Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ika Nabila. Show all posts
Showing posts with label Ika Nabila. Show all posts
Mereka memang biadab - Ika Nabella
Laman sosial mempunyai pengaruh yang amat besar terutamanya melibatkan perkongsian sesuatu perkara. Namun, niat ikhlas berkongsi adakalanya disalah erti sehingga mampu mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
Artis memang banyak menggunakan ruang sosial Instagram untuk berkongsi gambar, tetapi adakalanya, gambar yang dikongsi itu memakan diri mereka sendiri.
Banyak kes artis bergaduh dengan peminat antaranya Nabila Huda dan Nelydia Senrose.
Baru-baru ini, pelakon, Ika Nabella turut menerima tempias yang sama. Gambar yang dikongsi di Instagram telah disalah erti hingga tercetus komen menghina oleh mereka yang mengikuti akaun Instagram pelakon ini.
Kebetulan bersua muka dengannya baru-baru ini, wartawan Hits, Muhammad Azrul Mohd. Radi bertanyakan tentang isu ini kepada empunya diri.
Hits: Apa sebenarnya yang berlaku?
Ika: Sebenarnya, gambar yang saya muat naik itu adalah percutian saya baru-baru ini di Krabi, Thailand. Kemudian ada satu gambar saya ambil dalam air bersama dengan ikan, kemudian ada komen menghina saya minta gambar saya berbogel dimuat naik.
Hits: Mungkin pakaian Ika yang terlalu menjolok mata ketika itu?
Ika: Apa gambar yang menjolok mata? Setahu saya, saya ambil gambar saya ketika di pantai bukannya dengan berpakaian bikini. Malah, gambar saya sebelum ini pun bukannya ada yang memaparkan saya memakai bikini di pantai. Saya pakai pakaian renang untuk menyelam dan saya rasa itu pakaian yang sesuai dan tidak seksi. Saya akui saya pun tidaklah sebaik mana tetapi saya tahu apa yang saya lakukan.
Hits: Apa perasaan Ika ketika membaca komen itu?
Ika: Saya rasa perbuatan mereka sangat biadab. Malah, perbuatan mereka itu ibarat penghinaan. Saya tidak kacau pun hidup mereka. Tetapi kalau orang itu sudah biadab dengan saya, macam mana saya hendak beradab dengan mereka.
Hits: Tidakkah Ika merasakan tindakan memuat naik naik gambar anjing itu sebenarnya mengapi-apikan lagi keadaan yang sedia ada?
Ika: Tidak. Saya muat naik gambar anjing itu sebenarnya sebagai pengajaran kepada mereka yang biadab. Saya boleh sahaja buang gambar itu tapi saya biarkan sebagai pengajaran buat mereka supaya tidak melakukan perbuatan biadab itu lagi. Ada sesetengah orang yang saya sudah halang dan ada yang saya biarkan. Mungkin menghentam orang tanpa usul periksa memberi kepuasan kepada mereka, jadi saya biarkan sahajalah.
Hits: Kontroversi imej sosial Ika sebelum ini membuatkan pandangan masyarakat menjadi stereotaip, komen Ika?
Ika: Kalau kita tidak kenal seseorang, kita jangan cepat melatah dan terus menghukum. Itu yang utama sebenarnya. Kebanyakan orang yang hentam ini tidak kenal pun siapa saya secara personal tetapi komen mereka bukan main. Sebab itu saya cakap, jangan terlalu cepat menghukum. Orang yang kenal saya secara personal semua tiada masalah dengan saya. Malah, keluarga saya sendiri tidak pernah menghukum atas apa yang saya lakukan sebab mereka kenal saya dan tahu saya bagaimana.
Hits: Boleh kongsi perkembangan terbaru Ika?
Ika: Filem pertama lakonan Ika, Tanda Putera telah ditayang di pawagam sejak 29 Ogos lalu. Bangga sebenarnya dapat berlakon dalam filem patriotik apatah lagi berada di bawah bimbingan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Banyak yang saya pelajari daripadanya. Kerjaya nyanyian pula, selepas single saya, Tiada Rasa ke udara hingga kini belum ada apa-apa perancangan. Mungkin fokus pada kerjaya lakonan dahulu.
Becok punca Ika jadi deejay
TANPA pengalaman, latar belakang pengacaraan ataupun menjadi pengacara majlis perkahwinan, tiba-tiba sahaja nama pelakon serta bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Ika Nabila diumumkan sebagai penyampai radio di Era FM.
Perkara itu disahkan Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran. Bukan Ika Nabila seorang, bahkan seorang lagi penyanyi yang juga bekas peserta AF, Aril juga kini secara rasmi bergelar penyampai baharu atau deejay di stesen radio nombor satu negara itu.
Nazri berkata, Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus sudah pun memulakan tugasnya bersama Era FM sejak 7 Oktober lalu menerusi segmen jam 6 petang hingga 10 malam, namun ia masih dalam peringkat pembelajaran.
"Setelah kami mengadakan uji bakat berperingkat, Aril dan Ika Nabila adalah calon yang paling layak dan bakat mereka boleh digilap lagi dalam bidang penyampaian radio," kata Nazri pada majlis kesyukuran Era FM, Khamis lalu.
Aril dan Ika bakal bergandingan dalam segmen hujung minggu yang berjudul Muzik ERAthon selama empat jam, kebiasaannya ke udara pada hari Ahad.
Sensasi Bintang mendapatkan penjelasan daripada Ika berhubung pelantikan dan tugas baharu yang digalas sebagai penyampai di sebuah stesen besar seperti Era FM.
Sensasi Bintang: Bagaimana tugas deejay anda kini memandangkan Ika tidak ada pengalaman dan masih terlalu muda?
IKA: Memanglah saya muda lagi, baru berumur 20 tahun tapi tawaran untuk jadi deejay ini bukan diterima secara tiba-tiba. Sebenarnya saya dipanggil untuk uji bakat sejak bulan Februari lagi. Proses uji bakat itu banyak kali dan macam-macam peringkat. Mula-mula kena uji bakat secara solo, lepas itu uji bakat bersama calon penyampai yang lain. Banyak proses yang dilalui.
Atas alasan apa Ika dipilih jadi deejay?
Ikut apa yang pihak Era maklumkan, saya dipilih jadi deejay kerana banyak cakap. Lagi satu saya juga ada minat terhadap bidang muzik dan industri hiburan.
Cukup ke sekadar becok dan minat?
Memang tak cukup, tapi saya terima tawaran itu kerana anggap itu peluang keemasan yang tidak patut saya tolak. Cabaran paling besar ialah untuk banyak cakap tapi penuh maklumat serta berupaya menarik perhatian pendengar.
Sebenarnya anda sudah bertugas atau belum?
Sudah. Saya sudah ke udara sejak tiga minggu lalu tapi tidak pernah digandingkan lagi dengan Aril sebaliknya dengan penyampai senior lain.
Pernah ada insiden memalukan atau tersasul?
Pernah. Saya terlupa nombor telefon stesen sendiri, tapi nasib baik ia berlaku semasa dalam rakaman. Jadi, tak sempat ke udara.
Semacam tradisi Era FM mengambil lepasan AF untuk menjadi deejay sehingga memberi gambaran bahawa kalian produk gagal yang terpaksa dieksport ke konti radio.
Rasanya tidak. Saya sendiri kurang dilihat sebagai penyanyi kerana masa masuk AF, awal-awal lagi saya terkeluar. Orang lebih nampak saya sebagai pelakon.
Adakah pemilihan itu dibuat lantaran anda dilihat sudah popular sebagai pelakon?
Bab itu saya tak berani komen. Saya tak banyak berlakon untuk Astro sebaliknya banyak muncul di stesen Media Prima. Saya cuma nak cuba. Kalau tak menjadi tak rugi apa-apa tapi saya akan buat yang terbaik untuk kembangkan karier. Sekarang saya juga dilantik jadi duta golf untuk kerja amal bersama Kementerian Belia dan Sukan. Majlis pelancaran akan dibuat pada 17 November nanti, itupun rezeki dan peluang buat saya.
Perkembangan lain tentang kerja anda ketika ini.
Sekarang saya sibuk dengan penggambaran program realiti Panik untuk ntv7, ia semacam program Seekers, Fear Factor atau Amazing Race. Selain itu ada drama berjudul Darjat di TV3.
Baru-baru ini ada isu tindik lidah. Khabarnya Ika terkandas pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu?
Saya bertindik untuk suka-suka. Kadang-kadang saya juga terleka, mungkin sebab masih muda. Tapi saya tak pakai benda itu sepanjang masa pun. Bab tangguh belajar itu pula terpaksa saya buat, rezeki lebih kepada bidang seni tapi saya masih berminat untuk belajar. Mungkin akan buat pendidikan jarak jauh di Kuala Lumpur sahaja, untuk sambung semula diploma komunikasi di USM itu, mungkin tidak.
Ika Nabila ingin jadi versatil
GADIS jelita yang bernama Ika Nabila ini, semakin kerap menghiasi kaca televisyen melalui drama bersiri lakonannya yang tampil dengan pelbagai watak sama ada yang serius mahupun komedi.
Namun, tidak dinafikan, bakat lakonan Ika Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Ika, makin lama makin menjadi dan ternyata bakat lakonannya lebih menyerlah daripada nyanyian.
Ika yang merupakan bekas peserta program realilti Akademi Fantasia musim ke-6 juga menyedari perkara tersebut.
Namun, akui gadis berusia 23 tahun ini, menyanyi dan berlakon mempunyai kepuasan yang berbeza buat dirinya yang kini lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi.
"Memang saya bermula sebagai seorang penyanyi, tapi kini keghairahan saya telah beransur lebih ke arah lakonan. Mungkin kerana saya kerap berlakon daripada menyanyi dan kepuasan berlakon juga berbeza.
"Mungkin kini, saya rasa saya lebih sesuai berada di bidang lakonan kerana apabila saya pergi ke mana-mana acara, khalayak akan lebih dikenali sebagai pelakon dan bukannya penyanyi.
"Namun, sejujurnya saya memang meminati kedua bidang ini. Ini kerana dari kecil, saya memang minat kepada nyanyian. Saya tidak sangka pula akan dikenali khalayak dalam bidang lakonan," bicara Ika yang ditemui ketika sidang akhbar drama lakonan terbaharunya, Darjat di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ceritanya panjang lebar tentang permulaan karier sebagai pelakon, katanya, orang pertama yang menawarkan watak dalam bidang lakonan ialah Zulkifli M. Osman dan sejak itu, rezeki dalam lakonan semakin menjadi.
Masih aktif menyanyi
Walaupun dilihat jelas rezeki bagi Ika lebih memihak kepada bidang lakonan, namun, kerana minat sejak kecil, Ika masih lagi ingin aktif dalam nyanyian.
"Saya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, dan kini saya banyak terlibat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya akan mengikut KBS ke Sarawak, Kelantan, Terengganu dan serata Malaysia untuk membuat persembahan.
"Sebagai seorang yang mulakan karier sebagai penyanyi, saya masih lagi menyanyi. Jika ada penggambaran pada sebelah siang, saya akan mengambil tawaran menyanyi pada sebelah malam atau pun pada hari minggu.
"Saya akan masih lagi terima dan membuat persembahan," tuturnya yang pernah punya single duet berjudul Tiada Rasa bersama Alif Razali.
Berbicara tentang perancangan menghasilkan single terbaharu, kata Ika, memang ada namun dia masih mencari lagu yang sesuai dan bertanya pendapat dan meluahkan hajat kepada beberapa komposer bagi penghasilan single yang akan berentak balada kelak.
Ujar gadis kelahiran Pulau Pinang ini, dia ingin menjadi seorang anak seni yang versatil. Dia bukan sahaja ingin aktif dalam lakonan dan nyanyian, namun katanya, jika diberi peluang dalam bidang pengacaraan, peluang tersebut tidak akan disia-siakan.
"Saya rasa jika peluang itu terbuka untuk saya, tiada salahnya jika saya mencuba pula dalam bidang lain. Saya mahu cuba semua, dan ingin lihat mana satu yang sesuai dengan diri saya dan boleh menjadi mata pencarian saya.
"Saya ingin jadi seorang wanita yang versatil, di mana, saya tidak hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Sebenarnya, saya pernah mendapat tawaran jadi penyampai radio di salah sebuah stesen radio swasta tapi masih lagi perlu dirahsiakan maklumatnya," ujarnya sambil ketawa kerana terlepas cakap tentang tawaran tersebut.
Kisah cinta Ika
Ika pernah digosipkan bercinta bersama seorang pengkid yang bernama Adlin. Namun, kata Ika yang menafikan gosip tersebut, Adlin sebenarnya merupakan pengurus kegiatan seninya sejak dia keluar dari Akademi Fantasia lagi.
Namun, setelah beberapa kali diterjah tentang isu yang sama, cerita tersebut telah beransur sunyi. Bagi Ika, yang ketika itu masih hijau dalam industri menganggap kontroversi tersebut sebagai asam garam kehidupan sebagai artis dan tidak kurang juga menaikkan namanya dalam industri.
Namun, setelah itu, Ika kini dikatakan punya teman lelaki yang merupakan seorang anak VIP dan punya perancangan ingin berkahwin. Ketika soalan itu diajukan kepada Ika, gadis ini menjawabnya dengan senyuman dan diselangi dengan ketawa.
"Belum lagi, saya tidak punya teman lelaki lagi dan saya tidak bercinta bersama sesiapa pun lagi. Saya rasa belum masa untuk saya bercinta atau berkahwin.
"Ini kerana saya merupakan anak perempuan tunggal daripada empat orang adik-beradik dalam keluarga. Agak rugi jika saya berkahwin awal kerana saya ingin memberi fokus terhadap karier saya dahulu," jawab Ika yang dilihat ceria sepanjang sidang akhbar tersebut.
Keluar Kereta Baru, Ika Nabila Tiada Persediaan Sambut Aidilfitri
Pelakon cantik Ika Nabila merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air. Gadis manis yang pernah dilanda kontroversi apabila didakwa bercinta dengan kaum sejenis ini, kini lebih senang bergerak sendiri ke majlis-majlis anjuran media tanpa ditemani pembantu peribadinya (PA).
“Majlis ini Ika datang sorang je, PA Ika tak datang sebab Ika dari rumah tadi. Jadi kalau tak ada perkara yang melibatkan kerja, Ika akan datang sorang je la,” ujar Ika apabila diajukan soalan kemana perginya PA beliau.
Ketika sesi temubual antara pihak OHBULAN! dengan Ika Nabila di Majlis Buka Puasa anjuran Astro di Hotel Royal Bintang, Damansara, Selangor, rabu lalu Ika memaklumkan bahawa untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang nanti, beliau tidak banyak membuat persediaan kerana beliau baru sahaja mengeluarkan kereta baru.
“Tahun ini perancangan untuk Raya tak banyak sangat sebab Ika baru keluarkan kereta baru.” Apabila ditanya apakah jenis kereta barunya itu Ika menjawab, “Alah kereta biasa jer, kereta Vios,” ujarnya sambil tergelak.
Menurut Ika, pada tahun ini beliau akan menyambut Raya di rumah keluarganya di Pulau Pinang, dan setelah itu beliau akan pulang ke kampung di Perak.
Bercerita mengenai perkembangan terbaru, Ika baru sahaja selesai pengambaran filem Tanda Putera dan sekarang ini beliau tengah sibuk untuk pengambaran drama TV3 untuk slot Azalia, Darjat.
Kontroversi Tak Beri ‘Kudis’ Kepada Ika Nabila
PETALING JAYA: Aktres muda Ika Nabila (Ika) berharap kedatangan bulan Ramadan pada kali ini melahirkan ketenangan buat dirinya yang sebelum ini diasak kontroversi silih berganti.
Pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim, 23, ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikiran dengan cerita-cerita buruk yang timbul kerana ia tidak menggugat atau mematahkan semangat untuk terus bekerja dalam bidang seni.
“Saya bosan sebenarnya kerana orang terus bertanya mengenai kontroversi yang timbul sebelum ini. Bagi saya, semua gosip itu hanya permainan dunia hiburan.
“Semoga kehadiran Ramadan pada kali ini menjadikan saya lebih tenang dan melupakan semua kontroversi yang tercetus sebelum ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam pernah didakwa kononnya sebagai peminum arak selepas foto dia memegang gelas berisi air seakan minuman beralkohol tersebar luas di Internet pada awal tahun ini.
Tidak berakhir di situ, gadis dari Pulau Pinang ini turut didakwa menjalinkan hubungan sejenis dengan pengurusnya Adlin atau Kak Long, selain tuduhan memiliki alat permainan seks yang dikenali sebagai ‘dildo’.
Ditanya adakah dia terkesan daripada kontroversi yang timbul, Ika berkata dia enggan melatah dan tenang menyangkal setiap tuduhan kerana mengetahui kebenaran di sebaliknya.
“Saya tidak buat benda-benda yang dituduh jadi saya tidak mahu ambil kisah dengan apa pun cerita yang timbul.
“Ia tidak menjadi ‘kudis’ kepada saya pun. Yang penting, saya dan orang tua tahu kebenaran di sebalik setiap cerita yang timbul.
“Bukan bermaksud saya tidak tertekan atau terkilan dengan gosip-gosip itu, cuma saya tidak mampu untuk tutup mulut orang daripada terus bercakap,” katanya.
Mengenai kebimbangannya terhadap kesan cerita-cerita yang timbul ke atas dirinya, Ika berkata peminat pada hari ini sudah bijak menilai antara cerita peribadi dan kerja seseorang selebriti.
“Saya sentiasa okey walau seberat mana fitnah ke atas saya. Tiada apa yang perlu saya malu apabila cerita negatif terus dikaitkan dengan saya kerana ia tidak berlaku.
“Pesan ibu bapa agar saya berhati-hati selalu saya sematkan dalam diri. Lagipun, peminat pada hari ini tidak semudahnya menghukum kerana mereka bijak menilai bakat dan kerja kita.
“Malah, saya sentiasa mendapat sokongan peminat untuk menghadapi kontroversi yang timbul,” katanya yang kini sibuk di lokasi drama bersiri Darjat.
Ika Nabila Perjelas Dakwaan Minum Arak
PETALING JAYA: Pelakon baru, Ika Nabila berkata dakwaan bahawa dia seorang peminum arak seperti dalam foto yang tersebar di internet merupakan satu fitnah semata-mata.
Ika menjelaskan air dalam gelas tersebut bukanlah minuman beralkohol sebaliknya ia adalah jus sparkling.
Ika yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) berkata, dia tidak pernah minum arak apatah lagi berkeadaan mabuk di depan khalayak seperti yang digambarkan pada foto berkenaan.
"Sebenarnya air dalam gelas tersebut adalah jus sparkling. Saya tak tahu macam mana gambar itu boleh tersebar kerana ia hanya dipaparkan dalam gambar profil mesej Blackberry (BBM) saya.
"Dan air itu bukanlah air arak seperti yang disangkakan. Malah, saya bersama Mimi Haris (penyanyi) ketika itu di sebuah pusat karaoke.
"Saya percaya ini perbuatan khianat individu yang tidak berpuas hati dengan saya," jelasnya yang dihubungi mStar Online di sini, Ahad.
Ika berkata demikian ketika mengulas foto yang disebarkan oleh sebuah blog hiburan.
Dalam foto tersebut, Ika bersama rakan-rakannya termasuk Mimi Haris menghadiri sebuah parti sambil memegang gelas yang didakwa alkohol.
Tambah Ika, dia tahu walaupun telah memberikan penjelasan, masih ada orang yang akan percaya perkara yang tidak dilakukannya itu.
"Terpulanglah apa orang nak kata, yang penting saya telah membuat penjelasan dan tahu batas-batas sebagai seorang artis yang perlu dijaga.
"Saya tak tahu kenapa orang sekarang suka mengaitkan perkara-perkara yang tidak elok tentang saya.
"Bagaimanapun saya harus akur bahawa menjadi seorang artis, orang ingin tahu segala kerja dan peribadi kita," tuturnya.
Pelakon yang sedang meningkat naik itu kini menjalani penggambaran drama 'Apa Celop' yang bakal disiarkan pada 20 Februari nanti di TV3.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
