Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Lydiawati. Show all posts
Showing posts with label Lydiawati. Show all posts

Sakit Saraf Lydiawati Angkara Khianat Orang

Pelakon Lydiawati memberitahu salah satu punya penyakit saraf dan reumatik yang dialaminya selama ini adalah disebabkan perbuatan khianat seseorang. Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon, 48, berkata, dia menyedari perkara itu selepas bertemu dengan beberapa orang ustaz yang memaklumkan perkara berkenaan. "Itulah, orang kata, nak percaya susah, tak percaya pun susah. Selepas berubat oleh beberapa ustaz, mereka cakap benda yang sama bahawa penyakit saya adalah kerana khianat orang. "Dan difahamkan orang yang 'mengenakan' saya itu adalah teman rapat saya. Entahlah... Apa-apapun sekiranya ada orang yang berniat jahat, saya berserah kepada Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Pada Mei lalu, Lydiawati dilaporkan diserang penyakit saraf dan reumatik selepas berasa kebas dan bisa pada bahagian kiri kaki dan tangan sehingga menyukarkan pergerakannya. Bagaimanapun Lydiawati memutuskan untuk tidak menjalani sebarang rawatan hospital selepas mendapati kos rawatan yang perlu dibayar agak mahal. Dalam pada itu, Lydiawati berkata, ini merupakan kali kedua dia mengelami perbuatan khianat seperti itu selepas kejadian disantau pada tahun 1997. "Harap-harap penyakit saya sekarang ini tidak seperti dulu. Saya pernah kena santau angin sampaikan badan saya kecut dari dalam. Alhamdulillah selepas empat bulan dirawat, barulah sihat," ujarnya. Sementara itu, Lydiawati berkata, dia bersyukur apabila salah seorang peminatnya menawarkan bantuan membiayai kos rawatan penyakitnya itu. "Alhamdulillah, selain menerima pelbagai ubat-ubatan, saya juga didatangi seorang hamba Allah yang juga merupakan peminat saya dan ingin membiayai rawatan penyakit saya ini. "InsyaAllah, tidak lama lagi saya akan menjalani rawatan sepenuhnya di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang. "Sekarang ini, saya ikhtiar saja apa-apa rawatan. Moga ia dapat mengurangkan kesakitan saya ini," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Lydiawati kini sedang menjalani penggambaran Menghitung Rahmat Tuhan terbitan Zeel Production. Selain itu, pelakon itu juga bakal muncul menerusi filem biografi yang mengangkat kisah Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Saloma. Ia bakal ditayangkan menerusi saluran Astro First Eksklusif pada 28 Ogos ini.

'Artis Jadi Pemalas Jika Ada PA' - Lydiawati


PUTRAJAYA: Pelakon popular era 80-an, Lydiawati memberitahu sepanjang 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni, dia tidak pernah mempunyai pengurus peribadi (PA), seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan artis ketika ini.

Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Saimon menganggap pelakon yang mempunyai PA adalah mereka yang malas apatah lagi jika PA itu dibayar gaji bagi menguruskan kerjaya seni seseorang artis.

"Alhamdulillah, sepanjang 30 tahun bergelar pelakon saya tidak pernah ada PA. Pada pendapat saya, selagi kita boleh menguruskan diri kita sendiri, lebih baiklah kita yang uruskan.

"Saya bukannya nak tunjuk hebat, tetapi saya mahu ia dianggap sebagai satu perkongsian pengalaman untuk dijadikan tauladan buat artis-artis baru," katanya.

Tambah pelakon Suami Isteri dan ... ini, artis muda sekarang dilihat gemar melepaskan semua urusan terutamanya jadual lakonan dan jurusan pakaian kepada PA masing-masing tanpa mempedulikan hal-hal tersebut yang dianggap penting.

"Ramai yang suka mengambil kesempatan terhadap PA masing-masing seperti memarahi mereka tanpa berfikir.

"Kalau ada PA ia akan menyebabkan para artis tidak tahu untuk menguruskan diri kerana segala kerja mereka orang lain yang buat. Mereka hanya tahu berlakon semata-mata. Bagaimanapun, mempunyai PA juga ada kebaikannya, tetapi ia tidak membantu seseorang pelakon itu menjadi lebih peka," ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Lydiawati berkata dia menyerahkan jodohnya kepada Allah selepas tiga tahun menjadi janda.

"Saya meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa jodoh adalah ketentuan Tuhan dan saya enggan mencari. Jika ada seseorang yang sesuai, kira adalah. Cuma saya tidak mengharapkan apa-apa.

"Biarlah fokus saya lebih kepada karier dan anak-anak," tuturnya.

Pelakon Lydiawati Kerugian Diperdaya Promoter Singapura


PUTRAJAYA: Pelakon Lydiawati telah diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai promoter dengan menawarkannya untuk menjadi pengacara di sebuah majlis Singapura.

Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon mendakwa, individu yang dikenali sebagai Abdul Malek Ramli itu telah menawarkannya sebanyak RM6,000 untuk tugasan itu pada Jumaat lalu dengan syarat perlu membayar dahulu “cukai pertukaran mata wang asing” sebanyak RM1,400.

"Pada awalnya, saya menerima tawaran tersebut dan apabila diminta untuk membayar cukai seperti yang diperkatakan sebanyak RM700, saya masukkan ke akaun bank miliknya. Saya membayar tanpa banyak soal atas dasar kepercayaan terhadap lelaki tersebut.

"Kemudian, tidak lama kemudian dia meminta saya lagi wang cukai berkenaan. Dan saya mula persoalkan, kenapa saya pula yang perlu membayar wang tersebut sedangkan saya dijemput untuk mengendalikan majlis?

"Bagaimanapun, saya terus terpedaya dan membayar RM700 seperti yang diminta. Apa yang membuatkan saya lebih musykil, dia kata dirinya tidak akan berada pada hari majlis tersebut berlangsung," katanya.

Tambah Lydiawati, apabila berasa seperti diperdayakan oleh lelaki tersebut, dia terpanggil untuk memeriksa sendiri lokasi tempat majlis itu dan ternyata tiada aktiviti seperti yang diperkatakan.

Justeru, pelakon tersebut nekad membatalkan tawaran berkenaan kerana bimbang dia akan diperdaya lagi ketika berada di Singapura nanti.

"Ternyata lelaki itu sangat mencurigakan kerana dia mendakwa dirinya berada di Batam, Indonesia tetapi nombor telefon bimbit yang digunakan adalah nombor di Malaysia.

"Lantas saya membuat keputusan untuk membatalkan tawaran tersebut kerana risau akan ditipu lagi ketika berada di sana. Bagaimanapun, sehingga kini wang saya belum dikembalikan," tuturnya.

Beritahu ibu tunggal kepada dua orang anak ini lagi, dia tidak menyangka lelaki tersebut boleh menipu dirinya yang merupakan seorang anak yatim piatu dan berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada artis-artis lain.

"Kalau terdesak mahukan duit sekalipun, janganlah menipu anak yatim piatu seperti saya. Apa-apa pun, saya percaya ada hikmah di sebaliknya kerana apa yang dapat saya lihat, tawaran kerja semakin banyak selepas kejadian itu," tuturnya.

Bagaimanapun, pelakon ini belum terfikir untuk mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki tersebut.

Bertudung bukan ikut trend - Lydiawati


Ini kerana, biarpun bertudung, si pemakainya boleh mempelbagaikan fesyen yang ada agar kelihatan lebih menarik.

Menurut pelakon berusia 46 tahun ini, ketika ini terdapat banyak fesyen tudung yang dipopularkan oleh ramai artis seperti yang dipakai oleh Wardina dan Yuna.

Bagaimanapun, jelas Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon, dia memakai tudung bagi menutup aurat dan bukannya kerana terikut-ikut dengan fesyen semasa.

Bagi pelakon drama dan filem yang popular pada tahun 1980-an ini, berfesyen dalam bertudung adalah perkara kedua.

"Apa yang penting ialah niat kita bertudung kerana memenuhi tuntutan ajaran Islam dan bukannya kerana mahu berfesyen. Bagi saya, bertudung bukannya kerana dipaksa dan terpaksa atau mengikut trend, tetapi ia lahir daripada hati dan kesedaran si pemakai itu sendiri.

"Saya bertudung kerana ia datangnya daripada hati dan kesedaran sendiri. Tidak timbul soal berfesyen kerana sewaktu saya mula-mula memakai tudung tujuh tahun lalu, ketika itu belum ada fesyen tudung seperti yang dipakai oleh Wardina atau Yuna," katanya kepada S3.

Lydiawati yang baru habis menjalani penggambaran telemovie berjudul Bertaut Kasih arahan Haris Kadir berkata, sejak bertudung, dia bukan sahaja tidak menghadapi masalah untuk terus berlakon. Sebaliknya, tawaran berlakon yang diterimanya semakin mencurah-curah.

Dia yang telah terbabit dalam bidang lakonan sejak 30 tahun lalu menambah, dengan imej bertudung juga tidak bermakna watak-watak lakonannya dalam drama atau filem stereotaip kepada watak-watak yang baik sahaja tetapi meliputi pelbagai watak yang sebaliknya.

"Ramai orang beranggapan kalau bertudung seseorang pelakon itu mesti diberikan watak-watak yang baik sahaja. Sedangkan kita lupa bahawa tidak semua wanita yang bertudung itu baik dan dengan bertudung, watak itu juga boleh dipelbagaikan.

"Cuma sebagai pelakon, selepas kita bertudung, seharusnya kita menunjukkan contoh yang baik supaya masyarakat tidak mengata.

" Sebab itu, setiap wanita terutamanya artis yang bertudung seharusnya menjaga kelakuan mereka," ujarnya.

Ibu tunggal kepada Nor Munira, 25, dan Puteri Batrisya, 10, ini menjelaskan, boleh dikatakan masih baru dia bertudung biarpun pernah mengerjakan umrah pada 1989. Jelasnya yang telah menjanda sejak empat tahun lalu, hidayah untuk bertudung datangnya daripada Allah.

Tambahnya, biarpun melakonkan watak wanita solehah yang bertudung dalam drama dan filem, namun jika hidayah dan kekuatan daripada Allah untuk bertudung tidak diterima maka lakonan seseorang pelakon itu hanya sekadar tinggal lakonan semata-mata.

"Sebab itu, saya anggap bertudung bukan sahaja wajib bagi setiap wanita agar menutup aurat kerana mematuhi ajaran Islam tetapi pada masa sama, mereka juga berdepan dengan pelbagai cabaran. Antaranya wajib menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.

"Semua itu datangnya daripada kesedaran masing-masing. Kalau setakat melakonkan watak bertudung dalam filem dan drama tetapi kesedaran tidak ada maka ia hanya sekadar lakonan sahaja. Paling teruk, ada pelakon yang melakukan perkara sebaliknya di luar bidang lakonan mereka," komennya lagi.

Justeru, Lydiawati yang baru selesai menjalani penggambaran filem berjudul 8 Jam, Sumpah Kum Kum dan Sam kini begitu berhati-hati dalam menjaga batas-batas pergaulannya agar apa yang dilakukannya tidak bertentangan dengan ajaran Islam serta menjadi bahan umpatan masyarakat.

Di mana tudung Lydiawati?


Pelakon ini mengenakan skaf jaring penuhi tawaran berlakon

KELIBAT Lydiawati yang tampil dengan skaf jaring rona putih dan bergaya ranggi dengan seluar jeans ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama Ustaz Amirul, mengundang perhatian.

Penampilan pelakon berusia 47 tahun itu kelihatan berbeza benar dengan gayanya sebelum ini yang bertudung litup. Serta merta pelbagai soalan menerjah di benar fikiran, malah tidak sabar rasanya untuk dilontarkan kepada pelakon yang pernah digandingkan dengan Rosyam Nor dalam filem Suami, Isteri dan .... itu. Ke manakah pergi tudungnya? Adakah Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon mengubah penampilan akibat kegagalan rumah tangga dengan lelaki bergelar datuk kira-kira setahun lalu.

Dengan penuh hati-hati, ayat disusun agar pelakon ini tidak tersinggung. Kebimbangan segera pudar apabila ibu kepada dua cahaya mata itu menjawab pertanyaan yang dilontarkan dengan senyuman.

Dia berpakaian sedemikian kerana membawa karakter ibu kepada pelakon Shaheizy Sam untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul 8 Jam yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Chow Kit.

Malah ketika di temu bual ini, dia bersama seorang lagi pelakon wanita yang juga sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan iaitu Kuna terus bergegas ke lokasi penggambaran.
Katanya, apa saja yang ingin diperkatakan orang terhadap dirinya, itu hak masing-masing. Yang penting, Tuhan mengetahui niatnya.

“Saya tidak peduli apa pun yang orang ingin perkataan mengenai penampilan saya. Bagi saya, hati budi manusia tidak seharusnya diukur dari penampilan seseorang kerana pokok pangkal adalah hati kita. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu apa yang saya buat dan tuhan juga tahu saya lakukan semua ini kerana mencari rezeki yang halal.

“Sebagai manusia kita tidak boleh cepat menilai kerana tentu ada sebab kenapa seseorang itu buat sesuatu. Ketika filem ini ditawarkan kepada saya, Ahmad Idham bertanya terlebih dulu sama ada saya sanggup ubah penampilan atau tidak. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah kerana saya buat disebabkan kerja.

“Saya bergaya begini bukan disebabkan kegagalan rumah tangga kerana gaya ini hanyalah untuk sementara waktu. Selepas ini saya akan kembali dengan imej dulu, mengikut trend semasa,” kata Lydiawati yang turut memegang watak seorang ibu dalam drama bersiri Ustaz Amirul yang akan menemui penonton pada 7 Januari depan.

Seiring usianya, aktres yang hampir empat tahun menyepi dari sebarang aktiviti seni ini berkata, dia harus akur dengan watak-watak yang diberikan memandangkan usianya kini tidak lagi muda.

Katanya, dia menerima apa saja tawaran asalkan mendatang rezeki supaya dapat membesarkan dua cahaya mata yang sedang membesar iaitu Nor Munira, 25 , dan Puteri Batrisya, 8 tahun.

Sebelum ini dia terpaksa membataskan aktiviti seninya kerana anak-anak masih kecil. Oleh kerana anak sulungnya kini boleh diharapkan, Lydiawati berasa lebih lega untuk keluar mencari rezeki.

“Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi hanya berehat seketika kerana ketika itu anak-anak masih kecil. Selain membesarkan anak-anak, saya juga berehat kerana menuntut ilmu. Sebagai manusia, saya juga ada kekurangan. Sepanjang empat tahun berehat saya gunakan kesempatan itu mengikuti kelas pengajian al-Quran bersama dengan anak-anak sekali.

“Disebabkan anak-anak sudah boleh berdikari, saya kembali aktif sejak hujung tahun lalu. Setakat ini alhamdulillah, rezeki belum pernah putus. bagaimanapun, pada usia begini saya mengakui tidak boleh terlalu memilih. Lagipun pada usia sekarang, hanya watak ibu saja yang sesuai untuk saya,” katanya yang mengakui gembira dengan kehidupan dilalui sekarang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails