Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Daus AF. Show all posts
Showing posts with label Daus AF. Show all posts
Daus (AF8) Berbalah Kerana Nama Anak
Penyanyi Daus (AF8) yang baharu sahaja menimang cahaya mata perempuan awal bulan lalu mengakui agak sukar untuk memilih nama untuk bayi sulungnya itu.
Daus atau nama sebenar Muhd Shahril Firdaus B. Eli, 26, berkata, dia dan isterinya Syaza Syamimi Jalaludin Khan, 27, pernah berbalah memilih nama anak sebelum membuat keputusan menetapkan nama Delysha Senzela untuk bayi mereka itu.
"Susah juga nak dapat nama untuk bayi ini, selepas sahaja mendapat tahu jantina bayi, kami masing-masing sibuk menyenaraikan nama pilihan sendiri.
"Saya suka nama-nama klasik dan nama bunga, namun isteri pula suka nama yang ada makna dalam bahasa Arab. Akhirnya saya mengalah dan bersetuju dengan pilihan nama oleh isteri saya iaitu Delysha Senzela. Dalam bahasa Arab, Delysha ialah gembira, manakala Senzela adalah sejenis bunga," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Inilah anak Daus yang diberi nama Delysha Senzela.
Bayi seberat 3.4 kilogram itu dilahirkan secara normal di Pusat Perubatan Bintulu di Sarawak pada pukul 12 tengah hari, 7 April lalu.
Dalam pada itu, Daus turut menceritakan perasaannya ketika berada di dalam bilik bersalin bagi menemani isterinya melahirkan zuriat mereka.
"Saya berada dalam bilik bersalin selama hampir 40 minit dan perasaan ketika itu sukar untuk digambarkan kerana itu kali pertama saya berasa cemas.
"Rasa bagai nak pengsan bila melihat banyak darah keluar, namun perasaan itu hilang bila bayi selamat keluar dengan sempurna," katanya.
Daus dan Syaza Syamimi mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2013. Kedua-dua pasangan ini berasal dari Sarawak.
Kata Daus lagi, dia bakal berehat sementara waktu bagi menjaga isterinya di Bintulu sehingga habis tempoh berpantang.
Tambahnya, dia bakal kembali semula untuk aktif dalam industri hiburan bermula bulan hadapan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Seribu Rasa Cinta.
"Lepas ada ahli keluarga baru ini saya lebih bersemangat untuk bekerja, maklumlah dulu kerja untuk hidup berdua kini tambah lagi seorang.
"Saya percaya rezeki anak itu ada dan apa yang penting kita perlu sentiasa berusaha," katanya.
Rezeki Daus (AF8) Melimpah Selepas Kahwin
Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus, tidak menyangka rezekinya semakin melimpah sejak mendirikan rumah tangga dengan Syaza Syamimi, pada 7 Jun lalu.
Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 25, berkata, perbezaan sebelum dan selepas dia berkahwin cukup ketara lebih-lebih lagi apabila dia telah menandatangani perjanjian sebagai penerbit lagu dan artis di bawah syarikat KRU Music baru-baru ini.
"Alhamdulillah, jika dahulu saya melihat perjalanan karier nyanyian sudah hampir sepi, tiba-tiba selepas kahwin, lain pula jadinya.
"Saya turut melibatkan diri dalam pembikinan lagu bagi artis-artis di bawah KRU sendiri. Malah undangan mengadakan persembahan juga semakin bertambah.
"Tak sangka memang betul kata orang rezeki selepas berkahwin sememangnya wujud. Nikmat hidup berpasangan juga menyeronokkan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Tambah Daus, dia menyifatkan kehidupan alam berumah tangga turut membuka ruang buatnya untuk kembali aktif di bidang muzik.
Dalam pada itu, Daus juga bakal muncul dengan single lagu terbaharu iaitu Seribu Rasa Cinta dengan menampilkan Taiko, nama baharu Norman KRU sebagai penyanyi rap dalam lagu berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan untuk mendapatkan anak pula, Daus berkata dia dan isterinya sudah pun bersedia untuk itu dan hanya menunggu rezeki anak itu tiba.
"Kami sudah pun bersedia untuk melalui tanggungjawab seterusnya sebagai ibu dan ayah.
"Apalagi selepas bergelar suami, saya rasa diri sendiri lebih matang berbanding dahulu. Maka sudah pasti saya bersedia untuk mempunyai anak. Cuma kami tidak merancang, hanya menunggu rezeki daripada Allah sahaja," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Daus bakal muncul dalam program Salam Perwira yang akan ditayangkan pada sambutan Aidilfitri nanti di TV1.
Selain itu, Daus dan isterinya turut sibuk menjalani perniagaan menjual pakaian wanita dan kek menerusi label Dania Wardrobe & cake House.
Daus (AF8) Jual Pakaian Kerana Bimbang Kerjaya Jatuh
Daus (AF8) Dituduh Nikah Pegawai Bank Dalam Diam
PETALING JAYA: Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus, menganggap tuduhan kononnya dia telah bernikah secara sembunyi di selatan Thailand dengan seorang pegawai bank pada bulan lalu adalah satu fitnah.
Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 24, berkata perkara itu benar-benar mengejutkannya.
"Ia adalah tuduhan yang tidak betul. Saya sendiri terkejut kerana pertama kali mendengar cerita ini.
"Tak mungkin saya akan bernikah senyap-senyap kerana sumber kewangan dan kerjaya saya sendiri pun masih belum kukuh.
"Lagipun urusan nikah kahwin adalah perkara besar dan baik. Saya ini artis takkan hendak rahsiakan atau membelakangkan keluarga dan masyarakat dalam hal ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Penyanyi lagu Kenapa itu berkata dakwaan seumpama itu sangat mengecewakan bagi artis baru sepertinya yang selama ini bersih daripada kontroversi.
"Saya berasa sedih dan kecewa dengan tuduhan ini. Bukan sahaja ia memalukan malah akan mengecilkan hati banyak pihak juga.
"Selama dua tahun jadi artis, ini kali pertama saya dikaitkan dengan kontroversi yang besar. Saya tak tahu nak cakap apa lagi," katanya.
Daus menambah, dia tidak menolak kemungkinan tuduhan itu disebarkan oleh individu yang iri hati atau marah kepadanya.
"Saya bukan hendak tuduh sesiapa tapi apabila perkara ini tersebar, ia mungkin dilakukan oleh orang yang pernah rapat dengan saya.
"Mungkin juga bekas kekasih yang marah kepada saya sehingga menyebarkan cerita ini. Ia tidak mustahil," katanya.
Dalam perkembangan lain, Daus kini sedang giat menyiapkan rakaman album mini pertamanya di bawah KRU Studios.
Album berkonsepkan muzik gipsi itu dijangka memuatkan enam buah lagu dan bakal keluar dalam masa terdekat.
Daus tak putus asa
KARAKTERNYA memang seorang yang gila-gila dan ceria. Tetapi ini bukan bermakna pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelapan ini gemar bermain-main dalam hidupnya.
Apalagi kalau kita sentuh mengenai soal pelajaran.
Ternyata Muhd Shahril Firdaus B. Eli atau Daus punya wawasan yang telah disusun olehnya untuk memastikan jalan hidup dan masa depannya cerah.
Ia dibuktikan melalui langkah pertama Daus yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Perakaunan pada 27 Julai lalu selepas tiga tahun meletakkan komitmennya dalam dunia seorang pelajar.
Mengaku berbangga dengan pencapaiannya setakat ini, pemuda berusia 23 tahun ini menganggap bidang yang diambilnya itu mampu membantunya satu hati nanti.
Merancang untuk membuka perniagaan sendiri pada masa depan, kata Daus, apa yang dipelajarinya selama menimba ilmu dalam bidang itu di Politeknik Kuching, Sarawak, akan digunakan sebaiknya ketika dia terlibat dalam dunia perniagaan.
“Saya ada dua pilihan setakat ini. Sama ada nak membuka restoran atau sebuah studio rakaman.
“Dah lama saya tanam cita-cita ini. Tapi buat masa sekarang, saya tak pasti lagi nak buat yang mana satu sebab dua-dua pun saya suka.
“Tapi jangan bimbang, ia cuma perancangan awal. Saya pun tak tahu bila saya nak realisasikan impian ini sebab banyak lagi yang perlu saya fokuskan sekarang.
“Terutamanya dari segi karier. Tengoklah dalam masa lima tahun dari sekarang, InsyaAllah,” katanya kepada Pancaindera baru-baru ini.
Menurut Daus, dia bagaimanapun lebih terarah untuk membuka studio sendiri kerana berdiri dengan azam untuk mengenengahkan bakat-bakat baru yang lahir dari tanah kelahirannya, Sarawak.
“Saya berhasrat nak tolong anak-anak Sarawak yang berbakat satu hari nanti. Dengan adanya studio itu, sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa mereka ada medium untuk menyalurkan kebolehan yang ada.
“InsyaAllah, saya akan berusaha ke arah itu, tapi sekarang belum ada keputusan muktamad lagi,” katanya yang turut mengaku terlibat dalam bisnes saham sejak setahun lalu.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian, kata Daus, perkara itu tentunya sudah tersedia di dalam kotak fikirannya.
Kata Daus, jika tiada aral melintang, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjadi lokasi pilihan untuk menyambung hajatnya itu.
“Pun begitu, saya nak stabilkan kedudukan ekonomi dan karier dulu. Saya nak kumpul duit dan kemudian barulah saya akan sambung belajar.
“Kalau boleh, saya nak sambung sampai ke peringkat Ijazah Sarjana juga dalam bidang yang sama. Saya nak jadi artis Malaysia yang berilmu,” jelasnya dalam kobar.
Resipi istimewa
Perniagaan sudah sebati dalam diri Daus apalagi dia datang dari sebuah keluarga yang menjadikan perniagaan sebagai sumber rezeki.
Namun, jangan tak tahu, selain bidang nyanyian, dia juga mempunyai kebolehan dalam bidang masakan.
Kata Daus, sejak dari kecil, kebiasannya dalam bulan Ramadan, dia akan membantu keluarga memasak dan menjual juadah istimewa yang diberi nama ‘Bistik’.
“Bistik ni kalau di semenanjung macam ayam perciklah. Tapi yang saya buat ni ada resipi istimewa.
“Juadah ini dimasak dengan menggunakan resipi turun-temurun keluarga saya, sebab itulah saya cakap istimewa.
“Biasanya kami menjual dengan mengikut tempahan orang ramai. Harganya antara RM25 hingga RM30 sedulang.
“Tapi memandangkan saya di Kuala Lumpur dan berjauhan dari keluarga di Sarawak, maka tak dapatlah saya bantu mereka masak juadah itu. Sedihnya, bukan apa saya ni memang suka memasak,” katanya dalam canda.
Tak tenggelam
Pernah didakwa sudah angkat beg dan pulang ke kampung gara-gara kecewa dengan industri seni yang seakan tak mahu lagi menerima kehadirannya, Daus ketika ditanya melahirkan rasa terkejut.
Menegaskan bahawa dakwaan itu tidak betul, kata Daus, meskipun dia sememangnya jarang muncul di kaca televisyen atau radio dan sebagainya, namun itu tidak bermakna dia sudah melenyapkan diri.
Malah, jelas Daus, dirinya masih bernafas dalam dunia seni.
“Tak betul tu. Saya masih adalah. Sekarang ni semua orang tahu saya berada di bawah label KRU, saya sedang sibuk mempromosikan single terbaru berjudul Akhir Waktu.
“Selain itu, saya juga merupakan pengacara program remaja, Intrend siaran RTM dan saya juga terlibat dalam filem baru berjudul Cinta Si Kura-Kura terbitan KRU selain telemovie Cikaro.
“Sebenarnya, pihak KRU ada perancangan sendiri untuk saya. Tak kanlah nak fokus pada saya seorang saja. KRU ada banyak lagi artis lain, betul tak?” katanya.
Mengakui turut merasa bimbang dengan percambahan artis-artis baru, kata Daus, sebagai seorang artis yang juga baru bertatih, dia tidak boleh mengharapkan bidang nyanyian sebagai satu-satunya cabang untuk dia mencari rezeki.
Kerana itu, menurut Daus dia berjinak-jinak menggubah lagu sendiri dan bakatnya itu juga turut dipupuk dan disokong penuh oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim.
“Edry banyak beri sokongan pada saya untuk mencipta lagu apatah lagi dia faham, sebagai artis baru, perlu ada produk sendiri untuk memastikan nama saya sentiasa mekar dalam industri.
“Memang agak susah bila sebut pasal persaingan, tapi sekurang-kurangnya saya berusaha dan tak pernah putus asa.
“Selagi boleh, saya akan teruskan perjuangan membina tapak sebagai anak seni sehingga akhir waktunya,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
