Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Lufya af6. Show all posts
Showing posts with label Lufya af6. Show all posts
Lufya bakal dikenali di Dubai
27 Jul –Penyanyi yang mulai popular selepas menyertai pertandingan realiti terbitan Astro, Akademi Fantasia musim ke 6 (AF6), Lufya atau nama sebenar Lutfyah binti Sheikh Omar tidak menyangka akan menerima tawaran berlakon di dalam iklan komersial untuk disiarkan di Dubai namun penggambaran dilakukan di Malaysia.
Selepas berehat sementara dari bidang lakonan, tawaran ini adalah yang pertama melibatkan produksi luar negara. Lufya merasakan ini antara strategi dia untuk mula dikenali dan mencari peluang di sana.
"Selepas menerima tawaran berlakon di dalam iklan komersial untuk mereka, saya merasakan ini adalah antara langkah awal untuk melebarkan lagi sayap saya ke negara mereka. Walaupun mungkin rezeki saya di Malaysia masih belum nampak, tapi saya bersyukur ada pihak luar yang perasan akan kehadiran saya sebagai artis di sini."
Apabila ditanya adakah disebabkan wajah Lufya seakan campuran arab yang menyebabkan dia dipelawa untuk menjayakan iklan tersebut, Lufya langsung tidak membanggakan diri malahan merasakan ini mungkin secara kebetulan sahaja.
"Saya tak tahu pula jika itu yang menyebabkan saya ditawarkan, mungkin juga muka saya ini antara kelebihan untuk saya mencuba nasib di negara sana. Apa – apa pun saya lihat ini dari sudut positif, saya berpeluang bekerja dengan tenaga kerja dari sana dan melihat cara mereka bekerja. "
"Apa yang boleh dikatakan, cara mereka bekerja amat berlainan dengan produksi kita disini. Saya ambil itu sebagai rujukan dan pengalaman, bukan senangkan nak dapat pengalaman sebegini."
Lufya yang kini dalam proses pembikinan single terbarunya berjudul "Sesungguhnya" memberitahu dia tidak sabar mahu memperdengarkan gubahan lagu hasil daripada ideanya sendiri kepada pendengar yang setia menanti.
"Ramai yang tidak tahu saya mempunyai 1 lagi keinginan iaitu untuk menjadi komposer, ada banyak di antara lagu saya yang dicipta sendiri, oleh yang demikian lagu berentak balada "Sesungguhnya" ini adalah single kedua selepas lagu "Diam" menerima kritikan positif menerusi laman Youtube."
Antara single lain yang bakal dipromosikan selepas lagu "Diam" adalah lagu berunsur ketuhanan "Doaku" seterusnya adalah "Sesungguhnya".
Buah hati Lufya orang Sweden
BINTANG Akademi Fantasia musim keenam, Lutfyah Sheikh Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Lufya timbul tenggelam dalam persada industri hiburan tempatan.
Selepas terbabit dalam kontroversi perselisihan faham dengan pelakon siri TV Anak Pontianak, Zarina Anjoulie Lavocah, nama Lufya kembali mendapat perhatian sehinggalah membuatkan Lufya terpanggil untuk ‘menujukan’ single terbaharunya, Doaku, khusus Zarina.
Kini ada cerita terbaharu tentang figura berusia 27 tahun itu. Dia yang ditemui pada pelancaran outlet baharu Ayamazzz Roti Impit di Wisma KFC, Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan, dia kini sedang dalam proses mengenali seorang jejaka yang menetap di Sweden.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan gadis kelahiran Johor Bahru, Johor itu mengenai pintu hatinya yang kembali terbuka untuk menerima insan yang dianggap istimewa itu selepas kali terakhir bercinta dua tahun lepas dengan seorang jejaka yang enggan didedahkannya.
Kosmo!: Ada dakwaan mengatakan Lufya kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki dari luar negara. Boleh komen?
LUFYA: (terkejut) Dia berdarah campuran Melayu, Arab dan Sweden yang kini menetap di Sweden. Dia sebenarnya membesar di sana sejak kecil dan memang warganegara sana. Tapi ada sebahagian keluarganya yang masih menetap di sini (Malaysia). Kami berkenalan kurang daripada setahun lalu.
Jadi, bagaimana Lufya sifatkan status perhubungan anda dan lelaki itu?
Kami dalam proses mengenali hati budi satu sama lain dan hubungan kami pada tahap biasa saja.
Bagaimana detik pertemuan Lufya dan jejaka itu?
Dia menjalankan perniagaan dan ada bisnes di Kuala Lumpur. Perkenalan kami tidak dirancang dan akhirnya semakin akrab. Hubungan bertambah erat apabila kami selalu berhubung melalui skype. Dia pun selalu datang ke Kuala Lumpur dan sekarang berada di sini untuk urusan keluarga dan bisnes.
Apa yang membuatkan Lufya terpikat untuk mengenalinya dengan lebih dekat?
Dia seorang yang sangat unik! Saya suka belajar budaya orang luar dan dia banyak menambah pengetahuan saya berhubung cara hidup di sana. Dia seorang yang romantik dan melayan saya dengan cara berbeza. Sebenarnya saya susah nak mencari cinta baharu kerana pernah disakiti. Jadi saya perlu berhati-hati. Saya terbuka hati untuk menerima dia pun kerana sudah bersendirian sejak dua tahun lalu. Dia membuatkan saya menjadi seorang yang lebih kuat dan berdikari.
Sejauh mana Lufya mengenali keluarganya?
Saya sudah berjumpa dengan keluarganya dan minggu lepas saya ada membuat persembahan (menyanyi) ketika majlis perkahwinan adiknya.
Memandangkan single Doaku telah mula dimainkan di corong-corong radio, apa perkembangan yang dapat Lufya lihat setelah kemunculan lagu tersebut?
Alhamdulillah, lagu Doaku telah mula dimainkan di radio tapi sebenarnya saya menjangkakan single itu mula dimainkan di radio pada bulan Ramadan pada mulanya. Harap lagu itu mampu menenangkan hati pendengar dan peminat memahami lirik-lirik yang terdapat dalam lagu itu. Saya dalam perancangan untuk mengeluarkan album tapi buat masa sekarang saya fikir adalah lebih baik untuk keluarkan single satu demi satu.
Perancangan Lufya sempena bulan Ramadan kelak?
Saya akan membuka gerai jualan nasik lemak kukus dan ayam goreng berempah di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Selain itu, saya akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak rumah tahfiz al-Quran di rumah saya seperti tahun-tahun sudah.
Bagaimana pula pembabitan Lufya dengan Ayamazzz Roti Impit yang kini sudah mempunyai beberapa cawangan sekitar Kuala Lumpur?
Sebenarnya Ayamazzz menyediakan ruang perniagaan kepada saya kerana tidak lama lagi saya akan membuka sebuah satu kios di pusat beli-belah Curve, Damansara. Saya sudah lama terlibat dengan Ayamazzz dan sentiasa terlibat dengan promosi pembukaan outlet baharu. Saya paling menggemari roti impit keju dan minuman pearl honey dew.
Lufya 'Hadiahkan' Lagu Ketuhanan Buat Zarina Anjoulie
KUALA LUMPUR: Penyanyi Lufya Omar, yang terlibat dengan kontroversi pergaduhan bersama Zarina Anjoulie Lavocah telah mendedikasikan lagu single terbarunya, Doaku, bagi tujuan berdamai.
Lufya berkata, dia mahu Zarina menghayati lagu yang berbentuk ketuhanan itu dan dapat memaafkan antara satu sama lain, bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba pada 21 Julai depan.
"Sebelum ini, terlalu banyak perkara yang berlaku antara saya dan dia. Saya agak malu dengan kejadian itu semua namun tidak pernah membalasnya sebab tak nak besarkan isu.
"Apa-apapun, saya ambil perkara ini sebagai benda positif, dan bagi tujuan berdamai, saya tujukan lagu 'Doaku' untuknya," kata penyanyi itu lagi.
Pada pertengahan April lalu, sebuah blog hiburan menyiarkan kenyataan Lufya di mana ada peminat yang tersalah anggap dirinya adalah Zarina dan hal tersebut menyebabkan dia pernah diraba oleh seseorang sambil dipanggil 'Anju' yang jelas merujuk kepada pelakon itu.
Kemudian, Zarina melancarkan 'perang' terhadap Lufya sebagai respons terhadap artikel berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya dan mengejek penyanyi berkenaan dengan panggilan yang tidak enak didengar.
Tambah Lufya, walaupun dikutuk hebat oleh pelakon seksi itu, dia menerima dengan tenang dan ia juga sebahagian daripada promosi untuk dirinya kepada peminat-peminat yang baru ingin mengenalinya.
Mengenai lagu Doaku, ia merupakan lagu ciptaan pertamanya selepas single pertama, Diam, yang dikeluarkan pada tahun lalu.
"Lagu ini teramat istimewa buat saya kerana ia merupakan ciptaan sepenuhnya oleh saya dengan bantuan penyusun muzik, Rafikconcept.
"Idea lagu tersebut adalah berkonsepkan ketuhanan juga datangnya dari saya di mana saya ingin menceritakan perasaan diri yang mahukan petunjuk ke arah yang diredhai.
"Alhamdulillah, setakat ini saya menerima respons yang positif apabila meletakkan lagu tersebut di laman Youtube," tuturnya.
Dalam pada itu, Lufya berkata, memandangkan dia ingin memberi sepenuh perhatian terhadap karier nyanyiannya itu, dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti lakonan.
Bukan perang siapa popular - Lutfyah
TIDAK akan sesekali takut jika keadilan yang mahu dicari. Prinsip itu cukup kuat dipegang oleh wanita bernama Lutfyah Sheikh Omar, 27, ini yang lebih selesa dipanggil Lufya.
Segala-galanya bermula dengan tindakan Lufya yang kerap memberi kenyataan berhubung isu wajahnya yang dikatakan serupa dengan pelakon kontroversi Zarina Anjoulie Lavocah.
Entah dari mana datangnya dakwaan sebegitu. Entah siapa yang memulakannya dahulu.
Lalu menyebabkan wanita ini terjebak ke dalam kontroversi meleret yang mungkin bagi sesetengah pihak cuma satu isu remeh.
Bagi penyanyi yang lahirnya dari program realiti Akademi Fantasia musim 6 (AF6) ini, jika sudah sampai ke tahap menerima gangguan seksual, ia bukan lagi satu perkara ringan yang boleh dilupakan begitu sahaja.
Dituduh berperangai ala perempuan murahan, dikecam hebat dan pernah berhadapan dengan kejadian biadap dek sang lelaki durjana, Lufya tidak dapat menerima hakikat bahawa itu semua berpunca daripada kekeliruan umum antara dia dan pelakon Anak Pontianak itu.
Kerana itu, dia berani tampil bersuara apabila disoal dan ditanya. Semuanya semata-mata untuk menegakkan keadilan dan memberi penjelasan kepada mata umum.
“Berhentilah memanggil saya Zarina Anjoulie. Saya bukan dia!" pinta Lufya yang kini berhadapan dengan kemelut `perang’ yang dilancarkan oleh Zarina baru-baru ini.
Lufya sebenarnya benar-benar tidak menyangka bahawa Zarina serius memandang penjelasannya selama ini sebagai satu ancaman.
Walhal, tujuan utama Lufya cuma untuk menjernihkan pandangan kabur orang ramai yang menyangkakan dia ialah Zarina, wanita yang pernah tampil dengan aksi berani mati sebelum ini.
“Dia mahu lancar perang? Kelakar juga ya. Bukan apa, saya tak sangka dia ambil benda ni dari sudut negatif.
“Dia mendakwa, saya mahu cari publisiti murah dengan menggunakan nama dia. Mahu lihat siapa lebih popular? Terus-terang, ini bukan soal cari publisiti atau perang siapa lebih popular. Ini soal maruah.
“Bayangkan, kalau sampai orang meraba kita di khalayak ramai tanpa kerelaan saya? Wajarkah saya berdiam? Orang ingat sayalah si seksi tu. Tolonglah!
“Mungkin pada dia, itu semua tak ada apa-apa. Benda tak jadi pada dia bolehlah dia cakap macam tu. Dia ingat saya cerita sebab saya suka dengan apa yang saya alami itukah? Dia silap.
“Mungkin juga dia tak faham apa sebenarnya yang saya cuba jelaskan. Atau mungkin juga dia faham tapi buat-buat tak faham, " katanya.
Menurut Lufya, sedikit pun di hatinya tidak pernah timbul soal mencari publisiti begini kerana baginya, biarlah naiknya lambat, asalkan bukan dengan kontroversi.
Baginya kejayaan akan datang jika nama baik keluarga terjaga. Oleh itu, dia seboleh-bolehnya mahu menjaga nama dan maruah keluarga agar tidak terhiris dengan perkara-perkara tak sepatutnya.
Namun, sebagai manusia kerdil, dia tidak dapat menolak dugaan hebat ini yang telah menyebabkan keluarganya juga turut menerima tempias.
“Pernah ibu saya ditanya orang, `eh anak kamu bergambar bogel ya? ‘. Bayangkan apa perasaan ibu saya ketika itu? Walhal saya tak pernah buat perangai tak elok, apalagi berbogel atau memakai pakaian seksi.
“Saya ni anak sulung, saya juga perlu menjaga nama adik-beradik saya yang lain yang rata-rata mereka juga berkerjaya.
“Namun mujurlah ibu dan ayah tahu saya bagaimana orangnya. Mereka benar-benar tabah saat menerima dugaan ini dan sentiasa meletakkan kepercayaan mereka pada saya," katanya.
Merasakan dirinya sebenarnya mangsa keadaan, jauh di sudut hati, Lufya benar-benar berharap agar isu ini dihentikan.
Pun begitu, dalam kekusutan, dia juga mengaku bahawa isu yang timbul sebenarnya membawa hikmah yang tersendiri.
Baik untuk Lufya mahupun Zarina sendiri.
“Saya harap dia lihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif. Bukan saya yang sengaja menimbulkan kontroversi menggunakan isu wajah serupa. Sikit pun tiada unsur rekaan cerita. Apa yang saya alami adalah benar.
“Langsung tidak ada niat untuk mengaibkan dia. Tapi saya perlu berdiri untuk menjelaskan keadaan apabila sering menjadi mangsa bahan kutukan orang.
“Namun, jika perang yang dia mahukan, itu terpulang pada dia. Saya tak akan goyah dengan pendirian untuk menegakkan kebenaran," katanya.
Rumah mewah Lufya
Ada rumah mewah dan dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Itu juga menjadi satu persoalan bagi mereka yang tahu mengenai satu lagi kisah yang mungkin sedaya-upaya cuba disorok oleh Lufya.
Lalu, timbullah pula satu lagi cerita bila mana Lufya didakwa telah ditaja oleh individu tertentu sehingga boleh meraih kemewahan begitu.
Kebetulan pula, dari segi karier, Lufya tidaklah terlalu menyerlah sebagaimana artis kelas A yang tidak perlu lagi dipertikaikan sumber kewangannya.
Jadi benarlah dia ditaja orang? Datuk kah? Tan Sri kah? Hanya Lufya sahaja yang mempunyai jawapan.
“Tentang rumah itu, saya tidak akan mengiyakan atau menidakkan. Cuma apa yang saya boleh katakan ialah Alhamdulillah, segala usaha saya selama ini mendatangkan hasil.
“Tak baik menuduh saya ditaja. Kalau saya memperolehi rumah itu pun, ia adalah daripada hasil titik peluh saya sendiri.
“Jangan ingat saya tak sering keluar di surat khabar, majalah dan sebagainya, saya ni tak ada kerja.
“Alhamdulillah kerjaya saya berjalan lancar. Rezeki sentiasa mencurah. Itu saja yang boleh saya cakap, " ujarnya.
Mahu serius berlakon
Tatkala berbicara mengenai perkembangan kariernya, anak jati Johor Bharu, Johor ini lancar sahaja bercerita.
Rupa-rupanya dia bukanlah seorang yang cuma duduk diam menanti kerja datang pada dirinya.
Lufya selain sibuk menghadiri undangan nyanyian untuk majlis korporat dan tertutup juga turut mengisi kebanyakan masanya dengan menulis lirik dan menggubah lagu.
Jangan tak tahu, setakat ini sudah lebih 30 lagu yang telah dihasilkan oleh Lufya.
Namun, yang paling mendapat tempat di hati peminat ialah singlenya yang berjudul Diam.
Kata Lufya, dia mula serius dalam bidang gubahan lagu sejak tiga tahun lepas.
“Saya suka menulis lirik. Paling saya idamkan ialah melihat karya saya dijadikan runut bunyi untuk sesebuah drama atau filem. Itu adalah hasrat saya.
“Sekarang, saya sedang berusaha membawa karya saya kepada pihak yang berkenaan terutama pihak produksi untuk dipertimbangkan bagi tujuan itu," katanya.
Selain itu, Lufya juga sedang mencari ruang dan peluang untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
“Nyanyian memang sentiasa menjadi keutamaan saya.
“Namun kini, saya fikir, sudah tiba masanya untuk saya serius dalam bidang lakonan sebab saya berani sahut cabaran.
“Kalau boleh, saya nak jadi macam Agnes Monica. Dia berlakon dan lagunya juga menjadi runut bunyi dalam setiap drama atau filem lakonannya. Bukankah itu menarik?" katanya yang turut menjadi hos untuk program Jamming dan Podium.
Jejaka Sweden di hati
Lanjut bercerita mengenai cinta, Lufya yang pada awalnya malu-malu untuk berkongsi, bagaimanapun mengaku hatinya kini sudah dimiliki.
Malah kata Lufya, orangnya juga bukan yang dekat-dekat. Nun jauh bermastautin di Sweden.
Berusia tiga tahun lebih tua daripadanya, Lufya tidak menafikan bahawa dia kini selesa berdampingan dengan jejaka yang namanya dirahsiakan itu.
Walaupun cinta jarak jauh bukanlah apa yang pernah terfikir di benaknya, Lufya bagaimanapun akur dengan ketentuan Tuhan seandainya ini adalah jodoh buatnya.
“Saya belum bersedia untuk memperkenalkan dia kepada umum. Cukuplah saya beritahu, dia berdarah campuran Melayu-Arab dan tinggi lampai orangnya.
“Kami dah berkawan sejak tujuh bulan lepas. Disebabkan kami jarang bertemu, Skype adalah medium yang sentiasa menjadi penghubung kami. Nak buat macam mana, cinta jarak jauhlah katakan," candanya.
Diusik bagaimana perkenalan bermula, Lufya cuma tersenyum sebelum mengaku belum bersedia untuk menceritakan segala-galanya.
“Cukuplah saya katakan, saya suka dengan caranya yang pandai membawa diri walaupun menetap di negara orang dan saya selesa berkawan dengannya," katanya.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan, Lufya pantas menolak usikan itu.
“Belum ke situ lagi. Tapi insya-Allah, saya akan bertemu dengan keluarganya pada bulan Jun ini memandangkan mereka sekeluarga akan pulang ke Malaysia untuk bercuti.
“Itu cuma perjumpaan biasa. Jangan cuba nak spekulasi ya! Jauh lagi untuk saya memikirkan soal perkahwinan. Namun kalau jodoh itu sampai, siapalah saya untuk menolak, " candanya lagi.
Lufya Akui Pernah 'Dilamar' Anang

KUALA LUMPUR: Penyanyi Lutfyah Sheikh Omar, 26, (Lufya) mendedahkan pernah dilamar penyanyi dan komposer Indonesia, Anang Hermansyah sebagai teman duet untuk albumnya dua tahun lalu sebelum bekas suami penyanyi Krisdayanti itu bekerjasama dengan Syahrini dan Ashanty.
Namun, dia terpaksa menolak tawaran keemasan tersebut disebabkan perselisihan jadual kerjanya yang ketika itu terikat dengan projek lakonan.
"Tawaran berduet itu hadir dua tahun lalu ketika Anang mencari pasangan untuk album duetnya. Ia berlaku sebelum Anang berduet dengan Syahrini lagi.
"Kami kenal ketika saya berkunjung ke rumah sanak-saudara saya di Bali dan dia meminta saya hantarkan demo kepadanya.
"Mungkin bukan rezeki kami untuk bekerjasama apabila saya terpaksa menolak tawaran itu kerana sudah terikat dengan komitmen drama," katanya yang ditemui pada pelancaran “single” pertamanya iaitu Diam di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.
Bertitik-tolak daripada tawaran itu, bekas peserta program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini mengakui kian bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam nyanyian walaupun berdepan pelbagai dugaan.
"Perjuangan saya dalam nyanyian selepas AF6 penuh dengan rintangan. Kritikan dan kecaman pelbagai pihak memberi kekuatan untuk saya meneruskan minat ini.
"Kini saya selesa bergerak dan berkarya atas usaha sendiri. Walaupun ia memakan masa dan mencabar, saya mendapat restu dan sokongan keluarga," katanya.

Mengulas tentang melodi lagu Diam yang mula diilhamkan lebih lapan tahun lalu itu, Lufya berkata, dia mengambil masa lebih dua tahun untuk menulis liriknya kerana tidak berkeyakinan untuk tampil sebagai penyanyi sebelum ini.
"Selepas AF6, peluang lebih menjurus pada lakonan berbanding nyanyian. Walaupun ketika itu saya sudah memiliki lagu-lagu sendiri tapi saya simpan hasrat itu kerana tiada pihak yang meyakini kebolehan saya.
"Pengalaman berlakon selama dua tahun memberi ilham untuk menghasilkan lebih banyak lagu.
"Dengan kos penerbitan hasil simpanan sendiri dan tajaan beberapa pihak, kini saya mahu fokus dan serius dalam nyanyian dan lakonan," katanya yang turut tampil dengan klip video lagu itu.
Tambah Lufya, seandainya lagu berentak pop rancak itu mendapat respons positif, dia bercadang untuk mengeluarkan lapan hingga 10 lagi lagu ciptaannya secara berperingkat selepas ini.
"Apabila lagu Diam dihantar ke stesen radio hujung tahun lalu, ia tidak mendapat sambutan ekoran tiada publisiti.
"Saya harap dengan pelancaran “single” ini akan menarik perhatian stesen radio untuk memutarkan semula lagu ini," katanya.
Lufya kaki kikis

BUKAN gimik mahupun tuduhan tanpa usul periksa, tapi itulah pendedahan tanpa selindung gadis kacukan Melayu-Jawa-Arab, Lutfyah Sheikh Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Lufya Omar.
Lagu hasil sentuhan kreatif dirinya itu ibarat satu nafas baru genre lagu berentak ‘dance music’ dengan sentuhan ‘mood’ Arab yang sebati dengan darah yang mengalir dalam dirinya.
“Kebanyakan lagu yang saya cipta berbentuk penceritaan yang dikutip hasil pengalaman sejak terjun ke dalam bidang lakonan dan juga kehidupan seharian,” katanya.
Mula belajar menggubah lagu secara tidak formal ketika berusia lapan tahun, Lufya yakin bakat dikurniakan Yang Maha Kuasa melalui ‘humming’ itu sebenarnya satu petanda dia bakal bergelar komposer satu hari nanti.
Mungkin masih terlalu awal untuk melabel gadis ini sebagai profesional dalam bidang itu, namun ia seolah-olah bukan satu rahsia berikutan single pertama ciptaannya, Diam juga mula mendapat tempat di telinga pendengar.
Biarpun lagu itu tidak berkumandang secara menyeluruh di radio tempatan, ia ibarat satu perkembangan positif kepelbagaian bakat yang ada dalam diri gadis berusia 25 tahun ini.
Belum boleh menarik nafas lega, dia merancang mempelbagaikan kreativiti dengan percubaan untuk ketengahkan single pertama Diam sebagai lagu tema drama bersiri romantik komedi Awekku Bukan AwekMu yang dijangka memulakan siaran di Astro bulan depan.
“Lagu itu sesuai berikutan saya membawa watak gadis bisu yang terpesona dengan seorang lelaki namun tidak mampu meluahkan perasaan itu secara terus terang.
“Malah impian saya juga ingin melihat lagu ciptaan saya yang lain diangkat sebagai lagu tema drama dan filem tempatan,” katanya.
Lufya menjadikan realiti kehidupan seharian yang berlaku di sekelilingnya sebagai guru terbaik untuk mencapai impian bergelar bintang filem satu hari nanti.
Turut menyatakan kekaguman dan menghormati rakan sealiran iaitu Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang yang pernah mengalami jatuh bangun sebelum dikenali ramai kini, tidak dinafikan Lufya mampu menjadi artis serba boleh satu hari nanti.
Bercakap mengenai jatuh bangun, Lufya pernah dilabel gadis ‘gedik’ di pentas Akademi Fantasia 6 (AF6) hingga membuatkan segelintir pihak rasa kurang selesa, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya.
Malah secara telus, dia mengakui itulah dirinya yang sebenar — sentiasa peramah dan mudah mesra dengan semua orang.
Perjalanan Lufya untuk bergelar artis tidak semudah disangka, malah dia terpaksa menongkah arus deras dan ranjau penuh liku di pentas hiburan untuk mengejar cita-citanya bergelar artis serba boleh, baik dalam lakonan mahupun nyanyian.
Pernah menyertai program Siti Nurhaliza Mencari Bintang hingga melayakkan dirinya berada di Top 5 belum cukup untuknya mengecapi impian yang diinginkan sejak kecil.
Malah percubaan demi percubaan dalam program Malaysia Idol dan AF6 akhirnya hampir membuahkan hasil dan bakatnya berjaya dikesan segelintir pengarah dan penerbit tempatan untuk membawanya ke pentas hiburan aliran perdana.
“Selepas AF6, saya ditawarkan pihak tertentu untuk merakam album, namun janji hanya tinggal janji. Bagaimanapun saya tidak patah semangat,” katanya.
Tawaran pihak itu yang terus terkubur tanpa batu nesan memberi satu inspirasi bagi gadis ini mengatur strategi untuk mempromosi dirinya supaya dapat duduk seiring bukan saja sebagai penyanyi, malah pelakon yang kian sebati dalam jiwanya.
Selain Awekku Bukan Awekmu, Lufya dapat dilihat dalam drama Banifsha, Impian Sunsilk 2, Bukan Bidadari, Tuah Kembali dan Enam Sharifah. Dia juga aktif dalam iklan komersial seperti Kotex, Avon, Lipton, Standard Chartered, Pantene dan Nokia.
Menubuhkan syarikat sendiri, Luyfa Omar Agency (LOA) pula bagai satu jambatan yang dibina menggunakan kudrat dan titik peluh sendiri hasil pengalaman lebih tiga tahun bertapak dalam industri hiburan tanah air.
LOA turut bertindak sebagai pengurus induk aktiviti seninya di samping sebagai landasan kepada bakat baru dalam dunia peragaan. Melalui agensi itu juga, Lufya akan menerbitkan albumnya sendiri yang dijangka berada di pasaran menjelang tahun depan.
Album berkonsepkan pop dengan sentuhan glam rock dan teaterikal ini mengandungi enam lagu, termasuk satu lagu Inggeris yang turut menampilkan Akbar, Imran Ajmain, One Nation Emcee, Caprise dan Farah Asyikin.
Untuk memberi sedikit ‘jelingan’ kepada single baru yang bakal diterbitkan kelak, peminat boleh melayari laman web Lufya Official Fanpage dan mendengar sendiri keunikan hasil karya anak muda berbakat ini.
Lufya Rasa Puas Bila Gubah Lagu Sendiri

MENYANYIKAN lagu gubahan sendiri berbanding komposer lain memberikan rasa yang berbeza kepada penyanyi Lutfyah Sheikh Omar, 25.
Banyak faedah yang dirasai olehnya lebih-lebih lagi apabila setiap lagu yang digubah itu mampu memberikan kepuasan apabila menepati citarasa sendiri.
Berkat sabar menanti, akhirnya Lufya muncul dengan single pertama berjudul Diam yang kini sedang diputarkan di Hot FM.
Sekarang dia sedang menunggu sebuah lagi lagu untuk disiapkan sebelum album yang memuatkan enam buah lagu itu dihasilkan pada hujung Mei ini.
Selain Diam, dia juga tampil dengan Kaki Pengikis, Cintai Sakiti dan Kawanku. Kesemua lagu tersebut berentak pop dance.
“Saya menggubah sendiri untuk kesemua lagu-lagu saya kerana setiap lagu itu mempunyai cerita.
“Kalau kita menggubah lagu sendiri, secara automatik saya dapat sampaikan dan lebih merasai sesuatu lagu itu dari hati,” katanya yang menerbitkan albumnya di bawah syarikatnya sendiri, Lufya Omar Agency (LOA).
Dengan mengeluarkan duit sendiri, Lufya tidak pernah putus harap untuk menghasilkan album yang memakan masa lima bulan itu. Walaupun dia terpaksa melupakan niatnya untuk menggunakan khidmat komposer Manan Ngah, dia gagahkan dirinya juga untuk meneruskan perjuangan dalam industri muzik ini.
“Pada mulanya saya berniat untuk menggunakan khidmat Abang Manan tetapi sebab dia sibuk, saya terpaksa meneruskan niat untuk menghasilkan album ini sendiri.
“Saya turut menggunakan khidmat jurutera bunyi Fauzi dari Singapura sebagai penasihat muzik saya yang berpengalaman dalam konsert bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur dan Singapura,” kata wanita berusia 25 tahun itu.
Selain aktif dalam bidang muzik, Lufya juga mahu berjaya dalam bidang lakonan.
Terbaru, dia baru selesai menjalani penggambaran drama seram Detik 12 Malam untuk RTM2. Tidak lama dulu, dia pernah berlakon dalam drama seram berjudul Hantu Singapura.
Menurutnya, drama itu menceritakan tentang misteri alat muzik erhu peninggalan nenek moyang sahabatnya.
“Dalam drama ini, saya dirasuk oleh hantu Cina sehingga boleh bercakap dalam bahasa Mandarin,” katanya mengenai drama arahan Anwardi Jamil itu.
Jika ditanya tentang kepuasan dalam dunia lakonan, pastinya dia mendambakan watak yang lebih mencabar. Jelasnya, semakin mencabar sesuatu watak itu, semakin puas dia berlakon.
“Sebelum ini saya pernah berlakon sebagai orang bisu dan pekak dalam drama Awekku Bukan Awekmu. Bila saya belajar dan mengikuti kelas bahasa isyarat, saya dapat rasa dan alami sendiri apa yang dirasai oleh golongan kurang upaya itu.
“Jadi, selepas ini, kalau boleh, saya nak berlakon watak perempuan buta pula,” beritahu anak sulung dari lima beradik itu penuh semangat.
Anak kacukan Indonesia dan Arab itu telah berlakon dalam beberapa drama tempatan lain seperti Banifsha, 6 Syarifah, Kisah Pendekar, Semanis Janji, Impian serta beberapa komersial seperti Pantene, Lipton, Good Maid, Avon, Elle dan Nokia.
Padah mirip wajah Anak Pontianak-Lufya

Lufya letih menepis tanggapan negatif peminat seni bahawa dirinya adalah aktres remaja Zarina An-Julie
KEMUNCULAN drama bersiri Impian Sunsilk (musim kedua) menerusi TV3, sedikit sebanyak mengembalikan ingatan peminat kepada kelincahan bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), Lufya, 24, selepas sekian lama dia menghilangkan diri daripada industri seni. Sebelum itu Lufya dikhabarkan terpalit dengan pelbagai cerita negatif seperti sombong dan ‘bermulut longkang’!
Kontroversi yang melanda dirinya tidak terhenti begitu saja apabila sejak kemunculannya di pentas seni, dirinya acap kali dibayangi kisah hitam yang pernah melanda aktres drama bersiri popular Anak Pontianak iaitu Zarina An-Julie Fahizul, 22, yang pernah menggemparkan industri hiburan dengan kemunculan beberapa keping gambar lucah yang konon dirinya. Semuanya gara-gara Lufya dan Zarina mempunyai wajah hampir sama!
Selain itu, gambar Zarina berpakaian seksi bersama teman-teman berhibur di tepi pantai dan pusat hiburan pernah tersebar meluas di Internet, sekali gus keadaan itu memberi tekanan kepada Lufya apabila dia sering menjadi mangsa sindiran ‘mulut jahat’ setiap kali terserempak dengan masyarakat yang menganggap dirinya Zarina!
Kisah Lufya pernah dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak gara-gara sikap negatifnya sebelum menyertai AF6 juga pernah menjadi perdebatan media massa. Dia juga dikatakan pernah lari dari rumah ketika usia awal remajanya. Justeru, kesempatan bertemu Lufya baru-baru ini, dia meleraikan apa yang sebenarnya terjadi dalam hidupnya, selain bercakap kisah cintanya dengan seorang jurufoto sebuah majalah hiburan.
“Tuduhan yang pernah dilemparkan kepada saya adalah daripada mereka yang tidak mengenali saya secara dekat. Sebagai bintang AF, buat apalah saya nak sombong dengan orang apabila kejayaan saya selama ini pun adalah daripada sokongan peminat. Saya masih mencari tapak dalam bidang seni, jadi kenapa nak buat sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kebencian orang ramai. Apabila bekerja, saya nak jumpa lebih ramai kawan.
Apabila ada dakwaan mengatakan saya suka cakap lepas, saya akui terutama ketika mengutarakan idea, namun saya cakap baik-baik, bukannya orang kata saya cakap lepas macam ‘mulut longkang’! Apabila ada sesuatu perkara yang saya tak setuju, saya bersuara dengan ikhlas, tapi bukannya secara kasar. Saya sedar, diri ini bukan siapa-siapa, buat apa cakap yang bukan-bukan, nanti memakan diri sendiri saja.
Mungkin dalam kita bekerja itu, ada individu yang sakit hati dengan kita apabila menyebarkan cerita negatif mengenai kelakuan saya. Tak semua orang suka walaupun kita tak pernah menyakiti hati mereka. Justeru, segala dakwaan mengatakan saya sombong dan suka cakap lepas adalah tidak berasas, kenali saya dulu, baru tahu saya ini bagaimana orangnya.”
‘Datang dekat-dekat nak menggatal’
“Apabila saya berjalan di luar, tiba-tiba orang pandang diri saya semacam saja, saya tak selesa. Lepas itu orang cakap, ‘Kita pernah jumpa kat Port Dickson, takkan tak ingat?’ Apabila saya buka cermin mata hitam, baru mereka perasan, dia orang dah salah orang. Memang saya tak nafikan, muka saya dan Zarina (An-Julie) ada iras-iras. Mungkin disebabkan itu, ada pihak yang melabel saya dengan pelbagai cerita negatif.
Apabila kami mempunyai wajah yang seakan sama, secara tak langsung saya terkena tempiasnya. Tapi, nak buat macam mana, orang di luar sana terlalu mudah menjatuhkan hukuman. Saya pun sedih kerana saya sendiri mengenali Zarina sebagai teman artis. Kebetulan kami pun tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan, justeru ada ketikanya kami terserempak di restoran, kami hai hai. Memang tak ada masalah, kami berkawan.
Saya harap Zarina tak ambil hati apabila masyarakat mengaitkan dirinya dengan saya. Saya sendiri tak mahu perkara seumpamanya berlaku. Bagi saya, setiap kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang terjadi sebelum ini adalah antara dirinya dan keluarga. Namun, sebagai kawan artis, saya sentiasa memberinya sokongan daripada segenap ruang, lagipun antara saya dan Zarina, kami tidak pernah bermasalah.
Cuma, perkara negatif yang pernah dikaitkan dengan Zarina, saya tak suka apabila orang ramai melabel saya dengan isu negatif juga. Saya kerja ikhlas dengan niat membina nama dalam industri seni, tapi apabila saya pula dikaitkan dengan gejala negatif, tak seronoklah. Sebagai komuniti dalam masyarakat, jangan terlalu cepat menghukum. Berilah peluang kepada Zarina memperbaiki kesilapannya, lagipun dia seorang pelakon berbakat.
Samalah halnya dengan diri saya, apabila saya berjalan, ada mata yang memandang dengan niat negatif, datang dekat-dekat nak menggatal, saya tak selesa! Lepas tu jerit-jerit, ‘Hey, jumpa kat Port Dickson buat-buat tak kenal pulak’, saya harap mereka menghentikan perbuatan itu serta-merta. Kenali diri saya betul-betul, Zarina ke Lufya?”
Lari dari rumah hanya salah faham
“Saya juga tak pernah dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak seperti yang didakwa sesetengah pihak. Saya beranggapan, mereka salah orang! Saya tak pernah terjebak dengan gejala sosial serius sehingga terpaksa dimasukkan ke pusat pemilihan akhlak. Semua cerita itu adalah tuduhan tidak berasas.
Begitu juga dengan dakwaan saya lari dari rumah, tak benar! Pun begitu, cerita sebenarnya begini. Ketika itu keluarga kami berdepan dengan sedikit masalah. Bagi menenangkan fikiran, saya keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga. Saya tidur di rumah nenek, sebaliknya ibu mencari saya di rumah kawan-kawan. Justeru, apabila berlakunya situasi seumpamanya, kawan-kawan beranggapan, saya lari dari rumah, sebenarnya tak...
Memanglah, ada segelintir kawan-kawan yang suka menyebarkan cerita negatif, saya jadi mangsa. Ketika saya berada di dalam AF, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengungkit kisah silam dan secara tak langsung mencalar nama baik saya. Saya juga pernah menghilangkan diri seketika daripada industri disebabkan terlalu kecewa dengan pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan, saya pulang kampung tenangkan fikiran.
Kini saya bangkit semula daripada kekecewaan, segar daripada segala masalah yang pernah timbul. Namun, rezeki saya lebih ke arah lakonan. Memang ada niat nak menghasilkan lagu, tapi saya memerlukan sedikit masa lagi. Ketika ini saya sedang tulis lagu sendiri, melodi pun buat sendiri dan kalau boleh nak susun muzik sendiri.
Tapi, dalam masa sama, untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur, saya buat iklan dan berlakon drama. Sekalipun saya masih merangkak di bidang nyanyian, tapi Alhamdulillah, masih ada lagi tawaran pertunjukan pentas. Cita-cita untuk bergelar penyanyi belum tercapai sepenuhnya, tapi dengan rezeki iklan dan lakonan, saya teruskan saja perjuangan ini.
Terus-terang, dalam usia begini, kawan itu adalah, tapi nak kata fikir sampai nak kahwin, rasanya belum lagi. Gosip saya bercinta dengan jurufoto adalah tidak benar. Sebenarnya dia adalah kawan ketika zaman persekolahan dulu. Tapi, sampai sekarang masih ada cakap-cakap yang mendakwa kami masih berhubungan, sebaliknya cerita itu tidak benar. Tambahan pula jurufoto berkenaan sudah berkahwin, justeru tak perlu diungkit kisah lama.”
INFO: Lufya
•NAMA PENUH: Lutfyah Sheikh Omar
•TARIKH LAHIR: 2 Februari 1985
•KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
•ASAL: Johor Bahru, Johor
•DARAH CAMPURAN: Ayah (Arab & Malaysia), ibu ( Arab & Indonesia)
•IKATAN KEKELUARGAAN: Anak saudara aktres popular Betty Banafe
•PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru
•KOMERSIAL: Pantene, Lipton, Good Maid, Avon, Elle dan Nokia
•PENCAPAIAN: Finalis Akademi Fantasia 6 (AF6) (2008), namun terkeluar pada konsert minggu ketiga
•DRAMA: Awekku Bukan Awekmu, Banifsha, 6 Sharifah, Tuah Kembali, Impian Sunsilk (musim kedua) dan Bukan Bidadari
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
