Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Jue Aziz. Show all posts
Showing posts with label Jue Aziz. Show all posts

Jue Aziz Sangkal Bertukar Imej Kerana Mahu Jual Tudung

Pelakon Jue Aziz menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menganggap keputusannya berubah imej adalah kerana mahu menjalankan perniagaan menjual tudung atau pakaian muslimah. Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz, 32, berkata, dia tidak pernah memikirkan hal tersebut biarpun mengakui sejak berhijab, banyak tawaran diterimanya supaya dia menjadi duta produk. "Saya ada baca komen dan kritikan pihak-pihak yang menganggap saya bertudung kerana sebab tertentu dan mereka kata saya mahu jual tudung. "Saya tidak fikir pun untuk bisnes tudung, walau pun selepas bertudung sejak sebulan lalu banyak tawaran untuk saya menjadi duta produk tertentu," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Jue, dia mahu perubahan kepada imej baharu dilakukan secara perlahan-lahan agar ia dapat diterima secara positif oleh peminat-peminatnya tanpa sebarang prasangka buruk.
Dalam pada itu, Jue berkata, dia juga mengingatkan peminat-peminatnya agar tidak mudah melenting apabila melihat lakonan-lakonannya yang tidak bertudung. Katanya, terdapat beberapa filem dan drama lakonanya sebelum berhijrah belum lagi disiarkan. "Saya tahu akan ada yang mempertikaikan saya kejap pakai tudung kejap tidak pakai, mereka mungkin akan keliru sebab ada filem dan drama saya ketika belum bertudung belum lagi ditayangkan. "Jika ada yang hentam beri komen negatif ia adalah perkara biasa yang sudah dijangka," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Jue bakal keluar dengan filem baharu berjudul Kapsul yang akan ditayangkan pada Khamis ini. Jue membawakan watak wanita ketika zaman penjajahan Jepun menganggap watak tersebut mencabar lakonanya. "Watak saya dalam filem itu agak berat biarpun tidak banyak babak tetapi saya berbangga dapat terlibat untuk filem ini. "Bagi menjayakan watak ini saya banyak membaca dan mengambil kisah nenek saya yang selalu bercerita tentang kehidupannya ketika berada di zaman tersebut," ujarnya. Filem yang menampilkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut dibintangi oleh Faizal Hussein, Zamarul Hisham, Elly Mazlein dan Datuk Rahim Razali.

Jue Aziz Tertekan Sering Ditanya Bila Nak Hamil

Pelakon Jue Aziz berkata soalan bilakah dia akan menimang anak yang sering ditanya orang sekeliling membuatkan dia mudah rimas dan berasa tertekan. Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz, 32, menyifatkan soalan seperti itu adalah perkara sensitif terutamanya bagi wanita-wanita berkahwin yang masih belum mempunyai rezeki mengandung. "Saya tertekan dan rimas apabila orang tanya 'bila nak ada anak?'. Penat dah nak jawab. "Sampaikan dalam hati saya berkata-kata, tak ada soalan lain ke? Siapa yang tidak mahu anak. Tetapi semua itu kuasa Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat. Dalam pada itu, Jue berkata, sejak berkahwin dengan Bayu Pramana Putra Achmal pada 9 Mac 14, hampir setiap bulan dia akan membuat pemeriksaan untuk mengetahui adakah dia hamil ataupun tidak. Bagaimanapun sejak dua bulan lalu, Jue mula reda dan hanya berserah kepada Tuhan selain tidak mempedulikan lagi persoalan orang tentang anak yang sering ditanya. Sementara itu, bertanyakan mengenai kematian ayahnya, Ab. Aziz Maidin, 68, akibat penyakit jantung pada Jumaat lalu, Jue berkata, dia dan keluarga menerima pemergiannya dengan reda. "Arwah ayah memang tidak ada penyakit sebelum ini tetapi entah kenapa tiba-tiba dia terkena serangan jantung dan terus koma. Saya dan keluarga tidak mahu melihat dia terseksa dengan bantuan alat sokongan hayat. Lantas kami meminta doktor untuk 'melepaskannya' pergi dengan tenang. "Cuma saya ralat sedikit kerana arwah tidak bekesempatan untuk melihat saya dan suami mempunyai anak sendiri," ujarnya yang kini telah berhijab. Dalam perkembangan lain, Jue bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Kapsul yang dijangka akan ditayangkan pada 17 September depan. Kapsul merupakan sebuah filem sains fiksyen yang diarahkan oleh Martias Ali yang turut dibintangi Faizal Hussein, Zamarul Hisyam, Datuk Rahim Razali, Irfan Khairi, Elly Mazlein dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Filem ini mengisahkan mengenai sebuah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Mahathir telah dicuri dan membawa Zohri (Faizal Hussein) kembali ke zaman silam.

Jue Aziz Rancang Resepsi Kahwin Tahun Depan

Pelakon Jue Aziz berhasrat untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bersama suaminya, Bayu Pramana Putra Achmal pada awal tahun hadapan. Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abd Aziz, 31, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai tarikh tertentu bagi melaksanakan hasrat berkenaan. "Alhamdulillah selepas urusan pernikahan saya dengan suami selesai di mahkamah, diharap selepas ini tidak lagi dijadikan isu seperti mana sebelum ini. "Insya-Allah kami bercadang untuk mengadakan majlis resepsi bagi memperkenalkan suami kepada keluarga dan kenalan rapat pada tahun hadapan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di perkarangan kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Perseketuan di sini pada Rabu. Terdahulu Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu memutuskan pernikahan Jue dengan lelaki warganegara Indonesia itu sah dan mengikut hukum syarak. Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga di kampung halaman Bayu, 28, di Makassar, Indonesia pada 9 Mac lalu. Dalam pada itu, Jue berkata, dia seboleh-bolehnya mahu mempercepatkan tarikh bagi mengadakan majlis berkenaan namun kesibukan mereka terhadap kerjaya seni masing-masing membuatkan perancangan itu terpaksa ditunda pada tahun hadapan.
Jue dan Bayu berhasrat untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka. Jelas Jue, dia juga mahu mengadakan acara itu bagi memenuhi impian ibu dan bapanya yang ingin melihat dia bersanding di kampung halaman ibunya di Nilai, Negeri Sembilan. "Ikutkan pada saya apa yang penting kita dahulukan mana yang wajib tetapi atas permintaan ibu dan bapa, saya setuju untuk mengadakan majlis resepsi berkenaan," jelasnya. Sementara itu, Jue berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan tersebut daripada pengetahuan umum cuma tidak dihebahkan kerana tidak mahu publisiti meluas tentang perkara itu. Jelas Jue lagi, selepas mendirikan rumah tangga dia tidak pernah menafikan statusnya jika ada pihak yang bertanya malah perkahwinan itu turut mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak. "Keluarga restu dan mengetahui tentang pernikahan kami dan tidak pernah kami sorokkan kepada sesiapa yang mengenali cuma ia tidak dihebahkan secara meluas dalam media kerana saya tidak berapa selesa dengan publisiti. "Bagaimanapun Alhamdulillah berkat Syawal dan doa daripada ibu bapa, semuanya selesai," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Jue berkata, dia dan Bayu bahagia melalui alam perkahwinan mereka dan berharap peminat mendoakan kebahagian mereka. Bayu ketika diminta mengulas mengenai perkahwinannya dengan Jue secara ringkas memberitahu: "Kami bahagia dan saya sangat cintakannya," katanya yang juga seorang pemuzik.

Saya kasihan dengan orang itu - Jue Aziz

GOSIP ‘panas’ yang melanda pelakon seksi, Jue Aziz atau nama sebenarnya, Zuliana Abd. Aziz, 29, yang didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan suami aktres Rita Rudaini, 36, iaitu pemain bola sepak Aidil Zafuan Abdul Razak, 25, seakan-akan tidak pernah surut. Malah, ia semakin hebat diperkatakan sama ada menerusi media massa mahupun blog-blog tempatan. Walaupun Jue pernah bertindak mendiamkan diri sebelum akhirnya memberikan komen menafikan gosip liar tersebut di sebuah akhbar tempatan sekitar Ogos tahun ini namun apa yang pasti, gosip tersebut tetap kembali. Gosip yang sama muncul semula dengan cerita yang tidak diketahui akan kebenarannya walaupun realitinya ia baru sahaja surut daripada diperkatakan. Gosip melibatkan pelakon drama Nilapura itu sebenarnya sudah mula tersebar kepada umum sejak Ogos senyap seketika apabila Jue dan Aidil bertindak untuk tidak cepat melatah. Malangnya, semalam, gosip tersebut sekali lagi ‘dijulang’ oleh sebuah akhbar yang mendakwa hubungan Jue dan Aidil kini dikatakan semakin serius dan sedang memasuki fasa panggilan sayang-menyayang. Lebih hebat, apabila gosip tersebut mendakwa Jue mendapat sebuah beg tangan berjenama mewah pemberian Aidil. Menurut gosip tersebut lagi, beg tangan tersebut dibeli Aidil di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dengan harga yang agak mahal untuk memujuk Jue yang kononnya dikatakan merajuk. Apa yang menarik, gosip tersebut langsung tidak menampilkan sebarang kenyataan baik daripada pihak Jue mahupun Aidil. Justeru, bagi mendapat kepastian dan kebenaran hakiki mengenai gosip tersebut, Kosmo!, semalam telah menghubungi Jue Aziz sendiri untuk mendapatkan komen daripadanya mengenai isu tersebut. Kosmo!: Boleh Jue komen sedikit mengenai gosip hubungan Jue dengan Aidil Zafuan? JUE: Saya dah tak nak komen apa-apa sebab tidak ada apa-apa yang perlu dikomen. Last comment mengenai isu saya dan Aidil saya buat menerusi sebuah akhbar tempatan (sekitar Ogos tahun ini) dan saya memang tidak mahu komen apa-apa lagi sekarang ini.
Namun sebuah akhbar semalam ada menyatakan bahawa Jue telah mendapat hadiah mahal daripada Aidil selain mendakwa hubungan Jue dan Aidil kini semakin serius dengan panggilan sayang. Apa komen Jue? Bagi Jue, ini semua mengarut dan tidak betul. Jue sendiri tidak tahu apa-apa dan sebab perkara ini boleh berlaku. Mungkin orang itu gembira dengan membuat cerita-cerita seperti ini. Jadi, biarlah dia nak cakap apa. Bagi Jue, benda (gosip) itu semua tidak betul. Jika semua gosip itu tidak benar, kenapa Jue mendiamkan diri dan tidak mengambil apa-apa tindakan? Mula-mula memang saya ada niat nak bawa kes ini ke mahkamah dan rujuk kepada peguam tetapi bila fikir balik saya kasihan dengan keadaan orang itu. Dengan anak-anak masih kecil dan masalah dengan suami. Jadi, saya tidak jadi nak buat semua itu dan lebih selesa berdiam diri. Lagipun, saya tak sezalim itu untuk kenakan orang. Jadi, Jue tahu siapa yang buat (cipta) semua (gosip) ini? Mestilah saya tahu tapi saya tidak mahu dedahkan siapa dia. Biarlah saya dan dia sahaja yang tahu. Apa Jue akan buat apabila orang asyik mengata sahaja? Sebelum ini Jue dah bagi komen tentang benda (gosip) Jue dan Aidil, namun terpulang kepada orang tersebut. Sebab itu urusan dia dengan Allah. Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya Jue sekarang ini? Sekarang ini, Jue sedang sedang menjalani penggambaran sebuah program TV 26 episod untuk stesen Radio Televisyen Malaysia. Tawaran lain ada tapi buat masa ini Jue mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap program tersebut memandangkan Jue pun baru sahaja habis penggambaran episod yang menjalani penggambaran di Sabah. Bila sudah selesai semuanya, insya-Allah kalau ada tawaran lain, Jue tidak akan tolak.

Saya bagi tempoh seminggu cari bukti - Jue Aziz

NAMA pelakon cantik Zuliana Abd. Aziz, 29, atau lebih popular dengan panggilan Jue Aziz hampir tidak pernah dibicarakan lagi sejak kebelakangan ini. Jue seperti sudah terhakis dengan sebarang kontroversi, terutamanya yang berkaitan soal cinta. Bagaimanapun, nama pelakon berkenaan tiba-tiba kembali hangat diperkatakan ramai apabila sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan tentang hubungan istimewanya dengan pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abd. Radzak yang juga suami kepada pelakon Rita Rudaini Mokhtar. Hubungan antara Jue dan Aidil dikatakan akrab dan seperti pasangan dilamun cinta, sedangkan pada masa yang sama kes membabitkan Aidil dan Rita masih lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah. Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Jue mengakui dirinya terlalu kecewa dengan kontroversi yang melanda dan menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak tersebut. Kosmo!: Apakah reaksi Jue apabila didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan Aidil? JUE: Sudah tentu saya berasa sedih dan kecewa kerana ketika sambutan 1 Syawal umat Islam merayakan Aidilfitri dan dihidangkan dengan pelbagai juadah, saya pula telah dihidangkan dengan sebuah kisah kontroversi yang boleh mengaibkan diri saya. Apa yang boleh anda katakan apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami orang? Pertama sekali, saya ingin menegaskan yang saya memang tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Aidil seperti yang didedahkan. Saya sendiri agak hairan apabila nama saya telah dikaitkan sehingga boleh menimbulkan impak yang buruk. Bagaimanapun, saya akui memang mengenali Aidil dan sejujurnya ia sekadar kenalan biasa. Tidak lebih daripada itu. Kalau ada yang mengatakan kami dilamun cinta atau pernah keluar berdua-duaan, sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Sejak kebelakangan ini juga jadual saya agak padat dengan aktiviti lakonan dan sering menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur. Jadi, tidak mungkin saya ada masa untuk keluar dengan Aidil, apatah lagi dengan statusnya yang masih lagi suami orang.
Adakah anda tahu individu atau pihak yang telah mengaitkan nama anda dalam kontroversi ini? Sebenarnya saya tahu identiti individu yang bertanggungjawab mereka cerita ini memandangkan nama Ayu Raudhah turut dikaitkan sama. Lagipun saya yakin, pembaca yang membaca cerita berkenaan juga sudah dapat agak siapa individu tersebut. Cuma saya agak hairan apabila nama saya telah dikaitkan pula, sedangkan saya langsung tiada masalah dengan individu itu. Kalau betul dia ada bukti seperti yang diperkatakan, sila bersemuka dengan saya. Setelah kontroversi berkenaan tersebar, adakah ia memberi impak kepada anda? Apa yang saya dapat tahu bukan nama saya seorang sahaja yang telah terjejas, malah ia juga memberi impak yang buruk terhadap Ayu. Walaupun hubungan kami tidaklah terlalu rapat, tetapi saya kasihan dengan Ayu apabila dia pula dituduh menjadi orang tengah. Bagaimana pula dengan tindakan anda selanjutnya untuk berhadapan dengan kontroversi ini? Saya beri tempoh seminggu kepada individu tersebut untuk mengemukakan bukti kalau betul saya ada hubungan dengan Aidil. Sekiranya tidak ada bukti yang dikemukakan, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka malah saya berani tampil dan bersemuka dengannya kerana tahu diri saya memang tidak bersalah. Saya ada hak untuk membersihkan nama kerana kontroversi ini pastinya boleh menjejaskan periuk nasi saya sebagai seorang pelakon.

Cinta Berlandaskan Islam Jue Aziz & Azam Pitt

HIBURAN Ahad Julai 22, 2012 Cinta Berlandaskan Islam Jue Aziz & Azam Pitt Oleh FERIDE HIKMET ATAK (feride@thestar.com.my) Drama khas Ramadan - Ilaika Yusuf. PETALING JAYA: Kemunculan pelakon jelita Jue Aziz dan Azam Pitt menerusi drama Ilaika Yusuf akan membuatkan ramai yang terpesona dan kagum dengan perhubungan cinta yang dilakonkan. Drama yang yang telah pun menemui penonton sejak 13 Julai lalu itu, mengangkat kisah cinta Umaira (Jue) dan Yusuf (Azam) yang begitu mencintai antara satu sama lain, namun hubungan cinta itu dilakukan berlandaskan agama Islam. Kisahnya bermula apabila Umaira, Intan, Aisyah, Steven dan Bob menaiki sebuah van, mereka menikmati keindahan panorama kampung dan persekitarannya. Ketika van menghampiri kampung terdekat, kedengaran suara merdu yusuf sedang mengalunkan azan. Ketika solat maghrib berjemaah di masjid, Yusuf dan Umaira bertentangan mata. Intan dan Aisyah bercerita tentang kekacakan Yusuf sebaliknya Umaira menunjukkan rasa tak minat. Yusuf meluahkan rasa berat hatinya kerana dilantik sebagai pengerusi belia masjid kepada Yaakob yang memberinya semangat. Salina menghantar makanan kepada Yusuf dan Yaakob. Umaira bertembung dengan Salina dan kecewa kerana menyangkakan Salina kekasih Yusuf. Tanpa sedar wujud rasa cinta di hati Yusuf dan Umaira begitu juga sebaliknya. Namun ianya tidak semudah yang disangka apabila hubungan mereka tersekat. Pada masa yang sama Yusuf keliru terhadap perasaan Umaira kepadanya kerana dia pernah salah faham mengatakan Umaira enggan menerimanya sebagai sahabat satu ketika dulu kerana keadaan keluarganya yang miskin. Sebaliknya Umaira berkelakuan begitu kerana menyangkakan Yusuf dan Salina sedang berhubungan. Kepulangan Umaira ke Kuala Lumpur telah mengubah segalanya. Apatahlagi sebelum pulang, dia sempat mengetahui keadaan sebenar bahawa Yusuf hanya menganggap Salina sebagai teman. Bagaimana pun hubungan mereka mendapat tentangan hebat keluarga masing-masing. Drama 26 episod arahan Haris Fadzillah ini turut dibintangi oleh Aida Khalida, Hamidah Wahab, Roslan Salleh dan Ramasundram. Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat menerusi saluran TVi.

Jue Aziz 'Menghilang' Bukan Terkena Sihir


PETALING JAYA: Pelakon Jue Aziz memberitahu tindakannya mendiamkan diri daripada sebarang publisiti sejak kebelakangan ini bukan disebabkan terkena perbuatan sihir.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Zuliana Ab Aziz ini berkata keputusan tersebut diambil kerana dia lebih selesa untuk tampil jika mempunyai cerita yang berkaitan kerjaya sahaja.

“Saya tidak sakit terkena perbuatan sihir atau santau. Cerita itu tidak betul. Cerita itu ditimbulkan oleh pihak produksi Semerah Padi yang cuba mencari publisiti murah ketika pementasan itu diadakan pada tahun lalu.

“Saya tidak sertai teater itu pun disebabkan oleh kekalutan pengurusan produksi itu sehingga menyebabkan saya tertekan dan jatuh sakit ketika itu. Ia hanya sakit biasa kerana tidak cukup rehat,” katanya.

Aktres berusia 29 tahun itu ditemui pada tayangan perdana filem terbarunya, Jidin Sengal di Cathay e@Curve, Mutiara Damansara, di sini, malam Selasa.

Jue berkata selepas lebih lima tahun bergelar pelakon, dia sudah berada pada tahap yang stabil dan tidak memerlukan publisiti murah atau kontroversi untuk terus dikenali.

“Pada tahap ini, saya memang elakkan publisiti yang berlebihan seperti awal-awal dulu. Saya tidak mahu kisah kontroversi terus dikaitkan dengan saya dan menjadi bahan cerita di media.

“Berkat pengalaman yang ada, saya semakin cekap menguruskan kerjaya lakonan. Tawaran lakonan juga stabil dan peminat sudah mengetahui mutu kerja saya, jadi apa perlunya saya terus muncul bersepah-sepah di media jika tiada kisah yang bernas dan penting untuk dikongsi,” katanya.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam filem komedi “Esmi Zahara” itu, Jue berkata dia menerima tawaran berlakon filem tersebut kerana menyenangi watak bernama Amy yang merupakan penolong pengarah filem yang tegas dan lasak.

“Saya suka karakter Amy yang lasak, kelakian dan tegas. Ia bersifat spontan dan menarik. Lagi pun pengalaman berlakon dengan Along (Raja Lawak) dan Angah (Raja Lawak) memberikan kepuasan dan seronok.

“Sebagai pelakon yang mempunyai lebih pengalaman berbanding yang lain, saya terpanggil untuk menyokong produksi filem ini agar sama-sama berkembang dan lebih melonjak dalam industri filem kita,” katanya.

Filem yang membariskan Jue, Along (Raja Lawak), Angah (Raja Lawak), Faezah Elai, Zach Diamond, Azrul (Raja Lawak), Mariani dan Hamid Gurkha ini diterbitkan oleh syarikat produksi OutLoud Studios Sdn Bhd.

Ia mengisahkan mengenai Jidin lakonan Along (Raja Lawak) bersama sekumpulan pelakon ekstra lain yang berhasrat untuk mendapatkan peranan lebih penting dalam sesebuah filem.

Jidin Sengal akan ditayangkan kepada umum bermula 22 Mac ini.

Bukan disihir, bukan tak berdisiplin - Jue Aziz


AKHIRNYA misteri kehilangan Jue Aziz terjawab juga. Minggu lalu heboh juga orang memperkatakan tentang kehilangan Jue. Iyalah, teater dah nak mula tapi batang hidung Jue langsung tak nampak.

Kata Jue kepada pihak media, dia bukan sakit terkena buatan orang. Dia juga menafikan yang ada masalah disiplin. Habis hilang sampai lima hari tu pergi mana pula?

Itu yang bermain di fikiran Joyah. Risik punya risik rupa-rupanya Jue sakit. Dia pitam dan muntah-muntah sampaikan doktor terpaksa memberi cuti sakit akibat simptom yang dialaminya itu.

Lalu sepanjang pementasan Semerah Padi berlangsung tempat Jue diganti secara bergilir-gilir dengan pendatang baru Abby Nadzri memandangkan nama Abby sudah dicanang akan menggantikan tempat Jue sekiranya dia digugurkan pada masa itu.

Kalau dah sakit tu nak buat macam mana. Bukan boleh tahan-tahan untuk bagi laluan pada hal yang lebih mustahak. Setidak-tidaknya Joyah bangga bila Jue buka mulut dan menjelaskan hal yang sebenar. Berani kerana benar.

Jue Aziz belum berpunya


KHABAR angin kononnya dia sudah bernikah dengan lelaki dari Kelantan memanaskan kembali nama Jue Aziz yang kini semakin dilupakan.

Bagaimanapun, Jue atau

nama sebenarnya Zuliana Aziz, 28, sudah membuat penafian berhemah.

Tidak melatah apatah lagi memulangkan paku buah keras, pelakon drama bersiri Lagenda Budak Setan itu masih mampu tertawa ria. Katanya, status solo masih kemas dalam lipatan dan status itu tidak mungkin terurai dalam tempoh terdekat memandangkan hatinya masih tidak terisi lelaki istimewa.

“Saya juga masih solo. Masih belum berkahwin. Cerita itu mungkin berpunca kerana saya kerap ke Terengganu tidak lama dahulu. Masyarakat sekitar yang tidak tahu perkara sebenar mudah untuk berfikir yang bukan-bukan,” sekali lagi si rambut panjang mengurai itu menepis berita palsu tentang dirinya.

Tidak mengambil serius episod cerita rekaan berkenaan, aktres yang muncul dalam filem Hantu Bonceng itu juga baru mampu bernafas lega selepas drama bersiri terbaru lakonannya, Nilapura selesai menjalani penggambaran.

Dalam drama epik yang berlatarkan Kellie’s Castle, Batu Gajah, Perak itu, Jue memegang watak Puteri Ratna Emas Lela yang merupakan puteri bongsu Raja Bumida Bimasakti yang berjiwa rakyat dan gemarkan kerja amal.

“Dalam drama itu, saya sedia mengorbankan cinta demi kasih sayang terhadap negara saya iaitu Bimasakti. Saya juga terpaksa berkahwin atas dasar diplomatik antara negara saya dan Nilapura,” ulasnya mengenai watak utama yang dibawa dalam drama berlatarkan zaman dahulu kala itu.

Mula disiarkan pada Isnin lalu menerusi slot Aksi di TV3, Nilapura turut dibarisi pelakon hebat antaranya Ryzal Jaafar, Amar Asyraf, Memey Suhaiza, Ramli Hassan, Zarina Zainuddin, Rosnah Johari, Razib Salimin, Adam Shah, Hilal Azman dan Ramona Zam Zam.

'Aku dah bosan' - Jue Aziz


Jue Aziz akui sudah bosan menjalin hubungan istimewa bersama artis

UMPAMA menyelak helaian demi helaian catatan peribadinya, pelakon sensasi, Jue Aziz membentangkan satu persatu episod hidupnya dengan terbuka tanpa secalit rasa gentar. Tiada apa yang cuba dirahsiakan, malah setiap soalan akan dijawab Jue atau nama lengkapnya, Zuliana Abdul Aziz, 29, dengan rela hati.

Keterbukaan yang barangkali akan memerangkap dirinya jika tidak hati-hati ditangani tetapi Jue tidak sesekali takut berdepan dengan realiti.

Jue cuma mahu menjadi jujur kepada dirinya sendiri, selebihnya terpulang kepada masyarakat bagaimana mereka mahu menilai siapa dia yang sebenar.

Persepsi masyarakat kata Jue tidak pernah menjadi persoalan besar kepadanya kerana dia lebih mengenali siapa dirinya yang sejati.

Boleh saja dia memilih untuk berpura-pura dan memberikan jawapan yang memuaskan hati semua pihak, tetapi di mana kesudahannya?

Jue tidak mahu sekadar memuaskan hati orang lain tetapi apabila pulang ke rumah, dia berperang dengan dirinya sendiri kerana terpaksa bersikap hipokrit.
“Saya selalu diingatkan supaya sentiasa bersedia dan kuatkan semangat jika mahu bertahan lama dalam bidang seni. Itu yang saya praktikkan setiap kali diheret dalam isu kontroversi,” katanya memulakan bicara pada pertemuan penuh santai bersama B*POP.

Menyambung perbualan, Jue mengakui, ketika mengambil keputusan menjadi anak seni empat tahun lalu dia terlalu naif dalam memahami tuntutan industri hiburan.

Ketika belajar untuk memahaminya, dia juga tidak terlepas daripada berbuat silap. Semua itu akui Jue, dilaluinya tanpa sedikit pun berbekas rasa kesal di hati kerana setiap kekhilafan membentuk siapa dirinya hari ini.

“Saya tidak salahkan sesiapa pun jika fokus pihak media lebih kepada cerita peribadi, berbanding karier saya. Saya akan cuba menjawab seikhlas mungkin. Untuk apa mengelak jika permintaan saya itu cuma mengeruhkan hubungan baik yang sedia terjalin. Semua itu terpulang kepada diri artis itu sendiri.

“Seandainya bijak mengimbangi, saya percaya lambat laun masyarakat akan melihat kerja keras seseorang artis itu. Terserah bagaimana kita mahu mencorakkan perbualan itu,” kata pemilik figura yang mampu menggoncang iman lelaki itu matang.

Dalam keterbukaan Jue berkongsi segala cerita, dia kini memohon pengertian pihak media untuk memberikan sedikit ruang privasi kepada dirinya sendiri. Jue akur, tidak mudah memuaskan hati semua pihak malah keterbukaannya dulu pernah disalahertikan hingga menyinggung perasaan segelintir peminat.

Ekoran peristiwa itu, Jue memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu terlalu menggembar-gemburkan cerita peribadi jika ia cuma menimbulkan jelak kepada penggemarnya.

“Saya sudah penat bercinta. Bayangkan dulu hanya cerita itu yang menjadi fokus. Jadi sekarang saya mahu simpan cerita itu kepada diri sendiri. Mungkin ia tidak menjadi masalah besar ketika ini kerana saya masih solo. Saya bahagia sendiri dan untuk hilangkan rasa sunyi, saya sibukkan diri dengan karier,” katanya.

Pernah dua kali putus cinta dengan artis, Jue berdoa, jika nanti hatinya terbuka untuk kembali berpasangan, dia tidak lagi dipertemukan dengan teman sealiran. Bercinta sesama artis kata Jue, cuma menyumbang kepada lebih banyak masalah bahkan membuatkan fikirannya serabut dan tidak tenteram.

“Ia tidak mudah seperti yang disangkakan. Mungkin kerana masing-masing mempunyai nama, jadi ego menjadi tebal dan kepercayaan yang menjadi teras dalam perhubungan perlahan-lahan pergi.

“Saya serik bercinta dengan artis. Malah kegagalan dua cinta lalu membuat saya masih takut untuk kembali bercinta,” katanya.

Tidak menafikan sesekali kesunyian menghimpit jiwanya tetapi bintang drama bersiri, Legenda Budak Setan siaran Astro Prima itu enggan terlalu mendesak.

Kesibukan dengan karier kata Jue, membataskan ruang untuk dia keluar bersosial. Ketika ini sebahagian besar masanya diperuntukkan kepada dunia lakonan.

“Saya tiada masa untuk keluar bersosial. Jika tidak bekerja, saya selesa memerap di rumah tetapi tidaklah sehingga memencilkan diri.

Saya akan pastikan ada teman yang dapat menghiburkan diri. Saya pernah lalui zaman indah percintaan, bahkan saya sendiri anak manja dalam keluarga.

“Jadi bila sendirian semua kenangan lalu akan kembali mengimbas. Untuk menghapuskan kesepian itu, saya sibukkan diri dengan menerima tawaran yang menguji kekuatan bakat,” katanya.

Banyak terlepas peluang ke filem

LANTARAN terikat dengan komitmen drama bersiri, Jue Aziz mengakui dia sering terlepas banyak kesempatan dan tawaran untuk mencabar lagi bakat dan kemampuannya di layar perak. Pernah beraksi dalam filem Anak Mami The Movie dan Tipah Tertipu, Jue akur, sesekali terdetik kerisauan di hatinya jika tidak lagi diberikan peluang beraksi di skrin lebar.

Jue bagaimanapun, tidak mahu bersikap tamak kerana setiap tawaran diterima menuntut komitmen tinggi daripadanya.

Tetapi apa yang menggembirakan Jue, biarpun lebih popular di layar kaca dia menerima kepercayaan pengarah untuk mempelbagaikan watak.

“Kebelakangan ini saya banyak diberikan watak komedi, sedangkan dulu lebih kerap diserahkan watak antagonis dan lasak.

Alhamdulillah, kepelbagaian peranan berjaya membebaskan saya daripada dilabel stereotaip. Apa yang mengejutkan, saya sendiri tidak sangka akan diberikan watak budak sekolah menerusi Legenda Budak Setan,” katanya.

Akui Jue yang bakal muncul dengan filem Abuya dan Hantu Bonceng, dia hampir menarik diri daripada membintangi drama bersiri itu kerana tuntutan watak Ayu yang kuat.

Jue agak tertekan untuk melunaskan watak yang sudah sinonim dengan mereka yang membesar bersama novel karya Ahadiat Akashah itu.

“Saya rasakan diri ini masih baru dan belum layak untuk menggalas tanggungjawab besar itu. Apatah lagi, ia terlebih dulu diangkat ke filem sebelum dipindahkan menjadi drama bersiri.

“Memikirkan risiko yang bakal dihadapi, saya berhasrat mahu menarik diri. Namun, pengarah Along Kamaluddin banyak memberikan dorongan dan perlahan-lahan kepercayaan itu datang.

“Syukur kerana kini bakat saya mula dipandang ramai. Itu sudah cukup melegakan, malah membebaskan saya daripada segala isu remeh yang selama ini dikaitkan dengan Jue Aziz,” katanya yang mengharap keajaiban fajar 2011.

Info Jue Aziz
•NAMA PENUH: Zuliana Abdul Aziz
•TARIKH LAHIR: 18 Februari 1983
•KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
•DARAH CAMPURAN: Mamak dan Bugis (ayah), Cina dan Belanda (ibu)
•PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan, Kolej Stamford
•PENCAPAIAN: Pemenang tempat ketiga, Malaysian Most Beautiful 2006
•DRAMA: Dua Hati, Impak Maksima The Series, Manjalara, Kala Hati, Orang Minyak Naik Minyak, Janji Kekasih, Wasiat Anak Dara dan Legenda Budak Setan The Series
•FILEM: Anak Mami The Movie, Tipah Tertipu, Hantu Bonceng dan Abuya (belum disiarkan)
•TEATER: Naga Chini
•PENGACARA: e@9 (TV9) dan Gedik Samba (TV3)

Tabah hidup sendirian-Jue


AGAK lama juga kita tidak mendengar sebarang cerita terbaru mengenai artis genit yang cukup seksi ini. Satu ketika dahulu, pemilik nama Zuliana Aziz atau lebih mesra disapa Jue Aziz ini boleh dikatakan panas dengan macam-macam gosip dan kontroversi hangat.

Lebih meriah apabila kisah cintanya berjaya diselongkar oleh pihak media. Baik ketika bersama Ako Mustapha mahupun semasa dia berkasih-kasihan dengan aktor kacak berdarah kacukan, Jehan Miskin.

Namun sekarang semuanya tinggal kenangan. Tidak ada sekelumit sesalan yang tinggal lagi memandangkan dia semakin matang.

Tambahan pula kedua-dua aktor tersebut bukan lagi merupakan insan istimewa dalam hidup aktres yang kini muncul hangat di kaca televisyen menerusi tayangan drama 26 episod Lagenda Budak Setan di samping gandingannya Farid Kamil.

Mengakui sekarang lebih senang hidup sendiri, gadis kelahiran Ampang, Selangor ini memberitahu, dia tidak suka dikaitkan dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

Seperti mulut kebanyakan artis, Jue klise memberitahu bahawa fokus utamanya ketika ini hanyalah pada kariernya sebagai pelakon.

“Eh, saya gembira hidup solo sekarang. Ada banyak benda penting lagi yang perlu Jue fikirkan. Ish.. tak payahlah tanya pasal teman lelaki.

“Lagipun soal jodoh itu di tangan tuhan. Sekarang Jue macam dah putus asa pun ada. Sebab itu Jue lebih senang bersendiri buat masa ini dan tumpuan hanya pada dunia lakonan,” katanya.

Dia yang ditemui semasa menjalankan pengambaran promosi drama bersiri Lagenda Budak Setan di saluran 105 Astro Prima mengaku hatinya ada kalanya timbul keinginan untuk kembali menghirup nikmat cinta.

Pun begitu, sebagai manusia biasa, Jue akur dengan ketentuan Tuhan selain sedar dirinya tidak perlu terburu-buru mencari cinta meski usianya bakal menginjak 28 tahun.

“Jue lebih suka ambil perkara ini sebagai satu benda yang positif. Kalau sekarang Jue masih belum dipertemukan dengan sesiapa, itu mungkin bermakna tuhan mahu memberi jodoh yang lebih baik buat Jue pada masa akan datang.

“Semua wanita mahu dipertemukan jodoh yang baik, begitu juga Jue. Kalau boleh Jue pun tak mahu lambat-lambat sangat kahwin, tapi perkahwinan juga bukanlah perkara main-main.

“Banyak perkara peru dipertimbangkan dan Jue tidak mahu terburu-buru berkahwin dan di akhirnya timbul penyesalan, tambah-tambah lagi sekarang ini kes cerai galak terpampang di dada akhbar, dah macam trend pun pula Jue tengok,” ujarnya.

Malah, bagaikan seorang tukang pencari jodoh (matchmaker), kata Jue, ibunya juga sibuk memadankan dirinya dengan bermacam-macam lelaki yang rata-ratanya terdiri daripada anak kenalan sekali gus menzahirkan kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya yang masih belum punya teman.

Bagaimanapun, apa yang diusahakan ibunya itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Selagi dia masih belum bersedia, maka dia tidak akan membuat keputusan untuk berkahwin. Demikianlah noktah Jue.

Bukan kaki ‘propa’

Sunyi daripada kontroversi ketika ini bukanlah satu jaminan buat Jue untuk terus berada dalam zon selesa.

Pernah dilabelkan sebagai artis gedik, penggoda dan playgirl, Jue kini hadir dihenyak dengan dakwaan segelintir pihak yang melabel dirinya sebagai artis kaki canang cerita atau ‘propa’.

Lumrah industri hiburan, perbuatan suka mereka cerita atau ‘propa’ sebenarnya bukanlah satu perkara yang aneh.

Pun begitu, ketika diaju pertanyaan sama ada benarkah dia seorang kaki ‘propa’, Jue yang kelihatan terkejut pantas menangkisnya tanpa secalit anggukan.

“Tolonglah, bila masa pula Jue ini kaki ‘propa’? Kalau betul, mesti dah banyak cerita pasal Jue keluar, Jue sendiri yang pergi cari wartawan menjaja cerita.

“Ini wartawan yang datang mencari Jue. Sampaikan pernah Jue tanya balik pada mereka, ‘‘Nak cerita pasal apa ya?’’. Itu situasi yang berlaku sebab Jue rasa tak ada topik yang hendak dikongsikan.

“Pelik juga ya macam mana boleh timbul isu ini. Kalau hendak tahu, Jue bukanlah orang yang sebagaimana didakwa.

“Hidup Jue sekarang hanya pada lakonan, selesai kerja terus balik rumah. Hendak lepak pun kadang-kadang tak ada masa.

“Jadi bila masa pula Jue hendak propa sana sini? Tak ada sebab untuk Jue buat benda macam tu,” ujarnya.

Tidak menolak kemungkinan ada pihak yang kurang senang dengan karakternya yang selamba, Jue bagaimanapun tenang mengendalikan segala tohmahan sambil memohon agar dirinya tidak dinilai dari luaran.

“Jue faham, tak semua orang suka pada kita, tambah-tambah kalau kita ada sedikit kelebihan daripada mereka.

“Mungkin cara Jue ini yang menyebabkan mereka kurang senang sampai tergamak menuduh Jue yang bukan-bukan. Tapi, terus-terang Jue katakan Jue bukan orang yang begitu,” katanya.

Tumpu bisnes

Jangan tak tahu, rupa-rupanya dalam diam Jue sekarang sudah bergelar usahawan.

Menjadi tulang belakang kepada pengoperasian gelanggang futsal di Sport Planet Kajang, Selangor, Jue membuktikan di mata umum bahawa dia juga berbakat dalam bidang perniagaan.

Ketika diajak berbicara mengenai karier barunya itu, gadis cantik berambut panjang ini kelihatan cukup seronok.

Kata Jue, baru sebulan dia menyertai perniagaan yang dijalankan oleh rakan kongsinya itu. Bagaimanapun, pusat futsal tersebut sudah pun beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, Jue seronok buat bisnes ni.

Kalau ikutkan, Jue berminat hendak membuka gelanggang hoki, tetapi bila difikirkan semula, lebih baik tumpu pada sukan futsal.

“Ha... Ini juga adalah sebab kenapa Jue kata tiada masa sangat untuk melepak kosong. Jue sibuk berlakon dan mengendalikan bisnes,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jue turut mengaku enggan bergantung hanya pada satu sumber pendapatan sementelah memahami dunia hiburan tidak selamanya menjanjikan pendapatan tetap.

Buat masa ini, jelas Jue, pusat futsal yang bertempat di Bandar Teknologi Kajang itu sedang melalui proses penambahbaikan.

Ia dilakukan bagi memastikan pengguna dan pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails