Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Farah Asyikin. Show all posts
Showing posts with label Farah Asyikin. Show all posts

Farah Asyikin Mahu Pertahankan Rumah Tangga

Penyanyi Farah Asyikin menjelaskan dia tidak mahu perkahwinan keduanya dengan Zaahier Stanley berakhir dengan perceraian biarpun masalah rumah tangga mereka kini telah pun dibawa ke mahkamah syariah. Farah, 35, berkata, mereka berdua sedang berusaha memperbaiki masalah yang berlaku selain memikirkan masa depan anak lelaki mereka, Ebrahim Owais yang baharu sahaja berusia lapan bulan. "Biarpun kes kami dibawa ke mahkamah tetapi kami masih suami-isteri yang sah dan apa yang boleh saya katakan kami masing-masing sedang berusaha memperbaiki keadaan. "Apa yang saya minta doa daripada semua agar kami dapat mengharungi saat getir ini sekaligus menjernihkan keadaan kerana perceraian adalah jalan terakhir," katanya. Nama Farah dan Zaahier dilihat berada di papan kenyataan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dekat sini berhubung permohonan perceraian mereka pada 18 Disember lalu. Bagaimanapun Fara dan Zaahier tidak hadir ke mahkamah dan kes berkenaan ditangguh pada 21 Januari untuk sebutan semula. Dalam pada itu, Farah berkata, biarpun sudah tidak tinggal sebumbung hampir tujuh bulan lalu namun hubungan mereka berdua masih baik dan sering berjumpa demi anak mereka. "Buat masa sekarang saya tinggal bersama keluarga di Taman Tun Dr Ismail dan bersyukur mereka sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mengharungi dugaan ini. "Saya dan suami masih berhubung biarpun tidak tinggal sebumbung malah kami ada bertemu untuk bertanya khabar dan melawat Ebrahim," katanya. Farah dan Zaaher iaitu warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari tahun lalu selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Farah Asyikin Dikutuk Ramai Kerana Masuk PAS

Pelakon dan bekas penyanyi serta peserta One In A Million, Farah Asyikin sebelum ini berdalih-dalih dan menafikan sekeras-kerasnya penyertaan aktifnya dalam parti pembangkang. Tetapi malam tadi, di Seremban, dia muncul berceramah di atas pentas pakatan pembangkang dan turut terikut-ikut dengan rentak maki-hamun dan menghamburkan pelbagai tuduhan serta tohmahan kepada UMNO dan kerajaan. Seolah-olah sudah terpengaruh sepenuhnya dengan budaya fitnah dan tohmahan di pentas-pentas ceramah pakatan pembangkang, Farah Asyikin tanpa segan silu mempersoalkan keislaman kerajaan sekarang dan parti yang memerintah iaitu UMNO. Sambil merayu penyokong pembangkang menolak Barisan Nasional (BN) yang menurutnya tidak berlandaskan Islam, Farah Asyikin dalam ceramahnya berkata: "Saya kini baru faham mengapa Pas mengatakan depa (UMNO) itu kafir... apabila ada dalam kalangan kita beragama Islam menolak al-Quran, apa jadinya? Tepuk dada tanya selera, saya tidak mahu sebut." Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di sini itu jelas bercanggah penafian dan kenyataan beliau sebelum ini iaitu penglibatannya dalam ceramah pembangkang hanya sebagai penyokong dan berucap perkara-perkara berkaitan Islam serta isu perpaduan sesama Islam. Pun begitu, kehadiran Farah Asyikin yang diharap-harapkan dapat meramaikan khalayak gagal membantu apabila hanya kira-kira 150 orang yang hadir mendengar ceramah tersebut. Selain itu, seolah-olah seseorang yang sudah lama menceburkan diri dalam bidang politik, selebriti tersebut juga tanpa segan silu membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwanya teragak-agak dalam membuat keputusan menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13. Farah Asyikin juga membuat kesimpulan mudah bahawa kerajaan BN pimpinan Najib tidak bersedia berhadapan pilihan raya umum hanya semata-mata dengan satu alasan tidak berasas iaitu kerana menurutnya sehingga kini BN belum mengumumkan sebarang manifesto berbanding pakatan pembangkang. "Manifesto, kerajaan (BN) sudah lancar atau belum? Kenapa? Sebabnya mereka tidak yakin. Kenapa pula tidak yakin? Sebab tidak ada tarikh pilihan raya umum," katanya.

Sibuk sebagai penceramah motivasi - Farah Asyikin

PENGHIJRAHAN yang berlaku ke atas wanita ini membuka mata banyak pihak, setiap kali diajukan persoalan berkaitan perubahannya, wanita ini cukup tenang memberitahu ia keputusan yang dibuat untuk mencari keredaan yang maha Esa. Setahun seminggu usia penghijrahannya, kini kehidupan Farah Asyikin Zulkifli, 34, dilihat cukup berbeza. Menurut Farah perubahan yang berlaku keatas dirinya kini melalui kefahaman demi kefahaman yang dipelajarinya sejak setahun lalu. Nekad untuk bergelar seorang pendakwah, niatnya hanya satu iaitu agar hidayah yang diberikan Allah terus kekal di dalam sanubarinya. Enam tahun berlalu tanpa cinta seorang lelaki, menurut Farah pernah suatu ketika dia tidak lagi terfikir untuk berkahwin. Bagaimanapun petunjuk yang diberikan Allah kepada dirinya menemukan dia dengan seorang lelaki yang tinggalnya beribu-ribu batu jauhnya di Afrika Selatan. Ternyata tempoh dua bulan perkenalan melalui Twitter membuka pintu hatinya kepada lelaki bernama Zaahier, 36. "Kami berkenalan melalui Twitter, pada waktu itu Zaahier baru sahaja mengenali Twitter. "Dengan kuasa Allah, Zaahier melihat lepasan Twitter saya mengenai perjuangan di Syria, dan dari situ dia mula menjadi pengikut saya di Twitter," katanya ketika hadir di Utusan baru-baru ini. Perbezaan bahasa dan budaya bukan satu masalah buat pasangan ini untuk meneruskan majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada 15 Februari lalu. Peringkat perkenalan yang dilalui dua insan ini sungguh mudah, malah ia diakui sendiri Farah yang pada mulanya merangka majlis pernikahannya pada tanggal 28 Februari "Dalam tempoh dua bulan hubungan kami berjalan seperti biasa. Adakalanya dia juga sempat berkongsi minat berbasikal ketika di sana, sehingga pada tanggal 6 Januari, dia memilih untuk melamar saya. Kami berkenalan hanya atas dasar agama dan saya langsung tidak menyangka jodoh saya tinggal ribuan batu dari sini. "Pada mulanya kami sudah bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan pada 28 Februari malah rakan-rakan serta keluarga suami juga sudah bersetuju untuk hadir pada hari tersebut. Namun melihatkan prosesnya begitu mudah kami langsung percepatkan. Dan apa yang paling kelakar, pada waktu itu suami saya hanya berseorangan tanpa keluarganya di sisi," katanya yang turut memberitahu majlis pernikahannya itu berlangsung di rumah ibu bapanya. Belum ada rancangan tinggalkan Malaysia Pernah melalui episod kegagalan di dalam perkahwinan pertamanya dahulu, menurut Farah kali ini dia lebih selesa untuk bercinta selepas bernikah. Ditanya keyakinannya untuk memikul tanggungjawab seorang isteri, jawapan wanita ini cukup mudah untuk berserah kepada Allah. "Kami masih mengenali, malah suami saya juga baru tahu mengenai siapa saya dahulu. "Sebagai seorang isteri tempat saya adalah di sisi suami, namun saya percaya percaturan ini adalah yang terbaik buat diri saya," katanya. Berkongsi perancangannya selepas bergelar isteri kini, Farah memberitahu dia dan suami tidak lagi membuat sebarang keputusan tetap untuk kehidupan mereka kelak. "Suami saya merupakan seorang pengurus projek di sana, buat masa ini dia akan berada di Malaysia sehingga penghujung Mac. Soal di mana kami akan memilih untuk tinggal nanti masih lagi belum kami fikirkan. "Waktu sekarang juga saya masih sibuk memenuhi undangan memberi motivasi di seluruh negara, sementara ini suami masih lagi mengikuti saya ke mana-mana," katanya yang kini mengambil peluang untuk muncul sebagai penceramah sepenuh masa, apabila melepaskan tanggungjawab sebagai guru di sebuah sekolah swasta sejak beberapa bulan lalu. Hits ajukan soalan sama ada dia akan meneruskan dakwahnya ini di Afrika Selatan pula iaitu tempat asal suaminya. Menurut Farah secara dasarnya dia hanya akan menurut permintaan suaminya itu nanti. "Seperti yang saya katakan tadi kami masih belum mempunyai perancangan untuk tinggal di mana. "Buat masa ini suami sangat suka dengan aktiviti berdakwah saya di sini, malah ada juga ketikanya dia berkongsi pendapat mengenai ilmu agamanya yang pada saya sangat memudahkan saya menyampaikan kepada umum," katanya. Masih lagi didalam "mood" pengantin baru, Hits usik pasangan ini dengan bertanyakan soalan destinasi bulan madu mereka. Menurut Farah buat masa ini dia dan suami masih lagi belum merancang percutian mereka memandangkan dia masih lagi sibuk dengan undangan memberi motivasi. "Jadual saya sangat padat, malah beberapa jam selepas bernikah saya langsung menunaikan tanggungjawab saya sebagai penceramah di sebuah majlis. "Mungkin kalau nak habiskan masa, saya hanya akan membawa suami saya ke Terengganu dan Kelantan, kerana dia pernah menyatakan hasrat untuk melihat kehidupan masyarakat Islam di sebelah kampung pula," jelasnya. Secara jujurnya wanita ini tidak pernah merancang apa-apa, malah ketika bertemu jodoh kali kedua ini dia cukup yakin dengan penentuan yang maha Esa. Dan sekali lagi ketika diajukan soalan sama ada fokusnya kini untuk terus membesarkan keluarganya, Farah memberitahu soal bersedia atau tidak bukan lagi pilihan. "Suami saya sebenarnya sudah mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, dan saya kini juga sudah menjadi seorang ibu. Cumanya soal anak itu kami akan berdua akan berusaha. "Dan segala yang akan diberikan Allah kepada kami akan diterima kami dengan hati yang terbuka," katanya. Ditanya sama ada dia akan meneruskan aktiviti nyanyiannya, menurut Farah jika suatu masa dahulu dia agak keliru dengan pendapat semasa, namun kini dia tahu hala tuju minatnya itu. Malah Farah turut bersyukur untuk mendapat keizinan suaminya. "Saya hanya akan meneruskan nyanyian jika ia membantu niat untuk berdakwah sahaja. "Buat masa ini saya masih menyanyi, cuma pilihan lagunya lebih kearah nasihat sahaja, di samping itu juga suami turut memberi galakan kepada saya," katanya. Kecenderungan dirinya yang khabarnya sering hadir ke majlis-majlis ceramah politik menimbulkan polemik di kalangan peminat. Menjawab soalan panas ini, ternyata Farah begitu tenang memberikan jawapannya. "Saya berdakwah kerana Allah. Malah ketika berada di atas pentas, tiada langsung kata-kata berbaur politik yang saya keluarkan. "Malah sehingga kini saya juga tidak mendaftar untuk menyertai mana-mana parti," katanya.

Farah Asyikin nafi sertai pembangkang

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Penyanyi yang kini sudah berhijrah dan menampilkan imej muslimah, Farah Asyikin menafikan dakwaan bahawa dia menyertai parti pembangkang. Menurut Farah, dia memang ada menyertai ceramah anjuran sebuah parti pembangkang baru-baru ini, tetapi bukan sebagai penyokong. “Saya memang ada sertai ceramah itu, tetapi saya hanya berucap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam dan masalah perpaduan sesama Islam. “Memang tidak terniat langsung untuk saya menyertai parti itu. Apa yang saya lakukan ialah menyertai program yang berunsur Islam sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Farah Asyikin baru-baru ini telah dikatakan menyertai parti pembangkang kerana kelibatnya yang sering kelihatan sewaktu program anjuran parti tersebut Tambah Farah, dia memang tidak ada niat untuk menyertai mana-mana parti kerana masih kurang pengetahuan dalam arena politik. “Kalau kerajaan sendiri ada memanggil saya untuk menyertai salah satu program yang berunsurkan Islam, saya tidak akan menolak untuk menyertai program itu," ujarnya. Jelasnya lagi, memang dia sudah lama menyertai program anjuran parti itu, tetapi bukan kerana politik sebaliknya untuk bersama mengangkat martabat Islam. - UTUSAN

Gambar: Farah Asyikin Kemalangan Jalan Raya, Pandu Kereta Sepupu

Berita yang baru sahaja kami terima. Penyanyi yang semakin aktif mendalami Islam, Farah Asyikin telah mengalami satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Kejadian berlaku sekitar jam 8.00 pagi tadi di hadapan pejabat Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara apabila kereta di’pandu Farah Asyikin melanggar sebuah kereta orang awam. Kedua dua yang terlibat dalam kemalangan ini tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun kereta Mitsubishi yang di’pandu Farah Asyikin agak teruk keadaan’nya. Sumber kami turut memberitahu yang kereta di’pandu Farah Asyikin ini merupakan milik sepupu beliau. Sebarang berita atau perkembangan akan kami laporkan segera.

Farah Asyikin nafi sertai PAS

Selepas penyanyi terkenal tanahair, Ning Baizura didakwa menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS), kini giliran seorang lagi penyanyi yang telah berhijrah sejak awal tahun ini, Farah Asyikin dikaitkan dengan parti politik pembangkang yang sama. Walaubagaimanapun, Farah yang merupakan guru perbahasan dan drama di sebuah sekolah menyangkal dakwaan tersebut sekeras-kerasnya mengenai dirinya yang dikatakan terlibat dengan PAS. Farah dalam kenyataannya yang dipetik dari Harakah Daily berkata, "Cukuplah saya katakan yang saya sokong Islam, saya tolak 100 peratus yang tidak sokong Islam." Malah menurut Farah, dia tidak risau akan persepsi orang ramai tentang penghijrahan beliau selama ini dan berpendapat, menyertai mana-mana parti politik adalah hak peribadi. "Terpulang pada mereka untuk menyertai mana-mana parti politik, paling kurang parti yang baik. Itu kehendak mereka. Itu adalah hak individu. Hendak cakap lebih-lebih tak boleh juga kerana saya masih baru. "Bagi saya, saya suka Islam," ujar pelantun lagu 'Seribu Penipuan' yang pertama kali menghadiri sebuah majlis agama anjuran PAS baru-baru ini.

Destinasi abadi Farah Asyikin

RAMAI yang menoleh dua kali apabila bertentang mata dengan wanita ini. Semuanya tak percaya dengan penampilan terbaru dirinya. Mungkin terperanjat kerana dia jauh berubah dengan apa yang dilihat sebelum ini. Kini, dia tidak lagi memakai baju yang mendedahkan kulit. Malah dia sentiasa memastikan pemakaian sempurna dengan bertudung litup dan bersarung tangan sentiasa. Itu juga bermakna bahawa ada seorang lagi penyanyi Malaysia yang berhijab selepas Liza Hanim, Nora, Siti Nordiana dan Farah AF2, berbuat perkara yang sama. Bagaimanapun, Farah tidak mahu niat baiknya itu dikaitkan mengikut jejak orang lain kerana itu adalah keikhlasannya. Farah juga percaya yang setiap individu berhak untuk berubah ke arah kebaikan biarpun sebelum ini pernah hilang arah panduan hidup. Lantaran itu, Pancaindera memanggil Farah untuk membuat sesi fotografi dan berkongsi tentang pengisian sepanjang penghijrahannya sewaktu menjelang tarikh keramat 12 Februari lalu. "Ini adalah kelahiran baru Farah Asyikin. Biarpun secara pandangan kasarnya perubahan itu berlaku sebanyak 360 darjah. Tapi itu bukan satu masalah besar yang sewajarnya digembar-gemburkan kerana saya berada dalam landasan yang benar. "Sebab itu, saya berdoa agar penghijrahan saya ini tidak kelihatan terlalu ekstrem di mata orang lain. Kalau boleh saya nak buat semua orang rasa selesa dan terima saya seadanya," bicara awal wanita berusia 33 tahun ini sambil tersenyum. Dalam pada itu, Farah turut memanjatkan kesyukuran kerana diberi hidayah sewaktu usia muda. Kurniaan itu boleh umpama perkara ajaib yang membuatkan hidupnya begitu tenang. "Saya tak rancang semua ini. Maksudnya, bila saya nak berubah, bila waktu yang sesuai atau apa saja. Sebaliknya, hidayah itu datang sedikit demi sedikit, saya tersedar dan sujud syukur kepada-Nya. "Saya juga tak menyesal korbankan apa saja milik saya di dunia kepada Maha Pencipta. Saya yakin bahawa pengorbanan yang tak seberapa itu pasti dibalas dengan rezeki berlipat kali ganda. "Banyak peristiwa yang saya renung kembali tentang mukjizat-Nya. Semua petunjuk itu membuatkan saya bersemangat nak mendalami lebih banyak tentang ilmu agama. "Saya tahu perkara itu berat. Tapi saya kena istiqamah. Sekarang sasaran saya nak bagi penuh markah dalam bab akhlak. Memang perit tapi kena kayuh pelan-pelan," dedahnya sambil meredupkan pandangan. Ditanya apakah Farah tidak bimbang andai ada pihak yang kurang senang melihat perubahan mendadaknya itu, tambahan pula dia masih dalam lingkungan industri hiburan? Menjawab soalan ini membuatkan Farah menarik nafas dalam. "Saya hanya berkongsi apa yang saya rasa kepada semua sebab tahu saya milik masyarakat. Tapi pada masa yang sama, saya mahu penghijrahan saya itu selari dari segi rohani dan jasmani. "Penampilan saya bukan satu stail atau imej tapi ia adalah tuntutan agama. Perkara ini jelas dan sudah termaktub dalam al-Quran. Kalau orang luar nak bagi persepsi mereka tentang hijrah saya ini, silakan cakap apa saja, saya reda. "Kalau nak tahu, ada juga rakan artis yang tak selesa dengan penampilan baru saya ini. Nampak saja saya, terus lari. Ada yang buat-buat tak nampak, tapi tak apalah. Nak buat macam mana. Saya beranggapan, semua itu adalah persepsi manusia terhadap manusia lain," dedahnya lagi. Penyanyi yang masyhur dengan lagu Kembali Lagi Di Sisimu ini juga mengakui dirinya sering berperang melawan nafsu dan keseimbangan iman. Apatah lagi untuk mengangkat kerjaya seninya sebagai mata pencarian utama. "Saya juga tahu antara muzik dan agama memang dua perkara berbeza. Apatah lagi saya perempuan. Lagi banyak batasan yang kena jaga. Sebab itu, bila ada pandangan serong sebegini, saya serahkan pada Tuhan. "Buat masa sekarang ini terlalu awal nak buka topik itu. Takut ada yang silap faham. Saya tak selesa nak ulas panjang lebar. Nanti-nantilah, saya cerita semula. "Cuma sekarang ini, saya ikut saja jalan yang ada di depan mata saya. Saya dah tak rancang apa-apa sebab saya yakin Tuhan sentiasa di sisi saya," katanya penuh pengertian. Bercerita tentang pengalaman yang membuatkan hatinya mahu berhijrah, Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 memberitahu, semuanya berlaku sewaktu memandu pulang dari menghadiri majlis pertunangan Farhan AF4. "Beberapa hari sebelum itu, saya sudah terima imbasan dosa-dosa masa lampau yang cukup menginsafkan. Tapi apabila ia berlaku sekali lagi sewaktu saya memandu, menambahkan lagi rasa kedu di hati. "Saya rasa cukup terhina dengan perbuatan masa lampau saya. Hati saya merintih sayu kerana terlalu lalai dan mengejar dunia sedangkan bekalan akhirat sedikit cuma," cerita Farah beremosi kesal dengan kesilapan diri sebelum ini. Pendidik RONA wajah Farah bertukar tatkala bercerita tentang haluan yang baru diceburi sehingga membuatkan keseluruhan hari yang ditempuhinya itu cukup bermakna. Bergelar guru perbahasan dan drama di Sekolah Sri Cempaka, Bukit Damansara Kuala Lumpur sejak 17 Mac lalu adalah satu tanggungjawab baru buat dirinya. Penyanyi lagu Berpisah Untuk Setia ini juga cukup teruja bercerita tentang keletah anak murid yang semakin manja dengannya setelah mengetahui dia adalah penyanyi tempatan. "Bergelar cikgu, mendidik kanak-kanak memang satu tugas cukup besar buat saya. Iyalah, saya mana ada pengalaman khusus dalam bidang perguruan, tapi saya suka kanak-kanak. Itu yang buat saya seronok. "Kalau nak tahu, ada macam-macam perangai anak murid saya. Kena bijak ambil hati mereka supaya mudah sikit nak ajar mereka. Melayan mereka dari pukul; 7.30 pagi hingga 4.30 petang memang tak rasa apa-apa," ceritanya. Ditanya bagaimana reaksi pertama anak-anak murid yang pasti tidak menyangka guru yang mengajar mereka itu adalah dari kalangan penyanyi tempatan, anak kelahiran Kuala Lumpur tergelak seketika. "Rata-rata mereka sangat teruja. Ada yang sampai Google saya di Internet. Tak sangka mereka bersungguh-sungguh nak tahu tentang saya. Itu belum lagi dengan permintaan menyanyi lagu-lagu Inggeris waktu kelas. "Hubungan kami juga rapat sehinggakan waktu makan pun, saya masih dikerumuni kanak-kanak. Macam-macam gelagat mereka. Boleh buat saya gelak berkali-kali," sambung Farah. Sengaja mengusik Pemegang Diploma Lanjutan Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing ini dengan soalan anak sendiri, membuatkan senyuman di wajahnya semakin melebar. "Opss... belum ada calon lagi. Kalau dah ada saya beritahu. Insya-Allah, kali ini lebih berhati-hati dalam pemilihannya. Saya mahukan seorang lelaki yang mukmin dan soleh pandang pada kemukminan dan kesolehan calon itu. Paling penting, dia boleh membimbing saya untuk ke syurga," harap Farah menutup perbualan penuh makna itu.

Farah Asyikin Tenang Selepas Berhijrah


Berkat selepas menunaikan solat sunat taubat nyata telah membuka hati penyanyi, Farah Asyikin Zulikfli atau Farah Asyikin, 33, untuk berhijrah ke jalan yang diredhaiNya.

Meskipun akui agak terlambat, Farah Asyikin kini bersyukur dan tenang kerana dapat menjalani kehidupan seperti yang dituntut agama.

“Terus-terang ianya terlalu peribadi untuk diceritakan. Namun saya cuba bersikap terbuka sebagai peringatan sesame kita.

“Lagipun ia berlaku dengan terlalu pantas. Saya berubah dan bertudung selepas sahaja selelsai menunaikan solat taubat nasuha.

“Percaya atau tidak, sebaik sahaja saya selesai menunaikan solat tersebut, guruh berserta dengan hujan pun turun dengan lebatnya. Bagi saya itulah kebesaran Tuhan,” luahnya ketika dihubungi murai.com.my



Farah Asyikin akui tindakan memakai tudung dan menutup aurat dilakukan secara tiba-tiba selepas menunaikan solat taubat pada tanggal 12 Februari lalu.

Berlaku dengan pantas, Farah Asyikin berkata penghijrahan itu dilakukan selepas terbayangkan azabnya balasan Tuhan dan akui kesal akan perbuatannya yang lalu.

“Sebenarnya tidak ada sebab kenapa kita perlu bertudung atau menutup aurat kerana ia memang sudah menjadi tuntutan kepada diri kita sebagai orang Islam.

“Saya sendiri kesal dengan apa yang berlaku ke atas diri saya sebelum ini. Namun saya beryukur kerana akhirnya saya kembali ke pangkal jalan juga.

“Saya lakukannya kerana bersebab. Saya takut dengan balasan Allah dan takutkan hari kiamat. Perasaan takut yang kuat itu sudah mula menyelubungi diri saya sejak beberapa hari lalu sebelum saya bertaubat

“Alhamdulilah jiwa saya kini tenang ,” jelasnya lagi.

Tidak mahu dianggap sekadar mencari publisiti, Farah berharap agar peminat serta orang ramai mendoakan yang lebih baik untuk dirinya supaya dekat dengan Allah.

“Saya tahu mesti ramai yang akan bersangka buruk dan kurang yakin dengan perubahan saya. Tapi saya berharap sangat agar dapat sokongan daripada masyarakat serta peminat untuk mendoakan diri saya supaya menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Meskipun sudah berhijrah, Farah tetap akan berada dalam bidang seni muzik dan bakal keluar dengan single terbaru penghujung Februari ini.

Farah Asyikin tak teringin kali kedua


SUASANA riuh dek kedengaran gurau senda sanak saudara yang berkunjung ke kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada 1 Syawal lalu masih segar dalam fikirannya. Hatinya berbunga riang melihat ahli keluarga berkumpul dan saling bercerita tentang perkembangan diri.

Tambahan melayan keletah anak saudara, Muhamad Umar Harris, setahun lapan bulan benar-benar menghiburkan hati. Puteri sulung adik perempuannya, Farah Jihan, 30, yang semakin bijak itu banyak menceriakan harinya. Menenggelamkan lara terpendam dalam jiwanya itu.

Terus terang, banyak kali dia makan hati melihat kebahagiaan setiap ahli keluarganya itu bersama pasangan masing-masing. Pernah juga dia mengeluh kerana bersendirian itu tanpa pelengkap hidup.

“Bohonglah kalau saya kata saya tak cemburu melihat kebahagiaan pasangan yang berkeluarga. Sedangkan saya pula sekadar menumpang kasih orang lain. Nak buat macam mana,” luah wanita ini membuka cerita Aidilfitri lalu.

Namun begitu, kata-kata itu hanya perasaan bersifat sementara. Perkongsian cerita yang dialami kebanyakan wanita berpisah dengan suami.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui berjaya memesongkan prasangka itu dengan mengisikan jadual hariannya dengan pelbagai aktiviti.

Apatah lagi selepas bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat MC Voices & Stars Sdn. Bhd., menjadikan kehidupan lebih fokus dari terus berfikiran yang bukan-bukan.

Jalinan kerjasama antara Farah dengan syarikat tersebut sejak 1 Julai itu banyak membantu dirinya dari terus dihimpit pedih kesepian.

“Saya bahagia dengan kehidupan solo yang memerlukan saya sentiasa bersemangat dalam setiap nafas yang dihirup,” sambungnya lagi.

Penyanyi lagu Kembali Lagi Di Sisimu ini juga tak mahu mengungkit isu kahwin sebagai pengganti masalah dihadapi tatkala ini. Biarpun ada yang mengutarakan cadangan tersebut tetapi ditolak baik olehnya.

Baginya, isu berkenaan sudah tidak larat lagi hendak diulas. Baik di kalangan media atau sanak saudaranya, dia hanya mampu tersenyum saat perkara itu diungkit.

“Terus terang, saya tak memikirkan langsung tentang perkahwinan kedua. Cukuplah pengalaman lampau,” ringkasnya yang menetapkan pendirian untuk tidak mengulas perkara itu.

Teringat zaman kanak-kanak

Jangan terperanjat bila Farah mengakui bahawa dirinya cukup lasak pada zaman kanak-kanak kalau berpeluang pulang ke kampung. Aidilfitri adalah medan buatnya untuk melepaskan gian memanjat pokok, mandi di sungai dan bermain sehingga lewat petang bersama rakan sebayanya.

“Kalau saya pulang ke kampung sebelah ibu di satu kawasan estet di Labu, Negeri Sembilan, pasti saya sudah resah mahu keluar rumah. Saya masuk ke kawasan pedalaman semata-mata untuk mencari anak sungai.

“Itu belum lagi dalam misi mencari duit raya. Masa itu malu ditolak ke tepi, janji kocek penuh. Walaupun nilainya cuma lima sen tapi saya tetap memburu dari satu rumah ke satu rumah,” ceritanya mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak.

Meski pun begitu, Farah memberitahu bahawa perangai lasak itu semakin berkurangan dan bertukar pemalu tidak lama kemudian.

Diakui bahawa program realiti televisyen, One In A Million (OIAM) musim pertama pada tahun 2006 itu banyak mengubah sahsiah diri sehingga menjadi Farah Asyikin yang dikenali pada hari ini.

Kenapa saya tenggelam timbul? - Farah Asyikin


FARAH Asyikin bukan nama baru dalam industri seni tanah air. Wanita ini punya rekod yang cukup bagus sewaktu melangkah sebagai penyanyi pada tahun 1999. Lagu pengenalan berjudul Kembali Lagi Di Sisimu berjaya mengangkat namanya.

Rekod perjalanan sebagai anak seni juga tak usah dipertikaikan. Wanita ini pernah menyertai dua rancangan realiti, Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM). Ketika itu, Farah Asyikin dilihat antara peserta yang memberi persaingan hebat setiap kali beraksi di pentas.

Sekali gus melayakkan diri di tangga ketiga pada kedua-dua pertandingan nyanyian berkenaan.

Apa pun, itu semua cerita dulu. Farah Asyikin sekarang sudah hilang taring. Dia dikatakan semakin hanyut dan jauh dari trek perjalanan seninya. Impian untuk bergelar penyanyi handalan dilihat semakin kabur.

Kalau diimbas semula publisiti yang diberikan terhadap anak kelahiran Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini, boleh disamakan seperti untung sabut timbul. Kebanyakannya lebih menjurus kepada kisah peribadi.

Situasi kurang menyenangkan tersebut sebenarnya turut disedari Farah Asyikin. Prihatin dengan perkara tersebut, dia meluahkan rasa kecewa pada pertemuan di Damansara, pagi Khamis lalu.

“Saya masih aktif seperti dulu. Belum hilang fokus lagi sebab nyanyian masih minat utama saya,” reaksi awal penyanyi ERT untuk filem Pisau Cukur ini menyentuh kedudukannya masa kini.

Pada masa yang sama, wanita berusia 32 ini menyatakan kekesalan tatkala cerita peribadi disensasikan.

Terutama dalam isu melibatkan perkahwinan dengan bekas suami, Dr. Fariz Yahya, saat perceraian dan konotasinya selepas bergelar janda.

Begitu juga dengan kisah pertunangan buat kali kedua yang kemudiannya menemui titik perpisahan. Begitu juga sewaktu dia menjalinkan hubungan bersama seorang jejaka berstatus duda kelahiran Singapura.

Hubungan yang penuh dengan ranjau duri terpaksa ditamatkan pada September tahun lalu atas pelbagai sebab yang tak boleh dinyatakan.

“Kudrat saya juga tak mampu nak menghalang orang dari mengorek kisah peribadi sendiri. Saya sedaya upaya cuba pesong cerita diri sendiri digantikan dengan perkembangan karier saya. Nampaknya, cara itu tak berkesan.

“Tapi bila ia didedahkan kepada umum, terpaksa ditelan bulat-bulat. Tapi kasihan juga pada keluarga sebab mereka turut terkena tempias sama,” ujarnya sayu.

Satu lagi isu yang memercikkan rasa tak keruan Farah Asyikin apabila dia dilabel seksi. Isu pemakaian singkat pada dua peristiwa berasingan pada tahun 2007 dan 2009 itu sebenarnya telah berjaya mengubah persepsi orang sekeliling untuk mempercayai imej terbabit.

“Apabila masyarakat cakap, biasalah anak orang kaya macam saya ini, seksi itu perkara biasa. Saya terus naik angin sebab seksi itu bukan saya. Saya hanya mangsa keadaan saja.

“Jadi, apabila dua perkara yang sama kerap dipersoalkan, buat saya putus harap. Apa pun alasan saya, orang lain sudah tak mahu dengar lagi.

“Lepas itu, saya cuba tukar imej berbaju kurung. Tapi malangnya, ada orang cakap saya nak tiru konsep artis wanita lain, siap melaga-lagakan saya dengan dia. Sedangkan, ketika itu saya ikhlas untuk memakainya,” jelas komposer muda ini bagi memulakan sesi menjawab persoalan berkaitan ‘kemalapan’ dirinya.

Musibah berulang

Perjalanan seni Farah Asyikin ini juga tidak selancar yang disangka. Dia juga kerap ditimpa musibah berulang-ulang saat mahu bangkit semula memperjuangkan karier muziknya.

“Satu peristiwa yang buat saya cukup ‘jatuh’ selepas pemergian arwah Shamrin Fotograf serentak pada hari jadi saya iaitu 11 November 2010. Saya cukup tersentak dengan berita ini. Apalah malang sangat saya ini sehingga arwah meninggal pada hari sejarah sendiri.

“Sedangkan banyak agenda telah dirancang. Kami berdua akan berduet dalam lagu ciptaan saya sendiri berjudul Kamu, Aku, Satu pada tahun ini.

“Sehingga hari ini, saya tak mampu nak menyanyikan semula lagu penuh kenangan itu. Ia adalah permintaan daripada arwah sendiri, mahu saya cipta sebuah lagu rock untuknya pada Syawal tahun lalu,” kata wanita ini mengimbas kenangan sedih itu.

Situasi itu juga menyebabkan semangat dan fokus Farah Asyikin terganggu. Sebab apa yang di rancang berbulan lamanya musnah seiring dengan pemergian Allahyarham.

Kesannya, Farah Asyikin memerap beberapa bulan lamanya di rumah. Memutuskan komunikasi dengan orang-orang dalam industri seni buat seketika.

Mengaku ada penyakit misteri

Darjah semangat untuk terus berkarya Farah Asyikin semakin menurun apabila dia kerap diganggu dengan penyakit misteri. Sejak pertengahan tahun 2005, ada sesuatu yang mengawal emosinya di luar sedar. Umpama gangguan yang membunuh jiwa terutama sewaktu bersendirian.

Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 ini kerap kali dibayangi lembaga yang kadangkala membuatkan dirinya tak tentu hala.

“Ia membuatkan orang sekeliling cakap saya ini pelik. Saya semacam berada dalam dunia sendiri. Pada mulanya saya tak rasa, tapi lama kelamaan saya sendiri ‘melihatnya’.

“Jadi, saya pergi berubat dan semuanya sudah beransur pulih. Konsentrasi saya semakin terarah. Saya juga dah mula rasa selesa untuk berkarya,” katanya bersungguh-sungguh.

Ditanya adakah dia mengetahui dari mana punca gangguan itu datang, wanita ini dilihat menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.

Katanya, perkara yang kadangkala tak masuk akal itu tak perlu diulas. Lebih baik mengelak dari bercerita perkara sebenar kerana khuatir ada yang kata dia sengaja mengadakan cerita.

“Tapi saya reda dengan suratan takdir. Sebab itu saya cuba bangkit dan lupakan masalah lalu. Musibah yang menimpa adalah cabaran dan ingatan buat saya agar tak mudah mengalah,” katanya.

Mengulas tentang persoalan tenggelam timbulnya itu, wanita ini menyimpulkan bahawa kesemua cabaran tersebut menjadikan dia cukup kuat sekarang.

Sekurang-kurangnya Farah Asyikin tahu apa persiapan yang seharusnya dibuat sebelum menempuh situasi di luar jangkauan.

“Bohonglah kalau cakap tak sedih dengan perjalanan karier saya. Dah lama saya berangan nak tunjukkan kepada semua siapa sebenarnya Farah Asyikin.

“Tapi kepayahan dugaan ini sebenarnya tak buat saya lemah semangat. Malah semakin berjaga-jaga sebab saya kini sudah pulih dari kesakitan. Juga sudah bersedia menyambung trek kerjaya semula,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Langkah seterusnya

Justeru, pemegang Diploma Lanjutan Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing ini mula mengorak langkah terbarunya.

Dia kini sedang merancang untuk menaik taraf potensi diri ke peringkat antarabangsa. Meski pun masih terlalu awal untuk dibicarakan, namun itu juga impian buat pemuzik tempatan sepertinya.

Apatah lagi selepas mendapat tahu ada pelabur dari luar negara yang berminat untuk menaja sepenuhnya projek seninya. Bakal penaja itu adalah seorang ahli perniagaan yang menetap di Australia yang sudah lama mengagumi bakat Farah Asyikin.

“Ia masih dalam peringkat perbincangan awal lagi. Masih belum ada sebarang hitam putih dan saya tak berani nak ulas apa-apa,” komennya ringkas.

Pada masa yang sama, Farah Asyikin kini sedang giat merakamkan single terbaru bertajuk Tiada Penghujungnya yang berentak balada.

Single yang bakal dilancarkan pada penghujung bulan ini adalah pengubat rindu buat peminatnya. Sebelum ini, Farah Asyikin pernah merakamkan lagu berunsur ketuhanan berjudul Ada Mu dan Penjagaku yang dilancarkan pada Ramadan tahun lalu.

Semua usaha promosi ini dijalankan bersama dengan sekumpulan anak muda berusia 20-an yang banyak menyokongnya selepas bekerjasama dalam kerja kemasyarakatan pada Hari Belia 2011 di Putrajaya, hujung bulan lalu.

Segala aktiviti Farah Asyikin boleh diketahui di laman web www.farahasyikin.com atau www.creativebird09.com

Kenapa saya tenggelam timbul? - Farah Asyikin


FARAH Asyikin bukan nama baru dalam industri seni tanah air. Wanita ini punya rekod yang cukup bagus sewaktu melangkah sebagai penyanyi pada tahun 1999. Lagu pengenalan berjudul Kembali Lagi Di Sisimu berjaya mengangkat namanya.

Rekod perjalanan sebagai anak seni juga tak usah dipertikaikan. Wanita ini pernah menyertai dua rancangan realiti, Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM). Ketika itu, Farah Asyikin dilihat antara peserta yang memberi persaingan hebat setiap kali beraksi di pentas.

Sekali gus melayakkan diri di tangga ketiga pada kedua-dua pertandingan nyanyian berkenaan.

Apa pun, itu semua cerita dulu. Farah Asyikin sekarang sudah hilang taring. Dia dikatakan semakin hanyut dan jauh dari trek perjalanan seninya. Impian untuk bergelar penyanyi handalan dilihat semakin kabur.

Kalau diimbas semula publisiti yang diberikan terhadap anak kelahiran Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini, boleh disamakan seperti untung sabut timbul. Kebanyakannya lebih menjurus kepada kisah peribadi.

Situasi kurang menyenangkan tersebut sebenarnya turut disedari Farah Asyikin. Prihatin dengan perkara tersebut, dia meluahkan rasa kecewa pada pertemuan di Damansara, pagi Khamis lalu.

“Saya masih aktif seperti dulu. Belum hilang fokus lagi sebab nyanyian masih minat utama saya,” reaksi awal penyanyi ERT untuk filem Pisau Cukur ini menyentuh kedudukannya masa kini.

Pada masa yang sama, wanita berusia 32 ini menyatakan kekesalan tatkala cerita peribadi disensasikan.

Terutama dalam isu melibatkan perkahwinan dengan bekas suami, Dr. Fariz Yahya, saat perceraian dan konotasinya selepas bergelar janda.

Begitu juga dengan kisah pertunangan buat kali kedua yang kemudiannya menemui titik perpisahan. Begitu juga sewaktu dia menjalinkan hubungan bersama seorang jejaka berstatus duda kelahiran Singapura.

Hubungan yang penuh dengan ranjau duri terpaksa ditamatkan pada September tahun lalu atas pelbagai sebab yang tak boleh dinyatakan.

“Kudrat saya juga tak mampu nak menghalang orang dari mengorek kisah peribadi sendiri. Saya sedaya upaya cuba pesong cerita diri sendiri digantikan dengan perkembangan karier saya. Nampaknya, cara itu tak berkesan.

“Tapi bila ia didedahkan kepada umum, terpaksa ditelan bulat-bulat. Tapi kasihan juga pada keluarga sebab mereka turut terkena tempias sama,” ujarnya sayu.

Satu lagi isu yang memercikkan rasa tak keruan Farah Asyikin apabila dia dilabel seksi. Isu pemakaian singkat pada dua peristiwa berasingan pada tahun 2007 dan 2009 itu sebenarnya telah berjaya mengubah persepsi orang sekeliling untuk mempercayai imej terbabit.

“Apabila masyarakat cakap, biasalah anak orang kaya macam saya ini, seksi itu perkara biasa. Saya terus naik angin sebab seksi itu bukan saya. Saya hanya mangsa keadaan saja.

“Jadi, apabila dua perkara yang sama kerap dipersoalkan, buat saya putus harap. Apa pun alasan saya, orang lain sudah tak mahu dengar lagi.

“Lepas itu, saya cuba tukar imej berbaju kurung. Tapi malangnya, ada orang cakap saya nak tiru konsep artis wanita lain, siap melaga-lagakan saya dengan dia. Sedangkan, ketika itu saya ikhlas untuk memakainya,” jelas komposer muda ini bagi memulakan sesi menjawab persoalan berkaitan ‘kemalapan’ dirinya.

Musibah berulang

Perjalanan seni Farah Asyikin ini juga tidak selancar yang disangka. Dia juga kerap ditimpa musibah berulang-ulang saat mahu bangkit semula memperjuangkan karier muziknya.

“Satu peristiwa yang buat saya cukup ‘jatuh’ selepas pemergian arwah Shamrin Fotograf serentak pada hari jadi saya iaitu 11 November 2010. Saya cukup tersentak dengan berita ini. Apalah malang sangat saya ini sehingga arwah meninggal pada hari sejarah sendiri.

“Sedangkan banyak agenda telah dirancang. Kami berdua akan berduet dalam lagu ciptaan saya sendiri berjudul Kamu, Aku, Satu pada tahun ini.

“Sehingga hari ini, saya tak mampu nak menyanyikan semula lagu penuh kenangan itu. Ia adalah permintaan daripada arwah sendiri, mahu saya cipta sebuah lagu rock untuknya pada Syawal tahun lalu,” kata wanita ini mengimbas kenangan sedih itu.

Situasi itu juga menyebabkan semangat dan fokus Farah Asyikin terganggu. Sebab apa yang di rancang berbulan lamanya musnah seiring dengan pemergian Allahyarham.

Kesannya, Farah Asyikin memerap beberapa bulan lamanya di rumah. Memutuskan komunikasi dengan orang-orang dalam industri seni buat seketika.

Mengaku ada penyakit misteri

Darjah semangat untuk terus berkarya Farah Asyikin semakin menurun apabila dia kerap diganggu dengan penyakit misteri. Sejak pertengahan tahun 2005, ada sesuatu yang mengawal emosinya di luar sedar. Umpama gangguan yang membunuh jiwa terutama sewaktu bersendirian.

Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 ini kerap kali dibayangi lembaga yang kadangkala membuatkan dirinya tak tentu hala.

“Ia membuatkan orang sekeliling cakap saya ini pelik. Saya semacam berada dalam dunia sendiri. Pada mulanya saya tak rasa, tapi lama kelamaan saya sendiri ‘melihatnya’.

“Jadi, saya pergi berubat dan semuanya sudah beransur pulih. Konsentrasi saya semakin terarah. Saya juga dah mula rasa selesa untuk berkarya,” katanya bersungguh-sungguh.

Ditanya adakah dia mengetahui dari mana punca gangguan itu datang, wanita ini dilihat menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.

Katanya, perkara yang kadangkala tak masuk akal itu tak perlu diulas. Lebih baik mengelak dari bercerita perkara sebenar kerana khuatir ada yang kata dia sengaja mengadakan cerita.

“Tapi saya reda dengan suratan takdir. Sebab itu saya cuba bangkit dan lupakan masalah lalu. Musibah yang menimpa adalah cabaran dan ingatan buat saya agar tak mudah mengalah,” katanya.

Mengulas tentang persoalan tenggelam timbulnya itu, wanita ini menyimpulkan bahawa kesemua cabaran tersebut menjadikan dia cukup kuat sekarang.

Sekurang-kurangnya Farah Asyikin tahu apa persiapan yang seharusnya dibuat sebelum menempuh situasi di luar jangkauan.

“Bohonglah kalau cakap tak sedih dengan perjalanan karier saya. Dah lama saya berangan nak tunjukkan kepada semua siapa sebenarnya Farah Asyikin.

“Tapi kepayahan dugaan ini sebenarnya tak buat saya lemah semangat. Malah semakin berjaga-jaga sebab saya kini sudah pulih dari kesakitan. Juga sudah bersedia menyambung trek kerjaya semula,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Langkah seterusnya

Justeru, pemegang Diploma Lanjutan Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing ini mula mengorak langkah terbarunya.

Dia kini sedang merancang untuk menaik taraf potensi diri ke peringkat antarabangsa. Meski pun masih terlalu awal untuk dibicarakan, namun itu juga impian buat pemuzik tempatan sepertinya.

Apatah lagi selepas mendapat tahu ada pelabur dari luar negara yang berminat untuk menaja sepenuhnya projek seninya. Bakal penaja itu adalah seorang ahli perniagaan yang menetap di Australia yang sudah lama mengagumi bakat Farah Asyikin.

“Ia masih dalam peringkat perbincangan awal lagi. Masih belum ada sebarang hitam putih dan saya tak berani nak ulas apa-apa,” komennya ringkas.

Pada masa yang sama, Farah Asyikin kini sedang giat merakamkan single terbaru bertajuk Tiada Penghujungnya yang berentak balada.

Single yang bakal dilancarkan pada penghujung bulan ini adalah pengubat rindu buat peminatnya. Sebelum ini, Farah Asyikin pernah merakamkan lagu berunsur ketuhanan berjudul Ada Mu dan Penjagaku yang dilancarkan pada Ramadan tahun lalu.

Semua usaha promosi ini dijalankan bersama dengan sekumpulan anak muda berusia 20-an yang banyak menyokongnya selepas bekerjasama dalam kerja kemasyarakatan pada Hari Belia 2011 di Putrajaya, hujung bulan lalu.

Segala aktiviti Farah Asyikin boleh diketahui di laman web www.farahasyikin.com atau www.creativebird09.com

Farah Asyikin Tidak Akan Berduet Selepas Kematian Shamrin


PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin, 32, memberitahu fobia untuk berduet dengan mana-mana artis kerana masih tidak dapat melupakan kematian Allahyarham Shamrin Fotograf pada 11 November tahun lalu akibat serangan jantung.

Jelasnya, fobia itu terjadi kerana dia dan Allahyarham baru sahaja menyiapkan projek lagu duet berjudul Aku Kamu Satu sebelum pemergiannya.

“Saya jadi fobia untuk berduet dengan mana-mana artis lagi kerana kejadian itu. Lebih sedih dia yang mahu saya nyanyi bersamanya untuk lagu itu,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Farah sehingga kini dia masih tidak mampu untuk mendengar semula lagu berkenaan yang telah siap sepenuhnya apatah lagi meneruskan projek berkenaan yang masih tertangguh.

“Lagu tersebut sudah siap dan kini berada dalam simpanan saya. Saya tak mampu nak dengar semula dan tiada perancangan untuk meneruskan projek menerbitkan lagu tersebut.

“Jika diingat penat lelah kami, memang saya sedih kerana dia sangat teruja menunggu lagu itu dimainkan di radio,” katanya.

Kata Farah lagi peristiwa yang berlaku itu adalah yang pertama dan terakhir kerana dia sudah membuat keputusan untuk tidak mahu berduet lagi selepas ini.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Farah kini sibuk merakamkan single terbarunya bersama komposer terkenal Ajai.

“Saya sedang menyiapkan single berjudul Tiada Penghujungnya yang di jadual dilancarkan pada bulan depan.

“Saya harap dengan kemunculan single tersebut mampu mengangkat kembali nama saya di persada industri seni suara ini. Saya tahu beberapa tahun ini saya banyak menyepikan diri,” katanya.

Farah Asyikin Enggan Komen Kekasih Baru


PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 31, enggan memberi komen tentang kehadiran seorang lelaki yang sentiasa bersamanya sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua mereka turut kelihatan pada majlis perkahwinan penyanyi Elyana di Dutches Place, Ampang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Farah enggan memberi komen mengenai lelaki yang dikatakan kekasih barunya itu.

"Maaf, saya enggan beri komen. Saya lebih selesa untuk tidak menghebohkan hal peribadi saya lagi.

"Berdasarkan pengalaman yang dilalui saya mahu hal peribadi saya tidak dihebohkan. Kalau orang tahu saya sudah ada kekasih atau tidak, tahulah. Saya tidak kisah.

"Cuma saya tidak mahu lagi mengumumkan apa-apa perhubungan cinta melainkan saya benar-benar akan berkahwin.

"Saya tahu ada yang suka bila saya bercinta dan ada yang tidak. Bagi yang tak suka, macam-macam doa yang saya akan terima. Cukuplah dengan dugaan yang saya terima sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Tambah Farah, memandangkan dia tahu dirinya sering melalui pelbagai dugaan, penyanyi yang popular dengan lagu Hello itu akan memastikan kisah-kisah peribadinya tidak akan diperkatakan lagi.

"Masalah terhadap saya terjadi satu persatu. Selain hal-hal peribadi, kerjaya saya juga sukar untuk kukuh.

"Tapi saya terpaksa telan itu semua kerana saya percaya itu adalah takdir. Mungkin ini sebagai dugaan dan ujian tuhan yang perlu saya lalui. Saya tidak ada pilihan melainkan menerimanya dengan redha.

"Selain itu, segala perancangan saya untuk tahun ini juga tidak menjadi. Antaranya seperti projek lagu single saya bersama arwah Shamrin (Fotograf), Kamu Aku Satu, juga tersangkut.

"Bagaimanapun, lagu tersebut akan saya masukkan untuk album terbaru saya," katanya yang sedang menyiapkan album baru pada tahun depan.

Farah kini sedang bekerjasama dengan beberapa komposer seperti Taja (Meet uncle Hussein) dan Omar K yang berkonsepkan pop rock dan jazz.

Sementara itu, selain projek album terbaru, Farah turut membuat perancangan bersama kakaknya untuk mengadakan program perkhemahan khas buat gadis remaja, It's A girl Thing, pada awal tahun depan.

Program perkemahan tersebut diadakan untuk berkongsi pengalaman yang dilaluinya bersama gadis remaja yang mempunyai masalah peribadi serta kerjaya.

Enggan seksi depan media-Farah


CERITA kontroversi cukup dekat dengan penyanyi Farah Asyikin. Sejak bercerai hingga kini, dia antara penyanyi yang tidak pernah kering dengan cerita panas.

Kalau dibuka semula sejarah kemunculannya dalam persada seni suara, cerita kontroversi penyanyi yang popular dengan lagu Hello itu lebih luas liputannya daripada kisah kerjaya seninya sebagai penyanyi.

Selepas bercerai Farah tidak pernah sunyi daripada gosip cinta termasuk hubungan cintanya dengan duda warga Singapura yang menjadi cerita panas kerana kononnya Farah merupakan punca keretakan rumah tangga kekasihnya itu.

Tidak habis di situ, baru-baru ini Farah mengumumkan ikatan pertunangan yang terjalin antaranya bersama kekasihnya itu terputus di tengah jalan.

"Saya masih solo, tiada hubungan dengan mana-mana lelaki. Sekarang, fokus saya hanya kerja bukannya untuk mencari kekasih," ucapnya yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

Itu baru kisah yang membabitkan hati dan perasaan. Kalau menyentuh bab imej, sememangnya Farah seorang wanita yang seksi dan gemar berpakaian ketat.

Pernah dikecam kerana isu kainnya terselak sehingga ke pangkal paha ketika menjayakan persembahan pada majlis Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu dan dia juga pernah mengumumkan untuk menukar imej diri dengan kerap menyarungkan baju kurung pada persembahan pentas sekitar Mei lalu, namun Farah kini dilihat semakin melupakan pendiriannya itu.

Jawabnya: "Dulu ketika semua orang kecoh tentang pakaian saya yang seksi dan terdedah ketika buat persembahan saya akui agak fobia serta tertekan dengan situasi itu sebab ibu bapa saya turut terkena tempiasnya.

"Sebenarnya sebagai penyanyi ada waktunya saya tidak mahu berpakaian seksi tetapi diminta mengenakan pakaian tersebut. Jadi, untuk meluahkan apa yang terbuku di hati saya pakai baju kurang tidak kira di mana-mana termasuk ketika melakukan persembahan pentas.

"Ini kerana saya tidak mahu diperlekehkan oleh mana-mana pihak, saya mahu mereka tahu yang saya ada pendirian dan boleh berkata tidak jika saya tidak mahu menyarungkan pakaian yang saya rasa tidak selesa," ujarnya yang akan ke Beijing, China bersama peminat pada hujung bulan ini.

Terang Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, meskipun kerap tampil dengan baju kurung, itu tidak bermakna dia hanya akan berbaju kurung selamanya. Sebaliknya dia akan menyarungkan pakaian lain seperti gaun dan pakaian kasual yang sopan mengikut kehendaknya.

"Saya tidak kata akan berbaju kurung sahaja, pendirian saya adalah tidak mahu lagi berpakaian seksi di hadapan media. Saya bimbang perkara yang sama (kain terselak) berulang kembali kerana saya tidak tahu di mana sudut-sudut yang diambil oleh jurufoto," tuturnya.

Namun, jika di luar daripada waktu kerja, kata Farah, dia bebas menyarungkan sebarang pakaian mengikut hatinya.

Saya wanita yang normal, kalau bab baju kurung itu rasanya semua wanita Melayu mempunyai sekurang-kurangnya sehelai baju kurung dalam almari mereka.

"Sama juga seperti saya, kalau mood saya mahu pakai baju kurung, saya akan pakai. Kalau tidak, saya akan ikut hati saya sahaja. Jika orang nak kata saya hipokrit kerana berpakaian sopan hanya di depan media, itu adalah pilihan saya kerana yang menanggung segala kecaman itu adalah saya dan keluarga, bukannya orang lain," balasnya.

Pakaian Seksi FFM23 : Farah Asyikin Bukan Langgar Prinsip


PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin memberitahu pakaian yang digayakan dalam persembahannya pada acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) tidak melanggar pendiriannya untuk tidak berpakaian seksi seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Katanya, dia masih teguh dengan pendirian tersebut namun ia perlu mengikut kesesuaian sesebuah majlis.

"Ya, memang sebelum ini saya pernah memberitahu untuk tidak lagi seksi. Tapi ia bergantung kepada sesebuah majlis, saya perlu tampil bersesuaian dengan persembahan saya pada malam itu.

"Bukan saya melanggar pendirian yang telah saya buat, pada saya pakaian tersebut tidak seksi. Sebelum persembahan lagi saya sudah beritahu kepada pereka fesyen baju tersebut iaitu Arif Shukur agar bawa baju yang sopan dan tidak menampakkan kulit," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Farah juga menafikan bahawa dia telah mengubah pendiriannya akibat putus tunang baru-baru ini.

"Ia tiada kena mengena dengan putus tunang, semasa saya buat kenyataan tersebut juga saya sudah fikir masak-masak. Kalau boleh memang saya tidak mahu berpakaian seksi lagi.

"Saya lebih selesa dan selamat bila tidak seksi. Cuma untuk persembahan sahaja saya berpakaian bersesuaian. Itu pun seboleh-bolehnya tidak mahu seksi," katanya yang pernah berhasrat untuk tampil dengan imej berbaju kurung.

Menurut Farah, persembahan tersebut juga memerlukan dia membawa perwatakan seperti dalam filem Pisau Cukur.

"Lagu tersebut merupakan lagu tema kepada filem Pisau Cukur, jadi saya perlu bawa watak nakal sedikit. Apa pun saya sangat menjaga batasan agar tidak terlalu berlebihan.

"Saya hanya buat yang terbaik, malam itu saya bukan sahaja membawa lagu tersebut tetapi mewakili filem tersebut," katanya.

'M tidak sesuai untuk saya'-Farah


PENAMPILANNYA sebelum ini dilabel seksi hingga membuatkan dirinya serba salah dan akhirnya mengubah imej lebih sopan dengan berbaju kurung, berjubah mahupun baju labuh yang menutup bentuk tubuhnya.

Sejak awal tahun lalu, penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 31, mengakui selesa dengan penampilan itu dan tidak patah semangat walaupun imej begitu lebih dulu dilabel dengan Ana Rafali.

Nyata bukan mudah laluan yang ditempuh janda muda ini untuk merealisasikan niat baiknya itu. Ada saja pihak yang memandang sinis penampilannya. Pernah berlaku dalam satu persembahan di Kuantan, Pahang, dirinya tidak dibenarkan naik pentas dengan penampilan berbaju kurung kerana dikatakan tidak sesuai.


Ketika ditemui pada majlis anjuran Rafflesia The Pearl Centre sempena Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), baru-baru ini, Farah kelihatan tidak selesa dengan gaun merah jambu muda rekaan Rizman Ruzaini. Tangannya tidak lepas di dada seperti menutup sesuatu.

Apabila ditanya perkara itu, Farah mengakui kurang selesa dengan pakaian itu kerana belahan pada dada agak luas.

Katanya, pakaian itu memang cantik, tetapi dia kurang selesa kerana mendedahkan dada. Kalau silap gaya, boleh memalukan dirinya dan cuba menutupnya dengan tangan.

"Saya mahu memakai kerongsang dan meminta izin dengan perekanya, tetapi mereka keberatan kerana tidak mahu merosakkan rekaan baju ini.


"Saya tidak selesa sepanjang majlis berlangsung apatah lagi ketika jurugambar merakamkan gambar saya. Sebenarnya, ini juga pakaian kedua saya selepas pilihan pertama, gaun hijau saya tolak kerana mendedahkan dada dan saya diberi pilihan ini.

"Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan kerana tidak membawa baju sendiri kerana penganjur sediakan pakaian untuk digayakan sesuai dengan aksesori tajaan Rafflesia.

"Saya berharap tiada masalah untuk kemunculan saya di malam kemuncak FFM23 nanti (Ahad) apabila menyampaikan lagu ERT daripada filem Pisau Cukur," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hello dan Kembali Di Sisimu berharap keputusannya untuk tampil lebih sopan dihormati kerana tidak mahu lagi dilanda kontroversi membabitkan pakaian sebagaimana sebelum ini.

Pintanya, janganlah pandang sinis wanita berbaju kurung.


Dirinya pernah dikecam apabila berpakaian tidak sesuai ketika menjayakan satu program televisyen untuk hari raya. Penampilannya di pentas ketika menjayakan satu majlis anugerah juga mendapat kritikan kerana seksi sedangkan ketika itu Farah cuba menutup kakinya dengan memakai dua lapis 'legging'.

Bagaimanapun, apabila dilihat di skrin televisyen, tetap seksi seolah-olah mendedahkan pahanya.

Begitu juga cerita peribadi bermula dengan perkahwinannya dengan Fariz Yahya pada 12 Mei 2007 kemudian bercerai. Dua cerita ini diakui menjejaskan kerjaya seninya sejak menyertai program realiti Malaysian Idol pada 2005 kemudian One In A Million musim kedua (2006) hingga dia nekad melakukan sesuatu untuk mengubahnya.


"Kadangkala bila buat persembahan, lampu limpah membuatkan kita kelihatan seksi. Begitu juga ketika fotografi, ada kalanya teknik penggambaran menyebabkan bentuk badan kelihatan menyerlah.

"Apabila tengok kembali gambar sendiri dengan keadaan begitu, timbul rasa malu hingga saya berfikir bagaimana untuk mengatasi situasi itu.

"Selepas bercerai, saya juga berharap kisah peribadi tidak lagi menjadi bahan berita. Tapi apabila saya bertunang secara senyap, media dapat tahu juga dan terbaru, saya putus tunang juga dapat dihidu media.


"Bukan saya sengaja menjaja cerita peribadi, malah cuba sedaya upaya melindunginya, tetapi akhirnya diketahui juga. Apabila ditanya rakan wartawan, saya tidak mampu untuk berbohong," katanya.



Kisah putus tunang
Pada pertemuan petang itu, Farah juga tidak keberatan berkongsi cerita mengenai kisahnya putus tunang yang sudah pun diketahui umum sejak sebulan lalu.


Farah bertunang dengan duda anak satu yang hanya diperkenalkan sebagai M dan bakal berkahwin 31 Julai lalu.

Bagaimanapun, awal Julai, Farah membuat keputusan mengejutkan dengan memutuskan pertunangan dengan jejaka asal Singapura dan menjadi jurutera muzik di Macau itu.


Tentunya berita ini mengejutkan ramai kerana sebelum ini Farah bercerai selepas tidak sampai dua tahun bersama dan kini putus tunang pula menjelang hari disatukan. Pastinya kejadian terbaru ini membuatkan ramai menuding jari kepadanya bahawa sebenarnya dia yang bermasalah.


Apapun, kata Farah, dia sudah memikirkan baik buruk atas keputusannya itu dan bersedia dengan apa saja kemungkinan yang berlaku. Malah, kata Farah, keputusan itu bukan saja membabitkan mereka berdua, malah banyak pihak kerana undangan sudah dibuat begitu juga segala persiapan.


"Alhamdulillah, keluarga menghormati keputusan saya dan saya terharu sangat kerana mereka juga tabah melalui semua ini. Sebagai selebriti, saya sedar apa pun yang berlaku kepada saya akan terpercik juga ke muka mereka.

"Mereka terus memberi semangat kepada saya. Apa yang lebih bagi mereka ialah mahu saya gembira," katanya.


Kata Farah, hidupnya kini tenang dan sedikit pun tidak tertekan dengan keputusan yang diambilnya. Farah juga menafikan dirinya terburu-buru membuka langkah baru selepas bercerai.


"Saya bercerai tiga tahun lalu dan mula rapat dengan seseorang akhir tahun lalu iaitu selepas dua tahun kembali solo.


"Sebelum ini ada kawan, tetapi tidaklah rapat. Saya tidak terburu-buru menjalin hubungan baru sebaliknya mengikut keadaan.

"Bagi saya semua ini kerja Tuhan dan serahkan kepada-Nya soal jodoh. Saya juga reda dengan apa yang berlaku dan mungkin ada hikmah di sebaliknya," katanya.


Perkenalan mereka bermula di laman sosial facebook dan dia sering menghantar komen di lamannya.

Setahun berbuat demikian, lelaki itu memulakan langkah menghantar pesanan di ruang pesanan. Dari situ, hubungan mereka makin serius sehingga membawa kepada pertemuan.

Mereka bertentang mata buat kali pertama di Kuala Lumpur, apabila si jejaka sanggup terbang dari Macau ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengannya sehingga berjaya menambat hatinya.

Enggan bercerita lanjut mengenai punca putus tunang kerana disifatkan agak peribadi, Farah mengakui bersyukur berbuat demikian sebelum mereka berkahwin.

Baginya, tidak guna meneruskan hubungan itu kerana kelak berhadapan masalah.

"Apabila menjalin hubungan dengannya, pelbagai dugaan saya lalui. Bagaimanapun, saya cuba mencari jawapan dari cerita yang saya dengar kerana ingin tahu dan akhirnya saya menemui jawapan untuk segala teka-teki itu. Akhirnya saya membuat keputusan nekad untuk berpisah kerana rasa itu jalan terbaik buat saya," katanya.


Kini Farah tumpukan perhatian dengan pembikinan album barunya yang diterbitkan sendiri.

Sebelum ini Farah menghasilkan single Ada Kamu dan juga Penjagaku yang diharapkan untuk pasaran Ramadan tetapi tidak diputarkan di radio.


Farah menerimanya sebagai tiada rezeki dan kini mempertaruhkan pula lagu duet dengan penyanyi kumpulan Fotograf, Shamrin, Kamu, Aku Satu ciptaan dan lirik Farah.


"Ia lagu pop rock dan saya harap mendapat perhatian stesen radio untuk diputarkan," katanya.




>PROFIL
NAMA SEBENAR: Farah Asyikin Zulkifli
TARIKH LAHIR: 11 November 1979
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN; Diploma Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti LimKokWing
ALBUM: Bebas (1999) dan 1000 Penipuan (2007)
PENCAPAIAN: Salem Cool Planet (1999), tempat ketiga Malaysian Idol 2 (2005), tempat kelima One In A Million (2006) dan Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008

Tidak Sehaluan Punca Fara Asyikin Putus Tunang


PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin,31, mengakui hubungan yang tidak sehaluan menyebabkan dia mengambil keputusan nekad untuk mengakhiri ikatan pertunangan pada dua bulan lalu.

Jelas Farah, keputusan dibuat selepas memikirkan secara rasional perhubungan tersebut dan tidak mahu peristiwa penceraiannya dengan bekas suami Dr Fariz Yahya berulang kembali.

"Kami berkawan setahun tetapi bertunang hanya bertahan selama sebulan sahaja. Saya banyak berfikir dan menilai perkara-perkara yang saya nampak berlaku sepanjang kami berkawan.

"Pada mulanya saya boleh terima apa sahaja yang datang dan menganggap ia sebagai dugaan dalam sesebuah perhubungan, namun semakin hampir pada tarikh perkahwinan, saya seperti dapat petunjuk dari Allah untuk buat keputusan ini," katanya.

Farah Asyikin yang mengikat tali pertunangan dengan jejaka dari Singapura pada Jun lalu sepatutnya mengakhiri zaman jandanya pada Julai lalu dan menetap di Macau, China.

"Persiapan kahwin memang saya dah buat serba sedikit memandangkan kami merancang untuk bertunang sekejap sahaja.

"Malah yang paling ralat, saya terpaksa menolak tawaran berlakon dalam Muzikal Tun Mahathir kerana pada mulanya merancang untuk ikut dia yang bekerja di Macau," katanya.

Bagaimanapun, menurut Farah, dia reda dengan ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa, namun begitu dia tidak pernah sekali-kali menutup pintu hatinya kepada lelaki.

"Saya pasrah dan reda dengan apa yang terjadi, semuanya sudah tertulis. Saya tidak serik tetapi lebih berhati-hati setelah berbagai-bagai dugaan yang datang kepada saya.

"Bagaimanapun saya tidak sekali-kali menutup pintu hati untuk berkawan dengan mana-mana lelaki, jika ada jodoh Insya-Allah ia akan dipermudahkan," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru yang mana dia berduet dengan Shamrin Fotograf berjudul Kamu Aku Satu.

Bakal akhiri zaman solo?


SEHARUSNYA, dia teruja meraih kesempatan muncul buat kali pertama di layar perak. Menerusi filem terbitan syarikat penerbitan Galaksi Seni Sdn. Bhd. (GSSB), Momok - Jangan Panggil Aku, satu watak diperuntukkan kepada Farah Asyikin Zulkifli. Tiada lain, ia bagi mempersembah sisi tersembunyinya selepas berstatus penyanyi, komposer dan penulis lirik.

Bahkan, artis berusia 31 tahun itu dijadualkan untuk bergandingan dengan ratu dangdut goyang gerudi Indonesia, Inul Daratista untuk beberapa babak dalam filem tersebut. Peluang itu tidak dinafikan, cukup besar. Sesiapa sahaja terutama pendatang baru tidak mampu menolaknya. Ia umpama rezeki datang bergolek di depan mata.

Malang sekali, penyanyi popular dengan lagu Seribu Penipuan itu terpaksa menolak tawaran daripada pengarah Momok - Jangan Panggil Aku iaitu M. Jamil sehari selepas memberi kata persetujuan. Mengaku agak kecewa tidak dapat terbabit dalam karya genre seram itu, Farah bagaimanapun harus merelakan keputusannya setelah berbincang dengan ahli keluarga.

Selain terdengar alasan Farah terikat dengan komitmen sebagai pemain di gelanggang seni, ada juga gosip bertebaran kononnya dia sedang sibuk melakukan persediaan majlis pernikahannya bakal berlangsung tidak lama lagi.

Waktu penggambaran dijangka bermula 19 Julai dan berakhir 5 Ogos ini, dikatakan menjadi penyebab utama Farah menolak peluang keemasan itu.

Dan sekitar tempoh itu juga, Farah dilaporkan bakal menamatkan zaman 'solo' selepas bekas suaminya, Dr. Fariz Yahya, 32, menjatuhkan talak pada 26 Mei 2008.

Khabarnya, individu menjadi pilihan Farah, tidak lain tidak bukan adalah duda berusia 36 tahun berasal dari Singapura seperti dihebah oleh media tempatan sekitar Oktober lalu.

Ketika pertanyaan sama dihadapkan kepada Farah, dia hanya tergelak kecil. Yang pasti, sepanjang perbualan hampir satu jam menerusi corong telefon pada Isnin lalu, suara Farah kedengaran cukup tenang. Tiada istilah dia cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

"Lebih baik jika saya tidak komen tentang hal (pernikahan) ini. Sebelum ini, ada juga wartawan bertanyakan kepada saya tentang gosip mendirikan rumah tangga selepas bercerai dua tahun lalu. Tetapi, saya ambil pendekatan malas hendak ulas lebih lanjut.

"Biarlah orang tahu tentang kualiti kerja saya dalam industri berbanding cerita personal. Lagipun saya bukan popular seperti artis lain sampai perlu berkongsi cerita peribadi termasuk soal perkahwinan. Terus-terang, saya sudah ambil iktibar selepas menjalani pengalaman perkahwinan terdahulu.

"Jangan bimbang, kalau sampai masa mendirikan semula rumah tangga, saya pasti akan beritahu berita baik ini kepada peminat. Tidak mahu cakap lebih, hal kahwin sifatnya tergantung. Kalau ada jodoh dalam waktu terdekat ini, saya terima seadanya," jelas Farah yang mengaku belum serik berdampingan dengan predikat perkahwinan dalam hidupnya.

Dia tahu, ada sesetengah pihak bakal mempertikai alasan kurang munasabah, dia mengenepikan tawaran beradu sebagai pelakon filem. Enggan mempeduli persepsi nakal dilempar kepada diri, kudrat Farah buat masa ini - hanya mampu membenarkan orang lain terus membuat konklusi sendiri.

"Saya terima peluang berlakon dalam Momok - Jangan Panggil Aku dengan hati gembira kira-kira dua minggu lalu. Tetapi, saya tidak beri pengesahan penuh. Selepas tengok balik jadual penggambaran, saya tidak yakin dapat beri sepenuh komitmen ditambah kena buat persediaan banyak benda termasuk album penuh.

"Ironinya, gambar saya sudah dicetak pada poster Momok - Jangan Panggil Aku dalam waktu singkat. Begitupun, saya sudah memohon maaf kepada M. Jamil dan seluruh tenaga produksi kerana menghampakan impian mereka untuk lihat saya melibatkan diri dalam projek ini," jelas Farah yang sepatutnya memegang karakter sebagai anak bunian di samping Inul sebagai pembawa watak ibu bunian.

Menjadi diri sendiri

Berbicara tentang penampilan baru, Farah segera mengisyarat bahawa tiada perubahan total pada dirinya. Yang jelas, permukaan luaran berubah dengan imej wanita berbaju kurung serta solekan lebih nipis. Namun, dalamannya, dia masih Farah Asyikin sama masyarakat kenali sejak beberapa tahun lalu.

"Semua yang peminat tahu tentang saya, ia masih sama. Cuma, mungkin pergerakan saya ketika buat persembahan di atas pentas sedikit terbatas berbanding sebelum ini. Kalau dulu boleh melompat atau bergerak ke sana ke mari, kini saya tidak boleh berlebih-lebihan.

"Penerimaan orang ramai amat positif tentang perubahan diri ini. Malah, ada golongan wanita berusia bagi kata perangsang kepada saya semasa buat pertunjukan di Bentong, Pahang baru-baru ini. Mungkin bagi sesetengah orang tidak mengenali saya, mereka agak terkejut melihatkan kelainan ini. Tetapi, bagi yang rapat, mereka tahu saya terbiasa menyarung baju kurung.

"Lantaran itu, keluarga juga tidak pernah halang saya melakukan penghijrahan bermula awal tahun ini. Sejujurnya, saya berada dalam bidang ini sebab mahu melampias bakat seni yang dimiliki. Saya bukan hendak jadi selebriti yang perlu berpakaian cantik dan kena sentiasa nampak menyerlah.

"Sebelum ini, saya akui, sering ikut telunjuk atau ingin menggembirakan hati orang lain. Lama-kelamaan, saya fikir semula, sampai bila kena jadi macam ini sedangkan jiwa saya entah siapa peduli. Sekarang, saya lebih suka ikut kata hati sendiri melakukan apa jua perkara," terang Farah yang memiliki lebih 100 baju kurung dalam gerobok miliknya.

Selain berbaju kurung, Farah masih memiliki naluri berfesyen seperti wanita Muslim lain. Biarpun menggaya seluar tirus, dia tetap menggabungkan baju panjang menutupi bahagian tertentu agar tidak menampakkan sosok badannya.

Berduet dengan Shamrin

Konsistensi Farah dalam bermuzik dilihat mula terhakis sedikit demi sedikit apabila jalur lagu pop rock sinonim dinyanyikan olehnya, kini dialir deras pada karya bercorak kerohanian atau pop fusion, sejalan dengan pembaharuan imejnya yang lebih bersopan.

"Sebelum ini, saya ada bikin lagu dan hasilkan lirik berkonsep keagamaan, alam sekitar dan patriotik. Namun, saya segan dan terlalu fikir penerimaan khalayak hendak menonjolkan karya-karya ini. Tetapi, selaras dengan penukaran personaliti, saya memberani diri tampil dengan hasil nukilan sendiri termasuk dalam album penuh nanti.

"Kini, saya lebih suka muncul di belakang tabir termasuk buat lagu untuk artis lain. Saya buat lagu Ada-Mu untuk single pertama manakala Penjaga-Ku bakal dilancar sebelum Ramadan ini. Selain itu, saya dalam proses menyiapkan lagu duet bersama vokalis Fotograf, Shamrin berjudul Kamu, Aku, Satu yang berirama rancak.

"Selepas Shamrin menyatakan minat ingin berkolaborasi dengan saya dalam sebuah lagu semasa kami buat persembahan di Pasir Gudang, Johor, awal tahun ini, saya fikir sudah tiba masa mempamer kebolehan diri. Nasib baik, dia suka dengan lagu kedengaran rock ini yang berkisar percintaan golongan lelaki dan wanita serta persahabatan.

"Jika susunan muzik untuk lagu ini dapat disiapkan, kami akan segera masuk studio rakaman pada minggu depan. Saya sendiri tidak sabar hendak bekerjasama dengan Shamrin. Bukan saja disifatkan sebagai penyanyi tampan menurut pendapat teman-teman saya, dia juga sentiasa merendah diri walaupun lama berada dalam lapangan hiburan," akhiri Farah sambil mengungkap keperibadian Shamrin.

Penghijrahan Jiwa Farah Asyikin


DULU, dia sering dilabel sebagai wanita seksi. Kini, penyanyi dan duta jam tangan Roscani bernama Farah Asyikin Zulkifli itu tampil dengan imej baru yang sopan dan ayu.

Penghijrahan terbarunya itu bukanlah sekadar gimik semata-mata sebaliknya Farah akui sudah lama dia memikirkan tentang perkara itu. Cuma menanti peluang yang ada.

Apabila masanya sudah tiba, penyanyi lagu Hello itu meneruskan sahaja niat murninya itu tanpa ragu-ragu.

Sedikit demi sedikit, Farah mula menguatkan azam untuk berubah melakukan yang terbaik untuk dirinya sejak menyepi daripada industri muzik lewat pertengahan tahun lalu.

Padanya, pemenang Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) 2008 itu tidak mengharapkan orang menukar persepsi terhadapnya, namun tidak salah sekiranya dia cuba menonjolkan diri dari sudut yang lain pula.

“Sebenarnya, saya benci orang label saya suka berpakaian seksi. Tetapi saya tak salahkan orang yang kata begitu kerana mereka melihat apa yang saya pakai menerusi media.

“Kalau boleh saya nak orang lihat sisi lain diri saya. Apa yang saya lakukan sekarang lebih dekat dengan hati saya selain untuk berdakwah kepada diri-sendiri.

“Sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk tampil menyanyikan lagu pop rock dengan memakai baju kurung. Tetapi apabila saya bergerak sendiri sekarang, saya boleh menentukan apa yang saya mahu lakukan termasuk niat untuk tampil sopan dan tidak seksi lagi,” ujarnya.

Janda berusia 31 tahun itu juga semakin yakin untuk mengenakan baju kurung secara terbuka walaupun menyanyikan lagu rancak di beberapa majlis.

“Walaupun saya tidak memakai baju kurung, saya akan pastikan untuk memakai baju yang tidak ketat dan sesuai dengan apa yang saya inginkan.

“Semasa saya menyepi dari industri, saya terfikir tentang bagaimana untuk repackage diri-sendiri,” ujarnya lagi.

Seiring dengan penghijrahannya itu, penyanyi dan komposer yang dikenali menerusi lagu irama pop rock itu terpanggil untuk menerbitkan lagu-lagu bercorak kerohanian seperti Ada-Mu dan Penjaga-ku.

“Saya sudah menyiapkan single terbaru Ada-Mu yang sedang dalam proses untuk dihantar ke stesen radio. Lagu ini menunjukkan rasa cinta yang luas untuk semua termasuk rasa syukur kita kepada Tuhan dengan apa yang diberikan.

“Sementara untuk single kedua berjudul Penjaga-ku, saya menyelitkan kalimah suci yang membawa maksud 'Allah cukup bagiku dan Allah sebaik-baiknya penjagaku'.

“Lagu itu akan muncul sebelum bulan puasa tahun ini. Selepas cukup enam buah lagu mungkin baru saya akan terbitkan album. Setakat ini saya akan menghantar single terbaru ini ke stesen radio dan turun padang ke Singapura untuk mempromosikannya,” tuturnya yang mula mengumpul material untuk lagu-lagu itu sejak awal Januari tahun ini.

Selain perkembangan terbarunya, Farah juga tidak lari disoal tentang lelaki dalam hidupnya. Pada Oktober tahun lalu, masih ingatkah yang dia pernah mengaku sedang berkawan dengan duda berusia 35 dan berasal dari Singapura.

“Saya masih berkawan dengan lelaki itu. Tentang kahwin, saya serah kepada Tuhan,” jawabnya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Farah juga tampil dengan lagu Aku Tanpa Kamu, runut bunyi untuk filem Belukar. Selain itu, Roscani juga telah melanjutkan kontraknya sebagai duta jam tangan itu selama setahun.

Bukan itu sahaja, dia juga akan terlibat dengan Kem Cipta Ekspress anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) pada akhir bulan ini di Port Dickson bersama komposer-komposer terkenal lain seperti Ramli MS dan Aidit Alfian.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails