Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Destinasi abadi Farah Asyikin

RAMAI yang menoleh dua kali apabila bertentang mata dengan wanita ini. Semuanya tak percaya dengan penampilan terbaru dirinya. Mungkin terperanjat kerana dia jauh berubah dengan apa yang dilihat sebelum ini. Kini, dia tidak lagi memakai baju yang mendedahkan kulit. Malah dia sentiasa memastikan pemakaian sempurna dengan bertudung litup dan bersarung tangan sentiasa. Itu juga bermakna bahawa ada seorang lagi penyanyi Malaysia yang berhijab selepas Liza Hanim, Nora, Siti Nordiana dan Farah AF2, berbuat perkara yang sama. Bagaimanapun, Farah tidak mahu niat baiknya itu dikaitkan mengikut jejak orang lain kerana itu adalah keikhlasannya. Farah juga percaya yang setiap individu berhak untuk berubah ke arah kebaikan biarpun sebelum ini pernah hilang arah panduan hidup. Lantaran itu, Pancaindera memanggil Farah untuk membuat sesi fotografi dan berkongsi tentang pengisian sepanjang penghijrahannya sewaktu menjelang tarikh keramat 12 Februari lalu. "Ini adalah kelahiran baru Farah Asyikin. Biarpun secara pandangan kasarnya perubahan itu berlaku sebanyak 360 darjah. Tapi itu bukan satu masalah besar yang sewajarnya digembar-gemburkan kerana saya berada dalam landasan yang benar. "Sebab itu, saya berdoa agar penghijrahan saya ini tidak kelihatan terlalu ekstrem di mata orang lain. Kalau boleh saya nak buat semua orang rasa selesa dan terima saya seadanya," bicara awal wanita berusia 33 tahun ini sambil tersenyum. Dalam pada itu, Farah turut memanjatkan kesyukuran kerana diberi hidayah sewaktu usia muda. Kurniaan itu boleh umpama perkara ajaib yang membuatkan hidupnya begitu tenang. "Saya tak rancang semua ini. Maksudnya, bila saya nak berubah, bila waktu yang sesuai atau apa saja. Sebaliknya, hidayah itu datang sedikit demi sedikit, saya tersedar dan sujud syukur kepada-Nya. "Saya juga tak menyesal korbankan apa saja milik saya di dunia kepada Maha Pencipta. Saya yakin bahawa pengorbanan yang tak seberapa itu pasti dibalas dengan rezeki berlipat kali ganda. "Banyak peristiwa yang saya renung kembali tentang mukjizat-Nya. Semua petunjuk itu membuatkan saya bersemangat nak mendalami lebih banyak tentang ilmu agama. "Saya tahu perkara itu berat. Tapi saya kena istiqamah. Sekarang sasaran saya nak bagi penuh markah dalam bab akhlak. Memang perit tapi kena kayuh pelan-pelan," dedahnya sambil meredupkan pandangan. Ditanya apakah Farah tidak bimbang andai ada pihak yang kurang senang melihat perubahan mendadaknya itu, tambahan pula dia masih dalam lingkungan industri hiburan? Menjawab soalan ini membuatkan Farah menarik nafas dalam. "Saya hanya berkongsi apa yang saya rasa kepada semua sebab tahu saya milik masyarakat. Tapi pada masa yang sama, saya mahu penghijrahan saya itu selari dari segi rohani dan jasmani. "Penampilan saya bukan satu stail atau imej tapi ia adalah tuntutan agama. Perkara ini jelas dan sudah termaktub dalam al-Quran. Kalau orang luar nak bagi persepsi mereka tentang hijrah saya ini, silakan cakap apa saja, saya reda. "Kalau nak tahu, ada juga rakan artis yang tak selesa dengan penampilan baru saya ini. Nampak saja saya, terus lari. Ada yang buat-buat tak nampak, tapi tak apalah. Nak buat macam mana. Saya beranggapan, semua itu adalah persepsi manusia terhadap manusia lain," dedahnya lagi. Penyanyi yang masyhur dengan lagu Kembali Lagi Di Sisimu ini juga mengakui dirinya sering berperang melawan nafsu dan keseimbangan iman. Apatah lagi untuk mengangkat kerjaya seninya sebagai mata pencarian utama. "Saya juga tahu antara muzik dan agama memang dua perkara berbeza. Apatah lagi saya perempuan. Lagi banyak batasan yang kena jaga. Sebab itu, bila ada pandangan serong sebegini, saya serahkan pada Tuhan. "Buat masa sekarang ini terlalu awal nak buka topik itu. Takut ada yang silap faham. Saya tak selesa nak ulas panjang lebar. Nanti-nantilah, saya cerita semula. "Cuma sekarang ini, saya ikut saja jalan yang ada di depan mata saya. Saya dah tak rancang apa-apa sebab saya yakin Tuhan sentiasa di sisi saya," katanya penuh pengertian. Bercerita tentang pengalaman yang membuatkan hatinya mahu berhijrah, Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 memberitahu, semuanya berlaku sewaktu memandu pulang dari menghadiri majlis pertunangan Farhan AF4. "Beberapa hari sebelum itu, saya sudah terima imbasan dosa-dosa masa lampau yang cukup menginsafkan. Tapi apabila ia berlaku sekali lagi sewaktu saya memandu, menambahkan lagi rasa kedu di hati. "Saya rasa cukup terhina dengan perbuatan masa lampau saya. Hati saya merintih sayu kerana terlalu lalai dan mengejar dunia sedangkan bekalan akhirat sedikit cuma," cerita Farah beremosi kesal dengan kesilapan diri sebelum ini. Pendidik RONA wajah Farah bertukar tatkala bercerita tentang haluan yang baru diceburi sehingga membuatkan keseluruhan hari yang ditempuhinya itu cukup bermakna. Bergelar guru perbahasan dan drama di Sekolah Sri Cempaka, Bukit Damansara Kuala Lumpur sejak 17 Mac lalu adalah satu tanggungjawab baru buat dirinya. Penyanyi lagu Berpisah Untuk Setia ini juga cukup teruja bercerita tentang keletah anak murid yang semakin manja dengannya setelah mengetahui dia adalah penyanyi tempatan. "Bergelar cikgu, mendidik kanak-kanak memang satu tugas cukup besar buat saya. Iyalah, saya mana ada pengalaman khusus dalam bidang perguruan, tapi saya suka kanak-kanak. Itu yang buat saya seronok. "Kalau nak tahu, ada macam-macam perangai anak murid saya. Kena bijak ambil hati mereka supaya mudah sikit nak ajar mereka. Melayan mereka dari pukul; 7.30 pagi hingga 4.30 petang memang tak rasa apa-apa," ceritanya. Ditanya bagaimana reaksi pertama anak-anak murid yang pasti tidak menyangka guru yang mengajar mereka itu adalah dari kalangan penyanyi tempatan, anak kelahiran Kuala Lumpur tergelak seketika. "Rata-rata mereka sangat teruja. Ada yang sampai Google saya di Internet. Tak sangka mereka bersungguh-sungguh nak tahu tentang saya. Itu belum lagi dengan permintaan menyanyi lagu-lagu Inggeris waktu kelas. "Hubungan kami juga rapat sehinggakan waktu makan pun, saya masih dikerumuni kanak-kanak. Macam-macam gelagat mereka. Boleh buat saya gelak berkali-kali," sambung Farah. Sengaja mengusik Pemegang Diploma Lanjutan Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing ini dengan soalan anak sendiri, membuatkan senyuman di wajahnya semakin melebar. "Opss... belum ada calon lagi. Kalau dah ada saya beritahu. Insya-Allah, kali ini lebih berhati-hati dalam pemilihannya. Saya mahukan seorang lelaki yang mukmin dan soleh pandang pada kemukminan dan kesolehan calon itu. Paling penting, dia boleh membimbing saya untuk ke syurga," harap Farah menutup perbualan penuh makna itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails