Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Daus tak putus asa


KARAKTERNYA memang seorang yang gila-gila dan ceria. Tetapi ini bukan bermakna pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelapan ini gemar bermain-main dalam hidupnya.

Apalagi kalau kita sentuh mengenai soal pelajaran.

Ternyata Muhd Shahril Firdaus B. Eli atau Daus punya wawasan yang telah disusun olehnya untuk memastikan jalan hidup dan masa depannya cerah.

Ia dibuktikan melalui langkah pertama Daus yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Perakaunan pada 27 Julai lalu selepas tiga tahun meletakkan komitmennya dalam dunia seorang pelajar.

Mengaku berbangga dengan pencapaiannya setakat ini, pemuda berusia 23 tahun ini menganggap bidang yang diambilnya itu mampu membantunya satu hati nanti.

Merancang untuk membuka perniagaan sendiri pada masa depan, kata Daus, apa yang dipelajarinya selama menimba ilmu dalam bidang itu di Politeknik Kuching, Sarawak, akan digunakan sebaiknya ketika dia terlibat dalam dunia perniagaan.

“Saya ada dua pilihan setakat ini. Sama ada nak membuka restoran atau sebuah studio rakaman.

“Dah lama saya tanam cita-cita ini. Tapi buat masa sekarang, saya tak pasti lagi nak buat yang mana satu sebab dua-dua pun saya suka.

“Tapi jangan bimbang, ia cuma perancangan awal. Saya pun tak tahu bila saya nak realisasikan impian ini sebab banyak lagi yang perlu saya fokuskan sekarang.

“Terutamanya dari segi karier. Tengoklah dalam masa lima tahun dari sekarang, InsyaAllah,” katanya kepada Pancaindera baru-baru ini.

Menurut Daus, dia bagaimanapun lebih terarah untuk membuka studio sendiri kerana berdiri dengan azam untuk mengenengahkan bakat-bakat baru yang lahir dari tanah kelahirannya, Sarawak.

“Saya berhasrat nak tolong anak-anak Sarawak yang berbakat satu hari nanti. Dengan adanya studio itu, sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa mereka ada medium untuk menyalurkan kebolehan yang ada.

“InsyaAllah, saya akan berusaha ke arah itu, tapi sekarang belum ada keputusan muktamad lagi,” katanya yang turut mengaku terlibat dalam bisnes saham sejak setahun lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian, kata Daus, perkara itu tentunya sudah tersedia di dalam kotak fikirannya.

Kata Daus, jika tiada aral melintang, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjadi lokasi pilihan untuk menyambung hajatnya itu.

“Pun begitu, saya nak stabilkan kedudukan ekonomi dan karier dulu. Saya nak kumpul duit dan kemudian barulah saya akan sambung belajar.

“Kalau boleh, saya nak sambung sampai ke peringkat Ijazah Sarjana juga dalam bidang yang sama. Saya nak jadi artis Malaysia yang berilmu,” jelasnya dalam kobar.

Resipi istimewa

Perniagaan sudah sebati dalam diri Daus apalagi dia datang dari sebuah keluarga yang menjadikan perniagaan sebagai sumber rezeki.

Namun, jangan tak tahu, selain bidang nyanyian, dia juga mempunyai kebolehan dalam bidang masakan.

Kata Daus, sejak dari kecil, kebiasannya dalam bulan Ramadan, dia akan membantu keluarga memasak dan menjual juadah istimewa yang diberi nama ‘Bistik’.

“Bistik ni kalau di semenanjung macam ayam perciklah. Tapi yang saya buat ni ada resipi istimewa.

“Juadah ini dimasak dengan menggunakan resipi turun-temurun keluarga saya, sebab itulah saya cakap istimewa.

“Biasanya kami menjual dengan mengikut tempahan orang ramai. Harganya antara RM25 hingga RM30 sedulang.

“Tapi memandangkan saya di Kuala Lumpur dan berjauhan dari keluarga di Sarawak, maka tak dapatlah saya bantu mereka masak juadah itu. Sedihnya, bukan apa saya ni memang suka memasak,” katanya dalam canda.

Tak tenggelam

Pernah didakwa sudah angkat beg dan pulang ke kampung gara-gara kecewa dengan industri seni yang seakan tak mahu lagi menerima kehadirannya, Daus ketika ditanya melahirkan rasa terkejut.

Menegaskan bahawa dakwaan itu tidak betul, kata Daus, meskipun dia sememangnya jarang muncul di kaca televisyen atau radio dan sebagainya, namun itu tidak bermakna dia sudah melenyapkan diri.

Malah, jelas Daus, dirinya masih bernafas dalam dunia seni.

“Tak betul tu. Saya masih adalah. Sekarang ni semua orang tahu saya berada di bawah label KRU, saya sedang sibuk mempromosikan single terbaru berjudul Akhir Waktu.

“Selain itu, saya juga merupakan pengacara program remaja, Intrend siaran RTM dan saya juga terlibat dalam filem baru berjudul Cinta Si Kura-Kura terbitan KRU selain telemovie Cikaro.

“Sebenarnya, pihak KRU ada perancangan sendiri untuk saya. Tak kanlah nak fokus pada saya seorang saja. KRU ada banyak lagi artis lain, betul tak?” katanya.

Mengakui turut merasa bimbang dengan percambahan artis-artis baru, kata Daus, sebagai seorang artis yang juga baru bertatih, dia tidak boleh mengharapkan bidang nyanyian sebagai satu-satunya cabang untuk dia mencari rezeki.

Kerana itu, menurut Daus dia berjinak-jinak menggubah lagu sendiri dan bakatnya itu juga turut dipupuk dan disokong penuh oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim.

“Edry banyak beri sokongan pada saya untuk mencipta lagu apatah lagi dia faham, sebagai artis baru, perlu ada produk sendiri untuk memastikan nama saya sentiasa mekar dalam industri.

“Memang agak susah bila sebut pasal persaingan, tapi sekurang-kurangnya saya berusaha dan tak pernah putus asa.

“Selagi boleh, saya akan teruskan perjuangan membina tapak sebagai anak seni sehingga akhir waktunya,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails