
Kadangkala perbandingan ini perlu dan penting juga untuk menilai sama ada kita bergerak ke depan atau ada di takuk lama atau lebih teruk dari dulu. Tidak semestinya yang baru dan moden ini semuanya baik dan yang lama itu patut dibuang.
Kita selalu bangga bila bercakap mengenai kemajuan dan pencapaian yang kita nikmati hari ini. Teknologi banyak membantu, malah dapat melahirkan naskhah yang tidak pernah terfikir untuk direalisasikan.
Komputer banyak menjadikan kerja seni lebih senang dan berkualiti. Dalam bidang nyanyian, artis boleh berduet dalam satu lagu tanpa perlu bertemu ketika rakaman. Malah ada yang berduet dengan penyanyi asal yang sudah meninggal dunia.
Filem pula, penjanaan imej grafik komputer membolehkan anak seni kita berkarya tanpa ada sempadan lokasi kerana semua boleh dilakukan dengan perisian canggih. Banyak lokasi yang melangkaui pemikiran kita sebelum ini bukan lagi mustahil dihasilkan.
Bangga kerana pada pemerhatian Paknil selama ini menyaksikan betapa untungnya penggiat seni kini berbanding dulu.
Filem kini banyak dihasilkan dan mendapat pulangan sehingga jutaan ringgit. Panggung yang selesa juga berlambak, sekali gus menarik minat orang ramai untuk menonton.
Begitu juga tontonan di TV. Kehadiran Astro mendedahkan kita kepada pelbagai saluran TV dunia dan terbitan negara lain. Pendedahan ini menjadikan anak bangsa kita lebih berani melahirkan idea segar.
Namun bila kita pandang semula ke belakang, sedarkah kita bahawa ada nilai-nilai lama yang kita sudah pinggirkan ketika kita sibuk mengejar permodenan.
Itulah sebabnya Paknil sering berpegang pada peribahasa lama - ‘kalau memandang bintang di langit, jangan sampai lupa rumput di bumi.’
Kita boleh maju dan sehebat mereka di Barat tetapi kita kenalah imbangkan dengan jati diri kita. Jangan sanggup gadaikan nilai kita semata-mata untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa lain yang maju.
Bila lihat kembali bidang nyanyian dulu-dulu, Paknil bangga bila ada insan istimewa yang cacat anggota diberi peluang sama banyak dengan orang lain.
S Jibeng umpamanya antara penggiat seni OKU yang dikenang sehingga kini.
Suara gemersiknya menjadi pujaan penggemar lagu ketika itu sehingga dikenali dan digilai bukan kerana keadaan fizikalnya tetapi kerana suara dan bakatnya.
Begitu juga kehadiran insan kerdil Param sebagai pelawak. Mendiang sangat disenangi dan mendapat peluang berlawak dan berlakon kadangkala melebihi peluang yang diterima orang yang sempurna.
Malah, kami sebagai pemerhati ketika itu rasakan macam satu keajaiban pula bila melihat bakat yang hebat berbanding fizikal mereka.
Namun kini, nampak gayanya senario ini seperti mula nampak pudar dan sedikit demi sedikit mula lenyap.
Golongan OKU seperti tidak mendapat tempat di persada seni tanah air kita. Fokus kita lebih kepada bakat golongan cantik molek saja sehingga menidakkan bakat golongan istimewa itu.
Paknil pasti ramai di kalangan OKU yang mempunyai bakat nyanyian hebat sebab Paknil pernah menghadiri majlis yang membabitkan mereka yang cacat penglihatan.
Malah ramai yang kagum dengan suara lunak mereka, tetapi sayangnya bakat ini tidak diketengahkan.
Paknil pun tidak tahu silap siapa. Adakah mungkin kita berasakan yang mereka ini tidak mempunyai nilai komersial dan sukar untuk dipasarkan?
Atau mungkin mereka sendiri yang merasa rendah diri dan tidak mahu tampil seperti golongan kebanyakan? Atau mungkin juga sudah lumrah yang peminat seni kita hanya mahu yang ‘sempurna’ dan cantik di mata mereka?
Cukup-cukuplah penindasan hak dalam bidang pekerjaan yang lain dan jangan pula kita menutup peluang untuk mereka sama bergiat dalam bidang seni.
Kalau kita sanggup lihat pelakon hebat berlakon memegang watak orang buta dalam drama atau filem, kenapa agaknya kita tidak serahkan watak itu kepada mereka yang cacat penglihatan sendiri untuk menghidupkannya? Paknil rasa ini lebih meninggalkan kesan dan tidak seperti dibuat-buat.
Begitu juga untuk watak bisu, tempang dan berkerusi roda. Sekurang-kurangnya, dapat juga kita semarakkan bidang seni ini bila penggiatnya datang dalam pelbagai bentuk.
Kalau diikutkan logik, golongan OKU ini juga harus ditampilkan di bidang seni sebagai golongan yang bukan untuk menagih simpati dan air mata semata-mata.
Di dalam filem atau drama, mereka juga boleh ditampilkan di dalam watak normal seperti pensyarah umpamanya. Namun oleh kerana kebiasaan kita hanya memberi fokus kepada golongan sempurna, maka kita sering terlepas pandang mereka.
Mungkin selepas ini kita boleh asah fikiran kita untuk mengambil kira golongan OKU ini dalam kerja seni kita kerana kalau dilihat dalam bidang sukan, golongan OKU nampaknya lebih mendapat tempat.
Penyertaan OKU dalam sukan daripada pelbagai disiplin menjadikan diri mereka sehebat atlit profesional dan mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa seperti Paralimpik.
Ini yang harus kita ambil kira dalam memartabatkan bakat seni golongan OKU.
Paknil juga terpanggil untuk melatih golongan OKU bagi melahirkan pengacara yang berbakat. Paknil mencabar diri sendiri untuk melatih golongan cacat anggota supaya dapat meneraju program TV.
Menjadi perantara untuk rancangan bual bicara yang lebih banyak duduk dari beraksi mungkin antara rancangan yang sesuai kerana yang dititikberatkan di sini adalah idea serta kehebatan berbicara penggiat itu.
Jika ia tidak mengganggu pergerakan, tiada sebab mengapa pengacara OKU juga tidak boleh diketengahkan untuk rancangan hiburan. Mungkin mereka dapat beraksi lebih hebat daripada pengacara yang berdiri tegak macam kayu walaupun sempurna anggota.
Paknil yakin jika bakat mereka besar, penonton secara automatik tidak akan nampak kecacatan fizikal dan ketika itu golongan ini akan diterima sama seperti pengacara lain.
Paknil juga berasakan TV adalah medium terbaik untuk mengetengahkan bakat mereka kerana TV sangat rapat dengan khalayak. Hampir setiap isi rumah di Malaysia menonton TV.
Jika paparan dilakukan secara berterusan, Paknil yakin kehadiran mereka tidak lagi dianggap asing.
Bukan saja di Malaysia, malah kebanyakan negara di dunia ini sering terlepas pandang akan golongan istimewa ini dalam bidang hiburan. Hiburan adalah seperti menjadi hak mutlak golongan sempurna anggota.
Paknil harap kita nanti ikhlas menerima golongan ini dalam cabang seni kita sama seperti kita melayan penggiat yang lain. Bukan semata-mata untuk tujuan gimik atau publisiti.
Paknil juga berharap golongan ini tidak dijadikan bahan jenaka. Bukan saja di pentas perkara ini harus dijaga, malah dalam pergaulan kita seharian juga patut diambil kira.
Cukup-cukuplah lawak kita yang sering mengajuk orang sengau bercakap, orang pekak tersalah tafsir, orang gila sakit mental atau orang berjalan tempang.
Paknil berpesan pada semua dan diri Paknil sendiri untuk lebih sensitif kepada hal sedemikian, tetapi kita cuma manusia yang sering melakukan kesilapan akibat sudah terlalu lama terbiasa kesilapan yang sama.
Yang pasti kita memasang tekad untuk berubah dan diberikan ruang untuk memperbaiki diri, insya-Allah. Wassalam.