Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Fida dan Mamat Sepah. Show all posts
Showing posts with label Fida dan Mamat Sepah. Show all posts

Ya, kami sedang bercinta - Fida dan Mamat


KAMI memang sedang menjalinkan hubungan serius ketika ini,” ujar Mamat Sepah ketika diajukan soalan berkenaan hubungannya bersama seorang pelakon, Rafida Ibrahim atau Fida.

Ketika ini, kedua-dua artis terkenal ini memang sedang serius menjalinkan hubungan cinta.

Lebih-lebih lagi, apabila mereka saling senang dan menyukai dengan sifat yang ada pada diri masing -masing.

Menariknya, Mamat yang nama sebenarnya Mohd Noor Murad berkata, sikapnya terus berubah dan dia menjadi seorang yang lebih penyabar selepas berkawan dengan Fida.

“Saya serius berkawan dengannya dan saya dapati sikap saya mula berubah menjadi lebih baik selepas berkawan dengannya. Saya jadi lebih bersabar dalam apa jua keadaan bila melibatkan dirinya.

“Sebelum ini, jika saya menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana wanita, saya akan terus bawa wanita terbabit berjumpa sendiri dengan orang tua saya.

“Buat masa ini saya belum berkesempatan untuk membawa Fida berjumpa dengan kedua-dua orang tua saya di kampung, maklumlah masing-masing tengah sibuk.

“Terus-terang Fida adalah satu-satunya perempuan yang rapat berkawan dengan saya,. Kami banyak kongsi cerita susah dan senang bersamanya walaupun kami berdua saling sibuk dengan tugas masing-masing,” jelas Mamat ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fida turut akui dia mula terpikat dengan Mamat setelah melihat sendiri sikap lelaki tersebut yang cukup menghormati serta cukup bertanggungjawab terhadap orang tua dan keluarganya sendiri.

“Sebenarnya kami mula rapat dan saling mengenali hati masing-masing setelah bersama ketika promosi filem Man Sewel Datang KL iaitu sebelum dia menyertai Maharaja Lawak lagi.

“Selain sukakan sikapnya yang suka merendah diri, saya juga terpikat dengan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

“Terus-terang, hubungan kami memang di tahap serius. Tipulah kalau saya cakap kalau dah berkawan rapat ini saya tak terfikir untuk membawa hubungan ini ke tahap yang lebih lagi,” jelas Fida.

Tambah Fida, keserasian mereka berdua memang tidak boleh disangkal lagi, katanya Mamat juga seorang yang manja dan mempunyai sifat yang sensitif.

“Adakalanya Mamat mengeluarkan lawak-lawak yang kasar, saya susah nak terima dan terkejut, apa pun, saya akan cuba sesuaikan diri. Walaupun kami berdua dalam proses mengenali hati budi, saya amat tertarik dengan sikapnya yang amat pentingkan keluarga,” ujar Fida.

Mamat kahwin tahun depan?


ANGGOTA kumpulan Sepah, Mamat yang kini sedang menjalin hubungan intim bersama pelakon baru, Fida tidak menolak jika ditakdirkan ditemukan jodoh dengan pasangannya itu pada tahun depan.

Mamat atau Mohd Noor Murad, 26, berkata, dia bukan sahaja tidak menolak soal jodoh, sebaliknya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa dalam sebuah keluarga.

"Bagi saya jodoh ditentukan Allah. Kalau ditakdirkan tahun depan jodoh dah sampai, saya akan terimanya dengan hati terbuka. Saya sedia menerima ketentuan itu walaupun saya sedar ia satu tanggungjawab yang amat berat.

"Bukannya senang mahu memikul tanggungjawab sebagai suami. Berkahwin bukan untuk hidup berdua sahaja tetapi juga soal keluarga kedua belah pihak dan juga anak-anak.

"Apa pun, saya memang sudah bersedia berkahwin. Selepas berkenalan dengan Fida saya dapati ada keserasian antara kami berdua walaupun karakter kami yang agak berbeza. Saya seorang yang 'gila-gila' dan dia pula sopan santun orangnya.

"Saya rasa perbezaan itulah yang boleh 'menyeimbangkan' perhubungan kami. Malah, sehingga kini pun kami masih mengenali hati budi masing-masing," katanya kepada Hits sewaktu dihubungi kelmarin.

Menurut pelawak berasal dari Kampung Kulai, Johor ini, kesediaannya untuk mendirikan rumahtangga bukanlah perkara baru, sebaliknya sebelum dia berkenalan dengan Fida.

Jelas Mamat, sebelum berkenalan dengan Fida dia pernah berkawan rapat dengan penyanyi dan bassis kumpulan rock, Butterfly iaitu Nor Adha atau lebih dikenali sebagai Ada.

Bagaimanapun katanya, hubungan selama sembilan bulan yang dirancang untuk ke gerbang perkahwinan terputus di tengah jalan kerana tiada persefahaman lagi di antara mereka.

Mula rapat

"Saya harap dengan penjelasan ini terutama mereka yang menabur fitnah kononnya Fida perampas kekasih orang, hentikanlah kerja yang tidak berfaedah itu.

"Saya mula rapat dengan Fida setelah putus dengan Ada. Dalam soal ini tidak timbul merampas saya daripada sesiapa. Sebagai manusia saya ada naluri sendiri tentang siapa pasangan saya," ujarnya.

Tambah Mamat yang baru tiga tahun bergelar artis, dia tertarik dengan sifat lemah lembut Fida dan sikap prihatin terhadap dirinya di saat ramai orang tidak menyedarinya.

Antaranya kata juara pertandingan Maharaja Lawak itu, Fida merupakan orang pertama yang menyedari tandatangannya adalah dalam tulisan Jawi di mana ia tidak disedari oleh sesiapapun termasuklah ahli-ahli keluarganya sendiri.

"Fida adalah orang pertama yang perasan tandatangan saya dalam tulisan Jawi dan dia juga boleh membacanya. Tandangan itu saya cipta sejak saya di tingkatan lima Sekolah Agama Kulai," ceritanya.

Sementara itu, Fida yang ditemui tidak menafikan menyenangi sikap dan ciri-ciri kemelayuan yang dimiliki oleh Mamat sehingga hubungan mereka semakin intim akhir-akhir ini.

Hubungan itu bukan sahaja tidak menjadi rahsia lagi di kalangan para peminat dan media massa, malah kemesraan mereka itu dapat dilihat sewaktu rakaman rancangan Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini.

Semasa ditemui pada rakaman yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim tidak menafikan dia kini sedang dalam proses mengenali hati budi pelawak itu.

"Sebenarnya saya baru enam bulan mengenali Mamat. Hubungan kami kini semakin rapat. Kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Terus terang saya katakan, saya memang berminat untuk mengenalinya secara lebih dekat lagi," katanya.

Menurut pelakon drama bersiri Kasih Alia yang kini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3 ini, dia tidak menyangka perkenalan sebagai kawan biasa akhirnya menjadikan mereka semakin rapat.

Jelas Fida, dia tertarik dengan Mamat kerana jejaka tinggi lampai itu mempunyai banyak ciri-ciri kemelayuan yang menjadi idamannya selama ini.

"Saya dapati Mamat seorang lelaki yang jujur. Sebab itu, pada awal perkenalan kami, saya memberi ruang dan peluang dia mendekati saya. Kami berkenalan terlebih dahulu. Semakin lama saya mengenalinya, saya dapati dia mempunyai banyak ciri kemelayuan.

"Antaranya, saya tertarik dengan tandatangannya yang ditulis dalam tulisan Jawi. Jarang saya tengok lelaki sekarang yang menulis tandatangan dalam tulisan Jawi. Sekarang ini kami terus berhubung melalui telefon dan SMS (khidmat pesanan ringkas)," ujarnya.

Hubungan itu katanya, secara tidak langsung akan menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang akan disambut bersama keluarganya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Fida yang sebelum ini pernah berlakon dalam drama popular Cinta Tikar Sejadah bersama Farid Kamil berkata, dia sudahpun membuat persiapan raya lebih awal termasuklah membeli pakaian raya.

"Saya sudah beli pakaian raya sejak awal puasa lagi tetapi kalau saya rasa tidak cukup saya akan beli lagi. Ini kerana saya mahu bercuti raya lebih awal. Tahun ini, saya akan bercuti sehingga raya yang kelima," kata Fida yang akan ke lokasi drama Amin Roger-Roger pada raya keenam.

Sewaktu pertemuan itu, Fida dan Mamat tidak menolak ditemu bual dalam rancangan Melodi Raya yang akan disiarkan pada Hari Raya yang keenam dan ke-13 pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang di mana ia turut dijayakan hampir 500 artis popular tanah air.

Fida jawab isu peluk dan cinta Mamat


KEBIASAANNYA artis yang menutup aurat jarang dilihat tampil di dalam kaca televisyen melakukan adegan berpelukan mahupun berpegangan tangan. Namun, bagi pendatang baru industri lakonan, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk sejak awal dia memasuki industri ini beberapa tahun lalu.

Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3.

Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi.

"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat sedih.

"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami berpelukan, namun pada hakikatnya tidak. Tapi bila perkara-perkara sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpuri itu yang mengatakan semua ini dipelajari dari kesilapan lalu.

Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah. Katanya, sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah.

Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur beberapa kali dan pernah juga dimarahi.

Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu tidak memeluknya erat.

"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa.

"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas," jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.

Apa yang pasti, jika pernah mengenali dan berjumpa dengan juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini, dia agak terbuka jika dibanding dengan aktres muda muslimah yang lain. Fida tidak kisah untuk bersalaman dan bergambar rapat bersama lelaki.

Menjawab persoalan tersebut, Fida yang ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini menjelaskan, pada pendapat dirinya, apabila seseorang menghulurkan tangan untuk bersalaman, jika kita menolak ia ibarat mengaibkan lelaki itu di hadapan orang ramai yang terlihat.

"Memang perkara seperti itu tidak patut berlaku, namun bagi pendapat Fida, banyak lagi perkara lain yang kita perlu ikut dan rasanya ini bukanlah perkara besar.

"Ini kerana, banyak lagi perkara berat yang kita perlu dititikberatkan. Cuma, jika perkara sebegini berlaku, janganlah kita terlalu ingin menjaga maruah dan tatasusila sehingga mengaibkan orang lain," ujar Fida jujur mengakui perkara yang dilakukannya.

Serius dengan Mamat

Cerita cinta Fida dan Mamat dari Kumpulan Sepah bukanlah perkara baharu yang perlu disorokkan lagi. Walaupun begitu, kisah percintaan mereka masih kabur dan tidak begitu jelas memandangkan kedua-duanya tidak memberikan jawapan yang pasti sebelum ini dan hanya gambar dan khabar angin yang tersiar dalam laman web.

Namun, baru-baru ini, Mamat sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia mahu merisik Fida untuk dijadikan isteri. Namun, bagi Fida, seperti perjalanan kariernya yang masih baharu, begitu juga perhubungannya bersama Mamat.

Ujarnya, tempoh enam bulan merupakan tempoh yang masih segar dalam sesebuah perhubungan dan mereka berdua telah mengambil kata sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.

"Saya akui dia lelaki yang paling rapat dengan saya setakat ini. Tapi kami ingin kenal dengan lebih dekat lagi. Fida tertarik dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh Mamat.

"Oleh itu, Fida beri peluang kepada dirinya dan diri Fida sendiri ruang untuk mengenali diri masing-masing. Sebelum ini juga, Fida tidak pernah dikaitkan dengan sesiapa," tutur Fida sambil tersenyum manis saat berbicara mengenai kisah cintanya.

Katanya dia tertarik dengan Mamat kerana walaupun perangainya yang mungkin gila-gila, namun dia punyai satu bahagian lain yang menampilkan ciri-ciri kemelayuan.

Diambil sebagai contoh, semasa membuat promosi filem terbaharu mereka, Fida tertarik dengan tandatangan yang diturunkan oleh Mamat yang dtulis dalam tulisan jawi. Pertama kali terlihat seorang artis berbuat begitu, hatinya terus terpaut meminati jejaka tinggi lampai itu.

Fida & Mamat (Sepah) Mengaku Kawan Rapat


KUALA LUMPUR: Pelakon Fida Ibrahim dan pelawak Mamat (Sepah) mengaku mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain.

Fida ketika ditemui di majlis rakaman program Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akui menyenangi sikap Mamat yang lebih mementingkan keluarga dalam hidupnya.

"Saya dan Mamat berkawan rapat hampir enam bulan lalu. Saya suka berkawan dengannya setelah melihat banyak keistimewaan dalam dirinya.

"Antara ramai artis lelaki, saya tertarik dengan cara dia menandatangani autograf kepada peminat dengan menggunakan tulisan jawi dan selepas memenangi Maharaja Lawak baru-baru ini, dia terus pulang ke kampung untuk bertemu keluarga berbanding mengutamakan orang lain.

"Jadi, kualiti yang ada itu membuatkan saya selesa untuk berkawan dengannya, namun hubungan kami masih baru untuk mengatakan kami bercinta atau tidak," jelas Fida.

Menurutnya, hubungan mereka mula mesra selepas kerap kali bertemu untuk menjayakan promosi filem “Man Sewel Datang KL” pada bulan Mac tahun ini.

"Saya tak nafikan, sejak dari itu kami pernah keluar bersama-sama tetapi ditemani oleh pembantu peribadi masing-masing.

"Kami juga sering berhubung melalui BlackBerry Messenger (BBM). Saya serius berkawan dengannya cuma tentang jodoh kita belum tahu," ujar Fida.

Sebelum ini, Fida akui pernah berkawan dengan Zizan (Raja Lawak). Ditanya sama ada kriteria lelaki pilihannya adalah seorang yang kelakar, jelas Fida: "Saya suka pelawak kerana seronok berkawan dengan mereka yang kadangkala berbeza karakter di luar berbanding yang kita tengok di televisyen."
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails