Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Ezad Lazim. Show all posts
Showing posts with label Ezad Lazim. Show all posts

ISTERI EZAD EXIST SELAMAT LAHIRKAN ANAK KEDUA

"Alhamdulillah anak lelaki saya selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. Cuma saya sedang menunggu perkembangan isteri kerana dia mengalami pendarahan yang banyak," demikian kata Ezad Exist apabila isterinya, Nor Azeana Ramli selamat melahirkan anak kedua mereka. Apa yang lebih penting, isterinya turut sama dapat melihat anak kedua tersebut bersama suami tercinta.
Sebelum ini, Azeana bernekad mahu melahirkan anak kedua mereka walaupun disahkan mengidap ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST) yang akan memberi kesan sampingan. Malah Ezad sendiri pernah mengharapkan keajaiban akan berlaku dan berdoa agar ketumbuhan tersebut akan hilang setelah isterinya melahirkan anak.

Ezad Lazim Lebih Insaf, Terkesan Akibat Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim mengakui kesilapannya yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah banyak memberi pengajaran agar lebih menghargai keluarga. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, kejadian yang berlaku itu memberi kesedaran agar berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. "Apabila saya ditangkap, perkara utama yang difikirkan ialah isteri, kerana ketika itu dia sedang mengandung dan pada masa sama mengalami keguguran pula. "Ketika itu saya sudah mula rasa terdetik keinsafan di dalam diri dan menyesal kerana perbuatan diri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berubah dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. "Dari situ timbul satu kesedaran di dalam diri supaya berfikir dahulu kesan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan iaitu anak dan isteri yang akan terkena tempias," katanya kepada mStar Online.
Ezad berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Menara Star, di sini. Tambahnya lagi, selepas kejadian itu dia kini lebih mengenali kehidupan yang sebenar dan sering mengutamakan keluarganya sebelum melakukan sebarang keputusan. "Dahulu, selagi tak kena tangkap dengan pihak polis, saya tidak terfikir pun tentang tempias yang akan terkena pada keluarga. Saya sayangkan keluarga, isteri dan anak dan mereka membuatkan saya betul-betul ingin berubah lebih-lebih lagi saya diberi peluang kedua yang tidak sepatutnya disia-siakan. "Saya berharap agar kali ini hati saya kuat untuk tidak lagi terjebak dengan najis dadah lagi," ujarnya. Sementara itu, Ezad berkata, biarpun kejadian itu telah mencalarkan namanya namun dia bersyukur masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan peminat. Ezad turut menasihatkan kepada orang ramai yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah agar segera berhenti dan mendapatkan rawatan susulan sebelum mempunyai masalah pada masa hadapan. "Dadah ini sebenarnya tidak memberikan sebarang hasil kerana ia lebih banyak memberi kesan negatif kepada diri serta dipandang serong oleh masyarakat. "Terus terang saya cakapkan benda ini juga akan membuatkan hidup kita tidak terurus dan ia juga merosakkan masa depan serta imej,"katanya.

Ezad Lazim Dituduh Reka Cerita Hidap Diabetes Mahu Sorok Isu Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Ezad Lazim terkilan apabila ada pihak menuduh dia sengaja mereka cerita kononnya menghidap diabetes bagi menyembunyikan kisah di sebalik berat badannya susut akibat dadah. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, tidak mempunyai sebarang sebab untuk dia mempermainkan soal kesihatannya namun mengakui dadah antara punca dia kehilangan berat badan. "Saya tidak pernah menipu apabila memberitahu saya sakit dan badan saya kelihatan kurus kerana kesan penyakit diabetes sebaliknya kerana pengambilan dadah ketika itu. "Sehingga kini saya masih mengambil ubat-ubatan bagi mengawal kandungan gula dalam darah," katanya kepada mStar Online. Terdahulu pada Khamis, Ezad mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu. Pengakuan itu dibuat dihadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri di Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Khamis.
Bagaimanapun Nurul Izzah menetapkan 10 Februari ini bagi menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan tersebut. Tambah Ezad, dia sebenarnya menghidap diabetes sejak lima tahun lalu. Dalam pada itu, Ezad berkata, dia pada awalnya mengambil bahan terlarang itu apabila ada pihak memberitahu ia mampu memulihkan penyakit kencing manis. Ezad berkata, dia bersyukur penahanannya memberikan pengajaran terbesar sepanjang bergelar artis. "Saya sedar tindakan tanpa berfikir panjang itu telah membawa padah kepada saya namun saya bersyukur ditahan kerana jika tidak mungkin saya hanyut terlalu jauh," ujarnya. Sementara itu, Ezad berkata, biarpun kejadian itu telah mencalarkan namanya namun dia bersyukur masih mendapat sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat. Ezad yang berasal dari Alor Setar, Kedah ditangkap berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira pukul 1.30 petang pada 19 November tahun lalu dengan dia menggenggam satu paket syabu pada tangan kirinya. Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) akta yang sama.

Ezad Lazim Mengaku Salah Miliki Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Ezad Lazim mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu. Pengakuan Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim dibuat dihadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri di Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Khamis. Pertuduhan pula dibacakan oleh pendakwa raya, Arunjothy dan Ezad tidak diwakili peguam. Bagaimanapun Nurul Izzah menetapkan 10 Februari ini bagi menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut. Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) akta yang sama. Ezad yang berasal dari Alor Setar, Kedah ditangkap berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira pukul 1.30 petang pada 19 November tahun lalu dengan dia menggenggam satu paket syabu pada tangan kirinya. Hasil pemeriksaan air kencing penyanyi itu juga mendapati dia positif dadah jenis syabu. Penyanyi itu sebelum ini pernah menyertai Exist pada 1995, dan telah merakam sebanyak enam buah album bersama kumpulan tersebut sebelum meneruskan kerjaya solo. Ezad juga pernah membintangi beberapa buah filem terbitan Metrowelth International Group (MIG) termasuk Mami Jarum bersama aktres Zahida Rafik.

Bekas Vokalis Exist, Ezad Didakwa Miliki Syabu

Bekas vokalis utama kumpulan Exist, Ezad, pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis syabu, Rabu lepas. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 35, didakwa memiliki satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu anggaran berat 0.3 gram di kawasan Kompleks Selayang Mall, Selayang Utama dekat sini pada 1.30 tengah hari 19 Nov lepas. Ezad, yang popular dengan lagu 'Jesnita' didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan Ezad diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis untuk sebutan. Ezad, yang pernah berlakon dalam filem 'Anak Mami The Movie' membayar wang jaminan itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Arunjothy manakala Ezad tidak diwakili peguam. -BERNAMA

TAHNIAH, EZAD LAZIM DIKURNIA BAYI PEREMPUAN

Penyanyi, Ezad Lazim, 34, akhirnya menjadi seorang bapa kelmarin apabila isterinya Nor Azeana Ramli, 34, selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Bagaimanapun, Nor Azeana terpaksa dibedah untuk melahirkan bayi pertamanya itu di Hospital Ampang, Selangor. "Doktor menjangkakan isteri saya bakal melahirkan anak pada hujung tahun ini. Justeru isteri saya yang bekerja sebagai pengurus jualan sebuah hotel di Ampang merancang untuk melahirkan anak di sebuah hospital swasta di Taman Melawati, Hulu Klang.
"Bagaimanapun disebabkan berdepan masalah, Zeana segera dikejarkan ke sana baru-baru ini. Namun, hospital swasta ini merujuk kesnya ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. Namun, sekali lagi dia dipindahkan pula ke Hospital Ampang kerana tinggal di kawasan itu," ujar Ezad pada media. Untuk info, kandungan Zeana berusia lapan bulan tiga hari ketika anaknya dilahirkan. Beratnya hanya 1.7 kilogram dan sekarang anak mereka ditempatkan di bawah kawalan rapi doktor. Namun, Ezad tetap bersyukur kerana keadaan bayinya stabil. Tahniah buat Ezad.

Ezad Lazim Cemas Kebocoran Air Ketuban Isteri

Penyanyi Ezad Lazim cemas apabila isterinya Nor Azeana Ramli mengalami kebocoran air ketuban selain disahkan terdapat perbezaan jenis darah antara ibu dan bayi dalam kandungan yang baharu sahaja mencecah tujuh bulan. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 34, berkata, pada mulanya dia bingung apabila dijelaskan doktor mengenai keadaan isterinya kerana ia merupakan kali pertama bakal menimang cahaya mata. "Saya dan isteri tiada pengalaman dalam hal sebegini kerana belum pernah menyambut ahli baharu dalam keluarga dan ingatkan keadaannya tidak serius tetapi apabila dijelaskan oleh doktor barulah saya menyedari ia serius. "Nasib baik kami cepat merujuk masalah tersebut ke hospital dan isteri saya masih ditahan di Hospital Ampang untuk pemerhatian lanjut. Anak dalam kandungan pun selamat," katanya kepada mStar Online. Faktor jenis darah (Rh) yang berbeza antara ibu dan anak dalam kandungan kebiasaannya tidak terjadi untuk kehamilan yang pertama namun apabila keadaan itu berlaku, ia boleh mendatangkan komplikasi kepada bayi seperti masalah kekurangan darah (anemia) yang teruk.
Hampir 90 peratus perempuan Asia memiliki Rh positif, manakala hanya dua peratus perempuan Melayu dikesan memiliki Rh negatif. Dalam perkembangan sama, Ezad berkata, isterinya menyedari air ketubannya pecah pada Selasa lalu dan telah pergi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan. Jelas Ezad, doktor di klinik berkenaan telah merujuk kes ke Hospital Ampang kerana bimbang kandungan isterinya mengalami masalah walaupun belum masa untuk bersalin. "Pada mulanya saya dan isteri tidak terlalu bimbang kerana ingatkan ia perkara biasa bagi wanita mengandung namun apabila dirujuk ke hospital barulah kami mengetahui keadaan itu boleh membahayakan," katanya. Sementara itu, Ezad berkata, isterinya kini berada dalam keadaan stabil dan doktor telah memberi suntikan untuk mengelakkan kelahiran pra-matang memandangkan usia kandungan wanita berkenaan baharu sahaja mencecah tujuh bulan. Nor Azeana dijangka bersalin anak pertama mereka pada Disember depan. Ezad dan Nor Azeana iaitu wanita yang dipilih oleh ibunya telah bernikah pada 30 Mac lalu.

Bernikah hari ini, Ezad tiada niat sembunyi perkahwinan

SEBELUM ini nama bekas vokalis band Exists yang kini bergerak secara solo, Ezad Lazim, 34, kembali hangat apabila ikatan pertunangannya dengan pengurus peribadinya Asliza Abdullah hanya bertahan selama lima bulan apabila pertunangan mereka putus sekitar November tahun lalu. Hanya tiga bulan selepas itu, Ezad bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang pengurus jualan, Nor Azeana Ramli, 34, pada hari ini di rumah keluarga perempuan di Kulim, Kedah. Ezad yang dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan pengesahan mengenai berita tersebut pada mulanya enggan membuka mulut dan ingin merahsiakan perkahwinannya kepada umum. Bagaimanapun Ezad akhirnya membuka mulut dan memberitahu dia mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak mahu menghebahkan hari bahagianya kepada khalayak umum. Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya. Kosmo!: Benarkah Ezad menamatkan zaman bujang pada ini? EZAD: Ya, memang saya berkahwin pada hari ini. Sebenarnya saya tidak tahu bagaimana berita saya akan berkahwin tersebar kerana kalau boleh saya ingin hebahkan selepas saya selamat bernikah. Mengapa ingin menyembunyikan hari bahagia? Saya tiada niat untuk merahsiakan perkahwinan tetapi selepas saya putus tunang, saya menjadi fobia. Sebelum ini saya bercinta dalam tempoh yang lama, kemudian bertunang pun dihebahkan pada media, tetapi akhirnya ikatan itu terputus. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang kembali sebab itu saya mengambil keputusan untuk membuat majlis secara kecil-kecilan dan dihadiri pihak keluarga terdekat sahaja. Apakah yang dibimbangkan jika orang ramai tahu anda berkahwin? Bimbang tidak jadi kahwin satu hal, saya juga bimbang jika ramai yang tahu, dugaannya lagi besar. Sebelum saya selamat bernikah, saya tidak tahu apa yang akan terjadi sebab itu saya tidak mahu mengambil risiko. Saya juga akan terus bernikah tanpa sebarang majlis pertunangan. Cukuplah sekali saya putus tunang. Khabarnya bakal isteri merupakan pilihan keluarga, benarkah? Memang benar, bakal isteri merupakan pilihan keluarga saya. Sememangnya kami tidak berapa mengenali antara satu sama lain tetapi apa yang boleh saya katakan hubungan yang direstui keluarga lebih berkat. Bila saya fikirkan kembali, jika saya tidak mengambil peluang sekarang, mungkin umur 50 tahun pun saya tidak akan berkahwin. Rasanya lebih manis bercinta selepas berkahwin. Apakah yang membuatkan anda tertarik kepada bakal isteri? Umur kami sebaya dan dia sebenarnya lebih matang daripada saya. Sebelum ini saya sering bercinta dengan wanita jauh lebih muda daripada saya, bila dapat bakal isteri yang sama umur, kami mudah berkomunikasi. Dia juga amat memahami kerjaya saya sebagai artis dan ikhlas menerima saya seadanya, itu yang membuatkan saya selesa dengannya. Bagaimana dengan kerjaya seni anda? Alhamdulillah, banyak rezeki yang datang sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana bertembung dengan tarikh pernikahan saya. Bulan hadapan saya akan muncul dengan dua single terbaharu berjudul Memang Salahku dan Kerana Kamu. Selain itu, saya juga akan beraksi dalam pementasan teater berjudul Hantu Ketapang pada 12 sehingga 14 April depan untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor.

Bukan kerana duit - Ezad

ANTARA rahsia Allah kepada kita adalah soal jodoh pertemuan. Walau sekuat manapun kemahuan kita untuk disatukan dengan insan tersayang, tanpa keredaan-Nya, ia mungkin tidak terlaksana. Itu merupakan kenyataan yang harus diterima lelaki berusia 34 tahun ini. Mengakui melalui fasa yang paling perit didalam hidupnya apabila perkahwinan yang dirancang terpaksa dibatalkan, Ezad tetap merasa akan hikmahnya kini. Meneruskan kehidupan dengan sisa kekuatan yang masih ada, lelaki ini percaya masih ada ruang untuknya mencari kebahagiaan. Menurut Ezad setelah setahun meletakkan kariernya di belakang, dia kini mahu memberi nafas baru buat dunia nyanyiannya. "Selepas putus tunang saya akui, saya melalui fasa yang menakutkan. Hidup saya kosong, tidak bermakna. "Mungkin setelah empat tahun ditemani, bila berseorangan tanpa teman di sisi, ia agak lain. Apa yang boleh saya kata ia memang banyak memberi kesan kepada diri saya," katanya kepada Hits. Ditanya sama ada dia bersedia untuk berkongsi punca keretakan hubungan dengan bekas tunang, Ezad memberitahu ia terlalu peribadi untuk diceritakan. "Saya memang tidak mahu berkongsi mengenai hal ini. Cukuplah kalau saya katakan setiap yang berlaku melibatkan banyak pihak, maksud saya keluarga masing-masing. Jadi adalah lebih baik untuk saya menjaga hati mereka," katanya. Menolak khabar angin yang mengatakan dia sebenarnya mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa membatalkan urusan perkahwinan, Ezad sekali lagi menegaskan itu bukan punca sebenar. "Perkahwinan yang saya rancang ini, mengambil masa selama setahun. Jadi saya memang cukup bersedia melangkah ke alam perkahwinan. "Duit bukanlah sebab utama mengapa kami berdua membatalkan perkahwinan kami, bukan itu, " katanya tegas. Meneruskan cerita, Ezad sempat berkongsi cara dia melupakan perkara yang menyakitkan ini. Menurutnya bagi mengelakkan dia terlalu berfikir, dia mengambil lebih peluang untuk pulang ke kampungnya di Alor Star, Kedah. "Saya bukan tertekan sebab malu, tetapi kerana tidak percaya ini semua berlaku tanpa dijangka. "Keluarga saya banyak membantu, malah beberapa bulan lepas juga saya banyak berada di kampung untuk bersama keluarga," katanya. Meneruskan kehidupan sendiri kini, Ezad bagaimanapun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk menguruskan kariernya sendiri. "Seperti yang semua tahu bekas tunang merupakan pengurus saya sebelum ini, "Namun selepas apa yang berlaku saya memilih untuk menguruskan diri saya sendiri. Dan ternyata ia bukan sesuatu yang mudah," katanya yang turut mengakui sudah tidak berhubung dengan bekas tunangnya itu. Percaya perkahwinan mampu melengkapkan kehidupannya sebagai lelaki, Ezad secara terbuka memberitahu dia kini bersedia untuk menerima orang baru didalam hidupnya. "Prinsip saya kini kehidupan harus diteruskan. "Dan saya memang sudah bersedia untuk berkahwin, cumanya jodoh belum sampai," katanya tersenyum. Mengusik jiwa bekas vokalis kumpulan Exist ini, kami ajukan soalan sama ada dia mahu bakal isterinya nanti juga bekerja sebagai pengurusnya. "Saya rasa itu tidak perlu, setelah apa yang berlaku saya dapat pengajaran untuk tidak perlu sentiasa bersama. "Saya juga tidak kisah jika bakal isteri saya nanti juga bekerja," katanya ringkas. Azam 2013 Sedang sibuk menyiapkan mini album solo terbarunya menurut Ezad, ini merupakan waktu yang sesuai untuk dirinya kembali memberi fokus buat dunia nyanyian. "Saya sudah lama meninggalkan dunia nyanyian untuk beri tumpuan soal kahwin. Dan kini merupakan waktu yang sesuai untuk saya kembali," katanya. Baru sahaja selesai merakamkan dua lagu, Ezad akui cukup sukar sebenarnya diri dia keluar dari bayangan Exist. "Orang memang mengenali saya dengan nama Ezad Exist sebelum ini, malah sehingga kini juga ada di antara peminat yang tidak tahu status penyanyi solo saya. "Mungkin aura yang dibawakan Exist begitu kuat untuk saya, bagaimanapun nama Ezad Lazim itu juga sebenarnya sudah mempunyai impak tersendiri kini," katanya. Tidak menolak untuk memberitahu di lebih senang berada di dalam kumpulan, Ezad bagaimanapun berhasrat untuk tetap mengukuhkan namanya. "Kalau boleh saya memang lebih senang berkumpulan dan sudah ada perancangan ke arah itu. Perkongsian idea itu lebih mudah, dan mungkin juga sudah terbiasa bekerja secara kerjasama," katanya.

Ezad Lazim Sahkan Putus Tunang Dengan Pembantu Peribadi

PETALING JAYA: Penyanyi Ezad Lazim mengesahkan ikatan pertunangannya dengan pembantu peribadi, Asliza Abdullah, telah pun terlerai sejak seminggu yang lalu. Ezad, 33, berkata, dia yang sepatutnya berkahwin pada Julai lalu tidak sangka percintaan yang terjalin selama empat tahun itu gagal bertahan sehingga ke jinjang pelamin, malah ia terputus seminggu sebelum dia menyambut hari lahirnya yang ke 33 tahun pada hari ini (Jumaat). "Nak buat macam mana, mungkin kami tidak ada jodoh untuk hidup bersama. Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi. "Inilah kali pertama saya melalui pengalaman putus tunang dan ia bukannya mudah kerana saya begitu serius dengan pehubungan ini. "Bagaimanapun saya masih lagi mengharapkan sesuatu yang baik terjadi antara kami, manalah tahu..," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Ezad dan Azliza telah mengikat tali pertunangan mereka pada 1 Jun lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Julai 2012. Bagaimanapun, khabar angin mengatakan keretakan hubungan itu berpunca daripada pihak perempuan yang seolah-olah tidak bersungguh-sungguh dengan perancangan perkahwinan mereka.
Tambah bekas vokalis kumpulan Exist itu, dia enggan menuduh sesiapa pun tentang permasalahan itu dan menganggap masing-masing mempunyai kesalahan sendiri sehingga ia telah menjejaskan perhubungan yang terjalin. "Saya harap tiada yang menuding jari kepada sesiapa tentang hal putus tunang ini. Bagi saya ia adalah satu pengajaran dan iktibar yang besar buat kami berdua. "Bukan mudah juga untuk saya membuat kenyataan sebegini kepada pihak media kerana saya sendiri tak tahu untuk jawab apa apabila disoal tentang hal ini," tuturnya. Dalam pada itu, Ezad turut mengakui yang dia sudah serik dalam menjalinkan perhubungan cinta, namun penyanyi itu hanya berserah kepada Tuhan tentang hal pengurusan jodohnya. "Saya sebenarnya susah untuk menyukai seseorang dan apabila perkara begini berlaku, sukar untuk saya jelaskan apa yang terasa di hati. "Sampaikan keluarga memberikan cadangan untuk membiarkan mereka mencarikan bakal isteri yang sesuai, tetapi saya tak nak. Serik rasanya. Biarlah, saya serahkan jodoh ini kepada Allah S.W.T. "Dan saya ingin memberi fokus kembali terhadap karier saya selepas ini," kata Ezad yang sedang sibuk dengan rakaman single lagu terbarunya.

Ezad Mengaku Sukar Kikis Imej Exist


KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezad Lazim atau nama sebenarnya, Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 33, mengakui sukar untuk mengikis imej Exist sejak keluar daripada kumpulan tersebut lima tahun lalu.

Ezad yang juga merupakan bekas vokalis Exist berkata hal tersebut membuatkan konsep lagu dalam album terbarunya yang berjudul Mengharap Bintang seakan serupa ketika dia bersama kumpulan itu sejak tahun 1994.

"Diakui saya tidak boleh lari daripada bayangan Exist, kerana jiwa saya sudah sebati dengan genre pop rock 1990-an.

"Saya pernah membawakan lagu-lagu berkonsep lain, dengan harapan saya dapat kikis imej Exist dalam diri. Tetapi jujur saya katakan, ia agak sukar," katanya pada pelancaran album sulungnya, Mengharap Bintang di RedBox Sogo, di sini, Selasa.

Tambah Ezad, dia bersyukur kerana peminat-peminatnya tidak keliru dengan penampilan solo yang ditonjolkan dan masih mengharapkan dia kekal dengan konsep lagu lama.

Album yang diedarkan menerusi Universal Music Malaysia sejak 10 Februari lalu itu mempertaruhkan lima lagu baru iaitu Mengharap Bintang, Gambaran Sebuah Rindu, Kau dan Aku Yang Dulu, Tiba-Tiba Teringat serta single lagu popularnya, Percintaan Ini .

Ezad turut merakam semula empat buah lagu lama ketika bersama kumpulan Exist seperti Alasanmu, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar .

Lagu popular daripada kumpulan Spoon berjudul Rindu Serindu Rindunya turut dirakam semula untuk album ini.

"Sebenarnya, saya hanya ingin memuatkan lima buah lagu sahaja dalam album ini.

"Memandangkan album kompilasi lagu-lagu lama masih laku, jadi saya fikir, apa salah kalau saya merakam semula lagu-lagu popular itu.

"Tambah pula apabila pencipta-pencipta lagu tersebut adalah daripada kalangan rakan-rakan pemuzik, maka ia sedikit mudah daripada segi hak ciptanya," ujarnya.

Mengharap Bintang membariskan komposer-komposer hebat yang pernah bekerjasama dengan Ezad ketika bersama Exist lagi iaitu Saari Amri, Eddie Hamid dan Haron Ahmad selain dua pendatang baru, seperti Manusia Putih dan Ed Lazim.

Album ini turut diterbitkan dalam bentuk VCD Karaoke.

Ezad sendirian


JIKA diukur pada usia perjalanan seni Ezad Lazim, dia sudah boleh dianggap otai. Ezad sudah muncul dalam industri hiburan melalui kumpulan Exist sejak 16 tahun lalu.

Entah mengapa Ezad tiba-tiba berubah angin di saat nama Exist mekar di hati peminat. Dia keluar daripada grup tersebut lima tahun lalu.

Dalam tempoh itu, dia menyendiri. Namanya tidak lagi disebut-sebut seperti mana popularnya lagu Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar, Kapal Terbang Kertas, Julia dan Percayakan Siti sebelum ini.

"Saya bukan sengaja menyepi, tetapi mencari kekuatan diri. Saya mencari pengetahuan dan ruang untuk terus berada di dalam industri ini biarpun sendirian," katanya dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Menganggap keputusan menarik diri daripada kumpulan yang ditubuhkan sejak 1991 itu sebagai satu pilihan yang baik untuknya, Ezad kini tampil untuk menjenamakan semula dirinya.

Menjauh daripada imej muda seperti ketika bersama Exist, jejaka berusia 32 tahun itu mengatur strategi seni yang sesuai dengan usianya. Dia kini muncul dengan imej lebih matang di samping album solo pertama.

Dinamakan sebagai Ezad: Mengharap Bintang, album yang telah dilancarkan kira-kira tiga bulan lalu itu kini sudah menjadi kegilaan peminat.

Menampilkan sepuluh buah lagu, Ezad kelihatan bersungguh- sungguh dengan kerjaya solonya. Album itu mengandungi lima buah lagu lama dan lima buah lagu popular Exist yang dinyanyikan semula.

"Memang ada rasa takut untuk berdikari, tetapi saya kena ketepikan hal itu. Paling penting adalah sokongan daripada semua termasuk rakan-rakan, peminat dan media yang memberikan saya semangat.

"Tampil dengan album solo bukan sesuatu yang mudah. Saya banyak belajar daripada artis solo lain bagaimana mereka terus ada dalam industri ini," ujarnya yang telah menghasilkan enam album bersama Exist.

Antara lagu yang terkandung di dalam album itu adalah Percintaan Ini, Mengharap Bintang, Masih Terserlah Ayu Mu, Alasanmu dan Tiba-tiba Teringat.

Dia yang seperti bermula semula dalam karier nyanyian menganggap bergerak sendiri dan bersama kumpulan adalah sesuatu yang berbeza.

"Pastinya cabaran itu lebih besar, tetapi saya perlu tampil dengan produk yang berkualiti untuk diterima peminat," kata anak kelahiran negeri Jelapang Padi itu.

Dia menampilkan beberapa orang pencipta lagu lama dan baharu antaranya Adi Sixthsense, Eddie Hamid, Saari Amri, Mawar Putih, Ed Lazim, Harun Ahmad dan Juwie.

Ezad yang pernah membintangi beberapa buah filem seperti Mami Jarum, Mistik dan Kuliah Cinta kini turut kembali tampil dalam kerjaya lakonan.

Wajahnya boleh disaksikan di dalam drama Cinta Tampal yang disiarkan di saluran Astro Warna pada setiap hari khamis pukul 9 malam.

Berhenti tuding jari pada saya - Ezad Lazim


BEKAS vokalis Exists, Ezad Lazim mengakui bahawa dia mengalami tekanan dan gangguan perasaan setelah pembubaran kumpulan tersebut hampir lima tahun lalu.

Ini termasuklah dia dituduh menjadi punca perpecahan kumpulan yang punya ribuan peminat di tanah air.

Meskipun dakwaan tersebut belum dibuktikan lagi, penyanyi berasal dari Kedah itu berterusan ditagih ‘jawapan’ dari kalangan peminatnya atas perkara tersebut.

Apatah lagi selepas dia mengumumkan keselesaan menggunakan namanya untuk bergerak solo. Seolah-olah menafikan fakta bahawa perkembangan kariernya menuju kemuncak sewaktu bersama kumpulan tersebut.

“Saya tak tahu mengapa orang masih mengatakan saya punca perpecahan Exists sedangkan mereka tak tahu perkara sebenar.

“Saya sendiri merasa sakitnya apabila tidak bergerak secara berkumpulan. Balik kampung orang mengata dan cakap saya macam-macam sebab semua orang percaya saya punca perpisahan Exists,” luah Ezad usai sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ezad menganggotai Kumpulan Exists setelah menggantikan Mamat yang menarik diri sebagai vokalis sejak tahun 1995. Kumpulan yang memperjuangkan genre pop rock itu mencipta nama sejak tahun 1991 menerusi lagu Untukmu Ibu.

Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim , 32, ini juga mengakui bahawa dia bukan seorang yang mudah lupa diri dengan kumpulan yang banyak berjasa buat perjalanan seninya itu.

Punca perpecahan

“Sebenarnya banyak orang tak faham kenapa Exists berpecah pada tahun 2008. Kita terpaksa berpisah setelah masing-masing tidak dapat mencari kata sepakat setiap kali berjumpa.

“Sudah pasti kami sayangkan kumpulan ini. Tapi tidak adil kalau ada pihak menuduh saya punca perpecahan Exists. Macam teruk sangat disiplin saya sehingga membebankan ahli kumpulan lain,” luah Ezad berhubung stigma berkenaan.

Padahal, masing-masing sudah bersepakat untuk membuat haluan sendiri dan berjanji untuk tidak bercerita lagi tentang kisah lampau.

“Ezad adalah sebahagian daripada Exists dan begitu juga sebaliknya. Perkara ini tak boleh nak dinafikan. Selepas berpisah, masing-masing ada tanggungjawab untuk mengisi periuk nasi sendiri.

“Saya sendiri masih menyanyikan

lagu-lagu popular Exists atas pelbagai sebab dan ahli kumpulan lain boleh berbuat perkara yang sama juga.

“Jadi tak baik kalau kita menghalang punca rezeki bukan? Exists tetap ada dan sampai sekarang masih ada pihak yang berusaha untuk mendekatkan kami,” katanya berterus-terang.

Adakah Ezad pernah terlintas untuk lari dari imej Exists?

“Sehingga hari ini, saya sukar untuk meyakinkan semua orang bahawa saya sudah tiada dalam Exists. Ibarat air dengan minyak. Walaupun perkara itu agak mustahil namun saya tahu lambat laun orang akan terima Ezad Lazim seadanya,” katanya bersungguh-sungguh.

Untuk itu, Ezad mempertaruhkan album solonya berjudul Mengharap Bintang terbitan Universal Music Sdn. Bhd dan MVM Production Sdn. Bhd. Sebanyak lima buah lagu baru yang dipertaruhkan iaitu Percintaan Ini, Mengharap Bintang, Gambaran Sebuah Rindu, Kau Dan Aku Yang Dulu dan Tiba-Tiba Teringat.

Selain itu, turut diselitkan lima lagu popular Exists yang dinyanyikan semula iaitu Alasanmu, Rindu Serindu-Rindunya, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar.

Segala aktiviti penyanyi ini boleh diketahui menerusi laman sosial Facebook miliknya dengan mencari Ezad Lazim FC.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails