PENYANYI popular Indonesia, Datuk Rossa turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat hari kemerdekaan buat Malaysia yang diraikan pada 31 Ogos lalu.
Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Indonesia-Rossa. Show all posts
Showing posts with label Indonesia-Rossa. Show all posts
Rossa Bawa Kekasih Jumpa Keluarga

PENYANYI popular dari Indonesia, Rossa (gambar) akui tidak akan berkahwin senyap-senyap sekiranya dia mahu menamatkan zaman jandanya nanti.
Walaupun telah mempunyai kekasih, penyanyi lagu Tegar itu tidak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga.
Bekas isteri Yoyo (Kumpulan Padi) itu berani mengaku telah mempunyai kekasih. Malah dia juga sudah memperkenalkan kekasih yang dicintai itu kepada orang tuanya.
"Saya tidak akan sorok berita tentang perkahwinan saya. Orang tua saya sudah mengenali kekasih saya tetapi saya tidak terlalu mengenali keluarganya," katanya menurut detikhot.com, Rabu.
Bagaimanapun, Rossa masih menyembunyikan identiti kekasihnya itu kerana tidak mahu terlalu mendedahkan kehidupan peribadinya. Alasannya, dia tidak mahu popular kerana kehidupan peribadi.
Tunggu masa untuk berkahwin-Rossa

PERTEMUAN dengan penyanyi wanita dari seberang ini baru-baru ini memang berbeza daripada sebelumnya.
Manakan tidak, canda tawa dan bahasa tubuh si genit bernama Rossa ini sudah cukup menggambarkan dia begitu asyik dengan dunia cinta barunya.
Jari-jemari halusnya itu juga tidak henti-henti mengetik Blackberry sehinggakan perbualan kami terhenti seketika bagi memberi laluan kepada Rossa melayan perasaannya.
Ketika itu jugalah, wajah comelnya itu cukup berseri-seri dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
Saat diusik tentang dunia cintanya masa ini, dengan pantas Rossa ketawa besar dan wajahnya terus bertukar merah padam.
"Usahlah bicara soal cinta. Bukan sengaja mahu mengelak tetapi hubungan kami masih baru," katanya ringkas dan memberi petanda tidak mahu soal cinta dibangkitkan dalam pertemuan kami petang itu.
Mahu atau tidak, akhirnya Rossa mengalah juga dengan permintaan kami selepas dipujuk untuk mengulas tentang perjalanan cinta barunya.
Namun, bukan semua yang mahu dan sudi dikongsi Rossa kerana dia memang tidak mahu berlebih-lebihan menjaja cerita cintanya.
Katanya, biarlah jalinan cinta itu benar-benar disimpul rapi sebelum dia mahu berkongsi lebih dengan masyarakat tentang kisah cintanya.
Melihat diri Rossa petang itu, memang wajar dan sudah tiba masanya dia mengecapi nikmat cinta setelah hidupnya diuliti lara dan duka yang benar-benar menghancurkan hati wanitanya.
Bukan mudah baginya untuk menerima cinta baru dalam hidupnya selepas apa yang berlaku tetapi Rossa tidak mahu semua itu menutup peluang untuk mencari kebahagiaan yang baru.
Dengan penuh optimis Rossa memberitahu tidak pernah timbul perasaan serik atau trauma untuk mencari cinta baru selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya.
Cuma kadang-kala dia terfikir adakah dengan statusnya sebagai seorang ibu tunggal mampu memikat hati jejaka di luar sana untuk menerima dirinya seadanya.
Memahami jiwa
Ternyata, Allah SWT telah menemukan dirinya dengan sang arjuna yang tidak kisah tentang soal status yang membuatkan Rossa semakin selesa berdampingan dengan jejaka pilihannya yang merupakan seorang ahli perniagaan itu.
"Hubungan saya dengan teman baru ini berjalan dengan lancar dan setakat ini hubungan kami tiada masalah.
"Sebenarnya, kami sudah lama kenal menerusi kenalan kami tetapi cuma, beberapa bulan kebelakangan ini sahaja hubungan itu menjadi lebih serius.
"Apa yang boleh saya katakan dia memang memahami jiwa dan minat saya serta menyokong penuh apa yang saya lakukan," ujar Rossa menggambarkan hubungan cintanya yang baru itu.
Adakah si dia akan berkunjung ke Malaysia pada 29 Mei ini untuk menonton konsert sulungnya di negara ini? Sambil ketawa Rossa berkata: "Insya-Allah dia akan datang nanti."
Ditebak soal perkahwinan dan alam rumah tangga, Rossa dengan tegas memberitahu perkara itu tiada dalam agenda hidupnya buat masa ini.
Katanya, dia lebih selesa untuk berkawan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan zaman janda.
Malah, jelasnya, dia dan teman lelakinya itu belum lagi memikirkan tentang perkahwinan kerana masing-masing tidak mahu terburu-buru.
"Saya menyerahkan semuanya kepada takdir dan saya amat percaya kepada ketentuan Allah SWT yang telah menetapkan hidup hamba-Nya.
"Membicara soal perkahwinan ini juga adalah sesuatu yang sukar sekali untuk difikirkan kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku sekali lagi.
"Apabila masanya tiba tepat pada waktunya, maka saya pasti akan berkahwin dan menjalani semula kehidupan sebagai seorang isteri tetapi saya percaya bukan sekarang.
"Buat masa ini, saya harus fikirkan tentang masa depan satu-satunya anak saya, Muhammad Rizky Langit Ramadhan sebelum saya melangkah ke fasa seterusnya," cerita Rossa lagi sambil memberitahu anaknya itu juga sudah ditemukan dengan teman barunya dalam satu majlis tidak berapa lama dulu.
Melihat kepada perjalanan hidupnya yang penuh suka dan duka itu, terfikir juga adakah Rossa menyesal memilih titian seni sebagai rezeki untuk menampung hidup diri dan keluarganya.
Betapa tidak, untuk menjadi seorang anak seni yang harus menempuhi dugaan dan cabaran hidup sememangnya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Saat diajukan persoalan itu kepada wanita yang dilahirkan pada 9 Oktober 1978 ini, Rossa dengan penuh optimis memberitahu perasaan kesal tidak pernah terbit dalam jiwanya.
Malah, anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat ini gembira dengan kejayaan dan kemewahan yang dikecapinya hari ini selain berjaya meningkatkan taraf hidup keluarganya.
Barangkali ramai yang tidak tahu, Rossa merupakan salah seorang penyanyi wanita Indonesia yang cukup laris untuk pertunjukan pentas bukan sahaja di negaranya tetapi juga di negara ini.
Dengan kemewahan dan kemasyhuran yang dikecapinya hari ini, tidak mustahil untuk Rossa memiliki sebuah vila mewah yang terletak di Seminyak, Bali, Indonesia.
Apa yang membanggakan, vila itu berjaya tersenarai sebagai salah sebuah daripada 150 rumah terbaik dan tercantik di dunia!
Tidak mahu mendabik dada atau menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimilikinya, Rossa berkata, dia bersyukur dengan kurniaan rezeki Allah kepadanya demi menjalani kehidupan yang selesa.
"Saya seorang yang begitu menitik beratkan soal pengurusan kewangan dan bukan bermakna apabila ada wang yang banyak, ia adalah tiket untuk menjadi boros.
"Ada masa tertentu saya akan membeli barangan yang dapat memuaskan hati saya selepas bekerja keras dan sudah pasti, selebihnya saya akan agihkan untuk pelaburan, simpanan dan juga untuk Rizky.
"Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari dan kerana itu saya amat menjaga soal kewangan. Kita tidak tahu apakah kemungkinan yang berlaku kepada kita di masa depan," tutur pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani ini dalam nada bersungguh.
Menyentuh tentang perkembangan terbaru kariernya, Rossa memberitahu dia sudah pun selesai menjalani rakaman dua buah lagu terbarunya.
Dua lagu tersebut adalah Memeluk Bulan ciptaan Enda dari kumpulan Ungu serta Jagat Khayalku yang dicipta oleh teman seperjuangannya, Titi DJ.
Bukan itu sahaja, selepas sukses dengan duetnya bersama vokalis kumpulan Ungu, Pasha menerusi lagu Terlanjur Cinta, kini Rossa bersedia untuk menggegarkan dunia muzik nusantara apabila bakal berduet dengan penyanyi muda, Afgan.
Ternyata, Rossa kagum dengan bakat besar yang dimiliki Afgan sehingga mereka bersetuju untuk berpadu suara dalam sebuah lagu yang akan dirakamkan tidak lama lagi.
Rossa: Belum Sedia Perkenal Lelaki Baru

BERSESUAIAN dengan pepatah Melayu, 'Patah tumbuh, hilang berganti', penyanyi popular Indonesia Sri Rossa Roslaina Handiyani atau Rossa yang pernah kehilangan cinta lelaki sebelum ini ekoran keruntuhan mahligai rumahtangganya, kini mengakui sudah punya pengganti.
Cahaya kebahagiaan yang terpancar di wajah penyanyi kecil molek itu seakan tidak mampu disembunyikan tatkala diusik oleh teman-teman media dalam pertemuan baru-baru ini.
Walaupun pada awalnya, Rossa agak keberatan untuk berbicara lanjut tentang lelaki baru itu, namun asakan mesra teman media memaksa ibu kepada Rizky Langit Ramadhan, 3, akur untuk berkongsi cinta barunya itu.
"Ya, memang benar saya sedang berkawan dengan seorang usahawan dan dia bukan daripada kalangan orang seni.
"Sebenarnya, saya sudah mengenali dia sejak empat tahun lalu, cuma kami bertambah rapat beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.
Justeru, untuk waktu ini Rossa lebih senang berkawan seperti biasa. Malah, penyanyi lagu Pudar itu turut berkata, baik anak mahupun orang tuanya belum diperkenalkan secara rasmi dengan teman baru itu.
"Memang dia (teman baru) dan anak sudah saling mengenali, malah sudah bertemu beberapa kali. Namun, anak saya masih tidak tahu secara rasmi mengenai hubungan yang baru bercambah ini.
"Bagi saya, ia masih terlalu awal untuk mengumumkan secara rasmi. Biarlah kami berkawan seperti biasa buat masa ini dan lebih mengenali dan mencari keserasian antara kami," jelasnya yang tidak putus-putus ketawa sepanjang perbualan berlangsung.

Namun, ujar Rossa persahabatan yang semakin intim sejak beberapa bulan lalu itu disifatkannya masih berada di peringkat awal. Bahkan, keutaaman pada karier dan keluarga yang harus didahulukan ketika ini.
"Biarlah hubungan ini berjalan secara sendirinya. Jika ada jodoh, takkan ke mana. Buat masa ini, fokus saya adalah karier dan konsert yang di Malaysia yang bakal menjelang ini," akui Rossa yang tidak berasa sunyi kerana memiliki anak dan keluarga yang rapat dengannya.
Atas rasa saling memahami dan enggan mendesak lagi perbualan kami bersama bintang itu berakhir dengan satu keputusan, biar empunya badan memutuskan sendiri waktu terbaik untuk menghebahkan berita baik itu secara rasmi di kemudian hari.
Yang pasti, ruang hati Rossa yang kembali berpenghuni itu belum bersedia untuk melangkah ke fasa yang lebih serius, sekurang-kurangnya bukan dalam waktu terdekat.
Hati Rossa telah dimiliki

SEJAK keruntuhan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta bersama Yoyo runtuh tahun lalu, penyanyi popular Rossa yang seringkali ditanya mengenai penggantinya akan cuba mengelak seboleh mungkin.
Biarpun pelbagai soalan demi soalan yang ditujukan kepadanya, bagi penyanyi jelita ini yang penting dan tumpuannya ketika itu hanyalah karier dan bukan soal peribadi.
Namun dalam satu pertemuan dengan para wartawan baru-baru ini, Rossa, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki ini tidak mampu menyembunyikan perasaannya dilamun cinta.
Kebenarannya amat nyata tatkala menyentuh tentang hal peribadi, mudah benar mencuit hati dan membuatkan wanita comel ini ketawa.
Apatah lagi tatkala ditanya persoalan mengenai jodoh selepas setahun menjalani hidup solo, Rossa, enggan menafikan dia sedang menyulam rasa cinta dengan seseorang.
Merah padam muka si jelita ini apabila tidak putus-putus persoalan yang menjurus tentang cinta hati barunya itu diajukan padanya.
Sesekali dia menekup muka menahan malu bercerita tentang pria bertuah yang berjaya menawan hatinya itu.
Menafikan lelaki yang dimaksudkan turut terlibat dalam industri muzik, kata Rossa, mereka baru sahaja beberapa bulan saling mengenali malah, riak bahagia yang semakin berbunga kian dirasainya kini.
"Saya tidak mahu berbohong," ringkas jawapan yang keluar dari mulut penyanyi yang bernama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani ini.
Rossa ditemui pada sidang akhbar konsert sulungnya, Melodi Cinta di Bangunan Mas, Kuala Lumpur.
Konsert Melodi Cinta pula bakal berlangsung pada 25 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil pukul 8.30 malam.
Berbalik tentang soal cinta, Rossa menggambarkan bahawa pria yang lebih berusia itu merupakan seorang yang begitu mengambil berat dan penyayang.
Bagaimanapun, bagi Rossa yang sebelum ini pernah gagal di alam rumah tangga bersama bekas suaminya, Yoyo enggan terburu-buru membuat keputusan untuk segera melangkah kembali ke gerbang perkahwinan.
Baginya, biarlah masa menentukan detik sesuai andai benar jodohnya bersama lelaki yang baru dikenalinya itu.
"Buat masa ini, saya lebih senang fokus tentang kerjaya seni terlebih dahulu. Bagaimanapun, cinta ini saya akui bisa membuatkan seseorang itu gembira.
"Kami masih teman. Saya mengaku sedang berkawan dengan seseorang kerana saya tidak mahu berbohong dan rasakan lebih baik saya berterus terang.
"Saya hormatinya kerana dia seorang yang baik. Malah, dia juga telah banyak kali berjumpa dengan anak saya," kata Rossa dalam nada riang.
Janji yang terbaik
Melodi Cinta merupakan konsert solo pertamanya yang terbesar di Asia. Setelah 12 tahun membina jenama tersendiri di Malaysia inilah bukti keyakinan Rossa terhadap peminatnya sehingga sanggup mengadakan konsert berskala besar di negara ini.
Mungkin, bagi sesetengah artis yang belum cukup pengaruhnya, mengadakan konsert berskala besar bagaikan sengaja mencari risiko.
Positif dengan apa yang dilakukan, Rossa bukan sahaja mempertaruhkan dirinya pada konsert tersebut malah tiga artis jemputan iaitu Aizat, Unggu dan ST12 untuk sama-sama menambah kehangatan Melodi Cinta yang dianjurkan di bawah kerjasama Limaduabelas Musik dan Marctensia itu.
Menariknya, Rossa yang bakal menyampaikan lebih 20 buah lagu pada konsert tersebut turut menyanyi secara koir diiringi 50 orang kanak-kanak di bawah program asuhan Permata Seni yang diterajui oleh Datin Seri Rosmah Mansor.
Koir tersebut dibawah pimpinan pensyarah vokal terkenal, Syafinaz Selamat.
Ketua pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli pada sidang akhbar tersebut memberitahu, penglibatan Permata Seni dalam konsert itu memberi pendedahan kepada kanak-kanak tersebut serta menggilap bakat yang ada pada mereka.
Bagi Rossa pula, melakukan persembahan bersama kanak-kanak memberi kelainan kepada konsert berkenaan.
"Saya memang suka pada kanak-kanak. Sebagai seorang ibu, saya mengerti perasaan para ibu bapa yang pastinya ternanti-nanti persembahan anak-anak mereka di pentas.
"Ini secara tidak langsung menarik para ibu bapa untuk turut sama menonton konsert saya nanti," kata ibu kepada Muhammad Rizky Langit Ramadhan, 4, ini lagi.
Memilih Malaysia sebagai destinasi pertama konsert solo terbesarnya, akui Rossa, penerimaan yang baik oleh peminat di negara ini sejak 12 tahun lalu benar-benar membuatkan dirinya terasa dihargai.
Bukan itu sahaja, di bawah syarikat Suria Records (SCR), urusan pengedaran album serta promosi di negara ini berjalan lancar dan ini ternyata banyak membantu memperkasakan lagi perjalanan seni Rossa di Malaysia.
"Apa yang saya harapkan, saya mampu lakukan yang terbaik buat peminat saya di Malaysia dan berharap dengan cara ini saya boleh mendekati dan mengerti apa yang disukai dan yang tidak disukai oleh peminat-peminat saya.
"Lagu-lagu yang saya nyanyikan banyak mengisahkan cinta malah, lagu-lagu yang popular seperti Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Terlalu Cinta dan Terlanjur Cinta semuanya tentang cinta. Sebab itu saya namakan konsert ini Melodi Cinta," kata Rossa lagi.
Selain itu, Rossa turut menyanyikan lagu-lagi secara orkestra di bawah pimpinan pemuzik Indonesia, Jovie Widianto yang disokong oleh hampir 40 orang pemuzik iringan.
Bercerita tentang pemilihan Aizat yang juga pemenang kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 24 (AJL 24) baru-baru ini, kata Rossa, dia mula jatuh 'hati' dengan suara Aizat ketika berpeluang menyaksikan konsert Suatu Suara yang menggabungkan Datuk Siti Nurhaliza, Aizat dan Faizal Tahir di Istana Budaya tidak lama dahulu.
"Justeru, saya sangat berbesar hati mengundang Aizat untuk sama-sama membuat persembahan pada konsert saya nanti.
"Selain Aizat dua lagi penyanyi jemputan ialah Unggu yang bakal berduet menyampaikan lagu Terlanjur Cinta serta kumpulan ST12," kata Rossa lagi.
Tambah Rossa, dia kini telah pun mula membuat latihan serta menjalani aktiviti-aktiviti kesihatan termasuk ke gimnasium untuk bersenam dan berdiet bagi memastikan staminanya di atas pentas tidak menurun.
Sementara itu, Aizat ketika ditemui memberitahu, peluang membuat persembahan di konsert Melodi Cinta benar-benar membuatkan dirinya teruja.
Malah, kata Aizat inilah peluang untuknya membuktikan kemampuan sebagai penyanyi di hadapan peminat penyanyi pujaan ramai itu.
'Tidak mungkin kami rujuk semula' - Rossa


Namun begitu, 'kemesraan' yang masih terjalin antara dirinya dan Yoyo tidak pernah dilihat oleh Rossa seperti 'petanda' mereka mungkin ditakdirkan untuk rujuk semula.
Bukan tidak mempercayai takdir tuhan, namun ujar penyanyi berusia 31 tahun ini, hati dia tidak terdetik untuk berbuat demikian.
"Tentang hal ini, saya tidak boleh cakap lebih-lebih kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak. Tetapi sejujurnya di dalam hati, saya rasa tidak mungkin kami rujuk semula.
"Cuma apa yang pasti, saya cukup gembira kerana hubungan saya dan Yoyo masih baik. Walaupun Rizky berada di bawah jagaan saya, Yoyo bebas berjumpa dengannya bila-bila masa saja," katanya ringkas dalam satu pertemuan sempena kunjungannya di Kuala Lumpur, semalam, bersempena dengan kempen Enjoy Jakarta.
Ditanya tidakkah dia berasa sunyi tanpa kehadiran insan bergelar suami di dalam hidupnya, kata penyanyi yang berasal dari Sumedang, Indonesia ini, dia tidak menafikan adakalanya perasaan itu timbul dalam dirinya.
Namun buat masa ini, dia masih belum menemui 'pengganti' yang sesuai.

"Sudah tentu saya akan berasa sunyi. Tetapi dengan jadual kerja yang padat, ia banyak membantu saya melupakan perkara seperti itu.
"Apapun, saya menerima jodoh dengan sesiapa saja, cuma apa yang saya harapkan, biarlah kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.
"Dia perlu ada didikan agama yang baik dan mampu menyayangi anak saya juga," kata Rossa yang turut menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha.
Rossa turut ditanya pendapatnya mengenai rakan baiknya, Krisdayanti (KD) yang turut mengalami 'nasib' yang sama kerana baru melalui proses perceraian dengan bekas suaminya, Anang.
"Saya memang amat sedih kerana KD juga mengalami apa yang pernah berlaku pada saya. Tetapi saya lihat dia adalah seorang wanita yang kental.
"Kami sering juga bertemu sebelum ini dan kali terakhir adalah ketika majlis ulangtahun ibunya pada 10 Oktober lalu yang mana kebetulan pula hari lahir saya adalah sehari sebelumnya," ujar Rossa.
Ganti tempat KD sebagai Duta Enjoy Jakarta
Kira-kira empat tahun lalu, KD dipilih oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) untuk menggalas peranan sebagai duta mempromosikan Jakarta menerusi kempen 'Enjoy Jakarta' di Malaysia.
Kali ini, Rossa pula menjadi pilihan JTCO apabila dilantik sebagai duta Enjoy Jakarta sekaligus dilihat seperti 'menepis' diva tersohor Indonesia itu.

Rossa bagaimanapun merasakan tidak sepatutnya timbul tanggapan seperti itu kerana dia memikul tanggungjawab itu kerana ingin 'membalas jasa' Jakarta yang banyak membantu mencapai cita-citanya selama ini.
"Saya belum sempat bercakap tentang pelantikan saya ini kepada dia (KD). Tetapi bagi saya, ini adalah satu kepercayaan besar yang diberikan oleh JTCO kepada saya selepas KD.
"Ini bukan soal bayaran, tetapi lebih kepada apa yang mampu saya lakukan untuk membantu pelancongan di Jakarta. Saya berasal dari luar Jakarta, tetapi hampir semua cita-cita saya tercapai di Jakarta.
"Inilah masa untuk saya membalas jasa dan saya akan lakukan yang terbaik sebagai duta Enjoy Jakarta ini. Memang program ini memerlukan komitmen yang tinggi, tetapi bagi saya, ini adalah bukti cinta saya pada Jakarta," katanya yang dilantik baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Awam JTCO, Cucu Kurnia berkata, pihaknya menafikan wujudnya masalah dengan KD sehingga membuatkan JTCO memilih duta yang baru.

"Kita hanya menandatangani kontrak bersama KD selama setahun dan kontraknya tamat pada awal 2006. Selepas itu, kita tidak lagi melantik mana-mana duta baru sehinggalah pada awal tahun ini.
"Keputusan untuk memilih Rossa sebagai ikon kempen kami dibuat kerana merasakan dia adalah salah seorang artis Indonesia yang popular dan berbakat besar ketika ini. "Kita tidak ada pelantikan secara rasmi dengannya, tetapi kita akan lihat komitmen Rossa untuk kempen ini dan tidak mustahil untuk memanjangkan tempoh kontraknya," ujarnya.
Timbalan Pengarah Eksekutif JTCO, Tinia Budiati pula menambah, Rossa dipilih sebagai duta kempen berdasarkan popularitinya di Malaysia serta sikapnya yang melambangkan ciri-ciri seorang warga Indonesia sejati.
"Memandangkan kempen ini disasarkan di Malaysia, jadi kami merasakan Rossa memang memenuhi kriteria itu kerana dia juga popular di sini (Malaysia). Populariti memang tidak dinafikan turut menjadi peranan penting dalam pemilihan ini.
"Selain itu, kami lihat Rossa juga telah mencerminkan keperibadian Indonesia. Cara pemakaiannya serta lagu-lagu nyanyiannya juga sangat 'Indonesia'. Jadi, bagi kami, pemilihan Rossa memang tepat," ujarnya.
Menerusi kempen Enjoy Jakarta ini, JTCO bersama dengan Explorer Tourism Network (ETN) menganjurkan peraduan 'Fly with Rossa to Jakarta' bagi mempromosikan negarai itu, yang mana seorang peminat bertuah di Malaysia akan memenangi dua tiket penerbangan pergi balik bagi kelas bisnes KLM Royal Dutch Airlines dengan ditemani oleh Rossa untuk bercuti bersama penyanyi itu di Jakarta selama 3 hari 2 malam bermula hari ini (4 November).

Pemenang yang bertuah menerusi pertandingan yang dianjurkan di laman web ETN itu adalah Aniza Abd Razak yang turut memenangi penginapan tiga hari dua malam di hotel bertaraf lima bintang, baucer beli-belah bernilai USD300 (RM1000) dan jemputan menyaksikan 'showcase' Enjoy Jakarta Evening oleh Rossa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur yang berlangsung semalam.
Pada 'showcase' tertutup yang hanya dihadiri oleh media dan agensi-agensi pelancongan Malaysia, Rossa mendendangkan kira-kira tujuh buah lagu antaranya Hey Ladies, Pudar, Hati Yang Kau Sakiti, Takdir Cinta dan Ayat-Ayat Cinta.
Ditanya adakah dia berasa tertekan untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta kempen tersebut apatah lagi dengan kekeruhan hubungan antara Malaysia dan Indonesia ketika ini, kata Rossa:
"Sejujurnya, saya memang cukup sedih dengan perkara ini. Tetapi saya yakin, kedua-dua negara telah mengambil inisiatif memulihkan keadaan dan kembali berdamai kerana kita adalah satu rumpun.
"Dan saya juga perlu memainkan peranan untuk menunjukkan imej sebenar Jakarta. Saya akui, masih banyak yang perlu saya dalami tentang Jakarta supaya saya dapat mempromosikannya dengan lebih baik.
"Banyak aspek tentang Jakarta yang ingin saya berkongsi dengan rakyat di Malaysia sama ada dari segi budaya dan pelancongan di sana.
"Banyak juga tempat-tempat menarik di sana yang masih ramai pelancong belum tahu," katanya yang begitu teruja untuk membawa peminat bertuahnya dari Malaysia untuk bercuti bersamanya di Jakarta bermula hari ini.
Sementara itu, Cucu Kurnia turut menambah, ketegangan yang berlaku di antara dua buah negara ini baru-baru ini diakui ada 'menjejaskan' sedikit kadar pelancong dari Malaysia ke sana.
Namun begitu, perkara tersebut telah kembali pulih apabila bilangan pelancong dari Malaysia ke Jakarta adalah yang tertinggi setakat ini berbanding negara-negara yang lain.
"Kempen ini kami lakukan bukan saja untuk mempromosikan Jakarta, tetapi untuk menjernihkan kembali imej Indonesia secara keseluruhannya. Lupakan saja konflik yang melanda dan kita perlu jalinkan semula hubungan dua hala yang baik.
"Lagipun, apa yang diperkatakan tidak seteruk yang disangka kerana ia lebih banyak dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu," katanya yang menambah, JTCO turut menawarkan pakej percutian di Jakarta pada kadar yang berpatutan, hasil kerjasama dengan agensi pelancongan seperti ETN, syarikat-syarikat penerbangan seperti KLM dan hotel-hotel.
Katanya lagi, Enjoy Jakarta juga akan melakukan promosi yang sama di beberapa buah negara lain, tetapi menggunakan pendekatan yang berbeza.
Rossa ke Taiwan

SARAT dengan masalah rumah tangga dan akhirnya terpaksa menerima hakikat hubungannya bersama Yoyok hancur di tengah jalan. Bertubuh kecil tapi mempunyai hati dan semangat yang kuat. Itulah Rossa.
Kegagalan dalam rumah tangga tidak dijadikan alasan untuk Rossa mengurungkan diri atau patah semangat. Rossa kini begitu semangat untuk bekerja dan melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian di arena antarabangsa.
Sudah popular di Malaysia, kini Rossa memilih Taiwan untuk membuktikan yang dia mempunyai bakat besar. Menerima tawaran untuk merakamkan album di sana dan berduet dengan artis tempatan merupakan batu loncatan bagi Rossa memasuki pasaran negara tersebut.
Rossa baru sahaja pulang dari negara tersebut untuk berbincang tentang kerjasama yang bakal dilakukan nanti. Rossa begitu berharap segala yang dirancang akan berjalan lancar.
Gembira dengan kehidupan barunya, Rossa menyatakan dia tidak mahu menyesia-siakan masa mudanya lebih-lebih lagi dia mempunyai tanggung jawab terhadap anaknya Rizki Langit Ramadhan. Buat masa sekarang Rossa mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti Yoyok, malah dia kini sedang berusaha mengumpul wang untuk membeli rumah baru.
Rossa: Tua atau muda, sama saja
SOAL jodoh, ajal maut dan rezeki, semua itu urusan Tuhan. Bagi penyanyi genit Rossa, dia cukup memahami betul soal urusan itu.
Mungkin sebab itu, dia tidak mahu memasang impian mengenai urusan jodohnya. Bekas isteri Yoyok dari kumpulan 'PADI' ini mengaku menyerahkan sepenuhnya kepada Allah.
"Tua atau muda, tetap sama saja. Bagi saya, cinta itu tidak memilih usia muda atau tua, kalau serasi tidka mengapa kerana usia itu tidak menjamin kebahagiaan. Kalau usianya tua tapi kelakuannya tidak keruan, seperti anak kecil, buat apa," kata Rossa.
Namun, Rossa tidak terbuka hati lagi menentukan pengganti Yoyok. Dia hanya ingin fokus kepada karier dan membesarkan anak sahaja.
"Biarlah. Anak dan karier lebih utama," jawab Rossa.
Rossa, yang berasal dari Sumedang, Jawa Barat itu, tidak memilih sangat bila tiba soal jodoh.
"Saya ikhlas menerima siapa saja. Yang penting, cinta harus buat kita bahagia," kata Rossa.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]

