Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati Rossa telah dimiliki


SEJAK keruntuhan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta bersama Yoyo runtuh tahun lalu, penyanyi popular Rossa yang seringkali ditanya mengenai penggantinya akan cuba mengelak seboleh mungkin.

Biarpun pelbagai soalan demi soalan yang ditujukan kepadanya, bagi penyanyi jelita ini yang penting dan tumpuannya ketika itu hanyalah karier dan bukan soal peribadi.

Namun dalam satu pertemuan dengan para wartawan baru-baru ini, Rossa, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki ini tidak mampu menyembunyikan perasaannya dilamun cinta.

Kebenarannya amat nyata tatkala menyentuh tentang hal peribadi, mudah benar mencuit hati dan membuatkan wanita comel ini ketawa.

Apatah lagi tatkala ditanya persoalan mengenai jodoh selepas setahun menjalani hidup solo, Rossa, enggan menafikan dia sedang menyulam rasa cinta dengan seseorang.

Merah padam muka si jelita ini apabila tidak putus-putus persoalan yang menjurus tentang cinta hati barunya itu diajukan padanya.

Sesekali dia menekup muka menahan malu bercerita tentang pria bertuah yang berjaya menawan hatinya itu.

Menafikan lelaki yang dimaksudkan turut terlibat dalam industri muzik, kata Rossa, mereka baru sahaja beberapa bulan saling mengenali malah, riak bahagia yang semakin berbunga kian dirasainya kini.

"Saya tidak mahu berbohong," ringkas jawapan yang keluar dari mulut penyanyi yang bernama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani ini.

Rossa ditemui pada sidang akhbar konsert sulungnya, Melodi Cinta di Bangunan Mas, Kuala Lumpur.

Konsert Melodi Cinta pula bakal berlangsung pada 25 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil pukul 8.30 malam.

Berbalik tentang soal cinta, Rossa menggambarkan bahawa pria yang lebih berusia itu merupakan seorang yang begitu mengambil berat dan penyayang.

Bagaimanapun, bagi Rossa yang sebelum ini pernah gagal di alam rumah tangga bersama bekas suaminya, Yoyo enggan terburu-buru membuat keputusan untuk segera melangkah kembali ke gerbang perkahwinan.

Baginya, biarlah masa menentukan detik sesuai andai benar jodohnya bersama lelaki yang baru dikenalinya itu.

"Buat masa ini, saya lebih senang fokus tentang kerjaya seni terlebih dahulu. Bagaimanapun, cinta ini saya akui bisa membuatkan seseorang itu gembira.

"Kami masih teman. Saya mengaku sedang berkawan dengan seseorang kerana saya tidak mahu berbohong dan rasakan lebih baik saya berterus terang.

"Saya hormatinya kerana dia seorang yang baik. Malah, dia juga telah banyak kali berjumpa dengan anak saya," kata Rossa dalam nada riang.

Janji yang terbaik

Melodi Cinta merupakan konsert solo pertamanya yang terbesar di Asia. Setelah 12 tahun membina jenama tersendiri di Malaysia inilah bukti keyakinan Rossa terhadap peminatnya sehingga sanggup mengadakan konsert berskala besar di negara ini.

Mungkin, bagi sesetengah artis yang belum cukup pengaruhnya, mengadakan konsert berskala besar bagaikan sengaja mencari risiko.

Positif dengan apa yang dilakukan, Rossa bukan sahaja mempertaruhkan dirinya pada konsert tersebut malah tiga artis jemputan iaitu Aizat, Unggu dan ST12 untuk sama-sama menambah kehangatan Melodi Cinta yang dianjurkan di bawah kerjasama Limaduabelas Musik dan Marctensia itu.

Menariknya, Rossa yang bakal menyampaikan lebih 20 buah lagu pada konsert tersebut turut menyanyi secara koir diiringi 50 orang kanak-kanak di bawah program asuhan Permata Seni yang diterajui oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Koir tersebut dibawah pimpinan pensyarah vokal terkenal, Syafinaz Selamat.

Ketua pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli pada sidang akhbar tersebut memberitahu, penglibatan Permata Seni dalam konsert itu memberi pendedahan kepada kanak-kanak tersebut serta menggilap bakat yang ada pada mereka.

Bagi Rossa pula, melakukan persembahan bersama kanak-kanak memberi kelainan kepada konsert berkenaan.

"Saya memang suka pada kanak-kanak. Sebagai seorang ibu, saya mengerti perasaan para ibu bapa yang pastinya ternanti-nanti persembahan anak-anak mereka di pentas.

"Ini secara tidak langsung menarik para ibu bapa untuk turut sama menonton konsert saya nanti," kata ibu kepada Muhammad Rizky Langit Ramadhan, 4, ini lagi.

Memilih Malaysia sebagai destinasi pertama konsert solo terbesarnya, akui Rossa, penerimaan yang baik oleh peminat di negara ini sejak 12 tahun lalu benar-benar membuatkan dirinya terasa dihargai.

Bukan itu sahaja, di bawah syarikat Suria Records (SCR), urusan pengedaran album serta promosi di negara ini berjalan lancar dan ini ternyata banyak membantu memperkasakan lagi perjalanan seni Rossa di Malaysia.

"Apa yang saya harapkan, saya mampu lakukan yang terbaik buat peminat saya di Malaysia dan berharap dengan cara ini saya boleh mendekati dan mengerti apa yang disukai dan yang tidak disukai oleh peminat-peminat saya.

"Lagu-lagu yang saya nyanyikan banyak mengisahkan cinta malah, lagu-lagu yang popular seperti Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Terlalu Cinta dan Terlanjur Cinta semuanya tentang cinta. Sebab itu saya namakan konsert ini Melodi Cinta," kata Rossa lagi.

Selain itu, Rossa turut menyanyikan lagu-lagi secara orkestra di bawah pimpinan pemuzik Indonesia, Jovie Widianto yang disokong oleh hampir 40 orang pemuzik iringan.

Bercerita tentang pemilihan Aizat yang juga pemenang kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 24 (AJL 24) baru-baru ini, kata Rossa, dia mula jatuh 'hati' dengan suara Aizat ketika berpeluang menyaksikan konsert Suatu Suara yang menggabungkan Datuk Siti Nurhaliza, Aizat dan Faizal Tahir di Istana Budaya tidak lama dahulu.

"Justeru, saya sangat berbesar hati mengundang Aizat untuk sama-sama membuat persembahan pada konsert saya nanti.

"Selain Aizat dua lagi penyanyi jemputan ialah Unggu yang bakal berduet menyampaikan lagu Terlanjur Cinta serta kumpulan ST12," kata Rossa lagi.

Tambah Rossa, dia kini telah pun mula membuat latihan serta menjalani aktiviti-aktiviti kesihatan termasuk ke gimnasium untuk bersenam dan berdiet bagi memastikan staminanya di atas pentas tidak menurun.

Sementara itu, Aizat ketika ditemui memberitahu, peluang membuat persembahan di konsert Melodi Cinta benar-benar membuatkan dirinya teruja.

Malah, kata Aizat inilah peluang untuknya membuktikan kemampuan sebagai penyanyi di hadapan peminat penyanyi pujaan ramai itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails