Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Fara Fauzana. Show all posts
Showing posts with label Fara Fauzana. Show all posts

Fara Fauzana Ketuai Bacaan Ikrar Hari Kemerdekaan

Penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana dilantik sebagai ikon pembaca ikrar pada perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini. Pada sambutan itu, Fara akan mengetuai sesi pembacaan ikrar itu bersama dua ikon lain iaitu dari Sabah dan Sarawak. "Perasaan saya gementar namun cukup teruja kerana diberi tanggungjawab besar ini. Secara jujurnya, dahulu saya cukup suka untuk membaca ikrar di perhimpunan sekolah dan apabila diberikan kepercayaan ini, seumpama bulan jatuh ke riba," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online di sini pada Rabu. Bacaan ikrar tersebut dapat didengar secara langsung melalui saluran Hot FM seluruh negara pada 31 Ogos nanti.

Fara Fauzana Mahu Daki Gunung Kinabalu

Pengacara dan penyampai radio Fara Fauzana ingin mencipta sejarah baru dalam hidupnya iaitu mendaki Gunung Kinabalu, Sabah pada tahun ini. Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 35, berkata, keputusan itu diambilnya selepas dia berjaya melakukan aktiviti berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia lima tahun lalu. "Pada mulanya saya merancang untuk mendaki Kinabalu pada Februari lalu, tetapi disebabkan kekangan tugas, saya terpaksa manunda ke bulan April depan. "Walaubagaimanapun, saya tetap menunaikan hajat saya pada tahun ini juga kerana ia merupakan hasrat saya yang harus dilaksanakan untuk berada di atas gunung tersebut selepas kejayaan berbasikal pada lima tahun lalu," katanya kepada mStar Online.
Fara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media 'Pengumuman Pelantikan Duta Produk Pharmaton' di Talent Lounge, PJ Trade Centre, Damansara Perdana di sini, Selasa. Pihak Pharmaton telah melantik Fara Fauzana dan cef selebriti, Sherson Lian sebagai wajah terbaharu produk tersebut. Dalam perkembangan berkaitan Fara berkata, persedian awal untuk mendaki Gunung Kinabalu telah dilakukannya pada tahun lalu agar memperoleh ketahanan mental sebelum melalui cabaran yang sebenar. "Sebagai persedian awal saya telah berjaya mendaki Bukit Broga, (Semenyeh) dan Gunung Datuk (Rembau). "Jika mempunyai masa saya akan pergi ke gim sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. "Saya juga melakukan senaman lain sekurang-kurangnya sejam sehari agar badan saya mengeluarkan peluh selain menyihatkan tubuh badan," katanya. Mengenai Pharmaton, Fara berkata, dengan mengamal produk berkenaan ia dapat memberi tenaga tambahan kepadanya untuk kembali cergas kerana tugasnya sebagai penyampai radio.

Berhijrah itu sukar – Fara Fauzana

BERJANJI untuk bertemu dalam satu sesi fotografi dan temu bual santai pada 11 Februari lalu, pengacara dan penyampai radio popular Fara Fauzana langsung memberikan reaksi positif dengan permintaan Kosmo!. Sudah lama rasanya tidak bertemu dengan personaliti popular berusia 35 tahun itu. Peluang tersebut disambut baik, sementelah kepadatan jadual yang memungkinkan tiada tarikh lain untuk berjanji temu. Seperti yang dijanjikan, pada pukul 3 petang, penulis buat pertama kali bertemu wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu. Laju sahaja sapaan mesra dihulurkan empunya badan bersulam kuntuman senyum yang mesra di tubir bibirnya. Meskipun pada pertemuan itu Fara sebenarnya kurang sihat kerana demam panas, namun kerana komitmen yang tinggi terhadap temu janji yang telah diatur membuatkan wanita itu gagah melangkah ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Dengan suara yang serak basah dan terkadang diselangi batuk, sesi fotografi dan temu bual santai berlangsung lancar, meskipun dalam hati penulis perasaan gusar menusuk laju memikirkan keadaan kesihatan Fara. “Minta maaf ya kerana sedikit lewat. Saya pergi ke klinik dahulu sebelum datang ke sini. Maaflah kalau kita berjumpa hari ini dengan suara saya yang agak garau,” seloroh Fara yang hadir santai berbaju kemeja dan sehelai selendang putih bercorak biru melitupi kepalanya. Nilai sehelai hijab Pada awal perbualan, kami hanya rancak melontarkan omong kosong dalam keadaan santai dan ceria. Perlahan-lahan, barulah sesi perbualan itu bertukar menjadi profesional. Sedikit demi sedikit penulis menyelak sisi kehidupan seorang wanita bernama Farah Fauzana Mohd. Fadzil dari segi hidup, perspektif hijab, karier dan jodoh. Dia tenang melantunkan dan mengatur baik jawapan yang diberinya. “Kalau dulu, saya akui memang sedikit pelik dengan sesetengah wanita yang masih menyarung sarung tangan sedangkan lengan baju yang dipakai sudah cukup menutup pergelangan tangan. Namun selepas berhijab, barulah saya mengerti tentang semua itu dan ia membuatkan saya lebih tenang mendepani hari-hari mendatang sebagai seorang muslimah,” tuturnya membuka bicara saat dituju perihal kehidupannya kini yang melangkaui fasa seorang wanita berhijab. Bekas hos Nona itu kemudian menyambung: “Islam itu indah dan hijab itu menenangkan saya. Saya akui, hijab ada kuasa yang tersendiri dalam mempengaruhi orang di sekeliling saya lebih-lebih lagi saya bekerja dalam ruang lingkungan yang memerlukan saya menghabiskan masa berjam-jam di set lokasi. “Seperti contoh, sebelum memakai hijab, pihak produksi akan sentiasa peka dengan keperluan saya untuk menunaikan solat. Sampai waktu solat, mereka akan beri ruang kepada saya untuk menunaikan perintah wajib tersebut. “Apabila sudah berhijab kini, kepekaan dan sikap ambil berat mereka semakin tinggi walaupun kebanyakan orang produksi tersebut bukanlah seorang Muslim. Perkara sebegini membuatkan saya begitu terharu dan sebak memikirkan betapa hebatnya agama Islam.” Bercerita lanjut, Fara mengakui proses penghijrahannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Walaupun tidak sekuat mana halangan yang menimpa, namun terkadang sedikit ujian kecil itu membuatkan dirinya tercuit jua. Ceritanya, pada tempoh awal perubahan dahulu, wujud beberapa perkara yang membuatkannya berasa penghijrahan yang dilakukan seakan membawa masalah kepada seorang selebriti seperti dirinya untuk melakukan tugas seperti biasa. “Tidak perlu saya beritahu pihak mana atau siapa, tetapi cukuplah sekadar berkongsi pengalaman bahawa negara kita sebuah negara Islam. Mengapa perlu memandang soal hijab dan aurat sebagai satu masalah untuk selebriti tampil di kaca televisyen. “Alhamdulillah saya tidak memandang semua perkara itu sebagai perkara besar memandangkan sebagai seorang yang tegas dengan pendirian, saya harus berani menegakkan kebenaran. Insya-Allah mungkin selepas ini masalah seperti itu tidak akan timbul lagi kepada mana-mana artis atau selebriti wanita kita,” ujar Fara optimis. Tolak beri ceramah Terhambur tawa kecil dari bibir Fara ketika penulis mengajukan soalan jika ada mana-mana pihak yang menawarkan dirinya untuk menyampaikan satu sesi ceramah berbentuk keagamaan. Bukan lucu, tetapi tawa kecil itu terkeluar sementelah mengenang kemampuan diri yang tidak sampai ke tahap tersebut membuatkan Fara menolak dari awal semua jenis tawaran yang berkaitan. “Banyak lagi surah saya belum mahir, inikan pula mahu beri ceramah kepada orang ramai. Memang sampai bila-bila saya tidak akan terima tawaran seperti itu. Bukan tidak berminat, tetapi saya tidak layak untuk diberi penghargaan mengemudikan sebuah program ceramah berbentuk Islamik. “Macam mana saya mahu ceramahkan orang sedangkan diri sendiri masih tidak cukup yakin. Tidak semestinya sebagai seorang selebriti, apabila sudah berhijab saya mesti mengemudikan program berbentuk keagamaan. “Saya percaya masih ramai pengacara dan pakar motivasi di luar sana yang juga punya pengikut tersendiri. Jadi tidak ada alasan untuk menggunakan selebriti semata-mata bagi menarik minat penonton mendengar program ceramah agama,” ujar Fara tersenyum lebar sambil memberitahu tidak akan menolak sekiranya mendapat tawaran menjadi moderator atau perantara untuk mana-mana ceramah agama selepas ini. “Lagi pula baru-baru ini saya pernah beberapa kali dijemput menjadi moderator dalam rancangan Prof. Dr. Muhaya di saluran Astro Oasis. Kalau bab itu (moderator) saya memang tiada masalah langsung untuk terima tawaran,” ujarnya sambil ketawa ceria mengusik. Belum jodoh Mungkin berbunyi agak klise jika acap kali bertemu penghujung bicara, soal hidup atau lebih tepatnya soal jodoh menjadi penutup perbualan. Namun dibalas dengan jawapan selamat, Fara hanya meletakkan soal ketentuan jodohnya kepada Yang Maha Esa, tetapi dalam masa sama percaya jodohnya tetap ada. “Kali ini biar saya jawab dengan jawapan yang tidak nampak terlalu klise. Selalunya kalau dicucuk dengan soalan jodoh, orang ramai akan ambil pendekatan menyelamatkan diri dengan memberi jawapan belum sampai masanya. “Jujurnya, saya percaya jodoh itu ada. Ada. Memang ada. Saya percaya dan masih percaya meskipun sehingga ke hari ini saya belum bertemu dengannya (jodoh). “Sebagai manusia, apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Sang Pencipta yang telah menentukan atur letaknya takdir kita. Bukan saya tidak berusaha tetapi saya percaya, sampai masanya nanti jodoh itu akan datang juga. Cuma ia akan datang dalam masa yang cepat atau lambat, itu sahaja. “Pada saya, biarlah Tuhan yang tentukan segalanya kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik. Apabila saya masih percaya, ia bermakna saya masih belum mengalah untuk menunggu,” ujar Fara penuh makna. Karier Susur galur perjalanan wanita ini terhampar elok dengan pelbagai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Nama Fara begitu gah sebagai penyampai radio popular, malah bidang pengacaraan pula semakin menghimpit dirinya ke puncak sementelah bakat dan tuah seiring mengekori perjalanan hidupnya sehingga kini. Merendah diri menyatakan itu semua adalah rezeki, Fara tidak meletakkan tanda nama popular sebagai bahan untuk dirinya meninggi diri. Tutur Fara dalam nada luhur, dia mahu kekal sebagai seorang manusia biasa yang punya hati nurani untuk berubah ke arah lebih baik. “Kalau boleh saya tidak mahu bercakap soal populariti. Ia sangat klise bagi saya. Tidak penting pun soal popular atau tidak kerana apa yang membuatkan manusia itu berjaya adalah usaha kerasnya, bukan kerana nama semata-mata. “Alhamdulillah selain sibuk dengan tugas di konti radio, pengalaman mengendalikan rancangan televisyen sangat memberi erti kepada saya. Jika dulu sewaktu mengemudi Nona, semuanya nampak formal dan mengikut peraturan skrip. Namun sekarang apabila bertukar mengendalikan sebuah rancangan televisyen lain yang bersifat lebih santai, perasaan lain datang menerpa. “Mungkin kerana sudah lama tidak mengendalikan program televisyen secara langsung, sebab itu saya agak sedikit kekok. Maklumlah, dalam konti radio, orang hanya mampu dengar suara sahaja, berbeza dengan di kaca televisyen pergerakan, muka dan percakapan semuanya menjadi perhatian orang,” ujar Fara ceria bercerita tentang tugasnya.

Fara Fauzana Tidak Terbeban Soal Kahwin

Pengacara dan penyampai radio Fara Fauzana menjelaskan dia tidak lagi berasa terbeban apabila sering diasak dengan pertanyaan mengenai perkahwinan. Fara, 35, berkata, dia sudah terbiasa dengan perkara itu dan pada usianya sekarang ia bukan soal utama selain meletakkan keyakinan kepada Allah yang merancang perjalanan hidupnya. "Dulu saya akui memang seorang yang terlalu berfikir apabila ada yang bertanya tentang kahwin tetapi sekarang tidak lagi. Saya tidak rasa bebanan itu. "Allah adalah seorang sebaik-baik perancang dan saya ingin berpegang pada kata-kata ini dan yakin pasti akan ada jodoh saya suatu hari nanti. "Kalau tidak pun mungkin saya ditakdirkan untuk menjaga kedua ibu bapa saya sehingga ke akhir hayat dan bukan semua orang dapat peluang itu," jelasnya kepada mStar Online.
Fara terdahulu diumumkan sebagai hos baharu program Muzik-Muzik 30 bersama AG bagi menggantikan Scha Al Yahya. Program itu bersiaran setiap hari Sabtu pada pukul 6 petang. Pun begitu kata Fara, itu tidak bererti dia berhenti berusaha mencari jodoh dan mengakui ada mengenali beberapa lelaki namun belum bertemu yang benar-benar sesuai dengannya. Tambah Fara, kesibukan dengan tugas seharian turut menjadi faktor utama dia tidak berpeluang untuk menjalinkan hubungan cinta seperti mana wanita lain. "Mungkin kedengaran klise tetapi itulah hakikatnya. Bagaimanapun saya bersyukur kerana keluarga amat memahami dan tidak pernah masuk campur tentang urusan itu," jelasnya.

Fara Fauzana Terkejut Dituduh Intim Dengan Hairuddin Omar

Penyampai radio dan pengacara Fara Fauzana menepis gosip yang mengaitkan dia kononnya bercinta dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan iaitu Hairuddin Omar, 35, atau Hai-O. Fara, 34, berkata, dia sendiri terkejut dengan gosip berkenaan kerana secara jujurnya dia tidak pernah mengenali pemain bola sepak tersebut secara peribadi. "Saya hanya kenal dia sebagai pemain bola sepak kerana saya memang minat sukan itu dan gosip berkenaan sama sekali tidar benar," jelasnya kepada mStar Online. Fara ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Yakult di Sri Pentas di sini pada Rabu. Selain Fara, penyanyi Atai turut dipilih untuk menjadi jurucakap produk berkenaan. Dalam pada itu, Fara berkata, dia tidak berkecil hati apabila ada pihak cuba mengaitkannya dengan pemain pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu kerana ia adalah lumrah kehidupan bagi seseorang selebriti.
Bagaimanapun Fara mengakui dia agak sedih apabila ada pihak yang menyebarkan cerita kononnya dia mengambil keputusan untuk berselendang disebabkan bintang sukan itu. "Saya mula memakai selendang bukan kerana sesiapa tetapi atas kehendak diri sendiri. "Gosip mengatakan saya berbuat demikian kerana orang lain yang saya sendiri tidak kenal memang membuatkan saya sedih," jelasnya. Sementara itu, Fara berkata, dia tidak terlalu terganggu apabila peminat mengkritik keputusannya mengenakan tudung dengan cara berselendang terlebih dahulu.
Fara berkata, dia tidak terlalu memikirkan apa yang dikatakan oleh orang lain mengenai hal itu kerana dia lebih mengetahui niat sebenar untuk berbuat demikian. "Saya seorang yang ‘hati kering’ dan tidak begitu peduli apa juga kritikan yang dilemparkan kepada saya. "Paling penting saya tahu niat sebenar saya dan berharap semua pihak dapat mendoakan perkara yang baik-baik tentang saya," pintanya. Bagaimanapun kata Fara, itu bukan bererti dia seorang yang degil atau tidak boleh menerima kritikan sebaliknya dia turut mengambil kira semua pandangan untuk kebaikan dirinya. "Saya selalunya akan baca apa juga pandangan sama ada positif atau pun negatif tentang saya di internet dan cuba memperbaiki diri untuk kebaikan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Fara berkata, dia bersetuju untuk menjadi jurucakap produk Yakult selepas melihat ibunya pulih daripada mengalami masalah ulser pada bahagian perut selepas mengamalkan minuman berkenaan selama tiga bulan. Keberkesanan minuman berkenaan membuatkannya yakin ia adalah produk yang bagus untuk diamalkan dan mahu berkongsi dengan orang lain. "Saya tidak akan terima tawaran jika tidak melihat sendiri kebaikkannya dan Alhamdulillah saya yakin selepas melihat ibu kembali pulih daripada masalah ulser di perut selepas tiga bulan mengamalkan meminum Yakult," katanya.

Saraf Suara Bengkak, Fara Fauzana Diarahkan Berehat

Pengacara Nona yang juga penyampai radio Media Prima Berhad iaitu Fara Fauzana diarahkan untuk bercuti daripada bertugas sebagai deejay selepas mengalami masalah suara sejak awal Oktober ini. Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, dia mengalami masalah yang dikenali sebagai gangguan ‘saraf vokal’ membuatkan suaranya menjadi serak dan kasar. “Masalah ini sudah lama berlaku dan ia semakin serius sejak kebelakangan ini. Ketika mendapatkan rawatan, doktor menasihati saya untuk bercuti selain kurangkan bercakap agar masalah berkenaan tidak bertambah serius,” katanya kepada mStar Online. Fara memberitahu, dia mendapat cuti sakit dari 9 sehingga 23 Oktober dan seterusnya menyambung cuti tahunan sehingga Ahad ini. Jelas Fara, pakar perubatan yang ditemuinya memberitahu terdapat jangkitan pada bahagian kerongkongnya sehingga kadangkala sukar untuk dia ‘mengeluarkan’ suara ketika berkomunikasi.
Kata Fara, selain bergelar deejay dan juga pengacara, dia banyak melakukan aktiviti menggunakan suaranya selepas waktu bekerja seperti melakukan rakaman ‘Panggilan Hangit’ dan juga juru acara majlis-majlis tertentu. “Doktor kata penggunaan suara saya melebihi waktu kerja menyebabkan saya mengalami masalah saraf vokal ini tetapi ia tidak begitu serius sebaliknya saya perlu melakukan terapi dalam tempoh yang ditetapkan. “Yalah... selama ni kalau saya bercuti kerja di Hot FM, saya bekerja pula di TV. Jadi, saya banyak menggunakan suara,” katanya. Selain kurangkan bercakap Fara juga mengelak mengambil minuman bergas serta makanan-makanan pedas agar penyakit berkenaan tidak terus berpanjangan.

Serah jodoh pada takdir - Fara Fauzana

BAGI sesetengah orang usia 33 tahun itu dianggap sebagai satu tempoh masa yang cukup matang. Dalam usia sebegini biasanya kehidupan mereka sudah dilimpahi dengan kebahagiaan dan kasih sayang tak berbelah bahagi bersama pasangan masing-masing. Lain pula hal dengan wanita yang seorang ini. Dia masih sendiri tidak berteman berbanding rakan-rakan yang lain. Biar masih bersendirian namun itu tidak bermakna dia memendam rasa. Tidak pernah mengalah pada takdir, tiada yang harus diratapi oleh Fara Fauzana Mohd. Fadzil. Segala-gala sudah dimiliki - populariti, rupa paras yang menarik dan wang ringgit namun sehingga kini jiwanya masih kosong. Saban hari dia mendengar pelbagai soalan dan desakan. Semua ingin mengetahui kisah peribadi mengenai dirinya. Tidak pernah bosan untuk melayan, dia sedar itu adalah aturan biasa seorang yang mempunyai populariti seperti dirinya. Bukan sahaja terkenal sebagai deejay radio malah Fara Fauzana yang terkenal dengan panggilan Fafau juga merupakan salah seorang pengacara program televisyen popular. Justeru tidak hairanlah sekiranya setiap soalan yang diajukan kepadanya dijawab satu persatu membuatkan penulis sendiri cukup senang dengannya. Mungkin disebabkan oleh kesibukan dalam mengurus kerjayanya saban hari, soal peribadi terutamanya kisah cinta tidak diambil berat kerana sehingga sekarang kita masih belum lagi mendapat berita mengenai kisah percintaannya. Namun ketika diajukan soalan berkenaan hal ini, Fafau yang juga turut terkenal sebagai pengacara program Nona ini langsung tidak mengelak malah nampaknya dia sendiri ingin menjelaskan sesuatu kepada khalayak berhubung jodoh serta kisah cintanya. "Saya tahu mesti ramai yang ingin tahu berkenaan perkara ini. Saya memang tiada kisah cinta dan terus terang saya katakan soal jodoh pertemuan saya ini saya serahkan kepada Tuhan. "Saya percaya pada jodoh dan saya percaya jodoh saya akan sampai juga suatu hari nanti. Saya tidak pernah sedih atau kecewa terhadap jodoh saya yang sampai sekarang masih belum ditemui. "Saya memang ramai kawan lelaki tetapi saya masih tiada seseorang secara peribadinya yang boleh digelar sebagai teman lelaki atau teman istimewa sehingga kini. "Sebelum ini saya ada meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman solo pada usia 21 tahun tetapi tidak berjaya, kemudiannya rancang pada usia 30 tahun namun tetap gagal. Jadi sekarang saya hanya berdoa agar jodoh untuk saya akan tiba juga suatu hari nanti," jelas Fafau. Ada juga tanggapan bahawa disebabkan oleh populariti serta taraf kehidupan Fafau sekarang membuatkan ramai jejaka dan teman Fafau tidak berani untuk untuk mendekati dirinya namun jelas Fafau, perkara ini sebenarnya tidak pernah wujud. "Sebenarnya saya seorang yang boleh terima sebarang keadaan. Saya boleh menjadi orang biasa, saya juga boleh menjadi seperti Fara Fauzana sekarang. "Tapi saya bukan jenis orang yang hipokrit dan suka bermuka-muka, pandangan orang terhadap saya macam-macam. Sebenarnya saya seorang yang biasa, tidak perlu takut untuk dekatkan diri dengan saya, saya juga hidup seperti orang lain. tiada yang lebih, tiada yang kurang," jelasnya. Semakin larisSelain terkenal dalam bidang pengacaraan, Fafau juga turut dikenali dalam dunia lakonan. Antara filem yang pernah melibatkan dirinya adalah SH3 The Movie, Gila Gila Bola, Jin Notti, Kecoh Betul dan Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami. Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, pelbagai perkara telah dirasai sehingga dirinya turut dilantik sebagai jurucakap beberapa produk kecantikan dan pakaian. Terkini, Fafau baru sahaja selesai sesi fotografi di Jakarta, Indonesia setelah dilantik sebagai jurucakap kepada produk Sophie Paris. Jelas Fafau sesi fotografi tersebut sangat unik apabila dia berjaya menyalin 53 helai baju dalam masa dua jam sahaja. "Saya juga tidak sangka saya berjaya melakukannya. Sebenarnya tenaga kerja di sana cukup mahir dan pantas dalam melakukan kerja, saya cukup bertuah apabila berjaya melakukan kerja bersama pasukan tersebut," jelas Fafau. Melihat kepada jadual kerjanya yang padat, tertanya juga bagaimana dia berjaya membahagikan masa. Jelas penyampai radio popular ini, sebelum menerima apa-apa tawaran dia terlebih dahulu merancang jadualnya. "Bukan semua tawaran saya terima, saya mesti merancang sebaik-baik mungkin agar semuanya tidak bertindih. Sebenarnya tugas saya sebagai penyampai radio itu adalah tugas wajib bagi saya. "Jadi jurucakap dan yang lain-lain itu adalah secara bermusim. Sekiranya ditawarkan itu adalah rezeki kepada saya, sekarang ini pun saya masih menjadi pengacara Nona. Alhamdulillah penonton boleh menerima saya. Itu semua adalah rezeki Allah kepada saya. "Saya akui banyak bidang seni sudah saya ceburi cuma bidang pengarahan saya tidak minat. Sebenarnya saya suka lakukan apa yang saya suka dan bukan ambil apa sahaja tawaran yang diberi. Bagi saya sekiranya kita ambil benda yang kita tidak suka itu sebenarnya akan merosakkan kita," jelasnya. Selain itu, Fafau juga turut mempunyai perniagaannya sendiri antaranya penginapan inap desa di Shah Alam, Selangor serta restoran makanan segera Rojak Box di KL Sentral, Kuala Lumpur. Nyonya & The Gang"Sebenarnya saya cukup minat dalam pementasan teater. Terbaru saya akan menjayakan pementasan teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 14 hingga 20 Jun nanti. "Ini merupakan teater terbesar pernah saya lakonkan. Saya cukup meminati teater sejak kecil lagi. Dari dulu lagi saya bayangkan diri saya berada di atas pentas teater kerana saya anggap teater ini adalah satu cabang seni yang cukup unik. "Saya pernah tawarkan diri untuk berlakon dalam teater Puteri Gunung Ledang namun tidak berjaya sehinggalah saya ditawarkan untuk berlakon dalam teater Mak Dara Nyonya dua tahun lalu. "Bagi saya soal teater itu meletup atau tidak itu nombor dua, saya sebenarnya nak suruh orang kenal teater. Teater adalah satu perkara yang unik kerana berlaku secara langsung. Sebarang kesalahan kita kena tutup secepat mungkin. Tidak seperti filem, kalau kita salah kita boleh ulang lakonan itu sekali lagi," jelasnya. Selain Fafau, beberapa pelakon lain turut membintangi teater arahan Siti Rohayah Attan itu antaranya Misha Omar, Takiudin Bakar serta penampilan khas, Anuar Zain.

Gigih kumpul aset - Fara Fauzana

TIDAK dinafikan daripada segi luaran, Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd. Fadzil seorang yang berjaya. Pada usia 33 tahun, namanya berada di puncak sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen popular sejak menceburi bidang radio pada tahun 2004. Bukan itu sahaja, selain turut bergelar pelakon, Fara juga memiliki beberapa cabang perniagaan seperti Fafau Entertainment, Rojak Box dan homestay. Melihat kesibukan Fara, sudah pasti ramai yang beranggapan Fara hidup dalam kemewahan. Bagaimanapun, ujar Fara rezeki yang diterima hari ini tidak digunakan untuk dirinya seorang sahaja, sebaliknya dikongsikan bersama keluarganya. "Niat utama saya mula-mula bekerja adalah untuk membantu ibu bapa mengurangkan beban mereka seperti selesaikan segala hutang-hutang yang mereka ada. Mereka berhutang pun sebab hantar saya sambung belajar selain saya juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap adik-beradik yang lain. "Alhamdulillah, sekarang saya sudah ada beberapa perniagaan seperti Fafau Entertaiment. Walaupun tidak menguruskan artis lain selain diri saya, tetapi syarikat itu berjalan dengan baik. Saya juga selalu mengadakan kolaborasi bersama syarikat Darling Ngasri untuk menerbitkan drama. "Homestay pula, telah saya usahakan sejak beberapa tahun lalu dan bulan lepas saya baru sahaja membuka perusahaan makanan iaitu Rojak Box di KL Sentral yang saya kongsi bersama rakan saya," ujarnya tentang aset yang dimilikinya kini. Disoal selama bekerja keras dalam bidang penyiaran dan perniagaan adakah kini Fara boleh digelar seorang jutawan, Fara hanya ketawa sebelum menjawab. Ujarnya: "Orang lain mungkin lihat saya hidup mewah, tetapi mereka tidak faham. Mungkin pendapatan yang saya terima agar besar jumlahnya, tetapi dalam masa yang sama saya juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap keluarga. "Jujur saya katakan, saya belum ada aset untuk bergelar seorang jutawan. Jika saya menggunakan semua pendapatan untuk diri saya seorang, ya mungkin saya sudah bergelar jutawan sekarang ini. Setakat ini, saya masih perlu bekerja keras setiap hari untuk menjadi jutawan." Bercakap mengenai populariti, akui Fara dia mula terasa tempias populariti sejak menjadi pengacara program Melodi. Sejak itu, kehidupannya sedikit berubah apabila wajahnya semakin dikenali ramai. "Saya mula rasa popular sejak menjadi pengacara program Melodi. Saya tidak pernah nafikan orang kenal saya kerana program itu dan kebetulan pada waktu yang sama, saya juga muncul di program yang lain serta beberapa buah drama," balasnya. Tambahnya lagi, bakat bercakap yang dimilikinya digunakan sebaik mungkin. Bukan itu sahaja, dirinya yang sesuai untuk pelbagai majlis juga dirasakan antara penyumbang kepada kejayaannya hari ini. "Apabila saya bercakap, tidak kiralah di radio atau di mana-mana sahaja, saya akan fikirkan yang saya bercakap untuk semua orang tidak kira peringkat umur atau status. Jika orang minta saya jadi pengacara untuk majlis di luar bandar, saya akan bercakap macam orang kampung, kalau diminta untuk majlis yang dihadiri golongan urban saya akan bercakap ikut cara mereka. "Saya juga sering menjadi pengacara untuk majlis korporat. Maknanya saya mempunyai peminat daripada pelbagai lapisan usia. Semua acara di mana sahaja, semuanya saya boleh masuk. Jadi, sebelum buka mulut saya harus berfikir terlebih dahulu," katanya. Plihan pertama Sudah bergelar penyampai radio, pengacara dan pelakon popular, disoal bidang manakah yang menjadi pilihan utamanya, Fara tidak mengambil masa yang panjang untuk menjawab. "Radio," katanya ringkas sebelum menjelaskan menjadi penyampai radio merupakan kerjaya untuk tempoh masa yang panjang berbanding pengacaraan dan berlakon. "Orang tidak kisah saya tidak cantik, gemuk atau tidak pandai fesyen kerana mereka hanya ingin mendengar suara saya sahaja. "Kalau berlakon, sudah tua atau tidak menepati pasaran, sudah tidak ada tawaran lakonan. Jadi, bekerja di radio merupakan pilihan terbaik saya, lagipun saya bermula dengan radio, jadi cinta pertama saya sememangnya di radio," jelasnya. Balasnya lagi, dia tidak pernah merasa penat bekerja kerana dia melakukan kerja yang diminati. Meskipun sudah berjaya, Fara masih menyimpan impian terbesarnya yang telah dirancang sejak dua tahun yang lalu. Jika tidak aral melintang, impiannya itu pasti akan dilaksanakan pada tahun ini. "Perancangan masa depan saya untuk memberi kembali kepada masyarakat menerusi kerja amal. Sudah dua tahun saya rancang, tetapi untuk buat sesuatu kepada masyarakat, saya kena rancang dengan betul sebab itu ia mengambil masa yang agak lama. "Fokus saya ialah warga emas dan kanak-kanak. Apa yang saya miliki hari ini bukan milik saya seorang, jadi saya harus berkongsi dengan orang yang memerlukan. Sudah menjadi tugas saya untuk membantu. Harapan saya agar tahun ini saya dapat laksanakannya," ujar Fara tentang impiannya itu. Mangsa fesyen Sementara itu, jika diperhatikan, setiap kali Fara muncul pada majlis anugerah, ada sahaja kritikan yang diterimanya berkenaan dengan fesyen yang digayakannya. Contohnyan ketika Fara menjadi pengacara Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, daripada empat helai pakaian yang disarungnya, pasti salah satunya ada yang tidak kena pada mata pengkritik. Mengakui tidak pandai berfesyen, tetapi itu tidak bermakna Fara tidak berusaha untuk kelihatan cantik ketika berada di majlis besar ataupun kaca televisyen. "Masalah fesyen dan Fara sangat berkawan baik (ketawa). Sebenarnya saya sudah sampai tahap tidak kisah tentang fesyen. Masalah pakaian juga berlaku ketika saya menjadi pengacara Melodi. "Saya sedar yang diri saya bukanlah seorang model, sebab itu saya malas untuk bercakap tentang pemilihan pakaian. Jika saya bercakap banyak, nanti orang akan melabel diri saya seorang diva pula," balasnya. Tidak berputus asa, kata Fara, dia hanya boleh mencantikkan pakaian yang disarungnya dengan bahasa pertuturannya sahaja. "Untuk mengalih perhatian khalayak terhadap fesyen yang saya gayakan, apa yang saya lakukan adalah tenggelamkan masalah pakaian itu dengan gaya pertuturan saya. "Itu sahaja yang saya mampu lakukan. Kalau pakai cantik-cantik, tetapi tidak pandai bercakap dan jalankan tugas dengan baik pun tidak guna juga. Itu caranya saya motivasikan diri. "Bagi saya cantik itu sangat universal. Mungkin pada mata sesetengah orang pakaian yang saya pakai tidak cantik dan setengah lagi kata cantik. Saya sangat berusaha untuk kelihatan cantik tetapi saya harus terima hakikat saya bukan model, hanya bakat bercakap saya yang lebih cantik," katanya lagi.

Fara tu berlagak ke?

MISS J memang selalu teruja kalau dapat pergi kenduri kahwin. Bukan kerana nak makan nasi minyak tapi kerana seronok dapat berkumpul dan bertanya khabar kawan-kawan lama. Bertambah teruja kalau majlis itu turut dihadiri oleh rakan-rakan artis. Apa taknya ketika itulah kita nak bermesra dengan artis pujaan. Tapi Miss J simpati dengan salah seorang peminat Miss J yang berasal dari utara tanah air. Dia mengadu kepada Miss J yang penyampai radio popular Fara Fauzana berlagak di majlis kenduri kahwin kenalan Miss J. Terkejut juga dia dengan sikap Fara. Ternyata katanya, Fara sangat berbeza di luar waktu kerja. Sudahlah lokek senyuman, sombong pula tu. Minta untuk bergambar pun, Fara buat tak tahu saja. Peminat itu punyalah tunggu lama sampai tak sempat nak makan sebab nak bergambar kenangan dengan bintang pujaan hati. Tapi berulang kali minta bergambar sama tapi Fara tetap tak layan. Orang sekeliling yang perasan keadaan itu pun tertanya-tanya kenapa Fara bersikap begitu. Sebab biasanya kalau di konti dia bukan main ceria dan mesra. Hinggakan ramai tertanya-tanya begitukah ‘warna’ sebenar Fara?

Fara Fauzana siap menunggu hari perkahwinan

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Penyampai radio popular Hot FM, Fara Fauzana bersedia untuk menamatkan zaman bujang pada bila-bila masa memandangkan usianya yang semakin meningkat. Jelas Fara, pada usia 33 tahun, selayaknya dia sudahpun mendirikan rumah tangga bersama insan tersayang. "Saya sudah mereka kad undangan perkahwinan dan barang hantaran pun sudah disediakan. "Saya lakukan ini kerana tidak mahu tergesa-gesa apabila tiba hari bahagia kelak," katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan program baru TV 9 dekat sini hari ini. Bagaimanapun wanita yang mesra dengan panggilan Fafau itu mengaku yang dia sebenarnya masih menunggu kehadiran calon suami selepas kali terakhir bercinta dua tahun lalu.

Fara Fauzana Sedia Hidup Bermadu

Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk hidup berpoligami sekiranya tidak mendapat halangan daripada bakal madunya itu. "Benar, saya tidak kisah untuk hidup berpoligami. Tetapi dengan syarat, isteri lelaki itu yang perlu datang untuk pinang saya. "Perkara itu menjadikan perkahwinan saya nanti tiada masalah kerana tidak ada unsur-unsur mahu berselindung," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada pelancaran program-program baru slot 9X TV9 di Marche, The Curve, di sini, pada Khamis. Tambah Fara, dia mengakui sedang berusaha mencari lelaki sesuai untuknya, namun pada masa sama dia tetap berhati-hati agar dapat memilih individu yang benar-benar bertanggung jawab. Fara yang pernah berlakon dalam filem Jin Notti itu berkata, walaupun masih tiada calon suami, dia telah membuat beberapa persiapan perkahwinan sebagai persediaan untuk menempuh alam itu. "Bunyinya agak kelakar. Tetapi, memang saya dah buat persiapan perkahwinan lebih awal kerana saya seorang yang suka merancang dan membuat persediaan awal tidak kira apa-apa hal sekali pun. "Silap-silap, saya pula yang meminang orang. Maklumlah, saya ada darah keturunan Minang tau," selorohnya lagi. Sementara itu, ketika sibuk di set penggambaran mengendalikan program Nona bersama Neelofa serta melaksanakan tugas sebagai penyampai radio, Fara turut membabitkan diri dalam perniagaan 'homestay'. Kata Fara, dia telah membeli tiga buah lot rumah di Shah Alam di sini untuk dijadikan sebagai rumah sewa kepada sesiapa sahaja yang mempunyai urusan di lokasi tersebut. "Sebenarnya ia merupakan pelaburan yang boleh memberi pulangan secara diam. Buat masa ini saya hanya membeli sebuah rumah teres dan dua kondominium untuk dijadikan sebagai 'homestay' yang diberi nama MyRumah. "Ia khusus buat orang yang datang ke Kuala Lumpur bagi urusan perkahwinan, konvokesyen atau hal-hal lain yang mencari rumah sewa berkos rendah. "Saya baru memulakan perniagaan ini sejak awal tahun lalu dengan bantuan ibu. Insya-Allah, saya akan membuka sebuah lagi 'homestay' di Port Dickson, Negeri Sembilan," ujarnya.

Fara Fauzana tak kisah kerja di hari raya

BERTUGAS pada hari lebaran bukan sahaja ujian yang perlu dilalui anggota pengaman yang berjuang di perbatasan atau mengawal keselamatan negara, tapi juga hakikat yang sama turut dilalui sebilangan selebriti. Selain petugas media, selebriti seperti penyampai radio dan pembaca berita juga tidak ketinggalan meraikan 1 Syawal sambil bertugas memberikan maklumat atau menghiburkan pendengar. Hal yang sama pernah dilalui Fara Fauzana Mohd Fadzil, 32, ketika menyambut pagi 1 Syawal di konti radio Hot FM sejak di awal usia penubuhan stesen radio swasta itu lebih kurang enam tahun lalu. Ujarnya, rutin pagi raya yang sama telah dilaluinya beberapa tahun sebelum ini selaku perintis perjalanan sulung stesen radio terkenal itu. Usai tugasan pagi raya pertama di konti, kata Fara dia akan meluangkan masa bersama keluarga di Shah Alam dan sesi menziarah sanak saudara pada sebelah petang. Tidak menjadi hal bagi seorang selebriti yang sangat dikenali kerana keletah bersahaja dan melucukan, namun bagi Fara selagi statusnya sebagai wanita bujang dia tidak berkira. “Saya bukan jenis seorang yang beria-ia sangat setiap kali tibanya Syawal, semua persiapan saya serahkan kepada ibu saya. “Tahun ini kemungkinan besar saya cuma bercuti selama tiga hari saja dan itu bukan masalah besar bagi saya sementara saya masih bujang. Malah, kalau kena kerja pada malam raya pun saya tak kisah,” katanya yang gemarkan biskut nescafe sempena juadah hari raya selain kuih loyang yang menjadi kewajipan setiap kali kemunculan Aidilfitri. Rutin yang bermula seawal pukul 4 pagi setiap hari tidak menghalang pengacara rancangan Nona itu untuk kekal aktif melakukan tugas seharian terutamanya bulan Ramadan. “Pukul 4 pagi hingga 2 petang tugas saya di konti Hot FM, setelah berbuka bersama keluarga saya akan luangkan masa bersolat tarawih di masjid dan kadang-kala sahur dengan pendengar,” katanya yang lebih mempunyai ruang peribadi semenjak kedatangan bulan Ramadan tahun ini. Memandangkan rancangan Nona khas Ramadan pada tahun ini menyajikan rakaman rutin harian masyarakat di beberapa buah negara telah siap dan kini menanti tempoh tayangan, Fara mengakui dia boleh menarik nafas lega buat seketika. Fara juga berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang berkunjung ke beberapa buah negara untuk mengacarakan rancangan itu sempena edisi khas Ramadan. “Saya berpeluang menjejakkan kaki ke Kemboja buat pertama kali dan berkesempatan ke lokasi yang diberi jolokan Killing Tree. “Suasana ketika itu sunyi sepi dan keadaan tiba-tiba menjadi pilu, ketika itu saya menangis. Itu diri saya sebenarnya saya jika ramai yang belum tahu,” katanya yang berjiwa sensitif. Bagaimanapun, Fara menegaskan dia belum bersedia untuk menggalas peranan mengacarakan rancangan berbentuk penderitaan masyarakat atau menyedihkan. “Sejujurnya, jika ada peluang yang datang, saya suka untuk melakukannya. Tapi buat masa ini, saya belum bersedia. Saya bukan tak nak buat, tapi saya perlu betul-betul bersedia dan yakin dengan skil mengacara saya. “Sepanjang diberi peluang selama lapan bulan menjadi pengacara, saya masih belum jadi yang terbaik, tapi apa yang boleh saya katakan saya faham apa yang dikehendaki penonton dan apa yang patut saya berikan,” ulasnya. Sementara itu, bertanya kepadanya tentang penghijrahan teman sekonti, Sharifah Aleya, serapuh hatinya yang sebenarnya senang mengalirkan air mata, Fara juga menangis ketika pertama kali melihat Aleya mengenakan hijab pada penghujung bulan Julai lalu. “Saya menyokong perubahan positif kawan baik saya dan kami umpama adik-beradik, perubahan itu berkat doa semua orang begitu juga untuk diri saya sendiri. “Saya menangis kerana terlalu gembira dan dia sudah mendapat seru untuk mengenakan hijab seperti yang dituntut syarak,” tambah Fara.

Kebebasan Fara ada batas


SECARA rasmi, Fara Fauzana bertugas sebagai penyampai di radio Hot FM, dan semua sedia maklum akan hal itu.

Bagaimanapun wajahnya amat mudah dilihat di mana-mana saja, pada bila-bila masa, seolah-olah selebriti ini tidak terikat dengan satu majikan secara langsung.

Itulah tuah dan istimewanya seorang Farah Fauzana Mohd. Fadzil.

Menurut Fara, biarpun sibuk sebagai penyiar di radio Hot FM, dia bebas melakukan tugasan lain seperti berlakon atau mengacara tanpa sebarang masalah.

Pada setiap Isnin hingga Jumaat, dia memulakan tugasan di konti untuk segmen HotFM Krew, bermula pukul 6 pagi hingga 11 pagi.

Selain tugasan harian sebagai penyampai, Fara memperuntukan hari Selasa dan Rabu untuk rakaman rancangan Nona di TV3.

Menurut Fara, dia begitu bertuah apabila sepanjang bekerja di stesen radio tersebut, tidak pernah dihalang untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih jauh.

"Bukan Fara seorang, sebaliknya pihak pengurusan memang tidak pernah menyekat mana-mana kakitangan yang ingin mengembangkan bakat masing-masing.

"Boleh dikatakan, kebanyakan penyiar Hot FM ada tugasan sampingan lain mengikut minat dan rezeki masing-masing. Kami bebas melakukan tugasan lain, asalkan memaklumkan kepada pihak pengurusan.

"Selagi tugasan di stesen tidak terganggu, saya bebas untuk buat apa sahaja. Selalunya, saya terima sesuatu pekerjaan itu jika pihak di sana boleh mengikut jadual kerja saya," katanya.

Biarpun perlu melakukan banyak kerja dalam satu tempoh, namun dia gembira dan segala jadual kerja dan temu janjinya diatur oleh pembantu yang juga anak saudaranya sendiri yang mesra disapa, Zul.

Demi teman baik

SEMENTARA itu, persahabatan sejati antara Fara Fauzana dengan Nasreen Ngasri atau Darling adalah di antara punca kenapa penyiar radio Hot FM itu sanggup berlakon sitkom Antara Kita.

Kesibukan yang sedia ada ternyata bukan halangan buat Fara dalam usaha menjaga hati seorang teman baik.

Kata Fara, dia bukan setakat mengenali Darling, malah turut mengenali seluruh keluarga pelakon dan penerbit tersebut.

"Kalau ikutkan jadual kerja, memang padat macam tidak ada ruang untuk saya bergerak. Tapi semua itu saya tolak tepi apabila Darling minta tolong.

"Nak tolak pun berat, sebab kami sudah kenal lama. Dulu Darling juga yang tawar saya berlakon drama Gadis Cuci. Lagipun penggambaran Antara Kita tidak menganggu waktu kerja, cuma saya kena kerja lebih sikit daripada biasa," katanya.

Dalam drama itu Fara berlakon sebagai Nurul Amani yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya, watak sebagai anak sulung kepada Pak Adman, lakonan Zaibo tidak susah kerana Nurul seorang yang happy go lucky seperti dirinya.

"Ini juga pertama kali saya berlakon dengan Zaibo. Kami bukan sekadar berlakon sebagai anak dan bapa, tapi saya juga banyak mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripadanya," katanya yang akan muncul dalam filem Cinta Kura-Kura pada 1 Mac ini di pawagam.

Fara Fauzana Demam Teruk Lebih 2 Minggu & Ucapan Khas Angah


Pelawak yang mula popular melalui program realiti Raja Lawak ini sempat berseloroh berkata yang beliau ada menaruh hati kepada Fara Fauzana.

Angah Raja Lawak juga ada memberitahu kami yang beliau mendapat tahu Fara Fauzana kini sedang mengalami demam yang agak teruk sejak dua minggu yang lalu.

Kami masih belum berjaya menghubungi Fara Fauzana sehingga ke saat ini — mungkin kerana ia’nya sudah lewat pagi dan kami akan pastikan maklumat terkini berkaitan Fara Fauzana akan kami sampaikan secepat mungkin.

Sementara itu, kami berjaya rakamkan sebuah video ucapan semoga cepat sembuh khas dari Angah Raja Lawak buat Fara Fauzana yang kami harap bakal membaca artikel ini.

Fara Fauzana semakin laku


JIKA sebelum ini kita sering mendengar celotehnya di corong radio dan juga turut tampil sebagai pengacara beberapa program hiburan televisyen terkenal, kini penyampai radio wanita popular ini beralih pula ke bidang teater.

Mengakui bidang teater ini memerlukan kesabaran, Fara Fauzana ingin membuktikan kepada umum bahawa dirinya juga setanding dengan pelakon-pelakon teater tanah air.

“Terus-terang saya katakan berlakon teater adalah satu perkara yang amat sukar, ia begitu menguji tahap lakonan seseorang itu.

“Saya cuba memberanikan diri saya untuk berlakon dalam teater ini, ternyata team ini juga turut memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya,” ujar penyampai tersebut ketika ditemui Pancaindera pada sesi latihan teater Mak Dara Nyonya baru-baru ini.

Tambahnya, setelah diberi watak ‘Isteri’ kepada ‘Tuan’ dalam teater ini, dia merasakan dirinya sendiri boleh memegang watak tersebut namun pengarah teater, Rosminah Mohd Tahir berkata dia masih tidak menjiwai watak tersebut.

“Walaupun babak saya tidak banyak, namun watak ini adalah satu watak yang besar, ia memerlukan saya untuk mencari satu jiwa yang baru. Dengan latihan yang dijalankan saya rasa saya mampu untuk memegang watak ini, dan saya akan cuba selagi termampu.

“Sebelum ini memang saya pernah berlakon dalam beberapa filem, ternyata banyak perbezaan yang terdapat dalam lakonan teater.

“Jika filem saya boleh ulang kembali lakonan jika terdapat kesalahan, namun dalam teater ini adalah satu lakonan secara langsung, semestinya saya perlu lakukan sesuatu yang terbaik,” ujarnya.

Ditanya berkenaan laporan yang mengatakan pihak Astro menawarkan kontrak sebanyak RM1 juta seperti yang diuar-uarkan ketika ini, Fara ternyata menafikan hal tersebut.

Wow, nampaknya semakin kaya wanita yang seorang ini. Tawaran melibatkan kontrak bernilai jutaan ringgit bukan mudah untuk diperolehi kalau bukan benar-benar popular dan mempunyai nama yang kukuh dalam bidang seni.

Pun begitu, Fara menafikan tawaran berkenaan sambil menyifatkan ia sebagai satu spekulasi semata-mata.

“Saya sebenarnya tidak pernah bercakap mengenai kontrak ini, saya sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya berita mengenai hal ini.

“Kali pertama saya tengok berita ini pun dari akhbar, setahu saya memang pihak yang terlibat tidak pernah menawarkan kontrak sebanyak itu.

“Jika perkara ini difikirkan baik untuk pelbagai pihak, tidak berkemungkinan jika kontrak ini betul-betul ditawar, saya tidak akan menolak pelawaan itu,” katanya lagi.

Terbaru, Fara sedang menjalani proses penggambaran rancangannya sendiri yang berjudul Fara Fauzana dibawah terbitan Fafau Intertainment.

Selain Fara, beberapa pelakon lain turut menjayakan teater ini, antaranya, Juhara Ayob, Sherry Abdullah, Sarimah Ibrahim, Zaifri Husin, Misha Omar dan Norzizi Zulkifli.

Teater Mak Dara Nyonya ini akan diadakan di pentas Matic, Jalan Ampang selama enam hari bermula 6 hingga 12 Julai ini.

Pementasan akan

bermula pada pukul 8.30 malam, segala pertanyaan serta pembelian tiket

boleh menghubungi, 03-41478600 atau kunjungi laman sesawang www.ticket2u.biz.

Harga tiket dijual pada harga RM32 sehingga RM82.

Fara Fauzana Dapat Banyak Tawaran Selepas Tinggalkan Melodi


PETALING JAYA: Selepas beberapa minggu meninggalkan program Melodi di TV3, pengacara popular Fara Fauzana bersyukur kerana masih mendapat banyak tawaran dalam bidang pengacaraan.

Ini menunjukkan momentum Fara dalam bidang tersebut masih ‘berbisa’.

Bukan itu sahaja, penyampai radio Hot FM ini menganggap rezekinya semakin bertambah selepas tidak mengacarakan Melodi sejak tahun 2004 itu.

Bermula Jun atau Julai depan, Fara dijangka akan mengacarakan program televisyen di TV3 selain mendapat tawaran daripada stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.

“Alhamdulillah, saya tak sangka apabila meninggalkan Melodi, rezeki saya untuk mengacara semakin bertambah.

“Setakat ini saya telah bersetuju untuk terlibat dalam sebuah program Hari Raya untuk TV3. Untuk stesen televisyen lain, saya belum menerima apa-apa keputusan rasmi kerana mereka baru ‘merisik’ melalui telefon.

“Selain mendapat tawaran daripada beberapa stesen televisyen termasuk TV3, saya juga menerima tawaran untuk menjadi pengerusi majlis.

“Kalau dulu saya selalu mendapat banyak tawaran sebagai pengerusi majlis tetapi tidak berpeluang untuk menerimanya,” kata Fara kepada mStar Online.

Selepas Melodi digantikan dengan pengacara baru iaitu Zizan (Raja Lawak) dan Dira Abu Zahar beberapa minggu lalu, Fara sempat menontonnya ketika disiarkan secara langsung dari Genting Highlands pada 3 April.

Komen Fara, Dira dan Zizan mengacarakan program tersebut dengan cara tersendiri, jadi dia enggan melakukan perbandingan tentang corak pengacaraan mereka.

“Saya lihat mereka berdua melakukan tugas pengacaraan dengan baik dan mengikut cara masing-masing.

“Lagipun, sebelum ini saya sudah biasa menonton Zizan mengacara Raja Lawak manakala Dira mengacara Beat TV. Mungkin orang luar yang tidak biasa menonton mereka akan melakukan perbandingan.

“Pada saya, sekarang ini bukan masanya untuk melakukan perbandingan kerana semasa mula-mula saya mengacara Melodi dulu, orang lain tak pernah buat perbandingan,” ujarnya lagi.

Bercerita tentang aktivitinya pada setiap Ahad, Fara berkata masanya masih terisi dengan kerja lain termasuk acara dengan Hot FM.

“Masa saya sekarang sudah tidak sibuk dan ‘terkejar-kejar’ seperti dulu. Kiranya saya seperti sudah boleh ‘bernafas’ kerana dulu jika terlibat dengan majlis luar dari Kuala Lumpur pada malam Sabtu, saya terpaksa cepat-cepat pulang ke Kuala Lumpur untuk mengacara Melodi pada Ahad.

“Sepanjang Mei ini, saya akan ke Amerika Syarikat untuk melawat adik saya yang belajar di sana sekali gus menghadiri majlis konvokesyennya sambil menghabiskan masa untuk bercuti,” ceritanya lagi.

Ibu terharu kesibukan Fara


BARANGKALI khalayak cuma menilai apa yang dinikmati dan digenggaminya ketika ini tanpa pernah tahu ada hati yang tersentuh melihat setiap pengorbanan dan kesungguhannya. Hati seorang wanita bernama Faridah Abdul Jalil sentiasa digamit sayu tatkala anak kesayangan, Fara Fauzana Mohd Fadzil bersengkang mata demi memberi kesempurnaan kepada mereka sekeluarga.

Setiap sen yang dihulurkan Fara menjadi azimat bermakna kepada Faridah kerana anak gadisnya itu tidak pernah sekali mengeluh biarpun dirinya sentiasa dihambat masa. Pernah air mata Faridah yang membahasakan dirinya sebagai ‘auntie’ mengalir laju apabila Fara memberikan imbuhan diterimanya sedangkan dia tidak pernah meminta semua itu daripada anak kesayangannya itu. “Setiap sen yang diberikan Fara selalu mengingatkan auntie betapa dia sanggup bersengkang mata mencari rezeki. Seawal jam 5 pagi, dia sudah bangun memulakan harinya.

“Pulangnya pula tengah malam dan ada ketika dia cuma sempat melelapkan mata sejam dua sebelum kembali ke tempat kerja. Pernah auntie mengikut Fara ke tempat kerja ketika dia masih bersama Skuad Perodua Era. Melihat dia memanjat stor, memunggah barang dan mengemas semula semua barangan membuatkan auntie tersentuh.

“Auntie tahu dia penat tetapi Fara tidak pernah mengeluh. Dia sentiasa tersenyum dan apabila Fara menghulurkan wang gajinya, auntie tidak mampu menahan sebak,” kata Faridah memuji anak gadisnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-31 Fara bersama peminatnya di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akui Faridah, melihat perjalanan karier Fara yang masih meniti puncak pelbagai rasa bercampur baur. Dalam bangga, hatinya juga diusik risau memikirkan keselamatan dan kesihatan Fara. Faridah, bagaimanapun tidak pernah mendesak Fara untuk memperlahankan aktiviti seninya kerana akur itu adalah minat dan cinta utama penyampai popular Hot FM itu.

“Ada kala auntie lihat Fara terbawa-bawa dengan kesibukannya tetapi jika itu yang dimahukan, auntie tidak menghalang. Alhamdulillah, setakat ini dia senang dengan apa yang dilakukannya. Auntie lebih seronok melihat Fara sebagai penyampai radio dan pengacara, tetapi bukan berlakon. Tak tahu kenapa tapi auntie kurang berkenan bila Fara berlakon.
“Fara seorang yang berani mencuba dan takut berdepan apa saja rintangan. Auntie akur akan tiba masa nanti tidak selamanya dia berada di atas. Auntie selalu berpesan supaya Fara berpijak di bumi nyata, teruskan bekerja kerana dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya,” katanya dalam nada sarat kasih sayang.

Diusik mengenai usia Fara yang mencecah 31 tahun pada 7 Februari lalu, sebagai ibu Faridah ingin melihat anaknya itu bertemu jodoh dengan lelaki yang tulus menyayanginya. Bagaimanapun, Faridah tidak pernah sesekali mendesak kerana memahami kesibukan Fara yang sedang bergelut dengan kariernya.

“Auntie cuma mengikut rentak. Jika Fara sudah bersedia, auntie akan terima siapa saja pilihannya. Setakat ini, Fara belum berjumpa calon yang sesuai dan dia pun tidak pernah membawa mana-mana lelaki datang bertemu keluarga.

“Mungkin lelaki takut mendekati Fara kerana statusnya sebagai selebriti berjaya. Dalam banyak hal, Fara akan berkongsi dengan auntie tetapi hal berkaitan soal hati, auntie tidak pernah bertanya lebih. Auntie berikan Fara kebebasan untuk memilih lelaki yang sesuai tetapi pada masa sama, auntie akan mengawasi supaya dia tidak tersalah pilihan,” katanya.

Lumrah hidup anak seni pasti tidak terlepas daripada gosip dan kritikan namun Faridah tidak mahu terlalu memikirkannya.

Dia juga tidak membiarkan dirinya dijamah risau jika ada berita kurang enak mengenai Fara bertebaran kerana percaya kepada kejujuran anaknya.

“Auntie berikan dia kebebasan tetapi selalu ingatkan Fara supaya menjaga nama baik keluarga. Jangan sampai orang bercakap bukan-bukan, nanti bingung auntie dan keluarga menjawab. Alhamdulillah, Fara tidak pernah menimbulkan masalah. Mungkin niatnya untuk memberi kebahagiaan kepada keluarga, justeru rezekinya tidak pernah putus,” kata Faridah yang terharu apabila Fara mengubah suai kediaman mereka sebagai kejutan menyambut kepulangannya dari Tanah Suci Makkah.

Bakal tinggalkan Melodi

SEHINGGA ini, Fara Fauzana masih tertanya apa kriteria untuk menjadi penyampai radio terbaik? Fara kekal mengungguli kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak ABPBH 2007 namun belum berpeluang menempatkan diri dalam kategori terbaik.

Baginya, semua anak seni berpeluang untuk mencipta populariti namun tersenarai dalam barisan terbaik, ia bukan sesuatu yang mudah untuk digapai.

“Saya sendiri masih tercari-cari apa formula untuk menjadi yang terbaik. Apakah tahap penilaiannya kerana pastinya, saya juga mengimpikan untuk berada dalam senarai terbaik. Semua itu menggerakkan semangat saya untuk terus berusaha. Atas keinginan itu juga membuatkan saya tidak pernah jemu untuk terus memperbaiki diri dan mutu persembahan,” katanya yang ditemani 25 peminat pada hari istimewanya itu.

Saat desas-desus dirinya bakal meninggalkan program hiburan popular, Melodi di TV3, Fara cuma memberikan jawapan ringkas untuk dinilai peminatnya. Baginya, apabila tiba saatnya Fara bersedia untuk melepaskan program popular itu sebelum dipaksa mengundurkan diri.

“Jika perkara itu berlaku, ia terjadi atas kerelaan sendiri. Saya banyak belajar daripada persekitaran, justeru saya tidak pernah sesekali meletakkan diri di atas. Tiba masa saya akan berundur. Saya selalu memberitahu peminat supaya sentiasa ikhlas dalam memberikan kritikan kerana saya bukan seorang yang berpura-pura,” katanya mengulas mengenai sumber yang mengatakan kemungkinan besar tempat beliau di Melodi bakal diganti dengan orang lain dalam masa terdekat.

Fara juga mengalu-alukan peminat untuk berbicara secara terbuka dengannya menerusi laman sosial Twitter, Realfafau atau Facebook di alamat: facebook.com/realfafau.

Dugaan Fara


POPULARITI yang dikecapi oleh Fara Fauzana seperti mana yang dapat dilihat hari ini bukannya muncul dalam sekelip mata. Fara bermula dari bawah dan perlahan-lahan merangkak serta bertatih sehingga berupaya meletakkan dirinya berada di puncak kegemilangan seperti hari ini.

Kata Fara, selama lima tahun bekerja dan mencipta nama sebagai penyampai radio Hot FM dan pengacara rancangan popular, Melodi ternyata bukan semudah yang disangka.

Sementelah, untuk menjadi seorang selebriti bukanlah menjadi impiannya tetapi semuanya sudah tertulis bahawa dunia glamor adalah tempat untuknya mencari makan.

Semuanya itu memerlukan kerja keras dan semangat serta usaha yang gigih kerana dia sedar rezeki yang dinikmatinya hari ini bukannya datang bergolek.

Di sebalik kerjaya seninya yang sedang berkembang mekar itu, rupa-rupanya pelbagai kisah yang kurang enak sudah mula dicanang tentang dirinya.

Karakter dan sikap Fara dikatakan sudah jauh berubah berbanding di awal kemunculannya dalam industri seni tempatan.

Pelbagai label negatif dilemparkan kepadanya sehingga ada yang mengatakan Fara sudah menjadi seorang yang lupa diri.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang berkata Fara sudah menjadi seorang yang berlagak, sombong dan bersikap diva sehingga menyusahkan orang sekeliling.

Apatah lagi selepas dua dan empat tahun berturut-turut memenangi anugerah Penyampai Radio Wanita dan Pengacara TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular menjadikan ia satu tiket untuk Fara bersikap besar kepala.

Saat diajukan kepadanya tentang isu itu, riak wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi baik suka mahupun marah.

Jauh sekali untuk melenting tetapi sebaliknya dia cukup tenang menjawab persoalan yang sudah menjadi buah mulut ramai itu.

Kata Fara, dia sedar dan tahu akan perkara itu tetapi itulah harga yang perlu dibayar apabila menjadi seorang selebriti sepertinya.

"Saya tidak marah mahupun melenting kerana hanya saya sahaja tahu perkara yang sebenar. Kadang-kala apa yang berlaku semuanya adalah salah faham.

"Dalam hal ini, saya suka memberi contoh tentang ada pihak yang sengaja menjual nama saya dalam melariskan produk atau majlis yang dianjurkan mereka.

"Mujurlah, orang-orang yang menjadi mangsa itu adalah daripada kawan-kawan saya sendiri dan daripada situ, saya tahu bahawa ada pihak yang sengaja berbuat demikian.

"Begitu juga dengan dakwaan mengatakan saya seorang diva dan sukar sekali untuk dihubungi di mana saya lihat perkara itu sungguh mengarut," tegas Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd. Fadzil ini sambil meningkah dakwaan yang tidak berasas itu.

Tambahnya, sungguh mustahil apabila ada yang berkata dirinya susah untuk dihubungi sedangkan dia mempunyai beberapa individu yang menjaga hal ehwal dan jadualnya.

Seperkara lagi, adalah tentang dirinya yang dikatakan memiliki layanan istimewa serta mempunyai akses penuh untuk bertemu dengan pihak atasan seandainya ada masalah dan perkara yang tidak memuaskan hatinya.

Katanya, mana mungkin dia memiliki kelebihan itu sedangkan semuanya dilayan secara adil dan saksama .

"Saya bertuah kerana memiliki keluarga dan sahabat handai yang sentiasa menasihati saya seandainya saya tersasar daripada landasan.

"Insya-Allah, saya tidak akan menjadi seorang yang lupa diri kerana saya ada orang yang memantau dan mengawasi keadaan saya.

"Saya boleh mengatakan diri saya cukup bertuah dari aspek itu," luah Fara dengan penuh jujur.

Sehingga kini, Fara tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun waima mereka yang bukan dalam lingkungan skop tugasnya juga.

Apa yang penting, adalah keselesaan serta keserasian yang wujud antara dirinya dan rakan-rakannya yang lain.

"Dek kerana itu, saya sudah bersedia malah kami semua di Hot FM sudah diajar untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan.

"Saya akui buat masa ini saya selesa dan gembira apabila dapat mengendalikan rancangan pagi HotFM AM Krew bersama Faizal Ismail.

"Jika ada rombakan yang memerlukan saya bergandingan dalam slot dan penyampai yang lain, saya sudah bersedia," katanya yang memulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Era FMselama dua tahun sebelum berhijrah ke stesen radio sekarang.

Syawal yang bermakna

Begitu pantas masa berlalu apabila rupanya tanpa disedari hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam Syawal 1430.

Hits sempat bertanyakan kepada Fara apakah erti Syawal tahun ini untuknya dan Fara hanya mampu melemparkan sekuntum senyum.

Syawal kali ini jelasnya, memberikan makna yang cukup bererti kerana tahun ini dia menyambut Syawal secara menyeluruh.

Rancak bercerita tentang pengalamannya Fara memberitahu, pernah sehari di hujung minggu dia memulakan jelajah ke rumah rakan dan saudara mara dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi keesokannya.

"Penat jangan cakap tetapi ia memberikan saya satu kepuasan dan kegembiraan kerana dapat bertemu dengan mereka.

"Maklumlah saya asyik sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk bertemu dan berhibur dengan kawan dan keluarga," ujar anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini penuh bersungguh.

Apa yang lebih mengujakan selebriti yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 7 Februari depan ini, sepanjang Syawal tahun ini apabila dapat bercuti dan menghabiskan masa di Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula dari raya keempat.

'Rombongan Cik Kiah' seperti mana yang digambarkan Fara itu melibatkan lima buah keluarga dan menariknya percutian itu, mereka telah menyewa sebuah bas untuk ke destinasi pelancongan popular itu.

"Semuanya adalah untuk membalas jasa baik dan penat lelah pakcik dan makcik serta ahli keluarga yang lain setelah mereka bekerja keras sepanjang bulan Ramadan lalu.

"Ketika itu, saya mengusahakan perniagaan Fafau Cookies yang banyak dibantu oleh mereka. Jadi, saya fikir ini adalah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama dan berehat," ujar Fara yang memberitahu percutian tersebut adalah hasil perkongsian semua keluarga dan bukannya tajaannya.

Selain itu, Fara turut memanjatkan kesyukuran apabila filem lakonannya, Jin Notti mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Menyifatkan memperolehi pengalaman yang cukup berharga membintangi filem arahan Azhari Zain itu, Fara berterima kasih kepada KRU Studios kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak utama dalam filem itu.

Sungguh pun begitu, dengan penuh rendah diri dia memberitahu, masih banyak yang perlu dipelajarinya kerana menyedari dia masih baru dalam dunia lakonan.

"Saya menerima banyak komen dan kritikan daripada peminat, rakan-rakan serta ahli keluarga. Biasalah, pasti ada positif dan negatifnya.

"Tetapi, saya anggap itu semua sebagai satu semangat untuk saya menerokai bidang ini dengan lebih mendalam menerusi watak yang mampu mempelbagaikan karakter saya," pintanya penuh mengharap.

Menyentuh soal filem Jin Notti, dia sebenarnya terhutang budi juga kepada Cat Farish yang memegang watak sebagai Jinbara dalam filem tersebut.

Kerana kata Fara, Cat banyak membantunya sewaktu dilokasi dan mengajarnya tentang selok-belok dunia lakonan serta mendalami lima watak yang dibawakan dalam filem tersebut.

"Dia seperti abang saya dan kami serasi serta selesa sewaktu kami berlakon memandangkan kami banyak adegan bersama," ujar Fara yang mengenali Cat sejak membintangi filem SH3 The Movie pada tahun 2004.

Berundur apabila tiba waktu

Tidak sah kalau bertemu dengan anak kedua daripada tiga beradik ini jika tidak membicarakan tentang soal jodoh dan percintaan.

Hanya mampu tersenyum dan menjangkakan soalan itu akan diajukan kepadanya, Fara bagaimanapun tidak mengelak menjawabnya.

"Entahlah. Susah saya nak cakap tentang soal ini kerana bagi saya biarlah waktu dan masa yang menentukan siapa jodoh saya.

"Malah, saya sendiri sudah memberi lampu hijau kepada ibu saya untuk mencari jodoh saya kalau saya tidak bertemu dengan sesiapa kelak," katanya yang tidak menafikan ada ahli keluarganya yang cuba menjodohkan dia dengan kenalan lelaki mereka.

Satu yang pasti, jawapan luhur yang lahir daripada lubuk hati Fara apabila ditanya tentang masa depannya.

Jelas Fara, dia sudah bersedia untuk meninggalkan dunia glamor apabila sudah sampai waktu untuk dia berbuat demikian.

"Buat masa ini pun, saya sedang mempersiapkan diri saya untuk bekalan hari tua saya dan dalam masa yang sama, saya tidak melupakan persiapan untuk ke dunia yang kekal abadi," katanya penuh makna.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails