Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Waktu tepat Hunny & Kayda

SEDIKIT pun tidak wujud penyesalan. Yang pasti, kedua-duanya bersatu dan berbangga membawa panji-panji feminisme menerobos masuk ke dalam dunia muzik hip hop yang didominasi kaum lelaki. Bukan mahu tunjuk lagak atau cuba memperlekehkan penyanyi hip hop lelaki tetapi ada benarnya apabila Hunny Madu menyuarakan bahawa dalam ruang muzik genre itu, tidak ramai penyanyi wanita yang benar-benar mampu menyanyi rap sekali gus menjadi penyanyi hip hop. Apabila ada saja penyanyi wanita yang mahu menonjolkan bakat mereka menerusi muzik ini percayalah, tidak ada yang mampu bertahan lama lantaran tertekan dengan pandangan skeptikal majoriti masyarakat kita yang menganggap hip hop bukan untuk wanita. Cara paling mudah dan selamat, beralih kepada genre muzik lain yang senang kedengaran di hujung telinga. Tidak rugi duit, tidak rugi masa. Bagaimanapun keinginan untuk mengalah bukan sesuatu yang menjadi pilihan bagi Hunny dan Kayda Aziz. Hadir dengan lagu Go Hard Or Gostan, pujian wajar diberikan kepada Hunny dan Kayda kerana memberi kelainan menerusi muzik yang dibawa dengan cara yang tersendiri. Paling penting mereka semakin diterima dan 'menang' di hati pendengar tegar muzik ini yang rata-ratanya bersetuju dan yakin bahawa dua wanita ini mampu menggegarkan ruang muzik hip hop tanah air. Bukan berangan mahu menjadi seperti Missy Elliot, Lil'Kim, Lauryn Hill atau Nicki Minaj tetapi bagi mereka, cukuplah sekadar orang tahu bahawa rencah muzik Hunny Madu dan Kayda Aziz masih mudah dihadam mengikut cara dan budaya orang kita. Rap 'mak orang' - Hunny Madu Wanita berusia 30 tahun ini bukan orang baru dalam industri hiburan tanah air. Namun tidak dinafikan, Hunny sebenarnya lebih popular sebagai penyampai radio jika dibandingkan dengan nyanyian dan penulisan lagu. Hal itu diakui sendiri oleh Hunny yang telah berkecimpung dalam dunia seni hampir 10 tahun. Berkongsi mengenai kemunculan semulanya sebagai penyanyi rap kata Hunny, dia lega kerana sekarang tidak lagi terikat dengan komitmen bersama-sama radio bagi membolehkan dirinya memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian. Menurut Hunny, dia berbangga kerana peluang itu datang dan segala-galanya umpama dipermudahkan oleh-Nya apabila Kayda hadir dengan tawaran untuk berduet untuk lagu tersebut. "Saya dengan Kayda sebenarnya sudah kenal lama. Semasa itu umur saya 21 tahun dan dia masih di bangku sekolah. Dari dulu saya tahu dia memang berbakat dalam nyanyian rap sebab pernah dengar dia menyanyi. "Tetapi sikit pun dia tak buka mulut mengenai siapa ibu dan ayahnya. Apabila dia bawa saya jumpa kedua-dua orang tuanya, terperanjat saya apabila dapat tahu ibunya adalah Sheila Majid dan ayahnya Roslan Aziz," katanya. Celoteh Hunny lagi, dia sedar apabila berkerjasama untuk projek Mix Tape yang mengandungi single Go Hard or Gostan ini pasti ada yang mendakwa dia sengaja menghimpit dan 'mempergunakan' Kayda kerana mengetahui dirinya anak orang berpengaruh dalam dunia muzik negara namun dia tidak berkecil hati. Baginya itu sekadar satu dakwaan kosong kerana hakikatnya bukan senang meraih persetujuan Sheila Majid untuk membenarkan Kayda terlibat dalam dunia muzik apalagi untuk menghasilkan lagu. "Kalau bukan kerana saya memang sudah kenal lama dengan keluarganya, sukar juga projek Mix Tape ini dijayakan sebab Sheila tak akan lepaskan anaknya kepada orang yang dia tak percaya. Bagi saya Shiela tegas dalam bab ini sebab dia sudah masak dengan dunia hiburan," ujarnya. Bercerita lanjut kata Hunny, biarpun tahu akan ada suara-suara sumbang yang akan memperlekehkan kemunculan semulanya sebagai penyanyi rap, Hunny senang mengambil jalan untuk tidak terlalu memikirkan soal itu kerana baginya dia ada misi dalam perjuangan ini. Tahu orang akan menyindir dirinya yang kini berstatus ibu tetapi menyanyi rap, Hunny optimis menganggap itu tidak lebih daripada sekadar satu jenaka dan dia sudah lama bersedia untuk menjawab cakap-cakap itu. "Sebab itulah dalam lirik lagu itu saya ada sebut pasal hal ini. Betul saya sekarang sudah jadi 'mak orang', mungkinlah ada yang kata tak sesuai nak menyanyi rap. Tapi kalau dilihat, terdapat ramai wanita yang sudah berkeluarga dan punya anak masih bekerja. "Apa yang saya buat ini juga satu pekerjaan. Cuma bidang saya ialah nyanyian. Bagi saya tak ada salahnya kalau seorang wanita berstatus ibu macam saya menyanyi rap sebab saya masih jaga batas saya sebagai seorang isteri dan ibu. Jadi usahlah mempertikaikannya," ujar Hunny. Dalam pada itu kata ibu kepada Eva Medina,2, tahu ini waktu yang tepat untuk dia dan Kayda hadir sebagai penyanyi hip hop. "Kami mahu membuka mata umum yang wanita juga boleh menyanyi rap dengan imej yang berbeza. Selama ini ramai yang fikir wanita tak sesuai bawa genre hip hop sebab tak sopan. Imej selekeh, kasar, ganas. Pendek kata semuanya negatif. "Itu kalau di Barat. Selagi boleh kami mahu menyanyi rap dengan gaya lebih feminin dan sesuai dengan masyarakat kita. Lagu kami pun tak semuanya dalam bahasa Inggeris. Kami menyanyikan rap dalam Bahasa Melayu dan diselit mesej yang bersih dan positif. "Muzik kami ini tidak kosong. Sebab itu saya sangat berharap pendengar dan peminat beri peluang untuk kami buktikan bahawa masih ada pelapis penyanyi rap wanita di negara ini yang sama-sama mengangkat muzik hip hop tanah air," katanya yang bangga dengan peningkatan dan penerimaan ramai terhadap muzik genre ini. Anak Sheila Anak Sheila boleh raplah! - Kayda Sukar menjadi anak orang popular lantaran serba serbi menjadi perhatian. Sudah tentu Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda, 22, menerima tempias itu. Merupakan anak orang seni berpengaruh dalam negara, Kayda tentunya awal-awal lagi sudah terkena pertanyaan klise yang mengaitkan nama ibu mahupun bapanya sepanjang usaha mahu berdiri di atas tapak kaki sendiri sebagai seorang penyanyi. Namun bagi Kayda, perjalanan seninya bukan senang biarpun orang melihat peluang itu amat mudah diraih berdasarkan profil latar belakangnya. "Sejak di bangku sekolah, saya sudah tahu ke mana arah tuju saya. Dunia muzik bukan satu perkara asing bagi saya sebab ibu dan ayah saya juga orang seni. Disebabkan mereka orang senilah maka saya tidak mudah mendapat persetujuan mereka untuk terjun ke dalam dunia hiburan. "Susah untuk meyakinkan mereka. Ibu terutamanya, dia cukup tegas. Dia tahu saya memang sudah berjinak-jinak dengan dunia muzik, hip hop khususnya, sejak saya berusia belasan tahun lagi. "Kalau ikutkan, sejak usia 13 tahun lagi saya nak menyanyi. Tetapi niat saya itu dihalang oleh kedua orang tua atas alasan saya masih bersekolah dan mereka mahu saya tumpu kepada pelajaran. "Cuma sekitar tahun lepas saya barulah saya dapat lampu hijau daripada mereka selepas melihat saya bersungguh-sungguh serius dalam bidang ini. Itupun dengan beberapa syarat," jelasnya. Menurut Kayda yang juga terlibat dalam penghasilan lirik dan lagu, dia bersyukur kerana perjalanan seninya ini direstui oleh orang tuanya dan itu sudah cukup untuk menjadi penguat semangat buat dirinya. Cuma sebagai anak Sheila Majid dan Roslan Aziz, dia tentunya awal-awal lagi sudah dipesan dengan seribu macam nasihat yang dia tahu semua adalah demi kebaikan masa depannya. "Paling utama mereka pesan, kalau nak buat, kena betul-betul. Tak boleh separuh jalan. Mereka mahu saya gembira dan buat perkara yang menggembirakan jiwa saya. "Saya sudah bersedia untuk menempuh segala cabaran dalam dunia hiburan. Saya tahu orang akan bercakap mengenai saya anak Sheila Majid, dia Ratu Jazz tiba-tiba saya pula jadi penyanyi hip hop. Ya, dari satu sudut mungkin itu memberi tekanan kepada saya sebab orang melihat bayangbayang orang tua saya. "Itu sebahagian cabarannya. Cuma saya perlu kuat untuk mengharungi semua itu. Bagi saya tidak ada salahnya menjadi sesuatu yang berbeza sebab ini pilihan saya. Jazz atau tidak, orang masih akan tetap bercakap itu dan mengaitkan saya dengan ibu. "Saya boleh menyanyikan lagu jazz dan genre lain. Cuma minat saya lebih kepada hip hop. Dari dulu memang saya mahu menyanyikan lagu rap dan saya juga suka terlibat dalam persembahan," katanya yang turut meminati kumpulan Too Phat. Memegang kepercayaan yang diberikan oleh kedua orang tuanya kata Kayda, seperti Hunny, dia juga mahu membuktikan kepada semua bahawa penglibatannya dalam dunia muzik bukanlah semata-mata mahu memeriahkan industri. Tetapi kehadirannya adalah dengan misi dan perjuangan sebagai pelapis penyanyi rap yang mengekalkan ciri feminisme dalam ideologi muzik sebaris dengan artis rap yang telah terlebih dahulu menempa kejayaan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails