Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Hunny Madu. Show all posts
Showing posts with label Hunny Madu. Show all posts
Status Ibu Tidak Halang Hunny Madu Nyanyi Lagu Rap
Penyampai radio dan penyanyi Hunny Madu sedar keputusannya untuk memperjuangkan irama Rap dan Hip Hop akan dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana statusnya sebagai seorang ibu.
Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 30, berkata, biarpun ada beranggapan dia tidak sesuai membawakan genre berkenaan namun dia mahu membuktikan pandangan itu silap dan wanita sepertinya mampu bersaing didalam bidang yang dipelopori oleh penyanyi rap lelaki.
"Sejak awal saya sedar keputusan saya untuk bergerak aktif sebagai penyanyi rap akan dipertikaikan hanya kerana saya seorang ibu.
"Tetapi saya mahu mengubah pandangan itu dan sebagai wanita sudah berkeluarga saya mampu menjadi ibu dan pada masa sama mengejar cita-cita saya," katanya kepada mStar Online.
Hunny ditemui pada sidang media pelancaran single duetnya bersama Kayda berjudul Go Hard or Gostan dan Gucci Dowh secara digital di pejabat Warner Music Malaysia di sini, Selasa.
Pada majlis sama, Hunny dan Madu turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat tersebut bagi mempromosikan dua single berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Darren Choy.
Dalam pada itu, Hunny berkata, dia turut melontarkan pandangannya mengenai tanggapan masyarakat terhadap ibu yang berkerjaya menerusi lagu Go Hard or Gostan bagi memberi gambaran sebenar kepada pendengar.
Jelas Hunny, sebagai wanita dia terpanggil untuk bercakap mengenai perkara itu di dalam lagunya agar dapat memberi inspirasi kepada kaum wanita lain.
"Status bukan penghalang untuk seseorang mengejar cita-cita asalkan mereka tahu batasan dan mesej itu saya cuba sampaikan dalam lagu berkenaan," katanya.
Sementara itu, Hunny berkata, dia dan Kayda teruja dengan kolaborasi bersama Warner Music yang disifatkan satu penghargaan buat mereka berdua dan berharap perjuangan muzik mereka akan mendapat perhatian ramai.
"Sebelum ini kami banyak bergerak secara indie dan tidak menyangka Warner Music melihat potensi kami untuk diketengahkan dalam industri arus perdana.
"Biarpun tidak mengikat kontrak sebagai artis dibawah naungan mereka namun kerjasama dalam mempromosikan dua single kami adalah satu penghargaan kepada usaha kami berdua selama ini," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Hunny berkata, dia sangat menyenangi bekerjasama sengan Kayda yang juga anak kepada penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid itu kerana mereka mempunyai persefahaman tentang muzik.
Kata Hunny lagi, biarpun Kayda masih baharu dan muda tetapi pengetahuannya tentang industri cukup luas dan matang.
"Dia dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai latar belakang bidang muzik malah ibu bapanya juga antara dihormati jadi banyak ilmu yang sudah ada padanya.
"Kami juga serasi dalam proses kreatif seperti menulis lirik dan mencipta melodi untuk muzik kami," ujarnya.
Waktu tepat Hunny & Kayda
SEDIKIT pun tidak wujud penyesalan. Yang pasti, kedua-duanya bersatu dan berbangga membawa panji-panji feminisme menerobos masuk ke dalam dunia muzik hip hop yang didominasi kaum lelaki.
Bukan mahu tunjuk lagak atau cuba memperlekehkan penyanyi hip hop lelaki tetapi ada benarnya apabila Hunny Madu menyuarakan bahawa dalam ruang muzik genre itu, tidak ramai penyanyi wanita yang benar-benar mampu menyanyi rap sekali gus menjadi penyanyi hip hop.
Apabila ada saja penyanyi wanita yang mahu menonjolkan bakat mereka menerusi muzik ini percayalah, tidak ada yang mampu bertahan lama lantaran tertekan dengan pandangan skeptikal majoriti masyarakat kita yang menganggap hip hop bukan untuk wanita.
Cara paling mudah dan selamat, beralih kepada genre muzik lain yang senang kedengaran di hujung telinga. Tidak rugi duit, tidak rugi masa.
Bagaimanapun keinginan untuk mengalah bukan sesuatu yang menjadi pilihan bagi Hunny dan Kayda Aziz.
Hadir dengan lagu Go Hard Or Gostan, pujian wajar diberikan kepada Hunny dan Kayda kerana memberi kelainan menerusi muzik yang dibawa dengan cara yang tersendiri.
Paling penting mereka semakin diterima dan 'menang' di hati pendengar tegar muzik ini yang rata-ratanya bersetuju dan yakin bahawa dua wanita ini mampu menggegarkan ruang muzik hip hop tanah air.
Bukan berangan mahu menjadi seperti Missy Elliot, Lil'Kim, Lauryn Hill atau Nicki Minaj tetapi bagi mereka, cukuplah sekadar orang tahu bahawa rencah muzik Hunny Madu dan Kayda Aziz masih mudah dihadam mengikut cara dan budaya orang kita.
Rap 'mak orang' - Hunny Madu
Wanita berusia 30 tahun ini bukan orang baru dalam industri hiburan tanah air. Namun tidak dinafikan, Hunny sebenarnya lebih popular sebagai penyampai radio jika dibandingkan dengan nyanyian dan penulisan lagu.
Hal itu diakui sendiri oleh Hunny yang telah berkecimpung dalam dunia seni hampir 10 tahun. Berkongsi mengenai kemunculan semulanya sebagai penyanyi rap kata Hunny, dia lega kerana sekarang tidak lagi terikat dengan komitmen bersama-sama radio bagi membolehkan dirinya memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian.
Menurut Hunny, dia berbangga kerana peluang itu datang dan segala-galanya umpama dipermudahkan oleh-Nya apabila Kayda hadir dengan tawaran untuk berduet untuk lagu tersebut.
"Saya dengan Kayda sebenarnya sudah kenal lama. Semasa itu umur saya 21 tahun dan dia masih di bangku sekolah. Dari dulu saya tahu dia memang berbakat dalam nyanyian rap sebab pernah dengar dia menyanyi.
"Tetapi sikit pun dia tak buka mulut mengenai siapa ibu dan ayahnya. Apabila dia bawa saya jumpa kedua-dua orang tuanya, terperanjat saya apabila dapat tahu ibunya adalah Sheila Majid dan ayahnya Roslan Aziz," katanya.
Celoteh Hunny lagi, dia sedar apabila berkerjasama untuk projek Mix Tape yang mengandungi single Go Hard or Gostan ini pasti ada yang mendakwa dia sengaja menghimpit dan 'mempergunakan' Kayda kerana mengetahui dirinya anak orang berpengaruh dalam dunia muzik negara namun dia tidak berkecil hati.
Baginya itu sekadar satu dakwaan kosong kerana hakikatnya bukan senang meraih persetujuan Sheila Majid untuk membenarkan Kayda terlibat dalam dunia muzik apalagi untuk menghasilkan lagu.
"Kalau bukan kerana saya memang sudah kenal lama dengan keluarganya, sukar juga projek Mix Tape ini dijayakan sebab Sheila tak akan lepaskan anaknya kepada orang yang dia tak percaya. Bagi saya Shiela tegas dalam bab ini sebab dia sudah masak dengan dunia hiburan," ujarnya.
Bercerita lanjut kata Hunny, biarpun tahu akan ada suara-suara sumbang yang akan memperlekehkan kemunculan semulanya sebagai penyanyi rap, Hunny senang mengambil jalan untuk tidak terlalu memikirkan soal itu kerana baginya dia ada misi dalam perjuangan ini.
Tahu orang akan menyindir dirinya yang kini berstatus ibu tetapi menyanyi rap, Hunny optimis menganggap itu tidak lebih daripada sekadar satu jenaka dan dia sudah lama bersedia untuk menjawab cakap-cakap itu.
"Sebab itulah dalam lirik lagu itu saya ada sebut pasal hal ini. Betul saya sekarang sudah jadi 'mak orang', mungkinlah ada yang kata tak sesuai nak menyanyi rap. Tapi kalau dilihat, terdapat ramai wanita yang sudah berkeluarga dan punya anak masih bekerja.
"Apa yang saya buat ini juga satu pekerjaan. Cuma bidang saya ialah nyanyian. Bagi saya tak ada salahnya kalau seorang wanita berstatus ibu macam saya menyanyi rap sebab saya masih jaga batas saya sebagai seorang isteri dan ibu. Jadi usahlah mempertikaikannya," ujar Hunny. Dalam pada itu kata ibu kepada Eva Medina,2, tahu ini waktu yang tepat untuk dia dan Kayda hadir sebagai penyanyi hip hop.
"Kami mahu membuka mata umum yang wanita juga boleh menyanyi rap dengan imej yang berbeza. Selama ini ramai yang fikir wanita tak sesuai bawa genre hip hop sebab tak sopan. Imej selekeh, kasar, ganas. Pendek kata semuanya negatif.
"Itu kalau di Barat. Selagi boleh kami mahu menyanyi rap dengan gaya lebih feminin dan sesuai dengan masyarakat kita. Lagu kami pun tak semuanya dalam bahasa Inggeris. Kami menyanyikan rap dalam Bahasa Melayu dan diselit mesej yang bersih dan positif.
"Muzik kami ini tidak kosong. Sebab itu saya sangat berharap pendengar dan peminat beri peluang untuk kami buktikan bahawa masih ada pelapis penyanyi rap wanita di negara ini yang sama-sama mengangkat muzik hip hop tanah air," katanya yang bangga dengan peningkatan dan penerimaan ramai terhadap muzik genre ini. Anak Sheila
Anak Sheila boleh raplah! - Kayda
Sukar menjadi anak orang popular lantaran serba serbi menjadi perhatian. Sudah tentu Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda, 22, menerima tempias itu.
Merupakan anak orang seni berpengaruh dalam negara, Kayda tentunya awal-awal lagi sudah terkena pertanyaan klise yang mengaitkan nama ibu mahupun bapanya sepanjang usaha mahu berdiri di atas tapak kaki sendiri sebagai seorang penyanyi.
Namun bagi Kayda, perjalanan seninya bukan senang biarpun orang melihat peluang itu amat mudah diraih berdasarkan profil latar belakangnya. "Sejak di bangku sekolah, saya sudah tahu ke mana arah tuju saya. Dunia muzik bukan satu perkara asing bagi saya sebab ibu dan ayah saya juga orang seni. Disebabkan mereka orang senilah maka saya tidak mudah mendapat persetujuan mereka untuk terjun ke dalam dunia hiburan.
"Susah untuk meyakinkan mereka. Ibu terutamanya, dia cukup tegas. Dia tahu saya memang sudah berjinak-jinak dengan dunia muzik, hip hop khususnya, sejak saya berusia belasan tahun lagi.
"Kalau ikutkan, sejak usia 13 tahun lagi saya nak menyanyi. Tetapi niat saya itu dihalang oleh kedua orang tua atas alasan saya masih bersekolah dan mereka mahu saya tumpu kepada pelajaran.
"Cuma sekitar tahun lepas saya barulah saya dapat lampu hijau daripada mereka selepas melihat saya bersungguh-sungguh serius dalam bidang ini. Itupun dengan beberapa syarat," jelasnya.
Menurut Kayda yang juga terlibat dalam penghasilan lirik dan lagu, dia bersyukur kerana perjalanan seninya ini direstui oleh orang tuanya dan itu sudah cukup untuk menjadi penguat semangat buat dirinya. Cuma sebagai anak Sheila Majid dan Roslan Aziz, dia tentunya awal-awal lagi sudah dipesan dengan seribu macam nasihat yang dia tahu semua adalah demi kebaikan masa depannya. "Paling utama mereka pesan, kalau nak buat, kena betul-betul. Tak boleh separuh jalan. Mereka mahu saya gembira dan buat perkara yang menggembirakan jiwa saya.
"Saya sudah bersedia untuk menempuh segala cabaran dalam dunia hiburan. Saya tahu orang akan bercakap mengenai saya anak Sheila Majid, dia Ratu Jazz tiba-tiba saya pula jadi penyanyi hip hop. Ya, dari satu sudut mungkin itu memberi tekanan kepada saya sebab orang melihat bayangbayang orang tua saya.
"Itu sebahagian cabarannya. Cuma saya perlu kuat untuk mengharungi semua itu. Bagi saya tidak ada salahnya menjadi sesuatu yang berbeza sebab ini pilihan saya. Jazz atau tidak, orang masih akan tetap bercakap itu dan mengaitkan saya dengan ibu. "Saya boleh menyanyikan lagu jazz dan genre lain. Cuma minat saya lebih kepada hip hop. Dari dulu memang saya mahu menyanyikan lagu rap dan saya juga suka terlibat dalam persembahan," katanya yang turut meminati kumpulan Too Phat. Memegang kepercayaan yang diberikan oleh kedua orang tuanya kata Kayda, seperti Hunny, dia juga mahu membuktikan kepada semua bahawa penglibatannya dalam dunia muzik bukanlah semata-mata mahu memeriahkan industri. Tetapi kehadirannya adalah dengan misi dan perjuangan sebagai pelapis penyanyi rap yang mengekalkan ciri feminisme dalam ideologi muzik sebaris dengan artis rap yang telah terlebih dahulu menempa kejayaan.
Hunny Madu Lupakan Bidang Nyanyian
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Fly FM, Hunny Madu berkata kesibukan di studio radio dan penglibatannya sebagai pengacara program televisyen memaksa dia untuk mengetepikan kerjaya muzik pada waktu ini.
Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 28, berkata, bidang muzik tidak lagi menjadi keutamaannya ketika ini kerana tidak mampu mengimbangi komitmen sebagai penyampai radio, pengacara dan penyanyi secara serentak.
“Ketika saya mengeluarkan album sulung Pulau Janji pada Jun tahun lalu, saya belum hamil dan komitmen kerja juga tidak sebanyak sekarang. Kini saya akui tidak mampu mengimbangi waktu untuk melakukan pelbagai kerja dalam masa serentak.
“Buat masa ini, biarlah saya ketepikan dulu bidang muzik dan tumpukan pada radio dan televisyen sahaja, apatah lagi dalam keadaan sarat mengandung ini,” katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis rumah terbuka Hari Raya stesen radio itu di sini.
Hunny yang juga pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 berkata, dia tidak berasa rugi atau terkilan dengan keputusan itu memandangkan kerjaya nyanyian dilihat seakan kurang memberangsangkan.
“Saya tidak berasa rugi atau kesal pun, malah saya tidak kisah dengan keputusan ini. Selepas setahun melancarkan album itu, seolah-olah tiada jalan untuk saya mengembang dan mempromosikannya selain di Fly FM sahaja.
“Stesen radio lain juga tidak memberikan sokongan kerana status saya sebagai penyampai di Fly FM. Ia membuatkan saya tawar hati dengan pelbagai halangan yang berlaku,” katanya.
Mengenai kandungannya yang kini mencecah enam bulan, Hunny berkata, dia berasa tenteram dan gembira dengan fasa kehamilan ini berbanding tempoh tiga bulan pertama dulu.
“Alhamdulillahlah, tenaga saya banyak dan saya melakukan pelbagai perkara seperti biasa, walaupun cepat letih. Kini saya berasa teruja berbanding fasa tiga bulan pertama.
“Ketika awal kehamilan, saya sengaja merahsiakannya kepada umum kerana tidak mahu kecoh-kecoh sehingga ia mencecah bulan keempat dan benar-benar stabil.
“Jika diizinkan, saya akan terus bekerja sehingga menghampiri minggu-minggu terakhir untuk bersalin yang dijangka pada Disember depan,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
