Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tabah hidup sendirian-Jue


AGAK lama juga kita tidak mendengar sebarang cerita terbaru mengenai artis genit yang cukup seksi ini. Satu ketika dahulu, pemilik nama Zuliana Aziz atau lebih mesra disapa Jue Aziz ini boleh dikatakan panas dengan macam-macam gosip dan kontroversi hangat.

Lebih meriah apabila kisah cintanya berjaya diselongkar oleh pihak media. Baik ketika bersama Ako Mustapha mahupun semasa dia berkasih-kasihan dengan aktor kacak berdarah kacukan, Jehan Miskin.

Namun sekarang semuanya tinggal kenangan. Tidak ada sekelumit sesalan yang tinggal lagi memandangkan dia semakin matang.

Tambahan pula kedua-dua aktor tersebut bukan lagi merupakan insan istimewa dalam hidup aktres yang kini muncul hangat di kaca televisyen menerusi tayangan drama 26 episod Lagenda Budak Setan di samping gandingannya Farid Kamil.

Mengakui sekarang lebih senang hidup sendiri, gadis kelahiran Ampang, Selangor ini memberitahu, dia tidak suka dikaitkan dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

Seperti mulut kebanyakan artis, Jue klise memberitahu bahawa fokus utamanya ketika ini hanyalah pada kariernya sebagai pelakon.

“Eh, saya gembira hidup solo sekarang. Ada banyak benda penting lagi yang perlu Jue fikirkan. Ish.. tak payahlah tanya pasal teman lelaki.

“Lagipun soal jodoh itu di tangan tuhan. Sekarang Jue macam dah putus asa pun ada. Sebab itu Jue lebih senang bersendiri buat masa ini dan tumpuan hanya pada dunia lakonan,” katanya.

Dia yang ditemui semasa menjalankan pengambaran promosi drama bersiri Lagenda Budak Setan di saluran 105 Astro Prima mengaku hatinya ada kalanya timbul keinginan untuk kembali menghirup nikmat cinta.

Pun begitu, sebagai manusia biasa, Jue akur dengan ketentuan Tuhan selain sedar dirinya tidak perlu terburu-buru mencari cinta meski usianya bakal menginjak 28 tahun.

“Jue lebih suka ambil perkara ini sebagai satu benda yang positif. Kalau sekarang Jue masih belum dipertemukan dengan sesiapa, itu mungkin bermakna tuhan mahu memberi jodoh yang lebih baik buat Jue pada masa akan datang.

“Semua wanita mahu dipertemukan jodoh yang baik, begitu juga Jue. Kalau boleh Jue pun tak mahu lambat-lambat sangat kahwin, tapi perkahwinan juga bukanlah perkara main-main.

“Banyak perkara peru dipertimbangkan dan Jue tidak mahu terburu-buru berkahwin dan di akhirnya timbul penyesalan, tambah-tambah lagi sekarang ini kes cerai galak terpampang di dada akhbar, dah macam trend pun pula Jue tengok,” ujarnya.

Malah, bagaikan seorang tukang pencari jodoh (matchmaker), kata Jue, ibunya juga sibuk memadankan dirinya dengan bermacam-macam lelaki yang rata-ratanya terdiri daripada anak kenalan sekali gus menzahirkan kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya yang masih belum punya teman.

Bagaimanapun, apa yang diusahakan ibunya itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Selagi dia masih belum bersedia, maka dia tidak akan membuat keputusan untuk berkahwin. Demikianlah noktah Jue.

Bukan kaki ‘propa’

Sunyi daripada kontroversi ketika ini bukanlah satu jaminan buat Jue untuk terus berada dalam zon selesa.

Pernah dilabelkan sebagai artis gedik, penggoda dan playgirl, Jue kini hadir dihenyak dengan dakwaan segelintir pihak yang melabel dirinya sebagai artis kaki canang cerita atau ‘propa’.

Lumrah industri hiburan, perbuatan suka mereka cerita atau ‘propa’ sebenarnya bukanlah satu perkara yang aneh.

Pun begitu, ketika diaju pertanyaan sama ada benarkah dia seorang kaki ‘propa’, Jue yang kelihatan terkejut pantas menangkisnya tanpa secalit anggukan.

“Tolonglah, bila masa pula Jue ini kaki ‘propa’? Kalau betul, mesti dah banyak cerita pasal Jue keluar, Jue sendiri yang pergi cari wartawan menjaja cerita.

“Ini wartawan yang datang mencari Jue. Sampaikan pernah Jue tanya balik pada mereka, ‘‘Nak cerita pasal apa ya?’’. Itu situasi yang berlaku sebab Jue rasa tak ada topik yang hendak dikongsikan.

“Pelik juga ya macam mana boleh timbul isu ini. Kalau hendak tahu, Jue bukanlah orang yang sebagaimana didakwa.

“Hidup Jue sekarang hanya pada lakonan, selesai kerja terus balik rumah. Hendak lepak pun kadang-kadang tak ada masa.

“Jadi bila masa pula Jue hendak propa sana sini? Tak ada sebab untuk Jue buat benda macam tu,” ujarnya.

Tidak menolak kemungkinan ada pihak yang kurang senang dengan karakternya yang selamba, Jue bagaimanapun tenang mengendalikan segala tohmahan sambil memohon agar dirinya tidak dinilai dari luaran.

“Jue faham, tak semua orang suka pada kita, tambah-tambah kalau kita ada sedikit kelebihan daripada mereka.

“Mungkin cara Jue ini yang menyebabkan mereka kurang senang sampai tergamak menuduh Jue yang bukan-bukan. Tapi, terus-terang Jue katakan Jue bukan orang yang begitu,” katanya.

Tumpu bisnes

Jangan tak tahu, rupa-rupanya dalam diam Jue sekarang sudah bergelar usahawan.

Menjadi tulang belakang kepada pengoperasian gelanggang futsal di Sport Planet Kajang, Selangor, Jue membuktikan di mata umum bahawa dia juga berbakat dalam bidang perniagaan.

Ketika diajak berbicara mengenai karier barunya itu, gadis cantik berambut panjang ini kelihatan cukup seronok.

Kata Jue, baru sebulan dia menyertai perniagaan yang dijalankan oleh rakan kongsinya itu. Bagaimanapun, pusat futsal tersebut sudah pun beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, Jue seronok buat bisnes ni.

Kalau ikutkan, Jue berminat hendak membuka gelanggang hoki, tetapi bila difikirkan semula, lebih baik tumpu pada sukan futsal.

“Ha... Ini juga adalah sebab kenapa Jue kata tiada masa sangat untuk melepak kosong. Jue sibuk berlakon dan mengendalikan bisnes,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jue turut mengaku enggan bergantung hanya pada satu sumber pendapatan sementelah memahami dunia hiburan tidak selamanya menjanjikan pendapatan tetap.

Buat masa ini, jelas Jue, pusat futsal yang bertempat di Bandar Teknologi Kajang itu sedang melalui proses penambahbaikan.

Ia dilakukan bagi memastikan pengguna dan pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails