu pada sidang tertutup. Selalunya ia dilakukan pada sesi raptai penuh. Persembahan khas ini harus menyamai persembahan yang bakal dipentaskan nanti daripada setiap segi, termasuk sistem lampu dan bunyi.

Pihak penganjur juga diwajibkan untuk membekalkan lirik pada setiap lagu. Arahan pihak berwajib ini untuk memastikan lagu yang bakal dipersembahkan tidak mengandungi unsur lucah atau melanggar akidah serta sopan budaya.

Ini bermakna artis yang ingin membuat persembahan di sana mesti sentiasa bersedia dengan lagu tambahan seandainya lagu pilihan mereka tidak mendapat lampu hijau.

Selalunya selepas sesi raptai penuh itu juga, pengadilan akan dilakukan sama ada konsert itu lulus atau tidak. Semua yang terbabit diberi penerangan buat kali terakhir ketika itu supaya kod etika ini dipatuhi.

Kini baru Paknil sedar kod etika mereka adalah mengikut budaya mereka dan sememangnya kita orang mendatang ini akur jika ingin berkarya di tempat mereka.

Seseorang artis masih lagi mempunyai pilihan sama ada ingin membuat persembahan atau tidak kerana etika berpakaian ditetapkan. Maka isu tidak puas hati dengan peraturan negara itu tidak seharusnya timbul.

Paknil tabik mereka kerana benar-benar menegakkan apa yang ditetapkan dan tidak janggal pula melakukan tugas mereka walaupun dianggap pelik dan lucu oleh sesetengah pihak.

Kalau diikutkan, banyak lagi peraturan pelik yang dipraktikkan di negara Barat yang kita kunjungi dan berbeza dengan cara hidup kita, tetapi kita akur dan tidak pula menentang. Jadi perkara sama juga harus diterima oleh orang luar jika berkunjung ke negara kita.

Namun persoalannya, adakah kita benar-benar serius dan ikhlas dengan tindakan kita atau setakat memenuhi permintaan pihak tertentu? Adakah peraturan ini bersifat kekal atau sementara? Adakah semua artis tertakluk kepadanya atau artis luar saja? Yang penting, mana hitam putihnya?

borakPaknil: Usah lupa rumput


Kadangkala perbandingan ini perlu dan penting juga untuk menilai sama ada kita bergerak ke depan atau ada di takuk lama atau lebih teruk dari dulu. Tidak semestinya yang baru dan moden ini semuanya baik dan yang lama itu patut dibuang.

Kita selalu bangga bila bercakap mengenai kemajuan dan pencapaian yang kita nikmati hari ini. Teknologi banyak membantu, malah dapat melahirkan naskhah yang tidak pernah terfikir untuk direalisasikan.

Komputer banyak menjadikan kerja seni lebih senang dan berkualiti. Dalam bidang nyanyian, artis boleh berduet dalam satu lagu tanpa perlu bertemu ketika rakaman. Malah ada yang berduet dengan penyanyi asal yang sudah meninggal dunia.

Filem pula, penjanaan imej grafik komputer membolehkan anak seni kita berkarya tanpa ada sempadan lokasi kerana semua boleh dilakukan dengan perisian canggih. Banyak lokasi yang melangkaui pemikiran kita sebelum ini bukan lagi mustahil dihasilkan.

Bangga kerana pada pemerhatian Paknil selama ini menyaksikan betapa untungnya penggiat seni kini berbanding dulu.

Filem kini banyak dihasilkan dan mendapat pulangan sehingga jutaan ringgit. Panggung yang selesa juga berlambak, sekali gus menarik minat orang ramai untuk menonton.

Begitu juga tontonan di TV. Kehadiran Astro mendedahkan kita kepada pelbagai saluran TV dunia dan terbitan negara lain. Pendedahan ini menjadikan anak bangsa kita lebih berani melahirkan idea segar.

Namun bila kita pandang semula ke belakang, sedarkah kita bahawa ada nilai-nilai lama yang kita sudah pinggirkan ketika kita sibuk mengejar permodenan.

Itulah sebabnya Paknil sering berpegang pada peribahasa lama - ‘kalau memandang bintang di langit, jangan sampai lupa rumput di bumi.’

Kita boleh maju dan sehebat mereka di Barat tetapi kita kenalah imbangkan dengan jati diri kita. Jangan sanggup gadaikan nilai kita semata-mata untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa lain yang maju.

Bila lihat kembali bidang nyanyian dulu-dulu, Paknil bangga bila ada insan istimewa yang cacat anggota diberi peluang sama banyak dengan orang lain.

S Jibeng umpamanya antara penggiat seni OKU yang dikenang sehingga kini.

Suara gemersiknya menjadi pujaan penggemar lagu ketika itu sehingga dikenali dan digilai bukan kerana keadaan fizikalnya tetapi kerana suara dan bakatnya.

Begitu juga kehadiran insan kerdil Param sebagai pelawak. Mendiang sangat disenangi dan mendapat peluang berlawak dan berlakon kadangkala melebihi peluang yang diterima orang yang sempurna.

Malah, kami sebagai pemerhati ketika itu rasakan macam satu keajaiban pula bila melihat bakat yang hebat berbanding fizikal mereka.

Namun kini, nampak gayanya senario ini seperti mula nampak pudar dan sedikit demi sedikit mula lenyap.

Golongan OKU seperti tidak mendapat tempat di persada seni tanah air kita. Fokus kita lebih kepada bakat golongan cantik molek saja sehingga menidakkan bakat golongan istimewa itu.

Paknil pasti ramai di kalangan OKU yang mempunyai bakat nyanyian hebat sebab Paknil pernah menghadiri majlis yang membabitkan mereka yang cacat penglihatan.

Malah ramai yang kagum dengan suara lunak mereka, tetapi sayangnya bakat ini tidak diketengahkan.

Paknil pun tidak tahu silap siapa. Adakah mungkin kita berasakan yang mereka ini tidak mempunyai nilai komersial dan sukar untuk dipasarkan?

Atau mungkin mereka sendiri yang merasa rendah diri dan tidak mahu tampil seperti golongan kebanyakan? Atau mungkin juga sudah lumrah yang peminat seni kita hanya mahu yang ‘sempurna’ dan cantik di mata mereka?

Cukup-cukuplah penindasan hak dalam bidang pekerjaan yang lain dan jangan pula kita menutup peluang untuk mereka sama bergiat dalam bidang seni.

Kalau kita sanggup lihat pelakon hebat berlakon memegang watak orang buta dalam drama atau filem, kenapa agaknya kita tidak serahkan watak itu kepada mereka yang cacat penglihatan sendiri untuk menghidupkannya? Paknil rasa ini lebih meninggalkan kesan dan tidak seperti dibuat-buat.

Begitu juga untuk watak bisu, tempang dan berkerusi roda. Sekurang-kurangnya, dapat juga kita semarakkan bidang seni ini bila penggiatnya datang dalam pelbagai bentuk.

Kalau diikutkan logik, golongan OKU ini juga harus ditampilkan di bidang seni sebagai golongan yang bukan untuk menagih simpati dan air mata semata-mata.

Di dalam filem atau drama, mereka juga boleh ditampilkan di dalam watak normal seperti pensyarah umpamanya. Namun oleh kerana kebiasaan kita hanya memberi fokus kepada golongan sempurna, maka kita sering terlepas pandang mereka.

Mungkin selepas ini kita boleh asah fikiran kita untuk mengambil kira golongan OKU ini dalam kerja seni kita kerana kalau dilihat dalam bidang sukan, golongan OKU nampaknya lebih mendapat tempat.

Penyertaan OKU dalam sukan daripada pelbagai disiplin menjadikan diri mereka sehebat atlit profesional dan mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa seperti Paralimpik.

Ini yang harus kita ambil kira dalam memartabatkan bakat seni golongan OKU.

Paknil juga terpanggil untuk melatih golongan OKU bagi melahirkan pengacara yang berbakat. Paknil mencabar diri sendiri untuk melatih golongan cacat anggota supaya dapat meneraju program TV.

Menjadi perantara untuk rancangan bual bicara yang lebih banyak duduk dari beraksi mungkin antara rancangan yang sesuai kerana yang dititikberatkan di sini adalah idea serta kehebatan berbicara penggiat itu.

Jika ia tidak mengganggu pergerakan, tiada sebab mengapa pengacara OKU juga tidak boleh diketengahkan untuk rancangan hiburan. Mungkin mereka dapat beraksi lebih hebat daripada pengacara yang berdiri tegak macam kayu walaupun sempurna anggota.

Paknil yakin jika bakat mereka besar, penonton secara automatik tidak akan nampak kecacatan fizikal dan ketika itu golongan ini akan diterima sama seperti pengacara lain.

Paknil juga berasakan TV adalah medium terbaik untuk mengetengahkan bakat mereka kerana TV sangat rapat dengan khalayak. Hampir setiap isi rumah di Malaysia menonton TV.

Jika paparan dilakukan secara berterusan, Paknil yakin kehadiran mereka tidak lagi dianggap asing.

Bukan saja di Malaysia, malah kebanyakan negara di dunia ini sering terlepas pandang akan golongan istimewa ini dalam bidang hiburan. Hiburan adalah seperti menjadi hak mutlak golongan sempurna anggota.

Paknil harap kita nanti ikhlas menerima golongan ini dalam cabang seni kita sama seperti kita melayan penggiat yang lain. Bukan semata-mata untuk tujuan gimik atau publisiti.

Paknil juga berharap golongan ini tidak dijadikan bahan jenaka. Bukan saja di pentas perkara ini harus dijaga, malah dalam pergaulan kita seharian juga patut diambil kira.

Cukup-cukuplah lawak kita yang sering mengajuk orang sengau bercakap, orang pekak tersalah tafsir, orang gila sakit mental atau orang berjalan tempang.

Paknil berpesan pada semua dan diri Paknil sendiri untuk lebih sensitif kepada hal sedemikian, tetapi kita cuma manusia yang sering melakukan kesilapan akibat sudah terlalu lama terbiasa kesilapan yang sama.

Yang pasti kita memasang tekad untuk berubah dan diberikan ruang untuk memperbaiki diri, insya-Allah. Wassalam.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails