Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Dj Lin. Show all posts
Showing posts with label Dj Lin. Show all posts
Dj Lin Berniaga 'Serunding Cinta' Sempena Ramadan
Sempena bulan Ramadan, penyampai radio Suria FM, Deejay Lin turut mengambil peluang mencari rezeki tambahan dengan menjual serunding yang dinamakannya 'Serunding Cinta'.
Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid berkata, sebagai ibu tunggal kepada dua cahaya mata, perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu itu sedikit sebanyak membantu memberi keperluan Hari Raya sekeluarga.
"Bulan Ramadan membuka seribu makna buat saya, seperti tahun-tahun sudah, saya ada membuka gerai sendiri bagi menjual serunding sebagia mencari rezeki tambahan untuk Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Selain serunding saya juga menjual pelbagai kuih tradisional dan biskut raya yang diambil daripada pelbagai negeri," katanya.
Tambah Lin, 'Serunding Cinta' yang menjadi produk utama bisnesnya itu merupakan serunding terbaik dan ditempah khas daripada Kelantan.
"Selalunya makanan yang saya nak jual, saya akan rasa dan makan dahulu dan mesti kena dengan citarasa saya.
"Lepas itu barulah saya akan jual. Alhamdulillah sambutan setakat ini sangat baik," katanya.
Gerai yang dibuka sejak awal Ramadan lalu bertempat di Busana Mall, Kuala Lumpur dan dibuka pada setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.
Biarpun sibuk dengan tugasan di konti radio dalam mengendalikan segmen Suria Cinta, Lin berkata, Ramadan ini, dia masih mempunyai masa untuk berniaga dan menguruskan anak-anaknya dengan baik.
Terlibat nahas, ibarat ajal sudah tiba - DJ Lin
Penyampai radio yang mengendalikan rancangan Suria Cinta di Suria FM, DJ Lin merasakan seperti ajalnya sudah hampir tiba pagi tadi, setelah terlibat dalam satu kemalangan kecil sewaktu dalam perjalanan untuk menghadiri satu sesi fotografi.
Kemalangan yang berlaku di Jalan Parlimen di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi menyaksikan kereta Proton Persona miliknya mengalami kerosakan teruk apabila sisi kiri kereta tersebut bertembung dengan sebatang pokok.
"Sejujurnya saya merasakan seperti bakal kehilangan nyawa sewaktu kenderaan itu berpusing sebelum menghentam sepohon pokok di tepi jalan.
"Tetapi mujurlah bahagian sebelah kiri yang bertembung dan bukannya bahagian kanan iaitu sebelah pemandu," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Sebelum kemalangan tersebut berlaku, penyampai radio yang baru-baru ini melancarkan single sulungnya iaitu Ranting Kenangan itu, baru sahaja selesai menghantar barang-barang ke lokasi perniagaannya di Busana Mall, Medan Mara di sini.
Tambah DJ Lin lagi, mujurlah hanya kenderaannya sahaja yang mengalami kerosakan teruk iaitu sisi kiri kenderaannya remuk, cermin depan dan kiri pecah selain tayar belakangnya turut pecah.
"Saya bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan sahaja iaitu sedikit kesakitan di bahagian pinggang, selain daripada itu saya tidak menerima kecederaan lain," jelasnya. - UTUSAN ONLINE
DJ Lin Tidak Pernah 'Suntik' Wajah
SUBANG JAYA: Penyampai radio Suria FM, Deejay Lin menegaskan dia tidak pernah mengambil sebarang suntikan wajah untuk kelihatan cantik seperti yang didakwa segelintir pihak.
Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata, dia sebenarnya tidak berani mencuba sesuatu yang ekstrem semata-mata untuk kepuasan diri selain alah kepada ubat-ubatan berbentuk steroid serta beberapa jenis ubat kecantikan.
"Mana ada saya suntik wajah, tak mungkinlah. Lagipun saya alah kepada beberapa jenis ubatan.
"Saya tidak mungkin menyuntik wajah semata-mata mahu cantik. Banyak lagi cara lain yang boleh menampakkan kita tampil menarik," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah ibu kepada seorang anak itu, dia mengakui kini lebih berjaga-jaga dalam soal penampilan agar peminat-peminatnya lebih senang dengan perubahan yang dilakukan.
"Hidup ini kena ada perubahan. Begitu juga dengan saya yang ingin berubah dalam hal penjagaan imej demi peminat-peminat," ujarnya.
Sementara itu, pada pengumuman finalis ABPBH2012 pada Rabu, Deejay Lin dicalonkan bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular di mana pencalonan itu merupakan yang pertama sepanjang dia melibatkan diri di bidang radio kira-kira 12 tahun.
"Saya percaya, jika kita jujur dalam kerja dan berusaha, Insya-Allah satu hari nanti kita akan dihargai dalam pelbagai bentuk.
"Selama ini saya sering diiktiraf menerusi anugerah-anugerah yang melibatkan kualiti kerja seseorang selebriti itu.
"Kali ini saya dicalonkan kerana populariti. Dan ini terbukti para peminat menerima kehadiran saya dalam industri seni kita," tuturnya.
Baru-baru ini, Deejay Lin telah diiktiraf sebagai Ikon Wanita Muda 2012 (Kesateria Puteri Penyiaran Radio) yang diterima bersempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 pada November lalu.
DJ Lin sambut hari kelahiran anak
Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah simpulan bahasa paling sesuai untuk menggambarkan keakraban DJ Lin dan anaknya.
Kepada pembaca yang belum mengenali beliau, Dj Lin merupakan penyampai radio yang mengendalikan rancangan Suria Cinta di Suria FM setiap Isnin hingga Jumaat dan Ahad pukul 11 malam hingga 2 pagi.
Baru-baru ini, .com memenuhi jemputan Majlis Sambutan Hari Jadi Anak DJ Lin Suria Cinta bersama peminat setia mereka.
Sebagai menghargai sokongan peminat, DJ Lin menerusi kelab peminatnya, Fan DJ Lin Cintamania telah menganjurkan majlis istimewa sempena meraikan ulang tahun anak lelaki beliau, Nazreen Asyran yang ke-9 bertempat di dewan Anjung Villa Condo, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2012 lalu.
Lebih 300 tetamu termasuk anak-anak yatim dari Rumah Annajjah Malaysia, rakan artis, rakan media serta peminat dari seluruh Malaysia hadir memeriahkan majlis yang diserikan penyampaian cenderamata kepada anak-anak yatim, diikuti pelbagai aktiviti permainan menarik antaranya seperti makan paling pantas, pertandingan karaoke lagu cinta dan banyak lagi.
Menariknya tentang majlis ini, ia mendapat tajaan dari Rawang Burger Bakar (RBB), Radix Fried Chicken (RFC), Peel Fresh, Sate Samurai Kajang, Jamu Mak Dara dan Dualaris Event.
Malah dalam majlis tersebut, Dj Lin memasak sendiri empat menu utama iaitu soto dan mi rebus selain bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam.
Dj Lin merakamkan penghargaan kepada peminatnya yang sentiasa menyokong kerjaya seni beliau dan lihat sahaja laman peminatnya di Facebook (DJ Lin Suria Cinta Suria FM) kini telah mencatatkan lebih 116,000 peminat termasuk dari luar negara manakala blognya fandjlincintamania.blogspot.com telah mencatatkan lebih 45 ribu pengunjung sementara DJ Lin yang baru saja membuka akaun twitternya iaitu @djlinsuriacinta kini berjaya mencatatkan lebih 6,000 follower
Rezeki DJ Lin
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah yang berlaku kepada penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid, 36, yang popular dengan panggilan DJ Lin.
Nama DJ Lin mula menjadi bualan apabila program kelolaannya, Suria Cinta yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, pada pukul 11 malam hingga 2 pagi itu menjadi ikutan ramai.
Dek program itulah, DJ Lin mendapat tawaran menjadi duta kereta Proton Persona tahun lalu. Ketika menerima tawaran tersebut, Lin belum ada lesen, namun kini dia sudah mampu memandu.
Kini dia dilantik pula sebagai duta Nureen‘s Beauty, produk makanan tambahan berasaskan kolagen serta set penjagaan kulit.
Jujurnya, Lin memberitahu yang dia belum mencuba produk tersebut namun sanggup menjadi duta bagi membantu pengusaha bumiputera.
“Sebelum ini pun ada tawaran, tapi apabila Lin tengok kesungguhan Mohammad Rafi Ismail dan isterinya, Noor Fazlina Raman mempromosi produk keluaran syarikat Nureens Beauty Marketing, Lin jadi tertarik.
“Keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap Lin membuatkan Lin tidak fikir panjang untuk menolak tawaran tersebut pada awal pertemuan kami,” ceritanya.
Menurut Lin, pasangan suami isteri itu menemuinya pada awal tahun ini dan biarpun belum mencuba produk tersebut, dia yakin dengan kualiti Nureen‘s Beauty.
Katanya, setelah sah menjadi duta produk tersebut untuk tempoh setahun, dia akan memberi komitmen yang tidak berbelah bagi.
“Sekarang kalau anda tanya apa kesan produk ini, Lin tidak boleh jawab sebab belum mencuba. Dulu pun masa dilantik sebagai duta Proton Persona, Lin tidak tahu memandu, tapi Alhamdulillah sekarang sudah ada lesen.
“Begitu juga dengan produk ini, Lin akan cuba dan lihat kesannya kemudian cerita pada pengguna lain. Apa pun Lin ingin mengucapkan terima kasih kepada Nureens Beauty Marketing kerana memilih Lin sebagai duta,” katanya tersenyum.
Ibu kepada Nureen Areesya, 10, dan Nazreen Asyran, 8, mengakui populariti program Suria Cinta itu sedikit sebanyak membantu kerjayanya.
Malah kata Lin, dia tidak mengimpikan untuk menjadi duta Persona atau Nureen‘s Beauty. Semua itu datang dengan sendiri.
“Apa yang berlaku pada Lin hari ini adalah hasil kesabaran dan rezeki daripada Allah. Lin tidak minta semua ini tapi apabila sudah menandatangani kontrak dengan pihak berkenaan, Lin akan lakukan tugasan tersebut dengan rasa tanggungjawab.
“Rasanya untuk memasarkan produk Nureen Beauty yang turut melancarkan tiga produk baru, Nureen‘s Sliimbetz, Mirifica Gold dan Gluta Collagen, Lin tidak ada masalah.
“Promosi boleh dilakukan melalui halaman peminat DJ Lin Suria Cinta Suria FM dan blog fandjlincintamania.blogsot.com,” katanya tersenyum.
Apabila ditanya apa lagi yang ingin diraih, Lin yang telah menghasilkan single Ranting Kenangan, ciptaan komposer Eddie Hamid itu berkata, dia tidak pernah meletak sasaran.
Kata Lin, apa yang dilalui selama ini berlaku tanpa dirancang dan dia menerima segala pemberian dengan rasa syukur.
“Lin tidak pernah impi akan dilantik sebagai duta mana-mana produk kerana minat Lin adalah sebagai penyiar. Namun bila sudah diberi kepercayaan oleh pihak lain, Lin akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Deejay Lin Buat Album Sahut Cabaran Peminat
PETALING JAYA: Bagi memenuhi permintaan peminatnya, penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid (Dj Lin) bakal muncul dengan album mini tidak lama lagi.
Menurut Lin, dia sudah memilih komposer terkenal dan tidak asing dalam industri muzik namun terpaksa merahsiakan namanya sehingga satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat nanti.
“Sekarang ini, saya sedang dalam proses pembikinan dan bakal memasuki rakaman suara tidak lama lagi kerana terganggu dengan masalah tonsil.
“Saya telah memilih beberapa buah lagu berkonsep cinta dan jiwang atas permintaan daripada peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya saya dalam bidang penyiaran,” katanya kepada mStar Online.
Jelasnya, niatnya membikin album hanya sekadar menunjukkan tanda penghargaan kepada peminat.
“Peminat mengenali saya menerusi program “Suria Cinta” yang lebih banyak berkisarkan tentang cinta jadi sebab itu saya memilih lagu-lagu seperti itu dan kebetulan komposer tersebut juga gemar mendengar program saya, jadi lebih mudah untuk kami bekerjasama.
“Atas perbincangan, lirik lagu itu juga ada kena-mengena dengan perjalanan karier saya.
“Saya juga sentiasa mengambil cakna suara-suara peminat yang sentiasa mendoakan kejayaan dan memberikan sokongan padu. Jadi, saya akan cuba menyahut cabaran ini dan bersedia untuk memenuhi hasrat mereka,” katanya.
Kata Lin, program kerjasama buat julung kali antara TV3 dengan Suria FM itu menjalani rakaman sepanjang bulan Ramadan ini di restoran-restoran sekitar Lembah Klang dan sebuah restoran di Seremban, Negeri Sembilan.
“Setiap episod akan menjemput seorang artis, deejay Suria FM dan pemenang yang mendengar Suria FM untuk berbuka puasa sama-sama di sebuah restoran yang ditetapkan,” katanya.
Selain itu, dia juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama 200 peminat termasuk anak-anak yatim pada 20 Ogos ini di Sawarabina Café, Tasik Titiwangsa.
Para peminat yang berminat boleh menghubungi 012-3542454 (Su) dan setiap orang akan dikenakan RM30.
Pengalaman Hidup Ajar Dj Lin Kendali Masalah Cinta

KUALA LUMPUR: Penyampai SuriaFM Dj Lin mengakui pengalaman hidup banyak mengajarnya menyelami perasaan dan berkongsi masalah cinta pendengar-pendengar segmen Suria Cinta di Suria FM.
Jelas Lin, dengan pengalaman tersebut juga dia mampu meletakkan dirinya dalam permasalahan yang dihadapi oleh pendengar.
“Alhamdulliah, kemungkinan apa yang Allah tentukan kepada saya menjadikannya sebagai pengalaman yang boleh saya kongsikan dan bagaimana untuk memahami perasaan orang lain.
“Dari kegagalan rumah tangga empat tahun lalu juga menjadikan saya lebih kuat menghadapi segala rintangan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.
Menurut Lin, dia kini hanya memberikan perhatian sepenuhnya dalam perkembangan kerjaya dan dua anaknya, Nureen Arisya, 10, dan Nazren Asyran, 8.
“Saya menyerahkan jodoh kepada Allah s.w.t, sekarang ini saya hanya fokus kepada kerjaya dan keluarga.
“Lagi pula segmen Suria Cinta sudah semakin mendapat perhatian, ramai yang beri maklum balas yang sangat memberangsangkan,” ujarnya ketika ditemui di Majlis sambutan hari lahir ke-35 anjuran kelab peminat Suria Cinta.
Bercerita tentang Suria Cinta, Lin memberitahu kelab peminat Fan Dj Lin Suria Cinta yang ditubuhkannya pada November lalu kini secara rasmi telah mempunyai lebih 40 orang peminat dari seluruh negeri.

Dj Lin bersama ahli kelab peminatnya
“Saya tak sangka sambutan segmen Suria Cinta semakin mengalakkan sehinggakan ada yang menawarkan untuk tubuhkan kelab peminat.
“Bermula pada Ramadan lalu, mereka buat kejutan mengundang saya ke sebuah majlis. Dan di situlah bermula kelab ini yang kini secara rasmi mempunyai 40 pengikut,” katanya.
Tambah Lin, kebanyakan dari ahli kelab tersebut juga merupakan pendengar setia Suria Cinta.
“Kebanyakan mereka adalah pendengar segmen saya dan sering beri SMS dan panggilan untuk berkongsi cerita.
“Dengan tertubuhnya kelab ini kami semakin akrab, selepas ini banyak aktiviti yang akan dianjurkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lin turut menceritakan pengalaman mengendalikan segmen cinta tersebut. Katanya dia terpaksa mematikan lamu sepanjang ke udara bagi menghayati setiap kiriman SMS yang dibacanya.
“Saya terpaksa padam lampu ketika membaca SMS pendengar, bila padam lampu baru boleh dapat suasana romantik,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak dapat lari daripada gangguan-gangguan pendengar yang tidak bertanggungjawab.
“Semamangnya tidak dapat lari dari gangguan sebegini. Setiap malam ada sahaja yang beri SMS menganggu dan ingin berkenalan. Ada juga yang buat panggilan telefon.
“Namun begitu saya tidak menolak mereka begitu sebab mereka juga pendengar. Kita ada cara untuk menepis gangguan ini dengan cara yang baik, ibarat bagaikan menarik benang di dalam tepung,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
