Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Mamat ( Bekas Penyanyi Exist ). Show all posts
Showing posts with label Mamat ( Bekas Penyanyi Exist ). Show all posts
Mamat (Exist) Didenda RM4,000 Mengaku Salah Ambil Dadah
Bekas penyanyi kumpulan Exist iaitu Mamat mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah pada Mac lalu.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 37, turut dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman pada Selasa turut memerintahkan penyanyi yang popular dengan lagu Untukmu Ibu itu berada dalam pengawasan polis selama tiga tahun.
Mengikut pertuduhan, Mamat didakwa menggunakan dadah jenis Methamphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang di sini pada pukul 11 malam 26 Mac lalu.
Penyanyi itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Dalam pertandingan Gegar Vaganza siaran Astro Ria pada Januari lalu, Mamat mendapat tempat ketiga yang melayakan dia menerima wang tunai RM15,000.
Dia juga mendapat wang tunai RM5,000 kerana memenangi persembahan terbaik dalam pertandingan itu.
Mamat (Exists) Buat Ifa Raziah Menitis Air Mata
Bekas vokalis kumpulan Exists Mamat telah menyebabkan penyanyi Ifa Raziah menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Untukmu Ibu pada pertandingan Gegar Verganza pada 7 Disember lalu.
Ifa menitiskan air mata kerana terkenangkan saat indah bersama arwah ibunya, Maimunah Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2010 akibat komplikasi penyakit buah pinggang.
"Saya sudah tiada ibu atau pun bapa, jadi apabila Mamat mendendangkan lagu tersebut saya jadi emosi sedikit kerana terkenangkan saat-saat indah bersama ibu ketika hayatnya.
"Sedar tidak sedar sudah empat tahun dia meninggalkan saya dan lagu Untukmu Ibu mengingatkan betapa saya merindui ibu saya," katanya kepada mStar Online.
Gegar Veganza 2014 disiarkan pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria dan Maya HD.
Selain Ifa dan Mamat, artis lain yang turut bertanding termasuklah Shima, Adilla, Haleeda, Ayai (Ilusi), Fazli Zainal, Sharifah Zarina dan Rahmat (Mega).
Bagaimanapun pada Ahad lalu, Adilla diumumkan tersingkir.
Dalam pada itu, Ifa berkata, jika ibunya masih ada hari ini, wanita itu akan menjadi penyokong kuatnya untuk berjaya dalam pertandingan tersebut.
Kata Ifa, sebelum ini sekiranya dia ada memasuki apa-apa pertandingan arwah akan mendoakan untuknya dan membuatkan dia bersemangat untuk melakukan terbaik.
"Itu lagi salah satu sebab saya begitu emosi kerana saya sudah tiada ibu yang akan mendoakan kejayaan saya namun saya bersyukur kerana ada suami, anak-anak dan keluarga mertua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai pertandingan berkenaan, Ifa berkata, biarpun dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi namun dia tetap memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
Jelas Ifa, Gegar Veganza adalah platform terbaik buatnya untuk membuktikan dia masih serius dengan karier nyanyian dan berharap ia dapat membuka peluang lebih luas untuknya selepas ini.
"Alhamdulillah sokongan peminat sentiasa membuatkan saya bersemangat untuk terus berjuang dalam memberikan terbaik dan berharap pertandingan ini akan membuka lebih ruang kepada saya sebagai penyanyi selepas ini," katanya.
Mamat (Exist) Hidup Merana, Mahu Tebus Kesilapan
Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Mamat terpaksa menumpang di beberapa rumah kenalannya di Kuala Lumpur selepas mengambil keputusan untuk kembali aktif sebagai penyanyi.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 36, berkata, semenjak bercerai dengan isterinya, Marshila Mustapa Kamal empat tahun lalu dia lebih selesa menumpang di rumah temannya kerana dapat berkongsi masalah dengan mereka.
"Saya tiada rumah di Kuala Lumpur jadi setiap kali ada tugasan di sini saya akan duduk menumpang dengan kawan-kawan atau pun tidur di hotel.
"Biarpun saya ada rumah di Johor tetapi saya kini lebih selesa untuk tinggal bersama rakan-rakan kerana sekurang-kurangnya ada teman untuk berbicara dan berkongsi masalah," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Mamat turut mengakui dia kadang-kala tertekan dengan pandangan negatif sesetengah pihak terhadapnya berhubung kisah silamnya termasuk dalam soal penyalahgunaan dadah sebelum ini.
Jelas Mamat, dia berharap masyarakat dapat memberinya peluang untuk menebus semua kesilapan yang pernah dilakukannya dan bukan terus menghukumnya tanpa mengetahui keadaan sebenar.
"Mungkin saya nampak seperti tidak kisah dengan apa yang orang perkatakan tentang saya tetapi jauh di sudut hati perasaan sedih itu ada.|
"Apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan harap ia boleh diambil sebagai iktibar malah ia mengajar saya mengenai erti kehidupan," ujarnya.
Sementara itu, Mamat berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya berjudul Keluhan Cinta dan berharap lagu itu nanti akan dapat diterima peminat selepas sekian lama menyepi.
Jelas Mamat, lagu berkenaan diterbitkan oleh Anita Entertainment dan dia bersyukur atas kepercayaan diberikan oleh syarikat berkenaan.
"Klip video lagu itu juga sudah dirakamkan dan sedang menjalani proses suntingan. Harap-harap ia akan dapat diterima peminat," ujarnya.
Dalam pada itu saksikan temubual video wartawan kami, Addy Junaidi bersama Mamat menerusi ruangan Zoom.
Penyanyi ini menjelaskan pendapatannya terjejas. Wajah terbaharu Mamat mengejutkan banyak pihak kerana dia kelihatan cengkung bagaikan tidak terurus. Klik di sini: http://www.mstar.com.my/hiburan/zoom/2014/09/02/video-mamat-exist/
Kes curi motor, Mamat kontoversi lagi

BAGAIKAN tak berkesudahan berbicara mengenai kisah bekas penyanyi kumpulan Exist ini. Satu persatu peristiwa hitam melingkari dirinya sehingga ada yang beranggapan Mamat memang manusia yang bermasalah.
Tak cukup dengan itu ada juga cakap-cakap nakal yang memberitahu kontroversi dan Mamat bagaikan aur dengan tebing. Tak boleh dipisahkan biarpun sering kali berjanji untuk menjadi manusia yang baik.
Kadang kala apa yang dikatakan itu ada benarnya. Tak cukup kisah rumah tangga yang sudah berkecai itu menjadi perhatian umum, Mamat juga didapati bersalah mencuri telefon bimbit ketika berada di Singapura sebelum ini.
Itu belum lagi melibatkan cerita-cerita panas mengenai dirinya sebelum ini. Kisah intim dia dengan wanita lain sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya sedangkan ketika itu dia masih berstatus suami orang.
Kali nama Mamat kembali panas apabila dia ditangkap gara-gara memiliki motosikal curi. Kejadian yang berlaku di Johor Bahru baru-baru ini menguatkan lagi cerita yang penyanyi ini memang suka mencari masalah.
Sehingga kini kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.
Apa sebenarnya yang berlaku pada Mamat? Apa yang masih dicari oleh penyanyi yang cukup popular dengan lagu Untukmu Ibu sedangkan satu ketika dahulu dia pernah mengecapi populariti yang cukup hebat.
Kalau ada yang masih ingat pada tahun 1991 menerusi album pertama Exist pernah mencecah jualan sebanyak 250,000 unit. Melalui itu jugalah nama Mamat naik mendadak menjadikan dia antara penyanyi yang cukup popular.
Biarpun pelbagai andaian yang boleh dikeluarkan oleh sesiapa sahaja, hanya Mamat yang ada jawapan
Berbicara dengan pemilik nama sebenar Mohd. Ali Kamaruddin baru-baru ini, dia cukup terkesan dengan apa yang telah berlaku. Apa yang telah terjadi cukup mencengkam lubuk sanubarinya itu.
“Memang saya cukup sedih dengan apa yang berlaku. Untuk bercerita mengenai hal motosikal yang dikatakan motor curi itu, saya enggan mendedahkan apa yang berlaku memandangkan kes tersebut masih lagi dalam siasatan.
“Lagipun pegawai polis yang menguruskan kes tersebut menasihatkan saya agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara tersebut,” jelas Mamat lagi.
Dalam nada yang cukup santai, Mamat bagaikan tidak berselindung. Apa sahaja yang ditanya pasti akan dijawab oleh bapa kepada tiga orang anak ini tanpa sebarang masalah.
Cuma bila memasuki bab maruah dan harga diri, Mamat bagaikan tersentak. Bukan apa, dia sedar maruahnya jatuh akibat kontroversi yang melanda. Ramai yang mula hilang kepercayaan kepadanya gara-gara insiden berkenaan.
“Memang perit nak lalui semua itu. Saya bukan seteruk yang disangka. Arwah ayah dan ibu saya banyak mencurahkan ilmu dan mengajar saya untuk jadi manusia yang berguna.
“Biarpun kami bukan datang dari keluarga yang kaya-raya tapi semua serba cukup. Mungkin laluan yang saya lalui selama ini tak secerah mana.
“Saya sedar apa yang telah berlaku. Insiden macam ini memang cukup memalukan tetapi ia memberikan pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati.
“Kadang kala saya sedar yang orang masih lagi sayang kepada bakat yang ada dalam diri ini. Biarpun kes tersebut masih lagi dalam siasatan, alhamdulillah ramai yang memberi semangat.
“Ramai yang masih lagi mahu melihat saya berjaya. Biarpun terhimpit dalam nista orang masih ada yang memberi ruang dan membuka rezeki buat saya.
“Masih ada yang mahu mengambil saya untuk membuat persembahan walaupun bukan dalam skala yang besar. Kalau tak banyak pun, sikit jadilah. Itu sudah cukup untuk meneruskan kehidupan saya sebagai anak seni,” kata Mamat tanpa berselindung.
Sehingga kini Mamat sedang sibuk menguruskan hal album yang sering kali tertangguh akibat pelbagai masalah dan dijangka keluar selewat-lewatnya tahun hadapan.
Bagi Mamat kecintaannya terhadap bidang seni tidak pernah berkesudahan biarpun dia tahu ramai yang mula sangsi terhadap dirinya. Saban hari dia tidak pernah lupa memanjatkan doa agar menjadi manusia yang lebih baik biarpun apa yang terjadi.
Bercerita mengenai perihal anak-anak pula, Mamat yakin mereka akan membesar dengan baik di bawah jagaan bekas isterinya.
Kata Mamat sebagai bapa dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk memberikan nafkah kepada anak-anak yang sedang membesar.
“Ada rezeki lebih, lebihlah boleh saya bagi dekat anak-anak. Kalau sikit macam mana nak bagi banyak. Saya masih lagi tahu tanggungjawab saya sebagai bapa,” ujar duda ‘panas’ ini lagi.
Kes Cerai: Mamat Exist Gagal Hadir Pasport Ditahan Di Singapura

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Exist, Mohd Ali Kamarudin atau Mamat, 30, gagal hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini pagi ini untuk mengesahkan lafaz cerai terhadap isterinya, Marshila Mustapa Kamal (Shila).
Ketika ditemui di luar mahkamah, Marshila berkata, makciknya ada memberitahu Mamat tidak dapat hadir sebab paspotnya ditahan di Singapura.
"Dia (Mamat) berada di sana. Dia masih berada di bawah jaminan dan mahkamah masih pegang pasportnya.
"Dia cuma hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mak cik saya semalam untuk memberitahu dia akan hadir ke mahkamah pada 23 Disember ini di negara sana," katanya.
Sebelum ini, media Singapura melaporkan Mamat ditahan polis atas dakwaan mencuri telefon bimbit milik seorang pelakon tempatan pada 13 November lalu. Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin di Balai Polis Bedok.
Penyanyi yang popular dengan lagu 'Untukmu Ibu' itu ditahan selepas Suhailmi Ruslan atau lebih dikenali sebagai Amy Kecik, membuat laporan mendakwa Mamat mencuri telefon jenama Samsung berharga S$280 (RM685.11) dari rumah beliau pada pagi 13 November lalu.
Mamat turut dilaporkan merayu dibebaskan dengan memberi alasan memerlukan wang kerana bekas isteri dan anaknya sedang sakit.
Menurut Marshila, Mamat meminta kawannya untuk menelefonnya bagi memaklumkan bahawa dia ditahan.

"Selepas dijamin, dia tidak beritahu apa-apa lagi. Bila lepas, saya pun tak tahu," katanya .
Marshila memberitahu, Mamat melafazkan cerai pada 28 Oktober 2009 dan dia memfailkan pengesahan lafaz tersebut di mahkamah sehari kemudian.
"Mamat datang ke rumah dan melafazkan cerai secara berdepan dengan saya. Masa itu, kami ada bertengkar sedikit dan kemudian dia lafazkan, "Saya ceraikan awak". Masa itu, kami bersama dengan anak-anak," kata Marshila yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di sini.
Pasangan itu berkahwin pada 2001 dan mempunyai tiga orang anak iaitu, Aleeya Mysara, 7, Mohd. Eiki Daniell, 5 dan Dylea Mysara, 3.
Menurut Marshila, selepas bercerai mereka tinggal berasingan dan Mamat tinggal di Singapura.
"Daripada maklumat yang saya terima, dia tinggal di rumah teman wanitanya," tambahnya.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi berkata, pihak mahkamah tidak dapat mengesahkan penceraian pasangan itu kerana pihak defendan (Mamat) gagal hadir.
Justeru katanya, kes itu ditangguhkan pada 24 Februari 2010, pukul 10 pagi.
"Mahkamah mohon pihak plaintif beritahu defendan tentang tarikh baru tersebut bagi mempercepatkan kes ini," katanya.
Mamat sudah lafaz cerai!

PERGOLAKAN rumah tangga penyanyi Mohd Ali Kamarudin atau Mamat, bekas vokalis kumpulan Exist, nampaknya belum menampakkan tanda-tanda untuk ke penghujung meskipun sebelum ini Mamat menyatakan masih ada harapan untuk berbaik semula dengan isterinya, Marshila Mustapa Kamal (Shila).
Dakwaan Mamat seperti disiarkan dalam Kosmo! pada Isnin lalu dipertikaikan oleh isterinya. Malah Shila juga mendedahkan bahawa hubungannya dengan Mamat tidak mungkin boleh diselamatkan gara-gara sikap penyanyi itu sendiri.
"Kami sebenarnya telah pun bercerai apabila Mamat melafazkan talak kepada saya sekitar Oktober lalu. Saya kesal bila kenyataan yang dikeluarkan Mamat dalam Kosmo! seolah-olah mahu menunjukkan yang dia begitu menyayangi keluarganya, walhal Mamat telah pun melafazkan cerai kepada saya," terang Marshila tanpa berselindung sambil memberitahu kes itu akan dibawa ke mahkamah tidak lama lagi bagi mengesahkan lafaz berkenaan.
Shila yang bertugas sebagai Eksekutif Operasi di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka meluahkan apa yang berbuku di hatinya kepada Kosmo! selepas membaca pendedahan Mamat di akhbar yang sama, Isnin lalu.
Menurut Shila, dia tidak mahu ada pihak membuat pelbagai andaian tentang pendedahannya ini. Malah dia juga bukan bertujuan untuk meraih publisiti murah atau sekadar suka-suka berbalas kenyataan di media.
"Cuma saya ingin memperbetulkan apa yang dia kata. Saya tak mahu peminat-peminat dia tertipu," beritahu wanita ini dengan tenang dalam pertemuan kami kelmarin.
Lebih mengejutkan kata Shila, punca penceraian mereka tidak lain tidak bukan adalah disebabkan kehadiran pihak ketiga.
"Saya tak faham kenapa dia kata tidak melafazkan apa-apa pada saya dan kononnya mahu berbaik semula. Kenyataan dia juga seolah-olah saya yang salah. Kenapa dia perlu cakap jangan babitkan pihak ketiga, sedangkan memang kemusnahan rumah tangga kami berpunca daripada perempuan itu?
"Sebelum ini, awal-awal lagi dia ingatkan saya jangan bagi sebarang kenyataan tentang hal kami di media dan saya ikut katanya. Tiba-tiba, dia pula yang bagi kenyataan bukan-bukan kepada akhbar?," dedah Shila lagi.
Biarpun wanita yang baru menginjak usia 29 tahun kelmarin tenang ketika ditemu bual, wajahnya tetap menunjukkan kesedihan yang terpaksa ditanggung bersama tiga orang anaknya.

Shila sedih apabila Mamat mengatakan gadis yang kononnya rapat dan baru berusia 16 tahun itu memahami segala susah senangnya. Realitinya, menurut Marshila, Mamat selalu mencarinya apabila memerlukan bantuan.
"Selama enam tahun kami bercinta dan sembilan tahun kami berkahwin, adakah saya tidak memahaminya? Pertama kali dia pergi ke Singapura, dia berkata dengan saya mahu mencari peluang kerja tetapi dalam kenyataan dia di sebuah akhbar, dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan saya. Apa yang cuba dia maksudkan?
"Kalau nak tahu, saya langsung tidak ada nombor telefonnya untuk dihubungi. Kalau betul dia sayangkan anak-anak, patutnya dia menghubungi kami dan memberi nombor telefonnya pada saya agar jika ada apa-apa terjadi kami boleh menghubunginya.
"Perkara ini telah bermula sejak bulan April lalu. Masa awal-awal, dia dah buat hal mengenai gadis yang sama dan saya cuba selesaikan. Kononnya sudah putus, tapi mereka main wayang dengan saya.
"Saya perasan bila Mamat mula tidak menghubungi kami. Nafkah pula dia sudah tak bagi sejak ada hubungan dengan gadis itu. Saya tak faham kenapa dia bertindak begitu semata-mata kerana gadis yang masih bersekolah itu," ujarnya dalam nafas menahan kecewa yang kental.
Sudah biasa dilanda badai
Tambah Marshila, sebelum ini, rumah tangganya kerap kali dilanda badai apabila penyanyi yang popular dengan lagu Untukmu Ibu itu dikatakan menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita dan juga seorang artis.
Bagaimanapun, demi kebahagiaan anak-anak mereka, Marshila sanggup memaafkan segala perbuatan suaminya.
"Sebenarnya, hal orang ketiga memang sudah menjadi lumrah dalam rumah tangga kami, tetapi ada juga masalah lain. Biasalah, saya ada kerja tetap dan dia kerjaya dia tidak menentu masanya. Dia kata saya tak memahaminya kerana tiada pendapatan tetap. Saya kerja untuk membantu dia juga, takkan 24 jam saya kena berkepit? Rasanya, sebab itu dia cari budak sekolah yang boleh berkepit dengannya ke mana-mana sahaja," kata Marshila.
Kini, biarpun sedih kerana gagal mempertahankan rumah tangganya, Marshila reda dengan kejadian yang menimpanya sekeluarga. Justeru hari ini Shila tidak akan mengharapkan apa-apa lagi daripada bapa kepada anaknya itu.
Mahu berbaik semula? "Tidak mungkin, cukuplah dengan apa yang berlaku sepanjang saya jadi isteri kepada Mamat," katanya dalam nada nekad dan pasrah.
Cerita ciuman Mamat

INILAH wanita yang dikatakan akrab dengan Mamat sewaktu di Singapura.
UMUM sedia maklum, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Untukmu Ibu, Mamat Exist atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin, sedang bersendirian tanpa isteri dan anak-anak di sisi sejak beberapa bulan yang lalu.
Pergolakan rumah tangga yang berlaku antaranya dan isteri, Marshila Mustapa Kamal, membuatkan kedua mereka tidak lagi tinggal sebumbung dan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk dirinya, isteri serta tiga orang anaknya iaitu, Aleeya Mysara, 7, Mohd. Eiki Daniell, 5 dan Dylea Mysara, 3.
Mamat telah membawa diri ke kota Singapura untuk mencari peluang perniagaan serta menyiapkan album barunya di sana.
Sehingga kini, Mamat belum nampak petanda-petanda positif yang akan berlaku kepada keluarga yang dibinanya sejak lapan tahun dahulu.
Bagaimanapun, saat Mamat cuba menenangkan fikiran untuk memikirkan penyelesaian yang terbaik buat keluarga, ada khabar angin mengatakan Mamat sudah menemui pengganti cinta baru di Singapura.
Malah, Mamat dilihat sering bersama kekasihnya ke mana-mana sahaja serta dikatakan pernah berciuman di khalayak ramai.
Sejauh mana kebenaran itu, Kosmo! telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan yang sebenar.
Mengakui dia mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita yang sangat memahaminya, bagaimanapun Mamat menolak yang mereka sedang mempunyai hubungan yang serius.
"Saya akui, sepanjang berada di Singapura, saya mempunyai seseorang yang faham dan mengambil berat tentang saya. Hakikatnya kami tidak mempunyai ikatan yang serius.
"Cuma dia faham apa yang saya sedang alami. Kami berkawan bukan berniat untuk merosakkan rumah tangga saya. Kami cuma rapat, bukan bercinta.
"Saya juga akui memang saya ada ramai teman wanita, tetapi bukan yang istimewa. Takkan nak berkawan pun tak boleh," tegas Mamat.
Tambahnya, khabar angin tentang ternampak dirinya sedang berciuman dan bermesra di khalayak ramai adalah tidak benar sama sekali.
"Saya tahu batasan saya. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting, saya masih menjaga rumah tangga saya," katanya.
Masih lagi tidak tinggal sebumbung dengan isteri, Mamat mungkin akan menemui jalan penyelesaian pergolakan rumah tangganya di mana dia sendiri tidak sanggup untuk lakukan.
Pada tarikh 19 November ini, Mamat dan Marshila terpaksa membawa masalah mereka ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan konflik yang dialami mereka berdua.

MAMAT dan isterinya, Marshila akan ke Mahkamah Syariah 19 November ini untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Cerai atau tidak, Mamat sendiri tidak tahu keputusannya. Bahkan, dia sendiri tidak pernah mengungkap perkataan berat itu lagi.
"Penceraian bukanlah satu perkara yang boleh dimain-mainkan. Sebab itu saya dan isteri memberi ruang kepada masing-masing untuk berfikir sama ada mahu mengekalkan ikatan suami isteri ataupun tidak.
"Saya pun tak berani nak cerita tentang hal ini lebih-lebih sebab kalau boleh, saya tidak mahu rumah tangga saya runtuh.
"Saya sayangkan anak-anak dan isteri. Mana tahu, ketika perbicaraan nanti, ada perkara positif yang akan berlaku antara kami dan bolehlah kami hidup dalam satu keluarga seperti dahulu.
"Tapi setakat ini, hati saya mengatakan tiada yang positif akan berlaku nanti. Bagaimanapun saya terima dengan reda kerana ini semua ketentuan Ilahi," jelasnya.
Enggan memberitahu punca keretakan rumah tangganya, Mamat menganggap hal rumah tangganya terlalu peribadi untuk diketahui umum.
Apa pun, seboleh-bolehnya penyanyi itu tidak mahu orang ketiga dipersalahkan. Antara mereka, mungkin tiada lagi persefahaman dalam memainkan peranan sebagai suami isteri.
"Sejak saya dalam industri muzik, saya tidak ada pun gosip-gosip berkaitan bermain kayu tiga. Gosip ini satu perkara yang baru untuk saya dan saya pun tidak boleh nak mengelak.
"Isteri saya juga hampir mempercayai khabar angin yang tersebar di Internet. Tetapi selepas berbincang dan menerangkan perkara yang sebenar, dia faham.
"Yang penting sekarang anak-anak. Mereka masih kecil lagi untuk memahami keadaan kami. Bagaimanapun, anak sulung kami, Alia, dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan ibu dan ayahnya.
"Dia akan menangis setiap kali saya meluangkan masa dan meninggalkan mereka," tuturnya yang akan menerima sebarang keputusan di mahkamah dengan reda.
Rezeki di Singapura
Tidak tahu apa yang bakal terjadi dengan masalah rumah tangganya di mahkamah nanti, Mamat bagaimanapun perlu meneruskan kehidupannya seperti biasa.
Mahu melebarkan pemikiran mengenai perniagaan hartanah, Mamat masih lagi tidak lupa dengan bidang muzik yang disayanginya itu.
Hasil penghijrahan selama tujuh bulan ke Singapura, Mamat sibuk dengan proses rakaman albumnya.
"Alhamdulillah rezeki saya banyak di Singapura. Kini saya di bawah label Life Records Singapura. Tidak lama lagi lagu duet saya bersama penyanyi Singapura, Noryz berjudul Kerna Setiaku akan diedarkan di stesen radio Singapura dan Malaysia.
"Selepas itu lagu solo saya berjudul Bintang Cinta akan menyusul. Untuk album kali ini, saya merakamkan lagu-lagu evergreen tahun 50-an.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
