Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ibu terharu kesibukan Fara


BARANGKALI khalayak cuma menilai apa yang dinikmati dan digenggaminya ketika ini tanpa pernah tahu ada hati yang tersentuh melihat setiap pengorbanan dan kesungguhannya. Hati seorang wanita bernama Faridah Abdul Jalil sentiasa digamit sayu tatkala anak kesayangan, Fara Fauzana Mohd Fadzil bersengkang mata demi memberi kesempurnaan kepada mereka sekeluarga.

Setiap sen yang dihulurkan Fara menjadi azimat bermakna kepada Faridah kerana anak gadisnya itu tidak pernah sekali mengeluh biarpun dirinya sentiasa dihambat masa. Pernah air mata Faridah yang membahasakan dirinya sebagai ‘auntie’ mengalir laju apabila Fara memberikan imbuhan diterimanya sedangkan dia tidak pernah meminta semua itu daripada anak kesayangannya itu. “Setiap sen yang diberikan Fara selalu mengingatkan auntie betapa dia sanggup bersengkang mata mencari rezeki. Seawal jam 5 pagi, dia sudah bangun memulakan harinya.

“Pulangnya pula tengah malam dan ada ketika dia cuma sempat melelapkan mata sejam dua sebelum kembali ke tempat kerja. Pernah auntie mengikut Fara ke tempat kerja ketika dia masih bersama Skuad Perodua Era. Melihat dia memanjat stor, memunggah barang dan mengemas semula semua barangan membuatkan auntie tersentuh.

“Auntie tahu dia penat tetapi Fara tidak pernah mengeluh. Dia sentiasa tersenyum dan apabila Fara menghulurkan wang gajinya, auntie tidak mampu menahan sebak,” kata Faridah memuji anak gadisnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-31 Fara bersama peminatnya di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akui Faridah, melihat perjalanan karier Fara yang masih meniti puncak pelbagai rasa bercampur baur. Dalam bangga, hatinya juga diusik risau memikirkan keselamatan dan kesihatan Fara. Faridah, bagaimanapun tidak pernah mendesak Fara untuk memperlahankan aktiviti seninya kerana akur itu adalah minat dan cinta utama penyampai popular Hot FM itu.

“Ada kala auntie lihat Fara terbawa-bawa dengan kesibukannya tetapi jika itu yang dimahukan, auntie tidak menghalang. Alhamdulillah, setakat ini dia senang dengan apa yang dilakukannya. Auntie lebih seronok melihat Fara sebagai penyampai radio dan pengacara, tetapi bukan berlakon. Tak tahu kenapa tapi auntie kurang berkenan bila Fara berlakon.
“Fara seorang yang berani mencuba dan takut berdepan apa saja rintangan. Auntie akur akan tiba masa nanti tidak selamanya dia berada di atas. Auntie selalu berpesan supaya Fara berpijak di bumi nyata, teruskan bekerja kerana dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya,” katanya dalam nada sarat kasih sayang.

Diusik mengenai usia Fara yang mencecah 31 tahun pada 7 Februari lalu, sebagai ibu Faridah ingin melihat anaknya itu bertemu jodoh dengan lelaki yang tulus menyayanginya. Bagaimanapun, Faridah tidak pernah sesekali mendesak kerana memahami kesibukan Fara yang sedang bergelut dengan kariernya.

“Auntie cuma mengikut rentak. Jika Fara sudah bersedia, auntie akan terima siapa saja pilihannya. Setakat ini, Fara belum berjumpa calon yang sesuai dan dia pun tidak pernah membawa mana-mana lelaki datang bertemu keluarga.

“Mungkin lelaki takut mendekati Fara kerana statusnya sebagai selebriti berjaya. Dalam banyak hal, Fara akan berkongsi dengan auntie tetapi hal berkaitan soal hati, auntie tidak pernah bertanya lebih. Auntie berikan Fara kebebasan untuk memilih lelaki yang sesuai tetapi pada masa sama, auntie akan mengawasi supaya dia tidak tersalah pilihan,” katanya.

Lumrah hidup anak seni pasti tidak terlepas daripada gosip dan kritikan namun Faridah tidak mahu terlalu memikirkannya.

Dia juga tidak membiarkan dirinya dijamah risau jika ada berita kurang enak mengenai Fara bertebaran kerana percaya kepada kejujuran anaknya.

“Auntie berikan dia kebebasan tetapi selalu ingatkan Fara supaya menjaga nama baik keluarga. Jangan sampai orang bercakap bukan-bukan, nanti bingung auntie dan keluarga menjawab. Alhamdulillah, Fara tidak pernah menimbulkan masalah. Mungkin niatnya untuk memberi kebahagiaan kepada keluarga, justeru rezekinya tidak pernah putus,” kata Faridah yang terharu apabila Fara mengubah suai kediaman mereka sebagai kejutan menyambut kepulangannya dari Tanah Suci Makkah.

Bakal tinggalkan Melodi

SEHINGGA ini, Fara Fauzana masih tertanya apa kriteria untuk menjadi penyampai radio terbaik? Fara kekal mengungguli kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak ABPBH 2007 namun belum berpeluang menempatkan diri dalam kategori terbaik.

Baginya, semua anak seni berpeluang untuk mencipta populariti namun tersenarai dalam barisan terbaik, ia bukan sesuatu yang mudah untuk digapai.

“Saya sendiri masih tercari-cari apa formula untuk menjadi yang terbaik. Apakah tahap penilaiannya kerana pastinya, saya juga mengimpikan untuk berada dalam senarai terbaik. Semua itu menggerakkan semangat saya untuk terus berusaha. Atas keinginan itu juga membuatkan saya tidak pernah jemu untuk terus memperbaiki diri dan mutu persembahan,” katanya yang ditemani 25 peminat pada hari istimewanya itu.

Saat desas-desus dirinya bakal meninggalkan program hiburan popular, Melodi di TV3, Fara cuma memberikan jawapan ringkas untuk dinilai peminatnya. Baginya, apabila tiba saatnya Fara bersedia untuk melepaskan program popular itu sebelum dipaksa mengundurkan diri.

“Jika perkara itu berlaku, ia terjadi atas kerelaan sendiri. Saya banyak belajar daripada persekitaran, justeru saya tidak pernah sesekali meletakkan diri di atas. Tiba masa saya akan berundur. Saya selalu memberitahu peminat supaya sentiasa ikhlas dalam memberikan kritikan kerana saya bukan seorang yang berpura-pura,” katanya mengulas mengenai sumber yang mengatakan kemungkinan besar tempat beliau di Melodi bakal diganti dengan orang lain dalam masa terdekat.

Fara juga mengalu-alukan peminat untuk berbicara secara terbuka dengannya menerusi laman sosial Twitter, Realfafau atau Facebook di alamat: facebook.com/realfafau.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails