Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Berhenti tuding jari pada saya - Ezad Lazim


BEKAS vokalis Exists, Ezad Lazim mengakui bahawa dia mengalami tekanan dan gangguan perasaan setelah pembubaran kumpulan tersebut hampir lima tahun lalu.

Ini termasuklah dia dituduh menjadi punca perpecahan kumpulan yang punya ribuan peminat di tanah air.

Meskipun dakwaan tersebut belum dibuktikan lagi, penyanyi berasal dari Kedah itu berterusan ditagih ‘jawapan’ dari kalangan peminatnya atas perkara tersebut.

Apatah lagi selepas dia mengumumkan keselesaan menggunakan namanya untuk bergerak solo. Seolah-olah menafikan fakta bahawa perkembangan kariernya menuju kemuncak sewaktu bersama kumpulan tersebut.

“Saya tak tahu mengapa orang masih mengatakan saya punca perpecahan Exists sedangkan mereka tak tahu perkara sebenar.

“Saya sendiri merasa sakitnya apabila tidak bergerak secara berkumpulan. Balik kampung orang mengata dan cakap saya macam-macam sebab semua orang percaya saya punca perpisahan Exists,” luah Ezad usai sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ezad menganggotai Kumpulan Exists setelah menggantikan Mamat yang menarik diri sebagai vokalis sejak tahun 1995. Kumpulan yang memperjuangkan genre pop rock itu mencipta nama sejak tahun 1991 menerusi lagu Untukmu Ibu.

Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim , 32, ini juga mengakui bahawa dia bukan seorang yang mudah lupa diri dengan kumpulan yang banyak berjasa buat perjalanan seninya itu.

Punca perpecahan

“Sebenarnya banyak orang tak faham kenapa Exists berpecah pada tahun 2008. Kita terpaksa berpisah setelah masing-masing tidak dapat mencari kata sepakat setiap kali berjumpa.

“Sudah pasti kami sayangkan kumpulan ini. Tapi tidak adil kalau ada pihak menuduh saya punca perpecahan Exists. Macam teruk sangat disiplin saya sehingga membebankan ahli kumpulan lain,” luah Ezad berhubung stigma berkenaan.

Padahal, masing-masing sudah bersepakat untuk membuat haluan sendiri dan berjanji untuk tidak bercerita lagi tentang kisah lampau.

“Ezad adalah sebahagian daripada Exists dan begitu juga sebaliknya. Perkara ini tak boleh nak dinafikan. Selepas berpisah, masing-masing ada tanggungjawab untuk mengisi periuk nasi sendiri.

“Saya sendiri masih menyanyikan

lagu-lagu popular Exists atas pelbagai sebab dan ahli kumpulan lain boleh berbuat perkara yang sama juga.

“Jadi tak baik kalau kita menghalang punca rezeki bukan? Exists tetap ada dan sampai sekarang masih ada pihak yang berusaha untuk mendekatkan kami,” katanya berterus-terang.

Adakah Ezad pernah terlintas untuk lari dari imej Exists?

“Sehingga hari ini, saya sukar untuk meyakinkan semua orang bahawa saya sudah tiada dalam Exists. Ibarat air dengan minyak. Walaupun perkara itu agak mustahil namun saya tahu lambat laun orang akan terima Ezad Lazim seadanya,” katanya bersungguh-sungguh.

Untuk itu, Ezad mempertaruhkan album solonya berjudul Mengharap Bintang terbitan Universal Music Sdn. Bhd dan MVM Production Sdn. Bhd. Sebanyak lima buah lagu baru yang dipertaruhkan iaitu Percintaan Ini, Mengharap Bintang, Gambaran Sebuah Rindu, Kau Dan Aku Yang Dulu dan Tiba-Tiba Teringat.

Selain itu, turut diselitkan lima lagu popular Exists yang dinyanyikan semula iaitu Alasanmu, Rindu Serindu-Rindunya, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar.

Segala aktiviti penyanyi ini boleh diketahui menerusi laman sosial Facebook miliknya dengan mencari Ezad Lazim FC.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails